SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, July 28, 2014

GENERASI MUDA BERHARI RAYA (CONTINUITY OF TRADITION)

Rungutan bahawa generasi muda hari sudah melupakan tradisi sambutan hari raya sebagaimana zaman ibu bapa mereka barangkali kurang adil. Siapakah yang merobah persekitaran rumah dengan pelbagai gajet dan peranti mudah alih yang mengakibatkan komunikasi bersemuka semakin lemah? Siapakah yang memulakan budaya kepenggunaan tunjuk dan bayar terlebih dahulu?

Zaman telah berubah dan gaya hidup turut mengalami penyesuaian (adaptasi) terhadap persekitaran yang sentiasa diperbaharui. Gelombang perubahan terlalu deras untuk disekat, tetapi perkara yang paling mustahak bukan perbezaan ciri luaran atau zahir. Selagi jati diri masih dijunjung, perubahan dan perbezaan yang berlaku seharusnya dialu-alukan seadanya.
Sistem keluarga nukleas yang membentuk ciri utama masyarakat pascamoden bererti bahawa ikatan kekeluargaan yang luas kian terhakis. Sesebuah keluarga tinggal di kawasan perumahan dan di daerah yang berasingan dengan keluarga terdekat yang lain. Maka, kesempatan untuk mengenali pak cik, mak cik, sepupu sepapat dan waris yang lain menjadi terhad. 

Perhimpunan keluarga besar hanya boleh berlaku jika terdapat daya usaha berbuat demikian. Media sosial seperti facebook dan whatsapp dapat menjadi penghubung yang berkesan andai kata program hari keluarga besar itu hendak dijayakan. Sesetengah ahli keluarga mungkin terpaksa menarik diri jika tidak dibantu dari segi kewangan dan pengangkutan.

Hakikatnya bukan sahaja generasi muda sibuk menghadap paparan telefon bimbit dan komputer tablet, bahkan 'penyakit' dan kegilaan itu dikongsi bersama oleh orang dewasa dan yang sudah lanjut usia. Masing-masing sudah ada kumpulan whatsapp bagi menyebarkan maklumat terkini tentang kegiatan dan peluahan perasaan. Aplikasi maya sudah seperti wabak dan penawar secara sekali gus.

Idea untuk berundur kembali kepada cara sambutan hari raya generasi silam boleh dikatakan hampir mustahil. Apa yang mampu dilakukan ialah kawalan dalaman kendiri atau muraqabah. Sikap taasub terhadap komunikasi maya hendaklah dinilai semula justeru tahap ketagihan ekstrem memang jelas amat tidak sihat.

Kempen kreatif tentang anjuran hari tanpa gajet atau peranti elektronik mudah alih mungkin boleh difikirkan. Memanglah bahawa tujuan akhir kempen bukanlah sifar penggunaan komunikasi maya pada hari raya, tetapi sekurang-kurangnya ciri manusiawi bersemuka tidak diambil alih sepenuhnya oleh paparan skrin peranti komunikasi mudah alih. Tidaklah masing-masing membisu semasa berziarah, serta sentiasa kelihatan resah menunggu mesej whatsapp masuk!

Kalau di masjid dan wad hospital kita biasa melihat simbol mematikan telefon bimbit, tuan rumah majlis rumah terbuka juga boleh berbuat demikian, tetapi dalam bentuk mesej jenaka yang lebih lunak dan masuk akal. Barangkali tuan rumah membuat ucapan alu-aluan ringkas dan bacaan doa yang juga ringkas, tetapi sempat memberi saranan tentang hal itu.

Generasi muda yang masih kurang pengalaman tentang proses pembinaan jati diri dan sosialisasi perlu disediakan untuk menghadapi cabaran semasa dan mendatang. Oleh itu, di samping memanfaatkan segala kecanggihan teknologi terkini, kesedaran tentang perihal pentingnya tradisi dan warisan yang hebat perlu dipupuk dalam kalangan mereka. Hari raya ialah kesempatan terbaik untuk mengajak anak-anak muda kita menelusuri jejak zaman yang tersirat sebagai akar umbi kekuatan umat ...

No comments: