Wednesday, January 21, 2015

MENGAPA DAN BAGAIMANA BERI TUMPUAN PEMBELAJARAN? (EXPERT INTERVENTION SAVE TIME)

Seorang pemuda sedang bertungkus-lumus memotong sebatang pokok di satu kawasan kejiranan. Dia tidak menyedari bahawa dia sedang diperhatikan oleh jirannya, seorang dewasa. Sudah dua jam dia berusaha keras menggergaji pokok itu, tetapi masih belum berjaya diselesaikan.

Orang dewasa itu lalu menghampiri pemuda berkenaan, lalu bertanya, "Sejak tadi pak cik melihat orang muda cuba menumbangkan pokok ini. Bolehkah pak cik memberi satu cadangan?"

Pemuda itu kelihatan tidak senang, lalu terus menjawab, "Terima kasih sahajalah. Saya masih kuat untuk membereskan tugas ini." Dia pun menyambung kerjanya semula.

Pak cik itu hendak berlalu, namun sempat juga melontarkan cadangan yang dimaksudkan. "Pak cik perhatikan orang muda menggunakan mata gergaji yang tumpul. Apa kata kalau orang muda mengasah mata gergaji itu?"

Setelah pak cik itu menghilang baharulah pemuda itu mengambil pengasah untuk menajamkan mata gergaji. Kemudian, dia hanya mengambil masa tidak sampai 20 minit untuk memotong pokok berkenaan. Dia akur bahawa sentuhan pengalaman dan kepakaran pak cik tadi telah menjimatkan segala sumber, sama ada wang ringgit, masa dan tenaga yang dicurahkan.

Kisah di atas kerap menjadi anekdot dalam buku asas pengurusan dan juga ceramah motivasi. Konsep yang mahu diketengahkan ialah bekerja dengan bijak lebih baik daripada bekerja dengan kuat, working smart rather than working hard. Perkataan smart kemudian dijadikan akronim untuk specific, measurable, attainable, reasonable, timely.

Pakar pembelajaran kemudian menambah perkataan smart menjadi smarties, iaitu interesting, enjoyable, success-oriented. Bagi mengingat banyak perkara, seseorang itu boleh menggunakan analogi, singkatan ejaan dan tukar lirik lagu kegemaran. Perkara yang sebelumnya susah untuk dihafal menjadi senang kerana aplikasi kaedah yang bijaksana.

Perbuatan menggunakan gergaji yang tajam bermakna teknologi yang cekap. Peralatan yang mempunyai ciri teknologi yang cekap akan menjimatkan banyak sumber, tetapi mendatangkan pulangan yang berlipat kali ganda banyaknya. Teknologi yang kuno sekalipun tetap membantu kerana konsep teknologi sebenarnya ialah aplikasi prinsip ilmu pengetahuan (sains).

Generasi zaman dahulu merintis jalan usaha reka cipta peralatan dan kemudahan yang lain. Mereka tidak pula sengaja memusnahkan ciptaan yang dibuat hanya kerana berasa kedekut atau taasub kepada prinsip jika mereka telah bersusah payah biar generasi seterusnya menempuh pengalaman yang sama. Sebaliknya, kemurahan hati generasi terdahulu telah membolehkan kita menikmati keselamatan, keselesaan dan kesenangan yang diwariskan sambil berlaku proses penambahbaikan dan pembaharuan secara berterusan.

Proses pembelajaran juga demikian. Pelajar hendaklah menghargai guru dan pensyarah sebagai pakar ikhtisas dalam bidang masing-masing. Tumpuan dalam bilik darjah dan kuliah bermakna pelajar menjimatkan masa supaya dapat melakukan banyak aktiviti lain sementara masih memiliki kesempatan. Jika membuat bacaan sendiri mungkin sepuluh hari baru nampak, tetapi masih pasti betul kerana tiada pengesahan yang autentik.

Kebanyakan pelajar masih terbawa-bawa dengan perasaan sentimental, iaitu mengharapkan guru dan pensyarah akan sentiasa kelakar dan menghiburkan. Hakikatnya, guru dan pensyarah hanyalah insan biasa yang tertakluk kepada kekurangan dari segi tingkah laku untuk memuaskan hati semua pelajar mereka. Maka, terimalah guru dan pensyarah seadanya.

Guru dan pensyarah juga bukanlah selebriti yang masih memiliki aura penampilan yang glamor. Maka, pelajar hendaklah mementingkan input pembelajaran yang disampaikan. Nama guru dan pensyarah tidak pernah akan tercatat dalam sijil dan transkrip keputusan peperiksaan kelak.

Pelajar hendaklah membetulkan niat belajar supaya berteraskan rasa ikhlas dan sabar. Dalam hadith mutawattir disebutkan, innamal a'malu bi'n-niat, sesungguhnya sesuatu perbuatan itu bergantung kepada niat. Bagi pelajar Islam, niat belajar kerana Allah akan menjadikan kegiatan pembelajaran sebagai suatu ibadah.
عَنْ أَمِيْرِ الْمُؤْمِنِيْنَ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ : إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى . فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ .
[رواه إماما المحدثين أبو عبد الله محمد بن إسماعيل بن إبراهيم بن المغيرة بن بردزبة البخاري وابو الحسين مسلم بن الحجاج بن مسلم القشيري النيسابوري في صحيحيهما اللذين هما أصح الكتب المصنفة]
Arti Hadits / ترجمة الحديث :
Dari Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khottob radiallahuanhu, dia berkata: Saya mendengar Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda : Sesungguhnya setiap  perbuatan tergantung niatnya.  Dan  sesungguhnya  setiap  orang  (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya karena (ingin mendapatkan keridhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keridhaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya karena dunia yang dikehendakinya atau karena wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan.
(Riwayat dua imam hadits, Abu Abdullah Muhammad bin Isma’il bin Ibrahim bin Al Mughirah bin Bardizbah Al Bukhori dan Abu Al Husain, Muslim bin Al Hajjaj bin Muslim Al Qusyairi An Naishaburi dan kedua kitab Shahihnya yang merupakan kitab yang paling shahih yang pernah dikarang) .
 sumber ambilan: klik di sini

Niat yang ikhlas pula tertakluk kepada cara pelajar mengkonsepsikan kegiatan pembelajaran, sekolah dan sumber. Jika pelajar berasa bahawa pembelajaran memang terdapat kesukaran umpama permata maknikam bernilai tinggi yang hanya dikenali jauhari (pakar), seperti peribahasa 'hanya jauhari mengenal maknikam'. Kalau tidak dipecahkan ruyung, masa akan mendapat sagunya.

Jika pembelajaran hanya kegiatan biasa seperti mengutip daun yang gugur, maka hampir semua orang bisa melakukannya. Atas sebab itulah, universiti hanya menawarkan tempat kepada pemohon yang sanggup bersusah payah, bersengkang mata dan tidak berasa bosan membaca jurnal ilmiah yang penuh dengan pemboleh ubah, metafora dan data. Walaupun masih terdapat kecurangan akademik seperti plagiat, esei 'swasta' (mengupah orang lain membuatnya) dan mengelat dalam peperiksaan, kes seumpama itu hanya membabitkan kelompok pinggiran yang tidak unggul.

Tidak dinafikan bahawa ijazah dengan pencapaian cemerlang menjadi tiket untuk melamar pekerjaan yang menawarkan gaji yang lumayan serta kedudukan yang selesa. Namun, kalau ijazah sekadar alat tawar-menawar, pengalaman pembelajaran yang dilalui tidak akan membawa seseorang itu menuju puncak jaya. Maklumat dan pengetahuan setiap masa akan segera usang, tetapi ilmu, kaedah dan kemahiran insaniah akan memastikan seseorang itu berupaya mereka bentuk input yang kemas kini sepanjang masa.

Perspektif terhadap ilmu menerusi pertolongan guru dan pensyarah, serta menekuni tinjauan bacaan  dan dapatan penyelidikan akan memastikan seseorang pelajar tidak terpesona dengan pendapat popular berstatus falasi. Pelajar tidak membuang masa dengan memikirkan bunga bahasa atau huraian yang berjela-jela. Setiap bidang pengajian terikat dengan disiplin, kaedah dan laras bahasa yang khusus.

Kesimpulannya, pelajar wajib memberi tumpuan yang tuntas dalam kegiatan pembelajaran supaya masa dapat dijimatkan menerusi penggemblengan sumber secara optimum. Guru dan pensyarah sebagai pakar dalam bidang pengkhususan pengajian tertentu hendaklah dihormati dan dipatuhi. Pelajar yang menjaga adab belajar akan beroleh keberkatan ilmu, serta diiringi doa oleh makhluk di bumi dan di langit ...

No comments:

Post a Comment