SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, February 16, 2014

PEMIKIRAN KASIM AHMAD JAUH TERPESONG (DEVIANCE SCHOOL OF THOUGHT)

Dalam satu majlis forum di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi suatu ketika dahulu, Kasim Ahmad (kini 80 tahun) tergagap-gagap berhujah bagi mempertahankan pendirian antihadis beliau. Apabila diasak bertubi-tubi oleh ahli panel yang lain dan hadirin, Kasim Ahmad tenggelam punca, kalut dan tidak keruan. Keyakinan dalam berhujah Kasim Ahmad begitu lemah berbanding dengan tulisan kononnya hadis sebagai kepalsuan yang agung, na'u zubillah min zalik.

Kasim Ahmad memperoleh ijazah asas dan sarjana dari Universiti London, manakala disertasi Ph.D beliau pernah ditolak oleh UKM. Namun, Kasim Ahmad akhirnya dianugerahkan ijazah kehormat doktor falsafah oleh UKM atas sumbangan beliau dalam pemikiran kesusateraan Melayu, khususnya tentang legenda Hang Tuah dan Hang Jebat. Entah bilakah pula Kasim Ahmad memiliki kelayakan dan kewibawaan untuk bercakap dan menulis tentang perkara paling asas dalam Islam, iaitu al-Quran dan al-Hadith? 

Jalur pemikiran songsang Kasim Ahmad masih mendapat dukungan puak yang menganggap Islam boleh ditafsir dengan hawa nafsu dan akal fikiran per se. Mereka termasuk kalangan cerdik pandai yang memuja gaya hidup hedonisme dan sekularisme. Pemikiran Kasim Ahmad serasi dengan kelakuan mereka yang bebas lepas, tidak mementingkan aurat dan malas menunaikan kewajipan asas fardu ain dan fardu kifayah.

Kasim Ahmad pernah hadir dalam satu majlis ilmiah anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), tetapi dia tetap enggan menerima kebenaran. Malangnya, tiada sebarang sekatan yang dikenakan ke atas Kasim Ahmad, walhal dia sangat jelas setara dengan ajaran karut-marut yang lain. Nasib baik dia sudah lanjut usia dan gagal menarik minat generasi muda untuk terjebak dalam penjara kegelapan yang abadi.

Gerakan antihadis yang cuba ditonjolkan oleh Kasim Ahmad dan penyokongnya merupakan suatu fitnah yang sangat dahsyat kepada umat Islam di Malaysia. Andai kata Kasim berhujah al-Quran sudah memadai untuk menjelaskan al-Quran sendiri, mengapakah dia sibuk menganjurkan pentafsiran semula al-Quran? Adakah Kasim Ahmad mahu mengatakan dia lebih hebat daripada baginda Salallahu alaihi wasallam dan sekalian ulama yang muktabar?

Segala hujah Kasim Ahmad penuh celaru, bercanggah, tidak ilmiah dan tidak bertanggungjawab. Dia gagal dalam usaha melemahkan pegangan asas umat Islam apabila berhadapan dengan ilmuan yang memiliki autoriti, tetapi masih berani berpakat dengan puak yang sama taraf dengan dirinya. Kasim Ahmad dan penyokongnya tidak patut diberi muka lagi, sebaliknya perlu menjalani proses pemulihan supaya kembali bertaubat sebelum ajal datang menjemput.

Melayan pemikiran yang bersifat dusta dan rosak memang membuang masa, tenaga dan minda yang sepatutnya menjurus terhadap peningkatan iman, amal dan akhlak. Gerakan antihadis yang tidak laku dikitar semula supaya masyarakat Islam sibuk dengan hujah yang tidak tentu hujung pangkal, lalu melupakan isu sebenar yang menjadi cabaran semasa umat Islam. Sungguh licik perang saraf yang dilancarkan oleh puak yang terpedaya dengan hasutan hawa nafsu.

...fatwa (klik di sini)

...kenyataan media Jakim:

Berikut kenyataan penuh Ketua Pengarah Jakim mengenai Seminar pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian:

Jakim memandang serius dalam isu yang dibangkitkan dalam Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian pada 15 dan 16 Februari 2014 anjuran Ahli Jawatankuasa Sahabat Pena Pak Kassim di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Kenyataan-kenyataan daripada para pembentang kertas kerja seminar khususnya berkaitan isu-isu agama adalah seperti yang berikut:

- Mempertikaikan dua kalimah syahadah dengan menganggap syahadah yang kedua sebagai mendewa-dewakan Nabi Muhammad SAW.

- Mempertikaikan rambut sebagai aurat wanita dan memperlekeh wanita yang berhijab.

- Mempertikaikan kredibiliti ulama dan menyamakan ulama sebagai kasta paderi.

- Mempertikaikan hadith sebagai sumber hukum dan menuduh Imam Shafi’e yang memulakan doktrin baru dengan menyatakan hadith sebagai satu sumber hukum sama seperti al-Quran

- Mentafsirkan semula al-Quran berdasarkan logik semata-mata dan menolak tafsiran ulama terdahulu

- Mengiktiraf Kod 19 oleh Rashad Khalifa sebagai pentafsir al-Quran bagi menggantikan hadith

- Cadangan membuat surat untuk memohon pihak KDN menarik semula pengharaman buku-buku tulisan Kassim Ahmad

Jakim juga ingin menjelaskan bahawa pemikiran dan pandangan yang dikemukakan adalah bercanggah dengan prinsip dan juga sumber hukum dalam ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi asas pegangan masyarakat Islam di Malaysia.

Ini adalah berdasarkan kepada sebab-sebab yang berikut:

i) Mengucap Dua kalimah Syahadah merupakan rukun Islam yang pertama bagi setiap Muslim yang mengaku dirinya sebagai orang Islam. Mempertikaikan syahadah boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada agama Islam. Justeru, orang yang berbuat demikian wajiblah segera bertaubat.

ii) Ulama telah bersepakat bahawa aurat wanita adalah keseluruhan badannya kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Mempertikaikan hukum yang telah disepakati boleh membawa kepada kesesatan.

iii) Ulama adalah pewaris Nabi yang berperanan menyampaikan ajaran Islam dari satu generasi ke satu generasi. Mempertikaikan kredibiliti Ulama muktabar dalam mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah suatu yang bercanggah dengan disiplin ilmu yang diwarisi daripada Sahabat dan Salafus Salih.

iv) Hadith adalah sumber kedua perundangan Islam dan sebagai pentafsir kepada al-Qur’an berdasarkan ijma’ ulama.

v) Penafsiran semula al-Qur’an berdasarkan logik akal tidak boleh diterima kerana pentafsiran al-Quran memerlukan disiplin ilmu agama yang telah ditetapkan dalam ajaran Islam.

vi) Teori “Kod 19” oleh Rashad Khalifa yang dipegang oleh Kassim Ahmad mengandungi pelbagai penyelewengan akidah dan tidak wajar digunakan untuk mentafsirkan al-Quran

vii) Tindakan untuk menarik semula pengharaman buku-buku tulisan Kassim Ahmad ini adalah tidak wajar kerana ia telah jelas menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar seperti yang telah difatwakan oleh negeri-negeri.

Saya telah meminta pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk mengambil tindakan dengan pendekatan yang bersesuaian dalam perkara ini.

Di samping itu, saya juga memohon kerjasama dari pihak Jabatan Agama Islam Negeri-negeri dapat memantau dan memberi perhatian terhadap isu ini secara berkesan dan wajar dan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada sekiranya bersesuaian.

Suka saya maklumkan bahawa pihak berkuasa agama negeri telah mengambil tindakan penguatkuasaan dan pewartaan fatwa terhadap bahan-bahan penerbitan yang mengandungi dan menyebarkan fahaman anti hadith yang jelas menyeleweng dari ajaran Islam.

Apa-apa jua bentuk penerbitan dan atau publisiti yang bertujuan untuk mengembangkan pemikiran atau fahaman anti hadith adalah dilarang dan perlu disekat kerana ia menyalahi fatwa dan undang-undang lain yang berkaitan.

Pihak Jakim dan Jawi juga berhasrat untuk menjemput Dr Kassim Ahmad dan pihak penganjur sebagai satu usaha pihak kami memberikan penjelasan terbaik terhadap dakwaan-dakwaan beliau yang dianggap boleh menjejaskan aqidah umat Islam.

Jutseru itu, memandangkan pemikiran Dr Kassim Ahmad ini boleh dikatakan sebagai pemikiran yang salah dan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka adalah wajar umat Islam di Malaysia menjauhi aliran pemikiran dan doktrin-doktrin palsu yang seumpama ini.

Ini adalah kerana perkara ini boleh memberi implikasi besar kepada akidah umat Islam dan menggugat ketenteraman serta menimbulkan keresahan awam.

Islam menyeru kepada umatnya agar bersatu padu dan mencegah daripada berpecah belah kerana perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam boleh merugikan masyarakat Islam itu sendiri. Ini juga adalah demi untuk membangunkan modal insan yang bertamadun tinggi.
(sumber ambilan: klik di sini)

...

No comments: