Semalam (petang Jumaat, 13/3/15 = 22 Jamadil Awal 1436), berhampiran Slim River,
terdapat tiga buah motosikal ditunggang secara melawan arus. Sebuah motosikal
yang turut dibonceng meluncur laju betul-betul dekat dengan pemisah laluan (divider)
yang sempit dan dengan permukaan yang tidak rata. Dua buah motosikal lagi
berada di lorong kecemasan di sebelah kiri.
Penulis blog (PB) seisi keluarga memang terkejut
kerana buat pertama kali menyaksikan sendiri pemanduan yang sangat berbahaya
kerana dengan hanya sedikit kesilapan, nahas boleh terjadi. Banyak andaian
boleh dibuat, tetapi yang pasti ialah semua penunggang dan pembonceng motosikal
tersebut berada di bawah pengaruh akal yang tidak siuman lagi. Tindakan berani
mati itu suatu perbuatan yang sangat melampau.
Pemanduan berhemah nyata bukan menjadi pilihan
pemandu kenderaan sama ada besar mahupun kecil, terutama di laluan lebuh raya.
Kenderaan yang bergerak dengan kelajuan antara 110 hingga 120 kilometer satu
jam sudah termasuk dalam kategori lembap. Kenderaan di belakang akan membuat
provokasi dengan mengekori rapat, serta mengisyaratkan lampu tinggi supaya ke
tepi sekali.
Apabila diperhatikan kemudian, kenderaan yang
memotong tadi hanyalah Kancil, Viva, Kelisa, Kenari, Myvi atau Alza yang
dianggarkan bergerak dengan kelajuan melebihi 150 kilometer satu jam. Maka,
tidaklah menghairankan jika kenderaan mewah seperti BMW, Mercedes, Audi,
Volkswegen atau Accord, serta pacuan empat roda SUV mencecah kelajuan
hampir 200 kilometer satu jam. Seorang pemandu Vellfire (kereta reckon
Toyota) memberitahu PB bahawa perangkap had laju tidak dapat membaca pergerakan
melebihi 170 kilometer satu jam.
Bertentangan dengan kelajuan tinggi ialah
pemanduan yang keterlaluan perlahan dan santai. Kenderaan berat seperti lori
sepuluh tayar bergerak macam kura-kura ketika mendaki. Masalah berlaku apabila
terdapat lori berat memotong lori berat, lalu mengakibatkan kelancaran
pergerakan kenderaan yang lain terjejas dengan teruknya.
Selain itu, pemandu kenderaan di lebuh raya
didapati menukar lorong sesuka hati setelah memberi lampu isyarat tanpa
mempedulikan pergerakan kenderaan di belakang. Hal itu selalu terjadi apabila
mereka terdesak kerana mengekori kenderaan yang dipandu perlahan dan santai.
Kemudian, tanpa rasa bersalah, dengan selamba, mereka kembali ke lorong kiri.
Tiada jaminan bahawa semua pemandu kenderaan di
jalan raya dan lebuh raya memiliki lesen yang sah. Oleh sebab saiz kanak-kanak
sekarang yang tinggi lampai dan berisi, mereka kelihatan seperti orang dewasa
apabila mengenakan pakaian kasual. Maka, terdapat budak sekolah rendah yang
sedemikian memandu kenderaan sama ada dengan izin atau tanpa izin ibu bapa
mereka.
Penunggang motosikal didapati lebih nekad kerana
semakin berani melanggar lampu isyarat merah dengan menggunakan anggaran
penglihatan mata kasar sendiri. Ironinya, orang dewasa yang memboncengkan anak
kecil mereka ke sekolah turut berbuat seperti itu. Segelintir penunggang
motosikal juga dengan selamba tidak memakai topi keledar.
Gelagat pemandu kenderaan di Malaysia masih
di takuk lama, sama seperti di negara mundur seperti India dan Pakistan.
Walaupun pemandu di Malaysia jarang-jarang menggunakan hon, tetapi
kebanyakannya tiada rasa hormat terhadap pemandu lain yang berjiran dengan
mereka di jalan raya dan lebuh raya. Mereka seperti berasa puas hati jika dapat
menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.
Pendidikan keselamatan jalan raya di Malaysia
masih menempuh cabaran hebat andai kata gelagat pemandu kenderaan dijadikan
ukuran tahap kesedaran sivik pemanduan berhemah. Selain dasar automatif
nasional (DAN), sistem jalan raya juga memerlukan transformasi yang tuntas sama
ada jalan kampung, jalan bandaran, jalan negeri, jalan persekutuan mahupun
jalan persendirian. Pengendali lebuh raya tol juga perlu mengubah sistem
kutipan tol yang banyak menyusahkan pergerakan kenderaan, terutama pada waktu
puncak kesesakan dan musim perayaan ...
No comments:
Post a Comment