SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, July 27, 2014

SUASANA HARI RAYA TAHUN INI (CELEBRATING SUCCESSFUL FASTING OBLIGATION)

Usai menunaikan ibadah puasa sebulan Ramadan yang merupakan rukun Islam ketiga, umat Islam bersiap sedia pula menyambut hari lebaran atau Aidil Fitri mulai 1 Syawal. Berbeza dengan masyarakat timur tengah dam rantau teluk yang hanya meraikan hari raya puasa sehari dua, masyarakat kita melanjutkannya hingga sebulan penuh Syawal. Malah, kadangkala majlis rumah terbuka melepasi bulan Syawal justeru pertembungan terlalu banyak majlis yang sama.

Rentetan tragedi pesawat MH 17 yang ditembak jatuh di kawasan bergolak Ukraine sehingga mengorbankan 298 jiwa,  majlis terbuka peringkat kebangsaan dan negeri banyak yang dibatalkan. Maka, kesempatan untuk bersua muka dan menjejakkan kaki ke rumah pemimpin politik nampaknya terhad. Namun, majlis rumah terbuka anjuran organisasi korporat dan persendirian dijangka tidak terjejas.

Sambutan hari raya sepatutnya ialah kesinambungan ibadah Ramadan. Hari raya dipenuhi dengan lafaz doa dan kesyukuran, di samping menzahirkan kegembiraan dengan pakaian serba baharu. Tradisi kunjung-mengunjung dan saling bermaafan mengukuhkan ikatan persaudaraan yang sangat dituntut oleh agama.

Majlis rumah terbuka boleh diangkat sebagai wahana dakwah yang bijaksana. Amalan kesederhanaan dan sikap mesra terhadap tetamu memberikan gambaran yang tepat tentang nilai-nilai Islam. Sifat taqwa terserlah dengan menghindari segala perkara yang mendatangkan dosa dan maksiat, contohnya pergaulan bebas dengan bukan mahram.

Penyediaan hidangan untuk tetamu dibuat berdasarkan kemampuan kewangan masing-masing. Tidak perlulah tuan rumah sampai bergadai bergolok atau menanggung beban hutang yang berat pada kemudian hari.  Hakikatnya, lebih ringkas hidangan yang disediakan lebih baik kerana kandungan kalori, lemak dan gula akan lebih terkawal.

Saranan seorang sarjana supaya majlis rumah terbuka diadakan secara berkongsi dalam kawasan kejiranan yang sama harus diberi perhatian. Mesyuarat dan muafakat boleh disemarakkan semula tanpa sikap mahu menunjuk-nunjuk. Maka, amalan saling menampung dari segi kewangan dan tenaga boleh menghidupkan semangat gotong-royong walaupun mungkin dalam versi baharu.

Gaya hidup masyarakat maju yang mementingkan keselesaan peribadi (privacy) dan keselamatan mengakibatkan kunjungan secara mengejut atau terjah tidak begitu dialu-alukan. Oleh itu, segala.kemudahan komunikasi hujung jari seperti whatsapp dan sms menjadi pengganti kemunculan secara tiba-tiba di hadapan pagar rumah. Tuan tumah boleh mrmbuat persediaan yang seadanya dan berada di rumah pada waktu yang diharapkan.

Kesimpulannya, sambutan hari raya puasa hendaknya diisi dengan amalan yang menjurus terhadap kerangka ibadah dan dakwah secara bijaksana. Tiada unsur lagha atau sia-sia yang bertentangan dengan maksud sambutan hari raya itu sendiri. Sambil itu, masyarakat mesti terus peka terhadap golongan kurang beruntung berhampiran kejiranan masing-masing, serta saudara seagama yang sedang menghadapi pelbagai dugaan berat termasuk di Gaza, Syria, Mesir, Xinjia, Chechya dan di serata dunia ...

No comments: