Friday, November 27, 2009

MENGUNJUNGI NEGARA TABIR BESI (VISITING RUSSIA IN THE ERA OF SOVIET)

"Ayah berjanji untuk membawa aku ke luar negara jika lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran, SRP (kini PMR). Alhamdulillah, aku mendapat sepuluh agregat. Aku tidaklah mendesak kerana yahu bahawa ayah sentiasa berpegang teguh pada janji. Akhirnya, pada bulan September tahun berikut, ayah membawa khabar gembira tentang jemputan Persatuan Penulis Russia untuk melawat negara mereka selama dua minggu.

Di Moscow, ayah dan aku disambut oleh Pak Cik Sikorsky, seorang ahli jawatankuasa persatuan. Kami menginap di sebuah hotel di tengah-tengah kota Moscow. Setelah dibawa ke pelbagai majlis dan tempat, akau membuat kesimpulan bahawa di Russia, penulis dan kesenian menjadi milik rakyat, dan dianggap lebih penting daripada agama. Ketika itu, Kesatuan Soviet masih mengandungi 17 buah republik dan memiliki keluasan melebihi 22 juta kilometer per segi. Pengaruh Revolusi Bolshevik masih utuh.

Ayah dan aku juga berpeluang mengunjungi Tashkent, Kiev dan Vladimir. Kami dibawa melawat makam Imam Bukhari, periwayat hadith sahih yang ulung. Kami dilayan oleh Mak Cik Margareta dan Pak Cik Ural. Kami juga melihat kesan pengaruh seni bina Islam dalam reka bentuk istana dan gereja di sana.

Kemudian, kami kembali ke Moscow dan sekali lagi ditemani oleh keluarga Pak Cik Sikorsky, dan anaknya Kak Zainia. Saya paling suka dengan buah epal rangup yang dikutip dari kebun keluarga Kak Zainia. Layanan mesra mereka akan menjadi kenangan sepanjang hayat..."


Cerita di atas nukilan Hasan Ali, lewat karyanya "Menembusi Tabir Besi" yang diterbitkan oleh Dewan  Bahasa dan Pustaka pada tahun 1989 dan diulang cetak beberapa kali. Bahasa yang digunakan oleh pengarang sangat menarik, tetapi mudah difahami oleh pembaca biasa. Hasan Ali dapat membawa masuk pembaca ke dalam cerita berkenaan.

Antara maklumat baru bagi pembaca ialah ejaan Moscow / Moskow tidak pernah ditemui di Russia. Sebaliknya yang tertera hanyalah nama MOCKBA  yang disebut Maskoba (halaman 4). Watak "aku" ialah Azizul, manakala ayahnya Syukri. Walaupun Russia sangat luas, kebanyakan penduduknya hanya berpeluang menduduki rumah pangsa. Tiada gedung membeli-belah mewah atau bangunan pencakar langit sepeti di Kuala Lumpur.

Kini Kesatuan Soviet (USSR) tinggal sejarah. Selepas kekalahan Soviet di tangan pejuang Afghanistan pada awal 1990-an, Presiden Gorbachev telah memberi kemerdekaan kepada 16 buah republik lain. Antaranya ialah Azerbaijan, Tajikistan, Turkmenistan, Uzbekistan, Kazakhstan, Kyrgistan (majoriti penduduk Islam, menjadi sebahagian rantau Asia Tengah), Armenia, Georgia, Ukraine,  dan Belarus (majoriti Kristian, dalam benua Eropah). Namun, dalam Russia sendiri masih terdapat lebih 20 juta penduduk Islam di Tartarstan, Daghestan, Chechnya, dan beberapa buah republik kecil yang lain.

Saiz Russia masih besar, iaitu 17 juta kilometer per segi, menganjur dari timur Eropah ke Asia Timur. Sistem kereta api Trans-Russia bermula dari Moscow hingga ke Vladivostok, berhampiran Semenanjung Kamchatka, sebuah kawasan sebesar pulau Borneo, tetapi tiada berpenghuni. Russia juga menguasai Pulau Sakhaline (separuh keluasan Semenanjung Malaysia) dan Kepulauan Kurile yang masih menjadi pertikaian dengan Jepun hingga sekarang.


Ketika era Perang Dingin, hubungan Soviet dengan Amerika Syarikat sentiasa mencemaskan dunia. Kini, Russia semakin membuka pasaran ekonominya. Dengan simpanan gas dan petroleum di Siberia yang begitu banyak, kuasa tawar-menawar Russia dari segi politik dan ekonomi dijangka mengukuh.

Dasar peluasan era imperialisme Soviet lebih tertumpu kepada wilayah di sekitarnya sahaja. Soviet tidak pernah melanggar negara yang lebih jauh sepertimana yang dilakukan oleh Amerika Syarikat. Cuma cengkaman pengaruhnya di Eropah Timur masih kuat hingga sekarang.

Selain Russia, hanya Turki menjadi negara dua benua. Amerika Syarikat yang menguasai Hawaii di Lautan Pasifik dan Guam tidak dapat dikategorikan demikian. Begitu juga pendudukan England ke atas Falkland berhampiran Argentina masih terbabit dengan tuntutan bertindih.

Lebih menarik bahawa jika Russia tidak menjual Alaska kepada Amerika Syarikat, pada era pemerintahan maharaja, nescaya Russia ialah negara tiga benua: Asia, Eropah dan Amerika Utara. Sekali menjadi sejarah, mustahil dapat diundur kembali. Kita juga boleh mengambil iktibar itu...

Wednesday, November 25, 2009

SELAMAT HARI RAYA EIDUL ADHA (THE MOMENT OF HAJJ BEGINS AT ARAFAH, MUSLIMS CELEBRATE RAYA WORLDWIDE)

26 November 2009 / 9 Zulhijjah 1430

Hari ini, hampir tiga juta umat Islam berkumpul di padang Arafah bagi menunaikan rukun haji, iaitu wukuf. Wukuf ertinya berada di bumi Arafah walaupun sebentar. Kebiasaannya, jemaah haji mula tiba di Arafah petang sebelumnya (8 Zulhijjah, hari tarwiyyah) dan ditempatkan di khemah yang telah disediakan. Detik wukuf bermula dengan azan Zuhur yang bersekali dengan permulaan khutbah Arafah, sesuatu yang hanya berlaku di situ sahaja.

Jemaah Malaysia biasanya akan bergerak ke Muzdalifah selepas Isyak untuk mabit (singgah bermalam sekurang-kurangnya sekejap selepas separuh malam; dikira  sebagai malam 10 Zulhijjah) sambil disunatkan mengutip batu-batu sebesar biji kacang yang bakal digunakan semasa melontar jamrah di Mina kelak.

Melontar jamrah ialah wajib haji. Jika tidak dikerjakan, jemaah diwajibkan membayar dam. Rukun haji yang lain  ialah niat, tawaf, saei, bercukur (atau bergunting), dan tertib pada kebanyakan rukun. Jemaah yang bermalam di Mina selama dua malam sahaja dan terus kembali ke Makkah (meninggalkan Mina sebelum jatuh matahari pada 12 Zulhijjah) disebut sebagai nafar awal, manakala yang memilih tiga malam penuh  (malam-malam tasyrik: 11, 12, 13 Zulhijjah) disebut nafar thani.



Selesai mengerjakan rukun haji sama ada melepasi tahalul awal, atau tahalul thani, jemaah sudah bebas daripada larangan berihram. Contohnya, jemaah lelaki sudah boleh menyarung pakaian berjahit. Ada juga jemaah wanita yang berulang-alik dari Mina ke Makkah untuk mengerjakan tawaf (dan saei) supaya tidak terjejas dengan keuzuran (datang haid).


Penulis blog (PB) mendoakan sekalian jemaah haji beroleh keredaan Ilahi bagi mencapai status haji mabrur. Mudah-mudahan ruh dan tarbiyyah haji bakal dibawa balik ke negara masing-masing dengan mesej kecemerlangan dan ketaqwaan memberi kebaikan kepada seluruh umat manusia, insya-Allah...



Umat Islam digalakkan melakukan ibadah korban mulai hari raya haji pertama hingga 13 Zulhijjah (sebelum Asar). Daging korban diagih-agihkan kepada tiga bahagian (tuan empunya, fakir miskin dan golongan sederhana). Ibadah ini mengeratkan ikatan persaudaraan umat Islam.


SELAMAT HARI RAYA HAJI

PASUKAN DEBAT SMI 2010 LEBIH MANTAP (MICHAELIAN'S PARLIAMENTARY DEBATE TEAM TO PERFORM BETTER)

Pasukan Debat Ala Parlimen SMK St. Michael, Ipoh (SMI) telah menunjukkan pencapaian membanggakan apabila memasuki pertandingan akhir Zon 2 Kinta Utara tahun ini. Namun, kemaraan SMI disekat oleh musuh tradisinya, iaitu SMK Anderson. Pendebat SMI nyata sukar menerimanya, justeru mereka berpendapat bahawa pasukan Anderson terlalu bergantung kepada teks.

Sebenarnya bagi mencapai kemenangan, sesuatu pasukan harus bergantung kepada kekuatan sendiri. Jika mengharapkan kemenangan atas faktor "kekurangan" pihak lawan, risikonya cukup tinggi. Ketua hakim, Encik Khairuddin (PK Koku, SMK Seri Ampang) telah memberikan justifikasi dan saranan yang cukup berguna untuk pedoman pasukan yang berhasrat mengungguli pertandingan debat ala parlimen 2010.

Perkara yang paling dititikberatkan oleh panel hakim ialah potensi pasukan yang boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Pasukan Anderson telah membuktikannya apabila berjaya mara hingga ke pentas  akhir daerah Kinta Utara (semuanya 6 zon), sebelum berpuas hati sebagai naib juara. Pasukan SMI harus menerima dengan fikiran yang terbuka akan segala kritikan panel hakim yang masih memerlukan persembahan sebenar suasana parlimen, terutama dari segi intonasi dan gaya berdebat yang lebih bersesuaian.
 

Sebelum mara ke pertandingan akhir yang berlangsung di SMK Anderson, pasukan SMI telah berjaya mengenepikan cabaran pendebat ala parlimen SM Teknik Leboh Cator, Ipoh. Kemenangan itu memang telah dijangkakan kerana pasukan SMI dapat memberikan isi dan hujah yang sukar ditangkis oleh pihak lawan.

Pada pusingan kedua, debaran mula dirasakan. Pasukan SMK Sam Tet ternyata menampilkan barisan "Yang Berhormat" yang seimbang dan mampu melontarkan isi, serta hujah yang meyakinkan. Namun, fokus Sam Tet yang berlebihan dan agak rigid tentang definisi "kebanjiran" telah memakan diri. SMI dihadiahi kemenangan untuk melangkah ke saingan akhir.


Pencapaian naib juara zon 2 Kinta Utara bagi pasukan debat ala parlimen tahun 2009 telah menjadi sejarah. Kini, tahun 2010 menyongsong tiba. Jika pasukan debat SMI mahu mencatat kejayaan yang lebih cemerlang, beberapa langkah penambahbaikan perlu dilaksanakan. Sambil itu, pasukan SMI juga harus mencari x-factor, justeru pasukan lain juga akan menggandakan kekuatan mereka!

Selain intonasi dan gaya persembahan (body language), sesebuah pasukan debat ala parlimen harus menunjukkan rasa hormat kepada Yang Dipertua / Speaker Dewan selaku pengerusi persidangan. Maka, apabila hendak beralih kepada isi baharu, sebutkan "tuan speaker...." terlebih dahulu.

Selain itu, strategi izin laluan hendaklah dititikberatkan. Setiap pendebat atau pembahas harus menerima dua soalan atau pendapat pihak lawan bagi giliran masing-masing. Jawapan yang dikemukakan hendaklah menggambarkan seorang  "Yang Berhormat" berupaya memberikan respons yang munasabah, serta dapat mematahkan hujah lawan secara bijak.

Peranan pendebat atau pembahas simpanan tidak kurang pentingnya. Mereka diperlukan bagi mencatat hujah pihak lawan, dan membantu dari segi penyediaan isi dan hujah yang dapat memusnahkan kes atau usul pihak lawan. Mereka tidak boleh pasif, sebaliknya memberi input kepada pendebat seterusnya.

Beberapa orang bekas pelajar SMI yang kini bertapak kukuh dalam kerjaya guaman telah menawarkan diri untuk memberi latihan dan tunjuk cara. Mereka memiliki pengalaman berhujah dalam perbicaraan mahkamah, di samping ada yang bergelar "Yang Berhormat" di parlimen sebenar. Sudah tentu tapisan perlu dilakukan supaya tidak berlaku konflik dengan dasar dan peraturan Kementerian Pelajaran.

Semoga pasukan debat ala parlimen SMI 2010 mencapai sasaran. Insya-Allah...

Tuesday, November 24, 2009

TENGKUJUH PERSIS RATAPAN ALAM (THE WET SEASON IN THE EAST COAST OF PENINSULA)



Setitik hujan mungkin tidak berbekas. Namun, apabila hujan mulai turun mencurah-curah, persediaan yang biasa sudah tidak bersesuaian. Di Filipina, ratusan jiwa terkorban dalam banjir luar biasa, manakala di utara England, buat pertama kali dalam seribu tahun, hujan lebat yang berterusan menenggelamkan sebahagian besar petempatan. Di Bangladesh pula, rakyatnya sudah mangli dengan fenomena banjir.


November hingga Mac ialah tempoh tiupan angin monsun timur laut di Laut China Selatan yang membawa bersama-samanya tompokan mega mendung yang berpotensi menyirami bumi semahu-mahunya. Maka, penduduk Kelantan, Terengganu dan Pahang diselimuti kedinginan hingga ke tulang sum-sum.  Tempiasnya turut dirasai di negeri-negeri utara seperti Perlis, Kedah dan Perak.


Apa khabar calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran  Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)? Bolehlah kalian melelapkan mata pada waktu malam tanpa perlu putaran kipas angin atau belaian pendingin hawa. Dengan tidur yang mencukupi, kalian bisa menulis jawapan dengan lebih baik dan lengkap. Hendaknya...


Penulis blog (PB) ingin berkongsi dua pengalaman hujan lebat yang mengakibatkan kenderaan terperangkap dalam kesesakan yang sangat panjang jaraknya dan jangka masa pemanduan yang berkali-kali ganda. Beberapa tahun dahulu ketika melalui Lebuh Raya Timur Barat (sebenarnya jalan persekutuan) yang menghubungkan Gerik, Perak dengan Jeli, Kelantan, berlaku runtuhan tanah yang menutupi laluan. Banyak pemandu kereta yang mengambil keputusan berpatah balik ke arah Gerik justeru tidak sanggup menunggu hingga kerja-kerja mengalihkan halangan tanah selesai.

Hampir semua pemandu lain seakan-akan pasrah. Mereka mematikan enjin dan berbual-bual dengan pengguna-pengguna lebuh raya yang senasib. Sebuah lori kecil yang mengangkut buah rambutan menjadi sasaran orang ramai yang dahaga dan lapar. Nampaknya buah rambutan mereka tidak perlu lagi dipasarkan ke Bukit Bunga atau Rantau Panjang. Itu hikmah namanya...

PB membuat keputusan yang bertentangan. Berita mulut ke mulut bahawa kawasan runtuhan sedang dibersihkan meyakinkan PB bahawa dengan cara maju terus sahaja bakal menjimatkan masa. Bayangkan bahawa hampir satu jam kereta Wira PB memotong deretan kenderaan yang pegun. Tiada yang peduli.

Telahan PB benar! Setiba di lokasi runtuhan, laluan mula dibuka dan PB antara yang terawal melewatinya. Khabarnya beberapa ketika selepas itu tanah menggelongsor lagi. Risiko kepada yang menunggu ialah hari semakin kelam, makanan dan minuman kehabisan, dan bacaan meter minyak kian mencemaskan. Tubuh melekit dan merimaskan. Jika perut memulas, lagi haru! Alamat kena istinjak...

Sejak peristiwa itu, PB menyimpan nombor talian bilik gerakan polis kawasan sepanjang laluan.  Namun, peristiwa tanah runtuh tidak pula berulang. Alhamdulillah, syukur...

Peristiwa kedua juga berlaku berselang tahun, tetapi kali ini lokasinya berhampiran Lepar, menghala ke Tol Bentong. Hujan tidak  menunjukkan sebarang tanda untuk seriat. Pergerakan kenderaan makin lesu longlai. Pendingin hawa sengaja tidak dimatikan kerana akan menyebabkan kabus pada cermin kenderaan yang boleh mengundang bahaya.

Akhirnya, punca kesesakan terjawab juga.  Di sebelah kanan pembahagi jalan bagaikan sungai yang mengalir deras. Semua kenderaan tersadai di pinggir jalan. Budak kampung yang menunggang basikal sambil meranduk banjir hanya nampak bahagian badan dan handle basikalnya. Kalau ada longkang, lopak atau kayu tajam, macam mana?

Dalam pada itu, air di laluan kanan bagaikan meronta-ronta untuk melompat ke laluan yang PB lalui. Hanya doa dan harapan mampu dilafazkan. Pemandu yang hilang sabar atau mungkin sukatan petrol di aras kritikal sudah nekad untuk menggunakan laluan kecemasan di sebelah kiri deretan kenderaan lain. Akhirnya makin banyak pemandu yang ikut serta!

Kesejukan dalam dan luar kenderaan menyebabkan pundi-pundi air seni menjadi penuh. Memandangkan pergerakan kenderaan yang bagaikan bayi baharu belajar merangkak membolehkan PB  bertukar tempat duduk memandu dengan zaujah. Kami sudah berjanji  tentang jarak maksimum daripada poin PB keluar daripada kenderaan. Cerita selanjutnya biarlah jadi kenangan PB sahaja... Masa perjalanan biasa selama lapan jam menjadi 13 jam!

Ada satu lagi pengalaman PB di tengah-tengah bandar Permaisuri, Jertih. Akibat tersekat, segala hotel, rumah tumpangan dan warung makan diserbu. Akhirnya tempahan bilik penginapan tidak bersisa, dan semua premis makanan meletakkan notis “MAKANAN DAN MINUMAN HABIS”. Sudah menjadi kebiasaan PB dan keluarga membawa sedikit bekalan makanan untuk perjalanan jauh. Tiada masalah mempelawa orang lain yang sudi menjamahnya.

Hujan lebat menenggelamkan kawasan rendah atau kawasan yang tidak mempunyai sistem perparitan yang baik. Air yang bertakung mengapungkan sampah sarap dan mungkin juga sisa kumbahan yang tidak dirawat. Keadaan itu memudahkan proses penduaan bakteria, khususnya kolera yang boleh menyebarkan wabak taun.


Sebahagian mangsa banjir tepaksa dipindahkan. Mereka ditempatkan di dewan terbuka yang tidak memungkinkan berlakunya aktiviti persendirian seperti di rumah masing-masing. Tekanan emosi dan kemurungan boleh bertukar menjadi trauma.  Namun, ada juga yang mengambil kesempatan bagi melakukan perkara-perkara yang melanggari batas susila kebanggaan kita...


Penoreh getah mendekam di teratak usang menantikan hujan reda. Nelayan hanya mampu merenung jala dan pukat yang tergantung di dinding. Mereka perlu panjang akal untuk menjana pendapatan alternatif dengan aktiviti produktif yang lain. Jika hanya bermenung dan meratap, alamat dapur tidak berasap dan seisi keluarga menderita perut berkeroncong, serta dibalut kedinginan. Alasan cuaca tidak lagi relevan kerana itu bukan pengalaman pertama!


Bagaimana dengan orang-orang kaya yang selesa di banglo mewah sambil berhilai tawa dengan anak-pinak dan keluarga? Ada yang terbang ke destinasi luar negara melepaskan diri daripada cerita hujan dan banjir di kawasan kejiranan. Tega mereka begitu...


Tengkujuh ialah ujian Ilahi.  Tengkujuh menguji  ketabahan jiwa. Tengkujuh menguji haloba pihak yang memiliki peluang meraih laba. Tengkujuh menguji kemurahan si berada. Tengkujuh menguji ketangkasan petugas keselamatan negara. Tengkujuh menguji persediaan pelan luar jangka pihak berkuasa. Tengkujuh menguji keimanan kita semua!

Allahumma Ya Rabbana. Selamatkan kami daripada bala bencana. Amin Ya Rabbal Alamin...

Thursday, November 19, 2009

KECEMERLANGAN BERMULA DARIPADA SEKOLAH RENDAH (SK SERI AMPANG ACADEMIC AWARD PRESENTATION)

Ipoh, Khamis: 19 November 2009 / 2 Zulhijjah 1430

Peperiksaan tetap merupakan instrumen pengukuran dan penilaian yang utama dalam sesuatu sistem pendidikan. Walaupun terdapat bantahan meluas terhadap konsep orientasi peperiksaan, obses atau perhatian berat ibu bapa terhadap pencapaian anak mereka dalam peperiksaan tidak pernah berkurangan. Sebenarnya semua peringkat pengajian tidak boleh terlepas daripada peperiksaan sebagai penanda aras yang meletakkan diskriminasi terhadap pelajar cemerlang dengan pelajar aras sederhana dan lemah.


Hari ini keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang melibatkan lebih setengah juta murid tahun enam telah diumumkan. Sekolah Kebangsaan Seri Ampang, Ipoh (SKSA) mengambil peluang pada hari kedua terakhir persekolahan tahun 2009 bagi meraikan murid cemerlang UPSR sekolah itu, di samping penyampaian anugerah kecemerlangan kepada murid prasekolah hingga tahun enam. Majlis di dewan terbuka itu dihadiri penerima anugerah, ibu bapa, guru dan jemputan khas.

Acara dimulai dengan bacaan doa, diikuti dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu sekolah yang dipimpin oleh pasukan koir sekolah. Lantunan vokal yang harmonis membuktikan hasil sebuah latihan yang bersungguh-sungguh dan terancang. Kepuasan terpancar pada wajah hadirin.
Guru Besar SKSA mengundang rasa teruja hadirin apabila menyebut bahawa SKSA menerima pengiktirafan lonjakan saujana oleh Jabatan pelajaran Negeri Perak justeru mencatat peningkatan besar, iaitu 23 orang calon meraih 5A, berbanding tahun sebelumnya 14 orang. SKSA berjaya menyelit dalam kelompok sekolah dominasi murid perempuan seperti Convent, malah mengatasi saingan terdekat, SK Sungai Rokam (38 calon  5A dengan jumlah enam buah kelas,; SKSA hanya tiga kelas).

Anugerah disampaikan secara berbahagi antara penolong-penolong kanan SKSA, YDP PIBG dan Profesor Ainuddin (NYDP PIBG). Sejumlah kira-kira 50 orang murid prasekolah menerima sijil tamat pengajian mereka. Bagaikan seorang siswazah, mereka melangkah penuh bergaya.

Majlis diserikan dengan persembahan murid yang dilatih khusus dengan keberanian menampilkan diri di pentas dan di hadapan khalayak. Pendedahan sedemikian memberikan pengalaman bagi menempuh alam pascapersekolahan kelak. Syabas kepada murid dan jurulatih mereka!

Hadiah yang dianugerahkan amat signifikan dari segi pengiktirafan dan sejarah pencapaian seseorang murid untuk mencapai "bintang yang tinggi". Apatah lagi anugerah disampaikan dalam sebuah majlis yang gilang-gemilang, serta disaksikan sejumlah hadirin yang dijemput khas. Majlis anugerah kecemerlangan merupakan salah satu daripada empat program wajib tahunan bagi semua sekolah di bawah naungan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Hadiah yang diterima boleh menjadi dorongan kepada rakan yang masih bersaing dan kepada anggota keluarga yang lain. Persaingan harus dilihat secara positif, untuk kebaikan masyarakat dan ummah. Akhirnya, semua pihak akan beroleh manfaat yang melimpah ruah...

Generasi dewasa tumpang bangga bahawa anak cucu mereka bakal melunaskan impian menyambung cita-cita yang tiada penghujungnya. Di majlis SKSA ini, kelibat Tan Sri Tajuddin Ali, (seorang tokoh korporat dan akrab dengan keluarga Dato' Seri Lee Ooi Hian, Ketua Pegawai Eksekutif KL-Kepong Berhad) kelihatan hadir memberi sokongan kepada cucu beliau yang turuh meraih 5A dalam UPSR. Dengan berkerusi roda, serta ditemani Puan Seri, beliau dengan sabar menunggu hingga akhir majlis...


selamat maju jaya kepada semua calon stpm 2009

Wednesday, November 18, 2009

NAMA BAIK SMI "DI TANGAN" MEREKA (OVER TO YOU ALL, MICHAELIAN'S SPM CANDIDATES)

Ipoh, Rabu: 18 November 2009 / 1 Zulhijjah 1430

Bermulalah detik peperiksaan besar yang ditunggu-tunggu, iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Setelah dua tahun menjalani pengajian menengah atas, sejumlah kira-kira 350 orang calon SMK St. Michael, Ipoh (SMI) kini menduduki pepriksaan berkenaan yang dijadualkan hingga awal Disember nanti. Kepada merekalah diharapkan kesinambungan pencapaian cemerlang kohort sebelum ini.


Sebagaimana lazim, calon SPM dihimpunkan untuk semakan dan taklimat akhir sebelum memasuki dewan peperiksaan. Pengetua, Penolong Kanan dan guru-guru turut kelihatan di situ memberi kata-kata perangsang dan keyakinan kepada calon. Item penting seperti kad pengenalan, slip pepriksaan dan alat tulis yang mencukupi dipastikan ada. Jika ada calon yang perut kosong, pihak sekolah akan membantu mereka untuk mengalas perut supaya dapat memberi tumpuan semasa merancang dan menulis jawapan.

Kertas pertama yang dihadapi ialah Bahasa Melayu 1 (Karangan Respons Terbuka dan Karangan Respons Tertutup), diikuti Sejarah 1 (Aneka Pilihan) dan Bahasa Melayu 2 (Rumusan, Pemahaman, Tatabahasa, Novel). Mudah-mudahan Michaelian dapat memenuhi keperluan tugasan soalan dan mematuhi saranan yang diberikan oleh guru. Syarat mempeoleh sijil ialah lulus kertas Bahasa Melayu.

Gara-gara wabak selesema babi, walaupun telah reda, sebagai mematuhi piawaian pihak berkuasa kesihatan, calon SPM masih dibekalkan topeng pelindung. Amaran tentang gelombang kedua pandemik berkenaan tidak seyogia dipandang ringan. Selain itu, ancaman banjir di utara Perak dan negeri lain tidak menjadi isu di Ipoh.

Apa-apa pun, selamat maju jaya kepada Michaelian yang menduduki SPM 2009. Berjuanglah dan jangan sesekali mundur. Begitu juga kepada hampir setengah juta calon SPM seluruh negara, semoga kalian memenuhi impian bagi melahirkan modal insan minda kelas pertama. Insya-Allah...

Tuesday, November 17, 2009

KURSUS KOKURIKULUM AKADEMIK GILAP BAKAT BERPOTENSI (POLISHING THE POTENTIAL TALENTS AMONG YOUNGER PUPILS)

Kepimpinan bererti kebolehan mempengaruhi orang lain untuk mencapai sesuatu matlamat (organisasi) yang telah ditentukan. Sesetengah pakar motivasi berpendapat bahawa seseorang manusia memiliki sejumlah 120 bakat, tetapi kebiasaannya hanya tiga bakat sahaja yang ditonjolkan . Baki 117 bakat lagi perlu dicungkil dan dikenal pasti oleh orang lain. Keadaan itu sama seperti yang dibayangkan oleh model tingkap jauhari (Joe-Harry) dan "tip of the iceberg". Maknanya, lebih banyak bakat terpendam yang perlu dikesan.


Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Utara telah mengambil daya usaha mengetengahkan bakat kepimpinan dalam kalangan murid sekolah rendah dan menengah daerah berkenaan menerusi program yang dinamai Kursus Pemantapan Kokurikulum Akademik. Peserta dipilih daripada pelbagai latar belakang dan dihimpunkan di Chalet dan Sudut Memancing Amir, Ayer Tawar, Perak mulai 2 hingga 4 November 2009. Program dibuka dengan rasminya oleh Encik Ahmad Shakir, Timbalan PPD Kinta Utara.

Seperti biasa, kursus akan dipenuhi dengan slot taklimat, input ceramah, latihan dinamika kumpulan di bawah bimbingan pemudah cara berpengalaman dan persembahan kumpulan. Seperti biasa juga gelagat dan ragam peserta juga lebih kurang sama. Ada yang boleh bertahan duduk diam, tidak kurang yang mengelamun, dan ada juga yang gagal menahan mata yang berat!

Sebab itulah aktiviti kursus dipelbagaikan. Peserta dibawa meninjau kawasan persekitaran lokasi kursus. Mereka berpeluang menikmati tanda-tanda kebesaran Allah di muka bumi (ayatullah fi'l-kaun).


Peserta juga beroleh pengalaman interaksi dengan rakan baru dari sekolah lain. Bagi kanak-kanak, mereka mungkin berkongsi cerita tentang permainan komputer, PS2 dan laman facebook. Mereka akan bertukar-tukar nombor telefon bimbit dan alamat e-mel. Gamaknya...


Apakah agaknya tema perbualan murid-murid lelaki? Dapatkan generasi pelapis maskulin ini mengimbangi dominasi pencapaian akademik pelajar perempuan suatu hari kelak? Kita tidaklah bermaksud untuk melancarkan provokasi gender. Sekadar mengungkapkan kekhuatiran sesetengah pihak yang prihatin.


Murid-murid perempuan di negara kita memang berpencapaian cemerlang. Akses kepada pendidikan tertinggi sentiasa terbuka luas buat mereka. Maka, sasaran bahawa 40 peratus penduduk Malaysia sekurang-kurangnya memiliki ijazah pertama bakal menjadi kenyataan dalam tempoh terdekat. Di benua dan rantau mundur, keadaan seperti ini masih terlalu jauh daripada jangkauan.


Sudah menjadi lumrah bahawa ganjaran dan hadiah sangat mempengaruhi daya saing. Peserta kursus dibimbing bagi mengorganisasi sesuatu pembentangan atau persembahan. Nilai hadiah bukanlah keutamaan, melainkan keseronokan mendapat pengiktirafan membakar semangat berkobar-kobar untuk lebih maju pada masa hadapan.


Jika pada awal kursus para peserta seakan-akan kelu dan membisu, lama-kelamaan bibit kemesraan mula terjalin. Perasaan curiga dan segan silu dapat dipadamkan. Apabila tiba detik perpisahan, sebahagian peserta tidak betah menyembunyikan emosi. Cuma perseta lelaki kelihatan lebih bersahaja dan selamba...

Friday, November 13, 2009

KEDAMAIAN DESA YANG MENGGAMIT ANDA PULANG (THE REAL VILLAGE PANORAMA)


Sebuah jeti pendaratan ikan yang berlatar belakang muara sungai yang bersambung ke sebuah teluk. Kelihatan bot dan sampan ditambat di tepian. Pepohon yang menghijau. Awan bagaikan gumpalan kapas: terapung tanpa pasak, tanpa tiang. Langit yang membiru melorong ke angkasa raya. Air yang sesekali berkocak dengan bebayang gigi air permukaan begitu mengasyikkan...

Desa yang masih menghijau. Jauh daripada hiruk-pikuk kenderaan yang membingitkan. Sebuah kehidupan yang serba sederhana. Warisan yang ditinggalkan kepada anak cucu untuk dijaga. Desa ialah akar umbi  kalian. Di situlah jati diri walaupun kalian telah melangkah ke segenap penjuru buana.

Deretan pohonan rhu melonjakkan kekuatan jiwa yang diuji saban waktu dengan pelbagai karenah manusia dan cabaran persekitaran. Rhu masih bertahan dalam keadaan akar yang mencengkam pepasir yang bolos, polos dan mudah sekali terobos. Acahan angin kencang di laut terbuka bukan lagi luar biasa. Datanglah ombak memuncak, pohonan rhu tidak berganjak. Ambillah iktibar ini...

Kesepian ialah teman dan juga taulan di desa. Benar-benar sepi. Bukan seperti insan kota yang kesepian dalam hingar-bingar sekeliling. Lepaskan kesepianmu yang terlonta-lonta di ruang hati. Hiruplah udara segar di desa. Lihatlah kehijauan dan kebiruan. Dua jalur warna alam yang ajaib. Dua gelombang aura yang disatukan dalam memujuk hati yang gundah dan rawan...

Di desa juga lubuk rezeki. Ada projek jambatan puluhan juta ringgit. Bot penambang akan menjadi seperti nasib beca di kota. Jadi hiasan. Jadi pilihan orang yang sesekali kepingin merasai lewat kehidupan masyarakat dahulu. Perlahan-lahan desa tempias dengan kemajuan kota. Taman perumahan muncul di sana sini. Si berada mengintai luang membina mahligai tersergam di desa. Selagi ada yang kelabu mata...