Kenderaan yang menuju pekan Batu Gajah, Perak dengan menggunakan laluan lama Kampung Seri Rahmat dan Changkat Larang bakal melihat beberapa buah gerai makanan di kanan dan kiri jalan. Walaupun dengan penampilan gerai yang ala kampung dan sederhana, makanan yang dijual memang memiliki keenakan yang tersendiri. Kalau berdasarkan petua popular, jika banyak orang singgah di sesebuah gerai makanan, bermakna pasti ada x-factor di situ, Wallahu a'lam.
Dari arah bandaraya Ipoh, pemandu kenderaan boleh menggunakan jalan persendirian Taman Botani yang terkenal dengan bonggol itu, atau memilih laluan Jalan Gopeng, kemudian membelok ke arah kanan sebaik sahaja ternampak Balai Polis Simpang Pulai. Demi terbaca sahaja label Kampung Seri Rahmat, bersedia untuk memberhentikan kenderaan di sebelah kiri jalan.
capati telur dengan kuah sardin
Kedudukan gerai yang dimaksudkan terletak tidak jauh dari Sanctuary Clear Water (bukan di London, tetapi di Batu Gajah), sebuah padang golf bertaraf antarabangsa. Gerai yang diusahakan oleh Abang Nash itu memang sudah dikenali dalam kalangan pengguna laluan berkenaan. Maklumat lanjut tentang waktu perniagaan gerai Abang Nash boleh klik di sini.
Gerai Abang Nash tidak diletakkan sebarang label justeru masih dalam proses pendaftran perniagaan secara rasmi. Namun, menurut Abang Nash, gerai beliau diberi nama GaZeBo Abg Nash. Setakat ini, gerai hanya beroperasi dari awal pagi hingga tengah hari sahaja kerana kekurangan tenaga kerja.
Dalam banyak-banyak makanan yang dijual, capati mendapat sambutan paling hangat. Berbeza dengan capati kedai mamak atau capati pasar malam yang berbentuk leper, capati Abang Nash berbentuk gulung. Tekstur capati yang sangat lembut dan enak juga tidak mungkin dapat ditandingi oleh mana-mana restoran mamak dan pasar malam.
kopi putih keluaran Abang Nash
Sarapan pagi tentu tidak lengkap tanpa menghirup secangkir kopi atau teh. Pengguna yang hendak menjaga kandungan glukos boleh memesan minuman kurang manis atau tanpa gula dan susu langsung. Kata orang, yang sedap itu racun, yang pahit itu ubat.
Kopi putih yang disediakan di gerai Abang Nash (keluaran Abang Nash sendiri, bukan jenama sedia ada di pasaran) memang 'mengancam' habis. Aroma bau dan buih yang mewah sahaja sudah cukup untuk membangkitkan selera. Apatah lagi dengan penggunaan cawan tembikar klasik dengan lakaran bunga berwarna biru.
Warga Ipoh dan Batu Gajah sanggup datang ke gerai Abang Nash semata-mata untuk menikmati hidangan capati telur dan kopi putih yang unik. Abang Nash juga sangat peramah dan bijak mengambil hati pelanggan. Semoga GaZeBo Abg Nash bakal berkembang sebagai suatu jenama yang memiliki hak paten yang tersendiri sebelum dipintas oleh pesaing yang licik ...
No comments:
Post a Comment