Sebenarnya sudah acapkali cogan kata di atas menjadi hujah dalam blog ini, namun momentum maklum balas yang diterima setakat suam-suam kuku. Maka, sebagai ungkapan motivasi yang sangat penting, cogan kata berkenaan sering dibincangkan dengan murid setiap kali waktu ganti (relief). Walaupun begitu ringkas dan bersahaja, murid sedikit teruja walaupun mungkin hanya untuk mengambil hati.
Kubuku buku (baca: kubu+ku buku) membawa maksud buku sebagai kubu kepada seseorang yang mencintai ilmu. Proses pembacaan buku bagaikan seseorang itu sedang berkomunikasi dengan pengarang yang bijaksana, dengan syarat bahawa buku yang dibaca itu bersifat autentik, bukan picisan atau merapu sahaja. Sesiapa sahaja yang gemar membaca buku bakal memiliki pengalaman sekunder yang sangat hebat dan memiliki banyak input bagi mencetuskan transformasi diri sendiri dan persekitaran.
Buku yang berbentuk konservatif sudah pasti berupa naskhah bercetak yang dijilid dengan sempurna dan lengkap dengan butiran yang perlu. Buku dalam era lebuh raya maklumat maya pula mungkin berbentuk elektronik yang boleh dicapai menerusi peranti mudah alih selagi terdapat sambungan internet. Dari segi Islam, konsep buku juga ialah alam yang terbentang di hadapan (ayatullah fi'l-kaun, tanda-tanda kebesaran Allah di muka bumi).
Tidak kira apa-apa jua bentuk buku, proses meneroka khazanah ilmu yang terdapat di dalamnya membawa seseorang itu seperti tercampak dalam sebuah lautan maklumat terpilih yang sangat berharga. Hukamak mengatakan ilmu menjaga harta, tetapi harta tidak menjaga ilmu.
...
...
...
...
...
...
No comments:
Post a Comment