Saturday, August 31, 2013

KARANGAN RENCANA: KEPENTINGAN SENAMAN TERHADAP KESIHATAN (EASIEST WAY TO GET FIT)

KEPENTINGAN SENAMAN TERHADAP KESIHATAN JASMANI
oleh Siti Azila binti Atan

Bijak pandai mengatakan bahawa kesihatan ialah mahkota yang hanya dapat dilihat oleh si pesakit. Maksudnya, manusia hanya menghargai dan menyedari betapa pentingnya kesihatan terhadap diri mereka setelah mereka jatuh sakit dan terlantar di pembaringan. Semasa sihat, mereka hanya sibuk dengan kegiatan mencari rezeki dan apabila keletihan hanya tersadai di hadapan skrin komputer dan televisyen. Gaya hidup moden menjurus kepada 'penjara hawa dingin' mulai bilik tidur, kenderaan dan tempat kerja. Pelbagai alasan diberikan supaya tidak keluar daripada kurungan berkenaan untuk menghirup udara segar sambil merembeskan peluh yang sangat diperlukan oleh tubuh badan.

Masalah berlebihan berat badan dan kegemukan telah menjadi fenomena mencemaskan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia dan Britain membabitkan dua per tiga penduduk di sana. Walaupun terdapat kajian yang cuba menolak anggapan bahawa kesimpulan bahawa berlebihan berat badan menjejaskan kesihatan, hakikatnya semua orang memasang impian untuk mencatat berat badan idaman, iaitu indeks jisim tubuh (BMI) antara 22 hingga 25 mata. Namun, gaya hidup bermalas-malas, teknologi pekerjaan secara rangkaian atas talian dan makanan segera tidak memungkinkan keadaan yang diharapkan itu menjadi kenyataan.

Kesihatan jasmani menyumbang terhadap kesihatan mental yang menjadi tunjang utama daya pengeluaran seseorang pekerja. Tahap kesihatan yang baik hanya bakal tercapai jika seseorang itu bersedia melakukan pergerakan jasmani yang mengeluarkan peluh dalam tempoh minimum yang tertentu setiap hari. Memandangkan bahawa sebahagian besar masa seseorang dewasa dihabiskan dalam kenderaan berhawa dingin dan di tempat kerja, maka kegiatan jasmani secara sukarela di rumah atau pada masa cuti tidak boleh diharapkan sangat.

...

...

...

...

...

...

...

...

...

...

...

...

Thursday, August 29, 2013

BEZA KERTAS 1 DENGAN KERTAS 2 BAHASA MELAYU SPM (MENTAL PICTURES IN WRITING ANSWERS)

Hakikatnya, peperiksaan bukan sekadar menguji penguasaan sejumlah ilmu pengetahuan untuk tujuan olahan kembali, aplikasi, analisis, sintesis atau kemahiran berfikir aras tinggi, tetapi lebih menjurus terhadap proses mengehadkan penulisan dan kecekapan merancang jawapan. Calon terikat dengan peruntukan jumlah masa yang mesti disejajarkan pula dengan peruntukan jumlah markah. Selain itu, calon harus dapat mengenal pasti aras kesukaran soalan supaya dapat menyelesaikan jawapan terhadap tugasan yang mudah terlebih dahulu sebagai jaminan markah yang pasti.

Calon cemerlang memiliki strategi peruntukan masa yang bijak supaya turut meninggalkan baki masa antara 20 hingga 30 minit untuk pembetulan, penambahbaikan dan semakan. Jika hanya cukup-cukup masa (ngam-ngam, cupui-cupui), kemungkinan untuk berlaku kesilapan adalah tinggi. Maka, calon peperiksaan tidak harus melangkah masuk ke ruang peperiksaan tanpa sebarang strategi perancangan jawapan.

Mulai tahun 2013, calon Sijil Pelajaran Malaysia wajib lulus Bahasa Melayu dan Sejarah untuk layak mendapat sijil. Sudah tentu bahawa pihak sekolah telah melaksanakan pelbagai program kecemerlangan akademik supaya pelajar sentiasa bersifat cakna dan sedar akan perkara itu. Bagi kumpulan murid yang berharap untuk merebut tempat terbaik kursus persediaan universiti seperti asasi sains, matrikulasi, baccaleaurate, foundation dan sebagainya perlu mencatat gred A+ dalam mata pelajaran utama.

Bahasa Melayu 1 ialah kertas penulisan karangan yang terbahagi kepada karangan respons tertutup (30 markah) dan karangan respons terbuka (100 markah). Jumlah masa yang diperuntukkan ialah dua jam suku atau 135 minit. Dalam kertas soalan, ada dicatatkan supaya calon memperuntukkan masa selama 45 minit untuk menjawab karangan respons tertutup (bahagian A) dan 90 minit untuk karangan respons terbuka (bahagian B).

Nasihat berkenaan hanya sebagai panduan, iaitu bergantung kepada strategi seseorang calon. Namun, jika dibuat hitungan konservatif, nisbah peruntukan masa dengan peruntukan markah yang dicadangkan itu tidak tepat. Banyak juga calon yang terlalu asyik menjawab karangan bahagian A yang hanya memperuntukkan 30 markah sehingga tidak sempat menulis karangan bahagian B dengan cukup, terutama dari segi jumlah perkataan.

Nisbah 30 markah kepada 45 minit bersamaan 1 : 1.5, manakala 100 markah kepada 90 minit ialah 1 : 0.9. Ketidakseimbangan yang ketara telah berlaku di situ. Maka, calon harus mengubah suai nasihat berkenaan agar berupaya menulis karangan yang tebaik bagi kedua-dua bahagian.

Peluang untuk beroleh gred yang lebih tinggi untuk kertas 1 ialah karangan respons terbuka, iaitu bahagian B yang memperuntukkan 100 markah. Calon boleh mengikut nasihat peruntukan masa sebanyak 90 minit, sebelum beralih kepada karangan bahagian A dengan peruntukan masa 30 minit sahaja. Dengan itu, calon akan meninggalkan baki masa 15 minit untuk tujuan pembetulan, penambahbaikan dan semakan muktamad.

Karangan respons tertutup terbahagi kepada dimensi diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara / antarabangsa dan komponen sastera (komsas). Calon juga harus akur dengan keperluan penulisan karangan sama ada berformat atau tanpa format khusus. Hal itu bakal mempengaruhi penggunaan laras bahasa dan kata ganti diri yang digunakan.

Pada amnya, calon perlu menampilkan tiga idea utama dengan huraian yang bersifat holistik. Maksudnya, calon harus memiliki kebolehan generalisasi idea, kemudian mengembangkan setiap idea kepada pelbagai sudut untuk huraian yang munasabah dan matang. Dalam bahasa yang mudah, calon mesti pandai membesar-besarkan cerita!

Karangan respons tertutup bermakna bahawa calon terikat sepenuhnya dengan bahan rangsangan yang diuji. Idea asas karangan mesti datang daripada paparan bahan rangsangan sebelum diolah berdasarkan kehendak tugasan soalan. Jangan lupa memasukkan unsur kecindan, iaitu peribahasa atau kata-kata hikmah sebagaimana yang dilakukan untuk karangan respons terbuka.

Sekarang beralih kepada kertas 2 yang memperuntukkan 110 markah, tetapi dengan masa yang lebih panjang, iaitu dua jam setengah atau 150 minit. Secara konservatif, nisbah markah dengan masa ialah 1 : 1.36. Namun, strategi perancangan jawapan yang baik bergantung kepada kecekapan menulis jawapan. Misalnya, calon boleh menyiapkan rumusan dalam tempoh 30 minit, pemahaman 50 minit, tatabahasa 25 minit dan novel 15 minit sahaja. 

Maka, calon memiliki baki masa 30 minit untuk proses pembetulan, penambahbaikan dan semakan muktamad. Jika kertas 1 lebih kepada membesar-besarkan cerita, kertas 2 lebih kepada sebaliknya, iaitu memendekkan cerita. Calon harus tahu membezakan keperluan menulis isi jawapan dengan huraian, atau tanpa huraian ...

Tuesday, August 27, 2013

Monday, August 26, 2013

MENGAPA MESTI 'RESPEK' WANITA? (BOMBASTIC AND JARGON)

Memang benar bahawa kosa kata 'respek' terdapat dalam masukan Kamus Dewan (Edisi IV, 2005: 1324), tetapi di bawah kategori leksikon Indonesia Belanda (IB). Maksud yang diberikan ialah hormat, dan kehormatan. Simbol atau kependekan etimologi seperti IB, Ar (Arab), Mn (Minangkabau) atau Si (Singapura) bukanlah bererti bahawa kata-kata pinjaman yang sudah meresap ke dalam perbendaharaan bahasa Melayu sebagai sudah muktamad, justeru sifat asing yang dibawa masih janggal untuk diangkat sebagai bahasa tinggi (Ibid, xlix).

Sebagai sebuah kamus umum, masukan kota kata baharu termasuk slanga tidak dapat dielakkan memandangkan bahawa sebahagian besar penggunaan bahasa berlaku dalam suasana tidak rasmi. Maka, bagi menjamin kedudukannya sebagai sebuah rujukan autentik, sumber perkataan dan label tertentu seperti bp (bahasa perbualan) menandakan bahawa kosa kata berkenaan hanya sesuai untuk perbualan di luar konteks rasmi seperti sembang kedai kopi, sesama rakan atau di rumah. Dalam urusan rasmi, perkataan yang mempunyai label bp tidak sesuai lagi.

...

...

...

...

...

...

Sunday, August 25, 2013

'OMPUTIH CELUP' PIJAK BAHASA MELAYU (INFERIORITY COMPLEX TRAP IN MALAYSIA)

Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara kali ke-56 sudah pun di ambang pintu, namun sebahagian rakyat Malaysia masih bergelut dengan krisis jati diri. Mereka berasa rendah diri untuk dikaitkan dengan warisan unggul citra Melayu, sebaliknya terpegun dengan banyak perkara yang datang dari Barat, khususnya negara bekas penjajah Tanah Melayu, iaitu Britain. Mereka malu untuk bertutur dalam bahasa Melayu, tetapi berasa megah dan berasa hebat apabila bercakap dalam bahasa Inggeris walaupun dalam majlis yang bersifat tempatan.

Kegilaan pemimpin politik dan tokoh korporat untuk bercakap dalam bahasa Inggeris tanpa mempedulikan bahasa Melayu menggambarkan sikap acuh tidak acuh terhadap asas pembinaan negara sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan. Bahasa Melayu dianggap sebagai tiada nilai ekonomi, walhal bahasa Melayu pernah menikmati status sebagai lingua franca lewat era kegemilangan empayar Melaka dalam urusan diplomatik dan perdagangan antarabangsa. Golongan 'mat saleh celup' itu kini lebih biadab lagi apabila cuba memberi tekanan supaya sistem sekolah aliran Inggeris dihidupkan semula.

Tidak dinafikan pula bahawa penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa asing utama yang lain bakal meningkatkan daya saing negara dalam era globalisasi. Kita akur bahawa nasionalisme bahasa yang melulu tidak membawa sebarang keuntungan. Namun, masalah yang sedang dihadapi ialah percubaan halus untuk meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa perpaduan.

Nasib bahasa Melayu sudah seperti telur di hujung tanduk apabila terus diabaikan dalam pemilihan nama kawasan perumahan elit, gedung perniagaan dan papan iklan. Keadaan menjadi lebih parah apabila agensi awam sendiri lebih menonjolkan imej bahasa Inggeris yang keterlaluan sehingga menenggelamkan kedudukan bahasa Melayu yang sepatutnya dijulang tinggi. Akta bahasa kebangsaan dan peruntukan perlembagaan dilanggar dengan sewenang-wenangnya tanpa rasa bersalah.
Paparan papan tanda di atas menjadi bukti betapa bahasa Melayu sudah tidak diumpamakan sama sekali. Istilah gedung, toko aneka jabatan dan pasar raya semakin lenyap dan tinggal dalam buku teks sekolah sahaja. Gedung berganti mall, manakala jenama kebanyakan barang yang dijual langsung tidak menghormati citra tempatan walaupun keluaran syarikat orang Melayu.

Lihat sahaja paparan maklumat kompleks Angsana Mall di bandaraya Ipoh. Berapa kerat orang putih yang datang membeli-belah di situ? Adakah pihak pengurusan mereka tidak peka dengan peraturan bahawa paparan maklumat dalam bahasa Melayu mestilah pada kedudukan yang teratas dan bersaiz paling besar?

Burukkah sangat bunyinya jika maklumat berbunyi "perniagaan kami dibuka seperti biasa"? Adakah kerana penjimatan enam aksara dalam bahasa Inggeris itu berbanding dengan penggunaan bahasa Melayu boleh diterima sebagai alasan yang kukuh? Dalam kes ini, bahasa Melayu bukanlah melukut di tepi gantang, bahkan seperti debu yang diterbangkan angin, iaitu langsung tidak kelihatan!

Pengurus pasukan bola sepak Chelsea, Jose Maurinho, pernah meluahkan rasa hairan tentang obsesi segelintir rakyat Malaysia terhadap sebuah kelab yang asing dan berjarak ribuan kilometer dari tanah air mereka seperti The Blues. Ramai yang sanggup berembun di Dataran Merdeka kerana berkumpul menyaksikan perlawanan derby Liga Perdana Inggeris. Namun, adakah mereka peduli tentang nasib bahasa Melayu yang terumbang-ambing dan merintih pilu di bumi pusaka leluhur yang begitu kaya dengan kias ibarat dan kata-kata hikmah yang begitu bijaksana dan mendalam maksudnya?

Peristiwa guru bahasa Melayu Singapura yang meminta izin bercakap dalam bahasa Inggeris kepada kumpulan tetamu dari Malaysia yang seratus peratus Melayu membayangkan sikap yang melampau dan tidak patut. Tepat sekali peribahasa: anak kera di hutan disusukan, sedangkan anak sendiri di rumah kebuluran.

Sebelum kedudukan bahasa Melayu menjadi kian lemah, para pejuang bahasa mesti menggembleng tenaga untuk memberi kesedaran kepada pemimpin atasan, bangsawan dan sarjana supaya kembali meletakkan bahasa Melayu di persada. Pengaruh orang putih celup dan konco-konco mereka mesti dilemahkan sebelum mereka berani bercakap besar dan mendabik dada tanda kemenangan. Sesungguhnya bahasa Melayu ialah lambang jatidiri sebuah bangsa yang bermaruah dan dihormati ...

Friday, August 23, 2013

SUASANA LEBARAN MASIH TERASA (THE ENDLESS SUBMISSION)

...

...
'ketupat' bergantungan di sebuah pejabat kerajaan 
...

...

...

...

...

...

Tuesday, August 20, 2013

PENULISAN JAWAPAN ESEI EKONOMI MALAYSIA STPM (ALIGNING TIME WITH MARKS)

Kertas Ekonomi Malaysia ialah komponen mata pelajaran Ekonomi STPM sistem modular yang dinamakan sebagai Ekonomi 3. Kertas berkenaan memperuntukkan 40 markah, serta mewakili nisbah 15 peratus daripada keseluruhan wajaran mata pelajaran. Calon dikehendaki menjawab lima soalan esei daripada enam pilihan yang disediakan, serta satu soalan kuantitatif daripada dua soalan.

Peruntukan masa menjawab pula ialah satu jam sahaja. Hal itu bermakna bahawa nisbah 40 markah : 60 minit bererti 1 markah : 1.5 minit. Namun, hitungan konservatif itu perlu dilonggarkan kerana untuk mencapai gred A dengan markah tertinggi, calon tidak seyogia cukup-cukup masa menjawab semua soalan.

Strategi perancangan jawapan yang lebih tepat ialah memperuntukkan baki sedikit masa untuk membuat pembetulan, penambahbaikan dan semakan yang perlu. Hakikatnya prinsip sedemikian terpakai untuk mana-mana peperiksaan sekalipun. Maka, calon yang berhasrat untuk mencapai markah tertinggi bagi keseluruhan kertas hendaklah menetapkan had penulisan jawapan supaya tidak berlebihan, serta supaya tidak menyebabkan jawapan bagi soalan lain menjadi kontot sahaja.

...

...

...

...

...

...

...

Monday, August 19, 2013

MOTIVASI BELAJAR: BEZA PELAJAR CEMERLANG DENGAN BANYAK 'AKAL' (TRIAL AND ERROR IN THE LEARNING PROCESS)

Assalamu alaikum dan salam sejahtera

Pelajar yang dimuliakan,

Setiap kali markah pentaksiran, ujian atau peperiksaan diumumkan, maka pelajar telah terpisah dalam pelbagai kategori pencapaian. Pelajar berpencapaian cemerlang menjadi sebutan dan dicemburui. Pelajar berpencapaian sederhana dan lemah diberi peringatan dan teguran.

Pelajar yang tidak berpuas hati selalu menganggap bahawa pelajar cemerlang hanya bernasib baik kerana semua soalan ramalan mereka keluar dalam peperiksaan. Tambahan pula, kini pencapaian akademik bukanlah segala-galanya. Di luar sana, sejumlah besar siswazah berpencapaian cemerlang masih berstatus penganggur.

Pelajar berpencapaian cemerlang juga dilabel sebagai ulat buku, mat skema dan terpisah dari dunia nyata. Mereka banyak bergantung kepada hafalan fakta dan daya ingatan semata-mata. Gerakan meminggirkan pelajar cemerlang kini turut mendapat sokongan ahli-ahli psikologi dan gerakan yang mendakwa berfikiran kreatif dan tahap tinggi.

Pelajar yang dikasihi,

...

...

...

...

...

...

...

...

...

...

...

Saturday, August 17, 2013

MAKSUD UCAPAN MINAL A'IDIN WAL FA IZIN (BACK TO THE STATE OF PURITY)

Sudah acap perbincangan tentang ucapan sambutan hari raya dilakukan supaya setiap perkataan yang dilafazkan berupa kalimah yang baik, bernilai ibadah dan meningkatkan taqwa dua belah pihak yang bertemu. Alangkah ruginya jika seseorang itu hanya bercakap kosong, lagha dan tidak mendatangkan sebarang faedah. Maka, ikatan persaudaraan dan persahabatan yang kukuh sentiasa dihiasi doa antara satu dengan lain.

Selain ucapan taqaballallahu minna wa minkum yang menjadi amalan pada zaman Nabi Sallallahu alaihi wasallam dan para sahabat riduanallahu ajmain, lafaz minal al a'idin wal fa izin juga tidak lekang daripada dituturkan bagi menggambarkan kegembiraan atas kejayaan melaksanakan ibadah puasa Ramadan sebagai rukun Islam ketiga. Perkataan a'idin dan eid (al-fitr) berasal daripada kata dasar yang sama yang membawa maksud 'kembali'.

Ucapan lengkap yang sepatutnya dilafazkan ialah Ja alanallahuwa iyyakum minal a'idin wal fa izin yang membawa erti semoga Allah menjadikan kita (kami dan kalian) sebagai orang yang kembali dan berjaya. Perkataan fa izin berasal daripada kata dasar fawz yang bermaksud menang. Kemenangan, kejayaan dan keuntungan yang dimaksudkan menjurus kepada rahmah dan redha Ilahi, keampunan dan pembebasan daripada api neraka sebagaimana matlamat ibadah puasa (klik di sini). 

Slot usrah Ikim.fm kelolaan al-fadil Ustaz Zul Ramli tentang tajuk yang sama mengingatkan kembali hujah seorang pemandu teksi Cina Muslim di Kuala Lumpur yang menganggap perkataan convert yang merujuk status saudara baharu atau mualaf sebagai tidak tepat. Perkataan revert lebih cocok justeru secara fitrah, seseorang bayi yang dilahirkan ibarat kain yang putih, bersih dan suci (klik di sini). Dalam meniti perjalanan usia, seseorang itu akan terdedah kepada pengaruh persekitaran, terutama ibu bapa yang mencorakkan pegangan dan kepercayaan terhadap Yang Maha Esa.

Panel jemputan, Adam Corrie, bekas penari dan pelakon turut memanjatkan rasa syukur atas nikmat kembali kepada fitrah setelah bertemu dengan kebenaran Islam setelah sekian lama hidup dalam kekosongan. Kawan-kawan yang mengelilingi beliau sebelum ini ibarat ungkapan iklan biskut, sekejap ada sekejap tiada. Mereka hanya mendampingi dirinya ketika dia ada wang dan sanggup membelanja mereka makan minum, tetapi segera lesap sekelip mata. 

...

...

...

...

...

SYAWAL DI MESIR IMBASAN SIRAH NABI (LEARNING FROM HISTORY)

Umat Islam di Malaysia masih dalam kemeriahan suasana hari raya puasa. Di sana sini terdapat majlis rumah terbuka yang bersifat eksklusif dengan jemputan dan masa yang tertentu. Selain itu, kesempatan musim cuti dan keramaian ini turut menjadi pilihan melangsungkan majlis perkahwinan dan menyambut menantu.

Memang benar bahawa hari raya Eidul-fitri ialah hari kemenangan bagi golongan yang berjaya menyempurnakan ibadah puasa dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Umat Islam digalakkan memakai baju baharu pada hari raya. Malah, asnaf yang layak menerima zakat fitrah juga berpeluang berbuat demikian sebagai tanda syukur atas kurniaan Ilahi yang melimpah ruah, terutama nikmat iman dan Islam yang kekal utuh walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan kekurangan.

Namun, tanggal Syawal 1434 Hijriyyah kali ini mencatat sejarah yang tersendiri apabila pergolakan kepimpinan di Mesir memasuki fasa pertumpahan darah. Penjenayah yang bernama al-Sisi, menteri pertahanan lantikan Presiden Mursi yang digulingkan, memang licik dalam menyembunyikan niat sebenar pendukung fahaman sekular tegar ketika berdamping dengan Mursi, kini telah menampakkan warna sebenar. Dia bukan sahaja membunuh ribuan penunjuk perasaan anti-rampasan kuasa, malah cuba menghapuskan bukti kekejaman tentera dengan membakar jenazah korban hingga ke dalam kawasan masjid.

Selain Mesir, taktik yang sama cuba dilakukan oleh golongan sekular di Turki dan Tunisia, tetapi setakat ini kerajaan di kedua-dua buah negara berkenaan masih mampu bertahan dan belum ada tanda campur tangan pihak tentera. Negara Maghribi yang juga dikuasai oleh kerajaan yang cenderung kepada gerakan Ikhwan masih belum digugat. Wajah demokrasi yang dibanggakan oleh Barat bertukar menjadi democrazy apabila majoriti pengundi memilih untuk menolak fahaman sekular, utilitarian dan hedonisme.

Merujuk sirah, terdapat tiga peperangan yang berlaku dalam bulan Syawal, iaitu perang Badar, perang Khandak dan perang Hunain. Perang Badar menyaksikan betapa tentera Islam yang berada di ambang kemenangan akhirnya bertukar duka apabila banyak yang gugur syahid akibat kecuaian dalam mematuhi arahan kepimpinan, termasuk sebahagian anggota pasukan pemanah yang meninggalkan kedudukan bertahan mereka. Perang saraf musuh bahawa Nabi Salallallahu alaihi wasallam telah wafat juga telah melemahkan segelintir tentera Badar di medan Uhud.

Perang Khandak pula dianggap unik kerana berlaku taktik peperangan yang baharu, iaitu tentera musyrikin Quraisy gagal melepasi parit yang dibina di zon pertempuran walaupun menggunakan kuda yang terbaik. Cadangan menggali parit yang dilontarkan oleh Salman al-Farisi dipersetujui oleh baginda Junjungan Sallallahu alaihi wasallam. Tentera musuh terusir dengan serangan ribut yang dihantar oleh-Nya.

Perang Hunain juga memberi pengajaran yang sangat berharga apabila tentera Islam mula berasa hebat dengan bilangan yang banyak, iaitu 12,000 orang. Pergantungan kepada Allah Subhanahu Wataala secara mutlak mulai longgar sehingga mereka hampir kecundang. Namun, Allah tetap memberi kemenangan kepada tentera Islam, justeru masih terdapat banyak lagi tentera yang soleh dan bertaqwa.

Perjuangan dan pengorbanan rakyat Mesir yang berhadapan dengan kekejaman tentera al-Sisi yang menjadi boneka dan tali barut sekular belum dapat dipastikan kesudahannya. Umat Islam yang peka dan prihatin hendaklah memanjatkan doa agar mereka mendapat kekuatan dan pertolongan Ilahi agar rejim tentera tidak berleluasa menafikan hak, maruah dan nyawa rakyat jelata. Sesungguhnya Syawal kali ini membuktikan sekali lagi betapa klon tentera ahzab masih tidak senang duduk, lalu berusaha habis-habisan untuk melemahkan risalah dakwah dan perjuangan yang luhur ...

Thursday, August 15, 2013

AIR JAGUNG YANG LAZAT (THE DISTINGUISH JELLY)

Ketika tekak kehausan, segala minuman menjadi lazat. Ada kisah menarik tentang dahaga pada zaman dahulu kala. Sebelum itu, cuba klik di sini bagi meninjau resepi minuman yang berasaskan jagung.

Seorang lelaki tersangat dahaga, lalu singgah di sebuah rumah bagi mendapatkan barang segelas air. Tuan rumah berasa sangat kasihan kepada lelaki itu, lalu menyediakan segelas air kosong. Si lelaki itu kehairanan kerana air yang dihidangkan itu bersekali dengan rumput kering yang bersih.

Akibat terlalu dahaga, lelaki itu terus berdoa lalu meneguk air itu perlahan-lahan bagi mengelakkan diri daripada tertelan rumput sekali. Setelah habis air diminum, baru lelaki itu bertanya muslihat di sebalik tindakan memasukkan rumput kering ke dalam bekas minuman tadi. Tuan rumah hanya tersenyum simpul dan memberitahu bahawa dia hanya mahu memastikan si lelaki itu minum dengan berhati-hati supaya tidak terbelahak.
jeli jagung yang dijual di Kemasik, Terengganu

Minuman yang paling baik untuk menghilangkan rasa dahaga ialah air masak, atau sebarang jenis air yang bersih, suci dan halal, sebaik-baiknya tanpa kandungan gula. Sesekali tidak mengapalah mengambil air yang sekadar manis buah sahaja. Maklumlah minuman yang rencam mengakibatkan sistem ginjal terpaksa bekerja keras bagi mengasingkan tenaga dengan unsur toksin dalam minuman yang diteguk.

Pemandu dan penumpang kenderaan yang melalui kawasan Pasir Putih (antara Marang dengan Dungun) akan mendapati deretan gerai menjual jagung rebus, kacang rebus, air tuak (nira, bukan todi), jeli kelapa dan jeli jagung. Sebotol air jagung (500 ml) seperti yang tertera dalam gambar di atas berharga RM3.00 setiap unit.

Kalau sudah minum jeli jagung, tidak perlu lagi makan jagung rebus kerana di Terengganu, justeru jeli jagung yang disediakan memang asli, bukan berasaskan perasa dan perisa tiruan. Rasa jagung mengatasi rasa manis yang tidak begitu ketara. Bagi mengesahkan perkara berkenaan, mungkin pihak berkuasa kesihatan boleh membuat ujian makmal secara rambang terhadap jeli jagung yang dijual di sana.

Setakat ini tiada sebarang maklumat tentang kandungan, tenaga, dan jumlah pengambilan minuman yang disyorkan kerana ketiadaan label pada botol minuman. Botol yang digunakan juga dipercayai ialah bekas isian air mineral. Namun, perkara itu juga perlu disahkan terlebih dahulu supaya kepentingan pengguna dan juga peniaga tidak terjejas.

Jeli jagung memang mendapat sambutan hangat pembeli sehingga banyak gerai yang kehabisan bekalan ketika hari masih cerah. Pelancong tempatan dan asing nampaknya begitu teruja dengan keunikan jeli jagung yang dijual di sepanjang jalan itu. Jeli jagung perlu dihabiskan dengan cepat kerana tiada campuran bahan awet yang memudahkan proses pemasaman dan penduaan bakteria ...

Wednesday, August 14, 2013

KAMPUS UPSI MACAM TAMAN TEMA (THE CHOICE OF COLOURS)

Kali pertama mengunjungi kampus Upsi Proton City, kampus tetap yang dianggarkan menelan belanja hampir RM1 bilion itu masih dalam pembinaan. Kini, kampus berkenaan sudah hampir siap sepenuhnya. Kolej kediaman sudah dihuni, masjid biru sudah siap dan sebahagian fakulti di kampus induk (bekas MPSI dan IPSI) berpindah ke kampus baharu secara beransur-ansur.

Kunjungan kedua berlaku secara tidak sengaja kerana bas ekspres Mata Air yang dinaiki menghantar pelajar Upsi sehingga ke kawasan kolej kediaman. Semua bangunan kolej kediaman, fakulti, pejabat pentadbiran, rumah pencawang bekalan elektrik dan lain-lain dicat dengan pelbagai warna. Keadaan seperti ini tidak terlihat di kampus universiti yang lain.
Barangkali pihak Upsi telah membuat penyelidikan tentang aura warna dan kesan positif yang menjurus kepada proses pembelajaran yang selesa. Mohon maaf sahajalah andai kata perkara berkenaan hanyalah satu lagi bentuk falasi (hujah palsu). Namun, pasti ada penjelasan yang khusus tentang konsep kampus berwarna-warni di Upsi.

Kalau diperhatikan, keputusan tentang kampus berwarna-warni itu suatu cetusan idea yang agak pelik. Biasanya, bagi premis pendidikan, bangunan tadika sahaja yang bersifat demikian. Bangunan sekolah juga lebih banyak dicat dengan warna cerah dan tidaklah begitu ranggi macam kampus Upsi.
Maaflah kerana gambar dewan di atas kelihatan senget justeru diambil daripada bas ekspres yang sedang bergerak. Warna cat jingga pekat yang dipilih kelihatan menyerlahkan unsur feminin. Mungkin ada keterangan yang boleh dibaca di kawasan kafeteria aras bawah untuk meleraikan kemusykilan warga kampus Upsi dan juga pengunjung luar.

Konsep warna-warni juga lazimnya diterapkan oleh pengendali taman tema seperti di Tanah Tinggi Genting dan Sunway Lagoon, The Lost World of Tambun. Tujuannya bagi menarik perhatian kanak-kanak supaya asyik bermain di sana, sambil 'mengheret' kaum ibu bapa juga sebagai penjaga keselamatan dan tukang bayar token permainan mereka. Maka, apakah justifikasi dan kewajaran tindakan Upsi yang lebih kurang sama?
Masjid Upsi mungkin suatu pengecualian. Konsep warna cat pilihan ialah warna biru lembut yang mendamaikan. Kontras dengan persekitaran yang menghijau, kewujudan masjid Upsi begitu menyerlah. Alangkah bertuahnya warga Upsi dengan kemudahan urusan solat berjemaah dan majlis ilmu di sebuah masjid yang tersergam indah bagaikan masjid biru di Istanbul, Turki.

Universiti Pendidikan Sultan Idris ialah kesinambungan legasi perjuangan guru-guru Melayu sejak era Sultan Idris Training College, SITC yang diasaskan oleh penjajah Inggeris dahulu. Allahyarham Profesor Tan Sri Dr. Awang Had Salleh (bekas Timbalan Naib Canselor UM, Naib Canselor UKM, Pengarah ITM dan Naib Canselor UUM), serta Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba (bekas Timbalan Perdana Menteri) ialah antara tokoh kelahiran Upsi. Persatuan Suluh Budiman yang begitu lantang bersuara  tentang perjuangan bahasa Melayu dan pencapaian pendidikan orang Melayu juga berpangkalan di Upsi.

Warna-warni perjuangan Upsi yang bermula pada era penjajahan Inggeris nyata lebih panjang daripada semua universiti awam di Malaysia, termasuk Universiti Malaya yang selalu merujuk Kolej Perubatan Raffles di Singapura sebagai tarikh bermulanya penubuhan institut pengajian tinggi tertua negara itu. Begitu juga UPM yang berasal daripada sebuah kolej pertanian dan UTM daripada sebuah sekolah latihan teknikal. UiTM pula berasal daripada Dewan Latihan Rida (Pihak Berkuasa Institut Pembangunan Desa, Rural Instute of Development Authority).

Walaupun terlewat memperoleh status sebagai universiti penuh, sejarah Upsi sebenarnya sudah cukup panjang. Upsi memang lebih ke hadapan dalam 'mencetak' tokoh cendekiawan dan pemimpin yang tersohor yang membenihkan semangat perjuangan kemerdekaan dan kenegaraan yang unggul. Kesimpulan tipikal itu mungkin serba sedikit menjawab kemusykilan tentang kampus Upsi baharu yang beraneka warna ...

Tuesday, August 13, 2013

PERKHIDMATAN TEKSI RADIO DI IPOH (CITY TRANSPORT)

Bandaraya Ipoh kian berkembang sejajar dengan pertambahan jumlah penduduk, serta kegiatan ekonomi yang semakin rancak. Jika Kuala Lumpur banyak bandar satelit seperti Petaling Jaya dan Ampang, Ipoh juga mempunyai pusat pertumbuhan baharu seperti Meru Raya, Simpang Pulai dan Bercham. Tidak lama lagi pekan Tanjong Rambutan, Batu Gajah, Tambun dan Gopeng akan bertaraf bandar satelit bagi Ipoh.

Maka, suatu sistem pengangkutan yang berkesan, cekap dan selesa mesti ditawarkan kepada orang ramai supaya segala urusan yang dibuat mencapai maksud yang dikehendaki. 

Teksi Kita (dahulu Kinta): 05-255 5417, bumiputera. Diskaun untuk murid sekolah, pelajar politeknik.

BK: 05-2534188

Cab? Kurang sambutan

Perkhidmatan 24 jam lawan 16 jam

Risiko teksi radio: penumpang lesap, purata tiga kejadian sehari

Belum berdasarkan bacaan meter

Mahal kerana caj seorang = caj 4 orang

Bawa keluarga dengan izin penumpang

Monday, August 12, 2013

BERBALOIKAH DIPLOMA UiTM UNTUK LULUSAN STPM, MATRIKULASI? (OBTAINING THE SAME LEVEL QUALIFICATION)

Pemohon kemasukan IPTA 2013 dalam kalangan calon bumiputera yang gagal memperoleh tempat pengajian kini masih boleh berharap untuk bergelar pelajar pengajian tinggi walaupun hanya untuk kursus diploma. Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah memberi peluang itu dengan beberapa kelonggaran dan pengecualian jam kredit supaya pelajar dapat menamatkan pengajian lebih awal (klik di sini). Pelajar yang berhasrat terus ke program ijazah perlu mengikuti mod jarak jauh (PJJ) atau luar kampus.

Sudah tentu pemohon yang layak (PNGK 2.0 ke atas) segera menghantar rayuan ke pejabat naib canselor UiTM dengan secepat mungkin dengan menyertakan dokumen yang perlu, serta menyatakan kursus yang ingin diikuti. UiTM bukan sahaja membuka kampus cawangan di setiap negeri, bahkan mempunyai 22 buah kolej bersekutu yang menawarkan program diploma mereka. Daripada tidak berbuat apa-apa, lebih baik memperoleh kelayakan tambahan supaya pencapaian akademik dapat dipertingkat, di samping laluan untuk pengajian lanjutan menjadi lebih cerah.

Kelayakan STPM sebenarnya setara dengan lulusan diploma, iaitu tangga gaji mati yang sama walaupun gaji permulaan memang berbeza. Sebaliknya, lulusan program asasi dan matrikulasi akan kembali kepada kelayakan SPM sahaja andai kata tidak menyambung pengajian. Maka, jika lulusan asasi dan matrikulasi mengikuti kursus diploma UiTM atau politeknik, mereka meningkatkan kelayakan akademik,tetapi tidak demikian halnya dengan lulusan STPM.

Walaupun demikian, jika lulusan STPM ingin merasai pengalaman hidup di kampus sebagai pelajar pengajian tinggi secara sepenuh masa, mereka boleh memilih untuk memohon kursus diploma. Jika tidak, mereka harus memohon kursus ijazah mod sambilan (separuh masa) sebagaimana yang dinyatakan. Berbanding dengan IPTS, kos pengajian dan sara hidup di kampus UiTM secara berbanding jauh lebih murah.

Secara umum, kelayakan diploma UiTM sudah pasti lebih berprestij dan dipandang lebih tinggi berbanding dengan lulusan diploma politeknik atau institut kemahiran yang lain. Namun, andaian berkenaan bergantung kepada bidang pengajian atau kursus yang diikuti, atau bergantung kepada permintaan bakal majikan. Terdapat pemegang diploma politeknik, IKM, IKBN, ILP, institut pertanian dan kolej swasta yang telah berjaya muncul sebagai usahawan yang berdaya maju, atau menyandang kedudukan yang baik dalam sektor awam, korporat dan swasta.

Maka, selain UiTM, peluang mengikuti kursus diploma juga harus dibuka oleh politeknik dan institut kemahiran supaya modal insan berkualiti yang ada tidak dipersia-siakan. Lulusan asasi, matrikulasi dan STPM yang gagal memasuki IPTA bukan kerana tidak layak, tetapi tersekat akibat persaingan yang hebat. Tidak logik jika nasib mereka pada akhirnya lebih teruk daripda rakan-rakan sekolah yang mencatat pencapaian SPM yang lebih rendah secara berbanding. 

Keprihatinan UiTM memang wajar mendapat sanjungan. Walaupun kelayakan diploma UiTM setara dengan STPM, kursus diploma memiliki pengkhususan yang tertentu. Tambahan pula, semakin banyak orang yang memiliki beberapa kelayakan yang setara secara sekali gus, misalnya tiga diploma atau dua ijazah dalam bidang yang berbeza.

Mungkin ada kalangan yang berasa khuatir bahawa akan berlaku lambakan lulusan diploma dalam pasaran pekerjaan yang bakal menyusul fenomena pengangguran siswazah. Tugas universiti, IPT dan institut kemahiran bukanlah memberi jaminan pekerjaan kepada setiap lulusan mereka. Hakikatnya, segala reka bentuk kurikulum dan program pengajian bertujuan memberi nilai tambah terhadap modal insan seseorang untuk lebih berdaya saing dan berdikari.

Dengan perancangan dasar tenaga kerja, pertumbuhan ekonomi dan inovasi, harapan anak muda untuk beroleh peluang pekerjaan atau mencari rezeki sentiasa terbuka luas. Memang banyak perkara negatif yang berlaku, tetapi tidak pernah pula mengurangkan perkara positif yang muncul di mana-mana dan bila-bila masa. Menerusi tadbir urus yang hebat dan prinsip masyarakat madani, setiap anggota masyarakat tidak kira orang muda, tua, kanak-kanak, wanita, kelainan upaya dan golongan kurang beruntung diberi kesempatan dan peranan untuk menyumbang sebagai insan yang memiliki kemuliaan dan produktif.

Tidak ada ruginya negara yang memiliki paling ramai rakyat yang berkelayakan tinggi sepertimana yang ada di negara-negara maju. Fenomena pengangguran hanya bersifat sementara jika segala prinsip agihan pendapatan dan kekayaan tidak hanya berlegar dalam kalangan segelintir orang kaya dan berkepentingan. Maka, anak-anak muda harus merebut kesempatan untuk belajar setinggi yang mungkin, termasuk menyahut cabaran UiTM ...

Sunday, August 11, 2013

CERITA BARCELONA DAN CHONG WEI MUSIM RAYA (THE ROAD TO GLORY)

Sukan dan ideologi mungkin perkara yang dilihat sebagai berasingan, tetapi hakikatnya tidak dapat terpisah sepenuhnya. Kejadian berdarah di perkampungan Sukan Olimpik Munich 1972 dan pemulauan Sukan Olimpik Moscow 1980 menunjukkan pertalian berkenaan. Rejim haram Tel Aviv hanya diterima oleh Persatuan Bola Sepak Eropah, walaupun pernah menyertai Sukan Asia di Tehran, Iran (1976) termasuk berkongsi padang dalam perlawanan menentang Malaysia.

Dua kelab bola sepak handalan Liga Sepanyol, Real Madrid dan Barcelona digambarkan sebagai menyerlahkan ideologi yang sangat bertentangan dalam isu pergolakan Asia Barat. Real Madrid, terutama penyerang sensasi Christiano Ronaldo dikatakan sangat cenderung memberi sokongan terbuka kepada perjuangan rakyat Palestin. Barcelona pula baru-baru ini mengunjungi wilayah Palestin yang diduduki oleh rejim haram Tel Aviv, di samping Lionel Messi mengunjungi Tembok Ratapan Yahudi di Baitul Maqdis dan berdoa seperti ritual Yahudi ortodoks.

Rakyat Malaysia pada umumnya masih bersikap terbuka dalam soal pertembungan ideologi, termasuk dalam isu kaum Yahudi. Pendirian  berkenaan selari dengan penerimaan masyarakat Islam Timur Tengah seperti Iran dan Mesir yang tidak mengganggu rakyat mereka yang beragama Yahudi yang meliputi nisbah lima peratus keseluruhan penduduk. Namun, kaum Yahudi terlarang daripada memasuki Hijjaz, atau Semenanjung Tanah Arab.

Kunjungan skuad Barcelona FC (The Catalans) ke negara kita tidak mencetuskan sebarang kontroversi. Peminat bola sepak tempatan hanya teruja untuk melihat kelibat pemain terbaik dunia, Lionel Messi, penjaring gol tunggal perlawanan Piala Dunia 2010, Inestia dan bintang lain yang bernilai RM ratusan juta beraksi melayan Harimau Malaya. Barangkali kerana harga tiket yang mahal, serta musim raya, hanya 40,000 orang penonton dianggarkan membanjiri Stadium Shah Alam menyaksikan perlawanan.

Jutaan peminat bola sepak yang lain hanya bersantai di hadapan skrin televisyen. Mereka membayar tiket secara tidak langsung menerusi caj hak penyiaran siaran langsung kepada Astro dan TV3. Nyata sekali bahawa pasukan kebangsaan hanya mampu mempamerkan taktik pasif atau bertahan kerana menerima asakan bertali arus Barca yang mengawal 76 peratus perlawanan.

Selain rembatan gol Amri Yahyah dan percubaan sipi Mat Yo, bola lebih banyak berlegar di kawasan Malaysia. Misi Harimau Malaya ialah menyekat Barca daripada berpesta gol sebagaimana yang dilakukan terhadap Thailand (7-1) dan Santos (8-0). Maka, Barca mendapat latihan untuk menghadapi permainan pasif pihak lawan yang tidak ditemui dalam Liga Eropah yang mengamalkan corak permainan terbuka.

Kekalahan agak tipis 1-3 kepada skuad ternama dunia itu bukanlah menandakan mutu permainan Harimau Malaya sudah meningkat dengan mendadak. Corak permainan pasif tidak memberi banyak pengalaman kepada keseluruhan skuad untuk menyaingi pasukan lain walaupun dalam rantau Asia Tenggara, termasuk Singapura. Namun, sekalung tahniah tetap diberikan untuk Harimau Malaya yang sesekali mampu juga mencemaskan kubu Barca yang kebal itu menerusi beberapa siri serangan balas.

Beralih kepada kisah Datuk Lee Chong Wei yang sekali lagi kempunan merangkul kejuaraan badminton dunia setelah disekat oleh musuh tradisi beliau, Lin Dan dari China. Pada penghujung perlawanan set penentuan, Chong Wei mengalami kekejangan otot hingga terpaksa memberi kemenangan percuma ketika Lin Dan hanya memerlukan mata yang terakhir. Lin Dan yang masuk kejohanan atas tiket wild card tuan rumah hanya berada pada kedudukan 206 dunia berbanding Chong Wei (nombor satu dunia) setelah setahun tidak menyertai pertandingan antarabangsa.

Era Chong Wei dan Lin Dan sudah tiba di penghujung kerana kedua-dua pemain sudah mencecah usia 30-an dan sudah berumah tangga (rekod memihak kepada Lin Dan 22 kemenangan daripada 31 pertemuan dengan Chong Wei). Taufik Hidayat yang tidak konsisten dalam pencapaian beliau telah pun menggantung raket dalam usia 32 tahun. China kalah dalam semua kategori pertandingan, kecuali perseorangan lelaki menerusi Lin Dan, manakala Indonesia mempamerkan kebangkitan semula menerusi gandingan beregu lelaki mereka, Ahsan dan Setiawan.

Bola sepak dan badminton akan terus menikmati status sebagai sukan popular tempatan walaupun acara sukan yang lain cuba menonjolkan diri. Jika sukan kriket dan ragbi menjadi kegilaan di negara maju, kedua-dua jenis sukan berkenaan hanya bertaraf rekreasi di Malaysia. Hanya sukan hoki yang bertaraf rekreasi di benua Eropah berjaya juga mencuri tumpuan kerana skuad negara pernah mampu berada dalam carta 10 pasukan terbaik dunia ...

Saturday, August 10, 2013

KONSEP 'HULUR DUIT' DI MAJLIS PERKAHWINAN (EASE THE HOUSEHOLD FINANCIAL BURDEN)

Musim cuti sekolah dan musim raya sudah sinonim dengan majlis perkahwinan atau sambut menantu. Bagi memudahkan urusan, kebanyakan keluarga memilih hujung minggu, iaitu hari Jumaat dan Sabtu di pantai timur, serta Sabtu dan Ahad di pantai barat, Sarawak dan Sabah. Kebanyakan keluarga memilih untuk menggunakan perkhidmatan sajian makanan berbayar berbanding dengan amalan kenduri kendara yang berasaskan gotong-royong.

Kini, pakej sajian makanan termasuk khemah dan khidmat juruhebah telah mencecah RM10 satu kepala, dengan tempahan minimum 500 orang tetamu. Aliran baharu majlis perkahwinan ialah gerai ais cendol, ais krim dan rojak. Maka, peruntukan perbelanjaan yang berasingan perlu dibuat setelah mengambil kira juga oleh-oleh untuk tetamu bawa pulang.

Dahulu, masyarakat Cina sahaja yang menempah pakej perkahwinan yang meliputi gaun pengantin, tuksedo, kereta mewah, khidmat jurugambar dan majlis resepsi di hotel bernilai antara RM15,000 hingga RM30,000. Kini, perkara yang sama sudah menular kepada masyarakat Melayu, India dan lain-lain. Dengan kemudahan pinjaman peribadi yang mudah, tuan rumah majlis hanya perlu menggayakan pakaian cantik, sambil menyambut tetamu yang hadir dengan senyuman hingga ke telinga!

Pada prinsipnya, tetamu hanya perlu hadir ke majlis dan makan-makan. Tuan rumah juga tidak wajar mengharapkan sebarang balasan atau sumbangan daripada tetamu yang mereka undang. Mereka harus mengukur baju di badan sendiri dalam menentukan peruntukan perbelanjaan majlis.

Namun, tetamu yang hadir biasanya faham akan perbelanjaan yang ditanggung oleh tuan rumah yang merupakan saudara, jiran dan anggota keluarga mereka sendiri itu. Tujuan menghadiri majlis ialah bagi meraikan mempelai dan menikmati jamuan seadanya. Hakikatnya mereka boleh menikmati hidangan yang lebih lazat di rumah sendiri atau di restoran pilihan.

Dalam kata lain, menghadiri undangan majlis perkahwinan ialah acara kemasyarakatan yang menjadi lambang keutuhan sosial setempat. Orang Islam wajib memenuhi undangan majlis selama mana majlis berkenaan bebas daripada sebarang unsur syubhat dan dosa. Sesuatu majlis keramaian yang sedemikian memberi kegembiraan dan ikatan silaturrahmi yang kukuh.

Jika pada era kenduri kendara secara gotong-royong, jiran dan keluarga menyumbang tenaga seharian, maka sumbangan keringat itu kini digantikan dengan pemberian wang ringgit mengikut kemampuan masing-masing. Dari segi ekonomi, keadaan yang berlaku lebih mirip kepada aplikasi prinsip kos lepas. Pemberian yang ikhlas kepada tuan rumah ialah tanda sokongan dan pampasan kerana tidak menyumbang tenaga fizikal.

Terdapat jenaka tentang sumbangan itu seperti 'hulur' dan 'salam cangkuk tangan' antara tetamu dengan tuan rumah. Namun, tuan rumah janganlah pula terlalu berharap kerana hal itu sudah bertentangan dengan konsep jemputan yang tidak mengharap balasan. Tambahan pula, lebih afdal jika tuan rumah mengundang golongan kurang beruntung seperti anak yatim, warga tua dan orang miskin kerana doa yang mereka panjatkan lebih tinggi nilainya daripada sumbangan wang ringgit.

Tetamu yang berkemampuan pula 'agak-agaklah' kalau mengikut bahasa orang muda sekarang. Kalau seisi keluarga lapan orang hadir sekali, adakah dengan menghulur RM10 sudah memadai? Memanglah kita bukan membayar harga makanan, tetapi balik kepada prinsip kos lepas dan sokongan yang ikhlas sepertimana amalan gotong-royong.

Maka, berapakah sumbangan yang patut dihulurkan kepada tuan rumah majlis perkahwinan? Hakikatnya tiada sebarang penanda aras penetapan, melainkan 'agak-agak' seperti jumlah yang setara dengan perbelanjaan hidangan sekeluarga di rumah masing-masing atau perbelanjaan makan di restoran. Sikap ikhlas dan prinsip tolong-menolong (taawun 'alal birri wa'-t-taqwa) perlu menjadi neraca pertimbangan yang asas ...

Friday, August 9, 2013

KISAH GELANDANGAN BERTARAF JUTAWAN (THE LIMIT OF PERCEPTION)

Di Indonesia, peminta sedekah jalanan dipanggil sebagai pengamen. Ada sebuah lagu dari seberang yang mengisahkan seorang pengamen cilik akhirnya hidup senang-lenang dengan harta kekayaan yang melimpah ruah (baca kisah Tegar Septian, 12, di sini dan tonton persembahannya di sini). Sebahagian pengamen pula bekerja atau dipaksa mendapatkan wang untuk sindiket jenayah yang tertentu.

Selain itu, terdapat golongan tua sebatang kara yang hidup merempat di jalanan akibat dibuang oleh keluarga, atau memang sudah tidak mempunyai keluarga yang dekat untuk menjaga mereka. Golongan itu sanggup menyelongkar sisa makanan yang dibuang dalam tong sampah dan tidur beralaskan kotak di kaki-kali lima kedai. Tidak tahulah pula jika ada antara kutu rayau sebenarnya pengintip atau ejen risikan yang memantau keadaan persekitaran untuk tujuan khusus!

Sifat pemurah rakyat Malaysia merupakan daya tarikan kepada warga asing yang datang dengan izin lawatan sosial, tetapi mengambil jalan mudah untuk menjadi kaya dengan menyamar sebagai peminta sedekah jalanan atau kutu rayau. Modus operandi mereka mungkin dilakukan secara bersendirian atau di bawah pengaruh sindiket jenayah. Operasi membanteras kegiatan kutu rayau sering dilakukan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan bantuan pihak polis dan Rela. 

Kini, fenomena mengutip derma oleh kanak-kanak yang mendakwa dari sekolah tahfiz atau anak yatim menanti di tempat tumpuan orang ramai seperti bank, pasar malam dan pasar tani. Penulis blog (PB) pernah berbual dengan pemandu yang mengangkut kanak-kanak itu dengan kenderaan Econovan yang selesa, dan tugas pemandu itu ialah memerhatikan keselamatan kanak-kanak berkenaan. Namun, masyarakat menjadi keliru antara amalan mulia bersedekah dengan rasa rimas kerana asyik bertembung dengan pemungut derma.

Persatuan Orang Kurang Upaya, terutama yang bermasalah penglihatan, kesal dengan golongan senasib mereka yang enggan berdikari, sebaliknya mengambil jalan mudah menadah tangan menagih belas simpati orang ramai. Jumlah kutipan memang agak lumayan, tetapi masalah sosial seperti itu tidak wajar berpanjangan. Sebuah negara sivil (madani) perlu mengambil langkah menerapkan prinsip berdikari dan saling membantu (taawun) dalam bentuk yang lebih beradab dan betul.

Golongan kelainan upaya (OKU) yang berdaftar layak mendapat bantuan bulanan minimum RM300 dan diberi latihan tertentu supaya boleh muncul sebagai anggota masyarakat yang menyumbang terhadap kegiatan ekonomi, serta produktif. Mereka juga layak menikmati kemudahan rawatan dan perlindungan insurans atau takaful. Pengecualian hanya dikhususkan untuk OKU yang mengalami penyakit kronik yang memerlukan pengawasan profesional.
si gelandangan kaya?
(gambar hiasan)
Terdapat cerita yang tersebar secara lisan tentang kisah seorang gelandangan di Kuala Lumpur yang berpakaian compang-camping, serta tidak terurus. Konon cerita, pada akhirnya si gelandangan berkenaan meninggal dunia di jalanan. setelah disiasat, rupa-rupanya dia memiliki sebidang tanah di kawasan segi tiga tiga emas yang bernilai puluhan juta ringgit. Kekayaan itu kemudian diserahkan kepada pihak Amanah Raya justeru keluarga si gelandangan tidak dapat dikesan.

Sama ada kisah gelandangan di atas boleh dipercayai atau sebaliknya, kenalah semak dengan pihak Amanah Raya. Jika hanya kisah tipu atau penglipur lara, anggaplah sahaja mewakili kes terpencil golongan kutu rayau yang tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya memiliki harta. Hanya akibat eksploitasi dan manipulasi, serta kejahilan diri, akses terhadap harta itu gagal dilakukan.

Andai kata, kutu rayau ialah papa kedana yang tulen, mereka masih mempunyai harta yang paling berharga, iaitu modal insan. Tugas itu terpikul di pundak agensi yang berkaitan, terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat. Selepas operasi pembersihan kutu rayau dilakukan, mereka disalurkan mengikut kategori, sama ada perlu dibantu, atau didakwa di mahkamah.

Sesungguhnya setiap insan yang mukallaf tidak harus menjadi beban kepada orang lain (kallan alannas), sebaliknya berusaha atau dibantu untuk berusaha meneruskan kehidupan sebagai anggota masyarakat yang berguna. Fenomena kutu rayau dan pemungut derma jalanan tidak wajar dibiarkan berkembang tanpa kawalan dan tindakan yang bersifat penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang. Input kesedaran dan ilmu pengetahuan ialah jalan terbaik yang dapat menggantikan kepincangan sosial yang berlaku dengan mengembalikan peranan institusi hibah, baitul mal dan yang seumpamanya ... 

Thursday, August 8, 2013

MUHASABAH RAMADAN DAN SYAWAL (DAILY INTROSPECTIVE)

Akhirnya Ramadan berlalu jua meninggalkan kita. Bersyukur kita ke Hadrat Ilahi justeru masih diberi kesempatan oleh-Nya buat meneruskan kehidupan di dunia yang fana ini. Mudah-mudahan panjang umur murah rezeki, kita bakal bertemu Ramadan yang seterusnya, insya-Allah.  Amin.

Marilah kita melakukan penilaian kendiri atau muhasabah diri agar Ramadan yang baru berlalu sebagai Ramadan yang terbaik untuk dipersembahkan kepada-Nya. Semoga kita telah beroleh rahmah, keampunan dan pembebasan daripada api neraka, serta mencapai makam taqwa sebagaimana yang diharapkan. Hendaknya amalan sepanjang Ramadan yang berlalu dapat diteruskan sepanjang hayat kita.

Amalan yang istiqamah (kekal dan berterusan walaupun tidak banyak) menjadi bukti betapa seseorang itu benar-benar beriman (klik di sini). Jika pada bulan Ramadan kita banyak mengaji al-Qur'an, maka begitulah layaknya pada bulan-bulan yang lain. Jika kita banyak bersedekah (menderma atau infaq), maka demikianlah pada bulan-bulan seterusnya, justeru ganjaran berganda pada bulan puasa bukanlah matlamat terakhir amalan kita melainkan mengharapkan redha Ilahi jua.

Kesanggupan kita ke surau dan masjid untuk solat berjemaah sepanjang bulan puasa tidak seyogia terhenti dengan berlalunya Ramadan. Marilah kita terus memakmurkan rumah-rumah Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi golongan yang berjuang dalam saf tersusun bagaikan suatu bangunan yang kukuh (as-Saf, 61:4).

Madrasah Ramadan telah mendidik kita dengan segala ciri kelakuan terpuji (mahmudah) dan menjauhi segala ciri kelakuan tercela (mazmummah). Marilah kita menghiasi peribadi kita dengan menjaga sempadan yang ditunjukkan itu. Kita berusaha agar diri kita menjadi orang yang lebih baik dan soleh dari hari ke hari.

Setelah sebulan berpuasa wajib, kita digalakkan berpuasa enam hari sebelum berakhirnya Syawal (klik di sini). Kemudian, kita menanam tekad untuk melaksanakan puasa sunat yang digalakkan, iaitu pada setiap hari Isnin dan Khamis apabila mampu berbuat demikian. Sesungguhnya bekas yang paling buruk untuk diisi oleh anak Adam ialah perutnya (dilaporkan dalam al-hadith, klik di sini). 

Antara pelajaran Ramadan ialah menghindari perbuatan mengumpat dan memburukkan orang lain tanpa kehadirannya. Bukan mudah untuk membuang kelakuan buruk yang telah berleluasa dalam masyarakat itu. Maka, andai Ramadan telah membutirkan penambahbaikan, marilah kita kukuhkan kelakuan terpuji yang menjadikan tutur kata kita bagaikan mutiara yang sangat berharga, bukan panah beracun yang membunuh jiwa dan raga.

Akhir kata, segala kebaikan dan hikmah Ramadan akan terserlah dengan sendirinya sepanjang kita menyambut kedatangan Syawal dengan ciri ketaqwaan yang tinggi, kesyukuran dan kesederhanaan. Natijah sesuatu kebaikan ialah amalan yang istiqamah dan bersungguh-sungguh. Mudah-mudahan kita berjaya muncul sebagai lulusan Ramadan dengan pangkat cemerlang, iaitu beroleh rahmah, keampunan dan pembebasan daripada api neraka. Amin ...

Tuesday, August 6, 2013

BUDAK MERAJUK CAMPAK BAJU DI PASAR (COMPENSATED THE DULLNESS)

Antara saat yang paling membosankan budak-budak ialah terpaksa mengikut ibu bapa dalam urusan di pejabat, di pasar atau bertandang ke rumah orang lain. Bantahan yang lemah hanya dapat dipamerkan dengan muka toya, enggan melangkah keluar daripada kenderaan atau cuba menggunakan brek kaki ketika diheret oleh ibu bapa. Namun, dengan tubuh kecil tidak sampai 20 kilogram, si budak itu dengan mudah diangkat oleh ibu bapa, kadang-kadang dengan sedikit habuan berupa cubitan isyarat.

Sebagai proses tawar-menawar, kanak-kanak dijanjikan dengan imbuhan kecil seperti gula-gula atau mainan. Ibu bapa yang peka mungkin mengambil kesempatan yang ada untuk proses pembelajaran si cilik. Ibu  bapa boleh berlagak sebagai murid, manakala si anak sebagai guru.

Banyak kawasan dan kemudahan awam kini menyediakan peralatan rekreasi untuk kanak-kanak supaya mereka tidak terus tertekan. Kanak-kanak kecil harus ditemani oleh abang atau kakak yang tahu tentang keperluan keselamatan. Tambahan pula, penjenayah sentiasa berkeliaran di mana-mana untuk mencari mangsa.

Ibu bapa perlu menunaikan janji dengan anak. Maka, sebelum berjanji, ibu bapa harus berpegang kepada prinsip kewajaran pampasan. Maksudnya, anak-anak akan berasa gembira dan tidak pula bagaikan teraniaya.

Dalam satu kejadian di sebuah pasar basah di pantai timur pagi tadi, seorang budak dalam lingkungan umur 6 tahun bertindak melemparkan bungkusan plastik berisi pakaian ke tengah-tengah laluan yang sibuk. Dia tidak peduli akan arahan ibunya supaya mengutip kembali bungkusan yang hampir terburai itu. Penulis blog (PB) harus menjadi orang budiman ketika itu.

Banyak andaian boleh dibuat tentang tindakan spontan kanak-kanak berkenaan. Namun, dia jelas tidak berpuas hati dengan ibunya. Mujur juga dia tidak bertindak lebih nekad dengan mencampakkan bungkusan tadi ke dalam longkang besar yang berhampiran!

Ibu bapa juga sebenarnya tidak punya pilihan melainkan mengheret anak ikut bersama, justeru jika ditinggalkan di rumah, risiko yang lain pula sukar dijangka. Hendak ditinggalkan dalam kenderaan juga boleh mengundang bahaya seperti renjatan bahang panas jika enjin dimatikan, atau anak tersalah tarik brek tangan hingga menyebabkan kenderaan menggelonsor menghentam 'jiran' berhampiran. Maka, hendak tidak hendak ibu bapa mesti mencari jalan yang terbaik supaya anak-anak yang diheret bersama tidak berasa kecewa.

...

...

...

Monday, August 5, 2013

KEMERIAHAN SAMBUTAN RAYA KIAN DITELAN ZAMAN (FUNDAMENTAL PRACTICE: PERMANENT AND CHANGE)

Pelakon veteran, Kartina Dahari menganggap bahawa pemberian duit raya yang dimasukkan dalam pek sampul kecil sebagai ambilan budaya masyarakat lain. Dahulu kanak-kanak menerima duit seadanya daripada tuan rumah yang dikunjungi dan memasukkannya ke dalam saku baju atau seluar yang sengaja dijahit dengan saiz yang besar. Beliau berkata demikian dalam wawancara khas rancangan 10-2 saluran radio Nasional.fm, dahulunya Radio Muzik pagi tadi.

Sementara itu, seorang ahli akademik (namanya tidak sempat dicatatkan) berpendapat bahawa tradisi balik kampung secara beransur-ansur akan tinggal dalam lipatan sejarah. Keadaan itu, dakwa beliau, berpunca daripada proses pembandaran apabila semakin besar bilangan generasi muda lahir di bandar, tinggal di kawasan perumahan dan terputus dengan ikatan desa akibat kesibukan ibu bapa masing-masing. Maka, golongan berkenaan (generasi Y) lebih selesa dengan cara hidup kota, duduk di rumah sambil melayan pelbagai gajet dan menghadiri majlis rumah terbuka yang sudah dijadualkan.

Persediaan juadah hari raya sudah jauh berubah. Tiada lagi suasana rumah yang kecoh dengan seisi keluarga mengacau dodol, menggunakan acuan semperit dan memasukkannya ke dalam oven, atau kanak-kanak turut sibuk menggentel kuih siput. Lemang tradisional juga sudah semakin pupus akibat saingan lemang segera berjenama Nona yang lebih mudah dimasak.

Persaingan antara stesen televisyen dengan pelbagai siaran hiburan dan kerohanian mengakibatkan sebahagian isi rumah asyik melekat di hadapan skrin berteknologi tinggi itu berjam-jam lamanya. Jika ada tetamu yang datang berkunjung, mereka juga tumpang sekaki dan melekat di situ. Tema perbualan pun berkisar tentang siaran berkenaan, manakala tradisi doa dan ucapan yang mulia mulai terpinggir.

Masyarakat pascamoden yang mementingkan kegiatan persendirian (privacy) lebih selesa dihubungi terlebih dahulu sebelum mengesahkan kesediaan menerima tetamu. Kunjungan secara mengejut mungkin masih menerima layanan, tetapi dalam hati mereka mungkin berkata-kata. Tambahan pula, pengunjung mungkin pulang hampa kerana tuan rumah berada di luar kawasan.

Kad ucapan hari raya juga semakin dipandang sebelah mata, kecuali oleh pembeli yang berjiwa halus, atau untuk disampaikan kepada seseorang yang sangat istimewa. Cikgu sekolah pun hanya menerima kad raya janaan komputer dan ditandatangani oleh semua murid dalam sesebuah kelas. Orang zaman sekarang, termasuk kumpulan veteran lebih senang menggunakan medium khidmat pesanan ringkas (SMS, MMS), e-mel dan lambang sembang sosial maya yang lain.

Pengendali perkhidmatan sajian makanan mungkin paling sibuk pada musim perayaan setelah melalui jadual yang ketat untuk tempahan majlis berbuka puasa sepanjang Ramadan. Keluarga bandar boleh gantung periuk (kalau di kampung: dapur tidak berasap) justeru memenuhi jemputan majlis rumah terbuka yang menyediakan hidangan berat. Mereka hanya perlu berwaspada supaya kandungan karbohidrat, lemak dan kolestrol yang ditelan tidak membawa mudarat kepada tubuh badan.

Cara sambutan hari raya menjadi penanda aras penting tentang keberkesanan ibadah puasa yang dijalani dengan tabah selama sebulan penuh. Jika haji yang mabrur dihiasi dengan amalan soleh dan penambaikan makam taqwa, maka demikianlah sepatutnya dengan puasa yang berkesan. Hari raya masih berkonsep ibadah yang penuh dengan ucapan syukur dan memuji keagungan Ilahi.

Sambutan hari raya juga membuka ruang pengukuhan ikatan keluarga, tetangga dan rakan taulan, termasuk penganut agama lain. Kesempatan dakwah dan jalinan ukhuwah terbuka dengan begitu luas. Alangkah indahnya hari raya yang bersifat patuh syariah, sebagaimana prinsip perbankan.

Zaman akan terus berubah tanpa dapat dikekang. Terdapat ungkapan yang mengatakan bahawa mustahil bagi seseorang itu untuk berada dalam air sungai yang sama disesuatu tempat. Cara sambutan dan suasana hari raya mungkin berbeza, tetapi hendaknya falsafah hari raya sebagai tanda kemenangan orang berpuasa hendaknya kekal begitu...

Sunday, August 4, 2013

SAHUR DI HOTEL (THE VERY EARLY BUFFET)

Perjalanan dari Ipoh ke pantai timur kali ini menarik juga untuk dikongsikan. Bagi menghilangkan kesan mengantuk akibat cuaca panas, penulis blog (PB) sekeluarga berhenti rehat di hadapan Agrobazar Fama di kawasan rehat dan rawat Ulu Bernam. Sebagai bekalan berbuka puasa, pesanan mi rebus dan rojak pasembur dibuat di kedai Pak Tam.

Selepas mendaftar masuk di hotel Cititel Midvalley, solat dan kemas diri, PB dan isteri terus menaiki teksi ke Jalan Tuanku Abdul Rahman. Cuaca cerah menyebabkan keadaan di situ agak sesak dengan pengunjung yang membuat persiapan terakhir hujung Ramadan dan menjelang Aidil Fitri. Peniaga biskut raya juga mula menawarkan harga lelong (setelah berjaya mendapat balik modal, kini masa membuat untung). 

Restoran Insaf bersebelahan hotel Palace sudah dipenuhi pelanggan untuk berbuka puasa walaupun masa masih berbaki setengah jam. PB hanya membuat pesanan nasi beryani bungkus dan jus mango sahaja. Jika datang dengan teksi pemandu Melayu pertengahan umur dengan penampilan ketayap, balik pula dengan pemandu teksi India yang mendakwa sudah berusia 75 tahun. Banyaklah nasihat yang dicurahkan.

Mulanya dia memasang saluran Tamil, kemudian sebagai menghormati penumpang Islam, dia menukar kepada saluran Melayu untuk laungan azan dan bacaan ayat suci al-Qur'an. Berasal dari Bagan Serai, dia punya empat anak yang sudah dewasa dan lima orang cucu. Dia tinggal di kondominium yang dibeli dengan harga RM75k (nilai terkini dianggarkan hampir RM500k), tetapi kerap ke luar negara, manakala isteri lebih suka memerap di rumah melayan cucu.

Anei masih memandu teksi hadiah anaknya (seorang daripadanya pengurus rancangan TV3, yang bongsu dapat 10A dalam SPM) bagi mengisi masa lapang. Dia berpegang kepada falsafah bahawa selagi tuhan tidak mengambilnya untuk 'rehat' yang abadi, dia akan terus bekerja, Pesara Lembaga Air Selangor itu sesekali melayan panggilan telefon dalam bahasa Tamil sambil melenggokkan kepala, tipikal orang India.

Dipendekkan cerita, makan sahur disediakan untuk dua orang penghuni, lalu untuk dua orang lagi kenalah top up. Waktu yang ditetapkan ialah antara pukul empat hingga lima pagi. Pengalaman kali ini mengingatkan sejarah PB menjalani ibadah puasa selama empat hari empat malam di Tambun Inn, Ipoh ketika kursus penyelia (pemudah cara) untuk program Jabatan Perdana Menteri suatu ketika dahulu.

Rupa-rupanya konsep sahur di hotel Cititel ini sebagai ganti sarapan pagi biasa dengan menu nasi lemak, bubur, aneka roti, nasi putih, sup, buah-buahan dan jus. Syukur ke Hadrat Ilahi justeru rezeki masih murah dan usia pun masih panjang. Bayangkan pejuang Palestin, penduduk Mesir, wialayah yang bergolak dan penduduk benua yang masih mundur seperti Afrika dan Amerika Latin.

...

...

...

Saturday, August 3, 2013

HAD LAJU MUSIM PERAYAAN (POLICY MAKING IN MALAYSIA)

Pelbagai perspektif tentang punca nahas jalan raya telah dilontarkan. Pendapat yang popular mengatakan bahawa sikap pemandu yang tidak berhemah dan melulu mengundang padah. Pihak berkuasa melancarkan Ops Sikap bagi mendidik pemandu supaya menghargai nyawa diri sendiri dan juga nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Pihak lain pula berpendapat kebanyakan kes kemalangan berlaku disebabkan kenderaan dipandu dengan laju sehingga hilang kawalan. Maka, sempena musim perayaan kali ini, semua jalan raya persekutuan ditetapkan had laju maksimum 80 kilometer satu jam berbanding dengan 90 kilometer sejam pada hari-hari biasa.  Lalu, terdengar pula pandangan sinis bahawa pada ketika semua harga barang mengalami kenaikan, akhirnya berlaku juga satu penurunan, iaitu had laju itulah.

Sumber polis memaklumkan bahawa 90 peratus anggota polis bertugas seperti biasa pada hari raya kali ini. Demikian juga penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan yang ditempatkan di lokasi panas kemalangan. Sistem kamera mengesan kelajuan, termasuk AES turut diaktifkan secara optimum.

Pendapat lain mengatakan bahawa 80 peratus punca nahas kenderaan ialah keadaan tayar yang jarang-jarang diambil perhatian oleh tuan punya kenderaan. Kebanyakan kereta yang terbabas serta hilang kawalan berpunca daripada tayar pecah atau pancit. Tayar ialah sentuhan terakhir (the last contact patch) antara kenderaan dengan permukaan jalan raya.

Dari satu segi yang lain, kenderaan berat turut dipersalahkan sebagai punca nahas. Kebanyakan kenderaan berat dipandu perlahan dan bergerak seperti semut apabila mendaki laluan berbukit. Akibatnya, kenderaan yang mengekori di belakang membuat percubaan memotong, tetapi banyak juga yang gagal, lalu memasuki laluan yang bertentangan atau lorong laju di lebuh raya.

Maka, kenderaan berat disekat daripada memasuki jalan-jalan utama, lebuh raya dan pusat bandar, kecuali jika membawa muatan mustahak seperti bahan api dan barang keperluan harian. Nampaknya masalah kenderaan berat tidak mungkin selesai begitu sahaja selagi laluan khas disediakan sebagaimana negara maju seperti di Amerika Syarikat dan Jerman. Sistem lebuh raya tiga lorong sepatutnya sudah direka bentuk sejak mula dibina (Plus mulai dibuka pada tahun 1993).

Kenderaan uzur juga didapati masih menjalar di jalan raya tempatan. Dasar pelupusan atau hapus kira kenderaan berusia lanjut hanya mampu dilaksanakan setelah struktur cukai kenderaan baharu mengalami liberalisasi sepenuhnya supaya pengguna mampu memiliki kereta baharu dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun. Pemilik kenderaan lama pula diberikan rebat dan subsidi apabila bersetuju melakukan pelupusan kenderaan masing-masing.

Industri kereta terpakai dijenamakan semula sebagai pusat jualan kereta klasik yang hanya boleh dibenarkan bergerak di jalan raya setelah akur terhadap piawaian spesifikasi kenderaan yang disahkan oleh pusat pemeriksaan kenderaan berkomputer (Puspakom). Kereta-kereta klasik pula hanya boleh dipandu dengan menggunakan laluan tertentu. Maka, masalah kenderaan yang dipandu terlalu perlahan atau secara konvoi dapat diurus dengan baik.

Dasar Automatif Negara yang masih dalam proses penambahbaikan perlu mengambil kira bukan sahaja tentang had laju, tetapi juga sistem jalan raya yang mesra pengguna dan mutu pembinaan jalan yang diawasi dengan ketat. Kebanyakan kenderaan baharu didatangkan dengan pakej teknologi yang mementingkan ciri keselamatan dan mesra alam. Kini, faktor persekitaran jalan raya perlu mendapat perhatian utama pihak berkuasa reka bentuk kejuruteraan jalan raya.

Akhir sekali, sebelum sesuatu dasar tentang peraturan pemanduan semasa musim perayaan ditetapkan, pakar runding bebas (yang tidak ada konflik kepentingan) patut diupah untuk melaksanakan penyelidikan skala besar tentang segala keperluan yang dinyatakan oleh pelbagai pihak. Dasar dan tindakan yang diputuskan menerusi disiplin ilmu pengetahuan seperti itu dapat mengurangkan proses cuba jaya yang menelan kos yang tinggi selama ini. Pengguna jalan raya sebagai pembayar cukai berhak menikmati segala kemudahan yang paling canggih dan selamat, serta dilayan dengan adil ...

Friday, August 2, 2013

SALAH SANGKA PADA BULAN PUASA (PERSONAL FUNNY EXPERIENCE AT 7-11)

Waktu itu pukul lapan pagi berhadapan dengan pejabat Maxis, Greentown, Ipoh. Penulis blog (PB) masuk ke kedai 7 Eleven, lalu membeli sebotol air minuman 1.5L. Juruwang bertudung itu mempamerkan wajah kaget memandangkan awal-awal pagi sudah seperti ada yang tidak kena.
 
Hari itu Ahad, 26 Ramadan 1434, masih bulan puasa. Bagi merungkaikan kekeliruan, PB terus bertanya jika ada  bengkel kereta berdekatan. Sambil itu, PB menjelaskan bahawa air minuman itu untuk dituang ke dalam tangki kereta, bukan untuk 'berbuka'. Juruwang tadi kelihatan lega sedikit.
 
Sebenarnya sang wira PB meragam sedikit. Kebetulan wang tunai ketika itu ciput dan isyarat telefon bimbit tinggal satu bar sahaja. Keputusan mesti dilakukan dengan segera kerana hari minggu begitu tidak banyak mekanik yang boleh dihubungi. Keanggotaan AAM juga sudah luput, manakala Narsqo memang tidak boleh diharap.
 
Panggilan ke rumah semua tidak berjawab, mungkin dalam mod senyap belaka. Enjin Wira langsung tidak boleh dihidupkan walaupun bateri masih baru dua bulan ditukar. Akhirnya PB membuat keputusan menghubungi teksi radio BK apabila mendapati wang di tangan mencukupi untuk membayar tambang (RM10).
 
Dalam perjalanan, PB batuk-batuk sedikit. Pemandu teksi keturunan Cina dalam lingkungan 40-an segera memberitahu bahawa dia pernah mengalami keadaan yang sama dan mula memberi nasihat percuma. Katanya ubat batuk yang paling mujarab ialah madu asli.
 
Bedasarkan pengalaman, dakwa pemandu teksi itu, kebanyakan madu yang dijual di pasar tani dan farmasi bukan tulen, sebaliknya dicampur dengan gula. Harga sebotol madu tipu hanya RM10 hingga RM50 untuk saiz sederhana. Dia biasa membeli madu Amway bersaiz 0.2 liter yang berharga RM75.
 
Selain batuk-batuk, pemandu teksi sering lenguh lutut. Madu asli membunuh semua bakteria yang menyerang sistem fisilogi manusia, dakwanya lagi. Dia turut mendakwa bahawa makan ayam bukanlah amalan pemakanan yang baik kerana mengandungi paling banyak bakteria jahat.
 
Nasib PB baik juga kerana kira-kira pukul 10.30 pagi kedai membaiki kereta Auto Friendly sudah dibuka. Sebagai pelanggan tetap, tidak menjadi masalah bagi PB mendapatkan perkhidmatan luar mereka. Mekanik yang dihantar mengatakan sudah ada masalah dengan starter dan alternator.
 
Setakat itu sahajalah yang boleh dikongsikan. Mudah-mudahan perkongsian pengalaman kali ini membawa manfaat kepada yang sudi membaca. Sekianlah adanya ...