SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, September 24, 2009

KEPIMPINAN PENGETUA SEKOLAH YANG BERKESAN (SCHOOL LEADERSHIP MAKE SENSE)



Orangnya bijak laksana. Berpenampilan kemas dan segak. Percakapannya sederhana, mesejnya jelas dan disulami unsur kecindan. Tidak lokek berkongsi pengalaman profesional. Berpegang kepada prinsip bertenang dalam segala tindakan.


Tuan Haji Nojumuddin bin Abdul Samad merupakan antara siswazah terawal Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ketika itu beroperasi di kampus sementara bersebelahan Universiti Malaya (UM), Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Beliau mendapat pelbagai tawaran jawatan justeru pencapaian cemerlang (2nd class upper) dalam bidang Psikologi. Antara rakan seangkatan beliau ialah Tan Sri Dr Nordin Kardi, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM). Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Haji Alimuddin Md Dom juga siswazah dalam bidang dan dari universiti yang sama pada suku ketiga 1970-an.

Berasal dari Selangor tetapi bertapak kukuh dalam kerjaya keguruan di Johor. Kini, Tuan Haji Nojumuddin ialah pengetua di Sekolah Menengah Sains (SMS) Johor, Kluang. Beliau berstatus Jusa C, iaitu gred perjawatan tertinggi yang boleh disandang di peringkat sekolah. Bilangannya di seluruh Negara masih boleh dikira dengan jari sahaja!



Sebagai pengetua cemerlang, Tuan Haji Nojumuddin telah mendapat pendedahan langsung tentang kepimpinan pengetua di dalam dan di luar negara. Kewibawaan beliau terserlah apabila berjaya mengemudi SMS Johor berada pada kedudukan ketiga sekolah berasrama penuh (SBP) peringkat kebangsaan secara berturut-turut tahun. Warga SMS Johor ditanamkan sikap menghormati SBP yang lebih ternama seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar, Kolej Tunku Kursiah, Sekolah Tun Fatimah, Sekolah Seri Puteri dan Sekolah Alam Shah, namun dalam masa yang sama sedia bersaing dengan mereka.




Dengan kepakaran psikologi, Tuan Haji Nojumuddin tidak perlu banyak bercakap bagi memotivasikan warga SMS Johor, sama ada guru, kakitangan mahupun murid. Beliau mengaplikasikan konsep dorongan kendiri dalam kalangan warga SMS Johor demi kemajuan sekolah. Beliau tidak perlu meninggikan suara ketika mengendalikan kes disiplin murid dan hal-ehwal kerja, sebaliknya menolong klien dan subordinat beliau menerokai hujung pangkal kes mereka sendiri sehingga akur akan jalan keluarnya.






Tuan Haji Nojumuddin memandu BMW dan Mercedes, di samping kereta rasmi penyandang Jusa C, iaitu Perdana V6. Beliau bukan hendak bermegah, tetapi memandangkan jarak kediaman di Muar dengan SMS Johor kira-kira 150 kilometer, beliau harus bergerak seawal pukul 4.00 pagi dan tiba di sekolah selewat-lewatnya 6.30 pagi. Beliau sanggup berulang-alik begitu jauh sebagai suatu pengorbanan untuk keluarga yang tersayang.

Tuan Haji Nojumuddin juga akan memastikan segala urusan yang berkaitan pentadbiran sekolah dan asrama dibereskan tanpa tergesa-gesa untuk bergegas pulang.Tugas rasmi dan mesyuarat di luar Johor juga memerlukan kenderaan yang baik, selesa dan tidak mudah meragam. Jadi jika ada mana-mana warga SMS Johor cuba memberi alasan lewat tiba di sekolah, mereka perlu berfikir dua tiga kali!

Sumbangan Tuan Haji Nojumuddin di peringkat negeri dan kebangsaan terlalu panjang senarainya. Di Johor, beliau antara teraju utama projek BOS (Blue Ocean Strategy). Projek BOS memperincikan langkah inovatif dan kreatif bagi menjamin kecemerlangan pembelajaran yang berterusan di sekolah merangkumi kepimpinan sekolah, guru, kakitangan, murid dan ibu bapa. Semua sekolah diberikan pengkhususan strategi berdasarkan kumpulan Pejabat Pelajaran Daerah masing-masing.

Tuan Haji Nojumuddin yang bakal bersara pada penghujung 2010 berazam untuk terus menabur bakti selagi berdaya. Pesanan beliau kepada guru-guru muda tidak pernah lekang daripada menyebut contoh Junjungan Baginda Salallahu Alaihi Wasallam yang mendambakan keseluruhan hidup untuk risalah tawhid dan kelangsungan ummah. Bidang pendidikan menyediakan peluang terbaik untuk membina sebuah masyarakat idaman, masyarakat budiman dan masyarakat penyayang.

Sepanjang mengenali Tuan Haji Nojumuddin, penulis blog berpendapat bahawa pengalaman beliau sebagai pendidik dan pemimpin sekolah bagaikan manikam yang amat tinggi mutunya. Usaha menulis memoir pemimpin pendidikan seperti Tuan Haji Nojumuddin akan menjadi naskhah dan khazanah rujukan kepimpinan sekolah yang amat berharga. Selamat meneruskan perjuangan Tuan Haji Nojumuddin bin Abdul Samad…

No comments: