Saturday, January 11, 2014

PASAR KEMBOJA TAWAN SEMPADAN DUA NEGERI (SUCCESSFULL IMMIGRANTS)

Sesudah 95 kilometer dari plaza tol Ipoh Selatan (Ampang), pemandu kenderaan harus mula bersedia untuk membelok ke kiri, iaitu keluar menerusi plaza tol Bandar Baharu, Kedah. Perjalanan perlu diteruskan menuju Parit Buntar, tetapi bukan ke arah pusat bandar. Sebaliknya, pemandu hendaklah terus ke arah Hospital Parit Buntar dan kompleks sekolah.

Tidak jauh dari situ sudah kelihatan deretan kenderaan diletakkan di pinggir jalan, manakala pergerakan lalu lintas juga mulai perlahan. Keadaan itu hanya berlaku pada setiap hari Sabtu apabila kawasan berkenaan menjadi tumpuan pengunjung yang hendak mendapatkan pelbagai barang yang diniagakan oleh masyarakat Kemboja dan Indonesia, manakala peniaga tempatan tertumpu kepada jualan makanan dan minuman.
sebelah kiri negeri Perak, sebelah kanan pula Pulau Pinang,
Jalan Sempadan menjadi pemisah

Urus niaga bermula seawal pukul tujuh pagi dan berakhir lewat tengah hari. Tapak perniagaan yang dikenali sebagai Pasar Kemboja itu pernah ditutup beberapa bulan akibat aduan penduduk tempatan tentang gangguan lalu lintas dan urusan persekolahan. Pada ketika itu, perniagaan dijalankan dengan kekerapan dua kali seminggu, iaitu setiap Isnin dan Jumaat.

Setelah berlaku perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan kedua-dua buah negeri yang bersempadan, hari Sabtu dipersetujui sebagai ganti. Namun, terdapat ura-ura bahawa sebuah masjid berhampiran kampus UiTM Kerian hendak menawarkan sewaan tapak tanah wakaf kepada peniaga. Urus niaga di sana akan memberi tumpuan terhadap jual beli secara borong sahaja.

Maka, Pasar Kemboja yang dibuka untuk pengunjung dalam kalangan orang awam ditetapkan pada setiap hari Sabtu di tapak yang lama. Penduduk tempatan, walaupun mungkin mengalami kesesakan lalu lintas dan susana ramai, namun boleh mengambil kesempatan untuk turut menjalankan perniagaan.
Tapak perniagaan Pasar Kemboja hakikatnya bukanlah kawasan tanah lapang, padang atau laluan jalan yang ditutup secara khusus. Pasar Kemboja yang sudah berusia melebihi satu dekad itu pada asalnya bermula secara kecil-kecilan sebagai tempat pertemuan antara pemborong Kemboja dengan peniaga pasar malam di kawasan utara semenanjung. Mereka menyewa tapak laman hadapan rumah penduduk tempatan.

Lama-kelamaan, berita urus niaga berkenaan tersebar seperti viral dalam internet yang menggamit pembeli dalam kalangan penduduk sekitar dan bandar berdekatan. Bilangan peniaga Kemboja pula semakin bertambah sejajar dengan permintaan yang menggalakkan. Kini, sewa tapak untuk satu lot (sebesar saiz satu khemah) ialah RM300 sebulan, atau RM75 untuk sekali berniaga pada hari Sabtu.

Seorang peniaga Melayu yang hanya membuka meja untuk menjual cadar import dari China memberitahu bahawa dia turut menggunakan facebook untuk menyertai urus niaga atas talian. Setelah bayaran dimasukkan oleh pelanggan ke dalam akaun bank yang dinyatakan, cadar akan dihantar menerusi perkhidmatan kurier dengan caj tambahan sebanyak RM10 daripada harga senarai.

Seorang pengunjung yang ditemui mengatakan bahawa dia tidak perlu ke Vietnam untuk mendapatkan kain pasang atau ke Bandung untuk membeli telekung sulam kerana di Pasar Kemboja semuanya sudah ada. Malah, harga yang ditawarkan lebih murah. Berita seperti itulah yang menjadi buah mulut yang tersebar hingga warga Kuala Lumpur sanggup turun ke Parit Buntar.

Kunjungan ke Pasar Kemboja bermakna lawatan ke tiga buah negeri sekali gus, iaitu Perak (utara), Kedah dan Pulau Pinang. Selain itu, kegigihan masyarakat Kemboja merantau ke negara orang untuk mencari rezeki akhirnya dilimpahi dengan kemewahan hingga berjaya memiliki rumah dan kenderaan yang besar. Masyarakat tempatan hanya mampu memandang dan terus menjadi pengguna biasa.

Seorang  pesara jabatan pemetaan yang kini berusia 70 tahun yang ditemui di warung sarapan pagi dekat situ juga berkata warga Kemboja memiliki kemahiran yang lain. Dia membawa isteri untuk mendapat rawatan urut daripada wanita Kemboja yang menyewa rumah abangnya. Banyak lagi cerita yang dapat dikutip untuk cerita selanjutnya ... 

6 comments:

  1. tapi tuan....pasar kemboja ni betul2 menjejaskan pendapatan ekonomi orang melayu. parit buntar didiami sehingga hampir 5000oran g kemboja. mereka dah menguasai bidang jualan kain tekstil dan membaiki rumah/ubahsuai

    ReplyDelete
  2. terima kasih atas maklum balas tuan zaharudin daud (bina utara).

    jalan tuanku abdul rahman, kuala lumpur dan banyak bandar lagi juga berhadapan dengan keadaan yang serupa. malah, kota besar di negara maju pun menjadi lubuk rezeki kaum imigran. kita perlu belajar daripada sejarah, lantas memilih reka bentuk perancangan senario yang tepat.

    Wallahu a'lam ...

    (artikel ini mencecah hampir 7,000 klik setakat ini)

    ReplyDelete
  3. Mereka juga yang bina Masjid ketiga di Parit Buntar .. :) tak macam peniaga melayu yang kedekut nak keluar zakat bina masjid .. :)

    ReplyDelete
  4. Tuan Hasrul,

    Supaya berlaku adil, kita serahkan kepada pihak berwajib bagi urusan zakat, termasuk agihan kepada 8 asnaf yang ditetapkan. Program 'outreach' bagi meningkatkan kesedaran status zakat sebagai rukun Islam ke-4 hendaknya lebih berkesan.

    Tentang sumbangan wakaf dan derma / sedekah (jariah) bagi pembinaan masjid, kalau kena caranya, peniaga Melayu insya-Allah bermurah hati ...

    ReplyDelete
  5. Oh ya bukan kampus UiTM Kerian tetapi Kampus Kejuruteraan USM .. :)

    ReplyDelete
  6. https://www.facebook.com/assouqi

    ReplyDelete