Wednesday, August 31, 2011

MENCARI REDHA MANUSIA (THE WAY TO PLEASE OTHERS)

Berhampiran persimpangan lampu isyarat sebuah bandar, terpampang sepanduk yang dihiasi kata-kata: "Cari Redha Allah walaupun manusia murka, jangan cari redha manusia hingga Allah murka." Sekilas pandang, ungkapan itu memang bertujuan murni supaya manusia sentiasa ikhlas dalam melakukan semua perkara. Walaupun demikian, sebagai ungkapan yang digubah oleh manusia yang gemar akan falsafah dan kata-kata hikmah, perbincangan dan perdebatan konseptual tentangnya boleh dipanjangkan.

Pengamatan spontan tentang ungkapan berkenaan mungkin membawa maksud terdapat konflik antara redha Allah (ejaan baku: reda) dengan redha manusia. Benarkah demikian? Adakah dalam usaha mencari redha Allah, redha manusia mesti dipinggirkan sama sekali?

Redha Allah merujuk kepada pengabdian secara mutlak kepada Allah semata-mata. Bagi orang-orang yang beriman, mencari redha Allah ialah tujuan hidup yang hakiki. Segala perbuatan yang diikhlaskan semata-mata kerana Allah akan dikira sebagai ibadah selagi mana memenuhi syarat hukum taklifi dan hukum wad'i yang tertentu.

Perbuatan yang menyimpang daripada redha Allah akan bersifat sia-sia, malah mungkin menuju jalan taghut. Para ulama dan sarjana sufi telah memperincikan makam redha Allah sebagai pencapaian tertinggi dalam ibadah. Contohnya, darjah nafsu telah dibahagikan kepada amarah, lawwamah, mulhimah, mutmainnah, kamilah, rodhiah, dan radhiatan mardhiah.

Peringatan tentang dosa dan pahala ialah sebagai dorongan kepada manusia yang beriman supaya sentiasa menjaga dan melindungi diri dalam konteks al-amr bi'l ma'ruf wa'n-nahyu an'il munkar, mengerjakan perkara kebaikan dan menjauhi perkara kejahatan sebagai dampak taqwa. Keluasan rahmat Allah dan asal sesuatu perkara bersifat harus (mubah) mempunyai sempadan yang telah digariskan oleh para ulama yang arif tentang sumber hukum. Pedoman kaedah fiqh seperti ma la yatimmul wajib illa bihi fahuwa wajib, al-masyaqqah tajlibut-taisir (bi qadariha), al-ma'lum minaddin bidh-dharurah, saddu dhara', al-yaqinu la yuzalu bi's-syaq dan banyak lagi akan membantu seseorang, atau sesebuah organisasi membuat keputusan yang tepat.

Kata dasar taqwa ialah waqa yang bererti menjaga, melindungi dan memelihara. Redha Allah hanya tercapai menerusi sifat taqwa yang dimiliki. Peringatan tentang taqwa diulang-ulang dalam al-Qur'an, dan disebut saban minggu oleh khatib lewat mimbar Jumaat. Pendek kata, redha Allah dan sifat taqwa saling melengkapi.

Redha manusia merujuk kepada izin, percaya, gembira, senang hati dan persetujuan bersama. Contohnya, dalam urus niaga, kedua-dua pihak bersetuju dengan harga, kuantiti dan kualiti barang atau perkhidmatan yang diberi. Akad jual beli, sama ada secara lisan atau dokumen ialah bukti redha manusia.

Izin pemilik terhadap penggunaan sesuatu harta juga ialah satu bentuk redha manusia, hatta benda yang mungkin dianggap kecil dan remeh-temeh. Masyarakat kita mungkin peka tentang hal makan minum, tetapi kurang memberi perhatian terhadap penggunaan harta awam seperti alat tulis pejabat dan alat permainan kanak-kanak di taman rekreasi. Malah, penipuan dalam bayaran meletak kereta juga membabitkan redha manusia.

Berbakti kepada ibu bapa ialah contoh redha manusia yang paling jelas. Redha Allah juga bergantung kepada redha ibu bapa. Sehebat mana pun ibadah seseorang anak, jika ibu bapanya tidak redha, maka redha Allah sukar dicapai.

Lirik sebuah nasyid mengungkapkan ma redhallahu illa fi redha'il wa lidaini. Redha Allah tertakluk kepada redha ibu bapa. Sudah tentu redha ibu bapa yang dimaksudkan ialah selama mana tidak bercanggah dengan redha Allah.

Dalam satu hadith dilaporkan bahawa seseorang pekerja ditegah daripada lari meninggalkan majikan. Ertinya, seseorang pekerja tidak boleh sesuka hati meninggalkan pekerjaannya walaupun sebentar tanpa izin majikan. Terma dan syarat dalam kontrak pekerjaan yang ditandatangani itu juga bersangkutan dengan redha manusia.

Ringkasnya, redha manusia tidak bertentangan dengan redha Allah selagi masih dibenarkan oleh syariat, serta sejajar dengan prinsip kebaikan dan taqwa. Bahkan, redha manusia sangat dituntut sebagai syarat penting mencari redha Allah. Hubungan manusia dengan Allah juga mesti berdasarkan hubungan manusia dengan manusia, dan hubungan manusia dengan persekitaran...

KEPENTINGAN INSURANS DAN TAKAFUL KEPADA MASYARAKAT (THE MANAGEMENT OF PORTFOLIO AND RISK)

Kegiatan perdagangan dan perniagaan berskala besar memang terdedah kepada risiko ketidakpastian. Kalau pada zaman dahulu kafilah-kafilah yang dikenderai oleh unta sering diancam oleh perompak, kini kapal-kapal besar yang mengangkut muatan di lautan pula diancam oleh lanun. Selain ancaman jenayah, musibah alam yang tidak dapat dijangka akan menyebabkan barang dagangan tidak dapat tiba tepat pada waktunya.

Demikian juga dengan pemilikan harta alih atau harta tidak alih juga terdedah kepada risiko yang sama. Premis moden mungkin musnah akibat kebakaran, sama ada berpunca daripada litar pintas, atau khianat. Malah, tempoh hutang yang panjang mungkin mengakibatkan pihak institusi kewangan yang membiayai pemilikan harta itu akan mengalami kerugian.

Kewujudan risiko membuka ruang kepada industri insurans dan takaful berakar umbi daripada konsep kerjasama dan tolong-menolong. Model 20:80 Pareto dalam kebanyakan anggaran teori kewangan juga relevan, iaitu hanya lebih kurang 20 peratus pemegang polisi insurans akan membuat tuntutan berasaskan jumlah pampasan yang dipersetujui dalam kontrak perjanjian. Maka, nisbah 20 peratus daripada jumlah bayaran premium yang terkumpul akan disediakan bagi menampung tuntutan pemegang polisi, manakala baki 80 peratus lagi akan dipusing niaga sebagai pelaburan syarikat insurans dan takaful, tertakluk kepada dasar kewangan, terutama Bafia (Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989, bank and financial institution act).

Kini, pelbagai produk insurans dan takaful ditawarkan kepada masyarakat, terutama bagi melindungi risiko pembiayaan hartanah dan bil rawatan. Sebagaimana insurans dan takaful kenderaan yang tidak begitu digemari oleh syarikat insurans dan takaful, terma dan syarat yang ketat dikenakan kepada pemegang polisi insurans kesihatan. Kalau dalam perlindungan harta terdapat pengecualian akibat Act of God, maka perlindungan kesihatan dihadkan kepada penyakit kritikal yang disenaraikan sahaja.

Kos kepakaran dan peralatan rawatan di hospital makin melambung. Subsidi kos rawatan yang tinggi tidak akan mampu ditanggung oleh pembayar cukai untuk tempoh yang lama. Pengalaman di negara-negara maju menunjukkan bahawa akhirnya pendaftaran masuk untuk rawatan hanya akan diuruskan apabila waris yang membawa pesakit dapat menunjukkan jaminan pembayaran tunai, leretan kad kredit, atau kad insurans kesihatan yang masih aktif.

Masyarakat tidak punya banyak pilihan melainkan harus akur kepada sistem perlindungan risiko yang ditawarkan oleh pengendali insurans dan takaful. Kesukaran untuk menyediakan sejumlah wang tunai yang besar nilainya serta-merta, atau had pembiayaan kad kredit menyebabkan pelan perlindungan insurans dan takaful lebih berbaloi. Jika tiada tuntutan dibuat sepanjang tempoh matang pegangan polisi, pemegang polisi harus dengan suci hati menganggap bahawa dia telah menolong peserta lain (pemegang polisi lain) menerima pampasan atas risiko yang berubah menjadi kenyataan.

Sebelum membeli polisi insurans dan takaful, pengguna hendaklah memastikan sama ada bayaran premium yang dibuat sama ada secara sekali gus atau berjadual, akan hangus begitu sahaja jika tiada tuntutan, atau bersifat simpanan berdasarkan nisbah akaun peserta dan akaun khas yang dinyatakan dalam kontrak perjanjian. Kebanyakan syarikat insurans dan takaful hanya membenarkan pengeluaran simpanan dibuat selepas tempoh matang minimum 5 tahun. Sebulan dua sebelum pengguna menutup akaun  lama, mereka terlebih dahulu perlu membuka akaun baru, iaitu bayaran premium yang baharu... 

bersambung...

Tuesday, August 30, 2011

GENERASI PASCAMERDEKA PERKUKUH JATI DIRI (PATRIOTISM AMONG TEENAGERS)

Fakta sebenar sejarah kemerdekaan negara biarlah diserahkan kepada sarjana sejarah, bukan di tangan ahli politik yang berkepentingan. Pendapat perseorangan, atau sumber lisan perlu melalui proses pembersihan data supaya hanya kebenaran yang akan muncul. Begitu juga dengan karya filem dan penulisan novel tentang sejarah tidak mungkin bersifat hujah tepat yang dapat menyokong perspektif tentang sesuatu peristiwa masa silam.

Secara rasmi, negara kita mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957 atas nama Persekutuan Tanah Melayu (Malaya), dan seterusnya pada 16 September 1963 sebagai tarikh pembentukan Malaysia dengan kemasukan Sabah dan Sarawak. Singapura pula keluar daripada Malaysia pada tahun 1965. Dalam konteks negara bangsa, tarikh-tarikh yang disebutkan adalah muktamad.

Ungkapan bumi bertuah yang merujuk negara kita memang memiliki asas yang sangat kukuh. Jepun dan Korea Selatan sebagai antara kuasa ekonomi dunia sebagai contoh terpaksa rela dengan kehadiran tentera asing bagi menjaga pertahanan bumi mereka. Demikian juga dengan Afghanistan dan Iraq yang harus menerima pengaruh kuasa asing dalam kepimpinan mereka, atau dalam kata lain tidak bebas sepenuhnya.

Dari segi bahasa juga, Malaysia telah berjaya mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi, sedangkan puluhan negara bekas jajahan masih menjadikan bahasa Inggeris, bahasa Peranchis, bahasa Sepanyol dan bahasa Portugis sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi mereka. Walaupun masih terdapat kaum elit yang mendewa-dewakan bahasa penjajah, mereka tidak dominan.

Malaysia juga menjadi contoh sebuah negara yang harmoni dengan semangat tolak ansur yang mengkagumkan di sebalik perbezaan latar belakang masyarakat yang ada. Sensitiviti semua pihak dapat diurus dengan begitu baik. Rakyat Malaysia maklum akan konsep fikiran terbuka dengan sempadan provokasi.

Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial yang tersirat tetap dihormati. Islam termaktub sebagai agama persekutuan dan penyebaran agama lain secara terbuka (kepada masyarakat Islam) tidak diizinkan. Sistem perbankan dan kewangan Islam yang diperkenalkan turut diterima baik oleh institusi kewangan antarabangsa seperti Citibank, HSBC, dan Standard Chartered.

Ketibaan puluhan juta pelancong asing saban tahun menjadi petunjuk penting betapa Malaysia ialah sebuah destinasi dan persekitaran yang aman dan selamat untuk dilawati. Perbelanjaan pelancong asing telah mengangkat kedudukan sektor pelancongan dan sektor perkhidmatan sebagai sumber pendapatan negara yang penting. Konsep pelancongan pendidikan, pelancongan perubatan dan pelancongan tani dijangka terus mengukuhkan jenama Malaysia dalam peta pelancongan sedunia.

Akses pendidikan tinggi yang dijangka mencapai tahap 40 peratus dalam tempoh terdekat bakal memacu negara ke arah pencapaian ekonomi berpendapatan tinggi dan negara maju acuan Malaysia. Berdasarkan unjuran demografi, 80 peratus penduduk akan terdiri daripada umat Islam menjelang tahun 2050. Masyarakat bukan Islam tidak perlu gusar justeru makin dekat masyarakat Islam dengan agama, makin sejahtera masyarakat dan persekitaran yang ada...

Monday, August 29, 2011

HARI RAYA DI SANA SINI (GRATEFUL BY REASON)

Sambutan Eidul Fitri pada 1 Syawal pasti dilimpahi rasa gembira dan syukur setelah lulus sekolah Ramadan dengan anugerah kecemerlangan taqwa. Latihan sebulan berpuasa akan teruji dalam tempoh 11 bulan berikutnya sebelum Ramadan 1433 Hijriyyah muncul lagi, andai panjang umur murah rezeki, Insya-Allah. Adakah fikrah, sahsiah dan tarbiyyah Ramadan yang dilalui akan menjelmakan insan yang mendambakan kesuluruhan hidupnya bagi mencapai darjat taqwa itu?

Secara individu, hasrat untuk mencapai tahap setinggi taqwa bakal berhadapan dengan dugaan besar. Maka, proses berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran (surah al-Asr) dapat dikukuhkan menerusi organisasi atau jemaah. Amalan solat berjemaah ialah asas tuntutan kepada masyarakat Islam bagi mengukuhkan tali persaudaraan dan urusan kemasyarakatan yang lain.

Bermula selepas Maghrib malam raya, lafaz takbir, tasbih dan tahmid kedengaran di sana sini hinggalah sebelum solat sunat hari raya didirikan pada pagi hari raya pertama. Takbir raya itu sepatutnya dilafazkan dengan penuh semangat yang berkobar-kobar, tetapi di Malaysia agak melankolik dan syahdu. Tidak hairanlah hari raya disambut dengan linangan air mata kepiluan tentang desa dan mereka yang telah pergi.

Hari raya ialah hari bersuka ria, bukan hari untuk mempamerkan wajah duka dan mencuka. Maka, umat digalakkan mengenakan persalinan pakaian terbaik dan terbaharu yang dimiliki sambil tidak putus-putus melafazkan rasa syukur ke Hadrat Ilahi. Golongan kurang beruntung juga berpeluang untuk menzahirkan rasa gembira dan syukur justeru agihan zakat fitrah yang diterima.

Dalam suasana gembira dan syukur, kita juga harus memanjatkan doa agar nasib umat di serata pelosok dunia akan terbela hendaknya. Perjuangan membebaskan Masjidil Aqsa dan Palestin, iaitu bumi para nabi, serta nasib umat di Afghanistan, Iraq, wilayah-wilayah autonomi di China dan Russia, selatan Filipina, selatan Thai, serta kelompok minoriti Muslim di negara-negara tertentu pasti diberi perhatian. Demikian juga kemunculan pemerintahan baru di rantau Arab, yang dibayangi pengaruh tentera Barat dan ejen-ejen Uncle Sam yang lebih menjurus kepada kepentingan sumber petroleum dan sekularisme.

Marilah kita melafazkan rasa gembira dan syukur atas nikmat yang dikecapi sempena hari raya yang mulia dan penuh berkat. Nikmat iman dan taqwa yang bakal menjadi suluh kehidupan selagi hayat dikandung badan. Sesungguhnya Eidul Fitri ialah hari kemenangan...

Sunday, August 28, 2011

TARAWIH TERAKHIR RAMADAN 1432 (GRADUATES OF RAMADAN SCHOOL)

Hari Raya Puasa di Malaysia tahun ini dijangka jatuh pada hari Selasa, 30 Ogos ini. Pengumuman rasmi akan dilakukan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu. Hanya sekali dalam era Almarhum Sultan Idris Shah, negeri Perak menyambut Eidul Fitri sehari lebih awal daripada peringkat persekutuan.

Solat sunat tarawih dimulakan pada malam sebelum hari pertama puasa, dan berakhir dua malam sebelum hari raya. Pada tahun ini, solat tarawih terakhir sudah pun sempurna sebentar tadi. Hanya setelah 11 bulan, barulah peluang mengerjakan solat sunat tarawih akan muncul kembali bagi mereka yang panjang umur dan murah rezeki.

Kebanyakan masjid dan surau memilih solat tarawih sebanyak 8 rakaat, berbanding 20 rakaat penuh hingga era 1990-an. Umat Islam tidak perlu berbalah tentang bilangan rakaat solat tarawih, justeru hal demikian bertentangan dengan ikatan persaudaraan seagama (ukhuwwah) yang berstatus wajib dijaga. Kesanggupan datang berjemaah tarawaih sudah dianggap permulaan yang baik supaya konsep memakmurkan masjid dapat dijayakan.

Penulis blog (PB) berpeluang melakukan solat sunat tarawih yang dipimpin oleh seorang ulama muda Yaman, 27 yang berkhidmat di Masjidil Haram, Makkah al-Mukarramah. Bacaan ayat selepas al-Fatihah ialah surah bukan lazim, tetapi tidaklah panjang sangat. 8 rakaat tidak begitu terasa, apatah lagi bacaan lidah Arab sejati dan lagu bacaan berdasarkan maksud ayat al-Qur'an yang dialunkan.

Semasa solat witir, imam berkenaan membaca surah at-Takhathur, al-Kafirun dan al-Ikhlas sesudah al-Fatihah. Hanya satu qul dalam solat sunat witir satu rakaat. Namun, doa qunut dibacakan dengan panjang lebar, sekitar 10 minit.

Usai solat, para jemaah mengambil kesempatan bersalaman dan berdakapan ala-Arab dengan imam muda Yaman itu. Kanak-kanak juga mengambil peluang berdamping dengan ulama berkenaan. Beliau sudi menunaikan permintaan sesi foto bersebelahan mimbar.

Berlalunya Ramadan al-Mubarak juga bererti berlalulah juga amalan sunat solat tarawih yang akan dirindui oleh umat Islam. Betapa umat Islam begitu berharap bahawa mereka akan diberi kesempatan oleh Allah agar dapat bertemu dengan Ramadan 1433 hijriyyah. Insya-Allah, panjang umur murah rezeki...

SELAMAT HARI RAYA PUASA

MAAF ZAHIR DAN BATIN

Saturday, August 27, 2011

HARI RAYA TANDA KEJAYAAN (FESTIVAL OF PURIFICATION)

Tanggal 1 Syawal menandakan berakhirnya bulan Ramadan al-Mubarak. Umat Islam diharamkan berpuasa pada hari itu, bahkan dianjurkan supaya bergembira atas kejayaan menyempurnakan ibadah sebulan berpuasa. Konsep suka ria yang dipamerkan akan memberi gambaran tentang akses ilmu pengetahuan seseorang tentang hakikat hari raya.

Kanak-kanak ialah golongan yang paling gembira menyambut hari raya. Masing-masing bergaya dengan persalinan serba baharu. Mereka juga sibuk mengumpul duit raya yang dihulurkan oleh orang-orang dewasa.

Aktiviti ziarah dan rumah terbuka menghiasi suasana hari raya. Di Malaysia, semangat muhibah turut dipupuk menerusi kunjungan jiran tetangga dan kenalan daripada masyarakat bukan Islam. Majlis rumah terbuka orang-orang bandar dijadualkan secara khusus, lengkap dengan undangan lisan, mesej pesanan ringkas (sms) atau bertulis, atas sebab keselamatan dan kewangan.

Gedung perniagaan dan media elektronik tidak putus-putus menyiarkan lagu hari raya klasik seperti "Dendang Perantau" alunan Allahyarham Tan Sri (Dr) P. Ramlee, atau "Musafir di Aidil Fitri" dendangan Allahyarham S. Jibeng. Lagu-lagu baru seperti "Nazam Lebaran" (Datuk CT) dan "Satu Hari di Hari Raya" (M. Nasir) juga menjadi pilihan penerbit radio dan DJ pasar raya. Sesekali kedengaran juga nasyid hari raya oleh kumpulan al-Mizan yang pernah mencetuskan fenomena jalur muzik berkenaan pada dekad 1970-an dahulu.

Juadah kuih-muih tradisional Melayu seperti kuih siput, semperit dan tapai pulut berbungkus daun palas (sebelah pantai timur Semenanjung) masih ada, tetapi kurang diberi perhatian oleh generasi muda. Sebaliknya, kuih-muih komersial dan tempahan mendominasi meja hidangan, misalnya tart nanas, tart almond dan rempeyek mini. Hidangan berat seperti nasi hujan panas, mi kari dan laksa turut tersenarai sebagai menu hidangan.

Ujian menahan diri daripada mengisi perut semahu-mahunya dalam bulan Ramadan tampak sukar untuk bertahan. Antara keinginan melayan selera dengan menjaga hati tuan rumah boleh mengakibatkan seseorang itu makan dan minum hingga melebihi had kesederhanaan. Maka, jika selepas beberapa hari berbuat demikian, tidak perlulah menyalahkan keadaan atau orang lain jika paras gula dan lemak di dalam sistem tubuh badan naik mendadak.
Amalan saling bermaafan pula tidak patut dianggap sebagai lesen untuk menyusun sepuluh jari, lantas berjabat salam dengan bukan mahram walaupun sepupu sepapat, apatah lagi tetamu berlainan jantina. Barangkali cara menyambut salam tangan dalam sinetron "Ketika Cinta Bertasbih" walaupun kelihatan seperti kebiasaan orang Siam boleh dicontohi. Insya-Allah tiada hati yang akan terguris, bahkan rasa dihargai akan bersemi.

Lulusan sekolah Ramadan seharusnya mempamerkan ciri taqwa yang makin meningkat. Hari Raya juga ialah suatu ibadah dan sebagai permulaan kesinambungan ke arah jati diri insan yang lebih dekat kepada Allah sebelum datang pula Ramadan berikutnya andai panjang umur murah rezeki. Orang yang bertaqwa bakal menyumbang terhadap kesejahteraan diri sendiri dan orang lain, serta sama sekali tidak menjadi beban kepada sesiapa pun.

Kunjungan tetamu, termasuk rakan-rakan bukan Islam sangat dialu-alukan. Hubungan persaudaraan dan persefahaman silang budaya seumpama itu akan mengukuhkan ikatan masyarakat bagi menghadapi cabaran bersama. Sesungguhnya hari raya ialah kesempatan terbaik bagi melakukan islah, iaitu proses pembaharuan dan penambahbaikan yang berterusan...

Thursday, August 25, 2011

JANGKA MASA DALAM KAJIAN EKONOMI (SHORT RUN, LONG RUN)

Walaupun terdapat konsep jangka masa singkat, tetapi analisis ekonomi lebih tertumpu kepada jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Pelajar ekonomi sejak pengajian prauniversiti tingkatan 6 diperkenalkan dengan istilah jangka masa seawal tajuk pengenalan, iaitu berkenaan peralihan keluk kemungkinan pengeluaran yang berpunca daripada pertumbuhan ekonomi masa hadapan, atau jangka panjang. Perbincangan tentang jangka masa akan lebih penting apabila membincangkan teori pengeluaran.

Jangka pendek berbeza dengan jangka panjang kerana wujud sekurang-kurangnya satu faktor tetap (input tetap), di samping faktor berubah. Dalam jangka panjang, semua faktor ialah input berubah; tiada lagi faktor atau input tetap. Bagi sesebuah firma, perbezaan jangka masa merujuk kepada keupayaan atau kapasiti mengubah-ubah tingkat kuantiti keluaran berdasarkan faktor yang ada.

Dalam jangka pendek, firma hanya memiliki satu loji yang diwakili oleh keluk kos purata jangka pendek (short run average cost, SAC). Loji ialah unit pengeluaran berbentuk fizikal dalam proses pengeluaran (barang dan perkhidmatan). Apabila keluaran terus meningkat, sedangkan tingkat keluaran berkenaan hanya tercapai pada bahagian SAC sedang menaik, iaitu melepasi tingkat loji optimum (titik minimum SAC), maka firma dianggap tidak cekap.

Barang diingat bahawa SAC ialah gabungan antara kos tetap purata (average fix cost, AFC) dengan kos berubah purata (average variable cost, AVC). Analisis kos menerusi gambar rajah biasanya hanya memaparkan keluk AC, AVC dan MC (kos sut, marginal cost). Sebabnya ialah pengaruh AFC makin lemah apabila berlaku peningkatan jumlah keluaran, apatah lagi untuk operasi firma dalam jangka panjang.

Contoh mudah bagi menjelaskan perkara di atas ialah penjaja mi sebagai firma. Penjaja hanya memiliki sebuah gerai bergerak dengan sebuah kuali dan seunit tong gas sebagai loji, iaitu sebagai faktor tetap. Bahan mentah seperti mi basah, sayur dan segala rencah lain boleh ditambah bila-bila masa jika terdapat peningkatan permintaan, tanpa perlu menambah kuali atau tong gas.

Apabila permintaan terus meningkat, kuali dan tong gas sedia ada tidak lagi cekap untuk menyediakan segala jenis mi yang diminta. Maka, penjaja perlu menambah jumlah kuali dan tong gas, bahkan mungkin perlu membuka gerai baharu atau cawangan. Sebaik sahaja kuali, tong gas atau gerai ditambah, maka operasi penjaja sudah dikira bersifat jangka panjang.

Kuali dan tong gas yang bersifat faktor tetap dalam jangka pendek sudah menjadi faktor berubah dalam jangka panjang. Jika keluaran hendak terus ditambah, lebih banyak loji akan diperlukan. Dalam kata lain, penjaja telah melakukan penyesuaian saiz loji dengan menambah semua faktor bagi memenuhi perubahan pasaran.

Skala atau tempoh jangka pendek atau jangka panjang ditentukan oleh proses penyesuaian loji semata-mata. Maknanya, sebaik sahaja terjadi perubahan saiz loji, operasi firma tidak lagi bersifat jangka pendek, sebaliknya sudah menjadi jangka panjang. Konsep jangka masa dalam kajian ekonomi tidak diukur menerusi skala konservatif seperti jam, hari, minggu, bulan dan tahun.

Contoh analisis berkaitan 


Hubungan antara kos jangka pendek dengan kos jangka panjang (SAC, SMC, LAC, LMC, AR, MR)


Loji optimum / keluaran optimum / kecekapan / lebihan, pembaziran kapasiti

Keluk Perancangan / Keluk Envelop

Ekonomi Bidangan dan Tak Ekonomi Bidangan

Firma persaingan sempurna hanya memperoleh untung normal dalam jangka panjang

Firma monopoli memperoleh saiz untung lebih besar dalam jangka panjang 

Monday, August 22, 2011

MENITI PERJALANAN MASA (THE PAST, PRESENT AND FUTURE)

Secara individu, masa ialah tempoh kehidupan seseorang, atau selama nyawa dikandung badan. Maka, apabila seseorang itu menghargai masa, hakikatnya dia menghargai kehidupan dan nyawanya sendiri. Begitulah sebaliknya apabila seseorang itu suka membazir masa (lagha, sia-sia), bermakna dia juga membazir kehidupan dan nyawanya sendiri.

Hubungan logik mantik seperti di atas mungkin agak simplistik bunyinya. Hukum syllogism seperti "kalau hujan maka basah" mungkin ada pengecualian. Sebab itu dalam konteks masa ada ungkapan "merentas ruang dan waktu".

Konsep seperti dunia yang fana (pinjam-pinjaman, sementara), atau alam yang kekal abadi juga merujuk kepada masa. Dalam kajian sejarah, terdapat istilah perabadan (periodisasi) bagi menjelaskan sesuatu fasa atau zaman tertentu. Klasifikasi zaman yang ditulis bergantung kepada sarjana sejarah yang dipengaruhi oleh kaedah pensejarahan (histiografi) berdasarkan mazhab pemikiran (school of thought), perspektif dan pandangan hidup (tasawwur, welstanschauung) masing-masing.

Pada dekad 1990-an muncul sekumpulan "ahli nujum moden" yang menulis buku-buku terlaris tentang kajian masa depan atau futuristik. Alvin Toffler terkenal dengan naskhah Future Shock, dan John Naisbett yang pernah tinggal di Kuala Lumpur selama hampir setahun dengan beberapa siri karya berkisar tentang Megatrends. Terdapat andaian menarik tentang persepsi sama ada cepat atau lambatnya masa berlalu. Toffler berpendapat bahawa perkara itu bergantung kepada nisbah masa dengan usia masing-masing.

Kanak-kanak akan berasa bahawa masa begitu lambat berlalu, manakala orang dewasa berasa masa sangat cepat berlalu. Dalam kata lain satu jam bagi kanak-kanak lebih panjang daripada satu jam orang dewasa walaupun hakikatnya tiada sebarang perbezaan. Fasa umur kanak-kanak hingga 20 tahun mungkin terasa lambat, tetapi sekali melepasi umur 20 tahun, dengan cepat sahaja seseorang itu akan melewati usia 30-an, 40-an, 50-an dan seterusnya andai kata dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki oleh-Nya.

Selain itu, seseorang yang memiliki jadual aktiviti yang padat akan berasa betapa masa terlalu suntuk berbanding dengan sang penganggur yang meniti hari demi hari dengan rasa bosan, rimas dan tidak tentu hala. Seseorang yang cekap, atau si jaguh (the winner) akan dapat memanfaatkan masa 10 jam dengan perolehan hasil yang melimpah ruah berbanding dengan si lembap atau si corot (the loser) yang hanya mampu berpangku tangan dan melayan panjang angan-angan tanpa sebarang hasil. Si jaguh hidup berdikari, serta sering membantu orang, sedang si corot selalu mengharapkan orang dan menjadi beban di mana-mana.

Seseorang yang bijak memanfaatkan masa juga akan beroleh peningkatan kualiti diri hari demi hari. Orang yang membazir masa pula akan merintih kerugian dan kehinaan. Pendek kata, masa ialah modal hidup dan nyawa seseorang yang hendak berjaya, atau sebaliknya.

Pelajar yang pintar juga diukur dengan kebolehan mengungkapkan konsep, prinsip dan teori yang tepat dalam menjelaskan sesuatu fenomena yang rencam dan rumit. Sebaliknya, pelajar yang kurang pintar akan mengambil masa yang lama untuk menjelaskan walaupun perkara yang remeh-temeh. Dalam konteks peperiksaan, pelajar pintar dapat menjawab semua soalan yang diperlukan dalam tempoh masa yang ditetapkan, manakala pelajar kurang pintar sering merungut tidak cukup masa.

Begitu banyak saranan tentang pengurusan masa telah ditulis menerusi pelbagai sudut pandangan, Hakikatnya, pengurusan masa ialah tentang pengurusan hidup dan pengurusan nyawa. Seseorang manusia hanya memiliki masa selagi masih hidup dan masih ada nyawa.

Walaupun kepada individu masa ialah kehidupan dan nyawa, dia tidak boleh bersikap mementingkan diri tanpa memikirkan masa orang lain, atau generasi selepas dia sudah tiada masa, sudah tidak hidup dan sudah tidak ada nyawa lagi. Seseorang itu menggalas tanggungjawab bahawa dia menggunakan setiap detik masa, hidup dan nyawa agar nikmat yang diperoleh bakal bersinambungan untuk generasi selepasnya. Demi masa, sesungguhnya, manusia itu dalam kerugian, melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran (surah al-Asr) ...

Saturday, August 20, 2011

TRAVELOG RAMADAN MEMACU KECEMERLANGAN UMAT (LEARNING AND SELF-REFORMATION AT THE END OF FASTING MONTH)

Bulan rahmah, keampunan dan pembebasan daripada api neraka, yakni Ramadan, sudah memasuki fasa penghujung. Perjalanan masa yang berlalu menandakan usia kita makin singkat dan suntuk bagi mengumpul bekalan taqwa yang menjadi penanda aras kecemerlangan iman, syariat dan akhlak yang kita dambakan. Mudah-mudahan madrasah Ramadan tahun 1432 Hijriyyah ini benar-benar membawa perubahan ke arah penambahbaikan dari segi ilmu dan amal kita secara berterusan sepanjang hayat kita.

Travelog berasal daripada cantuman kosa kata travel dan monologue. Dalam bahasa yang mudah, travelog bermaksud catatan, keterangan atau kisah tentang perjalanan atau pengembaraan seseorang (Kamus Dewan Edisi IV, 2005: 1713). Travelog juga boleh dipersembahkan dalam bentuk bersemuka seperti kuliah, risalah, wacana dan multimedia, atau difilemkan.

Rekod atau atur cara dalam sesuatu pakej pelancongan juga boleh disebut sebagai travelog, atau biasa juga dinyatakan sebagai itinerary. Gambaran asas perjalanan akan memberi maklumat kepada pelancong untuk memilih pakej pelancongan yang sejajar dengan kecenderungan dan kemampuan kewangan peribadi. Namun, penganjur pakej akan turut meletakkan penafian (disclaimer) memandangkan banyak perkara yang bakal dihadapi hakikatnya di luar kawalan dan sumber manusia.

Ramadan juga ialah perjalanan dan pengembaraan jasmani, emosi, rohani dan inteleks yang membentuk domain utama pendidikan. Sebelum menjengah Ramadan, umat Islam sibuk melakukan ulang kaji ilmu tentang konsep dan pelaksanaan puasa sebagai rukun Islam Islam ketiga dan bulan kesembilan dalam takwim Hijriyyah. Kini, setelah Ramadan makin hampir pamit, adakah perjalanan menuju destinasi taqwa yang mudah dilafazkan, tetapi tidak semudah itu tercapai, sudah dekat?

Cabaran getir Ramadan ialah pantulan realiti cabaran yang dihadapi oleh umat sepanjang zaman, apatah lagi apabila berhadapan dengan agenda tersembunyi musuh yang menggunakan pelbagai peluru dan taktik yang sungguh licik. Jumlah umat Islam yang besar bukanlah jaminan kemenangan andai mereka umpama buih ketika air bah sebagaimana yang diisyaratkan lewat sebuah hadith tentang akhir zaman. Adakah bulan Ramadan sebagai pesta kebajikan dan perkongsian dapat dilanjutkan hingga menunggu Ramadan berikutnya?

Maka, Ramadan sebagai satu catatan perjalanan dan pengembaraan jasmani, emosi, rohani dan inteleks seharusnya dapat mengikat umat dengan konsep taqwa yang terjelma menerusi persaudaraan dan perpaduan (ukhuwwah), lantas membuka laluan mudah terhadap usaha menyebarkan risalah tawhid untuk kesejahteraan manusia sejagat (rahmatan lil 'alamin). Sesungguhnya lulusan madrasah tarbiyyah Ramadan bagaikan sekumpulan askar yang telah dilengkapi dengan disiplin, ilmu pertempuran dan teknologi terbaharu. Askar yang bertaqwa tidak bertindak sebarangan atau melulu, sebaliknya menumpahkan taat setia (wala') yang tidak berbelah bahagi kepada misi pasukan dan kebijaksanaan kepimpinan...

Friday, August 19, 2011

BELAJAR BAB KEANJALAN PERMINTAAN (THE THEORY OF ELASTICITY IN ECONOMICS)

Pengenalan

Pada amnya, anjal bermaksud tindak balas terhadap sesuatu perubahan. Sebagai contoh, jika sesuatu objek dibaling ke dinding, tetapi lantunannya perlahan sahaja, maka objek itu dikatakan sebagai tidak anjal. Sebaliknya, jika objek yang dibaling melantun lebih jauh daripada jarak balingan, maka objek itu dianggap anjal.

Dalam kajian ekonomi, keanjalan ialah analisis tentang tindak balas perubahan kuantiti sesuatu barang (Qx) apabila berlaku perubahan dalam harga barang (barang itu sendiri, Px; barang lain, Py; pendapatan). Walaupun tumpuan diberikan kepada keanjalan lengkuk, pelajar tidak harus menganggap bahawa hitungan keanjalan titik sebagai tidak penting.  

Rumus Keanjalan

Formula asas keanjalan permintaan harga ialah ŋ =  %∆Q / %∆P

Keanjalan permintaan harga  ŋ =  %∆Qx  / %∆Px -> ŋ =  %∆Q / %∆P

Keanjalan permintaan silang  ŋ =  %∆Qx  / %∆Py

Keanjalan permintaan pendapatan = ŋ =  %∆Qx  / %∆Y

 %∆Qx ialah kuantiti baharu ditolak dengan kuantiti asal, kemudian dibandingkan (÷) kuantiti asal. Demikian juga halnya %∆P = harga baharu ditolak dengan harga asal, kemudian dibandingkan (÷) harga asal. Maka, keanjalan permintaan harga dihitung dengan

          (Q1 -Qo / Qo) ÷ (P1 - Po / Po) X 100

Keanjalan permintaan pendapatan pendapatan  (Qx1 -Qxo / Qxo) ÷ (Px1 - Pxo / Px) X 100

Keanjalan permintaan pendapatan(Q1 - Qo / Qo) ÷ (P1 - Po / Po) X 100

Darjah Keanjalan

          Nilai pekali keanjalan kurang daripada satu => 0<ŋ< 1  ==> tidak anjal  (keluk curam)

          Nilai pekali keanjalan lebih daripada 1  ==> ∞ <ŋ<1  ==>  anjal  (keluk landai)

          Nilai pekali keanjalan = ∞  ==>  anjal sempurna  (keluk selari dengan paksi kuantiti)

          Nilai pekali keanjalan = 0  ==>  tidak anjal sempurna  (keluk selari dengan paksi harga)

          Nilai pekali keanjalan = 1  ==>  anjal unit, anjal satu  (keluk hiperbola, menghampiri kedua-dua paksi, tetapi tidak menyentuhnya)

bersambung...