SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, February 3, 2025

USIA IDEAL PERKAHWINAN (TO START A FAMILY JOURNEY)

Perkahwinan mencantumkan sejumlah perbezaan: jantina, usia, fizikal, pengalaman, latar belakang, kegemaran, cita rasa, jalur pemikiran dan senarai panjang seterusnya. Institusi rumah tangga menjadi faktor kritikal kelangsungan generasi umat, kependudukan, modal insan, keselamatan negara dan kesinambungan peranan khalifah di bumi. Tempoh belajar yang panjang dan fasa kemajuan kerjaya dirumuskan oleh berberapa kajian ekonomi dan sains sosial sebagai punca usia perkahwinan generasi moden tertangguh lebih lama berbanding leluhur mereka.

Dari segi kesuburan reproduktif, sebaiknya pemuda dan pemudi meletakkan sasaran untuk membina 'masjid' sebelum mencecah umur 27 tahun. Kebarangkalian untuk segera dikurniakan zuriat relatif lebih tinggi, atau dalam bahasa orang lama: bunting pelamin. Jika melepasi setahun dari tarikh nikah, pasangan berkenaan perlu merujuk pakar sakit puan dan pakar sakit tuan untuk memulakan proses intervensi rawatan yang tepat.

Perkara bertemu jodoh memang agak sensitif untuk dijadikan gurauan atau perbualan terbuka, khususnya dalam kalangan anak muda yang mempunyai alasan tersendiri. Ibu bapa yang teringin sangat menimang cucu harus menggunakan kebijaksanaan psikologi bagi menyelami perasaan anak sehingga membuka jalan ke arah itu. Sudah tentu bahawa doa ialah senjata ampuh yang bakal melengkapkan proses suci itu, malah supaya beroleh kesejahteraan mawaddatan wa rahmah, sepertimana yang terungkap dalam al-Quran, surah ar-Rum (30), ayat 21 ...

Friday, January 17, 2025

TERJEMAHAN GOOGLE SEMAKIN BAGUS (ALMOST EXACT)

 KESETIAAN JENAMA KIAN SUKAR BERTAHAN

Momentum kemajuan teknologi yang luar biasa mengakibatkan proses keusangan sesuatu barang dan perkhidmatan lebih cepat. Capaian dan sebaran maklumat cara lama sudah ketinggalan zaman apabila dikaitkan dengan generasi digital hujung jari kini. Kuasa tular, ulasan pempengaruh dan gimik multimedia membuatkan pedagang, peniaga dan usahawan tradisional hilang pelanggan dengan begitu cepat.

Kemahiran manipulatif atau seni masakan sudah boleh dipelajari dan digunakan serta-merta menerusi pelbagai kandungan media sosial tanpa perlu ke kelas atau membayar yuran kursus. Mutu kerja amatur demikian mungkin tidak setanding dengan sentuhan golongan ikhtisas terlatih tetapi sudah cukup untuk hasil yang sederhana sifatnya. Malah, kemahiran rentas sempadan geografi dan generasi dapat dimanfaatkan justeru enjin carian internet kini dipacu oleh kepintaran buatan.

Kemunculan pesaing baharu pada setiap masa umpama rempuhan tsunami kecil yang menolak ke tepi entiti sedia ada yang tidak cekap atau kurang mesra pembaharuan. Kestabilan atau zon selesa memang seteru proses perubahan dalam peradaban insan kini bertambah ketara dan deras. Semoga cendekiawan dan ilmuwan sentiasa memberi bimbingan yang tuntas agar tidak berlaku pemujaan teknologi secara berleluasa sehingga menghakis nilai murni dan jati diri berpaksikan aqidah, syariat dan akhlak. Wallahu a'lam ...


Monday, January 6, 2025

PERBELANJAAN UNTUK KESELAMATAN (RISK AVOIDANCE, RISK REDUCTION))

Sesuatu yang berharga itu tertakluk kepada nilai kos yang tertentu, bukan percuma seperti sangkaan amatur. Setiap negara menyediakan peruntukan besar untuk pasukan keselamatan, termasuk aset pertahanan yang canggih. Sekolah juga dianggap entiti keselamatan kritikal bagi melindungi kanak-kanak, di samping memastikan jiwa ibu bapa sentiasa tenteram bagi melakukan segala kegiatan produktif.

Tercatat dalam hadith:

اَعقِلْهَا وَتَوَكَّلْ

Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakkal

Tie your camel first and put your trust in Allah

(Riwayat al-Tirmizi, 2157 dan Ibn Hibban, 708)

Spesifikasi rumah dengan ciri keselamatan yang optimum, bersekali dengan amalan soleh para penghuninya berupaya mencegah ancaman kejahatan, insya-Allah. Kenderaan yang disenggara mengikut jadual juga suatu jaminan perjalanan yang lancar menghala tempat tujuan. Kemudahan awam yang mengambil kira profil tanah dan tapak, intensiti penggunaan dan bahan binaan terbaik merupakan ikhtiar unggul demi menghindarkan nasib malang.

Alhamdulillah, kepakaran tempatan dalam pelbagai bidang, terutama perancangan, ukur bahan, kejuruteraan, seni bina dan kaji bumi (geologi) boleh dikatakan lebih daripada cukup. Tidak salah jika hendak mendapatkan pakar runding asing yang terbukti cemerlang dalam rekod projek mega untuk membantu. Pemantauan kemungkinan berlaku pecah amanah, penyelewengan dan rasuah dapat memastikan keberkesanan kos tercapai, serta pada akhirnya perbelanjaan keselamatan yang berbaloi ...

Friday, January 3, 2025

2024 YANG DITINGGALKAN: AZAM DIPERBAHARUI (PERSONAL GOALS YEAR 2025)

Sudah masuk hari keempat tahun baharu masihi 2025. Alhamdulillah, masih diberi kesempatan dan kesihatan oleh Yang Maha Kuasa terus meniti usia bergelumang dengan segala cabaran dan pancaroba. Sebagai hamba Allah yang kerdil sahaja, setiap nikmat yang dikurniakan oleh-Nya disambut dengan rasa syukur tidak terhingga, di samping sedaya upaya bersabar atas setiap perkara yang belum berhasil sepenuhnya.

Kedua-dua orang anakanda sudah bergraduat ijazah asas kejuruteraan kepujian kelas pertama. Anakanda sulung, insya-Allah bakal menerima skrol sarjana kepintaran buatan (sambil bekerja) hujung tahun ini. Anakanda bongsu pula beroleh tawaran pengajian PhD universiti terkemuka di United Kingdom tetapi memilih untuk mencari pengalaman kerja terlebih dahulu.

Kegiatan menulis banyak tertumpu kepada media sosial terhangat, iaitu muka buku dan instagram. Maka, keinginan untuk kembali aktif terhadap laman weblog ini memang tinggi. Meskipun bilangan klik atau kunjungan mungkin merudum, coretan buah fikiran ialah wahana perkongsian kebijaksanaan rentas generasi dan zaman.