Saturday, January 8, 2011

HIKAYAT LANGLANG BUANA KOMSAS TINGKATAN 5 (HOW TO ENJOY READING AN EPIC STORY?)

Sinopsis

Mimpi Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi berselimut bunga ditafsirkan oleh dayangnya sebagai petanda akan bersuami. Ketika mandi dan berbedak di sebuah tasik yang dihuni oleh Raja Indera Bumaya (masyarakat bunian), puteri terpandang seekor bayan bermata intan, berkaki emas dan bersuara merdu. Titah supaya dayang menangkapnya gagal, sebaliknya bayan terus hinggap di tangan puteri. Bayan terus berpantun memuji-muji "tuan"nya, iaitu dirinya sendiri (jelmaan Raja Indera Bumaya). Bayan dibawa ke istana, kemudian bertukar kepada nuri dan seterusnya bunga. Apabila puteri mencium bunga, Raja Indera Bumaya pun muncul. Gurau senda dan tawa lelaki dari istana puteri didengari menteri dan hulubalang yang berkawal. Apabila disembahkan kepada Raja Bahrum Dewa, baginda terus murka. Istana puteri dikepung, dan puteri menangis. Raja Indera Bumaya pun mengeluarkan 4,000 ekor jin daripada gemala hikmat untuk berperang dengan tentera ayahanda puteri.

Cara Mempelajari Prosa Klasik

Murid tidak perlu menghafaz cerita dengan terperinci. Memadai pembacaan dibuat perenggan demi perenggan bagi mengungkapkan kembali akan isi cerita. Hanya kemahiran mengenal pasti perkataan atau rangkai kata tertentu, dan kemahiran merangkakan semula kisah yang dipaparkan yang perlu diberi perhatian.

Selain isi petikan, pembelajaran prosa klasik juga menjurus kepada perbincangan kbkk. Jarang-jarang sangat elemen komsas seperti perwatakan, latar, nilai, persoalan dan pengajaran akan diuji dalam peperiksaan. Andainya ada pun, kebiasaannya hanya terhad kepada petikan soalan, tidak merujuk keseluruhan prosa dalam antologi.

Harus diperhatikan bahawa perbincangan kbkk hendaklah menggunakan perspektif zaman penulisan prosa klasik. Barang diingat bahawa kebanyakan naskhah klasik dipengaruhi oleh sastera istana yang bersumberkan hikayat lisan. Selain itu, prosa klasik juga kuat dipengaruhi hikayat timur tengah seperti Lailah wal lailah (Hikayat Seribu Satu Malam, Arabian Nights) dan epik Hindu, Mahabrata dan Ramayana.

Generasi dahulu kala tidak memiliki teknologi hiburan sepertimana sekarang, bahkan media cetak dan media elektronik belum muncul secara meluas. Maka, setelah lelah membanting tulang di bendang dan kebun, mereka berkumpul mendengar hikayat secara lisan daripada penyampai hikayat yang digelar sebagai awang batil, pawang ana, penglipur lara atau tuk selampit. Kalau dibandingkan dengan zaman sekarang mungkinlah pemuisi, penceramah atau ahli jenaka (stand-in comedian).

Sejajar dengan fungsi hikayat sebagai hiburan, unsur mitos (myth) seperti magik, sakti dan sumpahan begitu banyak diselitkan. Dari segi psikologi, tingkah laku sedemikian dipanggil sebagai helah bela diri (defence mechanism), atau pelarian (escapism). Masing-masing mahu beralih sebentar ke alam fantasi atau khayalan supaya dunia sebenar kesusahan, penat lesu dan penderitaan dapat dilupakan seketika.

Murid mempelajari prosa klasik dengan tujuan mengambil iktibar dan pengajaran. Orang-orang dahulu kala memang kaya dengan falsafah, kiasan, pepatah petitih, peribahasa, tamsilan dan nasihat yang disampaikan secara tersirat. Kehalusan budi masyarakat sangat dijaga supaya mesej yang hendak dikemukakan dapat diterima tanpa rasa diaibkan.

Contoh Perbincangan:

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan dengan menggunakan ayat sendiri.

        Setelah sudah berkata-kata itu maka tuan puteri itu pun kembali ke mahligainya membawa bayan itu. Maka disuruh oleh tuan puteri itu perbuatkan sangkarnya daripada emas sepuluh mutu dan bertatahkan ratna mutu manikam berumbai-umbaikan mutiara. Setelah sudah sangkar itu maka bayan itu pun dimasukkan ke dalam sangkarnya itu. Setelah hari malam maka bayan itu pun dikeluarkan dari dalam sangkarnya itu. Maka ia pun datang ke hadapan tuan puteri. Maka Dang Siti Mengerna pun berdatang sembah kepada tuan puteri, "Ya tuanku tuan puteri, lihatlah bayan ini jinak kepada tuan puteri." Maka sahut bayan itu, "Hai Dang Siti Mengerna, di manakah tiada jinak kerana beta beroleh tuan yang baik parasnya." Maka dayang-dayang pun sekalian ramai-ramai tertawa mendengar kata bayan itu. Maka kata bayan, "Ya tuanku puteri, hampirlah tuan beta itu akan datang menghadap tuan." Maka kata tuan puteri, "Manakah kala tuanmu itu akan datang ke mari?" Maka sahut bayan itu, "Pada bulan ini dan ketika ini juga tuan patik akan datang ke mari." Setelah tuan puteri mendengar kata bayan itu maka terlalu sukacita hendak melihat Raja Indera Bumaya itu. Setelah seketika itu maka bayan itu pun menjadi nuri datang ke atas ribaan tuan puteri itu seraya berpantun, demikian bunyinya:
        
          Pergi ke padang membakar puan,
                Ikat timba bertali-tali,
          Datang dagang menghadap tuan,
                Minta perhamba sekali-kali.

(Dipetik daripada Mohd. Yusof Md. Nor [penyelenggara]: 
Hikayat Langlang Buana dalam Antologi Dirgahayu  Bahasaku, muka surat 36 - 47)

i)    Berikan maksud baik parasnya.       (2 markah)

ii)   Apakah yang berlaku kepada bayan setelah di bawa balik ke mahligai tuan puteri?     (3 markah)

iii)   Jika anda ialah penasihat tuan puteri, cadangkan tiga cara untuk bertemu Raja Indera Bumaya.     (4 markah)

3 comments:

  1. cikgu . apakah jawapan untuk soalan iii ?

    ReplyDelete
  2. Pecahan Soalan iii ialah aras kbkk dan tidak memerlukan huraian, sebaliknya hanya pernyataan isi.

    Semua cara boleh diterima asalkan munasabah dengan perspektif zaman dahulu. Kalau sms, e-mel dan teknologi terkini tentu tidak ada.

    Contoh jawapan:

    Jika saya ialah penasihat tuan puteri saya akan mencadangkan kerjasama dengan bayan, menunggu di tasik milik Raja Indera Bumaya, dan mendapatkan bantuan pegawai-pegawai tuan puteri.

    ReplyDelete
  3. apa jawapan soalan nombor i dan ii ?

    ReplyDelete