Presiden Amerika Syarikat (AS) yang ke-44, Barrack Hussien Obama, telah pun menamatkan lawatan tiga hari di Malaysia tengah hari tadi (Isnin, 28 April 2014). Beliau seterusnya terbang ke Filipina bagi menyempurnakan rangka kerja lawatan rasmi ke empat buah negara Asia, termasuk Jepun dan Korea Selatan. Obama ialah pemimpin tertinggi bukan kulit putih pertama di negara kuasa besar itu walaupun ibunya berdarah kulit putih.
Obama memiliki susur galur keturunan Kenya di sebelah bapa beliau yang datang daripada keluarga Islam yang taat kepada agama. Namun, bapa Obama yang menuntut di AS telah mengahwini ibu Obama yang beragama Kristian. Obama pernah membesar di Meteng, Jakarta Pusat, kerana ibunya berkahwin pula dengan warga Indonesia setelah bapa kandungnya meninggal dunia.
Menarik sekali bahawa Obama masih mampu menyebut degan fasih beberapa ungkapan dalam bahasa Melayu dalam sesi ucapan beliau. Dalam sidang media di Putrajaya, Obama juga mengakhiri taklimat beliau dengan menyebut 'terima kasih banyak'. Obama juga tidak kekok ketika melafazkan insya-Allah apabila diminta supaya rantau umat Islam tidak dilayan dengan buruk.
Barrack Hussien Obama di masjid negara
sumber ambilan gambar di sini
Hal-ehwal keselamatan dan ketenteraan Jepun dan Korea Selatan memang terletak di bawah pentadbiran Amerika Syarikat ekoran perjanjian pasca-Perang Dunia Kedua yang menyaksikan Hiroshima dan Nagasaki ranap akibat bom atom AS. Filipina pula pernah menjadi sebahagian tanah jajahan AS selepas Sepanyol berundur dari negara kepulauan berkenaan. Malaysia pula tidak memiliki ikatan sejarah sebagaimana ketiga-tiga buah negara yang turut dilawati Obama, tetapi memiliki kepentingan strategik dan pengaruh yang kuat dalam kalangan anggota Pertubuhan Negara Asia Tenggara (Asean), Pertubuhan Negara Islam (OIC), Zon Aman, Bebas dan Berkecuali di rantau Asia Tenggara (Zopfan) dan Pergerakan Negara Berkecuali.
Dari segi ekonomi antarabangsa, Malaysia memiliki kawalan perairan zon ekonomi eksklusif di Selat Melaka, salah satu laluan perdagangan yang paling sibuk di dunia. Sejak sekian lama, pelabur AS telah bertapak di Malaysia dan membuka banyak ibu pejabat serantau syarikat multinasional mereka, terutama selepas pembangunan koridor raya multimedia (MSC) di Putrajaya dan Cyberjaya. Pelancong AS juga berduyun-duyun tiba di Malaysia bagi menikmati pengalaman percutian yang nyaman dan selamat.
Sebagai negara yang menuju status negara maju, tetapi dengan saiz pasaran dalam negeri yang relatif kecil, pergantungan Malaysia terhadap ekonomi antarabangsa masih besar. Maka, AS sebagai rakan dagang penting negara perlu diperkukuh walaupun AS memang pernah dianggap membuli negara kecil dengan melepaskan stok penimbal mereka bagi melemahkan kuasa tawar-menawar negara sasaran. Doktrin Amerika yang menganggap kepentingan rakyat mereka sebagai keutamaan teratas memang jelas.
Di samping bertemu pembesar negara, Obama sudi meluangkan masa dengan sesi dialog pemimpin pertubuhan bukan kerajaan tempatan (di hotel penginapan beliau), pemimpin belia serantau (di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya) dan masjid negara. Semua tempat yang dikunjungi Obama telah dipastikan tahap keselamatan maksimum. Malah, Bukit Bintang seakan-akan sepi sedikit apabila Obama menginap di Ritz Carlton di sana.
Saingan Russia dari segi pengaruh politik dunia dan saingan Cina dari segi ekonomi menuntut AS mencari jalan terbaik supaya AS tetap kekal di puncak kuasa. Walaupun AS kelihatan begitu tegas dari segi ketibaan warga asing di bumi mereka, mereka sentiasa mengalu-alukan bakat terbaik dari seluruh pelosok dunia untuk berkhidmat dengan mereka. Agensi kebangsaan angkasa lepas (Nasa) misalnya menggaji pakar terbaik Palestin dengan bayaran kira-kira USD setengah juta sebulan.
Dua wajah AS yang bercanggah antara positif dengan negatif perlu dilihat secara seimbang. Seluruh dunia sudah maklum tentang pengaruh lobi kaum Yahudi, serta kekuatan perisikan CIA dan Pentagon di AS. Namun, dari sudut yang lain, AS bersikap terbuka, misalnya perkongsian ilmu pengetahuan dan teknologi awam.
AS mungkin dibenci, digeruni dan disanjung secara sekali gus, sama seperti watak Obama yang mempamerkan kepimpinan era baru AS. Lawatan Obama ke Malaysia bertepatan dengan isu hangat TPPA dan MH370 yang masih belum muktamad. Semoga pada akhirnya Malaysia bakal beroleh kebaikan jua ...
No comments:
Post a Comment