KESETIAAN JENAMA KIAN SUKAR BERTAHAN
Momentum kemajuan teknologi yang luar biasa mengakibatkan proses keusangan sesuatu barang dan perkhidmatan lebih cepat. Capaian dan sebaran maklumat cara lama sudah ketinggalan zaman apabila dikaitkan dengan generasi digital hujung jari kini. Kuasa tular, ulasan pempengaruh dan gimik multimedia membuatkan pedagang, peniaga dan usahawan tradisional hilang pelanggan dengan begitu cepat.
Kemahiran manipulatif atau seni masakan sudah boleh dipelajari dan digunakan serta-merta menerusi pelbagai kandungan media sosial tanpa perlu ke kelas atau membayar yuran kursus. Mutu kerja amatur demikian mungkin tidak setanding dengan sentuhan golongan ikhtisas terlatih tetapi sudah cukup untuk hasil yang sederhana sifatnya. Malah, kemahiran rentas sempadan geografi dan generasi dapat dimanfaatkan justeru enjin carian internet kini dipacu oleh kepintaran buatan.
Kemunculan pesaing baharu pada setiap masa umpama rempuhan tsunami kecil yang menolak ke tepi entiti sedia ada yang tidak cekap atau kurang mesra pembaharuan. Kestabilan atau zon selesa memang seteru proses perubahan dalam peradaban insan kini bertambah ketara dan deras. Semoga cendekiawan dan ilmuwan sentiasa memberi bimbingan yang tuntas agar tidak berlaku pemujaan teknologi secara berleluasa sehingga menghakis nilai murni dan jati diri berpaksikan aqidah, syariat dan akhlak. Wallahu a'lam ...
No comments:
Post a Comment