Sunday, December 6, 2009
GOTONG-ROYONG REMAJA DESA (VOLUNTARY ACTIVITY WITHIN YOUNGER GENERATION)
Proses pembandaran (urbanisation) telah mengakibatkan kampung tradisi semakin pupus. Gugusan Felda yang dahulunya jauh di pedalaman kini juga sudah semakin hampir dengan bandar besar, atau setidak-tidaknya berdekatan dengan lebuh raya utama. Maka, amalan kampung seperti gotong-royong, dan kenduri –kendara turut mengalami perubahan.
Dahulu penduduk kampung sinonim dengan imej pertanian dan sarang kemiskinan. Ketampanan dan keayuan pemuda pemudi kampung tersembunyi di sebalik wajah yang kusam dan penampilan yang sangat ringkas. Apabila menjejakkan kaki ke menara gading, mereka mengasimilasi kejutan budaya kota , dan sedikit demi sedikit membuang perasaan rendah diri yang menebal.
Kini, persekitaran kampung sudah berbeza. Rumah kutai dan beranjung telah menjadi rumah banglo moden. Jalan kampung juga diturap tar dan dibinakan bonggol bagi mengelakkan laluan itu menjadi litar pelesit jalanan (nama baru bagi “mat rempit”).
Kenderaan import seperti Mercedes, BMW, Honda Civic, Vios dan Suzuki Swift bukan lagi luar biasa. Dekoder Astro juga kelihatan di sana sini. Namun, rumah usang yang dihuni warga emas dengan kemudahan ala kadar masih banyak. Penulis blog (PB) pernah melihat dikotomi ini di Kubang Pasu dan pinggir Kota Kinabalu.
Amalan gotong-royong hanya berlaku dalam skala kecil. Misalnya, kerja membersih persekitaran halaman rumah yang akan dipasang khemah utnuk majlis perkahwinan. Supaya sedap mata memandang, segala bentuk sampah sarap dilupuskan.
Sebenarnya pihak tuan rumah boleh mengupah individu kampung yang menyara hidup dengan kerja sambilan semata-mata. Semasa PB kanak-kanak, kerja menebas dan memanjat pokok kelapa diserahkan kepada pekerja kampung. Namun, atas alasan kewangan dan untuk menghidupkan amalan gotong-royong, kerja-kerja tertentu dilakukan secara anak-beranak sahaja.
Pada zaman dahulu kala, amalan gotong-royong diinstitusikan dan dimesyuaratkan. Kini, amalan itu lebih bersifat aktiviti kesukarelaan dan bertujuan memupuk kesedaran sivik dalam kalangan pelajar remaja dan sekali-sekali di taman-taman perumahan. Notis dan pemberitahuan awal perlu diuar-uarkan bagi mendapatkan persetujuan dan komitmen komuniti setempat.
Gotong-royong secara besar-besaran dan berterusan sukar dilaksanakan lagi. Sebabnya, masyarakat sekarang sangat mementingkan aktiviti peribadi. Kebanyakan kawasan juga telah diwartakan di bawah kawalan pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi lain. Izin diperlukan...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment