Saturday, April 30, 2011

CERPEN "TUKANG LAMA" KOMSAS TINGKATAN 1 (THE TRADITIONAL WOODPECKER AGAINST SKILLED APPRENTICESHIP "CHIPPIE")

Pengenalan

Mula-mula Pak Talib Tukang kehilangan pelanggan membina rumah dan kemudiannya hanya dipanggil untuk membuat reban ayam kampung dengan upah RM10 setelah beberapa hari bekerja. Pak Talib menghadapi zaman suram mata pencariannya sejak kepulangan Manas, si tukang muda lulusan sekolah Seni Bangunan. Suatu hari Mak Lamah isterinya yang suka berleter tiba-tiba membuat pusingan 360° apabila mula melunakkan suara. Mengapa?



Watak

Pak Talib: tukang rumah kampung yang mewarisi ilmu pertukangan daripada tukang tua

Mak Lamah:  isteri Pak Talib

Timah:  anak Pak Taib dan Mak Lamah

Mamat:  tuan punya reban ayam

Manas:  tukang muda yang kemudiannya membuatkan perubahan tingkah laku Mak Lamah




Perkataan / rangkai kata (frasa) menarik


majal (muka surat 94):  tumpul, sudah tidak kisah lagi, sudah terbiasa


menikmati leteran (94):  sudah lali / mangli / biasa / berasa terhibur dengan cakap-cakap (Mak Lamah)


kira-kira tak akan mati (96):  masih boleh berhutang


terhungap-hungap (97):  tercungap-cungap (turun naik nafas akibat kepenatan)


mengais untuk memenuhi hidup (97):  mencari rezeki dengan sumber terhad (cukup makan sahaja)


musim turun datang (97):  rezeki (Pak Talib) makin tipis, menghadapi zaman kemerosoton (dalam pekerjaan)


menurut ekor mata (98):  berdasarkan pengihatan kasar, tidak menggunakan alat ukuran


mengisi muzium (99):  layak bersara / berhenti daripada pekerjaan


gelak-gelak keruan (100):  ketawa yang dibuat-buat (untuk menutup rasa terkilan)


keluhan nipis (100):  luahan perkataan yang tidak jelas biji butirnya


membenamkan benda (101):  memasukkan sesuatu (pemberian)


siap mengecutkan hatinya  (101):  bersedia menghadapi keadaan yang mungkin tidak diingini (leteran)




Analisis komsas

Tema:  Kesukaran mencari  rezeki dengan kemahiran tradisional / keperitan hidup kerja kampung


Perwatakan:  sabar / tabah / tenang (Pak Talib)


Nilai:  kesabaran / ketabahan / ketenangan


Persoalan:    kesabaran / ketabahan / ketenangan dalam menghadapi cabaran hidup


Pengajaran:  kita hendaklah sabar / tabah / tenang dalam menghadapi cabaran / dugaan hidup




Tinjauan Plot




Permulaan:  pengenalan watak Pak Talib yang terbiasa dileteri Mak Lamah


Perkembangan / eksposisi:  punca khidmat Pak Talib kurang sambutan, ada tukang muda


Pergolakan / konflik:  Pak Talib hanya dipanggil membaiki reban ayam kampung (Mamat) sahaja


Puncak / klimaks:  Pak Talib bersedia menghadapi leteran Mak Lamah lagi


Peleraian:  Mak Lamah berubah sikap kerana Timah dirisik oleh Manas, si tukang muda




Perbincangan kbkk


Punca kerja warisan tradisi tiada jaminan:  kurang perancangan / kurang peralatan / teknologi usang / lambat siap


Faedah / kelebihan pertukangan tradisional:  lambang jati diri masyarakat / kesinambungan sejarah dahulu


Cara membantu pekerja kampung:  adakan kursus /  khidmat nasihat / bantuan kewangan


Kesan kemerosotan seni tukang lama:  warisan bangsa makin dilupakan / luput / tidak dihargai





Friday, April 29, 2011

BENARKAH BELAJAR MESTI SERONOK? (DILEMMA IN THE CLASSROOM)

Soalan di atas terpacul daripada lontaran rasa seorang sahabat penulis blog (PB) semasa kami berbual-bual secara informal di kafeteria. Kebanyakan saranan pedagogi mutakhir memang menjurus kepada pembelajaran yang berciri aktif, berkesan dan menyeronokkan. Penglibatan dan maklum balas murid dalam proses pembelajaran dianggap sebagai kayu ukur kejayaan penyampaian guru.

bersambung...

PANTUN EMPAT KERAT (BERJIMAT CERMAT) KOMSAS TINGKATAN 1 (BE A WISE CONSUMER)

Pengenalan

Sejumlah 7 rangkap pantun tentang sifat berjimat cermat dipaparkan pada haaman 7 dan 8 antoogi Kasut Kelopak Jantung. Penyelenggara pantun, Zailani Taslim menggunakan kedua-dua bentuk pembayang kerenah manusia dan unsur aam sebagai pembayang maksud. Nampaknya hanya rima akhir yang disamakan, sedangkan rima awal dan tengah sukar untuk disamakan.

Perbincangan rangkap demi rangkap

        Pergi ke belukar memasang pikat,
              Pulangnya lewat di hujung petang,
        Jikalau sentiasa berjimat cermat,
              Rezeki secupak terasa segantang.

Amalan jimat cermat menyebabkan rezeki yang sedikit dirasakan banyak, atau rezeki yang berkat.

         Indah nian pemandangan dunia,
               Dari timur hingga ke selatan,
         Sikap berjimat amalan mulia,
               Orang boros sahabat syaitan.

Sikap berjimat tergolong dalam amalan mulia, sedangkan sikap boros ialah pekerjaan syaitan.

         Masak meranum buah ara,
                Jatuh sebiji di atas papan,
         Jika berjimat setiap perkara,
                Pasti terjamin masa hadapan.

Amalan berjimat menjamin masa hadapan jika dilaksanakan secara menyeluruh.

         Sungguh pahit buah peria,
               Dimakan juga dibuat sayuran,
         Membesar belanja sikap sesia,
               Hanya menambah beban kewangan.

Sikap boros dalam berbelanja akan hanya menambah beban kewangan seseorang.

          Singgah berehat di kota lama,
                 Kuih dijamah air dihirup,
          Berjimat cermat suruhan agama,
                 Jika diamal sejahteralah hidup.

Sikap jimat cermat ialah anjuran agama yang menjamin kesejahteraan hidup.

          Inderagiri pasirnya umat,
                 Tempat berkelah putera raja,
          Baik sedikit tetapi berjimat,
                  Daripada banyak membazir sahaja.

Nikmat yang sedikit tetapi berjimat adalah lebih baik daripada nikmat yang banyak, tetapi dibazirkan.

          Turun ke ladang memettik kacang,
                 Hendak dibuat masak lemak,
          Segala urusan jika terancang,
                 Sikap membazir pasti terelak.

Perancangan daam setiap urusan ialah kunci bagi mengelakkan sikap membazir.

Thursday, April 28, 2011

FILEM MEDIA PERPADUAN? (TOGETHER WE UNITED)

Episod politik yang bergelora sudah menjadi lumrah dalam sistem demokrasi. Perbezaan bacaan sifir politik yang mencaturkan persepsi sering pula menjurus kepada segregasi yang tajam. Di sesetengah negara, perbezaan fahaman politik yang bersifat tajam itu terbawa-bawa kepada pertempuran fizikal, pertumpahan darah dan huru-hara.

Rakyat Malaysia yang terkenal dengan budi bahasa dan amalan tolak ansur yang tinggi sangat faham akan batasan bertindak sama ada politik, ekonomi dan sosial. Setakat ini kawalan keselamatan domestik yang cekap berjaya membendung provokasi yang boleh menjerumuskan negara ke kancah yang tidak diingini. Kepimpinan organisasi politik yang hebat bersaing masih boleh duduk semeja apabila menyentuh kepentingan bersama, misalnya isu-isu sejagat seperti perjuangan Palestin dan bencana alam di sana sini.

Pelakon-pelakon filem "Hantu Kak Limah Balik Rumah" ialah satu lagi contoh perbezaan aliran politik tidak merenggangkan hubungan sesama mereka. Watak Pak Jabit yang diingati kerana kata bualnya "tak ada apa-apa pun" telah meluahkan pendapat beliau secara terbuka. Selebihnya bacalah sendiri...
keratan akhbar Sinar Harian, 26.4.11

CERPEN "TEMPANG" KOMSAS TINGKATAN 1 (DISABLE HELPS THE ARROGANT DISADVANTAGE)

Pengenalan

Hafizi, murid pintar 4 Sains, anak orang berada, mengalami kekurangan fizikal akibat kaki kirinya pendek sebelah. Watak antagonis  (penentang watak utama) ialah Kamil yang suka menghina, tetapi Hafizi sering dibela oleh Raja. Ketika perkelahan anjuran kelas, Kamil lemas, tetapi siapa yang menyelamatkannya? Karya Pitteriah Abdullah ini termuat dalam antologi Kasut Kelopak Jantung, muka surat 87 - 93.

Watak

Hafizi:  Watak utama, cacat sedikit, tidak mampu berdiri lama. Tidak berdendam. Pandai menyelam.

Raja:  Kawan baik Hafizi. Ketua pasukan Bulan Sabit Merah. Sentiasa melindungi Hafizi daripada angkara Kamil.

Kamil:  Suka menghina dan mengenakan Hafizi. Suka menunjuk jaguh walaupun selalu dihukum.

Cikgu Ridzuan:  Guru disiplin yang digeruni.

Mei Ling:  Turut membela Hafizi. Berani mengugut Kamil untuk diadukan kepada guru disiplin.

Cikgu Lee:  Guru Sains yang suka memberi motivasi. Selalu menyokong sifat mulia Hafizi.

Pak Mat:  Pemandu (Proton Perdana) keluarga Hafizi.

Perbincangan Plot Cerpen

Pengenalan:  Hafizi duduk di dalam kelas memerhatikan  gelagat kawan sekelas. Raja datang membawa capati. Keadaan fizikal Hafizi diperinci.

Perkembangan:  Kebencian Kamil diserlahkan menerusi kata-kata hinaan. Dia hampir bertumbuk dengan Raja, sebelum Cikgu Ridzuan tiba. Hafizi juga mencegahnya.

Konflik:  Kamil sengaja menolak Hafizi hingga tersungkur. Raja hendak bertindak, tetapi dihalangi Hafizi. Mei Ling juga menempelak kamil.

Kemuncak / klimaks:  Raja menjeritkan Kamil tenggelam di dasar kolam. Tanpa berlengah, Hafizi terjun dan menyelamatkan Kamil tidak sampai lima minit pun. Raja memulangkan paku buah keras kepada Kamil.

Peleraian:  Kamil meminta maaf. Huluran tanggannya digenggam erat oleh Hafizi.

Perbincangan Unsur Komsas


Tema:  Orang kelainan upaya memiliki kelebihan yang tersendiri.


Nilai murni: Baik hati, tolong-menolong, hormat-menghormati, kesabaran, ketabahan

Persoalan:  Balasan terhadap orang yang suka menghina / Kasih sayang sesama manusia / Pertolongan yang tidak dijangka

Pengajaran:  Kita janganlah sesekali menghina orang lain / kita hendaklah tabah menghadapi cabaran hidup / Kita perlu bersabar dalam sesuatu tindakan.

Latar tempat:  kelas 4 Sains 1; padang; dalam kereta Proton Perdana; kolam mandi-manda

Wednesday, April 27, 2011

ISU NASI LEMAK DI SEKOLAH (OBESITY VS LACK OF VITAMIN IN SCHOOLS)

Dua tiga hari ini cerita nasi lemak di sekolah menjadi tajuk bualan orang ramai. Sebagaimana biasa, persepsi awam terhadap sesuatu isu banyak dipengaruhi tafsiran wartawan dan media yang dipersembahkan dengan elemen pemberitaan berkepentingan dan sensasi. Umum maklum bahawa segala dasar dan urusan yang berkaitan dengan sekolah terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pelajaran.

Apabila sesuatu perkara bersangkut paut dengan kepentingan awam yang meluas, kebiasaannya keputusan kabinet atau jemaah menteri menjadi kata putus. Sehingga itu, semua pihak secara prinsipnya perlu mengunci mulut daripada mengeluarkan penyataan awam yang bersifat dasar. Barangkali pengecualian boleh diberi terhadap pandangan tokoh akademik dan tinjauan awam.

Organ penting Kementerian Pelajaran, iaitu Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (Educational Planning and Research Division, EPRD) boleh melakukan sintesis dapatan penyelidikan tentang punca kegemukan murid sekolah dari seluruh dunia. Kementerian Kesihatan juga boleh menggembleng sumber kepakaran perubatan bagi memastikan hubung kait (korelasi) antara pengambilan nasi lemak dengan masalah kegemukan murid adalah signifikan. Setelah itu, langkah jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang boleh dirangkakan sebelum satu kajian longitud yang mungkin memakan masa minimum 3 tahun dimuktamadkan.

Asas penyelidikan kedua-dua kementerian, di samping dapatan para sarjana IPTA boleh dikemukakan sebagai kertas kabinet untuk kelulusan dasar. Sesetengah pihak mungkin berasakan bahawa kaedah ini terlalu lambat hingga boleh menyebabkan nasi menjadi bubur. Maksim bahawa melepaskan orang yang bersalah lebih baik daripada menghukum orang yang tidak bersalah patut diberi pertimbangan utama.

Langkah pilihan yang boleh dilakukan serta-merta ialah kempen pemakanan sihat di sekolah dan dalam kalangan masyarakat. Tindakan drastik menyekat penjualan nasi lemak barangkali seumpama merenggut ikatan yang telah tersimpul kemas. Jika pakar kulinari diajak berbincang, mereka mungkin menyarankan menu nasi lemak yang rendah kalori dan rendah lemak.

Santan kelapa mungkin boleh diganti dengan susu sejat, manakala aroma nasi lemak masih boleh dikekalkan walaupun kandungan ikan bilis, kacang dan telur dihidangkan dalam kuantiti yang wajar sahaja. Obses masyarakat Nusantara terhadap nasi lemak sukar untuk diubah sekelip mata. Di Indonesia, warung nasi uduk (nasi lemak versi seberang) juga terdapat di merata-rata.

Akhir sekali, garis panduan penjualan makanan oleh pengusaha kantin sekolah patut dipatuhi sepenuhnya, terutama dari segi kebersihan penyediaan sajian. Di samping itu, perihal murid yang menderita kekurangan zat makanan perlu mendapat perhatian yang sama rata. Rasa-rasanya bukan sahaja murid sekolah, bahkan mahasiswa IPTA juga banyak yang berlapar dan terpaksa mengikat perut kerana duit belanja yang ciput... 

SAJAK "DI BAWAH LANGIT YANG SAMA" (EQUITY AND FAIRNESS IN THE GLOBAL SETTING)

Pengenalan

Naskhah Dr. Lim Swee Tin, pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) pada halaman 27-28 antologi Dirgahayu Bahasaku ini bertemakan kesaksamaan hak dan status manusia sejagat. Manusia tetap sama dan tidak seyogia dibezakan hanya kerana faktor geografi dan taraf ekonomi sesebuah negara. Hakikatnya sempadan negara dan keperluan dokumen perjalanan antara negara hanyalah keperluan rasmi seketika, justeru seluruh warga dunia bernaung di bawah langit yang sama!

Perbincangan rangkap demi rangkap

          Di bawah langit yang sama
          Kita hirupi udara
          Tanpa mengira Beirutmu
          Ataupun Kuala Lumpurku
          Di bawah langit yang sama.

Di bawah langit yang sama, tanpa mengira lokasi (kamu di Beirut, Lubnan atau aku di Kuala Lumpur), kita masih menghirup udara yang sama.

          Aku suka gerimis di Kota London
          Pernah terpesona angin dingin-tajam di Washington
          Pohon-pohon hijau atau aneka warna
                     tiada bezanya.

Penyajak menyukai persekitaran kota London dan Washington walaupun dalam keadaan cuaca ekstrem. Namun, tiada sebarang perbezaan dari segi kehijauan pokok dan warna alam yang lain.

          Siapa pun menghuni Australia penghuni Afrika
          Kerana di bawah langit ini
          Kita sama.

Sama ada seseorang itu penduduk Australia (negara maju masyarakat kulit putih), mahupun penduduk benua Afrika (sebahagiannya masih mundur), semuanya bernaung di bawah langit yang sama.

         Aku ingin menyeberangi Laut China Selatan
         Layari Lautan Teduh rentasi Laluan Sutera
         Berkongsi siang miliki malam
         Anyam cinta pelangikan zaman
         Tiupkan harapan senada
         Sesama kita - warga dunia
         Di bawah langitnya
         Yang sama.

Penyajak menyatakan keinginan untuk mengembara menyeberangi Laut China Selatan (ke luar negara), atau melewati Laluan Sutera (antara wilayah Asia Tengah, Russia dan China) untuk merasai suasana siang dan malam yang mungkin berbeza.

         Peta-peta itu yang memisahkan
         Jangan tutup pos sempadan
         Visa hanya keperluan rasmi seketika
         Pasport dokumen pengenalan titik mula
         Kita dakapi mimpi tak berbeza
                    gapai hasrat
         Lebur kebencian kuburkan sejarah hitam
         Di bawah langit ini yang
         Sama.

Tuesday, April 26, 2011

MEREALISASIKAN SASARAN AKADEMIK DATUK RAUHI (HIGH TIME FOR PERAK EDUCATION)

Pertama sekali sekalung tahniah buat Pengarah JPN Perak yang baharu dianugerahi gelaran datuk oleh Paduka Seri Sultan Perak. Sebagai pegawai pendidikan yang memiliki pengalaman cukup luas di sekolah harian, sekolah bantuan modal dan sekolah berasrama penuh, Datuk Rauhi sememangnya kaya dengan idea-idea luar kotak pemikiran biasa. Dalam tempoh yang singkat, Datuk Rauhi telah berjaya membawa Perak keluar daripada kedudukan yang tidak sepadan dalam peperiksaan awam UPSR, PMR dan SPM, manakala STPM melonjak ke tempat pertama dari segi peratus kelulusan kebangsaan.

Datuk Rauhi sedia maklum akan realiti demografi murid di Perak yang unik. Pencapaian daerah Manjung, seperti Pantai Remis, petempatan nelayan di Bagan Datoh, kampung-kampung baru di Kopisan dan Lawan Kuda, ladang-ladang getah, Felda dan sekolah vernakular tentulah tidak sama dengan pencapaian budak bandar yang dekat dengan pemerhatian pihak berkuasa pendidikan. Banyak pendekatan yang perlu difikirkan bagi membantu murid bukan penutur jati bahasa Melayu supaya berasa lebih mudah, seronok dan teruja untuk belajar menerusi perantaraan bahasa kebangsaan.

Datuk Rauhi percaya bahawa jika sesuatu kerja dilakukan secara biasa-biasa, maka hasil dan keputusannya juga akan biasa-biasa. Justeru bagi memastikan berlakunya perubahan ke arah kegemilangan, mesti ada usaha luar biasa (x-factor). Slogan "Perak Sentiasa Di Puncak Kegemilangan" dilancarkan bagi menuju visi JPN Perak, iaitu melonjak kecemerlangan dalam pencapaian akademik, kokurikulum dan imej perkhidmatan.

Proses memindahkan slogan dan visi dalam bentuk tindakan lapangan, khususnya dalam konteks pembelajaran di bilik darjah tentulah tidak semudah melontarkan idea yang berbaris panjang (queing ideas). Bilik darjah ialah medan tempur sebenar dengan guru sebagai pemerintah yang bijaksana mendisiplinkan bala tentera (murid) supaya menang dalam pertarungan. Dalam sejarah pendidikan, kajian tentang pemadanan gaya pengajaran guru dengan gaya pembelajaran murid masih terus diperbaharui.

Tugas mengenal pasti pelaksanaan merealisasikan slogan dan visi JPN seterusnya perlu disambut oleh pejabat pelajaran daerah yang lebih dekat dengan sekolah-sekolah di bawah naungan mereka. PPD Kinta Utara misalnya berani menetapkan slogan "Kinta Utara Sentiasa Unggul", diikuti dengan visi mengekalkan kedudukan teratas dalam pencapaian peperiksaan awam, sukan dan kokurikulum. Dari segi modus operandi, misi PPD Kinta Utara ialah melaksanakan strategi berkesan bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti dalam peperiksaan awam, kokurikulum dan pengurusan.

Pencapaian slogan, visi dan misi JPN, serta PPD sangat bergantung kepada pencapaian setiap sekolah secara agregat. Maka, kepimpinan sekolah bertanggungjawab untuk memanjangkan sasaran akademik JPN dan PPD dalam bentuk unjuran statistik dan pelaksanaan program intervensi. Bola (tugas) terakhir terletak di tangan guru dan murid di dalam sesebuah bilik darjah.

Pembelajaran di bilik darjah pula sepatutnya akur dengan strategi yang diputuskan oleh setiap panitia mata pelajaran. Walaupun demikian, guru-guru masih berpeluang menggunakan segala idea kreatif dan diperbaharui (inovatif) sebagai amalan terbaik di bilik darjah. Kesediaan dan kesudian murid untuk belajar secara suci hati akan menjadi faktor kritikal ke arah merealisasikan sasaran akademik yang dimulakan oleh pasukan pemikir JPN Perak...

Monday, April 25, 2011

KEMBARA AMIRA BAB 15 (TRIAL BY TRIBE LEADERS)

Pengenalan

Menjengah muka surat 177 - 188, pembaca dihidangkan dengan kisah kunjungan Amira ke perkampungan Itai menantikan keputusan perbicaraan adat tentang tindakannya bersama-sama Itai mengambil seketul emas daripada sungai. Amira lebih rela tidak menyerahkan emas itu kepada Jacinta yang juga hadir di situ, tetapi Jacinta tidak mengetahui apa-apa tentang hadiah yang sepatutnya menjadi miliknya itu. Ludin dan Tau jelas mempertahankan tindakan Itai, yang ditunjuk sebagai bakal pemimpin perkampungan, walaupun terdengar hujah sebaliknya dalam satu majlis persidangan adat.

Analisis Peristiwa Penting

Amira tetap menyimpan rahsia tentang emas yang diambilnya dari sungai bersama-sama Itai walaupun dia ingin sekali berkongsi cerita dengan Jacinta. Amira sanggup melupakan hasrat untuk menjadikan emas itu sebagai hadiah kepada Jacinta, sebaliknya diserahkan kembali kepada majlis adat perkampungan Tau yang dikunjunginya.

Watak:  Amira
Perwatakan:  Amanah
Latar masyarakat:  Masyarakat yang amanah / masyarakat murid sekolah
Nilai:  Kejujuran / amanah
Persoalan:  Kejujuran / amanah dalam persahabatan
Pengajaran:  Kita hendaklah jujur / amanah dalam menyimpan rahsia / persahabatan

Amira dapat menebak sesuatu yang tidak kena apabila Tau hanya menunjukkan reaksi bersahaja apabila cerita makhluk misteri dimaklumkan kepadanya. Naluri Amira mengatakan Tau hanya berlakon dan menyembunyikan sesuatu tentang kemunculannya menyergah mereka (Amira dan Tau) tidak jauh dari kawasan mereka menyaksikan makhluk misteri.

Watak:  Amira
Perwatakan:  Bijak / panjang akal
Latar masyarakat:  Masyarakat yang bijak / panjang akal / remaja perempuan
Nilai:  Kebijaksanaan
Persoalan:  Kebijaksanaan dalam mebaca tingkah laku
Pengajaran;  Kita hendaklah bijak membaca tingkah laku orang lain

Ludin dan Tau bersungguh-sungguh mempertahankan tindakan Amira dan Itai mengambil seketul emas dari sungai berhampiran perkampungan mereka. Mereka yakin bahawa rahsia itu tidak akan pecah memandangkan Jacinta jelas tidak mengetahui perihal emas itu. Tau hingga sanggup memepertahankan Itai dengan darahnya sendiri.

Watak:  Ludin / Tau
Perwatakan:  tegas / berani
Latar masyarakat:  masyarakat yang tegas / berani / masyarakat orang Asli / masyarakat pemimpin adat
Nilai:  ketegasan / keberanian
Persoalan:   ketegasan / keberanian dalam berhujah / menegakkan pendirian
Pengajaran:  kita hendaklah tegas / berani dalam berhujah / menegakkan pendirian

Itai menjelaskan proses membuat keputusan dalam persidangan adat yang membicarakan dirinya. Itai akan akur dengan keputusan sidang adat itu.

Watak:  Itai
Perwatakan:  patuh / taat
Latar masyarakat:  masyarakat remaja orang Asli / masyarakat calon pemimpin / masyarakat yang patuh / taat
Nilai:  kepatuhan / ketaatan
Persoalan:  kepatuhan / ketaatan terhadap keputusan organisasi / kumpulan
Pengajaran:  kita hendaklah patuh / taat kepada keputusan organisasi / kumpulan

Sunday, April 24, 2011

MEMBUDAYAKAN UCAPAN SALAM DI SEKOLAH (VERBAL GREETINGS IN SCHOOL)

Iklim sekolah yang sihat tergambar menerusi jalinan kemesraan antara setiap orang warganya. Kemesraan yang dimaksudkan tentulah dalam lingkungan adab dan proses sosial yang normal. Komunikasi yang mesra misalannya dimulai dengan ucapan salam.

Secara formal, ucapan salam diwajibkan apabila guru memasuki bilik darjah. Murid berdiri dan menuruti ketua kelas mengucapkan salam, lalu disambut oleh guru. Terdapat juga amalan sebaliknya, iaitu guru yang masuk memberi salam terlebih dahulu, baharulah murid menjawab salam itu secara beramai-ramai.

Setiap satu pilihan amalan memiliki justifikasi yang tersendiri. Murid memberi salam terlebih dahulu atas dasar menghormati ilmu yang datang bersama-sama guru yang masuk kelas. Guru memberi salam dahulu pula atas alasan orang yang datang ke sesuatu ruang atau tempat mesti menghormati tuan rumah.

Mana-mana satu pilihan yang dibuat tidaklah menjadi hal, asalkan ucapan salam itu berlaku setiap kali guru masuk kelas. Generasi muda, iaitu murid telah dibiasakan menghormati generasi yang lebih berusia dan berpengalaman, iaitu guru mereka. Guru juga menghormati dan mengasihi murid sejajar dengan bayangan masa lalu mereka sendiri.

Peralihan zaman mengakibatkan persekitaran pembelajaran juga mengalami perubahan. Jika pada zaman dahulu, murid akan cuba mengelak daripada berselisih dengan guru, hari ini guru pula yang terpaksa memberi laluan kepada murid. Di luar bilik darjah, sesetengah murid menganggap bahawa mereka tidak lagi berurusan dengan guru.

Bagi mengembalikan iklim sekolah yang mesra dan sihat, budaya memberi salam perlu disemarakkan semula. Setiap kali berselisih dengan guru, murid digalakkan memberi salam terlebih dahulu. Bagi masyarakat Islam, perbuatan memberi salam berstatus sunat, tetapi menjawab salam berstatus wajib.

Ucapan "assalamu alaikum" bersifat eksklusif untuk orang-orang Islam. "Salam" dalam ucapan berkenaan ialah satu ikrar doa yang khusus untuk kesejahteraan orang-orang yang beriman. Malah, istilah salam itu sendiri ialah kata dasar bagi Islam yang membawa erti keselamatan dan kesejahteraan dunia dan akhirat.

Kepala surat (letterhead) Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam kepada pembesar-pembesar bukan Islam dimulai dengan ungkapan Aslim Taslam, bermaksud Islamlah supaya kamu sejahtera. Jika orang bukan Islam mengungkapkan "assalamu alaikum", jawapan salam itu dibalas dengan "alaikum" sahaja yang bermaksud "atas kamu juga". Hal itu tidak ada kena-mengena dengan diskriminasi, melainkan ucapan salam berkenaan berkaitan langsung dengan pegangan aqidah (kepercayaan agama tawhid).

Di negara Barat, sapaan hi (disebut hai), good morning (selamat pagi), good afternoon (selamat tengah hari) menjadi kebiasaan ucapan salam. Mereka berjaya "mengeksport" kebiasaan itu di seluruh dunia ketika era penjajahan dan kekal hingga kini. Di Malaysia, terdapat juga ungkapan "selamat sejahtera" kerana dirasakan lebih bersifat sentuhan peribadi berbanding dengan "selamat pagi" yang merujuk kepada waktu, bukan orangnya.

Persefahaman masyarakat berbilang-bilang kaum dan kepercayaan sudah dipupuk sejak sekian lama di Malaysia. Proses integrasi dan sosialisasi berlaku dalam dunia pendidikan walaupun masih wujud sekolah-sekolah bersifat vernakular dan khusus. Paling tidak kurikulum kebangsaan dan keperluan persijilan telah memberi pendedahan asas tentang keperluan komunikasi dalam persekitaran yang pelbagai.

Di samping ucapan salam antara murid dengan guru, budaya memberi salam juga harus berlaku antara murid dengan murid sendiri. Di atas kertas, idea itu mungkin mudah, tetapi cabaran terhadap proses pelaksanaannya tetap berliku-liku. Hanya pendekatan dan strategi yang tepat dapat menjamin kejayaaannya...

Saturday, April 23, 2011

SAJAK "PASAR PERASAAN" KOMSAS TINGKATAN 5 (EMPTY SPEECH AND LIP SERVICE)

Pengenalan

T. Alias Taib ialah pemuisi ternama tanah air yang bijak bermain dengan pemilihan kata (diksi), perlambangan (metafora) dan unsur perorangan (personafikasi). Sajak "Pasar Perasaan" yang tersiar pertama kalinya dalam akhbar Mingguan Malaysia pada tanggal 20 Mei 2001 dipilih sebagai puisi moden keempat dalam antologi Dirgahayu Bahasaku, iaitu pada halaman 25 - 26. Sajak tujuh rangkap itu bertemakan sikap masyarakat yang cenderung bercakap mengikut perasaan tanpa menggunakan akal fikiran.

Perbincangan

         ini pasar perasaan
         pada gerainya duduk penjual sentimental
         yang sering dikunjungi pembeli emosional.

"Pasar perasaan" dimaksudkan sebagai tempat berkumpulnya orang-orang yang suka bercakap menurut kata hati dan disambut pula oleh orang-orang yang mudah dipengaruhi. Sentimen ialah perasaan yang kekal (seperti sentimen perkauman, sentimen kenegerian, sentimen kumpulan, dan apa-apa sahaja perkara yang menjurus kepada perasaan taksub, ekstrem). Emosi ialah perasaan yang mendatang, bersifat sementara dan mudah dipancing (geram, kesal, marah).

         ini pasar perasaan
         mereka memperdagangkan kata-kata
         yang terbit daripada kalbu
         bukan terbit daripada akal.

Di tempat perhimpunan atau tumpuan ramai, orang-orang yang suka bercakap akan berusaha mempengaruhi khalayak (audien) dengan kepetahan mereka yang mempersonakan. Namun, cakap-cakap mereka hanyalah berdasarkan kata hati, dan bukannya berdasarkan akal atau fikiran yang dipandu oleh ilmu pengetahuan. Ringkasnya, cakap-cakap mereka bertaraf jalanan sahaja.

         mereka memperdagangkan hujah
         yang rapuh dan lapuk
         bagai kayu buruk;
         yang mudah dipatahkan
         bagai ranting kering.

Hujah-hujah mereka begitu rapuh, iaitu tanpa bukti, dalil, data dan nas yang boleh dijadikan sandaran. Hujah mereka tidak memiliki apa-apa nilai, serta mudah ditolak mentah-mentah. Seperti kayu buruk dan ranting kering yang hanya layak dibuat kayu api, hujah-hujah mereka juga tidak lebih daripada halwa telinga (hiburan) semata-mata.
        
         ini pasar perasaan
         di dalamnya mengalir sungai manusia
         yang menghilirkan suara kosong.

Tempat melayan cakap-cakap yang berteraskan hawa nafsu itu memang berupaya menarik kehadiran khalayak yang ramai (sungai manusia), tetapi langsung tiada nilai atau tiada langsung signifikan. Pendek kata, kedua-dua pihak yang bercakap dan orang ramai yang mendengar hujah kosong telah melakukan kerja yang sia-sia.

         ini pasar perasaan
         yang memperdagangkan akal cetek
         dan tawar-menawar yang dangkal.

Hujah-hujah dangkal berpunca daripada akal yang cetek (lemah, kurang ilmu). Orang ramai yang hadir pula lebih bersifat pengkagum yang melulu. Mereka hanya terpegun dengan hujah kosong tanpa usul periksa dan tanpa banyak soal.

         kumasuki pasar ini
         kususuri sungai sibuk ini
         di tengah-tengah penjual dan pembeli
         yang kaya dengan perasaan
         tetapi miskin dengan kebijaksanaan.

Penyajak melewati tempat berhimpunnya orang yang sedang bercakap kosong dan khalayak yang bersesak-sesak mendengarnya. Penyajak mendapati perhimpunan itu lebih ketara dikuasai perasaan. Kelihatannya kebijaksanaan dipinggirkan (tidak dihiraukan).

         ini pasar tidak berakal
         yang diriuhkan kekosongan.

Kesimpulannya, tempat melayan cakap-cakap kosong langsung tidak menghormati kemuliaan akal fikiran manusia. Keriuhan yang berlaku tidak memiliki apa-apa nilai...


Contoh tugasan


i)   Apakah yang diperdagangkan di pasar perasaan?    (2 markah)

ii)   Jelaskan dua kesan yang timbul jika masyarakat melayan hujah yang mengikut perasaan.    (4 markah)

iii)   Nyatakan dua persoalan daripada sajak.    (3 markah)



Analisis tugasan soalan

Soalan i)  Aras petikan: ambilan jawapan daripada petikan, tiada ubah suai, tiada huraian

Soalan ii)  Aras kbkk:  ambilan jawapan luar petikan / idea sendiri, perlu huraian

Soalan iii)   Aras komsas:  pernyataan umum sahaja, tanpa huraian


Cadangan Jawapan

i)   Pasar perasaan memperdagangkan kata-kata, hujah dan akal cetek.

ii)  Jika masyarakat melayan hujah yang mengikut perasaan, mereka hanya membazirkan masa untuk pekerjaan yang sia-sia. Selain itu, kemajuan masyarakat akan terbantut kerana pemikiran mereka dipengaruhi oleh cakap-cakap yang berlandaskan emosi dan sentimen semata-mata.

iii) Persoalan pertama sajak ialah hujah yang berlandaskan perasaan tiada nilainya, dan kedua ialah kebijaksanaan yang tidak dipedulikan.

Friday, April 22, 2011

LAUNGAN AZAN BERSINAMBUNGAN DI SEGENAP PENJURU ALAM (THE CALL FOR SUCCESS)

Perbezaan zon masa yang berpunca daripada bentuk bumi yang bulat (sfera) menjadikan penggiliran siang dan malam antara lokasi geografi tidak seragam. Sebagai contoh, waktu di Jakarta lewat sejam daripada waktu Kuala Lumpur. Maka, waktu seakan-akan diputar ke belakang dari Kuala Lumpur, dan sebaliknya dari Jakarta.

Katakan waktu berlepas dari KLIA ialah pukul 12 tengah hari dan akan tiba di Jakarta pukul 1 tengah hari. Secara kiraan konservatif, tempoh penerbangan hanyalah sejam, tetapi sebenarnya dua jam. Dari Jakarta pula pukul 3 petang, tetapi hanya tiba di KLIA pukul 6 petang. Macam 3 jam, tetapi sebenarnya masih 2 jam!

Bagi umat Islam yang wajib mengerjakan solat fardu lima waktu sehari semalam (Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak), maklumat tentang masuknya waktu solat sangatlah penting macam menjaga nyawa sendiri. Solat pada awal waktu dikategorikan sebagai afdal, iaitu keutamaan. Sikap menunda-nunda solat hingga hampir luput waktu dianggap sebagai cuai, lalai dan merugikan. 

Tanda bermulanya waktu solat fardu ialah laungan azan oleh muazzin, atau lebih dikenali sebagai bilal dalam kalangan masyarakat Melayu, mengambil sempena nama sahabat Rasulullah Salallahu alaihi wasallam, Bilal bin Rabah. Tugas Bilal bin Rabah ialah mengumandangkan azan di menara masjid tanpa pembesar suara. Bilal bin Rabah juga sangat diingati justeru keteguhan imannya ketika diseksa olah kaum musyrikin apabila ditindihkan batu ke atas tubuhnya, namun yang dilafazkan oleh Bilal ialah "Ahad, Ahad, Ahad ..", iaitu Allah Yang Esa.

Laungan atau seruan azan sebenarnya sentiasa bersambung-sambung dari satu lokasi ke satu lokasi akibat perbezaan zon masa. Lafaz azan wajib dilakukan dalam bahasa Arab sahaja, walaupun nada alunannya mungkin berbeza mengikut kebiasaan dan lenggok pertuturan di tempat-tempat yang berbeza. Tidak dibenarkan sebarang pindaan dari segi lafaz atau tertibnya.

Azan dimulai dengan mengagungkan Kebesaran Ilahi, Allahu Akbar Allahu Akbar. Penegasan Allah Maha Besar bererti hanya Allah yang layak dinisbahkan dengan segala sifat kebesaran, sedangkan segala makhluk ciptaan-Nya yang lain kecil-kecil belaka di Sisi Allah. Kesedaran ini menjadi asas aqidah dan tawhid yang menjadi teras kekuatan umat.

Seterusnya, muazzin akan melaungkan syahadah (persaksian) bahawa "aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah", Asyhadu a'l-La ilaha illaLlah (2 kali). Pengisytiharan ini juga menandakan orang yang beriman menafikan "tuhan palsu" yang disembah oleh orang-orang yang sesat, sebaliknya membulatkan pengabdian semata-mata kepada Ilahi. "Tuhan palsu" yang dimaksudkan bukan sahaja berbentuk berhala secara fizikal, bahkan apa-apa jua yang boleh memesongkan perhatian manusia daripada Allah, termasuk segala fahaman yang bercanggah dengan aqidah, harta benda dan wang ringgit yang melalaikan mereka daripada kehidupan yang diredai Allah. 

Persaksian bahawa Muhammad itu pesuuruh Allah, asyhadu anna Muhammadar-rasulullah  (2 kali) bermaksud bahawa orang yang mengaku Islam dan beriman hendaklah memberikan kepatuhan tanpa berbelah bahagi terhadap risalah tawhid yang dibawa oleh baginda Junjungan Nabi Muhammad Rasulullah Salallahu alaihi wasallam. Melalui baginda, umat Islam dibekalkan dengan dua perkara yang menjamin bahawa mereka tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Umat Islam sentiasa meletakkan Nabi Muhammad Rasulullah Salallahu alaihi wasallam sebagai penanda aras keunggulan peribadi, kepimpinan dan segala amalan hidup di dunia.

Setelah itu, muazzin akan mengajak ahli kariah (penduduk sesuatu kawasan kejiranan) bersolat, dengan keutamaan solat secara berjemaah (beramai-ramai) di masjid dan surau yang berdekatan. Lafaz hayya alas-solah (2 kali) menggambarkan kepentingan mengerjakan solat pada awal waktu. Solat secara berjemaah akan mengukuhkan perpaduan umat.

Langkah menuju kejayaan, hayya alal falah menjadi tujuan solat, khasnya yang dilaksanakan secara berjemaah. Orang yang menjaga solat dan yang khusyuk dalam solat termasuk dalam golongan yang diredai Allah (rujuk surah ar-Rahman). Reda Ilahi ialah puncak kejayaan dan kemenangan yang tertinggi.

Pernyataan kemenangan diikat kembali dengan kebesaran Ilahi, Allahu Akbar, Allahu Akbar. Azan diakhiri dengan sekali lagi menegaskan bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, La Ilaha IllaLlah. Sesungguhnya kalimah-kalimah yang dilafazkan dalam azan memiliki maksud seruan kecemerlangan yang didambakan oleh umat...

(sumber: kuliah as-Syeikh Mohd Azmi Abdul Hamid)

Thursday, April 21, 2011

"SELOKA SI LUNCAI" KOMSAS TINGKATAN 5 (A MISCHIEVOUS PRANK AND WIT)

Pengenalan

Hanya 47 patah kata dan 12 baris, tetapi mengandung maksud yang begitu mendalam. Termuat dalam antologi "Dirgahayu Bahasaku" muka surat 13, seloka selenggaraan Md. Ali Bachik itu bertemakan penggunaan akal dalam membuat keputusan dan tindakan. Sebenarnya terdapat banyak versi kisah Luncai yang suka mengenakan orang, termasuk raja, tetapi untuk komsas tingkatan 5 sisi negatif sikap si Luncai yang ditonjolkan buat diambil pengajaran dan ingatan generasi muda Malaysia.

Perbincangan


          Sikap Si Luncai, biarkan, biarkan ...
          Ada rumah tidak dijaga,
          Ada anak tidak dilatih,
          Ada ternakan tidak dibela,
          Ada kebun tidak ditanam,
          Ada cerdik tidak selidik,
          Ada belajar kepalang ajar,
          Ada mengaji tiada mengkaji,
          Ada mata tiada kuasa,
          Ada kuat tiada buat,
          Biarkan, biarkan ...!
          Si Luncai pun terjun dengan labu-labunya.


Secara amnya, Si Luncai memiliki begitu banyak kelebihan dan peluang, tetapi tidak pernah cuba memanfaatkan semuanya. Seawal baris pertama lagi seloka telah menegaskan sikap Si Luncai yang tiada wawasan, tiada kesungguhan dan tiada keinginan memajukan sumber yang dimiliki. Sebaliknya bagi Si Luncai hanyalah "biarkan, biarkan ..", iaitu mensesiakan segala kelebihan dan peluang begitu sahaja.


Terdapat sembilan perkara yang Luncai ada, tetapi semuanya tidak dimanfaatkan, atau tiada tindakan susulan, termasuk:

   1   Rumah tidak dijaga:  kediaman yang tidak terurus sebagaimana layaknya

   2   Anak tidak dilatih:  anak juga terbiar tanpa latihan, maknanya terdedah kepada kejahilan

   3   Ternakan tidak dibela:  binatang ternak dilepaskan tanpa pengawasan dan perancangan

   4   Kebun tidak ditanam:  kebun terbiar tanpa diusahakan

   5   Cerdik tidak selidik:  Kepintaran tidak diserlahkan dalam keperibadian dan tindakan

   6   Belajar kepalang ajar:  Menuntut ilmu secara sambil lewa

   7   Mengaji tiada mengkaji:  Memiliki ilmu, tetapi tidak pernah nampak natijah / impak / implikasi / kesan

   8   Mata tiada kuasa:  Melihat dengan pandangan kosong, tidak nampak peluang yang muncul

   9   Kuat tiada buat:  Tenaga tidak digunakan (dimobilisasi) ke arah kebaikan

Pada baris ke-11, sekali lagi sikap "biarkan, biarkan...!" Si Luncai diulang supaya pembaca yang mungkin sudah berasa geram dan kesal akan kembali ke garisan mula tentang sikap tegar Si Luncai yang perlu mereka jauhi dan buang jauh-jauh daripada menjadi stigma dalam diri masing-masing. Sikap tidak kisah Si Luncai disimpulkan dengan lambang tindakannya terjun dengan labu-labunya. Dalam kata lain, sikap yang demikian bukan sahaja membazirkan kelebihan, peluang dan sumber yang dimiliki, bahkan menjerumuskan seseorang ke dalam kancah kebinasaan dan kemusnahan diri.

Contoh Tugasan

i)    Nyatakan dua contoh sikap Si Luncai.    (2 markah)

ii)   Jelaskan dua akibat sikap ambil mudah dalam kalangan masyarakat?   (4 markah)

iii)  Berikan tiga pengajaran daripada Seloka Si Luncai.   (3 markah)

Analisis Tugasan

Soalan i)  aras petikan: ambilan jawapan daripada petikan seloka, tanpa ubah suai

Soalan ii)  aras kbkk:  ambilan jawapan luar petikan, idea sendiri

Soalan iii)  aras komsas:  pengajaran ditulis bermula dengan "kita hendaklah / kita janganlah ..."

Contoh ayat jawapan

i)  Dua sikap Si Luncai ialah tidak menjaga rumah dan tidak melatih anak.

ii) Sikap ambil mudah dalam kalangan masyarakat mengakibatkan pembaziran sumber yang sepatutnya mendatangkan faedah dan kemajuan. Selain itu, masyarakat akan sentiasa ketinggalan kerana tidak merebut peluang yang terbentang di hadapan mata.

iii)  Pengajaran seloka termasuk kita hendaklah menggunakan segala kelebihan yang dimiliki. Kita juga hendaklah menjaga harta yang ada. Kita janganlah membiarkan segala peluang yang muncul berlalu begitu sahaja.

KEMBARA AMIRA BAB 14 (TENSION IN THE FOREST)

Pengenalan

Muka surat 164 - 176 novel berkisar pada kisah Malique dan Roslan, di samping kemunculan watak Ah Chin yang berang dengan kehilangan pekerjanya, manakala O'Hara masih enggan mendedahkan kunci rahsia tentang hubungannya dengan Malique. Imbas kembali pertemuan Malique dengan Amira yang menyedarkan Malique akan had perkenalan biasa yang dikehendaki Amira. Malique berharap dapat menjadi "pembelot" supaya projek cari gali emas tidak berjaya, sedangkan Roslan berharap sebaliknya supaya dia dapat bekerja lebih lama di situ. Keputusan Malique mengikut Roslan menjejak pekerja hilang itu berakhir dengan kenderaan pacuan empat roda mereka akhirnya tertolak ke dalam gaung ketika Roslan cuba mendapatkan bantuan.

Analisis Peristiwa

1   Malique cuba merujuk Roslan tentang kekecohan apabila Ah Chin marah-marah disebabkan kehilangan pekerja baharu sejak dua hari. Roslan tidak menyenangi kerenah pekerja baharu yang menyebabkan kerja menggerudi ditangguhkan. Roslan berharap dapat terus bekerja di situ.

Watak:  Roslan
Perwatakan:  jujur / rajin
Latar masyarakat:  masyarakat yang jujur / rajin
Nilai:  kejujuran / kerajinan
Persoalan:  kejujuran / keyakinan dalam persahabatan / pekerjaan
Pengajaran:  kita hendaklah jujur / rajin dalam persahabatan / pekerjaan

2  Amira dapat menebak bahawa Malique mengharapkan lebih daripada sebuah persahabatan. Cara Malique bercakap, memuji dan merenungnya mudah dibaca oleh Amira sebagai tingkah laku tipikal lelaki yang hendak menggoda perempuan cantik sepertinya. Amira cepat-cepat meletakkan garis sempadan bahawa dia sekadar ingin tahu lelaki tua yang bersama-sama Malique di dalam kereta api.

Watak:  Amira
Perwatakan:  bijak / tegas / menjaga maruah
Latar masyarakat:  masyarakat yang bijak / tegas / menjaga maruah
Nilai:  kebijaksanaan /  ketegasan / jati diri
Persoalan:  kebijaksanaan /  ketegasan / jati diri seorang remaja perempuan
Pengajaran:  kita hendaklah bijak / tegas / menjaga maruah dalam pergaulan

3   Semasa menuju khemah O'Hara, Malique sempat mengimbas kembali kata-kata Amira tentang misteri ibu Malique yang begitu mesra melayan O'Hara, kemudian mendesak Malique mengikut O'Hara ke hutan. O'Hara meminta Malique tidak ikut campur akan kekecohan yang berlaku, sambil cuba mengalihkan perhatian dengan memuji kerja kemas kini data ke dalam komputer. Malique terus mendesak penjelasan O'Hara tentang nasib hutan dan hubungan mereka berdua.

Watak:  Malique
Perwatakan:  berterus terang / suka mendesak
Latar masyarakat:  masyarakat yang berterus terang / suka mendesak
Nilai:  Terus terang / kejujuran
Persoalan:  Terus terang / kejujuran dalam komunikasi
Pengajaran:  Kita hendaklah berterus terang / jujur dalam komunikasi

4  Malique terus melompat ke dalam kenderaan pacuan empat roda Roslan walaupun tidak memaklumkannya kepada Ah Chin atau O'Hara. Dalam perbualan mereka, nyata impian Malique untuk menyelamatkan hutan bertentangan dengan impian Roslan yang berharap projek cari gali emas menjadi kenyataan. Hujan lebat menyebabkan kenderaan mereka tersangkut. Ketika Roslan keluar mendapatkan bantuan, Malique yang tinggal di dalam kereta dirempuh aliran lumpur hingga masuk gaung.

Watak:  Malique
Perwatakan:  berani / tegas
Latar masyarakat:  masyarakat yang berani / tegas
Nilai:  keberanian / ketegasan
Persoalan:   keberanian / ketegasan dalam membuat keputusan
Pengajaran:  kita hendaklah berani / tegas dalam membuat keputusan

Wednesday, April 20, 2011

PENGAJARAN SEBAYA DALAM BAHASA (COLLABORATIVE STRATEGIES FOR LEARNING PROCESS)

Pembelajaran sesuatu bahasa bagi bukan penutur jati pada hakikatnya ialah suatu proses yang penuh dengan cabaran. Walaupun peranti kebahasaan (language device) dalam sistem otak manusia begitu ajaib, sokongan kaedah pembelajaran yang paling cekap masih menjadi faktor kritikal supaya bahasa bukan ibunda dapat dikuasai. Dasar memartabatkan bahasa Melayu, memperkasakan bahasa Inggeris (MBMMBI) bermakna murid perlu mencapai tahap tertentu bagi kedua-dua bahasa sepertimana yang disarankan dalam semakan kurikulum dari masa ke masa.

Bagi kanak-kanak bukan penutur jati bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, mereka juga harus mempelajari bahasa ibunda, atau dialek suku kaum berdasarkan zon geografi. Isu pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan murid bukan penutur jati, terutama di kawasan pinggir bandar dan pedalaman, khususnya di peringkat menengah atas diberikan perhatian besar. Calon SPM perlu mencatat gred minimum E sebagai syarat penganugerahan sijil.

Beberapa tahun dahulu, dasar PPSMI pernah mendapat bantahan meluas pejuang bahasa hinggalah membawa kepada pemansuhannya. Namun, pengumuman kerajaan untuk mengkaji permintaan segelintir ibu bapa yang bermentaliti Barat sekali lagi mencemaskan mereka. Adakah bahasa Melayu akan hanya layak digunakan dalam arena sastera, dan bukannya untuk wacana ilmu tinggi? 

Nisbah 50:50 penutur jati dengan bukan penutur jati di negeri Perak misalannya menjadi alasan yang paling berkemungkinan bagi menjustifikasi pencapaian keputusan SPM kelompok bawah. Walaupun darurat telah diisytiharkan oleh jabatan pelajaran negeri (JPN), Perak masih belum mampu menembusi carta 10 terbaik kebangsaan. Namun, setidak-tidaknya Perak mencatat peningkatan memberangsangkan dengan tidak lagi menghuni kedudukan yang dirasakan tidak sepadan.

Aliran dominan bahawa teras bahasa ialah idea, bukan hukum tatabahasa. Maka, negeri Perak menerusi kepakaran guru cemerlang bahasa boleh mereka bentuk intervensi yang menjurus kepada pengajaran sebaya. Konsep pengajaran sebaya bukanlah suatu idea terkini, sebaliknya telah sekian lama menjadi pilihan pedagogi terbaik. 

Pengajaran sebaya bukanlah projek ad-hoc dan spontan, sebaliknya perlukan perancangan yang bersesuaian.  Falsafah tukang kayu mengatakan ukur dua kali, potong sekali sahaja (measure twice cut once). Lanjutannya berbunyi: potong kali pertama ialah paling dalam (the first cut is the deepest).

Pembimbing rakan sebaya (PRS) yang dikenal pasti hendaklah dilatih menggunakan modul pengajaran sebaya. Kebebasan dari segi penyampaian termasuk penggunaan slanga remaja diberikan asal sahaja tidak tersasar daripada objektif yang digariskan terlebih dahulu. Keutamaan hendaklah ditujukan kepada kelompok berpencapaian rendah (harapan lulus, halus), dan kumpulan risiko.

Strategi "yakin lulus" ke arah gagal sifar hendaklah diberi penekanan. Program pengajaran sebaya tidaklah sampai membebankan pelajar pintar, dan bukan dijadualkan secara tetap. Sebaik-baiknya program pengajaran sebaya menganjak paradigma aktiviti pembelajaran yang melesukan kepada amalan pembelajaran yang mengujakan dan santai...

Tuesday, April 19, 2011

“HIKAYAT SIAK” KOMSAS TINGKATAN 5 (THE LEGITIMATE OWNER OF THE CROWN)


Pengenalan

Tuan Bujang ialah waris Marhum Mangkat Dijulang, yang pernah menguasai tampuk kesultanan Johor. Bagi mendapatkan semula haknya dan menuntut bela, baginda harus menempuh pelbagai cabaran dan ujian. Di Pagaruyung, baginda disahkan sebagai pewaris mahkota kerajaan Minangkabau, bergelar Yang Dipertuan Raja Kecik. Kemudian, baginda berangkat ke Mengkalis, bagi mengumpulkan anak-anak Minangkabau dengan niat mahu menyerang Johor. Baginda berpakat dengan Daeng Parani, seorang raja Bugis. Setiba di Kuala Johor, baginda berjaya menawarkan air masin sebagaimana yang diminta oleh orang Johor.  Setelah itu, baginda masuk ke Johor, lalu disambut dengan bedilan meriam yang tidak berbunyi, sebaliknya hanya keluar air. Baginda seterusnya mara ke istana tanpa tentangan kerana raja Johor (asalnya bendahara) yang telah melarikan diri (ke kampung Bendahara lama).

Dalam peristiwa lain, Yamtuan Muda Johor mengamuk lalu membunuh isteri dan anak-anak sendiri, kecuali seorang anak perempuan. Dia akhirnya dihukum bunuh. Sementara itu, Yang Dipertuan Besar Johor yang bertanggungjawab membunuh Marhum Mangkat Dijulang telah diampunkan. Tuan Bujang, tidak sempat bertemu dengan bondanya,  Encik Apung yang telah meninggal dunia, lalu dimakamkan dengan penuh adat kebesaran diraja.

Mulanya baginda hendak berkahwin dengan Tengku Tengah, yang telah ditunanginya. Namun, kerana Tengku Tengah tidak masuk menyembah pada hari raya, baginda tertarik hati pula kepada Tengku Kamariah, adik bongsu Tengku Tengah. Kesudahannya, baginda ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Besar Johor, bergelar Sultan Abdul Jalil Shah, dan bernikah dengan Tengku Kamariah.

Contoh Tugasan

Baca petikan di bawah dengan teliti dan jawab soalan-soalan berikutnya.

       Maka, tiada berapa lamanya, Tuan Bujang pun dinobatkan Yamtuan Sakti, sama-sama dengan anaknya sendiri. Dan titah Yamtuan Sakti, ”Aku ini hendak menguji pusaka Minangkabau, betulkah anak saudara punya pusaka itu, tiada, baiklah aku nobat akan keduanya sekali.”

       Maka dipalu tabuh larangan, menyahut tabuh yang banyak. Maka berkampunglah orang dalam negeri, Menteri Yang Berempat, mengadap nobat. Setelah itu, dipukul akan gendang kulit tuma. Tuan Bujang memakai alat kerajaan oleh Puteri Jilan. Setelah sudah, maka Tuan Bujang bersandarlah kepada tiang teras kayu jelatang. Dan mahkota kerajaan pun diletakkan oleh Yamtuan Sakti di kepala Tuan Bujang. Maka Puteri Jilan pun berdiri, sambil beryang-yang, ”Jikalau engkau asal putera saudaraku di Johor, salasilah daripada Sultan Iskandar Zulkarnain, nenek, nasab Nusirwan Adil, pancar Nabi Allah Sulaiman alaihissalam,  tiadalah dapat suatu apa-apa. Dan pusaka Minangkabau Si Bujanglah yang lebih.” Dan adalah muka Tuan Bujang, seperti bunga raya kembang pagi, tiada dapat dipandang, bercahaya-cahaya. Dan empat anak menteri memegang tombak tetaran sakar jantan, kiri dan kanan.

Maka segala pegawai, Menteri Yang Berempat, Bendara yang di Sungai Tarab, Makhdum di Sumanik, Enduma di Suroso, semuanya sujud menyembah, mengatakan, ”Daulat Tuanku Yang Maha Mulia, kekallah dan kararlah di dalam Tanah Melayu, menjadi raja besar!” Dan lalu diberi gelaran Yang Dipertuan Raja Kecik. Dan anakanda baginda naik, mahkota kerajaan tiada tahan, tersenget kepalanya. Maka dengan segera diambil oleh Yamtuan Sakti mahkota itu, sambil baginda berkata, ”Kalah oleh orang lahut, dan engkaulah aku namakan Raja Beralah.” Setelah sudah, berjamu segala orang besar, masing-masing bermohon pulang.

(Antologi Dirgahayu Bahasaku, muka surat 49-50)

i)   Berikan maksud berkampunglah orang.       (2 markah)

ii)  Apakah yang berlaku kepada Tuan Bujang setelah Yang Dipertuan Sakti meletakkan mahkota kerajaan
     di atas kepala baginda?               (3 markah)

iii)  Jika anda ialah Tuan Bujang, jelaskan dua reaksi anda setelah mengetahui bahawa anda ialah pewaris
       sah mahkota kerajaan?              (4 markah)

Analisis tugasan

Soalan i: soalan rangkai kata, berikan maksud sahaja mengikut konteks petikan.

Soalan ii:  soalan petikan: ambilan jawapan daripada petikan

Soalan iii:  soalan iii:  soalan kbkk, ambilan jawapan luar petikan

Cadangan jawapan

i)   Maksudnya ialah berkumpul sekalian rakyat / berhimpunlah penduduk

ii)  Setelah mahkota kerajaan diletakkan di kepala Tuan Bujang, muka Tuan Bujang seperti bunga raya
     kembang pagi, tiada dapat dipandang, serta bercahaya-cahaya.  

iii)  Apabila saya mengetaui bahawa diri saya ialah pewaris sah mahkota kerajaan, dengan serta-merta
      saya melafazkan rasa syukur ke Hadrat Ilahi kerana telah menunjukkan kebenaran. Selain itu, saya
      juga mengucapkan terima kasih kepada Yamtuan Sakti kerana kesediaan baginda menjalankan ujian.

Monday, April 18, 2011

ANGKASAWAN NEGARA DI RPS (MALAYSIAN FIRST ASTRONOUT IN IPOH)

Ipoh, Isnin: 18.4.11 / 14 Jamadil Awwal 1432
Dr. Shiekh Muzaffar dikelilingi remaja perempuan

Manusia memang diciptakan Ilahi untuk tinggal di bumi. Demikian kesimpulan pengalaman Dr. Shiekh Muzaffar, angkasawan pertama negara yang baharu sahaja menamatkan zaman bujang beliau pada tanggal 10.10.10 sempena ulang tahun berpeluang memasuki ruang angkasa lepas. Ketiadaan graviti menyebabkan tubuh beliau terasa seolah-olah dihempap anak gajah dan mengalami kesukaran bernafas.

Angkasawan terdedah kepada osteoporosis, malah tubuh manusia juga lebih anjal sehingga lebih lonjong (panjang) dan lebih lebar. Orang pendek lebih sesuai dicalonkan sebagai angkasawan. Tahap kesuburan reproduksi juga kemungkinan besar menurun.

Dr. Shiekh memasang impian menakluki ruang angkasa lepas sejak berusia sepuluh tahun. Dengan kekuatan fizikal dan mental yang tinggai, beliau terpilih antara ribuan calon yang disenaraipendekkan dalam siri saringan yang begitu ketat. Dr. Shiekh ialah lulusan Sarjana Perubatan Ortopedik yang diperoleh dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang melayakkan beliau bergelar sebagai pakar tulang, tetapi kini dipinjamkan sebagai pensyarah Institut Angkasa Lepas, UKM.

Dr. Shiekh Muzaffar mendapat ijazah asas perubatan (MBBS) dari sebuah universiti terkemuka di India. Beliau juga ialah anggota Ansara (bekas penuntut Maktab rendah Sains Mara, MRSM). Isteri beliau, Dr. Harlina ialah bekas penuntut beliau di fakulti perubatan UKM.

Kehadiran jejaka idaman Malaya itu menyebabkan warga RPS terkesima, terutama pelajar remaja perempuan yang berharap bahawa akan lebih banyak lelaki budiman seperti Dr. Shiekh Muzaffar. Pengalaman memberi ceramah, kuliah dan syarahan di serata dunia dibuktikan dengan cara beliau melayan khalayak.

Beliau maklum akan taktik penganjur yang menyediakan skrip soalan untuk dibacakan oleh individu-individu yang telah ditugaskan. Maka, beliau bergerak ke tengah-tengah khalayak dan turut membuka sesi soal jawab kepada khalayak di barisan belakang. Sebagai ikon dan selebriti, Dr. Shiekh Muzaffar bersedia melayan kerenah peminat yang ingin bergambar dengan beliau...

Sunday, April 17, 2011

PENDIDIKAN USAH TERLALU VOKASIONAL (THE SOCIAL EFFICIENCY THEORY IN EDUCATION)


PENGENALAN
         
       Perbincangan merujuk artikel bertajuk Social Efficiency Splintered: Multiple Meanings Instead of the Hegemony of One oleh  J. Wesley Null, penolong profesor sekolah pendidikan, Universiti Baylor, Texas, Amerika Syarikat yang diterbitkan dalam Journal of Curriculum and Supervision, Winter 2004, Vol. 19, No. 2, pp 99 – 124.  Artikel berkenaan adalah lanjutan disertasi Ph.D beliau tentang pelopor konsep kecekapan sosial, iaitu William Chandler Bagley (Null, 2004b). Artikel telah berusaha mengetengahkan kembali nama Bagley dan konsep kecekapan sosial beliau.   Terdapat versi lain tentang kecekapan sosial yang berbeza daripada konsep asal Bagley.

Artikel penyelidikan tersebut berupa kajian kes sejarah tentang cara sesuatu istilah dan konsep diberikan makna berbeza mengikut konteks.  Objektif kajian ialah untuk menjelaskan tiga makna berlainan tentang kecekapan sosial, dan mengemukakan kepentingan konsep tersebut dalam konteks pendidikan di Amerika Syarikat.  Sampel kajian ialah dokumen penulisan abad 20.

2       ISU YANG DIBINCANGKAN DALAM ARTIKEL

2.1    Kritik terhadap penggunaan konsep kecekapan sosial oleh sarjana semasa
        Pelopor konsep kecekapan sosial dalam pendidikan, Bagley (1905) tidak pernah mengaitkan kecekapan sosial dengan gerakan untuk memastikan pelajar menerima pendidikan bersesuaian dengan peranan masa depan mereka sebagai pekerja dan isi rumah (Ravitch, 2000); rugged individualism, kawalan sosial dan pengurusan saintifik (Klibard, 1995 dan Krug, 1969). Sebaliknya kecekapan sosial ialah perkembangan perwatakan moral individu pelajar dalam hubungannya dengan masyarakat. Kemahuan, keperluan dan hasrat individu disalurkan demi kebaikan masyarakat. Bagley kemudian mengembangkan kecekapan sosial sebagai perkhidmatan sosial, atau keharmonian sosial.

2.2    Kecekapan sosial versi John Dewey
         Dewey, 1916 cuba memecahkan dualisme individu dan masyarakat dengan saranan agar pendidikan berjuang untuk menjadikan kecekapan sosial dan budaya peribadi sebagai sinonim, bukannya antagonis. Walaupun kecekapan sosial meruntuhkan halangan stratifikasi sosial, ia tidak wajar dijadikan matlamat unggul pendidikan. Ini selari dengan pendapat Irving King, 1913 bahawa individu bukan sekadar berjuang untuk diri sendiri (self-seekers).  Pendidikan ialah kehidupan dan bukan persediaan untuk hidup.

2.3    Kecekapan sosial versi  kawalan sosial
       Atas nama kecekapan vokasional, Snedden (1914) menyarankan supaya kurikulum pendidikan umum (liberal education) yang bertunjangkan konsep dan matlamat kecekapan sosial yang samar digantikan segera dengan bentuk latihan yang mengarah kepada keperluan ekonomi dan saintifik. Namun 17 tahun kemudian Snedden melonggarkan ketaksubannya tentang kecekapan vokasional.  Bobbit pula menganggap konsep kecekapan sosial sebagai samar, mengandungi harapan terlalu tinggi, serta lari daripada dunia pekerjaan dan era sains yang menuntut ketepatan dan kekhususan.

2.4    Kecekapan sosial: antara pendidikan liberal dan latihan vokasional
Jesse B. Sears (1928), profesor di Stanford menerima konsep kecekapan sosial sebagai matlamat pendidikan.  Cubberley menyifatkannya sebagai falsafah pendidikan baharu yang terbaik dan serasi dengan kehidupan moden dan patut menjadi matlamat sekolah.  Latihan vokasional hanyalah berupa bahagian kecil daripada wawasan kecekapan sosial.  Michael John Demiashkevich menyokong bahawa pendidikan liberal berteraskan disiplin kemanusiaan menganjurkan keadilan, keindahan, tolak ansur, kebebasan dan kesamarataan, malah tidak bertentangan dengan latihan vokasional.

3        IMPLIKASI PENYELIDIKAN
3.1     Dinamika perbezaan konseptual    
          Konsep kecekapan sosial telah diberikan maksud yang berbeza-beza mengikut konteks (juga bandingkan dengan pendekatan kecekapan sosial dalam ekonomi kebajikan, Bohm, 1987).  Nasib serupa pernah menimpa konsep essentialism yang juga dipelopori Bagley (Ornstein,1998: 41).  Disebabkan isu pendidikan liberal dan vokasional masih berlarutan hingga kini, maka konsep kecekapan sosial perlu diberi perhatian dan dibahaskan dengan lebih meluas dalam pengajian kurikulum, dan dipertimbangkan dalam proses perancangan kurikulum. 

3.2    Kecekapan sosial sebagai matlamat pendidikan               
         Sebagai jalan tengah, perancangan kurikulum perlu mengambil kira kepentingan individu dan masyarakat sebagai hubungan timbal balik dan saling melengkapi, bersesuaian dengan kepesatan perubahan persekitaran pendidikan yang boleh dikaitkan dengan triplisasi (triple-sation: individualization, localization, globalization) (Cheng, 2004). Obses terhadap konsep modal insan (human capital) yang didominasi oleh perkiraan ekonomi di kalangan negara  sedang membangun (yang melalui fasa take-off) mengakibatkan kurikulum dipacu oleh kehendak pasaran (market driven).  Usaha mengetengahkan konsep kecekapan sosial bakal memberikan imbangan yang bijaksana.

3.3      Fokus berlebihan terhadap latihan vokasional         
          Pengenalan latihan vokasional terlalu mengkhusus di peringkat sekolah mesti dikaji.  Pendekatan modal insan pun memfokuskan supaya institusi pendidikan mengeluarkan individu dengan ciri dan sikap tertentu di dunia pekerjaan, bukan sogokan kemahiran yang begitu cepat usang. Kerajaan harus memperuntukkan sebahagian dana kepada institusi majikan untuk program melatih semula pekerja.  Dalam konteks ini, konsep kecekapan sosial lebih mirip kepada hipotesis tapisan  (atau signal theory).

3.4     Integrasi pendidikan liberal – pendidikan vokasional
          Bloom (1987) pernah menyifatkan pelajar, terutama di institusi pengajian tinggi Amerika sebagai menderitai kedaifan budaya , serta dibelenggu minda tertutup.  Hampir semua universiti (termasuk Harvard, Princeton dan Yale) berorientasikan kurikulum industri, berbanding pendidikan liberal Oxbridge di England.  MIT pula berada pada kedudukan ke-24 jika dikelompokkan sebagai sebuah negara dari segi keluaran negara kasarnya.  Isu siswazah berdaya saing dalam pasaran begitu ketara dititikberatkan dalam perancangan kurikulum sedemikian.  Walaupun menjadi keutamaan, aspek moraliti individu yang menyumbang kepada kebaikan masyarakat  sebagai teras pendidikan liberal mesti terus diperkukuh (Lihat Wu, 2001).   
            
4            KESIMPULAN DAN PENUTUP
          Artikel telah melakukan “promosi” konsep kecekapan sosial menerusi kajian kes sejarah dan telah menelusuri konsep kecekapan sosial ke akar umbinya, membongkar eksploitasi dan justifikasi perbezaan pendapat yang sebenarnya sangat positif untuk bidang perancangan kurikulum yang masih baru, serta mendambakan pakej dan sintesis idea terbaik.  Walaupun kelihatan seperti garisan selari yang tidak betah bertemu, namun dengan pentakrifan dan susun tertib yang baik, segala perbezaan konsep itu akhirnya seyogia digembleng untuk menjana kekuatan baru dalam proses perancangan kurikulum.  Menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berserakan.

Dalam konteks Malaysia, konsep kecekapan sosial adalah serasi dengan falsafah pendidikan kebangsaan yang turut memberi penekanan terhadap keseimbangan individu dan masyarakat.  Maka, di celah-celah keghairahan mengetengahkan pendekatan modal insan dalam dasar dan strategi pendidikan negara, konsep kecekapan sosial patut ditampilkan sebagai pengimbangnya.  Saranan  artikel supaya  perkhidmatan sosial (pendidikan liberal; individu menyumbang untuk kebaikan masyarakat) lebih dominan berbanding dengan kawalan sosial (vocationalism) tepat pada masanya.


BIBLIOGRAFI

    Bagley, William C (1914).  Liberal and Vocational Education.  Dalam Journal of Proceeding and Addresses of the Fifty-Second Annual Meeting.  Ann Arbor: National Education Association of the United States.  Diperoleh daripada http://www.baylor.edu/Wesley_Null/BagleyFundamentalDistincion.pdf
(diakses: 15.9.2004)

    Bloom, Allan (1987).  The Closing of the American Mind.  New York:  Touchstone Simon & Schuster

    Bohm, Peter  (1987).  Social Efficiency – A Concise Introduction to Welfare Economics (2nd Edition).  Surrey, UK:  MacMillan Education

    Cheng Yin Cheong  (2004).  New Principalship for Globalisation, Localisation, Individualisation:  Paradigm Shift.  Dalam Rahimah Haji Ahmad & Tie Fatt Hee (ed.).  Principalship and School Management.  Kuala Lumpur:  Principals’ Institute, University of Malaya

    Null, J. Wesley (2004).  Social Efficiency Splintered: Multiple Meanings Instead of the Hegemony of One.  Dalam Journal of Curriculum and Supervision, Winter 2004, Vol.19, No. 2, pp 99 – 124

    ____________ (2004b).  A Disciplined Progressive Educator: The Life and Career of William Chandler Bagley.  Diperoleh daripada http://www3.baylor.edu/~Wesley_Null/ADisciplinedProgressive.htm
(diakses: 13.9.2004)

    Ornstein, Allan C. & Hunkins, Francis P.  (1998).  Curriculum – Foundations, Principles and Issues.  Boston:  Allyn and Bacon

    Wu, Christopher  (2001).  U.S. Progressive Vocationalism: Reworking the Meaning of School.  Diperoleh daripada http://frode.ruc.dk/paed/summer2001/chriswu.pdf (tarikh akses:  12.9.2004)