Saturday, March 1, 2014

TEKS UCAPAN GURU BERTUGAS SEMASA PERHIMPUNAN MINGGUAN SEKOLAH (TO ADDRESS CONCERNS ABOUT LEARNING ENVIRONMENT)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam sejahtera dan selamat pagi

Terima kasih saudara pengacara majlis

Yang Berusaha Tuan Pengetua, Penolong-penolong Kanan, Guru Kanan, guru, pemimpin pelajar
dan pelajar yang dikasihi sekalian,

Saya, Cikgu ______________ bersama Cikgu ____________________ ialah guru bertugas sepanjang minggu kelapan persekolahan yang lalu lalu, iaitu mulai dari hari Isnin, 24.2.2014 hingga Jumaat, 28.2.2014. Hari ini, Isnin 3.3.14 bersamaan 1 Jamadil Awwal 1435 Hijriyyah, izinkan saya menyampaikan laporan ringkas guru bertugas mingguan.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pelajar SMK St. Michael, Ipoh yang telah memberi kerjasama secara optimum sepanjang minggu yang lalu. Guru bertugas yang mengendalikan perhimpunan harian ringkas setiap pagi sebelum pelajar bergerak ke kelas masing-masing berasa sangat puas hati dengan pergerakan yang begitu lancar. Dari segi itu, Michaelian layak diberi penarafan A+.

Secara amnya, guru bertugas mingguan berperanan untuk membantu pihak sekolah dalam kapasiti yang seadanya untuk mencapai matlamat keseluruhan sekolah sebagai organisasi yang memupuk pembelajaran. Berasaskan hitungan konservatif, sejak darjah satu, Michaelian telah mendengar laporan guru bertugas mingguan melebihi 250 kali. Walaupun barangkali, perkara yang sama diulang dan diulang lagi, demikianlah dunia pendidikan di sekolah. 

Laporan tentang tahap kebersihan dan keceriaan bilik darjah serta kawasan sekolah, disiplin dan sahsiah sebagai contoh, pada hakikatnya menuju satu matlamat, iaitu iklim dan budaya sekolah, atau persekitaran pembelajaran yang produktif, selesa dan terbaik. Pada akhirnya, ikhtiar semua pihak yang mendambakan kecemerlangan yang tulen akan berjalan lancar dan sifar gangguan, kecuali untuk kes terpencil sahaja. Pada pengamatan guru bertugas minggu kelapan yang lalu, dalam sesetengah perkara, SMK St. Michael, Ipoh memang layak diangkat sebagai penanda aras kecemerlangan dalam konteks persekitaran pembelajaran yang dihasratkan.

Guru dan pelajar yang dihormati,

Secara khusus, tahap kebersihan bilik darjah dan kawasan sekolah memang boleh diberi pujian, tetapi ruang untuk penambahbaikan masih terbuka. Kebersihan lantai telah diurus dengan begitu baik, kecuali terdapat cebisan kertas di sana sini selepas waktu rehat. Namun, demi melihat guru bertugas datang dengan lembaran penilaian kebersihan dan keceriaan, pelajar cepat-cepat mengutip cebisan kertas berkenaan. Terima kasih atas kepekaan kalian. Penarafan kebersihan A-.

Keceriaan bilik darjah pula berkait rapat dengan sistem rasa, persepsi atau tanggapan sepintas lalu. Maksudnya, sebaik sahaja melangkah ke sesebuah bilik darjah, aura atau getaran pembelajaran akan dapat dirasai, sama ada hebat, biasa atau lenyap. Guru bertugas mencadangkan supaya suatu garis panduan ringkas tentang keceriaan bilik darjah dapat disediakan bagi meningkatkan penarafan di tahap B+ sepanjang minggu kelapan yang lalu.

Disiplin pelajar sepanjang minggu lalu didapati baik dan terkawal. Hampir 99 peratus pelajar berjaya tiba di perkarangan sekolah sebelum pukul 7.25 pagi. Guru bertugas difahamkan bahawa kumpulan satu peratus pelajar lagi bakal diberi pendedahan kaunseling tentang pengurusan kendiri (personal grooming) dalam tempoh yang terdekat. 

Masalah ketepatan waktu lebih ketara selepas rehat apabila segelintir pelajar lewat masuk ke kelas. Perkara itu telah diberi teguran banyak kali, terutama oleh guru disiplin. Mohon semua pelajar mengambil ingatan tentang ketepatan waktu kembali ke kelas selepas rehat walaupun harus mengejar waktu di kantin sekolah.

Selain itu, pada pagi Jumaat, Encik Chong telah menegaskan tentang tindakan akan diambil terhadap pelajar yang sengaja berlegar-legar di koridor kelas ketika pelajar sepatutnya berada di dalam kelas. Cara memakai tali leher dan kekemasan baju juga telah diberi teguran berulang kali. Diharap Michaelian mengambil berat tentang penampilan yang kacak dan segak seperti yang disarankan. 

Seterusnya tentang sahsiah yang sepatutnya menjadi suatu kelebihan atau x-factor kepada pelajar sekolah premier terkemuka seperti sekolah kita ini. Budaya memberi salam, menyapa guru dan menghormati guru hendaknya dapat diserlahkan dengan lebih ketara dari masa ke masa. Walaupun saiz fizikal pelajar lebih besar dan gagah, berilah laluan kepada guru apabila berselisih, bercakap dengan penuh adab sopan dan tulus. Paling kurang, sebutlah satu patah kata 'cikgu' setiap kali berselisih dengan guru. Saya juga ingin menraik perhatian bahawa dalam ujaran bahasa Melayu, kata ganti nama 'kamu' tidak sesuai digunakan kepada insan yang lebih dewasa, termasuk guru.

Tuan puan dan Michaelian yang dimuliakan,

Pemarkahan kebersihan dan keceriaan kelas dilakukan oleh sekumpulan panel khas dan keputusan yang bakal diumumkan adalah muktamad. Sebarang rayuan tidak dapat dilayan. Bagi menyempurnakan upacara penyampaian hadiah pusingan kebersihan dan keceriaan kelas, saya mempersilakan Drs. Rajendran Naidu a/l Kannayar, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid untuk tampil ke pentas.  

Kedudukan pemenang kebersihan dan keceriaan kelas minggu ke-8 adalah seperti berikut:

Tingkatan 3:  Naib johan ______, johan _____
Tingkatan 4:  Naib johan ______, johan _____
Tingkatan 5:  Naib johan ______, johan _____
Prauniversiti tingkatan 6 Atas:  Naib johan ______, johan _____

Terima kasih Drs. Rajendran Naidu. Tahniah kepada pemenang.

Sebagai mengakhiri laporan guru bertugas minggu ke-8, izinkan saya mengulang semula ungkapan hukamak: Hari ini lebih baik daripada semalam, esok lebih baik daripada hari ini. Pelajar cemerlang selalu berkata: Bolehkah saya bantu?; pelajar biasa-biasa berkata: itu bukan kerja aku. Pelajar cemerlang berkata: Masalah itu sukar, tetapi boleh diatasi; pelajar biasa-biasa mengatakan: Masalah itu boleh diatasi tetapi sukar. Semoga Michaelian sentiasa tergolong sebagai pelajar cemerlang.

Sekian, salah dan silap mohon dimaafkan. Wassalam.

9 comments:

  1. Terima kasih cikgu berkongsi ilmu semoga menjadi amal jariah bekalan ke syurga..aamiin

    ReplyDelete
  2. Slm, Cikgu, mohon share teks perhimpunan ini.Saya doakan semoga cikgu dan keluarga sentiasa dalam rahmat Allah SWT.Terima kasih byk2

    ReplyDelete
  3. Terima kasih cikgu...semoga apa yang dikongsikan akan menjadi bekalan diakhirat kelak.Semoga Allah pemudahkan segala urusan cikgu kerana memudahkan urusan orang lain.

    ReplyDelete
  4. Selamat sejahtera Cikgu. Saya mohon izin kongsi teks ucapan perhimpunan ini. Semoga cikgu diberikan kesihatan baik dan dimurahkan rezeki. Terima kasih cikgu

    ReplyDelete
  5. terima ksih cikgu

    ReplyDelete
  6. bagus geng
    panduan yang baik. Semuga Allah memberkati anda dan kita semua.

    ReplyDelete
  7. terima kasih cg atas perkongsian.

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum cikgu.. Mohon izin utk berkongsi teks ucapan.. Terima kasih cikgu..

    ReplyDelete
  9. ASSALAMUALAIKUM CIKGU...MOHON KEIZINAN UNTUK BERKONGSI TEKS UCAPAN INI. TERIMA KASIH, SEMOGA ALLAH MEMBALAS SEGALA KEBAIKAN CIKGU. AAMIN

    ReplyDelete