Mutakhir ini, kata terbitan 'pencerahan' masih kerap digunakan dalam percakapan, majlis ceramah dan penulis dalam media. Sebagai contoh, peserta seminar bertanya kepada pembentang kertas kerja, "... mohon pencerahan tentang status kerajaan peralihan (caretaker) menjelang pilihan raya". Lazimnya sebelum ini, kata terbitan yang lebih kerap digunakan ialah penerangan, penjelasan atau huraian.
Orang ramai memang mudah tertarik dengan perkataan baharu yang dianggap lebih bertenaga (powerful) dan menusuk kalbu. Sekali mendapat perhatian, perkataan seumpama itu akan serta-merta merebak bagaikan viral dalam dunia komunikasi maya. Setakat ini, orang kuat Dewan Bahasa dan Pustaka diam sahaja dan tidak menyuarakan apa-apa bantahan. Maka, peminat pencerahan berasa bahawa tiada sebarang kejanggalan dan kesilapan yang berlaku tentang penggunaan kata terbitan berkenaan.
Sebenarnya kata terbitan pencerahan bukanlah sesuatu yang baharu. Dalam mata pelajaran sejarah, pencerahan biasa digunakan untuk merujuk kepada benua Eropah yang bebas daripada zaman kegelapan yang dikuasai oleh golongan bangsawan feudal dan gereja. Revolusi industri abad ke-17 dan sekularisasi telah dianggap sebagai titik tolak perubahan masyarakat Eropah hingga ke hari ini yang berpindah daripada ekstrem penindasan kepada ekstrem keangkuhan yang baharu.
Kata dasar bagi pencerahan ialah cerah yang bererti terang (bukan hari, bulan, lampu, langit dan lain-lain), jernih (bukan kaca, dll), tidak hitam, agak putih (bukan kulit), berseri, tidak muram (bukan rupa muka), baik, bahagia, elok (kiasan), dan berakal (kiasan) (Kamus Dewan edisi IV, 2005: 268-269). Pencerahan pula bermaksud perihal (perbuatan) mencerahkan sesuatu atau menjadikan cerah. Tidak ada penggantian untuk perkataan penjelasan dan huraian, melainkan penerangan yang merupakan kata terbitan kepada terang.
Walaupun perkataan pencerahan semakin popular dalam perbincangan dan penulisan rasmi, tetapi setakat ini masih belum menembusi bidang pentaksiran pendidikan. Belum ada ayat tugasan soalan yang menggunakan pencerahan sebagai setara dengan huraian, penerangan dan penjelasan. Namun, andai kata pengaruh aliran sosiolinguistik bertambah kuat, maka perkara sedemikian bukan mustahil untuk berlaku.
Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu tidak pernah menutup pintu kepada langkah pembaharuan dan perubahan bagi memantapkan kedudukannya. Proses itu bagaimanapun perlu melepasi perkenan dan tapisan yang ketat oleh pihak wewenang bahasa Melayu yang sah. Maka, masukan dalam kamus akan tetap memberi ruang terhadap tambahan maksud yang baharu dengan label penggunaan seperti bahasa percakapan (bp), bahasa basahan atau slanga.
Selagi kawalan bahasa tidak begitu tegas, pelbagai pihak akan lebih berani melakukan pencemaran dan pelanggaran hukum bahasa yang telah mantap. Judul majalah seperti Solusi yang diubah suai daripada solution walaupun bermaksud baik dan murni untuk mendidik masyarakat, tetapi jelas tidak menghormati peraturan tatabahasa pegangan. Pihak Telaga Biru patut diberi teguran dan diminta memberi tunjuk sebab terhadap penggunaan perkataan solusi kerana majalah berkenaan diedar dengan meluas ke seluruh negara.
Belakangan ini kata ganda 'agak-agak' juga semakin galak digunakan oleh para remaja, wartawan hiburan dan tidak ketinggalan pengendali weblog yang berpengaruh. Maksud yang setara dengan 'agak-agak' termasuk barangkali, mungkin, rasanya, rasa-rasanya, ragu-ragu, sangsi, mempunyai tujuan (niat), bermaksud, berniat, awas-awas dan hati-hati (Kamus Dewan edisi IV, 2005: 13). Namun, 'agak-agak' versi baharu yang cuba dipopularkan itu membawa erti tidak sembarangan atau hentam kromo ketika bercakap, berhujah atau mengeluarkan pendapat.
Jika dibandingkan dengan 'pencerahan', 'agak-agak' lebih hampir kepada maksud hati-hati seperti yang tercatat dalam kamus. Meskipun begitu, dalam laras ayat rasmi, penggunaan kata ganda 'agak-agak' akan terbatas kepada kamus pegangan, iaitu Kamus Dewan dan naskhah tatabahasa pegangan, iaitu Tatabahasa Dewan. Nampak gayanya, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka perlu menyediakan pasukan pemantau khusus untuk menangani gejala pencemaran bahasa oleh para amatur bahasa.
Variasi bahasa akibat kepelbagaian sebutan dan lagu bahasa tidak boleh dijadikan alasan konkrit untuk melemahkan peranan bahasa baku dalam urusan rasmi dan persuratan. Tiada kongkongan atau sekatan yang keterlaluan dikenakan terhadap proses komunikasi harian dan tidak rasmi. Namun, harus diingat bahasa melambangkan bangsa, bahasa menunjukkan bangsa dan bahasa jiwa bangsa...