SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, November 26, 2013

KENAIKAN HARGA BERLELUASA SERLAH WAJAH KAPITALISME (THE EVIL RULES WITHOUT EMPATHY)

Isi rumah berusaha memaksimumkan kepuasan, firma berusaha memaksimumkan keuntungan, dan kerajaan berusaha memaksimumkan kebajikan. Teori tentang peranan pelaku ekonomi menyebut demikian. Isi rumah membentuk bilangan pelaku ekonomi yang paling ramai, tetapi mereka sukar sekali utnuk bersepakat dalam konteks membuat keputusan dan agihan sumber sehingga menjadikan kuasa tawar-menawar mereka menjadi sangat lemah.

Isi rumah ialah pemilik sebenar faktor pengeluaran, iaitu buruh, tanah, modal dan usahawan. Mereka bersaing di pasaran faktor untuk memperoleh pendapatan bagi setiap faktor tadi, iaitu upah, sewa, bunga (dalam sistem muamalat: dividen, nisbah perkongsian risiko) dan untung. Dalam proses itu (model pusingan aliran pendapatan), segelintir isi rumah akan muncul sebagai usahawan kaya raya yang menguasai sumber, manakala majoriti isi rumah berkongsi baki sumber yang ditinggalkan menerusi persaingan sengit sebagai pengguna biasa.

Pengguna tidak bersatu padu untuk membentuk kuasa tawar-menawar atau memberi tekanan kepada penjual (usahawan). Pengguna juga terperangkap dalam budaya utilitarian (mementingkan faedah terhadap diri sendiri) dan mudah dieksploitasi menerusi strategi pemasaran yang licik. Pengguna seolah-olah rela menjadi mangsa kepada sifat tamak usahawan yang tidak berhati perut.

Keuntungan ialah pendapatan kepada usahawan atas sebab kesanggupan menanggung pelbagai jenis risiko dan kos lepas. Menerusi jumlah jualan secara besar-besaran usahawan yang mengendalikan sesebuah firma dapat menikmati faedah ekonomi bidangan. Kos pengeluaran per unit (kos purata) dapat diturunkan bagi membolehkan firma menawarkan harga keluaran yang lebih rendah kepada pengguna.

Masalah yang dihadapi oleh pengguna ialah kenaikan harga yang berleluasa, dan mereka langsung tidak berdaya untuk membuat bantahan yang berkesan atau signifikan. Barang keperluan asas, iaitu makanan, pakaian dan rumah mengalami peningkatan harga yang luar biasa dari masa ke masa. Demikian juga dengan harga kenderaan persendirian yang menjerut leher isi rumah apabila terpaksa menanggung beban hutang yang tidak berkesudahan.

Peranan kerajaan dalam ekonomi ialah untuk memaksimumkan kebajikan, sama ada kebajikan pengguna mahupun kebajikan pengeluar (biasanya firma kecil dalam pasaran persaingan sempurna). Kerajaan campur tangan menerusi pelbagai dasar makro, terutama dasar fiskal dan dasar kewangan. Kerajaan juga membiayai pengeluaran barang awam menerusi sistem agihan semula pendapatan faktor supaya matlamat kebajikan dapat tercapai.

Dengan pengecualian kepada sekumpulan usahawan budiman, sebahagian besar usahawan menjadi semakin rakus dan tamak mengumpul timbunan harta kekayaan seperti kisah Qarun yang akhirnya ditelan bumi akibat keangkuhan dan kufur. Usahawan rakus yang membentuk kaum pemodal (kapitalis) memang licik untuk menyembunyikan wajah jahat mereka menerusi aktiviti yang bersifat murah hati. Mereka muncul dalam majlis amal tertentu yang mendapat liputan media, serta menaja program kebajikan yang terpilih.

Usahawan kapitalis seperti itu tidak ubah seperti raja dadah Colombia yang berjaya mengeksploitasi kejahilan dan kemiskinan hampit dua juta orang pengikut mereka sehingga muncul bagaikan dewa pujaan dalam sebuah wilayah jajahan autonomi yang sukar didekati oleh pihak berkuasa. Kaum kapitalis hidup serba mewah atas susah payah dan keringat orang bawahan dan suruhan mereka yang sampai ke peringkat bersabung nyawa. Kegagalan untuk memulau kegiatan kaum kapitalis menyebabkan pengguna terus tertindas dan menjadi mangsa.

Teguran terhadap kaum kapitalis tidak bermakna bahawa seseorang itu sudah menjadi sosialis atau lebih teruk sebagai pendukung komunisme yang menuntut kesamarataan. Jari di tangan dan di kaki pun tidak sama besar dan panjang setiap satu, melainkan dalam watak kartun Nancy dan Slugo. Harta kekayaan tidak patut berlegar dalam kalangan segelintir orang kaya supaya sesebuah ekonomi tidak mengalami kemusnahan akibat kejatuhan perbelanjaan agregat dalam jangka panjang.

Negara maju mempunyai peraturan dan sekatan terhadap pemilikan harta kekayaan dan amalan monopoli. Sudah sampai masanya kegilaan usahawan yang rakus dan tamat mengekploitasi kejahilan pengguna yang enggan bersatu padu dikenakan kawalan yang tertentu. Jika dibiarkan, peranan kerajaan untuk memaksimumkan kebajikan akan dipandang sepi dan kegiatan ekonomi terus menjadi tidak sihat ...

No comments: