Assalamu alaikum dan salam sejahtera
Pelajar yang dikasihi sekalian
Pelajar yang dikasihi sekalian
Saya baru sahaja mendengar saranan supaya pelajar bangun seawal pukul empat pagi untuk mentelaah buku. Waktu berkenaan dianggap sebagai waktu perdana dan bening, justeru pelajar dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap bacaan, latih tubi dan perancangan pembelajaran yang lain. Bagi pelajar Islam, mereka sempat menunaikan paling tidak solat tahajud sebelum memulakan pagi yang baharu.
Memang saranan berkenaan suatu pilihan yang wajar dipertimbangkan, tetapi keberkesanan pembelajaran mungkin berbeza mengikut keupayaan pelajar dan bidang pengajian. Tambahan pula, penekanan pembelajaran semasa tidak lagi bergantung kepada hafalan, sebaliknya terhadap pelbagai aras pembelajaran seperti kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dan pentaksiran berterusan di dalam bilik darjah. Sementelah, sebahagian besar mata pelajaran memerlukan penglibatan aktif dalam persekitaran bilik darjah berbanding dengan kaedah pembelajaran bersendirian yang menitikberatkan kepintaran individu.
Di samping itu, penerapan kemahiran insaniah dalam pelaksanaan kurikulum menghendaki pelajar mengambil bahagian secara aktif di dalam bilik darjah atau bilik kuliah bagi tujuan aplikasi ilmu pengetahuan dan pembaharuan dalam persekitaran pendidikan yang mengalami kepesatan perubahan yang luar biasa. Akses maklumat di hujung jari mengakibatkan proses meluahkan kembali fakta yang dihafal dengan susah payah semakin terpinggir. Sebaliknya, pelajar perlu membiasakan diri dengan kurikulum futuristik yang menjamin persediaan utuh untuk kepentingan hari muka.
Pelajar yang dimuliakan,
Hakikatnya, kejayaan tidak semestinya milik mutlak ulat buku atau orang yang bekerja keras semata-mata. Kejayaan bukan semata-mata diukur dengan sebanyak mana ilmu pengetahuan yang dimiliki, tetapi sejauh mana seseorang pelajar itu menyumbang terhadap pengalaman pembelajaran bersama rakan sebaya, serta menerusi bimbingan guru. Tambahan pula, item soalan peperiksaan terkini bukan lagi menjurus kepada penulisan fakta per se, sebaliknya seiring dengan keperluan daya saing tanpa melupakan nilai jati diri dan kemenjadian pelajar.
Dalam usia yang masih remaja dan muda, pelajar juga beroleh kesempatan untuk menikmati fasa kehidupan yang indah itu seadanya. Mereka perlu memperuntukkan masa untuk interaksi bersama ibu bapa, jiran dan masyarakat. Ilmu pengetahuan yang dipelajari dan diperoleh tidak terpisah dengan kehidupan sebenar di depan mata.
Kebanyakan kampus universiti ternama di negara maju terletak secara berselerak di kawasan bandar, bukan seperti konsep menara gading eksklusif di suatu kawasan khusus. Pelajar universiti hebat seperti Oxford, Cambridge, Harvard, Yale dan al-Azhar berada di tengah hiruk pikuk nadi kegiatan masyarakat. Mereka tidak terkurung dalam persekitaran eksklusif, sebaliknya saban waktu menyaksikan dinamika masyarakat demi pembaharuan tubuh ilmu pengetahuan.
...
...
...
...
...
...
...
...
...
...
...
No comments:
Post a Comment