Akhir zaman merujuk kepada tempoh waktu yang kian hampir kepada kiamat. Tanda-tanda hari kiamat telah dibincangkan dalam kalangan ulama berdasarkan hadith yang sahih. Mimbar Jumaat hari ini mengupas salah satu tanda akhir akhir zaman, iaitu tersebarnya fitnah secara berleluasa.
Secara umum, fitnah ialah ujian bagi menguji tahap keimanan seseorang. Misalnya, apabila seseorang itu ditimpa musibah atau mengalami masalah dalam kehidupan. Selain itu, kesenangan dan nikmat juga merupakan fitnah jika manusia menjadi lalai terhadap hak-hak yang perlu ditunaikan.
Fitnah juga ialah penyebaran berita dusta dan palsu yang bertujuan memberi aib atau menjatuhkan maruah seseorang. Fitnah sedemikian membawa akibat yang sangat buruk kerana setiap orang ada keluarga, kaum kerabat dan handai taulan yang perlu dijaga. Nama baik yang tercalar sudah tentu akan menjejaskan kehormatan diri orang yang difitnah dan orang-orang yang rapat dengannya.
Dalam dunia perniagaan dan siasah, fitnah sudah semacam berfungsi sebagai senjata yang sangat ampuh bagi menyekat kemaraan saingan dalam usaha merebut kedudukan dan pengaruh. Fitnah skala besar itu pasti meninggalkan mudarat yang sangat besar kepada pasaran dan masyarakat dalam jangka waktu yang panjang. Pelaku fitnah dan segala juak yang secara membabi buta masuk saham fitnah kerana kejahilan akan diseksa dengan azab api neraka yang tidak terperi sakitnya.
Fitnah tidak mengenal mangsa. Fitnah ialah suatu jenayah yang dilakukan kerana niat yang buruk, peluang yang terhidang dan mangsa yang disasarkan tidak berdaya. Hanya kepada Allah dipanjatkan doa agar sekalian kita terlepas daripada bala fitnah yang amat dahsyat itu...
(sedutan mimbar Jumaat: 6/1/12 = 12 Safar 1433)
No comments:
Post a Comment