Tuesday, June 3, 2014
HOKI DUNIA: MALAYSIA HANDAL, BELGIUM LEBIH HANDAL (FULL STRENGHT RECREATION GAME)
Barangkali banyak yang tidak menyedari bahawa skuad hoki negara berjaya melayakkan diri semula ke kejohanan hoki dunia yang sedang berlangsung di Belanda. Malaysia yang menghuni tangga ke-13 dunia berhadapan dengan Belgium (kelima dunia), England dan India. Hebahan menerusi media arus perdana tempatan hampir tidak ada, kecuali siaran langsung stesen berbayar Astro.
Sebelum ini kejohanan dunia tidak rasmi badminton Piala Thomas juga tidak begitu dihiraukan pada awalnya apabila pasukan negara tidak diletakkan harapan yang tinggi. Malah, stesen RTM terpaksa merayu kepada Astro supaya berkongsi hak penyiaran siaran langsung pertandingan akhir membabitkan Malaysia dengan Jepun. Gara-gara bola sepak dunia pertengahan bulan ini, semua tertumpu ke Brazil walaupun Malaysia hanya tumpang berbangga dengan Jepun dan Korea Selatan, yang suatu ketika dahulu saingan setara sahaja.
Skuad hoki negara bermula garang dengan membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang berjaya disempurnakan oleh Razie Abd. Rahim pada minit kelima. Tersentak dengan kejutan itu, Belgium mula bermain secara lebih agresif dengan menguasai 70 peratus kawalan permainan. Hasilnya, Belgium berjaya memperoleh tolakan penalti (penalty flick) setelah bantahan mereka dibenarkan menerusi ulang tayang elektronik.
Tom Boon tidak melakukan kesilapan untuk memadamkan kelebihan Malaysia. Namun, dalam keasyikan Belgium mengasak kubu Malaysia, tiba-tiba pasukan negara beroleh satu lagi pukulan sudut penalti pada minit ke-19, dan seorang pemain pertahanan Belgium dilayangkan kad hijau (10 minit di tepi padang, tidak boleh digantikan). Razie sekali lagi mengecewakan penjaga gol Belgium.
Gol penyamaan Belgium sekali lagi hadir menerusi Tom Boon pada minit ke-23. Pada minit ke-30 pula, Malaysia terselemat seketika apabila gol padang Belgium dibatalkan selepas bantahan Malaysia pula dibenarkan menerusi ulang tayang. Namun, kegembiraan Malaysia itu hanya bertahan lima minit apabila Tom Boon sekali lagi muncul sebagai wira Belgium untuk selesa dengan bekalan 3-2 hingga tamat babak pertama.
Semangat melawan dan stamina pemain Malaysia masih utuh apabila bersambung babak kedua. Namun, angin pasukan Belgium pula semakin kuat. Malaysia terpaksa akur dibolosi tiga gol lagi pada minit ke-37, 42 dan beberapa minit sesudah itu. Mohamad Dharmaraj, ketua jurulatih skuad negara kelihatan berada di belakang penyokong Belgium, manakala jurulatih lawan sibuk di tepi padang.
Kelibat bekas jurulatih sebelumnya, Revington (Afrika Selatan) juga kelihatan bersama sebahagian penonton. Kekalahan 2-6 mungkin dilihat sebagai teruk, tetapi dalam sukan hoki defisit jaringan yang besar bukanlah perkara luar biasa kerana saiz bola yang kecil dan dipukul dengan laju. Tugas berhadapan dengan pasukan Eropah yang jelas memiliki kelebihan fizikal bukan semudah menghadapi pasukan benua Afrika dan Asia yang lain.
Malaysia banyak kali juga dapat membenam cabaran England dan India, tetapi secara berbanding lebih banyak mengalami kekalahan di tangan mereka. Maka, percaturan yang lebih licik perlu dibuat bagi menghidupkan semula peluang Malaysia untuk muncul sekurang-kurangnya dalam kelompok 10 terbaik dunia. Kedudukan tertinggi yang pernah dicatat oleh Malaysia ialah kedudukan keempat pada edisi kejohanan tahun 1976 di Kuala Lumpur ...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment