SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, December 12, 2009

AZFA HANANI VERSI CINDERELLA? (THE TEST OF COINCIDENCE FATE)


Halis Azhan Mohd Hanafiah, 40, bijak sekali memanfaatkan unsur kebetulan dalam novel Azfa Hanani. Jika kita lebih teliti, judul novel itu sendiri ialah ambilan ejaan nama beliau. Begitulah tanggapan pertama penulis blog (PB) setelah selesai membaca teks komsas tingkatan empat (negeri Perak) 2010 itu dalam tempoh kira-kira empat jam.


2              Karya terbitan 1994 ketika pengarangnya berusia 24 tahun itu bagaikan ada persamaan dengan novel Julia karya Abu Hasan Morad. Kedua-dua novel bercitra feminin, tetapi berupa nukilan pengarang maskulin. PB juga berasa seakan-akan menonton filem Bollywood, atau setidak-tidaknya sinetron dari seberang dan jalan cerita ala James Bond.

3              Azfa Hanani membawa imaginasi murid tingkatan empat ke alam khayalan sepertimana naskhah Cinderella yang klasik itu. Permulaan cerita, perkembangan, konflik, klimaks dan peleraiannya masih tidak lari daripada pendekatan filem P. Ramlee: Antara Dua Darjat dan filem animasi Shrek yang bersifat soap opera.  Khalayak pembaca meneka-neka dari mula bahawa watak yang diangkat sebagai teraniaya dapat menempuh segala cabaran hingga akhirnya memenuhi harapan pembaca untuk menyapu si air mata kegembiraan. Watak hitam yang begitu dibenci seperti biasa menerima hukuman tragis.

4              Kelebihan Azfa Hanani ialah watak utamanya juga murid tingkatan empat dan latar penceritaannya berkisar dalam persekitaran sekolah. Turut digambarkan ialah keadaan rumah tangga dan pergaulan watak-watak penting. Pengarang juga memasukkan elemen cemburu, cinta remaja dan komplot bagi menambahkan debaran pembaca. Isu sosial sampingan seperti poligami dan khianat juga diselitkan sebagai justifikasi.

5              Teknik penceritaan Azfa Hanani ialah sudut pandangan pertama. Segala peristiwa dan penilaian peristiwa dibuat oleh ”aku”, iaitu Azfa Hanani. Maka, Azfa Hanani boleh dikatakan hadir dalam setiap penceritaan. PB berpendapat Halis Azhan berjaya mengungkapkan sebuah naskhah monolog dan memoir seorang pelajar remaja perempuan yang memiliki kelebihan paras rupa, kepetahan dalam berkomunikasi, berbudi bahasa, tegas dalam mempertahankan prinsip dan penyayang.

6              Cerita bermula dengan lamunan Azfa Hanani di makmal Kimia tentang pergolakan batin yang berpunca daripada kemiskinan hingga imej dan maruah sebagai murid yang polos hampir tercalar. Dari situ unsur kebetulan muncul sebabak demi sebabak. Bertuahnya insan bernama Azfa Hanani!

7              Emosi ria, geram, marah, simpati dan lucu digarap dengan berpatutan. Pembaca seolah-olah menyaksikan semua peristiwa di hadapan mata. Pendek kata, degup jantung pembaca bergetar bersama-sama  detik-detik suka duka yang dilalui Azfa Hanani.

8              Pembelajaran novel komsas tingkatan empat menghendaki murid mengkaji sinopsis, tema, watak dan perwatakan, nilai, persoalan, pengajaran, dan latar (tempat, masa, masyarakat). Menerusi bimbingan guru, murid diharapkan dapat menulis kembali bidang pembelajaran novel yang disebutkan tadi, lengkap dengan isi yang berbentuk penyataan umum. Sementara itu, huraian kepada setiap isi perlu disandarkan kepada mana-mana peristiwa yang difikirkan ada kaitan.

9              Murid tingkatan empat juga seharusnya memantapkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis (KBKK). Kreatif ertinya menjana idea yang asli. Kritis pula ialah menilai kemunasabahan sesuatu idea. Kebiasaannya, fokus perbincangan KBKK menjurus kepada pemupukan jati diri yang menjadi teras falsafah pendidikan kebangsaan dan pembentukan modal insan minda kelas pertama. Maknanya, sisi positif perwatakan Azfa Hanani perlu diberi penekanan.

10           Pembelajaran novel komsas akan menjadi hambar tanpa perancangan aktiviti bilik darjah yang berkesan. Balik-balik pembentangan individu, soal jawab, latihan bertulis dan sketsa! Dengan itu, murid dan guru hendaklah mencari jalan supaya dilema, harapan, kebimbangan dan pesona Azfa Hanani berlegar-legar dan dirasakan kewujudannya. Tidak semestinya memaksa peminjaman imej Ekran, Datin Maziah, Tengku Ellina, Iskandar, Laili dan Tengku Muzafar. Terserah kepada murid dan cikgu merangkanya. Selamat menikmati naskhah Azfa Hanani...

No comments: