Friday, November 9, 2012

PERMUAFAKATAN DALAM ORGANISASI (HOPE FOR THE BEST, PREPARE FOR THE WORST)

Hanya orang-orang yang sabar mampu memberikan sumbangan yang bermakna kepada sesebuah organisasi. Mereka sanggup menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi, serta akur dengan percaturan kepimpinan selagi masih tetap dalam landasan yang betul. Kesabaran ialah kualiti yang diperlukan supaya dapat mengharungi krisis dan hal-hal luar jangka.

Tugas-tugas skala besar dan hebat hanya dapat dipikul oleh beberapa kerat individu yang terpilih, iaitu mereka yang serasi dengan ciri-ciri kesabaran yang dimaksudkan itu. Orang yang sabar sentiasa sanggup berkorban dengan meninggalkan keselesaan dan ego peribadi. Mereka lebih banyak memberikan jawapan 'ya' daripada alasan yang sengaja diada-adakan.

Seseorang ketua organisasi yang mempunyai pengamatan yang tajam akan dapat membezakan antara subordinat yang bermain wayang dengan subordinat yang jujur dalam kerja. Pemain-pemain wayang memang glamor dan menyerlah berbanding dengan si jujur yang selalu menjadi mangsa. Orang licik memang petah berkata-kata untuk mengenakan orang lain sehingga ketua organisasi boleh menjadi keliru.
Jika sesebuah organisasi yang berkesan itu dilambangkan sebuah sebuah kumpulan muzik orkestra yang menghasilkan irama yang harmoni, maka ciri-ciri keakuran dan kesabaran dapat dipelajari. Hanya sekumpulan individu terlatih dan terpilih mampu memikul tanggungjawab membuat persembahan orkestra yang hebat di atas pentas. Kemahiran membaca nota muzik dan mematuhi arahan konduktor orkestra hanya dapat dipupuk menerusi skema latihan, disiplin dan kesabaran yang tinggi.

Subordinat yang berbakat besar dalam sesebuah organisasi tetap mempunyai sisi kekurangan yang perlu kepada perhatian ketua organisasi. Mereka juga insan biasa yang hanya ada 24 jam sehari dan sepasang tangan yang dapat digunakan dalam proses menyumbang terhadap organisasi. Maka, kemungkinan bahawa perkara rutin yang bersifat titik bengik akan diselesaikan kemudian.

Rekod dan dokumentasi (R & D) dianggap sebagai bukti bahawa sesuatu kerja telah dilaksanakan. Maka, sistem fail diberikan perhatian dan dianggap sebagai sebahagian tugas utama dalam organisasi. Menerusi R & D, proses audit pencapaian organisasi lebih bersifat autentik.

Perkara yang sepatutnya berlaku adalah R & D memberikan gambaran sebenar tentang segala butiran tentang perancangan dan pencapaian dalam sesebuah organisasi. Namun, perkara yang sering terjadi ialah R & D sebagai instrumen untuk memuaskan hati ketua organisasi. Maka, lebih banyak masa diperuntukkan bagi melengkapkan fail R & D daripada pelaksanaan kerja sebenar.

Pihak yang datang membuat pemantauan juga lebih banyak bergantung kepada maklumat daripada fail R & D. Andaian paling mudah dan simplistik adalah fail R & D yang baik mewakili gambaran pencapaian organisasi yang juga baik. Fail R & D yang menampakkan kekurangan dianggap sebaliknya.

Akibat kepercayaan yang terlalu tinggi terhadap fail R & D, maka kesempatan itu digunakan oleh segelintir subordinat yang pandai bermain wayang untuk menutup kelemahan dalam pelaksanaan tugas sebenar. Keadaan menjadi lebih buruk apabila si pemain wayang tadi menyebarkan gosip tentang orang lain yang dianggap sebagai ancaman terhadap tembelang dirinya. Sebagai pemain wayang yang licik, tidaklah menghairankan mereka berjaya mengumpul sokongan daripada golongan yang sama aliran.

Ketua organisasi yang memiliki pengamatan yang tajam harus berupaya mengimbangi keperluan R & D dengan kerenah subordinat yang dihadapi. Setiap subordinat hendaklah dilayan berdasarkan tahap pencapaian dan sumbangan sebenar. Andai kata berlaku kelemahan dalam sistem fail R & D, subordinat yang berkenaan mungkin memerlukan bantuan dan sedikit tolak ansur...

No comments:

Post a Comment