Thursday, March 12, 2020
SKRIP JURUACARA PERSARAAN 2020 (FAREWELL SPEECH WITH STYLE)
TEKS PENGACARA MAJLIS PERSARAAN CIKGU IBRAHIM
(Q: ketibaan Cg Ibrahim dan isteri)
Majlis
mengumumkan ketibaan Encik Ibrahim bin
Ahmed (dan isteri, Puan Norhanan binti Mohd Nor) serta tetamu kehormat.
Hadirin
diminta terus bersedia untuk nyanyian lagu ‘Negaraku’ dan ‘Negeri Perak’
(Q:
Usai nyanyian, persilakan tetamu dan hadirin mengambil tempat)
Terima kasih. Tetamu dan hadirin
dipersilakan duduk.
Assalamu alaikum warahmatullahi
wabarakatuh
Salam sejahtera dan selamat pagi
Yang Diraikan Encik Ibrahim, dan isteri, Puan
Norhanan binti Mohd Nor
Yang Berusaha Encik Sit Wai Yin, pengetua
cemerlang SMK St Michael, Ipoh
Yang Dihormati Brother __________________________,
Pengarah La Salle Centre
Yang Dihormati, Ir Simon Yeong Chin Chow, Pengerusi
PIBG
Encik Joseph Michael Lee, mantan pengerusi
PIBG
Puan Chan Nyook Ying, mantan pengetua SMI
selaku wakil Lembaga Pengelola, BOG
En_________________________, wakil Gapis
Tetamu-tetamu yang dihormati
Barisan pentadbir, guru dan warga SMK St
Michael, Ipoh sekalian
Mari pergi ke Tasik Chini
Walau harus menyinsing lengan
Dua dekad kelibat di sini
Selepas ini sebagai kenangan
Saya masih ingat tarikh 12 Ogos, 2005, iaitu pertama kali saya
mengenali sosok hebat yang diraikan, Cikgu Ibrahim bin Ahmed. Saya melapor diri
di SMI ini dan langsung dibawa oleh Penolong Kanan ketika itu, Encik Tawhid
Ahmad menemui presiden kelab staf. Orangnya tinggi lampai dan ada iras2 mat
saleh. Selesai masalah tempat duduk saya di bilik guru. Terima kasih Cikgu Ibrahim.
Hari ini, Jumaat, penghulu segala hari,
tanggal 13 Mac 2020 bersamaan 18 Rejab 1441 Hijriyyah mencatatkan satu lagi detik
duka bagi warga SMK St Michael, Ipoh. Pada pagi ini kita meraikan seorang guru yang
telah berbakti selama 22 tahun di SMI, Encik Ibrahim bin Ahmad, yang akan
bersara secara rasminya bermula 20 Mac 2020. Sesungguhnya warga sekolah akan
berasa kehilangan guru yang berwibawa, berpengalaman luas dan sangat berjasa.
Bagi memberkati majlis, dengan segala
hormatnya menjemput al-fadil Ustaz Haji Mohd Safuan bin Abdul Rahim untuk bacaan doa. Dipersilakan.
(Q:
tunggu sehingga Ustaz Safuan mengambil semula tempat beliau)
Jazakallahu khathira. Terima kasih Ustaz
Safuan.
Majlis diteruskan lagi dengan bacaan
biodata personaliti yang diraikan, Cikgu Ibrahim bin Ahmed. Untuk tujuan itu, majlis
mempersilakan Encik Helmi bin Mat Isa.
(Q:
setelah Cg Helmi mengambil semula tempat beliau)
Terima
kasih Encik Helmi bin Mat Isa.
Rasanya
Encik Helmi tertinggal sesuatu dalam bacaan biodata Cikgu Ibrahim sebentar
tadi. Izinkan saya tambah sedikit. Cikgu Ibrahim guru glamor dan guru popular
di SMI. Saban tahun ada undian Michaelian memilih guru paling macho, guru
paling sado dan pelabagai kategori lain. Yang selalu menang Cikgu Ibrahimlah.
Bertukar2 kategori dengan Cikgu Helmi, Cikgu Adi dan Mr Chong. Disebabkan Cikgu
Ibrahim dan yang saya sebut tadi membolot gelaran itu, mulai tahun 2010 undian
guru popular sudah dimansuhkan. Cerita hari guru.
Majlis
diteruskan dengan ucapan tuan pengetua cemerlang SMI, Encik Sit Wai Yin. Dengan
segala hormatnya majlis mempersilakan …
(usai
ucapan, tunggu sehingga pengetua ambil tempat)
Terima
kasih tuan pengetua cemerlang atas ucapan penghargaan terhadap Cikgu
Ibrahim sebentar tadi.
Kini,
majlis mempersilakan Yang Dihormati Ir Simon Yeong Chin Chow, Yang Dipertua
PIBG SMK St Michael, Ipoh untuk menyampaikan sepatah dua kata.
Kini tiba masa yang dinanti-nantikan.
Marilah kita bersama-sama menghayati ucapan guru yang diraikan, En. Ibrahim bin
Ahmed. Majlis dengan segala hormat dan sukacitanya mempersilakan En. Ibrahim
bin Ahmed tampil ke pentas.
(Q:
usai ucapan Cg Ibrahim)
Sebuah ucapan yang sangat sentimental dan
penuh emosi. Ucapan Cikgu Ibrahim akan menjadi kenang-kenangan sekalian yang
hadir dalam majlis pada pagi yang hening ini.
Hadirin yang dikasihi,
Majlis diteruskan dengan acara memotong
kek sambutan hari lahir Cikgu Ibrahim, in advance. Seminggu lebih
awal. Silakan sekali Cikgu Ibrahim dan isteri. Juga tuan pengetua cemerlang dan
tetamu.
(usai acara potong kek)
Alhamdulillah. Barakallah. Selamat hari
lahir, Cikgu Ibrahim. Terima kasih
(bersedia persembahan pelajar dan guru)
Masa untuk santai minda. Mari sama-sama
kita nikmati persembahan muzik harmonis daripada pasukan pancaragam sekolah.
Dipersilakan
(usai persembahan)
Terima kasih pasukan pancaragam sekolah
Sekarang, majlis mempersilakan En. Sit Wai
Yin, pengetua cemerlang SMI untuk menyampaikan sijil penghargaan persaraan
kepada En. Ibrahim bin Ahmed. Majlis mempersilakan.
(Q:
sambung senarai hadiah Cg Aza)
Pisang abu pisang berangan
Di kebun Ahmad Albab yang punya
Oleh-oleh tanda kenangan
Sudikan terima buat seadanya
1
2
hingga selesai
(Q: usai acara penyampaian cenderamata)
Angsa sekawan nampak serupa
Berenang setempat di kolam buatan
Jasa tuan kami tak lupa
Kekal terpahat dalam ingatan
Tuai padi antara nampak
Esok jangan layu-layuan
Intai SMI antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan
Saya bagi pihak majlis sekali lagi
merakamkan ucapan tahniah atas perkhidmatan, bakti dan sumbangan En. Ibrahim
bin Ahmed selama ini. Mudah-mudahan En.
Ibrahim tidak melupakan warga SMK St. Michael, Ipoh di sini.
Bagi mengakhiri majlis yang penuh bermakna
ini, marilah sama-sama kita mengikuti nyanyian lagu sekolah.
(Q: usai nyanyian)
Terima kasih semua.
Beli cawan di pasar raya
Mari beri berapa di tangan
Meski tuan akan bersara
Kami di SMI dilupa jangan
Bagi pihak majlis, saya mengucapkan
selamat bersara buat En. Ibrahim bin Ahmed. Salah dan silap harap
dimaafkan. Panjang umur murah rezeki kita bertemu lagi. Sekali lagi tepukan gemuruh
untuk Cikgu Ibrahim.
Kini majlis dengan takzimnya menjemput En.
Ibrahim (dan isteri, Puan Norhanan binti Mohd Nor), dengan diiringi oleh
kepimpinan sekolah dan para tetamu bergerak untuk upacara lambaian kasih.
Usai lambaian kasih, pihak sekolah dengan
sukacitanya memberi penghormatan kepada Cikgu brahim bin Ahmed untuk merasmikan
Bilik Seni SMI yang baharu.
********************************************************************************
Sekian. Terima kasih. Wassalamu alaikum
warahmatullahi wabarakatuh ...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
saya guna ya. terima kasih atas perkongsian :)
Post a Comment