Friday, September 25, 2015

ISLAM AGAMA ILMU (VIRTUE AND WISDOM IN LIFE)

Mimbar Jumaat menegaskan betapa Islam senantiasa sejajat dan selari dengan kekuatan ilmu pengetahuan. Tokoh-tokoh ilmuan Islam telah meneroka dan mengembangkan segala cabang ilmu, sama ada berteraskan wahyu (revealed sciences) mahupun ilmu bantu (acquired sciences). Disiplin ilmu moden yang berteraskan dapatan penyelidikan yang autentik juga sejajar dengan tuntutan tadabbur ayat suci al-Quran dan tanda keagungan Ilahi di bumi (ayat manzurah, ayatullah fi'l-kaun).

Bidang astronomi, anatomi dan fisilogi, fizik, kimia, biologi, kejuruteraan, matematik, muzik dan sains gunaan yang lain banyak terhutang budi kepada sarjana Islam silam. Sesuai dengan konsep bahawa kebijaksanaan ialah barang yang hilang daripada orang-orang beriman (al-hikmah dolatul mukmin - hadith), sarjana Islam juga mengembangkan bidang ilmu yang telah dipelopori oleh tamadun Yunani, misalnya disiplin falsafah, mantik dan seni. Sudah pasti berlaku proses pemurnian justeru Islam menetapkan paksi ilmu terhadap tawhidic weltanschauung.
Penulis blog (PB) berkesempatan singgah solat Jumaat di Kampung Pasir Dula, Hulu Terengganu, kira-kira 330 kilometer dari Ipoh. Walaupun orang sebelah pantai timur lazimnya pekat dengan loghat masing-masing, khatib merangkap imam bertugas tetap menggunakan sebutan baku dengan lancar. PB seolah-olah berada di sebuah masjid di Kuala Lumpur.

Tajuk tentang Islam sebagai agama ilmu memang sudah biasa disentuh sejak di bangku sekolah rendah. Peristiwa Nabi menerima wahyu pertama (Iqra') di gua Hirak tidak pernah ketinggalan dijadikan dalil dan hujah. Islam menolak kejahilan (ignorance) yang hanya menjerumuskan insan ke arah kerosakan di muka bumi (al-fasad).

Kelemahan yang berlaku dalam kalangan umat yang begitu mudah mengikut telunjuk kaum kuffar dewasa ini berpunca daripada jauhnya mereka daripada penerokaan ilmu. Umat Islam kini lebih cenderung sebagai pengguna ilmu dan kurang ke arah peneraju ilmu. Masyarakat yang bergantung kepada orang lain tidak memiliki kekuatan yang tulen.
Sebahagian besar dunia Islam pula sangat ketinggalan dalam pencapaian ilmu pengetahuan. Nisbah buta huruf, akses pengetahuan minds-on dan hands-on juga masih membimbangkan. Pemerintah negara mundur lebih suka membiarkan rakyat mereka demikian kerana si jahil menjadi 'makanan' si cerdik.

Kekurangan ilmu akan diisi oleh emosi (perasaan yang mendatang) dan sentimen (perasaan yang kekal). Apabila keunggulan emosi tidak dibimbing oleh ilmu, maka insan akan bertindak secara ad-hoc, melulu dan terbabas daripada sebarang bentuk kawalan yang bersifat normatif. Pengaruh buruk juga mudah mengatur hidup masyarakat yang jahil akibat ketiadaan ilmu.

Masyarakat Islam yang sebenar akan sentiasa menghargai ilmu, serta sentiasa memburu kecemerlangan. Risalah dakwah hanya benar-benar berkesan dan sampai andai kata pencapaian kecemerlangan ilmu dalam kalangan umat berjaya dikembalikan. Semoga para jemaah di Kampung Pasir Dula, termasuk awang bangla yang berdiri dalam pick-up di atas beroleh kesedaran dan kesediaan ke arah memartabatkan ilmu pengetahuan sebagai cinta hakiki mereka ...

No comments:

Post a Comment