Tuesday, November 24, 2009
TENGKUJUH PERSIS RATAPAN ALAM (THE WET SEASON IN THE EAST COAST OF PENINSULA)
Setitik hujan mungkin tidak berbekas. Namun, apabila hujan mulai turun mencurah-curah, persediaan yang biasa sudah tidak bersesuaian. Di Filipina, ratusan jiwa terkorban dalam banjir luar biasa, manakala di utara England, buat pertama kali dalam seribu tahun, hujan lebat yang berterusan menenggelamkan sebahagian besar petempatan. Di Bangladesh pula, rakyatnya sudah mangli dengan fenomena banjir.
November hingga Mac ialah tempoh tiupan angin monsun timur laut di Laut China Selatan yang membawa bersama-samanya tompokan mega mendung yang berpotensi menyirami bumi semahu-mahunya. Maka, penduduk Kelantan, Terengganu dan Pahang diselimuti kedinginan hingga ke tulang sum-sum. Tempiasnya turut dirasai di negeri-negeri utara seperti Perlis, Kedah dan Perak.
Apa khabar calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)? Bolehlah kalian melelapkan mata pada waktu malam tanpa perlu putaran kipas angin atau belaian pendingin hawa. Dengan tidur yang mencukupi, kalian bisa menulis jawapan dengan lebih baik dan lengkap. Hendaknya...
Penulis blog (PB) ingin berkongsi dua pengalaman hujan lebat yang mengakibatkan kenderaan terperangkap dalam kesesakan yang sangat panjang jaraknya dan jangka masa pemanduan yang berkali-kali ganda. Beberapa tahun dahulu ketika melalui Lebuh Raya Timur Barat (sebenarnya jalan persekutuan) yang menghubungkan Gerik, Perak dengan Jeli, Kelantan, berlaku runtuhan tanah yang menutupi laluan. Banyak pemandu kereta yang mengambil keputusan berpatah balik ke arah Gerik justeru tidak sanggup menunggu hingga kerja-kerja mengalihkan halangan tanah selesai.
Hampir semua pemandu lain seakan-akan pasrah. Mereka mematikan enjin dan berbual-bual dengan pengguna-pengguna lebuh raya yang senasib. Sebuah lori kecil yang mengangkut buah rambutan menjadi sasaran orang ramai yang dahaga dan lapar. Nampaknya buah rambutan mereka tidak perlu lagi dipasarkan ke Bukit Bunga atau Rantau Panjang. Itu hikmah namanya...
PB membuat keputusan yang bertentangan. Berita mulut ke mulut bahawa kawasan runtuhan sedang dibersihkan meyakinkan PB bahawa dengan cara maju terus sahaja bakal menjimatkan masa. Bayangkan bahawa hampir satu jam kereta Wira PB memotong deretan kenderaan yang pegun. Tiada yang peduli.
Telahan PB benar! Setiba di lokasi runtuhan, laluan mula dibuka dan PB antara yang terawal melewatinya. Khabarnya beberapa ketika selepas itu tanah menggelongsor lagi. Risiko kepada yang menunggu ialah hari semakin kelam, makanan dan minuman kehabisan, dan bacaan meter minyak kian mencemaskan. Tubuh melekit dan merimaskan. Jika perut memulas, lagi haru! Alamat kena istinjak...
Sejak peristiwa itu, PB menyimpan nombor talian bilik gerakan polis kawasan sepanjang laluan. Namun, peristiwa tanah runtuh tidak pula berulang. Alhamdulillah, syukur...
Peristiwa kedua juga berlaku berselang tahun, tetapi kali ini lokasinya berhampiran Lepar, menghala ke Tol Bentong. Hujan tidak menunjukkan sebarang tanda untuk seriat. Pergerakan kenderaan makin lesu longlai. Pendingin hawa sengaja tidak dimatikan kerana akan menyebabkan kabus pada cermin kenderaan yang boleh mengundang bahaya.
Akhirnya, punca kesesakan terjawab juga. Di sebelah kanan pembahagi jalan bagaikan sungai yang mengalir deras. Semua kenderaan tersadai di pinggir jalan. Budak kampung yang menunggang basikal sambil meranduk banjir hanya nampak bahagian badan dan handle basikalnya. Kalau ada longkang, lopak atau kayu tajam, macam mana?
Dalam pada itu, air di laluan kanan bagaikan meronta-ronta untuk melompat ke laluan yang PB lalui. Hanya doa dan harapan mampu dilafazkan. Pemandu yang hilang sabar atau mungkin sukatan petrol di aras kritikal sudah nekad untuk menggunakan laluan kecemasan di sebelah kiri deretan kenderaan lain. Akhirnya makin banyak pemandu yang ikut serta!
Kesejukan dalam dan luar kenderaan menyebabkan pundi-pundi air seni menjadi penuh. Memandangkan pergerakan kenderaan yang bagaikan bayi baharu belajar merangkak membolehkan PB bertukar tempat duduk memandu dengan zaujah. Kami sudah berjanji tentang jarak maksimum daripada poin PB keluar daripada kenderaan. Cerita selanjutnya biarlah jadi kenangan PB sahaja... Masa perjalanan biasa selama lapan jam menjadi 13 jam!
Ada satu lagi pengalaman PB di tengah-tengah bandar Permaisuri, Jertih. Akibat tersekat, segala hotel, rumah tumpangan dan warung makan diserbu. Akhirnya tempahan bilik penginapan tidak bersisa, dan semua premis makanan meletakkan notis “MAKANAN DAN MINUMAN HABIS”. Sudah menjadi kebiasaan PB dan keluarga membawa sedikit bekalan makanan untuk perjalanan jauh. Tiada masalah mempelawa orang lain yang sudi menjamahnya.
Hujan lebat menenggelamkan kawasan rendah atau kawasan yang tidak mempunyai sistem perparitan yang baik. Air yang bertakung mengapungkan sampah sarap dan mungkin juga sisa kumbahan yang tidak dirawat. Keadaan itu memudahkan proses penduaan bakteria, khususnya kolera yang boleh menyebarkan wabak taun.
Sebahagian mangsa banjir tepaksa dipindahkan. Mereka ditempatkan di dewan terbuka yang tidak memungkinkan berlakunya aktiviti persendirian seperti di rumah masing-masing. Tekanan emosi dan kemurungan boleh bertukar menjadi trauma. Namun, ada juga yang mengambil kesempatan bagi melakukan perkara-perkara yang melanggari batas susila kebanggaan kita...
Penoreh getah mendekam di teratak usang menantikan hujan reda. Nelayan hanya mampu merenung jala dan pukat yang tergantung di dinding. Mereka perlu panjang akal untuk menjana pendapatan alternatif dengan aktiviti produktif yang lain. Jika hanya bermenung dan meratap, alamat dapur tidak berasap dan seisi keluarga menderita perut berkeroncong, serta dibalut kedinginan. Alasan cuaca tidak lagi relevan kerana itu bukan pengalaman pertama!
Bagaimana dengan orang-orang kaya yang selesa di banglo mewah sambil berhilai tawa dengan anak-pinak dan keluarga? Ada yang terbang ke destinasi luar negara melepaskan diri daripada cerita hujan dan banjir di kawasan kejiranan. Tega mereka begitu...
Tengkujuh ialah ujian Ilahi. Tengkujuh menguji ketabahan jiwa. Tengkujuh menguji haloba pihak yang memiliki peluang meraih laba. Tengkujuh menguji kemurahan si berada. Tengkujuh menguji ketangkasan petugas keselamatan negara. Tengkujuh menguji persediaan pelan luar jangka pihak berkuasa. Tengkujuh menguji keimanan kita semua!
Allahumma Ya Rabbana. Selamatkan kami daripada bala bencana. Amin Ya Rabbal Alamin...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment