Terbang berdua menawan angkasa Raja Sehari nama diberi Moga bahagia aman sentiasa |
Wednesday, December 23, 2009
RAJA SEHARI DI TAKHTA BERSERI (WEDDING CEREMONY IN THE SUB-URBAN MALAY SETTING)
Institusi perkahwinan ialah ikatan suci atas kalimah Ilahi. Perkahwinan menandakan permulaan terbentuknya asas sebuah keluarga yang menjadi teras kemuliaan sesebuah masyarakat. Dengan termeterainya hubungan sah suami isteri, tertutuplah peluang para iblis dan syaitan untuk menjerumuskan sepasang manusia ke dalam kancah dosa dan maksiat. Puak-puak yang kuat mempromosikan pergaulan bebas dan pemujaan hawa nafsu juga akan tumpas.
Namun, dalam melayari bahtera kehidupan berumah tangga bukan calang-calang dugaan yang bakal ditempuhi. Walaupun kerserasian (chemistry) dari segi perasaan cinta dan kasih sayang telah bersemi, sebagai insan biasa, tingkah laku sebenar dan rahsia kekurangan masing-masing akan terserlah dari masa ke masa. Keikhlasan dan kesabaran secara dua hala sahaja yang boleh menjadi kunci kesejahteraan mahligai yang sama-sama dibina.
Kenangan paling indah ketika diraikan sebagai raja sehari dan selebriti memang mengujakan. Wajah ceria kaum keluarga menandakan harapan, impian dan teka-teki mereka telah terjawab. Mereka tidak kisah jika perlu berpisah dengan wang ringgit yang dikumpul dengan susah payah demi menggembirakan sanak saudara, jiran tetangga dan handai taulan dalam satu majlis keramaian yang meriah dan penuh kegirangan.
Ketibaan rombongan pengantin lelaki disambut dengan selawat (dan paluan kompang). Siap dengan sepersalinan putera idaman, sang lelaki mengatur langkah dengan tertib. Gimik majlis bermula dengan sang perempuan menjabat tangan pasangan hidupnya mesra beremosi.
Kontroversi tentang acara persandingan memang masih berterusan. Kedua-dua mempelai dirias segak dan lawa untuk diperkenalkan kepada kaum keluarga dan hadirin. Moga dijauhkan perasaan riak dan niat menunjuk-nunjuk walau sebesar zarah pun di dalam kalbu kita. Amin.
Sebagai meringkaskan amalan adat turun-temurun, upacara merenjis air mawar dilakukan oleh keluarga terdekat sambil mengucapkan tahniah. Raja dan permaisuri sehari itu akan akur dengan segala nasihat “mak andam (atau pak andam)” dari segi gaya duduk dan keperluan fotografi. Mereka hanya senyap tanpa “titah” atau kuasa menjatuhkan “hukuman”.
Setelah itu, mempelai diiringi ke majlis makan berhadap dengan ditemani ibu bapa dan anggota keluarga terdekat dengan menu hidangan khas. Kelazimannya, adegan suap-menyuap akan dipertonton sebagi bukti saling sudi berkongsi senang dan susah bersama-sama. Sambil itu jurugambar studio dan amatur tidak henti-henti merakamkan detik bersejarah buat pasangan mempelai.
Usai jamuan pengantin, mempelai bertukar persalinan dengan mengenakan busana ala Barat pula. Upacara memotong kek dilakukan. Peristiwa seumpama itu mungkin berlaku sekali sahaja dalam seumur hidup. Begitulah celoteh perunding majlis perkahwinan.
Tetamu jemputan menjamu selera di khemah yang disewa khas. Bagi menjimatkan kos dan tenaga, urusan sajian diserahkan oleh pengusaha katering. Tuan rumah tidak lelah, dan hadirin sempat disapa kesemuanya. Masak-memasak sendiri memang boleh dilakukan, tetapi dalam majlis berskala besar, perancangan dan pelaksanaan kerja suka rela sedemikian memakan masa dan kemungkinan tuan rumah hilang fokus akibat sibuk menangani segala perkara.
Jika dahulu, sajian dibuat secara hidangan, kini bertukar kepada buffet. Tetamu akan menentukan sendiri jenis dan kuantiti makanan yang hendak dicedok ke dalam pinggan masing-masing. Maklumlah, kadangkala dalam sehari, dua tiga majlis perkahwinan perlu dihadiri.
Konsep layan diri berterusan apabila selesai menjamah makanan. Sisa makanan dimasukkan ke dalam bekas yang disediakan, dan pinggan serta gelas dikembalikan. Barangkali inilah bentuk gotong-royong terkini yang sebenarnya meringankan beban tuan rumah dan pengusaha katering dari segi kerja dan kebersihan. Terima kasih semua.
Pemberian hadiah dan menghulurkan al-fulus (wang ringgit) bukanlah termasuk dalam agenda sesuatu majlis keramaian. Namun, tetamu yang berkemampuan biasanya bermurah hati berbuat demikian. Malah, tetamu yang biasa-biasa juga sangat berbangga menghulurkan seringgit dua sebagai tanda sokongan kepada tuan rumah yang sudi menjemput mereka sekeluarga untuk memeriahkan majlis.
Tetamu juga tidak pulang dengan tangan kosong. Mereka dibekalkan oleh-oleh berupa kudapan dan telur rebus. Dalam masyarakat Jawa, sebungkus lauk-pauk turut dihadiahkan. Pendek kata, boleh gantung kuali!
Pada sebelah malam, majlis membuka bungkusan hadiah diadakan eksklusif untuk pengantin dan keluarga sahaja. Nama-nama dan ucapan yang ditulis akan dibacakan sambil usik-mengusik tentang isi bungkusan menjadikan suasana lebih happening, tetapi terkawal. Semua yang hadir cuba meneka sama ada hadiah berupa album gambar atau mangkuk gelas yang biasanya paling banyak.
Alhamdulillah, ada juga peralatan elektrik, alat-alat dapur, jam dinding dan kelengkapan menutup aurat. Nampaknya, pemberi hadiah juga sudah berfikir di luar kotak (thinking out of box). Tema klise telah digantikan dengan pertimbangan yang lebih bijak lagi bermakna...
Selamat pengantin baru. Semoga berkekalan cinta, kasih dan sayang selagi hayat dikandung badan. Kepada Allah jua didoakan kesejahteraan buat pasangan Che Alias Che Deraman dan Zainab Ibrahim...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment