Wednesday, April 6, 2011

KELAYAKAN AKADEMIK PENENTU KEJAYAAN (HUMAN CAPITAL FORMATION IN EDUCATION)


PERANAN PENDIDIKAN DALAM PEMBENTUKAN MODAL INSAN  

Pengenalan

Pada zaman dahulu manusia dinilai dari sudut fizikal, berbanding dengan keupayaan mental. Berabad-abad lamanya tenaga buruh individu membentuk pasaran. Kuasa otot (muscle power) mengatasi kuasa mental (mental power). Kaum lelaki yang perkasa bekerja sebagai petani dan askar, atau menjadi hamba (serf). Sebab itu penekanan diberi kepada produktiviti fizikal.

Perkataan school berasal dari leksikon Yunani kuno, schola yang bermaksud masa lapang. Kelompok petani Yunani yang mempunyai lebihan hasil akan menyimpan stok lalu membolehkan mereka menggunakan masa lapang dengan aktiviti pendidikan.

Penerimaan terhadap konsep modal insan (sumber manusia) dalam disiplin ekonomi pendidikan secara empiris dan serius hanya berlaku pada awal dekad 1960-an. Sebelum itu tiada bentuk pengukuran yang jelas tentang peranan modal insan dalam aktiviti ekonomi negara. Disiplin ekonomi yang lebih kuat didominasi oleh ekonomi positif  menolak sebarang bentuk value judgement mungkin menjadi punca keadaan ini. Perdebatan tentang isu moral dan falsafah tidak relevan.

Cohn (1972) mentakrifkan ekonomi pendidikan sebagai kajian tentang cara masyarakat menggunakan sumber-sumber pengeluaran hasil yang terhad antara pelbagai jenis latihan, pembangunan ilmu dan kemahiran, serta penyebarannya di kalangan pelbagai kumpulan dan individu pada masa kini dan pada masa akan datang. Ia tidak tertakluk kepada motif untung maksimum atau harga pasaran. Maka faktor adat resam dan tradisi diambil kira. Ertinya ekonomi pendidikan lebih menjurus ke arah ekonomi normatif.

Pada tahun 1957, hanya terdapat kira-kira 50 karya ekonomi pendidikan. Namun bidang ini terus berkembang dan mendapat perhatian, sama ada di kalangan ahli ekonomi atau para sarjana pendidikan. Senarai bibliografi ekonomi pendidikan meningkat hingga mencapai 1,300 buah karya dalam tahun 1990-an. Maka kita boleh kehilangan fokus dan  keliru jika gagal membuat batasan dalam mendalami sesuatu isu ekonomi pendidikan.

Kertas ini akan cuba menelusuri konsep modal insan, perkembangan teori berkaitan, jenis pendidikan, faedah pelaburan dalam modal insan, perbandingan dengan modal atau sumber fizikal, produktiviti, kebaikan dan kritik terhadap teori, serta aplikasi teori modal insan di negara kita.


2   Konsep Modal Insan

Pearce (1986:185) dalam The Dictionary of Modern Economics merujuk modal insan sebagai pelaburan yang dibuat dalam sumber manusia untuk meningkatkan produktiviti mereka:

The essence of human capital is that investments are made in human resources so as to improve their productivity.”

Stanley Fischer (1983:337) cenderung melihat penjelasan tentang kesan pendidikan dan pengalaman ke atas upah dan penentuan jumlah pendidikan yang diterima. Seseorang itu (atau mungkin orang tuanya) melabur dalam diri mereka, berbelanja untuk pendidikan dan pemerolehan kemahiran, dan kemudian menerima pendapatan lebih tinggi, atau dalam keadaan tertentu, kepuasan (satisfaction) lebih tinggi dalam sesuatu bidang pekerjaan. Kata beliau:

Human capital is the value of the income-earning potential embodied in individuals.”

Paul Romer, 1991 (Tobing,1994:1) pula berpendapat bahawa modal insan merujuk kepada stok pengetahuan dan ketrampilan produktiviti seseorang. Ini bersamaan dengan pendapat seorang ahli ekonomi, Dhesi (1979:4-5) yang berpendapat bahawa pengetahuan ialah stok modal insan, tetapi merupakan dua entiti bersifat identikal yang perlu diasingkan. Frederick F. Harbison (1973) mengatakan bahawa pembangunan sumber manusia ialah proses membina pengetahuan, kemahiran, kebolehan kerja dan kapasiti dalaman semua individu dalam sesebuah masyarakat.

Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan, OECD yang dianggotai oleh 29 buah negara berpengaruh (termasuk Jepun dan Korea Selatan, dua wakil Asia) merujuk modal insan sebagai pengetahuan, kemahiran, kecekapan dan sifat atau ciri peribadi individu yang relevan dengan kegiatan ekonomi (OECD,1999:9). Shamsul Haq (1975:68) pula menyarankan bahawa konsep modal insan harus meliputi interaksi semua faktor yang mencetuskan kesan pengganda dalam proses pertumbuhan ekonomi.

Schultz (1989) berpendapat bahawa modal insan ialah berkenaan keputusan indivividu untuk memperoleh pengetahuan dan kesan keputusan berkenaan ke atas produktiviti. Ia juga berkaitan dengan kepuasan masa depan (future satisfactions) atau pendapatan masa depan (future earnings).Woodhall pula mengatakan bahawa modal insan ialah “manusia melabur dalam diri mereka, menerusi pendidikan, latihan atau aktiviti lain, yang meningkatkan pendapatan masa depan, seterusnya menambah pendapatan sepanjang hayat.

Konsep modal insan sebenarnya masih baru, tiada kesepakatan sejagat dan terbuka kepada perdebatan (Dhesi,1979:2). Seperti  juga kata Schultz (1971:vi-vii):

Once I saw the pervasive role of human capital in a modern economy, I also began to see the inadequacies of the traditional concept of capital. The traditional concept started down the road of capital homogeneity, a road away from all-inclusive concept of capital with its vast heterogeneity…the discussion is exploratory and far from definitive.”

Namun, perbincangan di atas menunjukkan bahawa elemen pelaburan dan pengetahuan, dikaitkan dengan produktiviti dan pendapatan masa depan menjadi fokus konsep modal manusia. Inilah yang menjadi titik tolak penghujahan tentang peranan pendidikan dalam pembentukan modal insan.

 
3   Perkembangan Teori Modal Insan

Kepentingan manusia sebagai modal tidak diberi perhatian secara khusus oleh ahli-ahli ekonomi sehinggalah empat dekad lalu. Ricardo, yang bermula sebagai broker seawal usia 14 tahun, yang kemudian muncul sebagai ahli ekonomi klasik ketika berusia 42 tahun, dan dalam era permulaan  revolusi industri (hidup antara 1772-1823) tidak nampak sebab untuk menitikberatkan faktor buruh. Terdapat begitu ramai penghijrah luar bandar yang buta huruf dan tidak mahir sedia memenuhi tempat dan tunduk patuh kepada disiplin kilang. Maka Ricardo berpendapat bahawa unsur strategik ialah modal fizikal (Ginzberg,1966 dipetik oleh Rosnani,2000:12)

John Stuart Mill (1806-1873), ahli falsafah dan ekonomi England pula tidak memasukkan modal insan sebagai kekayaan. Beliau mengatakan bahawa “In propriety of classification, however, the people of a country are not to be counted in its wealth…They are not wealth themselves, though they are means of acquiring it.”  (Salmn,1995:47) 

Adam Smith (1723-1790), profesor falsafah moral dan ekonomi Universiti Glasgow yang pernah belajar di Oxford, membina analogi yang berlainan. Dalam buku The Wealth of Nation, beliau   mengatakan bahawa apabila sesebuah mesin yang mahal dibuat atau dibeli, adalah dijangkakan bahawa kerja yang dihasikan sebeum mesin itu usang dapat mengganti modal yang dibayar untuk membuat atau membelinya, dan dengan sedikit keuntungan biasa. Seseorang yang dilatih untuk sesuatu pekerjaan yang memerlukan kemahiran atau kesenian luar biasa tentulah terpaksa menggunakan banyak tenaga dan masa. Orang seumpama ini diumpamakan sebagai mesin yang mahal.

Pekerjaan yang telah dipelajari itu diharap dapat mengeluarkan hasil bagi mengganti seluruh perbelanjaan pendidikan dan latihan pekerjaan tersebut, dengan sedikit keuntungan biasa selain upah buruh. Walaupun Smith tidak menganggarkan nilai modal insan tetapi beliau yakin bahawa penghasilan daripada modal insan membawa pulangan yang agak besar dalam bentuk pendapatan sepanjang hayat yang lebih tinggi. Smith memasukkannya dalam konsep modal tetap (Dhesi,1979:1)

Pandangan Smith dikongsi oleh H. von Thunen (1783 – 1850), ahli ekonomi pertanian Jerman dan, Irving Fisher (1867 – 1947), ahli ekonomi Amerika, tetapi ditentang oleh Alfred Marshall (1842 – 1924), profesor ekonomi Universiti Cambridge yang asalnya terlatih dalam Matematik, menolak modal insan dari sudut pasaran khususnya dalam analisis praktikal, faktor manusia dianggap abstrak dan tidak realistik Murid beliau yang tersohor, John Maynard Keynes (1883-1946) mengikut jejak langkah gurunya dengan mengklasifikasikan buruh sebagai ejen pasif dalam proses pengeluaran.

Namun Marshall tetap melihat manfaat pelaburan dalam sumber manusia. Marshall menyifatkan pelaburan dalam sumber manusia sebagai paling bernilai (the most valuable of all capital).  Ini terbukti menerusi diktum beliau yang masyhur:

                     “Knowledge is our most powerful engine of production”

Walaupun unsur modal insan didebatkan oleh ahli ekonomi klasik dan neoklasik, namun ia lebih bersifat abstrak untuk tujuan analitikal. Modal insan sebagai suatu konsep ekonomi mula diberi perhatian oleh Irving Fisher menerusi teori kecairan (liquidity) yang menyatakan bahawa entiti fizikal yang membentuk stok modal bersifat bebas dibeli atau dijual. Maka ia tidak boleh dianggap sebagai kriteria utama modal.

Ahli ekonomi pascamoden seperti Horrace Mann (1848) Von Thunen (1858) kemudian menekankan peri mustahaknya memasukkan modal insan sebagai sebahagian daripada kiraan modal negara. Mereka turut mengkritik ahli-ahli ekonomi politik abad 19 yang terlalu menjurus kepada modal fizikal. Saranan mereka bagaimanapun tersudut sehinggalah muncul karya Schultz, Investment in Human Capital yang pertama kali diterbitkan dalam The American Economic Review 51 pada bulan Mac 1961. Tulisan itu asalnya merupakan teks pidato Schultz sebagai presiden Persatuan Ekonomi Amerika. Beliau yang lahir pada tahun 1902 merupakan profesor ekonomi pertanian di Universiti Chicago, diangkat sebagai pelopor konsep human capital dan dianugerahi Hadiah Nobel pada tahun 1978.


Schultz mengatakan bahawa beliau minat yang amat tinggi terhadap pulangan produktiviti yang tidak dijelaskan (unexplained gains in productivity, atau residual) dan mula nampak peranan kebolehan yang diperoleh oleh manusia  (the role of the acquired abilities of human agents). Beliau menyelar ahli ekonomi klasik sebagai menunjukkan jalan yang salah dalam pemikiran ekonomi kerana mengenepikan hakikat bahawa setiap individu sebagai bentuk modal yang boleh dibangunkan. Pendirian Schultz begitu jelas pada penghujung pidato presiden persatuan ekonomi dengan mengatakan:

“Truly, the most distinctive feature of our economic system is the growth in human capital. Without it there would be only hard, manual work and poverty except for those who have income from property. There is an early morning scene in Faukner’s Intruder in the Dust, of a poor, solitary cultivator at work in a field. Let me paraphrase that line, The man without skills and knowledge leaning terrifically against nothing.”  

Selepas Perang Dunia Kedua, ternyata bahawa teori pertumbuhan ekonomi berasaskan modal fizikal mempunyai batasan serius. Modal fizikal hanya dapat digembleng di atas tanah yang dikerjakan oleh orang-orang yang berkelayakan. Ahli ekonometrik juga mendapati model agregat kadar modal-output mereka tidak bersesuaian lagi.

Kajian John Kendrick, dari Biro Penyelidikan Ekonomi Kebangsaan Amerika Syarikat pada tahun 1954 menganggarkan bahawa antara 1899 hingga 1953, peningkatan keluaran benar di Amerika Syarikat ialah sebanyak 3.3 peratus. Daripada kadar itu, hanya 1.6 peratus disumbangkan oleh peningkatan dalam pelaburan buruh dan modal secara konvensional, manakala 1.7 lagi ialah residue. Kajian kemas kini beliau dalam tahun 1961 menghasilkan data berikut:

Kenaikan peratus tahunan dalam
__________________________________________________________________________
                                 Keluaran Negara Kasar (GNP)              Input faktor                 Baki
    ------------------------------------------------------------------------------------------------
                                                        (y)                                    (a*k + b*l)

       1889 – 1919                           3.9                                            2.6                        1.3
       1919 - 1957                           3.2                                            1.1                         2.1


y = kadar kenaikan dalam output
k = kadar kenaikan dalam penawaran modal
l = kadar kenaikan dalam penawaran buruh
a = bahagian modal dalam pendapatan negara (KNK, GDP)
b = bahagian buruh dalam pendapatan negara

Sangat jelas bahawa kadar pertumbuhan output terlalu melebihi kadar pertumbuhan input. Jurang antara pertumbuhan output sebenar dengan pertumbuhan output yang diramalkan disebabkan kenaikan dalam input faktor diistilahkan sebagai baki (residual).

Moses Abramovitz, profesor ekonomi di Universiti Stanford 1956 pula menganggarkan kadar peningkatan keluaran bersih Amerika Syarikat antara dekad 1870-an hingga 1950-an ialah 3.5 peratus dan hanya 1.7 peratus diakibatkan oleh peningkatan pelaburan ke atas buruh dan modal secara tradisional. Baki 1.8 peratus (lebih separuh peningkatan) tidak dapat diterangkan. Ini menunjukkan bahawa, oleh sesuatu sebab, produktiviti faktor pengeluaran telah meningkat dengan kadar yang tinggi mengikut peredaran masa. Abramoritz menyifatkan perkara ini sebagai “satu ukuran kejahilan kita”.

Kajian Robert M. Solow lebih mengejutkan. Beliau menganggarkan bahawa terdapat residue sebanyak 87.5 peratus dalam peningkatan output buruh per jam di Amerika Syarikat antara 1909 hingga 1949. Kajian di atas dikukuhkan oleh Denison,1979 yang mendapati bahawa tidak sampai 60 peratus pertumbuhan keluaran negara kasar (GNP) Amerika Syarikat antara 1929 hingga 1973 boleh dikaitkan dengan faktor pengeluaran konvensional, manakala selebihnya berkaitan dengan ekonomi bidangan, peruntukan sumber lebih cekap, dan residue besar dalam peningkatan pengetahuan. Denison menganggarkan bahawa sumbangan modal insan ke atas pertumbuhan itu sahaja ialah sebanyak 38 peratus (14 peratus pendidikan dan 24 peratus peningkatan pengetahuan).  Dalam versi kemas kini pertumbuhan Amerika Syarikat antara 1948 – 86, sumbangan modal insan didapati bertambah kepada 44 peratus, namun komponen pendidikan turun kepada 13 peratus.

Ahli ekonomi cuba mengaitkan baki berkenaan dengan kemajuan teknik dan modal bermutu tinggi (vintage capital). Peningkatan kualiti pekerja ini boleh dikaitkan dengan kenaikan dalam stok modal insan, hasil kombinasi pendidikan formal, latihan sambil bekerja dan pengalaman bekerja. Penduduk Amerika untuk tempoh kedua pada puratanya mempunyai akses pendidikan dua kali ganda daripada generasi tempoh pertama, jika dibandingkan jumlah tahun pendidikan formal yang diterima. 

Lantaran demikian, residue berkenaan tidak boleh dianggap sebagai durian runtuh atau sewa kuasi buruh. Kesimpulan logik yang boleh dibuat ialah sebahagian besar daripada residue itu berpunca daripada pulangan dalam pelaburan meningkatkan kemahiran dan kebolehan tertentu.  Justeru Schultz menyarankan supaya konsep modal secara tradisional diperluas untuk memberi ruang kepada pengemukaan konsep modal insan. Paradigma pemikiran positif ahli ekonomi dahulu yang dikatakan tidak mahu melanggar nilai dan kepercayaan tentang martabat dan maruah insan (shying away) yang di luar kaedah empiris positif mereka perlu dicabar.

Dua nama besar lain yang turut dianggap mendokong kuat teori modal insan ialah Gary Backer dan Edward Denison. Mereka bersetuju bahawa dengan tingkat pendidikan lebih tinggi, seseorang individu akan memperoleh kerja dan upah yang lebih baik, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Bowman (1966) pula menyifatkan kemunculan teori modal insan sebagai suatu revolusi pemikiran ekonomi.

4   Pendidikan dan Modal Insan

Pengetahuan yang dikumpul menerusi proses pendidikan ialah modal insan dan ia hanya boleh dihasilkan menerusi sejumlah pelaburan atau perbelanjaan. Secara amnya, pendidikan dan modal insan bolehlah dianggap sebagai pemacu pertumbuhan produktiviti justeru keupayaan menyerap dan membangunkan teknologi baru (productivity driven growth to absorb and develop new technologies).

Modal insan tidak seyogia diukur dari segi jumlah atau kuantiti semata-mata. Negara berpenduduk ramai tidak semestinya produktif dan berpengaruh. Kita boleh melihat kes India dan England, siapa mengkagumi (bergantung kepada) siapa? Isu pengangguran golongan berpendidikan di negara dunia ketiga dan negara sedang membangun seperti India akan dibincangkan dalam bahagian kritik terhadap teori modal insan.

Kajian di 60 buah negara (Laporan Bank Dunia 1991), pembangunan mapan di rantau Skandanavia selepas dekad 1870-an dan Asia Timur pasca-perang dunia kedua didapati berpunca daripada pengaruh pendidikan. The Economist, 1982 pula melaporkan negara-negara Lingkaran Pasifik (Pacific Rim) bangkit sebagai harimau Asia (sebelum diserang menerusi manipulasi pasaran wang) sehingga dikelaskan sebagai negara industri baru (NICs) kerana faedah berbanding (comparative advantage) yang meningkat dalam kalangan tenaga kerja berpendidikan. Seterusnya penulis artikel berkenaan, Woolbridge merumuskan bahawa masa depan ekonomi di rantau berkenaan ditentukan oleh usaha mendidik tenaga kerja dan dalam masa yang sama mewujudkan pekerjaan yang bernilai tambah tinggi (high value added jobs).

Kajian Bank Dunia tentang agihan pendidikan (ekuiti) dalam tempoh 25 tahun (1970 – 1995) menunjukkan bahawa terdapat pertalian yang signifikan antara pelaburan dalam modal insan menerusi pendidikan dengan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi. Berikut ialah jadual Indeks Gini yang dihasilkan: 

Negara / Tahun
1970
1975
1980
1985
1990
1995*
Brazil
0.313
0.367
0.373
0.369
0.334
0.260
China
0.450
0.452
0.447
0.442
0.411
0.379
India
0.370
0.394
0.363
0.393
0.422
0.452
Korea Selatan
0.439
0.382
0.351
0.296
0.242
0.189
Mexico
0.420
0.415
0.428
0.410
0.365
0.320
Malaysia
0.445
0.439
0.426
0.413
0.398
0.383
Filipina
0.368
0.320
0.314
0.313
0.309
0.305
Thailand
0.378
0.369
0.268
0.322
0.348
0.370
Venezuela
0.425
0.426
0.351
0.350
0.347
0.345
PERBANDINGAN INDEKS GINI PENDIDIKAN
*Anggaran
(Sumber: Policy Research Working Paper no. 2031, 2003: World Bank)

Indeks Gini dugunakan untuk mengukur agihan pendidikan (distibution of education). Ia akan menggambarkan jurang akses pendidikan di dalam sesebuah sistem pendidikan atau di dalam negara yang dikaji. Jika indeksnya menghampiri sifar, ia membawa makna bahawa jurang agihan pendidikan hampir berlaku, dan jika menjauhi sifar, sehingga maksimum satu, bermakna jurang agihan pendidikan semakin melebar.

Merujuk jadual di atas, Korea Selatan menunjukkan perubahan paling signifikan. Indeks Gini pendidikan sebanyak 0.439 pada tahun 1970 berjaya dikurangkan menjadi 0.189 pada tahun 1995. Itu pun dalam keadaan kadar celik huruf 88 peratus pada tahun 1970, berbanding dengan 68 peratus pada tahun 1960 dan hanya 55 peratus pada tahun 1945. Malah pada tahun 1990 akses pengajian tingginya setanding dengan negara maju, iaitu sebanyak 40 peratus. Pelaburan begitu besar dalam pendidikan bagi membangunkan modal insan ini membolehkan Korea Selatan memacu pertumbuhan ekonominya menerusi industri berat dan berteknologi tinggi.

China walaupun menunjukkan peningkatan yang agak perlahan telah mula membuat pelaburan besar dalam pendidikan sejak dekad 1950-an berjaya mencatat peningkatan pendapatan per kapita sekali ganda antara tempoh 1978 – 87 dan berulang lagi sekali ganda antara tempoh 1987 – 1996. Sejumlah 170 juta daripada 270 penduduk yang berada di bawah paras kemiskinan mutlak berjaya dikeluarkan. China mencatat kadar pertubuhan purata 9.3 peratus, berbanding dengan inflasi sebanyak 6.9 peratus. Kombinasi dasar reformasi pendidikan dan ekonomi yang lebih terbuka memungkinkan permintaan terhadap pendidikan meningkat dan dengan sendirinya indeks Gini pendidikan berjaya dikurangkan.

Pendapat bahawa perbelanjaan dalam pendidikan merupakan pelaburan dalam modal manusia tidak disepakati. Cohn (1979) mengklasifikasikan penggunaan sebagai sesuatu barangan atau perkhidmatan yang mendatangkan pendapatan atau kepuasan (utilty) untuk sesuatu tempoh tertentu sahaja, manakala pelaburan sebagai sesuatu barangan atau perkhidmatan yang mendatangkan pendapatan atau kepuasan untuk masa depan sahaja. Maknanya perbelanjaan ke atas aset yang menjana pendapatan masa depan dipanggil pelaburan. Schultz dan Woodhall cenderung kepada pelaburan, manakala Blaug cenderung kepada penggunaan.

Schultz berpendapat bahawa masa dan wang dibelanjakan untuk pendidikan bakal meningkatkan produktiviti individu, diukur dari segi pasaran buruh atau pendapatan. Woodhall pula mengatakan bahawa wang yang dibelanjakan untuk pendidikan dan latihan akan meningkatkan pendapatan seumur hidup seseorang pekerja. Namun Blaug (1970) tidak bersetuju dan bertegas bahawa pendidikan rasmi ialah penggunaan kerana pendidikan hanya untuk mendapatkan ilmu dan pengetahuan, serta tidak mendatangkan faedah atau kenaikan pendapatan masa depan. Sebaliknya Blaug berpendapat bahawa latihan dalam kerja (on the job training) lebih sesuai diklasifikasikan sebagai pelaburan kerana ia melibatkan entiti peniagaan. Namun, kebanyakan ahli ekonomi pendidikan lebih cenderung mengatakan bahawa pendidikan ialah sejenis pelaburan.

Bank Dunia sendiri sebagai entiti pembiayaan pelaburan modal ketika penubuhannya pada tahun 1944 tidak memasukkan pendidikan sebagai pertimbangan produktif sehinggalah pada tahun 1962 apabila projek pendidikan pertamanya dilancarkan. Bantuan berbentuk soft loans dan hard loans untuk projek pendidikan dikeluarkan.

Philip H. Coombs yang pernah menjadi pengarah penyelidikan Institut Antarabangsa Perancangan Pendidikan (IIEP) berpangkalan di Paris ketika menjustifikasikan minat mendalam ahli ekonomi terhadap pendidikan, sehingga sanggup memasuki ruang multidiscipline seperti psikologi, sosiologi dan sains politik sebagai pakatan atau sekutu baru kepada ahli pendidikan. Pemetakan  (compartmentalization) dua disiplin ilmu ini – ekonomi dan pendidikan – sejak sekian lama terlerai sendiri. Kekhuatiran ahli pendidikan bahawa konsep-konsep ekonomi berorientasi kebendaan bakal meletakkan status pendidikan hanya sebagai instrumen pertumbuhan ekonomi meleburkan nilai-nilai individu begitu asing kepada mereka yang berfokuskan pedagogi.  

Pendidikan bukan sahaja hak asasi manusia dan keperluan asas, bahkan sebagai aktiviti yang mempercepatkan pertumbuhan dan pembangunan. Presiden Carnegie Corporation, Dr. John Gardner menyifatkan perhatian besar terhadap pendidikan sebagai fenomena “the new girl in town, and all the old boys are eager to dance with her” (Wykstra,1971:251). Penerimaan konsep pendidikan sebagai pelaburan untuk pertumbuhan ekonomi mendorong proses perancangan pendidikan menempuh era baru dengan pendekatan yang lebih teratur dan komprehensif.


5   Faedah Pelaburan dalam Modal Insan

Sudah jelas bahawa pembentukan modal insan ialah proses memperoleh dan meningkatkan bilangan individu yang memiliki pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang merupakan keperluan kritikal dalam proses pembangunan ekonomi. Modal insan merupakan unsur terpenting pembangunan sumber manusia, mencipta daya tahan ekonomi dalam menghadapi krisis dahsyat dan keunggulan daya saing. Individu berpendidikan berupaya mengembangkan visi tentang kehidupan yang maju, membina sikap serta etos kerja, produktif dan responsif terhadap penguasaan teknologi terkini.

Manusia memerah otak untuk memperoleh dan mencerna ilmu pengetahuan. Tangan manusia pula membolehkan pengetahuan tadi dipindahkan dalam bentuk praktikal menerusi reka bentuk alat-alat baru. Pendidikan mencetus kreativiti, menjana pengetahuan dan kemudian diaplikasikan secara praktikal.

Pelaburan dalam modal insan memungkinkan pemanfaatan teknologi dan memperluas magnitud kegunaannya. Ia juga mencetuskan mekanisme penerimaan (adaptation, absorptive capacity) teknologi termaju yang bergantung kepada kemahiran intelektual, pemerolehan pengetahuan dan know-how. Ia boleh diringkaskan seperti berikut:

Penyelidikan Asas              Penyelidikan Gunaan              Kemajuan Teknologi

         +  D S                               +  D  SE                         + D MS +   D TSE

                           S   =   Saintis
                          SE  =   Saintis dan Jurutera
                         MS  =   Saintis Pengurusan
                        TSE  =   Juruteknik dan Operator mahir
                       +  D   =   Perubahan positif
                        (Sumber Dhesi,1979:7)

Shahril (2001) menyarankan tiga jenis faedah pelaburan pendidikan yang boleh diringkaskan menerusi jadual berikut:

Faedah Langsung
Faedah Tidak Langsung
Faedah Luaran

* meningkatkan pendapatan pekerja
* meningkatkan produktiviti pekerja
* mobiliti pekerja bertambah
* ciptaan dan inovasi
* pekerja terlatih boleh dieksport


* membasmi buta huruf


* taraf kesihatan meningkat


* agihan pendapatan cekap

* negara stabil & nilai demokrasi terpelihara

Terdapat juga faedah ekonomi seperti produktiviti dan pendapatan yang boleh diukur menerusi kaedah analisis kos – faedah, kadar pulangan individu, kadar pulangan sosial dan perbakian. Faedah bukan ekonomi pula berupa kesan tidak langsung terhadap perkembangan aktiviti ekonomi dan sukar diukur. Misalnya dari segi politik, pendidikan memupuk sikap kewarganegaraan atau patriotisme. Individu berpendidikan akan mengerti tentang hak dan tanggungjawabnya terhadap demokrasi. Dari segi sosiobudaya, individu berpendidikan juga bersikap terbuka dalam menghadapi situasi berbilang budaya. Wujud toleransi bukan sahaja di peringkat domestik, bahkan di peringkat serantau sehingga mewujudkan iklim yang baik untuk pelaburan ekonomi.

Keluarga pelajar turut menerima limpahan faedah. Para ibu boleh memperuntukkan masa yang sepatutnya digunakan untuk menjaga anak sendiri dengan aktiviti produktif yang lain apabila anak ke sekolah. Produktiviti sekolah dari segi penjagaan kanak-kanak boleh diukur daripada pendapatan purata ibu bekerja. Kehidupan komuniti dan kejiranan juga lebih tenteram. Rentetannya pembayar cukai tidak perlu membiayai kos penguatkuasaan undang-undang yang tinggi akibat jenayah dan elaun pengangguran.

Satu kajian yang dibuat oleh pejabat hal-ehwal sosial Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Amir,1984:197) menghasilkan antara lain koefisien korelasi seperti berikut:

            Pendapatan negara per kapita / bersekolah                   0.84
            Penggunaan tenaga / bersekolah                                   0.76
            Urbanisasi / kemasukan bersekolah                              0.71
            Kematian bayi / bersekolah                                        -  0.67
            Bilangan yang boleh membaca / bersekolah                0.78
            Petani lelaki / bersekolah                                           -  0.81

“Bersekolah” mempunyai korelasi positif dengan pendapatan negara per kapita, penggunaan tenaga, urbanisasi dan bilangan boleh membaca. Sebaliknya “bersekolah” mempunyai korelasi negatif dengan kematian bayi dan petani lelaki.

Pembantah pelaburan pendidikan patut mempertimbangkan kos sosial yang tinggi jika pendidikan tidak disediakan. Memang benar bahawa pendidikan melibatkan wang, begitu juga kejahilan (Education costs money, but then so does ignorance, kata Sir Claus Moser, dipetik oleh Dr Shukri Abdullah, 2003 dalam buku bimbit “Inspiration For Teenager – Young Adult”). Satu kajian telah dibuat di Amerika Syarikat pada tahun 1994 membandingkan penduduk yang menerima pendidikan dalam tempoh 10.2 tahun hingga 12.3 tahun dengan kadar banduan di penjara. Ia menghasilkan data berikut:

Kadar Keciciran Terendah
(dan Kadar Banduan Terendah)
Kadar Keciciran Tertinggi
(dan Kadar Banduan Tertinggi)

  1         North Dakota            4.6
   2         Minnesota                 6.4
   3         Iowa                          6.6
   4         Wyoming                  6.9
   5         Nebraska                   7.0

   6         Wisconsin                 7.1
   7         Hawaii                      7.5
   8         South Dakota           7.7
   9         Vermont                   8.0
   10       Montana                   8.1


  50            Nevada                   15.2
   49           Arizona                  14.4
   48           Florida                    14.3
   47           California               14.2
   46           Georgia                  14.1

   45           D. Colombia          13.9
   44           Tennessee              13.4
   43           Kentucky               13.3
   42           Texas                     12.9 
   41           Alabama                12.6

Keciciran Sekolah Tinggi dan Hubungan dengan Kadar Banduan
(Sumber:Burrup et al,1996:21)

Daripada jadual jelas terdapat pertalian signifikan bahawa negeri yang mempunyai kadar keciciran terendah mempunyai kurang banduan secara berbanding. Maka persoalannya haruskan wang dilabur dalam pendidikan atau penjara, pusat pemulihan, elaun kebajikan, sistem mahkamah atau keperluan penguatkuasaan?

Kajian Psachoropoulus menunjukkan bahawa perbelanjaan dalam  pendidikan menggambarkan pelaburan dalam modal insan adalah menguntungkan, sama ada kepada individu, mahupun masyarakat. Keputusan melabur dalam modal insan membabitkan keseimbangan kos langsung dan kos lepas akibat pendidikan formal dengan prospek pulangan untuk pekerja berpendidikan.

Majikan juga menikmati keadaan pekerja yang berdisiplin, berdaya maju dan bersikap terbuka terhadap perubahan.

6   Perbandingan Modal Insan dengan Modal Fizikal

Selepas Perang Dunia Kedua, dasar awam bertumpu kepada proses pembangunan. Langkah besar seperti Rancangan Marshall, Rancangan Colombo dan Point Four mencetuskan minat terhadap teori ekonomi pembangunan. Pada peringkat awal, ia berfokus kepada pembangunan fizikal seperti bangunan kilang, empangan hidro, jalan raya, serta menggunakan keluaran negara kasar sebagai kayu ukur pembangunan. Pandangan kedua kemudiannya mendapati faktor manusia jauh lebih penting daripada sumber fizikal. Kekurangan pendidikan membawa kepada masalah kekurangan tenaga kerja berkelayakan sehingga menjadi hambatan terhadap proses pembangunan.

Modal fizikal mudah diukur secara relatif justeru ia tidak mengambil kira kos perbelanjaan pendidikan, kesihatan dan rekreasi sepertimana modal manusia. Modal fizikal ialah faktor pengeluaran yang pasif, sedangkan manusia ialah ejen aktif yang berupaya mencipta dan mengeksploit modal fizikal yang baru menerusi perubahan teknologi. Ia mencetuskan interaksi dengan semua faktor pengeluaran yang lain ke arah mewujudkan kesan pengganda dalam proses petumbuhan.

Modal fizikal mengalami keusangan dan susut nilai, manakala modal insan walaupun ada kemerostan, tetapi boleh terus ditingkatkan kualitinya menerusi latihan. Satu kajian telah dibuat untuk membandingkan kadar pulangan modal insan dengan modal fizikal oleh Walter W. McMohan dari Universiti Illinois pada tahun 1990.


7   Produktiviti dan Pendapatan

Produktiviti ialah jumlah output per unit yang dihasilkan oleh sejumlah input yang digunakan dalam proses pengeluaran. Peningkatan produktiviti bergantung kepada peningkatan dalam kecekapan modal dan kecekepan pekerja. Dengan andaian ceteris paribus (faktor lain tidak berubah), dari segi permintaan, buruh kurang mahir adalah pengganti yang tidak sempurna dan buruh berkemahiran tinggi adalah kurang, maka tingkatan upah buruh berkemahiran secara relatifnya adalah lebih tinggi. Ini disebabkan kos untuk mendapat pendidikan bagi meningkatkan modal insan, sama ada langsung atau tidak langsung, adalah tinggi.

Dari segi penawaran pula, dalam jangka pendek, tidak berubah. Ini disebabkan pendidikan memerlukan tempoh masa tertentu. Katakan dengan perkembangan industri berteknologi tinggi, firma akan lebih cenderung mengambil pekerja berpendidikan yang dianggap lebih produktif. Maka pekerja berpendidikan akan menerima upah lebih tinggi, yang kadangkala dipanggil bayaran premium.

Pendapatan, keluaran dan hasil memberikan denotasi yang sama dalam ekonomi. Hubungan antara peranan pendidikan dalam pembentukan modal insan dengan pertumbuhan ekonomi boleh diibaratkan sama dengan hubungan ayam dan telur, yang mana satu dahulu wujud. Kajian Easterlin, 1981 (Linda,1991:28) mendapati bahawa perkembangan teknologi moden yang memangkinkan pertumbuhan ekonomi di 25 buah negara termaju di dunia dikaitkan dengan persekolahan formal.

Harbison dan Myers dalam Education, Manpower and Economic Growth, 1964 (Dhesi,1979:6) meringkaskan analisis produktiviti yang dicetuskan oleh pembentukan modal insan dalam bentuk persamaan berikut:
                                 g  =  f1 (t, f2 (ke) f3 (HC)

                      di mana  g   =   kadar kemajuan ekonomi
                                     T    =   kadar kemajuan teknikal
                                    Ke  =   stok modal fizikal
                                                    HC  =   stok modal manusia
Nilai produktif pelaburan pendidikan mengatasi modal fizikal. Misalnya di Jepun antara 1930 – 35, peningktan stok pengetahuan dianggar menyumbang 25 peratus peningkatan pendapatan negara, atau 70 peratus daripada keseluruhan 37 peratus peningkatan itu. Denison juga menganggarkan 21 peratus pertumbuhan ekonomi USA bagi tempoh 1929 – 57 disumbangkan oleh pelaburan pendidikan. Di bekas USSR juga dianggarkan 27 peratus pendapatan negara pada tahun 1962 disumbangkan oleh peningkatan pendidikan penduduknya (Strumlin, dipetik oleh Noah, 1969)  produktiviti buruh berpendidikan rasmi 4 tahun 43 peratus melebihi yang buta huruf, 108 peratus untuk lepasan menengah dan 300 peratus untuk siswazah.

Pertumbuhan ekonomi bergantung kepada produktiviti yang dihasilkan menerusi teknologi know-how. Komponen manusia menjadi faktor paling mustahak dalam pembangunan dan pertumbuhan ekonomi. Individu berpendidikan dan berkemahiran tinggi menyumbang ke arah kecekapan dan peningkatan output. 

Royal Brandiss, seorang ahli ekonomi pembangunan cuba menjelaskan konsep daya pengeluaran (produktiviti) pembelajaran  (Amir,1984:93-96). Dengan andaian bahawa jika pekerja belajar untuk bekerja dengan lebih cekap, ia akan menaikkan pendapatan per kapita benar sesbuah masyarakat tanpa menaikkan kadar jumlah penduduk yang bekerja dan tanpa menaikkan bilangan jam yang digunakan untuk bekerja oleh tiap-tiap pekerja. Pembelajaran boleh berterusan dan tiap-tiap generasi pekerja akan menjadi lebih cekap daripada generasi sebelumnya.

Dalam konteks zaman dahulu, proses pembelajaran mungkin bersifat bapa-kepada-anak. Naman terdapat had dalam penurunan ilmu cara berkenaan justeru pertambahan ilmu dalam setiap generasi adalah kecil dan terlalu perlahan. Maka segelintir anggota generasi dewasa pada masa-masa tertentu perlu mengenepikan masa bekerja mereka untuk mengajar generasi akan datang dengan ilmu pengetahuan yang telah dikumpul pada masa lalu dan / atau menjalankan penyelidikan untuk menambahkan ilmu pengetahuan dalam bidang yang khusus.

Apabila  sesetengah anggota tenaga kerja menceburkan diri untuk mengajar tenaga muda,  akan wujud keadaan pengurangan bilangan pekerja yang mengeluarkan barangan dan perkhidmatan pada masa berkenaan. Ia bercanggah dengan teori pertumbuhan ekonomi. Kita boleh membuat justifikasi bahawa pengurangan yang diakibatkan oleh penyediaan pengajaran dan penyelidikan ini boleh meningkatkan pengeluaran barangan dan perkhidmatan pada masa depan.

Dengan itu peningkatan dalam pengeluaran barangan dan perkhidmatan pada masa depan hasil daripada pembelajaran mestilah lebih besar daripada perngorbanan dalam pengeluaran semasa supaya masyarakat mendapat faedah untuk mewujudkan sesuatu sistem pendidikan. Ukuran besar berkenaan bergantung kepada tempoh masa yang terpaksa ditunggu sebelum memperoleh pengeluaran yang bertambah dan kadar bagi keluaran pada masa depan. Sepertimana teori-teori diskaun kadar bunga, kuasa beli dan inflasi, pelaburan dalam pendidikan melibatkan faktor risiko.

Antara ciri negara yang belum maju (entwickelungslander, istilah Jerman yang dikatakan lebih tepat daripada less developed countries) ialah tingkat buta huruf yang tinggi atau akses pendidikan yang rendah, penggunaan guna tenaga kanak-kanak yang meluas, status dan kedudukan wanita yang rendah, dan tingkah laku ditentukan oleh tradisi. Lompatan yang tinggi dalam kecekapan ekonomi moden hanya wujud bersama kebolehan membaca, menulis dan memahami arahan yang mudah, namun terhalang oleh kuasa budaya dengan nilai sosial yang rendah terhadap pendidikan. Sosiomobiliti sukar berlaku dalam sistem masyarakat yang didominasi oleh kelompok elit yang menentang pemberian pendidikan kepada kelompok majoriti yang dianggap kelas bawahan seperti dalam sistem kasta atau apartheid. 


8   Peranan Pendidikan Formal

Seringkali ditekankan bahawa pendidikan formal bukanlah bertujuan menyediakan tenaga kerja mahir dalam sesuatu bidang khusus, tetapi untuk menyediakan calon tenaga kerja yang mudah dilatih (trainable). Inilah prinsip asas yang boleh menerangkan tentang output pendidikan formal. Program latihan lebih khusus dan lanjut seharusnya disediakan oleh para majikan.

Umpama negatif fotograf yang hanya jelas dalam bentuk foto setelah diproses, individu yang melalui proses pendidikan formal hanya diketahui kapasitinya setelah didedahkan dengan aktiviti produktif sebenar. Tenaga profesional seperti guru, jurutera, santis dan doktor tidak dihasilkan menerusi sistem latihan dalam kerja (on the job training). Begitu juga dengan beberapa jenis kemahiran hands-on yang lebih sesuai disediakan oleh pendidikan formal berbanding dengan  skim aprentis.

Tempoh pendidikan formal seseorang individu lazimnya dijadikan proksi pembentukan modal insan. Lebih panjang tempoh persekolahan formal, lebih tinggi nilai modal insan, selanjutnya lebih tinggi potensi produktiviti, dan akhirnya upah juga lebih tinggi. Profil pendapatan di negara maju menunjukkan lebih banyak pendidikan akhirnya menghasilkan pendapatan lebih tinggi di pasaran tenaga kerja.

Rentetannya muncul konsep pendidikan wajib (compulsory education)  dan pendidikan sejagat (universal education). Berikutan itu timbul pula persoalan tentang tahap pendidikan formal yang perlu diutamakan dan jenis pendidikan yang diperlukan. Pendidikan rendah seharusnya menjadikan celik huruf sebagai tujuan utama, di samping memupuk warganegara yang berkesan dalam masyarakat (Harbison,1961 dalam Wyksra,1971:237). Ahli pendidikan sama ada dari negara maju atau negara sedang membangun bersepakat bahawa pendidikan vokasional tidak harus diperkenalkan di tahap persekolahan rendah .

Pendidikan menengah pula patut menyediakan asas kemahiran komunikasi dan penulisan, matematik, bahasa asing, sejarah, pengajian sosisal dan sains yang kukuh. Kemahiran manual juga boleh diterapkan. Pengkhususan kemahiran yang terlalu awal perlu dielakkan, yang boleh disediakan oleh majikan atau institusi pengajian pascamenengah.

Harbison juga berpendapat bahawa latihan vokasional di peringkat sekolah menengah sebagai bermasalah, mahal dan membazir. Biasanya pelajar yang kurang menyerlah dalam akademik (low achievers) ditempatkan dalam kelompok vokasional ini hingga mengakibatkan ia menjadi kubang si lembap (the catch-basins for the incompetents). Beliau mencadangkan agar dana latihan disalurkan kepada institusi majikan daripada membiayai pendidikan vokasional  di sekolah yang belum tentu menepati keperluan kerja yang bakal diceburi oleh pelajar.

Apabila lulusan pendidikan menengah meningkat dengan pesat, kerajaan akan menghadapi tekanan masyarakat untuk menambah tempat di peringkat institusi pengajian tinggi, khususnya universiti. Selagi ijazah menjadi tiket perjawatan lebih baik dan gaji permulaan yang tinggi, selagi itu pelajar bertungkus-lumus merebut tempat di universiti.  Maka wujud kecenderungan banyak kerajaan, khususnya di dunia ketiga memperuntukkan perbelanjaan yang berlebihan di peringkat tinggi ini sehingga mengabaikan pendidikan pertengahan pascamenengah yang seharusnya bertumpu kepada bidang sains dan kejuruteraan.  

Misi universiti sepatutnya menyediakan pendidikan liberal untuk menyediakan bakal pemimpin dalam pelbagai bidang ilmu dan guna tenaga teknikal tahap tinggi, bukan dipenuhi oleh sejumlah besar mereka yang hanya berminat dengan kedudukan tinggi.


9   Kritikan terhadap Teori Modal Insan

Sejumlah kritikan telah dibuat. Paling asas ialah fokus terhadap andaian teori modal insan yang mengatakan bahawa individu berpendidikan akan mendapat kerja lebih baik. Dalam realitinya terdapat banyak siswazah menganggur dan berebut kerja dengan individu kurang berpendidikan. Pola ini berlaku di benua kecil Indo-Pakistan, dan Afrika lewat dekad 1960-an dan awal dekad 1970-an. Kerukunan sosial tergugat dengan hebatnya, migrasi ke bandar, brain drain, dan isu kerelevanan kurikulum berorientasi peperiksaan yang dikatakan memusnahkan kreativiti, daya usaha dan unsur berdikari hangat dibahaskan.. Laporan Bank Dunia, 1992 merumuskan bahawa keutamaan berlebihan terhadap pendidikan tinggi berbanding dengan peringkat rendah dan menengah umpama membina istana pasir dan menjadi ciri negara kurang maju. Pelaburan besar memberi manfaat kepada segelintir, hingga menjejaskan ekuiti sosial.

Pengukuran terhadap produktiviti tidak seharusnya semata-mata berkaitan dengan pendidikan, tetapi disebabkan faktor kepuasan kerja dan struktur ganjaran yang diterima. Teori modal insan juga terlalu mengutamakan individu sehingga mengabaikan peranan signifikan struktur sosial dan hubungan antarabangsa  yang membezakan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi antara negara.

Kritik radikal datang dari Bowles dan Gintis (1976) yang mengatakan dalam sistem kapitalis, pendidikan cenderung menjadikan tenaga kerja dijuruskan ke arah memenuhi keperluan struktur kuasa ekonomi sedia ada bagi mempertahankan status quo.

Metodologi teori modal insan juga tidak memuaskan pengkritik. Penggunaan model persamaan linear dalam menunjukkan pulangan produktiviti (GNP) dalam sesuatu jangka masa yang dijelaskan menerusi faktor diketahui (known factor) seperti perkembangan teknologi. Residual (perbakian) pula dikaitkan sebagai peningkatan kualiti ‘stok manusia’. Falasi asas kaedah ini ialah saiz residual dengan model linear mungkin sekali diakibatkan oleh pulangan yang bertambah mengikut skala bidang (economic of scale) atau perubahan komposisi output.

Saiz ekonomi Amerika sebenarnya telah meningkat sepuluh kali ganda antara dekad 1860-an dan dekad 1960-an. Kesan limpahan, rantaian atau sebaran yang dicetuskan sesuatu industri ke atas suatu industri lain memang wujud. Di samping itu kos overhead pengangkutan, tenaga dan rangkaian perhubungan tersebar ke atas jumlah output yang kian bertambah besar, sekali gus menurunkan kos tiap-tiap unit output. Marshall telah menyebut perkara ini sejak 1890-an lagi.

Ketidaksempurnaan sistem ekonomi juga pada satu ketika menyumbang kepada pendapatan negara yang relatif lebih rendah. Pekerja sesuatu sektor berdaya pengeluaran rendah mungkin beralih kepada sektor berdaya pengeluaran tinggi.  Misalnya dari sektor pertanian ke sektor perkilangan. Kemunculan industri “berkuasa tinggi” seterusnya meningkatkan pengeluaran purata dalam sesuatu ekonomi. Maka mengikut hujah ini, residue tidak semestinya dikreditkan kepada peningkatan stok pengetahuan.

Lester Thurow (1974), John Meyer (1977) dan Randall Collins (1979) menghujah bahawa tingkat pendidikan tidak semestinya sesuai dengan kualiti kerja. Mereka mengemukakan teori persaingan status dan teori persaingan kerja (job competition) yang mengatakan bahawa tiada perbezaan produktiviti antara individu berpendidikan tinggi dengan individu yang berpendidikan rendah dalam menangani pekerjaan yang sama. Individu berpendidikan rendah tetapi mendapat latihan berbentuk bukan formal dan mengambil masa lebih singkat berupaya menghasilkan produktiviti yang sama secara relatif dengan individu berpendidikan tinggi secara formal.

Bukti penyelidikan yang dilakukan oleh Pritchett (1996) mencabar kekukuhan peranan pendidikan dan modal insan dengan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi. Pritchett menyoal, “where has all the education gone?” Apa sudah jadi dengan kemudahan dan pembiayaan pendidikan? Kajian beliau meliputi 83 buah negara antara tempoh 30 tahun (1960-1990) mendapati peningkatan dalam pencapaian pendidikan individu tidak selalunya mempunyai impak positif ke atas kadar pertumbuhan output bagi setiap tenaga kerja. Pendapat Pritchett dipertikaikan justeru tidak mengambil kira perbezaan sistem pendidikan dan keupayaannya mengagihkan pendidikan itu sendiri. Enrolmen besar-besaran tidak setara dengan kecekapan dasar perbelanjaan awam. Maka pelaburan dalam pendidikan di negara-negara sedang membangun tidak diikuti oleh pertumbuhan ekonomi.

Kajian di Bolivia juga mendapati bahawa hanya individu kaya mampu melabur dalam modal insan dan seterusnya membolehkan mereka mengekalkan kekayaan, sedangkan jika individu miskin perlu membiayai pendidikan, mereka akan berhadapan dengan kos sut (marginal cost) dan kos lepas (opportunity cost, income forgone) yang tinggi.

Sementara itu, Spence (1973) yang mengemukakan hipotesis tapisan (screening device hypothesis) pula menyarankan bahawa pendidikan hanya dijadikan ukuran oleh majikan sebagai proksi ciri-ciri atau trait peribadi calon pekerja seperti sikap terhadap pihak autoriti, ketepatan masa dan motivasi. Pendidikan hanya mengeluarkan sijil, diploma dan ijazah, serta tidak berkadar terus dengan produktiviti. Ringkasnya, ia hanya berkaitan dengan peluang untuk mendapat gaji lebih tinggi.

Hipotesis tapisan juga dikenali sebagai signal theory. Pekerja dibayar gaji berdasarkan kelayakan akademik, dan bukan prestasi kerja atau produktiviti. Ia menjadi laluan kerjaya sahaja. Contohnya pengambilan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) bagi mengisi jawatan berprestij di Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia. Calon PTD dipilih dari pelbagai latar belakang disiplin pengajian sama ada Ekonomi, Sains, Pengajian Islam, Pengajian Melayu, Antropologi dan lain-lain. Kemudian calon yang berjaya akan menjalani latihan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) atau dihantar melanjutkan pengajian di peringkat MPA (Sarja Pentadbiran Awam) dan Ph.D.

Hipotesis segmentasi pasaran buruh cuba melemahkan lagi teori modal insan. Pasaran buruh dibahagikan kepada primary dan secondary. Yang pertama dibentuk oleh firma gergasi yang menawarkan jaminan kerja, prospek kerjaya dan kesatuan sekerja,  manakala yang kedua terdiri daripada firma kecil yang membawa implikasi sebaliknya. Disebabkan kerja yang dikatakan baik tidak diagihkan sepenuhnya (not randomly distributed), maka mobiliti pekerja menjadi terhad dan lama-kelamaan terbentuk kelompok (clusters) mengikut segmentasi tadi. Kekurangan hipotesis segmentasi pasaran ialah kriteria segmentasi yang digunakan.

Nachum Sicherman dari Universiti Rutgers membuat kajian tentang isu berlebihan pendidikan (overeducation) di pasaran buruh. Berlaku ketidaksetaraan antara tahap sebenar persekolahan seseorang pekerja dengan keperluan kerja mereka. Dengan itu mereka menerima pendapatan  kurang daripada rakan yang mempunyai tahap pendidikan yang sama, tetapi memperoleh kerja yang setara dengan tahap persekolahan mereka. Ini mencabar andaian teori modal insan bahawa firma dan pekerja akan menyelaraskan keperluan persekolahan dan pelaburan berdasarkan permintaan dan penawaran pasaran.

Pendidikan semata-mata bukanlah jaminan kejayaan pembangunan. Banyak negara sedang membangun yang membuat pelaburan besar dalam modal insan mendapati mereka terperangkap dalam nestapa lebihan penawaran tenaga kerja berpendidikan. Golongan individu berpendidikan lebih banyak menganggur berbanding dengan golongan kurang berpendidikan. Inilah yang disebut sebagai “keperluan tenaga kerja” lawan “keupayaan menyerap” (manpower requirements versus absorptive capacity). Usaha untuk memaksimumkan pulangan sosial daripada pelaburan modal insan boleh mewujudkan keadaan penghasilan individu berkemahiran dan berpendidikan tidak dapat diserap oleh ekonomi.

Penawaran tenaga pekerja berpendidikan yang pantas tidak dapat ditampung oleh prmintaan pasaran. Ini mengakibatkan kadar pulangan pelaburan pendidikan menurun. Keadaan ketidakseimbangan pasaran ini membawa makna terdapatnya kecacatan dalam perancangan buruh yang menuntut kepada pembaharuan dasar. Keupayaan pendidikan untuk membawa kesamarataan ekonomi tidak disokong oleh penstrukturan semula sistem ekonomi dan dasar yang relevan.

Sepertimana barangan kurang anjal, pendapatan yang dihasilkan oleh pembentukan modal insan juga tertakluk kepada hukum cobweb atau disebut juga sebagai Hog Cycles (Fischer,op.cit,343), iaitu mengalami turun naik harga (pendapatan) secara silih berganti. Permintaan pekerja berpendidikan dalam jangka pendek meningkatkan pendapatan. Maka ia menggalakkan lebih banyak enrolmen di universiti, dan dalam jangka panjang, penawaran buruh berpendidikan akan meningkat.

Apabila ini berlaku, kuasa tawar-menawar firma atau majikan menjadi lebih kuat, dan jurang pendapatan antara pekerja berpendidikan dengan yang kurang pendidikan mengecil. Proses silih ganti itu akan berterusan, dan keseimbangan pendapatan akan turun naik berhampiran titik keseimbangan.  Contoh yang baik ialah kitaran pasaran saintis Amerika yang dicetuskan oleh pelancaran satelit angkasa lepas Sputnik oleh Russia pada tahun 1957. Pendapatan penyandang Ph.D dalam Fizik naik melambung antara 1954 – 62 (ketika itu 5.36 peratus daripada keseluruhan Ph.D) hingga meningkatkan penawaran pemegang ijazah berkenaan memasuki pasaran antara 1962 – 68 kepada 5.59 peratus,mengakibatkan pendapatan siswazah berkenaan jatuh secara relatif. Maka dalam tempoh 1968 – 70 penawaran penyandang Ph.D Fizik jatuh semula iaitu sebanyak 5.05 peratus.

Nasib yang sama dialami oleh pemegang ijazah MBA yang menikmati bayaran premium yang tinggi pada awal dekad 1970-an. Pada tahun 1982, penawaran penyandang MBA mengalami lambakan, dan akibat jangka pendeknya enrolmen untuk MBA merudum. Peningkatan modal insan tidak menjamin pendapatan yang tinggi.

Terdapat banyak lagi kritikan terhadap teori modal insan seperti kuasa tawar-menawar kesatuan sekerja dan teori diskriminasi. Sebagai contoh di negara kita, kesatuan sekerja seperti CEUPACS, MTUC atau NUTP dikuasai oleh golongan berpendidikan menengah sahaja. Mereka mungkin berjaya mengecilkan jurang pendapatan dan faedah sampingan dengan golongan pekerja siswazah jika penggubal skim gaji bukan terdiri daripada PTD yang harus menyelamatkan status mereka, dan secara tidak langsung membela pegawai siswazah bukan PTD.

Diskriminasi jantina dan ras juga menafikan peningkatan modal insan. Pekerja berpendidikan akan menerima pendapatan yang lebih rendah jika dibandingkan dengan ketiadaan diskriminasi. Ia mengakibatkan berlaku salah peruntukan tenaga kerja, kehilangan output dan melenyapkan keuntungan.

10   Pelaburan dalam Modal Insan di Malaysia

Laporan Ekonomi 2003/2004 (Ministry of Finance Malaysia, 2003:9) jelas menunjukkan peranan pendidikan dalam pembentukan modal insan. Semua konsep penting pembentukan modal insan juga ada disentuh. Dinyatakan bahawa:

“Additonal measures were designed to build upon the present competitive edge, which hinges on the pillars of political stability, a business-friendly Government, educated and easily trainable workforce…accelerating the transition to ICT as the enabling tool to enhance productivity as well as developing human resource to meet the demands of the New Economy.”

Dalam kata-kata aluan blue print Pembangunan Pendidikan 2001 – 2010, Perdana Menteri memulakan dengan kata:


“Pembangunan sumber tenaga manusia merupakan teras kepada kejayaan sesebuah negara. Dengan tenaga manusia yang terdidik dan terlatih negara akan lebih mudah menghadapi sebarang cabaran yang datang. Sektor pendidikan dan latihan adalah penting bagi memastikan sumber tenaga manusia dilengkapi dengan pelbagai ilmu dan kemahiran. Sudah terbukti negara boleh membangun dan maju jika ia mempunyai sumber tenaga manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.”

Mukadimah dokumen berkenaan juga menggariskan perkara yang serupa:
“Pembangunan Pendidikan 2001 – 2010 mengambil kira Dasar Wawasan Negara yang bertujuan membina bangsa yang berdaya tahan, menggalakkan pewujudan masyarakat yang saksama, mengekalkan pertumbuhan ekonomi, membangunkan daya saing antarabangsa, membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan, memperkukuh pembangunan sumber manusia, dan meneruskan pembangunan alam sekitar yang mapan…menangani cabaran globalisasi dan K-ekonomi ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju mengikut acuan sendiri.”

Malaysia telah lama menyedari peri pentingnya pendidikan dalam proses pembentukan modal insan bagi menjayakan agenda pembangunan dan pembinaan negara sejak awal kemerdekaan. Rancangan Malaysia Pertama (1966-70) menunjukkan perbelanjaan pendidikan menyerap 5 peratus Keluaran Negara Kasar, setara dengan negara lebih maju ketika itu. Kajian di beberapa buah negara ketika itu menunjukkan bahawa hanya 20 hingga 30 peratus pertumbuhan pendapatan negara disumbangkan oleh penambhan kuantitatif input modal fizikal dan buruh, sedangkan selebihnya adalah disebabkan peningkatan kualitatif input berkenaan, termasuk peningkatan produktiviti sumber manusia menerusi pendidikan dan latihan.

Dari segi peruntukan belanjawan awam, Malaysia telah memberi tumpuan yang cukup besar terhadap pembangunan pendidikan. Sorotan  peruntukan belanjawan awam untuk pendidikan dari Rancangan Malaysia Pertama hingga Kelima dapat diringkaskan dalam jadual di bawah:

Peruntukan Belanjawan Awam untuk Pembangunan Pendidikan (RM juta)#

Peringkat / Penggal
1966 – 70
1971 – 75
1976 – 80
1981 – 85
1986 – 90
Sekolah Rendah
74.70
74.91
319.40
629.75
784.91
Sekolah Menengah
232.10
230.18
452.80
659.52
1436.52
Pelajaran teknik*
36.50
19.19
22.70
16.80
220.46
Pengajian tinggi
30.00
216.98
485.40
669.00
2371.49
Latihan guru
31.90
05.97
93.60
84.00
384.85
Lain-lain**
35.60
31.18
76.10
184.82
163.94
JUMLAH
440.80
578.41
1450.00
2243.89
5362.17
Belanjawan Awam
4450.90
7250.00
18554.99
42829.50
74000.00

# tidak termasuk peruntukan latihan
* tidak termasuk sekolah menengah teknik dan vokasional
   (diletakkan di bawah kategori sekolah menengah)
** pusat kursus dan kajian lanjutan, misalnya Institut Aminuddin Baki

Pembangunan sumber manusia semasa Malaysia banyak dipengaruhi oleh Wawasan 2020. Semua rancangan perspektif jangka panjang dan jangka pendek seperti Rancangan Malaysia Keenam, Ketujuh dan Kelapan, serta Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua dan Ketiga menjurus ke arah status negara maju dengan acuan sendiri. Pembangunan sumber atau modal insan merupakan teras dalam semua rancangan berkenaan (Shahril,2001:90). Tambahan pula keperluan pekerja berpengetahuan (k-workers) memerlukan peningkatan peluang pendidikan dan latihan yang berkualiti, khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Begitu juga dengan pembelajaran sepanjang hayat.  

Laporan Ekonomi 2003/2004 (Ibid:10) juga menyebut bahawa kecemerlangan pendidikan ialah menjurus ke arah meningkatkan mutu tenaga kerja (the move towards educational excellence is aimed at improving the quality of workforce). Maka di kedua-dua peringkat sekolah rendah dan menengah, pendekatan berteras ICT diharap dapat menyiapkan pelajar untuk menangkap (access) sebanyak mungkin pengetahuan daripada perkembangan internet. Keputusan melaksanakan pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris juga diharap membantu pelajar mengakses maklumat sains dan teknologi. Ditegaskan sekali lagi bahawa segala langkah yang diambil ke arah kecemerlangan pendidikan adalah bagi melengkapkan pelajar dengan pengetahuan yang diperlukan sambil mencipta tenaga kerja berkualiti dan mudah dilatih.

Pembangunan sumber manusia sebagai prasyarat peningkatan produktiviti dan kecekapan terus diberi keutamaan dengan pertambahan peruntukan RM500 juta untuk dana pembangunan kemahiran (SDF) dalam bentuk pinjaman kepada pelajar yang berhasrat mendalami bidang teknikal dan vokasional. Siswazah menganggur juga diberi peluang mengikuti latihan di bawah Skim Latihan Semula berteraskan ICT dan perakaunan dengan dana bersaiz RM100 juta. Sejak 2001, SDF telah melatih kira-kira 121,000 orang dan dijangka 76,000 orang lagi akan dilatih tahun ini.

Menurut Indeks Pembangunan Sumber Manusia yang dikeluarkan oleh UNDP (Tobing, 1994:2), daripada 162 negara yang dikaji, Malaysia berada di tangga ke-59, mengatasi Thailand (70), Filipina (77), Vietnam (107) dan Indonesia (110). Negara ASEAN yang mendahului Malaysia ialah Singapura (25) dan Brunei (32). Terbaru, (UNDP,2003:237-240) Malaysia berkedudukan lebih baik, iaitu nombor 58 secara keseluruhan dan ketiga di belakang Antigua and Barbuda dan Bulgaria dalam kelompok pertengahan (medium human development). Singapura di tangga 28 dan Brunei 31 dikelaskan sebagai kelompok tinggi, manakala Thailand menjunam ke nombor 74, Filipina 85, Vietnam 109 dan Indonesia 112. Kedudukan 25 negara tercorot ialah dari benua Afrika. Tiga dimensi asas yang menjadi pertimbangan indeks komposit berkenaan ialah tahap pendidikan, jangka hayat dan taraf kehidupan.


Penutup dan Kesimpulan

Asas teori ialah benar pada kebanyakan, tidak semestinya benar untuk semua. Justeru itu kegunaan dan kerelevanannya dengan kerencaman sesuatu analisis adalah perkara yang lebih penting. Teori modal insan tidak terkecuali. Ia telah menjawab misteri residue yang cuba dibongkar oleh ahli ekonomi silam. Walaupun asas andaian modal insan boleh dicabar, namun ia telah membuka jalan untuk ahli ekonomi dan ahli pendidikan meneroka persefahaman dan saling menyumbang antara dua disiplin ilmu yang dahulunya bagaikan dua garisan selari yang tidak mungkin bertemu.

Walaupun terdapat percanggahan untuk menjustifikasikan peranan pendidikan dalam pembentukan modal insan, ia lebih bersifat metodologikal untuk mengukur sumbangan pendidikan berbanding dengan asas teori modal insan itu sendiri. Seperti kata Jerome Wiesner yang dipetik oleh Harbison dan Myers, 1964:

“A good education system may be the flower of economic development, but it is also its seed.”

Teori modal insan masih relevan dan mempengaruhi perancangan sumber manusia di banyak negara. Perkara yang perlu diberi perhatian ialah keutamaan dalam pelaburan itu sendiri, iaitu menyangkut isu agihan atau ekuiti. Pelaburan dalam pendidikan mesti dirancang dengan teliti supaya wujud keseimbangan antara permintaan dan penawaran di pasaran tenaga kerja.

Sesungguhnya peranan pendidikan dalam pembentukan modal insan bertambah kukuh terutama dalam era  ekonomi berasaskan pengetahuan (k-economics) yang menjadi faktor daya saing globalisasi. Menjelang pelaksanaan AFTA 2005 dan WTO 2010 (walaupun terdapat acahan berani blok dunia ketiga di Cancun, Mexico baru-baru ini), persiapan sumber manusia menerusi pelaburan modal insan dalam pendidikan mempunyai fungsi strategik (conditio sine qua non) yang akan menentukan kelangsungan pembangunan ekonomi negara kita.

BIBLIOGRAFI


Amir Hussin Baharuddin, Prof Dr (1984), Siri Kumpulan Esei Ekonomi Pembangunan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

Becker, Gary S Prof Dr (1975), Human Capital, A Theoritical and Emperical Analysis With Special Reference to Education (2nd edition), The University of Chicago Press, USA

Burrup, Percy E, et al (1996), Financing Education in a Climate of Change, Allyn and Bacon, USA

Cohn, Elchanan, et al (1994), Recent Developments in the economics of education, Edward Elgar Publishing Limited, UK

Dhesi, Autar S (1979), Human Capital Formation and Its Utilitization, (disertasi Ph.D, University of Birmingham, UK), Sterling Prt Ltd, Bangalore

Fischer, Stanley, Prof Dr et al, Economics, McGraw-Hill, Inc., Tokyo

Hasan Langgulung (1987), Prof Dr: Asas-asas Pendidikan Islam, Penerbit Pustaka al-Husna, Jakarta

Linda Low, et al (1991), Economics of Education and Manpower Development: Issues and Policies in Singapore, McGraw-Hill Book Co, Singapore

Ministry of Finance Malaysia (2003), Economic Report 2003/2004, Percetakan Nasional Malaysia Berhad, Kuala Lumpur

Mohd Yaakub Hj Johari, Dr (ed) (1987), Issues on Human Resource Development in Sabah, Institute for Development Studies, Kota Kinabalu

Munandar A.S., Prof Dr (1981), Pengembangan Sumber Daya Manusia Dalam Rangka Pembangunan Nasional, Lembaga Pendidikan dan Pembinaan Manajemen, Jakarta

Centre for Educational Research and Innovation (1999), Human Capital Investment, OECD, Paris

Pearce, David W, Prof Dr (ed) (1986), The Dictionary of Modern Economics, ELBS/ Macmillan, Suffolk

Psacharopoulus, George Dr (1994), Return to Investment in Education: A Global Update, World Development Vol 22, pp 1325 – 1343, U.K.

Rosnani Hashim Dr, Abdul Karim Abdul Ghani (2000): Ekonomi dan Pendidikan dari Perspektif Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

Salmn, Alaxander (1995), Public School Finance, Allyn and Bacon, USA

Schultz, Theodore W, Prof Dr (1971): Investment in Human Capital, The Role of Education and of Research, The Free Press, New York

Shahril @ Charil Marzuki, Prof Madya Dr (2001): Pelaburan dalam Pendidikan dan Dasar Pembangunan Sumber Manusia di Malaysia dalam Sufean Hussin (2002): Dasar Pendidikan Progresif, Perspektif Makro dan Mikro, Utusan Publications and Distributors, Kuala Lumpur

Shamsul Haq, Muhammad (1975), Education, Manpower and Development in South and Southeast Asia, Praeger Publishers, Inc., New York

Singleton, WT & Spurgeon P (ed) (1995), Measurement of Human Resources, Taylor and Francis Ltd, London

Rodriguez, Louis J., et al (1974), The Economics of Education, Professional Educators Publications, Inc., Nebraska

Tobing, Elwin (1994), Pendidikan dan Pertumbuhan Ekonomi, Suara Pembaruan, Jakarta

UNESCO (1964),

United Nations Development Programme (2003), Human Development Report 2003, Oxford University Press, Inc., New York

World Bank Policy Research (2003), http://www.econ.worldbank.org

Wykstra, Ronald A, Assoc Prof (1971), Education and The Economics of Human Capital, The Free Press, New York

No comments:

Post a Comment