Monday, April 28, 2014

PERSEDIAAN KELAS KECEMERLANGAN DAN KLINIKAL MAKROEKONOMI (THE ATTITUDE OF LEARNING PRE-UNIVERSITY SUBJECT)

Walaupun pada prinsipnya, tanggungjawab untuk belajar dengan bersungguh-sungguh terletak di dalam tangan pelajar secara peribadi, guru yang tergolong dalam kerjaya perkhidmatan menolong sentiasa berasa terpanggil untuk membimbing pelajar ke arah pencapaian tertinggi. Maksim bahawa pencapaian pelajar sebagai bayangan kebolehan guru seolah-olah melekat dalam pemikiran pihak yang berkepentingan dalam dunia pendidikan di sekolah. Maka, penggolongan pelajar dalam kumpulan cemerlang, potensi dan kritikal berdasarkan penanda aras nilai lepas landas (TOV, take-off value) sudah menjadi amalan pengurusan kurikulum di sekolah.

Mata pelajaran Ekonomi ditawarkan sebagai kertas elektif di peringkat pengajian prauniversiti tingkatan enam. Namun, terdapat sekolah yang menjadikan Ekonomi sebagai mata pelajaran wajib bagi semua pelajar jurusan kemanusiaan sebagai kesinambungan kelas tingkatan enam sastera sejak tahun 1960-an lagi. Disiplin ekonomi yang lebih mirip terhadap pengajian kuantitatif memberi kelebihan besar kepada pelajar yang memiliki asas matematik yang kukuh, sementara pelajar yang lebih cenderung terhadap hemisfera otak kanan (imaginasi dan kreativiti) harus sanggup berusaha beberapa kali ganda supaya dapat memanipulasi segala pemboleh ubah, pekali dan analisis grafikal yang bersifat abstrak.

Di bawah penjenamaan semula pengajian prauniversiti kepada sistem modular, sukatan pelajaran telah direka bentuk sedemikian rupa supaya lebih mesra pelajar. Penyampaian guru lebih fokus terhadap hasil pembelajaran yang telah diberi penekanan yang jitu. Namun, sebagai mata pelajaran yang berciri teknikal, keperluan pembelajaran yang cakna, cekap dan cepat tidak dapat dielakkan supaya keakuran terhadap sistem pentaksiran berasaskan sekolah dan berpusat sentiasa dapat dipenuhi.

Pelajar prauniversiti tingkatan enam yang berada dalam lingungan usia 18 ke 19 tahun sedang meniti penghujung remaja dan bakal beralih ke alam orang muda. Maka, pengaruh jiwa sentimental dan pengaruh rakan sebaya masih menebal. Tugas untuk memancing dan memenangi perhatian pelajar prauniversiti tidak semudah yang disangka kerana guru harus mengenal pasti pemimpin pendapat (opinion leader) supaya rasa teruja untuk terus belajar tidak terkandas di pertengahan jalan.

Berdasarkan pengamatan dan pengalaman guru ekonomi, pelajar dalam kelompok kritikal mempunyai ciri tipikal pembelajaran yang mewakili tahap motivasi yang rendah, kurang daya usaha dan enggan memberikan tumpuan yang tuntas semasa kuliah. Apabila mereka tercicir dalam konteks penguasaan sejumlah konsep, pemboleh ubah dan aplikasi teori, proses pembelajaran pada tahap seterusnya menjadi sukar. Keputusan untuk bergabung dalam zon penolakan pembelajaran ekonomi sangat menyusahkan guru apabila rungutan mereka turut disokong oleh rakan sebaya yang lain.

Kerenah kumpulan pelajar kritikal ekonomi sama sekali tidak membuatkan guru ekonomi mengangkat bendera putih. Guru ekonomi sangat menyedari bahawa sesebuah kelas ekonomi tidak ubah seperti masyarakat sebenar dengan kepelbagaian kecenderungan dan tingkah laku. Kesempurnaan hanya  wujud dalam persekitaran utopia.

Tugas klinikal guru ekonomi ialah memujuk pelajar kritikal supaya meninggalkan zon penolakan, sebaliknya melihat keuntungan yang bakal diraih kelak apabila mencatat pencapaian gred yang bukan gagal (F) atau lulus sebahagian. Kata-kata semangat seperti 'di mana ada kemahuan, di situ ada jalan' barangkali boleh menyalakan semula obor iltizam mempelajari ekonomi yang belum padam sepenuhnya. Kemudian, secara ansur maju pelajar diajak memasuki pula zon keyakinan bahawa banyak perkara yang disangka mustahil pada suatu ketika dahulu berjaya dijelmakan sebagai teknologi termaju di tangan insan yang memiliki daya juang dan jati diri.

Tempoh pemulihan klinikal yang singkat menjelang hari peperiksaan bermakna keperluan analisis strategi dan taktikal pembelajaran. Bagi memberikan keadilan dan akses kecemerlangan, semua pelajar didedahkan dengan kemahiran generik pembelajaran ekonomi pada detik genting dan proses merancang penulisan jawapan kertas peperiksaan. Setelah itu, guru mengenal pasti bidang tumpuan pembelajaran yang dapat membantu pelajar membuat persediaan peperiksaan STPM sebenar.

Tiada istilah terlewat dalam pembelajaran asal sahaja pelajar tidak terlalu taksub dengan status quo yang tidak berkesan dan tidak berciri kejayaan. Segala unsur daya rintangan terhadap perubahan mesti dilemahkan dengan segera bagi memberi laluan kepada kemaraan daya pacu kecemerlangan. Guru ekonomi perlu menggunakan kaedah 'silap mata' supaya pembelajaran klinikal tidak kekal hambar dan janggal dalam kalangan kelompok sasaran yang terpilih.

Bab perakaunan pendapatan negara dan bab keseimbangan pendapatan negara yang panjang lebar itu boleh diolah dalam  laras penyampaian yang lebih santai, tetapi akur dengan kehendak pembelajaran makroekonomi yang piawai. Modul kertas spesimen atau latihan yang disediakan perlu ditadbir sejajar dengan tahap pembelajaran klinikal. Kesabaran guru dalam proses melayani rentak pembelajaran yang sedikit perlahan, insya-Allah bakal dihargai dan menjadi sebutan suatu hari nanti ...

No comments:

Post a Comment