Monday, December 31, 2018
SELAMAT TINGGAL 2018, SELAMAT DATANG 2019 (TIME IS ALWAYS A BLESSING)
Sama ada kita sambut tahun baharu atau tidak, hakikatnya masa terus berlalu tanpa menunggu sesiapa. Ironinya, usia kita terus meningkat, walhal baki usia kita semakin singkat. Maka, masa ialah kehidupan peribadi kita yang berupa nikmat dan juga ujian untuk kita isi dengan manfaat yang optimum.
Tahun berganti tahun. Adakah kita masih sama sahaja tanpa sebarang kemajuan? Adakah kita sekadar bertahan dengan status quo dan takut terhadap perubahan?
Adakah kita pasrah menunggu sehingga dipanggil Ilahi untuk berangkat ke negeri yang abadi tanpa amalan, bakti dan sumbangan signifikan sebagai bekalan di sana kelak? Kita tega membiarkan diri sebagai tawanan masa yang meluncur laju dengan panjang angan-angan tanpa tindakan terancang. Kita enggan keluar dari kepompong masa lampau sambil hanya berharap.
Marilah kita berfikir sejenak supaya tahun 2019 lebih baik daripada tahun 2018. Demikian juga kita pasang tekad agar pencapaian yang disasarkan pada tahun 2019 ini menjadi asas kemajuan yang lebih baik dan cemerlang pada tahun 2020. Kita menjelmakan segala maksim surah al-asr secara tuntas, insya-Allah.
Kita melakukan cerminan diri, penilaian kendiri, muhasabah, introspektif dan analisis ralat yang berlaku selama ini. Setelah mengenal pasti keberkesananan dan kelemahan masa lalu, kita mengorak langkah dengan membina penanda aras yang terkini. Kita memanfaatkan segala alat ukuran yang autentik seperti swot, 5c's dan imbasan persekitaran (smarties contohnya) demi memastikan bahawa kita tidak mudah patah semangat atau dipengaruhi bisikan yang berkemungkinan menyeret semula ke garisan belakang.
Kita tulis segala butiran perancangan dengan jelas dan terperinci. Ada data lebih baik daripada tiada data. Kita lazimkan diri sentiasa merujuk tekad itu dengan fikiran terbuka sama ada untuk dikekalkan, diubah suai, diubah atau dibuang terus.
Kita tetapkan sasaran tertinggi untuk menuju reda Ilahi. Maka, neraca pertimbangan kita sentiasa berpandukan kalam wahyu dan sunnah. Apa-apa juga yang bercanggah wajib dijauhi serta-merta dan sepanjang masa.
Jika kita berhajat untuk menjadi insan yang berbakti, maka kehidupan duniawi kita hendaklah di tahap terbaik. Kita mampu berdikari, malah selalu bersedia untuk menyumbang terhadap kebajikan insan lain yang kurang beruntung, menderita dan dibelenggu kesempitan. Tidak seyogia kita memesongkan maksud zuhud, qanaah dan tawaduk tanpa berlandaskan input ilmu yang sahih.
...
...
...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment