SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, June 5, 2014

APA YANG TIDAK KENA DENGAN KAFE PEMANDU? (CONCERN AND SENSITIVITY IN DESIGN)

Medan selera di aras satu terminal bas ekspres Amanjaya bergelap. Tiada tanda berlaku sebarang kegiatan perniagaan makanan di situ sebagaimana sebelum ini. Mungkin nasib peniaganya sama dengan di Mydin, Pusat Transformasi Desa (RTC) Gopeng yang terpaksa tutup kerana pendapatan yang dikumpul tidak mampu menampung kos sewaan yang tinggi.

Maka, pilihan yang ada ialah di aras bawah, iaitu restoran mamak Di Naina yang beroperasi 24 jam. Namun, bukan semua orang boleh serasi dengan ‘air tangan’  mamak. Atau, kalau tekak tiada masalah, hendak juga merasa masakan kampung misalnya.

Tinggal satu lagi pilihan yang ada, tetapi kena keluar ke arah platform 17. Terpampang papan tanda Kafetaria Pemandu di situ. Konsepnya sama dengan kafe pramugari di lapangan terbang yang sebenarnya turut dibuka untuk orang awam yang berbelanja ciput.

Maklumat tentang senarai makanan dan harga begitu jelas. Skrin televisyen yang besar juga memberi keselesaan menonton walaupun ketika itu menayangkan drama TV3. Kelihatan beberapa orang pemandu bas sedang menikmati makanan sambil berbual rancak.
Kerusi meja bahagian tengah kosong sahaja, tiada ‘penghuni’. Semua pelanggan memilih bahagian tepi dan belakang. Cuba teliti gambar di atas bagi menjawab kemusykilan tersebut.

Penulis blog (PB) juga berpindah ke bahagian tepi walaupun bau rokok memang tidak menyenangkan. PB membuat pesanan nasi goreng pattaya dan air suam. Masakan yang sedap dan kuat sup yang pekat dapat mengalihkan perhatian PB daripada memikirkan persekitaran kafe yang tidak berapa kena itu.

Bayangkan ketika berselera makan, tiba-tiba jelas kedengaran pam tandas (flush) atau apa-apa bunyi yang bertentangan dengan suasana menikmati makanan. Mungkin ada orang yang sudah terbiasa dan tidak kisah. Walaupun demikian, kebiasaan tidak bermakna betul atau wajar.

Petugas kafe juga tidak boleh ambil mudah tentang penampilan diri. Kalaupun tidak mampu mencontohi petugas kafe di hotel, sekurang-kurangnya biar nampak kemas dan budiman. Barangkali garis panduan tentang pakaian petugas jualan makanan mesti dikuatkuasakan dengan lebih tegas.

Kebijaksanaan peribahasa ‘alah membeli menang memakai’ memang bertepatan dengan keadaan yang berlaku. Apabila seseorang pengguna mementingkan keselesaan, dia perlu membayar harga yang tertentu. Jika sebaliknya, dia terpaksa pasrah menerima layanan seadanya di sesuatu premis yang dikunjungi.

Namun, seperti warga Kuala Lumpur yang sanggup makan mi kosong di tepi longkang demi perut yang berkeroncong, sesekali pengalaman seperti yang berlaku perlu dilalui. PB juga dapat menyelami sedikit sebanyak tema perbualan pemandu bas yang berkorban meninggalkan keluarga di rumah kerana demikian resam mencari rezeki. Sesungguhnya kafe pemandu di Terminal Amanjaya menyimpan kisah suka duka pemandu bas ekspres dari pelbagai tempat di seluruh Semenanjung Tanah Melayu …

No comments: