SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, December 4, 2013

BERKONGSI PENDERITAAN DENGAN MANGSA BANJIR (DEEP EMPATHY)

Macam-macam kuliah, pendapat, teori dan cakap-cakap tentang bencana banjir, tetapi keutamaan di depan mata sekarang ialah usaha membantu, memahami dan menyelami kesusahan yang ditanggung oleh mangsa banjir. Bagi mereka yang jauh dan tidak dapat turut serta ke tempat bencana, doa dan sokongan dalam bentuk yang termampu. Walaupun bilangan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara dilaporkan menurun, namun trauma yang dialami tidak mudah luput dalam ingatan.

Kegiatan harian semasa banjir memang di luar kebiasaan. Keselesaan di rumah sendiri terpaksa ditinggalkan begitu sahaja. Peralatan dan harta benda yang tidak boleh diinsuranskan memerlukan perbelanjaan baik pulih yang tinggi kelak.

Pergerakan menjadi terhad. Mangsa banjir harus bergantung harap kepada bantuan pihak penyelamat yang perlu menguruskan sejumlah kes yang besar. Bekalan elektrik harus diputuskan apabila tapak pencawang utama ditenggelami air kerana risiko renjatan elektrik menerusi aliran air banjir.

Hubungan komunikasi juga terjejas apabila mangsa banjir sibuk dengan urusan menyelamatkan segala dokumen dan peralatan rumah yang mustahak sehingga tidak sempat mencari punca untuk mengecas bateri telefon bimbit yang semakin lemah. Fikiran juga berserabut tentang masalah yang datang bertimpa-timpa. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

akan datang

akan datang

akan datang

akan datang

akan datang

akan datang


Tuesday, December 3, 2013

MEMAHAMI KENAIKAN TARIF ELEKTRIK (COST OF LIVING GOING UP AND UP)

Tenaga Nasional Berhad, syarikat berkaitan kerajaan senaraian awam mengeluarkan kenyataan bahawa kenaikan tarif yang akan berkuat kuasa pada bulan Januari 2014 perlu dilakukan bagi menampung kos penjanaan susulan peningkatan bahan api global. Selain itu, TNB memberi alasan untuk perbelanjaan pelaburan infrastruktur bekalan elektrik dan perubahan kos operasi masa hadapan. Langkah kenaikan tarif itu juga sebahagian program rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat (klik di sini).

Menteri yang menjaga hal ehwal pengguna juga sudah memberi jaminan bahawa kenaikan tarif elektrik sekitar 15 peratus itu hanya memberi kesan kepada pengguna tenaga berskala besar. Namun, maklum balas orang ramai sangat bertentangan justeru mereka menaruh kebimbangan bahawa pihak industri akan memindahkan beban kenaikan kos pengeluaran dalam bentuk peningkatan harga barang akhir yang dibayar oleh mereka. Kos hidup yang meningkat akan menyebabkan taraf hidup masyarakat menurun, sekurang-kurangnya dalam jangka pendek (klik di sini).

Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, gabenor bank negara, dalam reaksi spontan beliau menjangkakan kadar inflasi akan meningkat sebanyak 0.4 peratus, sebagai tambahan kepada unjuran 2.8 peratus sebelum ini (klik di sini). Namun, beliau berpendapat kesan inflasi yang dicetuskan itu hanya bersifat sementara. Dr. Zeti berkata bahawa jangkaan itu berdasarkan penilaian awal oleh pihak bank pusat yang diterajui beliau.

Belanjawan kurangan yang berterusan sejak tahun 1998 antaranya berpunca daripada beban subsidi yang begitu besar dalam anggaran perbelanjaan kerajaan. Sesetengah pihak berpendapat peruntukan subsidi di Malaysia perlu disusun semula supaya menepati sasaran sebenar. Golongan berpendapatan tinggi dan warga asing yang membentuk sejumlah besar pengguna domestik turut menikmati subsidi yang sepatutnya hanya ditujukan kepada rakyat Malaysia yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Dari sudut lain, kenaikan tarif elektrik itu merupakan cabaran kepada para penyelidik dan saintis untuk mengenal pasti sumber baharu tenaga yang lebih murah dan selamat berbanding dengan tenaga elektrik tradisional. Pergantungan kepada sumber tenaga tunggal ternyata memberi kesan yang kurang baik dari segi kos pengeluaran dan kawalan kuasa monopoli pembekal tenaga. Cadangan penggunaan tenaga suria masih belum berjaya sebagai ganti kepada tenaga elektrik.

Sifir mudah tentang kenaikan tarif elektrik ialah peningkatan kos pengeluaran. Sebahagian peningkatan kos itu dipindahkan dalam bentuk kenaikan harga barang dan perkhidmatan, bergantung kepada keanjalan permintaan dan keanjalan penawaran. Kenaikan harga barang dan perkhidmatan akan menyebabkan tuntutan kenaikan upah bagi mengekalkan taraf hidup.

Pusingan kenaikan harga dan upah yang berterusan persis kata-kata walhasil balik asal (back to square one). Namun, bagi golongan berpendapatan tetap (misalnya pengeluar dalam pasaran persaingan sempurna), mereka sukar menyerap kenaikan tarif elektrik. Pendapatan benar mereka akan merosot dan kuasa beli mereka juga turun serta-merta.

Peningkatan harga barang dan perkhidmatan mengakibatkan kenaikan upah, jika ada, hanya bersifat sebagai elaun inflasi. Penyata gaji mungkin menunjukkan perubahan angka yang lebih besar, tetapi peningkatan itu tidak pula membolehkan mereka menikmati kuantiti dan kualiti barangan yang relatif lebih tinggi. Mereka masih kekal di takuk lama.

Pengguna mungkin boleh melepaskan geram kepada TNB dengan pelbagai label walaupun selama ini mereka menikmati perkhidmatan yang menyenangkan hidup mereka. TNB hanya sebuah konglomerat yang bergantung kepada sumber modal awam, tanggungjawab kepada pemegang saham dan perbelanjaan pelaburan yang sangat tinggi. TNB juga perlu menjadualkan pembayaran hutang kepada institusi kewangan secara konsisten.

Pengguna berhak untuk berasa tertekan dan terbeban dengan natijah kenaikan tarif elektrik dalam kehidupan mereka. Pengguna perlu melakukan penyesuaian dari segi perbelanjaan, menghadapi kehidupan yang lebih perit dan sukar. Mana ada peniaga yang sanggup berkorban dan menanggung kerugian demi pengguna?

Nampaknya program pengajian keusahawanan di negara kita perlu menerapkan nilai kemanusiaan yang tinggi supaya bakal usahawan masa hadapan sanggup berkongsi susah dan senang bersama masyarakat pengguna, bukan memanipulasi mereka tanpa belas kasihan semata-mata untuk mengaut keuntungan. Jika taraf hidup masyarakat jatuh, pada akhirnya permintaan terhadap barang dan perkhidmatan juga bakal mengalami nasib yang sama. Adakah usahawan dan kegiatan ekonomi tidak akan terjejas?

Monday, December 2, 2013

Sunday, December 1, 2013

TEGURAN KEPADA PENGUSAHA RESTORAN MELAYU (LIP SERVICE, LATE SERVICE, NO SERVICE)

Bukan hendak mengata semua restoran Melayu, tetapi pengalaman banyak kali terkena menyebabkan catatan ini dikongsi. Walaupun Pak Tam (restoran mi rebus Plus) menyebut 'kalau sedap bagitau kawan, kalau tak sedap bagitau Pak Tam', dalam hal kebajikan dan hak pengguna, cogan kata itu perlu dikecualikan. Pengguna bukan makan percuma, sebaliknya mereka mengeluarkan wang ringgit yang dicari dengan susah payah bagi memperoleh barang dan perkhidmatan yang bermutu dan berbaloi.

Mentang-mentang pengguna di rantau Asia Tenggara tidak begitu agresif berbanding dengan pengguna di negara maju, pengusaha restoran tempatan beranggapan bahawa pelanggan mereka hanya perlu menerima sahaja hidangan yang disediakan. Mentaliti dunia ketiga memang serasi dengan hujah bahawa tiada sesiapa yang memaksa pelanggan ke restoran mereka, lalu kalau tidak suka tidak payah datang. Pelanggan yang banyak 'songeh' tidak dialu-alukan.

Pengunjung restoran bukan pelanggan terdesak yang sanggup menelan mi kosong (tanpa rencah dan sayur, juga dipanggil 'mi bodoh' oleh orang KL) di warung tepi longkang. Mereka datang dengan kuasa beli dan cita rasa yang mesti dihormati. Jika mereka berpuas hati, bukan sahaja mereka akan datang lagi, bahkan menyebarkan promosi dan publisiti percuma kepada restoran.

Apabila pelanggan masuk sahaja, mereka berharap dapat disambut atau sekurang-kurangnya disapa oleh petugas restoran (usher seperti di majlis keramaian) dan tidak dibiarkan tercegat macam patung cendana. Pelayan restoran juga dengan segera membawa buku menu hidangan yang ditawarkan oleh restoran dan serta-merta mengambil pesanan. Berikan anggaran masa menunggu supaya pelanggan mempunyai persediaan minda dan tidak berasa gelisah bagai mengharap sesuatu yang tidak kunjung tiba. 

Tempoh menunggu sehingga satu jam memang keterlaluan. Jika terpaksa, bagi menenangkan pelanggan yang menunggu lama, pihak restoran boleh menyediakan kudapan percuma supaya pelanggan tidak angkat kaki atau berasa kecewa. Penyelia kepada petugas retoran mesti memainkan peranan untuk memastikan tidak berlaku kesilapan dalam menghantar hidangan seperti terlupa pesanan, tersalah meja atau mendahulukan pelanggan yang datang kemudian.

Semua petugas menghantar hidangan mesti menjalani latihan bahasa mesra, misalnya memohon maaf sambil mengucapkan terima kasih atas kesudian pelanggan menunggu. Petugas juga mesti memberi tumpuan kepada ke seluruh ruang restoran kalau-kalau pelanggan memerlukan bantuan. Tidak wajar sama sekali petugas restoran bergurau senda sesama sendiri, melayan gajet mudah alih atau merokok.

Di samping juruwang ialah penyelia perkhidmatan pelanggan yang sentiasa bermanis muka, mengucapkan terima kasih dan bertanyakan jika pelanggan hendak memberi maklum balas. Pelanggan akan berpuas hati dengan harga makanan jika penjelasan penyelia masuk akal. Pihak restoran mesti peka dan bertolak ansur dengan kerenah pelanggan yang pelbagai, kecuali yang cuba mengelat. 

Kebersihan premis, lantai, sinki dan penampilan petugas restoran juga mesti diambil berat oleh pengurusan restoran. Lantai, sinki dan kamar kecil mesti dibersihkan sepanjang masa supaya pelanggan tidak hilang selera makan. Banyak sekali restoran milik orang Melayu Islam mengabaikan perkara asas sedemikian.

Nampaknya pihak berkuasa tempatan dan pihak jabatan kesihatan tidak cukup kakitangan untuk memantau pematuhan terhadap piawaian restoran kelas pertama. Satu pasukan khas di bawah Kementerian Hal Ehwal Pengguna hendaklah diwujudkan bagi mengawal selia semua restoran di seluruh negara. Restoran yang gagal mematuhi piawaian yang ditetapkan boleh dikenakan teguran bertulis, amaran, kompaun dan kemungkinan didakwa oleh tribunal hal ehwal pengguna.

Dalam jangka panjang, semua pengusaha restoran mesti diwajibkan menjalani kursus khas di kolej komuniti sebelum lesen perniagaan mereka boleh disambung dan diperbaharui setiap tahun. Alangkah eloknya jika restoran diurus oleh usahawan siswazah pelbagai bidang, iaitu pengurusan perniagaan, penyajian makanan, hospitaliti, teknologi makanan dan komunikasi, di samping panel pakar pemakanan dan undang-undang. Sebagai bakal negara maju, Malaysia memerlukan restoran yang berteraskan sajian makanan berkhasiat dan seimbang, serta mutu penyampaian perkhidmatan yang terbaik ...

Saturday, November 30, 2013

ADILA DAN AISHAH HANYA SECEBIS KISAH (TO WHOM IT MAY CONCERN)

Minggu terakhir bulan November dihangatkan dengan kisah dua orang wanita Melayu Islam nun jauh di benua Amerika Utara dan Eropah. Walaupun banyak cerita cuba disingkap, banyak lagi cerita yang masih tidak diketahui. Kebenaran lazimnya memakan masa yang panjang hingga melangkau beberapa generasi.

Adila binti Hussin (McGhee, nama suami baharu), 43, siswazah pengajian Islam UKM, berasal dari Ipoh dan kini menetap di sebuah pekan kecil dalam daerah Richmond, Amerika Syarikat. Adila menyangkal khabar angin yang mengatakan dirinya sudah murtad gara-gara penyebaran artikel sebuah gereja yang memanipulasi keadaan. Adila memiliki tiga orang anak hasil perkahwinan pertama di Malaysia (klik di sini).

Siti Aishah binti Abdul Wahab, 69, bekas pelajar Kolej Tunku Kurshiah, Seremban dan London School of Economics, diberitakan terkurung dalam sebuah rumah pangsa di Brixton, London bersama sepasang suami isteri keturunan India kerana terpengaruh dengan aliran Mao (komunis) sejak lebih empat dekad. Berita terkini bersumber daripada Kamar Mautum, 79, kakaknya antara lima beradik (daripada 12 orang) yang masih hidup. Mereka bertemu di sebuah lokasi rahsia menerusi kerjasama Scotland Yard, sebuah agensi perisikan Britain (berita selanjutnya klik di sini).

Umat Islam memang prihatin tentang saudara seagama yang teraniaya, dizalimi atau tersalah haluan. Harapan mereka sentiasa berbunga agar apa-apa jua khabar buruk yang disampaikan sebagai palsu belaka. Bagi umat Islam, aqidah ialah perkara paling utama dalam kehidupan mereka dan tidak dapat dikompromi sedikit pun.

Maka, pengakuan Adila bahawa dirinya tetap berpegang teguh terhadap syahadah, malah berterusan membimbing suami tentang Islam sangat melegakan. Demikian juga berita yang dibawa balik oleh Kamar Mautum yang ditemani oleh Hishamuddin Rais (yang juga pernah beberapa dekad menetap di England) bahawa adiknya itu bersetuju untuk pulang ke tanah air dalam tempoh sembilan dan membaca al-Quran. Walaupun Aishah sudah tidak boleh berbahasa Melayu, jika dia berada dalam persekitaran tempatan, perkara itu mudah sahaja sebagaimana yang dibuktikan oleh pendatang Bangladesh dan Nepal yang langsung tidah pernah bertutur bahasa Melayu sebelumnya.

Masyarakat Islam betapa pun telah jauh daripada amalan kehidupan yang dikehendaki dalam syariat, di hati mereka masih bersemi cahaya iman walaupun mungkin malap sahaja. Rakyat Bosnia Herzegovina tidah ubah seperti masyarakat Barat yang lain dari segi luaran, tetapi apabila dizalimi oleh puak Serbia yang pernah berjiran dan berbaik dengan mereka, telah berpaling semula kepada ajaran Islam dan saudara seagama. Cahaya yang malap tadi mula bersinar dan menjadi terang semula.

Sejak kejatuhan empayar Uthmaniyyah Turki pada tahun 1924, nasib umat Islam menjadi terumbang-ambing. Kekuatan kesarjanaan, politik, ekonomi, sosial dan dakwah umat Islam menghadapi cabaran getir fahaman sekular dam proses pembaratan. Rejim boneka di rantau strategik umat Islam berjaya muncul sebagai pencatur agenda Barat yang menaruh dendam kesumat terhadap umat Islam rentetan kekalahan mereka dalam beberapa siri Perang Salib.

Barat juga berasa cemas dengan perkembangan pesat Islam di negara masing-masing, lalu mengenakan pelbagai tekanan yang tidak masuk akal dan bertentangan sama sekali dengan pendirian hak asasi yang mereka sendiri perjuangkan. Amerika Syarikat, Australia dan negara-negara Eropah juga semakin bimbang dengan profil demografi di sana yang menunjukkan bahawa dominasi kaum kulit putih kian lemah. Barat mungkin berjaya menafikan mega trend 2000 yang diramalkan oleh John Naisbitt atau East West Pendulum oleh Robert Lyod George (klik di sini) menerusi serangan mata wang dan permainan licik globalisasi, tetapi sejarah tajdid setiap 100 tahun tidak mampu disekat.

...

...

Friday, November 29, 2013

PENEMPATAN SISWAZAH PENDIDIKAN DAN URUSAN PERTUKARAN GURU (LATEST NEWS ABOUT TEACHING SERVICES)

Sidang Dewan Rakyat pada hari Selasa, 26 November yang lalu diberitahu bahawa Kementerian Pendidikan tidak menjanjikan penempatan kepada siswazah sarjana muda perguruan, termasuk lulusan institut pengajian tinggi awam seperti Upsi, UKM, UM, UPM, USM, UTM, UTHM, UUM, UiTM dan lain-lain. Lulusan Institut Pendidikan Guru (IPG) yang dikhususkan untuk pengajian sekolah juga tidak lagi ditempatkan secara automatik. Mereka perlu membuat permohonan secara atas talian menerusi portal www.jobsmalaysia.com (sila klik pada nama portal) bagi tujuan panggilan temu duga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP, klik di sini untuk maklumat lanjut). 

Amalan penempatan guru secara sandaran terlatih sebelum pelantikan tetap sebelum tahun 2012 telah dimansuhkan. Di bawah amalan itu, siswazah ditempatkan di sekolah terlebih dahulu sebelum dicalonkan untuk menghadiri temu duga pihak SPP. Perbezaan tarikh penempatan sandaran terlatih boleh jadi antara sebulan hingga setahun, bergantung kepada tarikh lulus temu duga, serta perakuan norma dan vot perjawatan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). 

Konsep penempatan guru secara sandaran terlatih diganti dengan penempatan secara interim sebelum layak dipertimbangkan untuk lantikan tetap. Pada amnya hanya siswazah perguruan yang mencatat purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.5 dan ke atas sahaja diberi pertimbangan untuk lantikan secara automatik. Namun, terma dan syarat penempatan guru berkenaan dijangka berbeza dari tahun ke tahun berdasarkan keperluan. 

Kriteria penempatan guru baharu ialah kekosongan perjawatan di sekolah dan keperluan opsyen mata pelajaran. Menerusi pangkalan data secara berpusat, maklumat tentang permintaan dan penawaran guru baharu lebih cepat dapat diproses. Pada bulan Januari tahun lalu, kira-kira 5,000 orang siswazah pendidikan IPTA diambil bagi mengisi kekosongan jawatan di sekolah menengah.

Isu pengangguran siswazah pendidikan berlaku justeru peningkatan tempat pengajian diploma pendidikan pascasiswazah dan pengajian prasiswazah di IPTA, lebih-lebih lagi setelah Upsi ditubuhkan. Sebelum itu, lulusan Diploma Pendidikan UKM, UM, UPM, USM, UIAM dan UTM tidak menghadapi masalah penempatan walaupun mereka bukan pemegang biasiswa Kementerian Pendidikan. Selain Upsi, beberapa universiti komprehensif yang lain seperti UUM turut menawarkan program pengajian pendidikan.

Pemohon jawatan guru perlu membuat persiapan rapi apabila menerima surat panggilan temu duga (menerusi portal KPM atau SPP), serta mentelaah pelaksanaan dasar dan pendekatan pendidikan terkini seperti PPPM, NKRA, NBOS, MMI, PBS dan banyak lagi. Calon yang dipanggil juga harus membaca tentang fungsi dan struktur pentadbiran SPP, termasuk pengerusi barunya, Dr. Haili Dolhan dari Sarawak. Beliau mantan rektor IPGM.

Tujuan paling utama temu duga ialah untuk melihat calon secara fizikal (in person) bagi melihat kesesuaian tampang mereka sebagai bakal guru, di samping tahap kenyaringan suara, etika dan tingkah laku yang menepati piawaian (standard) guru Malaysia. Hal berkenaan selaras dengan dasar pengambilan kakitangan awam yang baharu dalam kalangan bakat terbaik. Calon guru perlu datang dengan pakej pencapaian akademik, ikhtisas, kemahiran insaniah, kepimpinan dan sahsiah yang mulia. 

Sementara itu, dalam isu pertukaran guru, pihak kementerian mendapati jumlah permohonan melebihi kekosongan yang terdapat di beberapa buah negeri, terutama Kelantan, Kedah dan Terengganu. Keutamaan diberi kepada guru yang mengikut pasangan masing-masing untuk bertugas di sesuatu kawasan. Buat masa ini, tidak semua permintaan untuk bertugas di negeri masing-masing dapat dipenuhi walaupun pemohon mempunyai alasan yang kukuh untuk berdekatan dengan anggota keluarga, khususnya ibu bapa yang lanjut usia.

Sebagai contoh, Kelantan memiliki norma perjawatan guru sebanyak 28,054 orang, tetapi jumlah guru yang berasal dari negeri itu di seluruh negara ialah sebanyak 57,740 orang. Hal itu bermakna hampir 30,000 orang guru dari Kelantan harus berkhidmat di perantauan dan kena terus berdoa agar beroleh kesempatan pulang bertugas di kampung halaman sebelum bersara. Antara opsyen mata pelajaran yang paling banyak permintaan bertukar ialah Pendidikan Islam, iaitu ustaz dan ustazah.

Terengganu mencatat 1,267 permohonan, tetapi hanya terdapat 169 kekosongan. Kedah pula mempunyai 274 kekosongan berbanding dengan jumlah permohonan sebanyak 1,523. Terdapat pemohon yang menolak untuk ditempatkan di negeri berdekatan, sebaliknya mahu menunggu sehingga dapat balik mengajar di negeri asal masing-masing.

Dalam jangka panjang, pihak kementerian membuat unjuran supaya pengambilan guru dilaksanakan menurut keperluan sesebuah negeri supaya calon guru dapat terus ditempatkan di negeri asal masing-masing. Pihak kementerian juga prihatin tentang guru yang terpaksa berjauhan dengan pasangan hidup masing-masing. Kebajikan dan kesejahteraan para guru sentiasa diberi perhatian demi kepentingan pembelajaran di sekolah.

Sumber maklumat:
1   Kosmo, 27/11/13. ms 5: Kementerian Pendidikan tak janji penempatan graduan.
2   Berita Harian, 28/11/13. ms 16: Permohonan pertukaran guru melebihi kekosongan ditawar.
3   Ibid: Halili Dolhan dilantik Pengerusi SPP.

Thursday, November 28, 2013

PERANCANGAN BELANJAWAN KELUARGA 2014 (ESTIMATING INCOME AND SPENDING ACCORDINGLY)

Setiap organisasi yang rasmi dan membabitkan kepentingan banyak pihak wajib membentangkan belanjawan tahunan yang berupaya penyata anggaran pendapatan dan perbelanjaan untuk tempoh setahun berikutnya. Belanjawan boleh disemak semula berdasarkan keperluan, tetapi tertakluk kepada tatacara kelulusan pembentangan yang asal. Pendek kata, pengurusan kewangan sesebuah organisasi tidak boleh bercanggah atau melencong daripada belanjawan yang diluluskan.

Bagaimanakah pula sesebuah keluarga merancang belanjawan masing-masing walaupun hakikatnya dilakukan secara sukarela? Perbelanjaan keluarga secara berhemah yang sejajar dengan jumlah pendapatan ketua keluarga dapat mengelakkan pembaziran dan beban hutang keliling pinggang. Tanggungjawab menyara keluarga terpikul di atas bahu bapa, dan boleh dibantu oleh ibu yang memiliki pendapatan sendiri.

Di negara maju, sesebuah keluarga boleh mendapatkan khidmat nasihat secara percuma dalam penyediaan belanjawan isi rumah. Pelbagai agensi awam dan organisasi sukarela menawarkan bantuan merancang belanjawan yang seimbang dan selamat (klik di sini). Jika anggaran perbelanjaan melebihi pendapatan sedia ada,ketua keluarga kena mencari jalan bagi memperoleh pendapatan tambahan, atau memotong perbelanjaan kurang mustahak, atau jika masih tidak boleh dielakkan juga, menjadualkan pembayaran hutang kepada institusi kewangan yang sah.

Pecahan butir belanjawan harus merangkumi jumlah pendapatan boleh guna isi rumah, iaitu setelah ditolak cukai pendapatan. Perincian slip gaji boleh menjadi panduan kasar tentang baki pendapatan yang boleh dibawa balik kerana masih ada bayaran tunai bulanan yang perlu dibuat. Contoh jadual belanjawan secara atas talian boleh dimanfaatkansepenuhnya  (klik di sini).

Di Malaysia, nisbah hutang isi rumah terhadap pendapatan bulanan dianggarkan mencecah angka 60:40. Sesebuah keluarga harus menanggung hutang pembelian rumah sehingga ketua keluarga bersara, atau jika berlaku kematian sebelum tamat tempoh bayaran. Selain itu, terdapat hutang kenderaan, pinjaman peribadi dan pembelian barang secara ansuran (bayaran tertangguh).

Dengan baki pendapatan yang tidak seberapa bagi keluarga kelas pertengahan, ketua keluarga perlu merancang perbelanjaan keperluan asas, iaitu makanan, pakaian, bil kemudahan rumah dan telekomunikasi, serta kos bahan api kenderaan. Semua perbelanjaan pembelajaran anggota keluarga juga mesti dimasukkan. Pendidikan anak menjadi tanggungjawab wajib para ibu bapa, bukan satu pilihan.

Tabungan minimum sebanyak 10 peratus daripada pendapatan ketua keluarga juga perlu diperuntukkan dalam jadual belanjawan untuk pelbagai tujuan, misalnya untuk menunaikan ibadah haji, melancong dan luar jangka (urusan kecemasan). Simpanan tunai juga merupakan satu bentuk kuasa beli yang luar biasa apabila terdapat tawaran pembelian hartanah yang memerlukan bayaran pendahuluan tunai. Tabiat menabung memerlukan disiplin yang tinggi dan sukar dilakukan oleh orang yang tidak mempunyai wawasan.

Bagi orang Islam, kekayaan bukan diukur dengan menghitung jumlah wang di tangan, atau akaun simpanan bank, tetapi terhadap perbelanjaan yang menjurus kepada konsep kebajikan, kebaktian, tolong-menolong dan taqwa. Setiap sen perbelanjaan yang dikeluarkan untuk keluarga dikira sebagai infaq fi sabilillah dan sedekah jika diniatkan kerana Allah. Begitu juga dengan pertolongan kewangan, jika mampu, kepada sanak saudara terdekat, jiran tetangga dan masyarakat yang memerlukan selain bayaran zakat yang wajib.

Kad kredit ialah kemudahan belanja dahulu, bayar kemudian. Namun, penggunaan kad kredit hendaklah dikawal mengikut belanjawan keluarga yang ditetapkan dengan sejumlah peruntukan wang yang disediakan terlebih dahulu. Maksudnya, kad kredit hanya patut digunakan berdasarkan jumlah wang sebenar di tangan (atau dalam akaun simpanan khas) dan bukan mengakibatkan pendapatan bulan akan datang habis begitu sahaja sebelum dapat dinikmati.

Begitu banyak kebijaksanaan dan pesanan generasi dahulu boleh dijadikan pedoman dalam proses penyediaan belanjawan keluarga yang berhemah, bijak dan berimbang. Ukur baju di badan sendiri; jika melihat bintang di langit jangan lupa rumput di bumi; mendengar guruh di langit, air tempayan jangan dicurahkan dan sesenarai panjang peribahasa yang seumpamanya. Paling penting ialah peruntukan belanjawan yang dibuat mempunyai nilai ibadah dan akur terhadap segala prinsip yang digariskan ...

Wednesday, November 27, 2013

PANTAI REMIS MILIK ORANG (FALLS IN THE SAME HOLE)

Pertama kali berkunjung ke pekan berasaskan kegiatan perikanan dalam pentadbiran daerah Manjung itu ialah ketika menghadiri program anjuran sebuah jabatan kerajaan dekat Akademi Segari. Di kiri dan di kanan jalan menuju Pantai Remis ialah pemandangan kampung dengan saiz keluasan pemilikan tanah mencecah sepuluh ekar bagi setiap keluarga. Namun, kewujudan rumah colok di setiap lot tanah yang diperhatikan menjadi saksi betapa hampir seluruh kampung tradisional Melayu di situ sudah bertukar tangan.
premis peniagaan hasil laut milik bumiputera di Pantai Remis

Pemilikan ke atas tanah merupakan asas pembentukan sesebuah masyarakat, daerah, negeri dan negara. Jika tanah milik penduduk asal sesebuah kawasan terlepas kepada orang lain dengan saiz keluasan yang besar, maka secara tidak langsung, penduduk asal akan terusir. Ke manakah perginya penduduk asal kampung tradisional Melayu di situ?

Nampaknya pengalaman sejarah Palestin belum cukup untuk menjadi iktibar. Pendatang yahudi yang tidak lagi disenangi di negara-negara Barat berkelana ke wilayah Palestin dengan tidak mempunyai tempat tinggal, tetapi mereka berbekalkan sejumlah wang yang banyak. Mereka melakukan pembelian tanah milik penduduk asal Palestin secara sedikit demi sedikit.

Lama-kelamaan, kaum pendatang Yahudi sudah menguasai sejumlah besar kawasan tanah di Palestin dan menjemput lebih ramai pendatang Yahudi ke sana. Setelah memiliki kekuatan dari segi pemilikan tanah dan masyarakat, pendatang Yahudi mula merampas tanah penduduk Palestin tanpa belas kasihan, lalu pada akhirnya dengan dukungan Barat, membentuk negara dan rejim haram Tel Aviv. Kesilapan yang berlaku telah mengakibatkan penduduk Palestin hidup dalam kesengsaraan dan terdedah kepada serangan tentera jahat yang asalnya pembeli tanah yang sangat licik.

Dalam konteks tempatan, sejarah Temasek dan Pulau Pinang terbentang di hadapan mata. Sekali pemilikan tanah terlepas, maka sukar untuk ditebus kembali. Kelak anak cucu hanya mampu menangis tidak berlagu sambil menyalahkan sikap haloba nenek moyang mereka yang cepat gelap mata dan cuai.

Kejahilan, manipulasi, sistem riba dan kegiatan ekonomi moden boleh dijadikan alasan penyusutan saiz tanah milik orang Melayu, termasuk di kawasan strategik. Perbuatan menyalahkan pihak ketiga, tetapi dalam masa yang sama enggan mengaku kecuaian diri sendiri ialah tanda kecelaruan fikiran. Pemimpin yang peka terhadap kekuatan umat mesti melakukan sesuatu supaya kesedaran tentang peri pentingnya mempertahankan pemilikan tanah kembali berputik dan bersemi dalam kalangan orang Melayu.

Kefahaman terhadap Kanun Tanah Negara 1965 dengan pindaan  (klik di sini)  perlu disampaikan kepada pemilik tanah dengan laras bahasa mudah difahami. Data terkini tentang status pemilikan tanah di seluruh negara juga patut didedahkan. Ruang untuk amalan rasuah dalam urusan jual beli tanah sama ada oleh pihak broker atau kakitangan pihak berkuasa negeri hendaklah ditutup rapat.

Isu tanah terbiar dan tanah simpanan kekal orang Melayu juga harus ada jalan keluar. Di kawasan sawah padi Kampung Gajah dan Sungai Manik sebagai contoh, sudah diusahakan oleh orang lain walaupun hak milik tanah masih di tangan pemilik asal. Orang Melayu lebih rela berpeluk tubuh, berpangku tangan dan goyang kaki untuk menikmati hasil yang tidak seberapa berbanding dengan pulangan moncah yang dikaut oleh orang lain yang mengerjakan sawah secara komersial.

Keadaan yang sama berlaku di sebelah pantai timur. Orang Melayu lebih rela menjadi kuli menangkap ikan berhari-hari di laut dengan bot kepunyaan taukeh luar daripada bersatu di bawah naungan koperasi nelayan tempatan misalnya. Ketika mereka dilambung ombak dan memerah keringat, taukeh bot bergelak ketawa di rumah masing-masing, atau melilau di gedung beli-belah berhawa dingin.

Tidak dinafikan sudah banyak tokoh korporat dalam kalangan orang Melayu bergelar yang telah berjaya membina empayar perniagaan yang bertapak kukuh dalam ekonomi hingga tersenarai di bursa saham. Namun, mereka juga harus sanggup berkorban dengan margin keuntungan yang relatif lebih rendah demi memastikan bahawa saudara serumpun mereka juga mampu memiliki hartanah di kawasan segi tiga emas yang mereka bangunkan. Semoga kisah Pantai Remis akan sentiasa mengingatkan orang Melayu supaya bangkit daripada dibuai mimpi yang panjang dan bersegera mengembalikan kekuatan umat ...

MEMARTABATKAN EKONOMI UMMAH (THE WISDOM AND VIRTUE PARADIGM)

Umat Islam akhir zaman menghadapi cabaran getir bagi menjaga kekuatan aqidah, syariat dan akhlaq, tetapi tetap dengan kewajipan misi risalah dakwah, iaitu menyebarkan ajaran tawhid kepada sekalian insan.

seterusnya

selanjutnya

maka

sesungguhnya

natijah besar

tuntas

kepimpinan

kesegeraan

kesimpulan

Tuesday, November 26, 2013

KENAIKAN HARGA BERLELUASA SERLAH WAJAH KAPITALISME (THE EVIL RULES WITHOUT EMPATHY)

Isi rumah berusaha memaksimumkan kepuasan, firma berusaha memaksimumkan keuntungan, dan kerajaan berusaha memaksimumkan kebajikan. Teori tentang peranan pelaku ekonomi menyebut demikian. Isi rumah membentuk bilangan pelaku ekonomi yang paling ramai, tetapi mereka sukar sekali utnuk bersepakat dalam konteks membuat keputusan dan agihan sumber sehingga menjadikan kuasa tawar-menawar mereka menjadi sangat lemah.

Isi rumah ialah pemilik sebenar faktor pengeluaran, iaitu buruh, tanah, modal dan usahawan. Mereka bersaing di pasaran faktor untuk memperoleh pendapatan bagi setiap faktor tadi, iaitu upah, sewa, bunga (dalam sistem muamalat: dividen, nisbah perkongsian risiko) dan untung. Dalam proses itu (model pusingan aliran pendapatan), segelintir isi rumah akan muncul sebagai usahawan kaya raya yang menguasai sumber, manakala majoriti isi rumah berkongsi baki sumber yang ditinggalkan menerusi persaingan sengit sebagai pengguna biasa.

Pengguna tidak bersatu padu untuk membentuk kuasa tawar-menawar atau memberi tekanan kepada penjual (usahawan). Pengguna juga terperangkap dalam budaya utilitarian (mementingkan faedah terhadap diri sendiri) dan mudah dieksploitasi menerusi strategi pemasaran yang licik. Pengguna seolah-olah rela menjadi mangsa kepada sifat tamak usahawan yang tidak berhati perut.

Keuntungan ialah pendapatan kepada usahawan atas sebab kesanggupan menanggung pelbagai jenis risiko dan kos lepas. Menerusi jumlah jualan secara besar-besaran usahawan yang mengendalikan sesebuah firma dapat menikmati faedah ekonomi bidangan. Kos pengeluaran per unit (kos purata) dapat diturunkan bagi membolehkan firma menawarkan harga keluaran yang lebih rendah kepada pengguna.

Masalah yang dihadapi oleh pengguna ialah kenaikan harga yang berleluasa, dan mereka langsung tidak berdaya untuk membuat bantahan yang berkesan atau signifikan. Barang keperluan asas, iaitu makanan, pakaian dan rumah mengalami peningkatan harga yang luar biasa dari masa ke masa. Demikian juga dengan harga kenderaan persendirian yang menjerut leher isi rumah apabila terpaksa menanggung beban hutang yang tidak berkesudahan.

Peranan kerajaan dalam ekonomi ialah untuk memaksimumkan kebajikan, sama ada kebajikan pengguna mahupun kebajikan pengeluar (biasanya firma kecil dalam pasaran persaingan sempurna). Kerajaan campur tangan menerusi pelbagai dasar makro, terutama dasar fiskal dan dasar kewangan. Kerajaan juga membiayai pengeluaran barang awam menerusi sistem agihan semula pendapatan faktor supaya matlamat kebajikan dapat tercapai.

Dengan pengecualian kepada sekumpulan usahawan budiman, sebahagian besar usahawan menjadi semakin rakus dan tamak mengumpul timbunan harta kekayaan seperti kisah Qarun yang akhirnya ditelan bumi akibat keangkuhan dan kufur. Usahawan rakus yang membentuk kaum pemodal (kapitalis) memang licik untuk menyembunyikan wajah jahat mereka menerusi aktiviti yang bersifat murah hati. Mereka muncul dalam majlis amal tertentu yang mendapat liputan media, serta menaja program kebajikan yang terpilih.

Usahawan kapitalis seperti itu tidak ubah seperti raja dadah Colombia yang berjaya mengeksploitasi kejahilan dan kemiskinan hampit dua juta orang pengikut mereka sehingga muncul bagaikan dewa pujaan dalam sebuah wilayah jajahan autonomi yang sukar didekati oleh pihak berkuasa. Kaum kapitalis hidup serba mewah atas susah payah dan keringat orang bawahan dan suruhan mereka yang sampai ke peringkat bersabung nyawa. Kegagalan untuk memulau kegiatan kaum kapitalis menyebabkan pengguna terus tertindas dan menjadi mangsa.

Teguran terhadap kaum kapitalis tidak bermakna bahawa seseorang itu sudah menjadi sosialis atau lebih teruk sebagai pendukung komunisme yang menuntut kesamarataan. Jari di tangan dan di kaki pun tidak sama besar dan panjang setiap satu, melainkan dalam watak kartun Nancy dan Slugo. Harta kekayaan tidak patut berlegar dalam kalangan segelintir orang kaya supaya sesebuah ekonomi tidak mengalami kemusnahan akibat kejatuhan perbelanjaan agregat dalam jangka panjang.

Negara maju mempunyai peraturan dan sekatan terhadap pemilikan harta kekayaan dan amalan monopoli. Sudah sampai masanya kegilaan usahawan yang rakus dan tamat mengekploitasi kejahilan pengguna yang enggan bersatu padu dikenakan kawalan yang tertentu. Jika dibiarkan, peranan kerajaan untuk memaksimumkan kebajikan akan dipandang sepi dan kegiatan ekonomi terus menjadi tidak sihat ...