Monday, July 14, 2014

BOLA SEPAK PIALA DUNIA: JERMAN CIPTA SEJARAH (OPEN GAME WITH TACTICAL SKILLS)

Teka-teki tentang pemenang Piala Dunia edisi Ola Brasilia 2014 sudah terjawab. Pemain gantian kepada Miroslav Klose ketika saingan masa sebenar tinggal dua minit, Mario Goatze mencetak gol kemenangan Jerman pada minit ke-113 masa tambahan. Goetze mengulangi sejarah 2010 Andres Iniesta yang juga pemain tengah Sepanyol yang menjulang kejayaan negaranya buat pertama kali (laporan penuh klik di sini).

Tuah yang dibawa oleh Goetze sekali gus membenam gambaran hebat yang diberikan kepada Lionel Messi, tonggak Argentina, yang mensia-siakan peluang menyamakan kedudukan pada minit terakhir masa tambahan 120 minit permainan apabila dihadiahi tendangan bola mati, iaitu sepakan percuma tidak jauh dari kotak penalti Jerman. Tonggak Argentina yang lain seperti Sergio Aguiro (menantu Maradona), Gonzalo Higuain dan Marcos Rojo juga sukar memperoleh ruang untuk melepaskan rembatan kencang tepat ke arah pintu gol Jerman. Penyokong tegar Argentina, termasuk kanak-kanak, kelihatan sugul sehingga ada yang menangis.

Kejayaan berkenaan meletakkan Jerman berkedudukan sama dengan Itali dari segi kejuaraan empat kali Piala Dunia dan hanya ketinggalan satu gelaran berbanding dengan tuan rumah kejohanan kali ini,Brazil. Lebih manis buat Jerman kerana muncul sebagai pasukan pertama dari luar benua Amerika Latin memenangi Piala Dunia di tanah bekas jajahan Sepanyol, kecuali Brazil (Portugis) itu. Argentina terpaksa berpuas hati dengan rekod dua kejuaraan termasuk pada era Diego Maradona dengan jaringan tangan pada tahun 1998 dahulu.

Brazil pula terus tercalar apabila sekali lagi kecundang 0-3 di tangan Belanda pada penentuan tempat ketiga dan keempat sehari sebelum perlawanan akhir. Kehadiran semula kapten pasukan, Thiago Silva tidak membawa sebarang impak, sebaliknya serba tidak menjadi. Brazil tidak lagi digeruni oleh mana-mana pasukan lawan tradisi mereka selepas ini, kecuali muncul bintang hebat yang memberi inspirasi kepada rakan sepasukan.

Tarikh pertandingan yang membabitkan bulan puasa juga menarik perhatian untuk dibincangkan. Semakin banyak pemain yang beragama Islam berjaya merebut tempat dalam pasukan elit dunia seperti Karim Benzema (Peranchis), Mesut Ozil, Sami Khadiera (Jerman), serta majoriti pemain Islam untuk Algeria, Bosnia Herzegovina dan Iran, serta sebahagiannya dalam skuad Ivory Coast, Ghana, Belgium dan Switzerland. Namun, kenyataan terbuka beberapa orang pemain bahawa mereka tidak berpuasa (atas nasihat pakar) bukan suatu tindakan yang bijaksana. 

Usai Piala Dunia, perhatian peminat sukan bakal tertumpu pula terhadap Sukan Komanwel yang membabitkan negara bekas jajahan Inggeris, iaitu kejohanan sukan menyeluruh kedua terbesar selepas Olimpik musim panas. Acara bola sepak yang sering dianggap sebagai perebutan ibu segala pingat emas akan membariskan pemain di bawah usia 23 tahun sahaja, kecuali maksimum dua atau tiga pemain yang dibenarkan. Dalam pada sibuk melayan acara sukan,tidak usah dilupakan nasib penduduk Gaza yang berhadapan dengan rejim haram tel Aviv ...

No comments:

Post a Comment