Tuesday, July 8, 2014

KEKALAHAN BESAR 1-7 BRAZIL DI TANGAN JERMAN, SUATU IKTIBAR (WORLD CUP SOCCER SHOCK)

Perlawanan separuh akhir bola sepak Piala Dunia pertama antara pasukan tuan rumah kejohanan, iaitu Brazil menentang Jerman bertukar menjadi antiklimaks. Jangkaan bahawa bakal berlaku pertembungan yang hebat dan pertarungan yang mendebarkan tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya, Jerman yang berhempas pulas ketika saingan peringkat kumpulan membelasah skuad samba tanpa belas kasihan.

Ketiadaan Neymar yang cedera akibat terjahan keras pertahanan Colombia pada peringkat suku akhir, serta ketua pasukan, Thiago yang digantung perlawanan gara-gara dilayangkan kad kuning kedua menjejaskan rentak permainan skuad bimbingan Scholari sebentar tadi. Penjaga gawang, Julio Cesar, 35, yang sebelum ini dijulang sebagai hero menyelamatkan sepakan penalti kelihatan longlai menyaksikan bola membolosi pintu gol beliau. Pendek kata, sejarahpahit bola sepak Brazil sudah terpahat dan 200 juta rakyat mereka berputih mata kali ini.

Gol sagu hati Oscar pada minit terakhir perlawanan hanya sebagai penawar kekecewaan betapa musnahnya status selaku pasukan impian. Jerman membuktikan keupayaan sebenar mereka sebagai juara Piala Dunia sebanyak tiga kali, lalu memiliki kesempatan terbaik melakukannya lagi buat kali keempat. Hanya Argentina atau Belanda yang tinggal untuk menghalang kemaraan negara yang pernah terbahagia dua itu daripada terus melakar lembaran kegemilangan bola sepak era pascamoden.

Pemain veteran Jerman, Miroslav Klose, 35, juga membuktikan sumbangan orang lama dalam saingan peringkat tertinggi tidak boleh dipandang sebelah mata. Malah, Klose muncul sebagai penjaring gol terbanyak Piala Dunia dengan gol ke-16 beliau, sekali gus memadam catatan 15 gol oleh bekas bintang Brazil, Ronaldo yang turut diundang sebagai pengulas siaran langsung pesta gol terbesar dalam peringkat separuh akhir Piala Dunia.

Skuad Brazil mungkin tempang tanpa kelibat Neymar dan Thiago Silva, tetapi percaturan Jerman yang begitu tersusun ialah jawapan sebenar terhadap keputusan perlawanan yang bakal menjadi buah mulut penganalisis dan peminat sukan nombor satu dunia itu. Pergantungan berlebihan terhadap seseorang tonggak pasukan memang membawa padah. Strategi permainan yang menghiburkan dan cantik juga tidak menjamin kejayaan justeru cetakan gol adalah penentu keputusan perlawan.

Dari segi yang lain, kejutan yang berlaku dengan segera juga dibuatbahan parodi (jenaka) dalam aplikasi What's App dan media sosial yang lain. Misalnya Scholari akan lari, dialog filem Ibu Mertuaku, 'alahai Kassim' diubah kepada 'alahai Brazil' dan Hitler menerima jawapan rakyat Jerman bahawa sarapan pagi mereka kali ini ialah Brazil. Sebenarnya, parodi yang berbaur kurang senonoh juga dipaparkan dengan begitu kreatif yang mungkin mengurangkan pahala puasa kita.

Pengacara siaran langsung RTM menyifatkan samba Brazil sudah jadi sambal belacan, manakala pihak yang menganggap keputusan perlawanan bagaikan sudah diatur cuba mengaitkan kegiatan perjudian (bookies) dan ugutan mafia. Jenaka lain termasuklah bomoh Brazil sudah tersalah rantai kaki pemain negara sendiri. Jumlah jaringan gol sebesar itu lebih layak untuk permainan futsal!
Ketika Sepanyol tersingkir seawal saingan kumpulan, media Brazil menyiarkan parodi tentang The Titanic, lalu bagaimanakah media Sepanyol boleh memulangkan paku buah keras? Penghormatan terhadap kehebatan pasukan Brazil pudar walaupun hakikatnya mereka juga telah hampir diaibkan oleh Mexico di peringkat kumpulan, serta hanya mara melepasi suku akhir menerusi penentuan sepakan penalti ke atas Colombia. Maka, nilai bayaran perpindahan dan juga gaji mingguan pemain Brazil yang berkelana di kelab-kelab ternama di Eropah menjadi tanda tanya.


Nama Brazil yang begitu gah hanya bersandarkan pencapaian silam era Pele, Zico dan Ronaldo. Kaka dan Neymar tidak dapat mengembalikan sejarah kegemilangan itu apabila tidak beroleh sokongan mantap daripada rakan sepasukan. Nampaknya nasib Brazil mirip pasukan England yang hanya dapat bermegah dengan liga perdana mereka yang mengumpulkan pemain, pengurus dan pemilik kelab terbaik di dunia, tetapi skuad kebangsaan sekadar di takuk lama.

Malaysia boleh belajar daripada reaksi Joachim Low, pengurus Jerman yang mengatakan bahawa bagi menghadapi obsesi Brazil, pasukan kendalian beliau perlu bertenang dan berani (calm, cool and courage). Gol-gol Jerman dicetak oleh Thomas Muller (minit ke-11), Miroslav Klose (23), Toni Kroos (25, 26), Sami Khedira (29) dan Andre Schuerrle (69, 79). Mujur rembatan kencang Mezut Ozil pada minit-minit akhir permainan tersasar sedikit ...

No comments:

Post a Comment