SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, March 12, 2010

SPM ST MICHAEL: LEBIH 20 PERATUS DAPAT A DALAM BAHASA MELAYU (MICHAELIAN GOT GOOD GRADE FOR MALAY LANGUAGE SPM 2009)

Sejumlah 78 orang calon SPM 2009 SMK St Michael, Ipoh (SMI) daripada 352 orang semuanya berjaya memperoleh gred A. Pencapaian itu melapasi sasaran bahawa sekurang-kurangnya 10 peratus calon mendapat gred cemerlang. Cuma untuk mencatat A+ memerlukan keistimewaan "luar biasa" apabila hanya 15 orang calon yang berjaya mendaki puncak berkenaan.

Jika diperincikan, lebih separuh jumlah calon A disumbangkan oleh 5S1 dan 5S2. Tentu ada beberapa perkara yang signifikan untuk menjelaskan keadaan berkenaan. Sukar untuk membuat kesimpulan tertentu melainkan kajian dilakukan.

Berdasarkan pengamatan penulis blog (PB), boleh dikatakan hampir semua calon yang mencatat A ialah murid budiman. Mereka tahu membawa diri dalam proses pembelajaran. Mereka mengaplikasikan adab-adab belajar yang disarankan oleh bijak pandai dahulu dan sekarang.

Antara lain, adab yang dimaksudkan:

1   mempamerkan rasa hormat kepada guru secara ikhlas;

2   sentiasa menyegerakan segala tugasan yang diminta oleh guru;

3   memberi tumpuan terhadap aktiviti pembelajaran di bilik darjah;

4   mengelakkan diri daripada dipengaruhi tingkah laku negatif rakan-rakan;

5   tetap menunjukkan minat walaupun input yang diberikan berupa ulangan;

6   mengutamakan pendapat guru di sekolah berbanding dengan sumber luar (portal, tuisyen)


PB mendapati bahawa, murid yang meninggalkan adab di atas tidak beroleh A walaupun penulisan mereka boleh dikatakan mantap, dan pendapat mereka juga bernas. Apatah lagi jika murid yang berasa diri mereka hebat dan enggan mengambil peduli tunjuk ajar guru. Sebagai penolong, guru tidak pernah berputus asa membantu murid keluar daripada jalan yang tidak betul.

Bahasa ialah pancaran akal budi insan (Awang Sariyan). Maka, bahasa amat berkait rapat dengan penghayatan nilai murni. Sebagai insan biasa dan masih remaja, kesilapan tingkah laku yang tidak disengajakan boleh dimaafkan, tetapi murid perlu akur dengan piawai berfikir yang luhur.

Jika kita membaca resepi calon cemerlang SPM 2009 kebangsaan, mereka mengungkapkan cerita yang sama: meletakkan kepercayaan kepada guru, taat kepada ibu bapa, dan rajin beribadah (berdoa, membaca al-Qur'an dan amalan sunat yang lain bagi murid Islam). Input pusat tuisyen atau portal internet hanya dianggap sebagai tambahan dan pelengkap. Demikian juga halnya dengan bahan spesimen (soalan mirip peperiksaan) yang berlambak di pasaran.

PB berpendapat bahawa usaha meningkatkan pencapaian murid dalam mata pelajaran bahasa Melayu boleh dilaksanakan dengan sokongan program tertentu. Murid yang berpotensi A, tetapi memilih jalan sendiri hendaklah dipengaruhi supaya menyertai laluan dan titian kejayaan yang sebenar. Untuk itu, Program Rakan Sebaya (PRS) perlu dimantapkan supaya hanya elemen positif pembelajaran bahasa menjadi dominan dalam kalangan murid.

Konsep guru sebagai pemudah cara pembelajaran disambut dengan penglibatan optimum murid-murid. Kreativiti pembelajaran dialu-alukan, manakala kongkongan aktiviti lapuk lagi membosankan diketepikan. Mudah-mudahan pembelajaran bahasa memberikan pakej pengalaman hidup yang bermakna kepada murid, di samping pencapaian dalam peperiksaan yang membanggakan...

Thursday, March 11, 2010

SPM ST MICHAEL: TIGA SAHABAT HAMPIRI SEMUA A+ (HON WAI, NAKHIEERAN, TAN KIAN TOOK ALL A's IN SPM)

Ipoh, Khamis: 11 Mac 2010 / 25 Rabiul Awal 1431

Tentu anda dapat menelah raut wajah keriangan 12 orang jejaka bersama-sama pengetua SMK St. Michael, Ipoh (SMI) pagi tadi. Mereka ialah calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 yang mencatat gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil. Sistem keputusan yang tidak lagi berasaskan numerik ( 1A hingga 9G ), sebaliknya bermula dengan A+, A, A- hingga G, walaupun sedikit mengelirukan, telah diterima dengan baik oleh calon SPM 2009 yang sempat ditemui.
Tiga orang sahabat yang tertera dalam gambar di atas: Wong Hon Kit (kiri sekali), Nakhieeran (sedang di talian) dan Tan Kian (tersenyum) muncul sebagai pelajar cemerlang. Hon Wai dan Tan Kian beroleh semua A+ dalam sembilan mata pelajaran, dan A dalam Biology. Nakhieeran pula dengan 9 A+ dan 3 A.
Sementara itu, dua orang calon aliran Vokasional dan Teknik (VT) juga mencatat keputusan cemerlang. Aliff (bertopi) meraih 4 A+ dan 3 A. Nahulan pula membuktikan dia tidak khilaf apabila berpindah ke jurusan VT semasa tingkatan 5 apabila meraih 2 A+ dan 5A.
Penulis blog (PB) sedikit terkejut apabila disapa oleh jejaka di atas. Rasa macam pernah kenal. Patutlah, dulu dekat 70 kilogram, sekarang sudah langsing.

Anak kepada mantan pengetua SMI (hingga 2005), Encik Louis Rozario Doss, Noel benar-benar kelihatan berbeza. Keputusan yang dicapainya pasti membuatkan Encik Louis (kini, pengetua sekolah antarabangsa di Ipoh) berasa bangga. Noel juga menyatakan keazamannya untuk menggenggam kejayaan lebih hebat pada peringkat pengajian yang lebih tinggi kelak.
Slip keputusan SPM disampaikan oleh guru tingkatan lima 2009 kepada anak buah masing-masing mulai 10.45 pagi. Pencapaian tidak rasmi SMI di tahap 94 peratus jauh mengatasi pencapaian kebangsaan, iaitu 78 peratus. SMI telah mengenal pasti strategi untuk menuju pencapaian 100 peratus buat pertama kalinya sebagaimana Sekolah Raja Perempuan (RPS) sesudah 15 tahun pernah berbuat demikian...

Kepada semua calon SPM 2009, syabas dan tahniah buat kalian...

Tuesday, March 9, 2010

GURU WANITA LEBIH SUKA MEMBEBEL? (THE LACK OF MASCULINE TOUCH IN EDUCATION)

Penyataan atau dakwaan (claim) di atas mungkin berbaur emosional dan prasangka jantina. Namun, hujah itulah yang diungkapkan oleh seorang pakar sosiologi klinikal, Datuk Dr. Wan Halim Wan Othman dalam wawancara dengan wartawan Kosmo (Rabu, 10 Mac 2010, halaman 11). Beliau memberi maklum balas terhadap isu penguasaan kaum wanita di institusi pengajian tinggi dan sektor awam.

Dr. Wan berpendapat punca masalah ialah sistem pendidikan yang bersifat pasif yang bertentangan dengan jiwa pelajar lelaki. Keadaan menjadi lebih rumit apabila kerjaya keguruan turut dikuasai oleh golongan hawa. Maka, kecenderungan untuk mengukur kecerdasan minda atau akademik per se tampak lebih menyerlah.

Saranan untuk menyelesaikan masalah terlebih feminin ialah dengan menambah bilangan guru lelaki. Kata Dr.  Wan lagi, guru lelaki berkeupayaan membangunkan potensi lelaki yang sebenar. Pelajar lelaki kurang menghormati guru wanita yang lebih suka membebel.

Pendapat Dr. Wan yang tidak disokong oleh sebarang data penyelidikan itu boleh membangkitkan kecaman dalam kalangan bijak pandai, dan mungin mencetuskan gelombang polemik dalam kalangan orang awam, khususnya pemimpin wanita yang sudah jenuh dengan persepsi sedemikian terhadap kaum wanita zaman berzaman. Pengorbanan dan susah payah guru wanita, khususnya pada peringkat pendidikan awal kanak-kanak seolah-olah dipandang sebelah mata. Pelajar pula boleh menjadikan hujah Dr. Wan sebagai alasan sentimental mereka tentang komitmen yang rendah terhadap pembelajaran.

bersambung...

MENJELANG KEPUTUSAN SPM: HALA TUJU PELAJAR CEMERLANG (POST-SECONDARY STUDY FOR SPM HOLDERS)

Tarikh 11 Mac 2010 (Khamis) ini dinanti dengan penuh debaran oleh hampir 400 ribu orang calon SPM 2009 yang lalu. Ibu bapa, kaum keluarga, jiran tetangga dan rakan taulan juga tidak ketinggalan terkena tempias magis hari bersejarah itu. Untuk sehari dua, pelbagai telahan dan ulasan akan memenuhi ruang media, mesyuarat di sekolah dan perbincangan tidak rasmi.
Lulusan SPM pula mula memasang impian sama ada untuk menceburi alam pekerjaan, atau untuk menyambung pengajian dalam pelbagai bidang yang difikirkan mampu menjamin masa hadapan. Lulusan terbaik akan berebut-rebut bagi mengisi slot terhad persediaan kursus kritikal seperti perubatan, pergigian, farmasi dan pemakanan. Bidang teknikal kejuruteraan, ukur bahan, perakaunan, dan ekonomi turut disambar oleh kelompok terbaik.

Hingga pertengahan 1990-an, masih besar jumlah pelajar yang ditaja menyambung pengajian di luar negara, khususnya di Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom. Semasa penulis blog (PB) bertugas di SM Teknik Ipoh, boleh dikatakan 2/3 pelajar sesebuah kelas melayakkan diri untuk peluang belajar di luar negara. Ketika itu negara hanya ada lima buah universiti awam (UKM, UM, UPM, USM, UTM), di samping ITM dan juga lima buah politeknik.

Kini, negara sudah memiliki 20 buah universiti awam, puluhan politeknik dan kolej komuniti, serta ratusan universiti, kolej universiti dan kolej swasta. Malah, sebuah kementerian khusus yang menjaga hal-ehwal pengajian tinggi telah diwujudkan. Malaysia turut dipromosikan sebagai hub pengajian tinggi bertaraf dunia, termasuk kebenaran kepada universiti asing ternama membuka kampus cawangan di sana sini. Tajaan biasiswa JPA dan Bank Negara untuk pengajian luar negara sudah sangat terhad bilangannya.

Lulusan SPM juga boleh mengintai peluang untuk mendalami bidang pengajian separa teknikal yang ditawarkan oleh Institut Kemahiran Mara, Institut Latihan Perindustrian, Institut Latihan Pertanian, Institut Kemahiran Belia Negara dan sesenarai panjang institut lain di bawah pelbagai kementerian. Kelebihan sebahagian kursus yang ditawarkan ialah menjurus kepada penarafan MLVK ini ialah pemberian elaun bulanan dan penginapan yang ditaja sepenuhnya. Pelatih tidak akan dibebani dengan hutang sebagaimana yang berlaku di institusi pengajian tinggi yang lain.

Kursus paramedik dan kejururawatan juga boleh diikuti di kolej-kolej khusus yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan Lembaga Akridetasi Negara . Namun, kelebihan dari segi tajaan yuran, elaun bulanan dan jaminan pekerjaan tetap memihak kepada pelatih yang menjalani pengajian di kolej tajaan Kementerian Kesihatan Malaysia seperti Kolej Kejururawatan dan Kolej Pembantu Hospital. Sudah tentulah saingannya begitu getir dan sengit.

Lulusan SPM yang cenderung merantau ke segenap penjuru dunia bolehlah memohon masuk ke Akademi Laut Malaysia (ALAM) di Melaka. Pemohon haruslah melepasi kriteria fizikal dan kesihatan untuk layak dipertimbangkan. Di samping itu, bersedialah dengan hakikat bahawa peluang kejayaan mungkin kurang daripada 10 peratus.

Satu lagi laluan pengajian tinggi yang boleh dipilih ialah pengajian prauniversiti tingkatan enam. yang sedang dalam proses penjenamaan semula. Walaupun pelajar perlu berada di sekolah selama setahun setengah lagi, peluang menyambung pengajian ijazah pertama ialah setinggi 60 peratus. Pelajar tingkatan enam hanya perlu bersabar, tekun dan akur dengan bimbingan tenaga pengajar lantikan khusus sebagai pensyarah prauniversiti...

Friday, March 5, 2010

MENCARI JALAN SUPAYA PELAJAR BERSIKAP POSITIF (THE RIGHT ATTITUDE OF THE STUDENT)

Majalah Gila-gila edisi Mac 2010 (halaman 76-77) menyenaraikan 10 punca pelajar bersikap negatif, iaitu:
1)  menghadapi kegagalan demi kegagalan, putus asa dan bersikap pesimis;
2)  matlamat tidak tercapai: yang dirancang tidak menjadi;
3)  kurang keyakinan diri;
4)  emosi tidak stabil: jiwa kacau;
5)  berburuk sangka dan bersikap negatif;
6)  pengaruh rakan sebaya, pergaulan dan persekitaran;
7)  bersikap sombong, ego, dengki, pendendam, pemarah;
8)  sentiasa berkata "tidak", "tidak tahu", "tidak boleh" terhadap perkara positif;
9)  tanggapan negatif oleh orang signifikan seperti ibu bapa, keluarga, guru dan sahabat;
10)  putus cinta.

Jika sepuluh punca berkenaan dikaitkan dengan kaedah sumbang saran (brainstorming), dahulunya dikenali sebagai sesi percambahan fikiran, semua diterima seadanya. Tanpa bantahan. Selepas diklasifikasikan, baharulah disusun mengikut tertib punca yang lebih kuat / dominan ke bawah.

Jika hendak dijadikan tajuk kajian atau penyelidikan, prosesnya tidaklah semudah itu. Semua faktor yang tersenarai perlu melepasi ujian statistik seperti analisis faktoral, regresi berganda dan lain-lain supaya hanya faktor yang berada dalam kawalan pengkaji sahaja yang akan diterima. Maka, jika pelajar pascasiswazah ingin mengemukakan cadangan penyelidikan tentang "punca pelajar bersikap negatif", lebih baik berfikir berpuluh-puluh kali!

Namun, jika diteliti 10 punca yang tersenarai, ternyata berkaitan dengan motivasi kendiri. Perkataan motivation berasal daripada kata dasar motive. Secara umumnya, setiap tindakan memerlukan motif sebagai tenaga penggerak.

Pelajar yang bersikap negatif boleh dikatakan ketiadaan atau jika pernah ada, sudah hilang motif. Motif ialah hala tuju dan matlamat yang jelas (clear sense of direction). Pemupukan motif belajar diperoleh dengan pelbagai cara: pertolongan pakar, pembacaan, perbincangan dan pengamatan.

Motif yang kabur dan longgar mudah dipesongkan. Bagaikan bahtera tanpa nakhoda, ribut yang sederhana sudah cukup menghanyutkan bahtera entah ke mana-mana, terumbang-ambing dan mungkin karam. Nakhoda bagi pelajar ialah motif belajar yang jelas.

Kalau ditanya tentang motif belajar, nescaya pelbagai ragam jawapan akan timbul. Misalnya, demi kecemerlangan ilmu, membalas jasa ibu bapa, pelaburan masa depan, memenuhi impian kerjaya, dan tuntutan agama. Ringkasnya, proses pembelajaran dikorelasikan dengan peningkatan modal insan: pengetahuan, kemahiran, sikap.

Walaupun berabad-abad lamanya para cendekiawan melaksanakan penyelidikan, strata dan kluster pencapaian pelajar masih serupa, iaitu berbentuk taburan normal. Terdapat dua hujung ekstrem yang bernilai 5% setiap satunya, iaitu 5% cemerlang dan 5% kecundang. Misteri kotak hitam (input --> proses --> output) masih berleluasa.

Jika sesebuah sekolah mendapat input (pelajar) yang bermotivasi tinggi, sekolah itu hanya perlu menggilap bakat dan potensi yang sedia ada untuk mencapai status sekolah cemerlang. Sebaliknya, sekolah yang menerima input yang bermotivasi rendah terpaksa berhempas pulas dan berikhtiar mencari jalan supaya tidak dicop sebagai sekolah prestasi rendah (SPR). Model kotak hitam itu samalah dengan teori pintu gerbang yang begitu digemari oleh Prof. Abdullah Hasan dari UPSI.

Allan Bloom pernah menulis buku berjudul The Closing of the American Mind. Secara umumnya, Bloom membahaskan tentang kelesuan intelektual dalam kalangan pelajar prasiswazah di Amerika Syarikat. Beliau cemas dengan cabaran pelajar Russia, Asia dan Amerika Latin yang boleh menggugat kedudukan Amerika sebagai kuasa besar dunia...


Thursday, March 4, 2010

NETBOOK UNTUK PELAJAR TINGKATAN ENAM (SIXTH FORM STUDENT TO BE OFFERED FREE NETBOOK)

Ipoh, Khamis: 4 Mac 2010 / 18 Rabiul Awal 1431

Perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar berkelajuan tinggi yang disediakan di SMK St Michael, Ipoh (SMI) memungkinkan perkara berkenaan menjadi kenyataan. Langkah itu dilihat sebagai daya tarikan supaya lulusan SPM memilih laluan prauniversiti tingkatan enam sebelum ke institut pengajian tinggi awam atau swasta. Pelajar tingkatan enam akan menjadi pemilik sebenar proses pembelajaran dan pensyarah bertindak sebagai pemudah cara.
Saranan tentangnya dilontarkan oleh Encik Phoon Chong Chee, pengetua SMI, ketika berucap dalam mesyuarat agung tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) petang tadi. Beliau mencadangkan PIBG mencari jalan supaya idea berkenaan dapat segara dilaksanakan. SMI perlu berbuat sesuatu supaya dapat mengukuhkan kedudukan sebagai institusi prauniversiti pilihan setelah begitu banyak tokoh peringkat kebangsaan dan antarabangsa dikenal pasti pernah bergelar pelajar tingkatan 6 SMI.
Kebanyakan isu yang dibangkitkan menunjukkan bahawa lebih banyak maklumat perlu disalurkan kepada ibu bapa secara berkala. PIBG telah bersetuju bagi menyediakan buletin pada awal tahun, pertengahan dan akhir tahun bagi memaklumkan perkembangan kegiatan PIBG dan peranan ibu bapa untuk membantu dan memberi sokongan terhadap segala program anjuran sekolah. Buletin akan dikirimkan kepada semua ibu bapa.
Pertanyaan seorang ibu turut menyerlahkan hakikat betapa anak-anak mungkin memberikan maklumat separuh masak sahaja. Alasan seorang anak perlu dihalusi supaya ibu bapa tidak menerimanya secara bulat-bulat. Begitulah penjelasan yang diberikan oleh pengetua sebagai respons terhadap program pasukan pakaian seragam yang dikatakan terlebih aktif, pada hal pihak sekolah meletakkan dasar yang jelas dan tersurat.
Seperti mana-mana mesyuarat, majoriti hadirin memilih untuk senyap. Mereka lebih tertumpu kepada dokumen mesyuarat. Mereka merelakan beberapa wakil mereka bersuara lantang justeru isu yang dibangkitkan lebih kurang sama dengan padanan minda mereka.
Setelah "letih" mengikuti sesi pembentangan dan perkara berbangkit, tibalah masa untuk memilih exco baru. Yang Dipertua dan naibnya dilantik secara sebulat suara dengan mengekalkan Encik Joseph Michael Lee dan Dato' Mohd Niza, kedua-duanya bekas Michaelian. Namun, pemilihan exco lain, kecuali AJK kalangan guru, dilakukan dengan cara angkat tangan.
Dalam ucapan penggulungannya, YDP PIBG berikrar untuk terus membantu SMI sebagai sebuah sekolah bantuan modal yang dihormati menjelang perayaan 100 tahun pada 2012. Usul ibu bapa akan diteliti dan diberi pertimbangan sewajarnya. Sekalung syabas dan tahniah kepada semua exco PIBG sesi 2010-2011...

Tuesday, March 2, 2010

HOKI: SMI HALANG ANDERSON (MICHAELIAN'S HOCKEY TEAM REDUCE DEFICIT)

Ipoh, Selasa: 2 Mac 2010 / 16 Rabiul Awal 1431

Hasrat untuk menyekat Anderson daripada kenduri gol akhirnya kesampaian. Pasukan hoki SMI berjaya mengajak Anderson memperlahankan rentak permainan dan menyerap asakan pemain-pemain lipas kudung mereka. Walaupun Anderson dikatakan tidak menghantar barisan terkuat mereka untuk pertandingan peringkat daerah, mereka ternyata  tidak memandang ringan setiap pertemuan, hatta dengan pasukan yang berstatus pendatang baru.
Anderson sebelum ini telah membelasah Tanjung Rambutan dengan jaringan 7-0. Maka, untuk menjuarai kumpulan A yang menemukan tiga pasukan, Anderson hanya memerlukan seri dengan SMI. Mereka boleh sahaja melayan SMI sebagai "sparring" seumpama dalam sesi latihan pemanas badan. Namun, mereka menghidu bahaya yang bisa mencalar reputasi mereka sebagai juara kebangsaan jika tersilap percaturan.

Atas prinsip itu, pengurus merangkap ketua jurulatih Anderson, Cikgu Jamaludin telah mengerah anak buahnya melakukan serbuan agresif ke kubu SMI seawal minit pertama untuk mencari gol pembukaan. SMI yang menyedari hal berkenaan telah berkampung dan membina benteng pertahanan yang menyukarkan pergerakan Anderson. Pengalaman bertanding di peringkat tinggi bagaimanapun membantu Anderson lolos daripada kawalan ketat SMI.
Anderson berjaya memaksa SMI menghadiahi mereka beberapa pukulan percuma dan tolakan sudut penalti.  Latihan intensif tolakan sudut penalti memang menjadi amalan pasukan hoki yang berpengalaman. Foto di atas menunjukkan gol yang dihasilkan menerusi tolakan sudut penalti. Anderson tidak melakukan sebarang kesilapan walaupun peluang berkenaan hadir sekali-sekala.

Tamat separuh masa pertama, Anderson di hadapan dengan empat jaringan tanpa balas. Namun, mereka jelas belum berpuas hati. Tentangan SMI menggugat sasaran mereka untuk menjaringkan jumlah gol dua angka.

Sebaik wisel separuh masa kedua ditiupkan, SMI kelihatan lebih bersemangat kerana disuntik keyakinan mampu menyaingi Anderson. SMI sudah berani meninggalkan kubu untuk menceroboh masuk ke kawasan D Anderson. Penjaga gol Anderson yang banyak berehat dalam separuh masa pertama terpaksa berkeadaan sedia.

Anderson nyata tidak rela hampa dengan sifar jaringan dalam mana-mana separuh masa. Mereka bekerja lebih keras dan menggandakan asakan. Tekanan untuk meledak jaringan menyebabkan mereka turut dipersalahkan oleh pengadil perlawanan.

Akhirnya, ketika permainan berbaki beberapa minit sahaja lagi, Anderson berjaya meraih kesempatan yang dihajati. Tolakan sudut penalti bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal. Keputusan penuh: SMI (0), Anderson (5)...

Monday, March 1, 2010

HOKI: SMI "AKHIRI" CABARAN (SHOCK DEFEAT FOR MICHAELIAN'S HOCKEY TEAM)

Ipoh, Selasa: 2 Mac 2010 / 16 Rabiul Awal 1431
Dengan dibarisi lebih separuh muka baru, pasukan hoki SMK St Michael, Ipoh (SMI) kini boleh melupakan saingan Zon 2 Kinta Utara. SMI hanya boleh terus mara jika melakukan misi "mustahil", iaitu menewaskan Anderson, penyandang juara peringkat kebangsaan. Barang diingat bahawa sudah sekian lama, pasukan lain hanya berputih mata ketika berhadapan dengan "sihir" hoki Anderson dan dihadiahi dengan jumlah gol sekitar sedozen.

Pertemuan SMI dengan Anderson dijadualkan berlangsung kira-kira pukul 2.55 petang ini di padang  hoki astroturf bersebelahan Stadium Sultan Azlan Shah. Kumpulan A hanya mengandungi Anderson (pilihan utama kejohanan), SMK Tanjung Rambutan dan SMI. Pada tahun lepas, SMI tersingkir di peringkat kumpulan apabila tewas tipis 0-1 di tangan STAR pada minit-minit terakhir perlawanan, setelah berjaya mengikat pasukan Sungai Pari 2-2.
Perlawanan dengan Tanjung Rambutan pagi tadi boleh dikatakan seimbang walaupun lawan menguasai 60 peratus permainan. Kedua-dua pasukan bermain dengan berhati-hati menyebabkan pergerakan pemain lebih banyak bertumpu di kawasan tengah padang. Sesekali penyerang berjaya memasuki kawasan D, tetapi pukulan dan tolakan penyudah kedua-dua pasukan boleh dikatakan begitu tumpul.

Separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan seri tanpa jaringan. Sebaik wisel separuh masa kedua ditiupkan, kedua-dua pasukan menggandakan asakan. Namun, skripnya masih sama. Tiada ancaman yang benar-benar serius ke kubu lawan.
Ketika perlawanan yang seolah-olah akan berkesudahan seri, Tanjung Rambutan mendapat pukulan sudut penalti yang amat diperlukan lima minit sebelum siren penamat dibunyikan. Pada mulanya tolakan bola berkenaan muntah, tetapi masih dalam kawasan D. Tanjung Rambutan bijak memanfaatkan keadaan kelam kabut di situ untuk menjaringkan gol.

Menurut seorang jurulatih, gol itu sepatutnya dibatalkan kerana ditolak tinggi, melulu dan merbahaya. Namun, keputusan pengadil dikira muktamad. Tanjung Rambutan telah menghukum kelekaan pertahanan SMI.

Peluang menyamakan kedudukan menjelma dua minit berselang. Harapan menggunung SMI bagaimanapun berkecai apabila tolakan bola agak lemah dan tersasar. Kini, Tanjung Rambutan boleh disebut sebagai pasukan yang bakal mengiringi Anderson ke suku akhir.
kaedah pertukaran pemain

Antara peristiwa menarik perlawanan ialah seorang pemain Tanjung Rambutan diarah menukar kasut yang digunakan setelah tiga minit perlawanan berlangsung. Rupa-rupanya pemain berkenaan menyarung but bola sepak! Seorang pemain SMI dilayangkan kad hijau dan diarah "berehat" di hadapan meja teknikal selama dua minit sebelum dibenarkan menyambung permainan di bawah peraturan baharu Persekutuan Hoki Antarabangsa.

Walaupun secara akademik dan di atas kertas, SMI telah ditunjukkan jalan keluar, perlawanan menentang Anderson petang ini masih penting. SMI mesti membuktikan bahawa Anderson boleh dikekang dan tidak dibenarkan bermaharajalela. Kepada warga Michaelian yang berkelapangan, turunlah beramai-ramai memberi sokongan...

GURU SMI DILANTIK PESURUHJAYA PENGAKAP KINTA (MR SHAHRUZZAMAN APPOINTED DISTRICT SCOUT COMMISIONER)

SMK St Michael, Ipoh (SMI) menerima satu lagi penghormatan menjelang perayaan 100 tahun penubuhan sekolah (2012) apabila Encik Shahruzzaman, seorang guru akademik tingkatan enam dilantik menerajui Pengakap daerah Kinta selaku pesuruhjaya yang baru. Beliau menggantikan Encik Mohd Ramli bin Baki, yang kini penyelia kokurikulum PPD Kinta Utara. Tidak syak lagi bahawa pelantikan Encik Shahruzzaman akan meningkatkan motivasi pasukan pengakap SMI, khususnya Pengakap Kelana tingkatan 6 seliaan beliau sendiri.
Encik Shahruzzaman telah berkecimpung dalam dunia pengakap sejak di bangku sekolah rendah, serta menyertai saf kepimpinan selama 24 tahun. Berbekalkan pengalaman luas itu, beliau telah ditauliahkan sebagai pesuruhjaya dalam satu majlis yang berlangsung Sabtu lalu. Watikah pelantikan disampaikan oleh Ketua Pengakap Negara.
Majlis Pemimpin Pengakap Kinta 2009
Mantan Pesuruhjaya duduk di barisan hadapan tengah.

Dengan pelantikan itu,  secara automatis, Encik Sahruzzaman akan menganggotai Majlis Pesuruhjaya Pasukan Pengakap Malaysia (PPM) Negeri Perak. Hal itu bermakna skop penglibatan beliau akan lebih ketara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. SMI juga akan beroleh sumbangan kepimpinan dan kepakaran beliau untuk semua unit pakaian seragam.

Encik Shahruzzaman memiliki kelayakan ikhtisas perguruan opsyen Sejarah, di samping ijazah sarjana muda Pendidikan Bahasa Melayu, UPM. Tanggungjawab besar beliau yang lain ialah sebagai Pengerusi Teknik Kokurikulum Kinta Utara, dengan tumpuan terhadap Unit  Kelab dan Persatuan. Beliau menyelaraskan semua program daerah, selain membuat pemantauan tentang pelaksanaan bidang kokurikulum berkenaan di sekolah-sekolah daerah Kinta Utara.

Walaupun sibuk dengan urusan kepimpinan, Encik Shahruzzaman tidak melupakan aspek kecergasan. Beliau menganggotai Kelab Kilas Tangkis dan turun bermain badminton di gelanggang MBI setiap petang Jumaat. Minat beliau yang lain ialah blog, boling dan memancing... 

Sunday, February 28, 2010

"IBU DAN CEPER": MENGAPA DIKEMBARKAN? (ANALYSIS OF A SHORT STORY OF MALAY LITERATURE FORM 4)

Meneliti tajuknya sahaja sudah menimbulkan tanda tanya. Namun, sebagai penulis berstatus sasterawan negara, Shahnon Ahmad, seorang profesor emeritus USM dan mantan ahli parlimen, penceritaan disusun dalam ayat yang begitu mantap dan menangkap imaginasi. Ceper sebenarnya nama sebuah sungai yang begitu mempengaruhi aktiviti pertanian di kampung "ibu".

Segala anggapan dan gambaran terhadap "pelakuan" ibu dan Ceper dihat daripada sudut pandangan pertama, menerusi "aku". Cerpen boleh disifatkan sebagai catatan kenangan 40 tahun sebelumnya, iaitu sebelum ibu meninggal dunia.
nota: sambungan internet sering terganggu, maka bersambung kemudian...