Saturday, November 10, 2012

KEUTAMAAN SIFAT SABAR ('PINNACLE' BEHAVIOUR DURING CHALLENGING TIME)

Dua puluh orang yang sabar dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Seratus orang yang sabar pula dapat mengalahkan seribu orang musuh. Seratus orang sabar yang banyak kelemahan diri dapat mengalahkan dua ratus orang musuh, manakala seribu orang sabar yang lemah dapat mengalahkan dua ribu orang musuh (surah al-Anfal, 8:65-66).

Kesabaran adalah rahsia kejayaan para nabi dalam menyebarkan risalah tawhid sebagai rahmat kepada sekalian alam. Hakikatnya, segala tugas yang besar bakal berhadapan dengan pelbagai bentuk cabaran, fitnah, mihnah, pancaroba dan tribulasi. Proses berusaha adalah tugas insan, tetapi penentuan hasilnya hak Ilahi jua.

As-Sheikh Abdul Kadir bin Abdul Mutalib al-Indonesi lewat kitab beliau "Penawar Bagi Hati" (1378H:65) mengatakan sabar ialah menahan diri daripada marah atas sesuatu yang tiada disukainya, dan menahan lidah daripada mengadu kepada yang lain daripada Allah. Beliau juga memetik syarah Imam al-Ghazali bahawa bermula sabar itu fardu 'ain atas tiap-tiap mukallaf, iaitu sabar atas mengerjakan taat yang wajib atau sabar atas meninggalkan maksiat, atau sabar atas bala'.

Sifat sabar dipacu oleh akal yang berjaya mengekang pengaruh syahwat (hawa nafsu). Tingkat kesabaran yang lebih tinggi ialah apabila seseorang itu sabar atas mengerjakan ibadat yang sunat dan sabar atas meninggalkan yang makruh, atau yang harus. Demikian juga sabar atas perbuatan zalim pihak lain tanpa melakukan perbuatan balas.

Maka, sabar atas ujian itu meliputi keinginan melayan masa susah dan masa senang. Para sahabat (Ibid:67) mengungkapkan bahawa mereka dapat bersabar dengan ujian kesusahan, tetapi tidak begitu sabar dengan ujian kesenangan. Maksudnya, amat sukar bagi insan untuk menahan diri daripada berlazat-lazat atau bersedap-sedap diri dengan keinginan, lalu leka untuk bersyukur.

Sabar atas taat bukan sahaja berdasarkan kejayaan melawan perasaan malas untuk melaksanakan sesuatu ibadah, bahkan untuk sabar dalam menghasilkan ikhlas, serta menahan diri daripada bangga diri seperti menzahirkan ibadah kepada orang lain (riya') atau kagum terhadap diri sendiri (sum'ah). Sabar atas taat merangkumi keupayaan menunaikan segala fardu dan sunat setelah mengenepikan malas. Hakikatnya, ancaman sifat malas ialah musuh kesabaran yang utama.

Sifat sabar untuk meninggalkan maksiat akan lebih sukar berbanding dengan sabar atas taat. As-Sheikh Abdul Kadir (Ibid: 69) menyebutkan bahawa kesukaran meninggalkan maksiat berpunca daripada keperluan darjah penolakan yang bersangatan, iaitu keupayaan sifat sabar yang amat tinggi. Tentera hawa nafsu akan bertolong-tolongan mendorong ke arah maksiat, terutama jika sudah menjadi kebiasaan atau adat resam.

Sesungguhnya sifat sabar dan syukur saling bergandingan. al-Baihaqi meriwayatkan daripada Anas Radiallahu 'anhu al- imanu nisfani nisfu'n fi's-sabri wa nisfu'n fi's-syukri: bermula iman itu dua bahagian, satu bahagian pada sabar dan satu bahagian pada syukur, au kama qala. Sifat sabar mudah dilafazkan atau disyarahkan, tetapi amat berat untuk dilaksanakan...


No comments:

Post a Comment