Berita pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang bakal diadakan dalam tempoh yang terdekat telah menaikkan lagi bacaan suhu politik tanah air. Pelbagai andaian dan ulasan yang bersifat amatur atau berkepentingan (partisan) telah dilontarkan sama ada secara komunikasi bersemuka, media sosial maya atau media arus perdana. Hakikatnya, sifir politik dan perebutan pengaruh merupakan percaturan tahap tinggi yang sangat sukar untuk ditafsirkan dengan tepat oleh orang awam atau ahli politik separuh masak.
Bandar Kajang ialah satu contoh pusat pertumbuhan ekonomi yang menerima kesan limpahan penubuhan sebuah institut pengajian tinggi berskala besar. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bermula dengan menumpang Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai, serta menggunakan sebahagian besar tenaga akademik Universiti Malaya (UM) pada awal penubuhannya pada tahun 1970 kemudian berpindah ke Bangi, bandar satelit bagi Kajang, secara berperingkat-peringkat. Kampus UKM Bangi dan Kajang sebenarnya sudah lama saling sinonim.
Sebelum berkembang pesat akibat penubuhan UKM Bangi, serta pelbagai pusat latihan agensi kerajaan dan korporat, Kajang memang sudah dikenali sebagai bandar sate. Malah, sate Kajang telah menjadi satu jenama penanda aras sate terbaik yang terjual hingga ke hemisfera selatan (klik di sini). Sejarah sate kajang boleh dibaca di sini.
Semasa penulis blog (PB) bergelar sebagai mahasiswa UKM suatu ketika dahulu, Kajang memang sangat kerap dikunjungi, sama ada untuk urusan peribadi atau urusan pengajian. Pada ketika itu, mahasiswa tidaklah bergaya mewah seperti yang berlaku sekarang. Kebanyakan mahasiswa membiayai pengajian dengan tajaan dermasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), manakala sebahagian kecil mahasiswa yang bertuah mendapat tajaan biasiswa oleh JPA, Bank Negara dan Mara.
Maka, hanya segelintir mahasiswa yang mampu memiliki kenderaan sendiri atas faktor kos dan keselamatan. Pilihan utama dari kampus UKM ke Kajang ialah pengangkutan bas awam. Perkhidmatan teksi juga belum begitu rancak.
Semasa berada pada tahun tiga dan tahun empat pengajian di fakulti ekonomi, PB berjaya mendapat tempat di desa siswa Kamsis Ibrahim Yaakub, iaitu satu bilik seorang. Bersama sembilan orang rakan lain daripada pelbagai fakulti, PB menubuhkan kumpulan masak bagi menjimatkan perbelanjaan. Dengan hanya RM50 sebulan bagi setiap orang, sarapan, makan tengah hari dan makan malam dapat dinikmati oleh semua anggota kumpulan.
Selain itu, kumpulan masak yang ditubuhkan itu turut mempelawa sahabat di luar kumpulan yang kesempitan wang untuk makan bersama tanpa bayaran. Rezeki yang dikongsi dengan orang lain memang sangat berkat, justeru doa yang dipanjatkan oleh mereka yang menghargai pertolongan kecil itu amat makbul. Pasar Kajang menjadi destinasi harian kumpulan masak PB untuk membeli bahan mentah segar.
Terdapat juga cakap-cakap bahawa pekan Kajang menjadi sasaran amalan santau. Maka, berlegar bisik-bisik supaya sentiasa waspada untuk singgah di kedai makan. Pelbagai bentuk petua dan saranan disampaikan bagi mengenal pasti kemungkinan pelanggan mana-mana kedai makan menjadi sasaran.
Namun, sepanjang PB bergelar mahasiswa UKM dan pengunjung setia bandar Kajang, tiada pula kes santau benar-benar terjadi. Sebaliknya, Kajang sentiasa meriah dengan kegiatan ekonomi dan urusan orang ramai. Hari ini, Kajang semakin glamor apabila menerima tempias sebagai jiran Putrajaya dan Cyberjaya, serta termasuk dalam zon lebuh raya maklumat multimedia (MSC).
Pertumbuhan pesat bandar Kajang tidak sunyi daripada risiko kos sosial dan alam sekitar. Seluruh bandar Kajang pernah ditenggelami banjir besar beberapa tahun yang lalu apabila aras air meningkat secara mendadak, serta tidak mampu ditampung oleh sistem saliran yang sedia ada. Isu-isu kebajikan penduduk bandar dan proses kemajuan yang lestari dijangka mendapat perhatian semasa pilihan raya kecil kali ini ...
No comments:
Post a Comment