Monday, May 31, 2010

TAHUN CEMERLANG BIDANG BAHASA SMI (LANGUAGE DEPARTMENT PUSHING THE LIMIT)

Bermula dengan pencapaian cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Melayu STPM 2010, Jabatan Bahasa, SMK St Michael, Ipoh (SMI) pimpinan Tuan Haji Mohamad Sidik bin Haji Zakaria tidak menoleh ke belakang lagi. Catatan kejayaan demi kejayaan menjadi bukti. Selain pencapaian akademik, bidang koakademik bahasa juga membanggakan.
Pasukan puisi dan lagu telah muncul pemenang kedua zon 2 Kinta Utara. Mereka hanya dibezakan dengan mata yang tipis kepada juara zon atas sebab teknikal. Puisi asli "Perpaduan Cara Kita" nukilan Haji Sidik, dengan sokongan guru bahasa yang lain telah mendapat perhatian juri dan disifatkan paling mantap.
Pasukan bahasa ala parlimen bahasa Inggeris pula mendapat habuan lumayan daripada pihak Helps University dengan nilai melebihi RM100,000. Selain tajaan biasiswa dan wang tunai, pembahas SMI turut menerima trofi, telefon bimbit dan kamera. Pihak sekolah pula dihadiahi set televisyen LCD yang disampaikan sendiri oleh wakil penganjur.

Kejayaan yang lebih besar maknanya ialah apabila proses pembelajaran bahasa mendapat perhatian murid. Majoriti murid SMI bukan penutur jati bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Namun, pencapaian peperiksaan awam yang tidak begitu jauh daripada 100% menunjukkan keberkesanan proses pembelajaran bahasa yang boleh disifatkan sebagai luar biasa.

Murid yang dipilih khas menyertai program kecemerlangan bahasa juga menunjukkan rasa teruja terhadap kaedah kreatif yang direka bentuk khas untuk mereka oleh Tuan Haji Sidik, dengan bantuan mantan penolong kanan petang, Tuan Haji Mior Idris. Walaupun penulis blog (PB) hanya hadir sekali-sekali tanda sokongan, murid berkenaan selalu bertanya tentang program seterusnya. Pagi tadi beberapa orang murid berkenaan yang kebetulan terserempak dengan PB di luar pusat sumber mengatakan bahawa mereka telah dapat mengaplikasikan kaedah "miko" dalam penulisan karangan sebagaimana saranan Haji Sidik.

Sesungguhnya petanda kehebatan seseorang guru bahasa ialah berlakunya pembelajaran sama ada di dalam, mahupun di luar bilik darjah. Proses ini berlaku menerusi perancangan, penambahbaikan dan pemantauan yang berterusan oleh pihak Jabatan Bahasa SMI, khususnya menerusi kepimpinan guru kanannya. Mudah-mudahan kejayaan yang dikecapi akan menjadikan SMI lebih dihormati dan dipercayai...

Sunday, May 30, 2010

GURU BERTUGAS MINGGUAN MENCETUS MOTIVASI MURID (THE INSPIRING SPEECH OF DUTY TEACHER)

Tersenarai sebagai guru bertugas mingguan dengan kekerapan dua kali saban tahun bukanlah perkara baharu bagi seorang cikgu. Kebiasaannya dua atau tiga orang guru akan digandingkan sekali gus bagi maksud pengagihan tugas secara lebih berkesan. Guru bertugas berperanan melengkapkan pentadbiran harian sekolah di samping hierarki formal sedia ada.

Guru bertugas akan memperkenalkan diri semasa perhimpunan hari Isnin, selain menggariskan harapan dan objektif yang hendak dicapai sepanjang minggu berkenaan. Ucapan biarlah ringkas, tetapi dalam laras bahasa yang mudah difahami dan diterima oleh sekalian khalayak murid. Pendek kata, kejayaan menyampaikan mesej guru bertugas juga bergantung kepada sisi seni yang tersendiri.

Apabila ketua guru bertugas dijemput ke podium pentas ucapan, semua mata murid akan tertumpu kepada beliau. Gaya guru bertugas melangkah dan menampilkan diri segera dibaca oleh murid daripada pelbagai sudut pandangan. Setiap patah perkataan yang dituturkan oleh guru bertugas bakal mempengaruhi "mood", tahap keyakinan, harga diri dan maruah sekalian murid seawal jam pertama minggu berkenaan.

Walau apapun keadaannya, ucapan guru bertugas mestilah menjurus ke arah motivasi kendiri dan pendidikan. Ibarat enjin kenderaan yang baharu hendak dihidupkan semula setelah pegun buat seketika (cuti hujung minggu, Esso = every saturday and sunday off kata Tuan Rauhi, pengetua Kolej Melayu Kuala Kangsar), berikan sedikit waktu untuk pemanas. Maknanya, sekalian murid disuntik dengan dorongan dan inspirasi agar memulai minggu pembelajaran yang baharu dengan semangat yang membara.

Uacapan guru bertugas biasanya dislotkan selepas laporan guru bertugas minggu sebelumnya. Andainya laporan guru berkenaan bernada sedikit keras dan bertumpu kepada motivasi negatif, guru bertugas yang baharu patut mengimbangi moral murid dengan bunga-bunga harapan kalau-kalau ada yang patah hati dapat diubati segera. Bukan percanggahan yang dilontarkan, melainkan merasionalkan teguran dengan justifikasi yang membangkitkan jiwa insan-insan muda harapan agama, bangsa dan negara itu...

KONSISTENSI DALAM PERMAINAN (THE PENDULUM IN PERFORMANCE)

Sepasang adik-beradik menceritakan pengalaman mencatat balingan sempurna 300 mata dalam  satu permainan tenpin boling. Si abang penuntut Polytech Mara, manakala si adik murid tingkatan empat SMK Gunung Rapat, Ipoh. Mereka melakukannya dalam satu kejohanan  jemputan remaja dunia di Manila baru-baru ini.

Secara jujur mereka mengakui bahawa untuk mengekalkan balingan sempurna dalam setiap permainan memang sukar dilakukan oleh mana-mana pemain terhebat dunia sekalipun. Kebiasaannya di peringkat pertandingan kompetetif, setiap pemain akan dikehendaki menyelesaikan lima permainan, bersamaan 50 balingan biasa, tidak termasuk balingan bonus untuk strike dan spare.

Pertemuan ringkas penulis blog (PB) dengan pasangan adik-beradik, yang juga anak kepada seorang kenalan memberi gambaran bahawa ketekalan atau pengekalan prestasi untuk sesuatu tempoh yang lama dalam kalangan atlet boleh dikatakan suatu keajaiban. Faktor kecergasan, latihan dan kemunculan pesaing baharu menyumbang terhadap hakikat berkenaan. Peningkatan usia seseorang atlet sahaja sudah cukup untuk menghalang pencapaian yang konsisten.

Keadaan yang disebutkan di atas merujuk kepada atlet tahap tinggi yang menjadi latihan dan pengawasan organisasi sukan bertaraf antarabangsa. Apa khabar pemain sambilan atau sekadar peminat permainan tertentu yang mengambil bahagian secara suka-suka? Sudah tentu macam-macam kisah lucu dan faktor nasib baik memainkan pernan.
Demikian yang berlaku kepada PB dan seorang atlet sambilan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kuala Lumpur, Zulkefli Kamaludin. Setiap kali berkunjung ke Ipoh, salah satu aktiviti kegemaran Zul ialah "berentap" di arena boling dengan PB. Selalunya kami memilih Greentown Mall justeru senang berurusan di situ berbanding dengan Jusco dan Ipoh Parade yang lebih sesak.
Zul berbekalkan rekod 174 mata, manakala PB sekadar 136 mata bagi satu permainan. Sebelum bermain, masing-masing berazam untuk mencecah mata 200! Orang kata dalam hidup ini mesti sentiasa berfikiran positif, ceh ceh ceh, kononnya!
Ringkas cerita PB berjaya menghadiahi Zul dengan kemenangan 2-1. Permainan pertama menyaksikan Zul mencatat 115 mata, PB "di bawah prestasi sebenar, atau memang prestasi sebenar", iaitu 85 mata sahaja walaupn pada balingan kedua mendapat strike. Zul mengekalkan dominasi dengan 109 mata pada permainan kedua, sedangkan PB turun lagi kepada 82 mata.
Pada permainan ketiga dan terakhir, barulah PB menemui sedikit rentak dan sentuhan lama. Itupun sekadar 112 mata. Namun pencapaian amatur itu sudah cukup untuk menafikan kemenangan mutlak Zul kali ini. PB mencatat empat kali spare.

Alasan kemerosotan sebagai post-mortem mesti ada walaupun hanyalah suka-suka. Zul menyatakan sebab kurang saingan, kerana kebiasaannya terdapat 3 atau 4 pemain. Kali ini dua pemain yang biasanya bersama-sama ada komitmen lain. Tempoh selang balingan yang singkat menjejaskan strategi dan tumpuan.

Maka, pengajarannya selepas ini ialah mengharapkan konsistensi apabila turun bermain sekali-sekala, tanpa pengawasan jurulatih bertauliah dan mengharapkan tuah sahaja tidak banyak membantu. Misalnya, menang jika lawan dalam keadaan lawan banyak melakukan kesilapan, bukan atas dasar kekuatan sendiri. Perkara demikian bukan hanya berlaku dalam dunia permainan, bahkan dalam kebanyakan urusan kehidupan...

Saturday, May 29, 2010

KOPERASI PENGGUNA SEKAT PENIAGA RAKUS (CO-OPERATIVE MOVEMENT HALTED CAPITALIST GREEDY)

Ipoh, Sabtu: 29 Mei 2010 / 15 Jamadil Akhir 1431

Ura-ura penghapusan subsidi secara berperingkat-peringkat sudah pasti mencemaskan pengguna, khususnya yang berpendapatan sederhana dan rendah. Walaupun subsidi ialah alat dasar fiskal bagi mengoptimumkan kebajikan rakyat, nisbahnya yang besar terhadap keluaran dalam negara kasar (KDNK), sekitar 4-5%, sedangkan sumber pembiayaan daripada sektor petroleum (membentuk kira-kira 40% hasil cukai syarikat) semakin mencatat penurunan, para pengguna perlu membuat persediaan atas apa-apa juga kemungkinan. Peniaga sudah sah akan memindahkan beban kenaikan kos kepada pengguna dalam bentuk peningkatan harga barang dan perkhidmatan.
Sia-sia sahaja andainya pengguna mengharap belas kasihan peniaga untuk berkongsi beban kos sara hidup yang meningkat. Peniaga yang licik akan mengupah akauntan handalan supaya kelihatan mereka akan rugi besar jika harga tidak ditingkatkan ke paras yang tertinggi. Sebab itu pengguna wajib memperkasa gerakan pengguna, khususnya menerusi koperasi.
Mesyuarat agung Koperasi Guru Melayu Perak Berhad (Kagum) kali ke-44 berlangsung di sebuah hotel di Ipoh pagi tadi. Sejumlah 304 orang anggota (daripada 700) telah hadir, iaitu melepasi syarat korum mesyuarat 210 orang. Walaupun bilangan keanggotaan Kagum agak kecil, namun syer dan yuran anggota yang terkumpul melebihi RM3 juta.
Sudah jenuh gesaan dibuat supaya guru muda menonjolkan diri sebagai pemimpin pelapis koperasi guru justeru sebahagian teraju lembaga Kagum dibarisi pesara guru. Sudah beberapa tahun juga dibuktikan bahawa setakat gesaan tidak akan ke mana-mana. Sebaliknya suatu bentuk mekanisme atau aturan mesti dibuat supaya anggota lembaga dalam kalangan orang muda (30 - 40 tahun) mengisi sekurang-kurangnya dua kerusi.
Kagum ialah sebuah koperasi guru yang berdaya maju. Kemampuan mengendalikan beberapa projek hartanah mencecah puluhan juta ringgit, menerusi kerjasama strategik dengan pemaju swasta, menjadikan Kagum dikagumi, bersesuaian dengan namanya. Kini, Kagum mempelawa warga guru Melayu di Perak, atau guru seluruh negara yang berasal dari Perak mendaftar sebagai anggota.
Majlis perasmian pembukaan mesyuarat agung Kagum disempurnakan oleh Tuan Haji Mohd Radzi bin Jabar, pengarah pelajaran Perak. Beliau menyarankan koperasi guru supaya turut memeriahkan sambutan hari guru saban tahun. Wakil Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Cik Gunes juga hadir untuk memberi khidmat nasihat dan syor-syor secara spontan bagi menambah baik pengendalian mesyuarat dan terma koperasi yang dibahaskan.
Pengagihan dividen pada kadar 7% daripada nilai syer dan yuran terkumpul boleh dianggap kompetetif dalam suasana ekonomi yang tidak menentu sekarang. Di samping itu, setiap anggota yang hadir diberi elaun kehadiran berjumlah RM40 seorang. Sesi cabutan bertuah turut diadakan pada penghujung mesyuarat bagi mengekalkan kehadiran anggota...

Friday, May 28, 2010

MINUM KOPI PUTIH, INGAT IPOH (THE NEW IMAGE OF AN OLD TOWN)

Dari segi sejarah, Ipoh muncul sebagai bandar terkenal di serata dunia kerana menjadi nadi Lembah Kinta, sebuah kawasan simpanan bijih timah terbesar dunia. Namun disebabkan ketiadaan inovasi, serta kekurangan penyelidikan kegunaan bilik timah secara termaju mengakibatkan imej itu luput ditelan zaman. Mutakhir ini, dengan kegilaan masyarakat terhadap kopi pracampuran segera, terutama kopi putih, nama Ipoh kembali menjadi sebutan.
Di sekitar bandar raya, kewujudan premis perniagaan seperti di atas bukan asing lagi. Jenama kopi putih Ipoh yang sedang mekar diambil kesempatan sepenuhnya. Setakat mana kekukuhannya bagi menandingi jenama global seperti Coffe Bean dan Starbucks masih belum dapat dipastikan.
Jika kedai kopi putih Ipoh hendak merebut pelanggan Muslim, pengesahan taraf halal daripada pihak berkuasa perlu ditentusah dan kemudian dihebahkan. Sebabnya di samping minuman kopi, mesti ada menu kudapan dan hidangan yang lain. Sebagai negara yang hendak mempromosi hub pengeluaran makanan halal, langkah itu dijangka meningkatkan angka ketibaan pelancong yang agak fobia untuk berkunjung ke negara lain yang dilanda kekacauan  di samping tahap risiko keselamatan yang tinggi.
Daya tarikan bandar raya Ipoh mungkin belum sehebat Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang menjadi tumpuan pelancong asing. Maka, produk kopi putih boleh dipatenkan sebagai imej baru Ipoh untuk "dijual" sebagai destinasi pelancongan sedunia. Jika kita lambat, berkemungkinan bandar raya lain akan mendahului Ipoh sebagaimana yang berlaku terhadap industri batik yang dipatenkan sebagai produk asal negara tertentu sahaja.
Keluhan peniaga kecil dan sederhana di bandar raya Ipoh bukan kerana langsung tidak untung, tetapi kerana perkembangan urus niaga yang sedikit perlahan justeru terlalu banyak bergantung kepada pelanggan tempatan dan bandar berdekatan. Sebagai sebuah bandar raya "senior",  selain banyak berjasa memakmurkan Malaysia, Ipoh tidak boleh dibiarkan begitu. Elemen kreativiti seperti yang dibuktikan oleh Melaka seharusnya membuka mata pihak yang bertanggungjawab memajukan bandar raya Ipoh bagi tempoh masa yang lebih panjang.

Thursday, May 27, 2010

CIKGU FAREEZ AKHIRI LATIHAN MENGAJAR DI SMI (ANOTHER PRACTICUM TEACHER SAYS GOODBYE)

Ipoh, Jumaat: 27 Mei 2010 / 13 Jamadil Akhir 1431
Encik Fareez dan Encik Alias di kafetaria SMI

Setelah 12 minggu kembali ke SMK St Michael, Ipoh sebagai guru pelatih Diploma Perguruan Lepas Ijazah, Encik Muhammad Fareez bin Atan, seorang bekas Michaelian, mengucapkan selamat tinggal kepada seluruh warga SMI. Begitulah cepatnya putaran masa bagaikan baru semalam berlalu. Kini, Encik Fareez akan menunggu penempatan sebagai guru sandaran terlatih yang akan diketahui tidak berapa lama sahaja lagi.

Encik Fareez tamat persekolahan di SMI sekitar tahun 2002, kemudian menyambung pengajian tinggi dalam bidang komunikasi massa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan beroleh sarjana muda. Minat yang mendalam dalam bidang perguruan mendorong Encik Fareez  memilih opsyen Pendidikan Moral. Di samping itu, beliau banyak mengambil kursus elektif  dalam pengajaran bahasa Melayu.
 teman fasilitator Tuan Haji Mior Idris

Sebagai bekas Michaelian, beliau juga sangat mengambil berat tentang hal kebajikan murid SMI. Antaranya membantu pasukan koakademik sekolah seperti bahas ala parlimen, serta puisi dan lagu. Encik Fareez turut hadir dalam program kecemerlangan bahasa Melayu SPM.

Bidang pembacaan, penulisan dan penyelidikan bakal menjadi fokus masa hadapan Encik Fareez. Barangkali pengajian ijazah tinggi amat bertepatan dengan kecenderungan berkenaan. Selamat maju jaya Encik Fareez...

Wednesday, May 26, 2010

SKRIP PENGACARA MAJLIS PERTUNANGAN (MASTER OF CEREMONY TEXT)


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Bismillahirrahmannirrahim
Alhamdulillahirabbil 'alamin
wa bihi nasta’in(u)
Wassolatu wassalamu ‘ala Rasulillah
Sayyidina Muhammadin(w)  Wa ‘ala alihi wasahbihi wan(w)  wa lah
Rabbishrahli sadri  wayassirli amri
Wahlul ‘uqdata(m) min(l)-lisani
Yafqahu qauli
Subhanakala ‘ilmalana illa ma 'allamtana
Innaka antal ‘alimul-hakim

Tuan puan yang dirahmati Allah sekaliannya
Saya bagi pihak tuan rumah dengan rasa berbesar hati mengalu-alukan kehadiran tuan puan dalam majlis yang tidak sepertinya ini.
Mari kita mulai majlis dengan Ummul-Kitab, al-Fatihah…
Mudah-mudahan dengan niat kita yang tulus ikhlas semata-mata mengharapkan Keredaan-Nya, majlis ini bakal dilimpahi Barakah,  Inayah, keampunan dan Rahmah-Nya jua.
Tanpa melengahkan masa lagi, saya mohon keizinan majlis untuk memimpin maksud perjumpaan kita seterusnya.
(Pantun)
:
:
:
:
:
:
Alhamdulillah, bersyukur kita ke Hadrat Ilahi persetujuan telah kita sepakati
Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
(pantun)
Terima kasih atas segala-galanya. Allah jua yang membalas budi baik tuan puan.
Sebagai manusia, kita hanya mampu merancang. Marilah kita berdoa agar Allah memudahkan segala urusan yang kita atur sebentar tadi.
Andainya terdapat keperluan untuk sebarang perubahan, pintu perbincangan sentiasa terbuka bagi kedua-dua belah pihak.
Sebagai tanda kesyukuran, saya dengan rasa hormat menjemput al-fadil Ustaz _________________ bagi memimpin bacaan doa.
(Doa)

Akhirul-kalam, saya memohon kemaafan tuan puan sekiranya terdapat apa-apa jua kekurangan bagi pihak diri saya sepanjang pengendalian majlis. Kita sudahi dengan tasbih Kifarah dan surah al-Asr.

Seterusnya tuan puan dijemput menikmati jamuan yang disediakan.

Wabillahi taufiq wal hidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…

BELAJAR SECARA INDUKTIF, JAWAB SECARA DEDUKTIF (THE APPLICATION OF BACKWARD MAPPING THROUGH LEARNING BY DOING)

Begitulah yang selalu dipesan kepada pelajar ekonomi prauniversiti tingkatan enam. Mereka belajar ekonomi selama lebih kurang 18 bulan, tetapi perlu melengkapkan tugasan soalan di dewan peperiksaan STPM dalam tempoh 6 jam sahaja, iaitu 3 jam kertas 1 (mikro) dan 3 jam lagi kertas 2 (makro). Kedua-dua kohort 6 Atas dan 6 Rendah yang ada sekarang merupakan kumpulan terakhir yang bakal menduduki STPM kendalian Majlis Peperiksaan Malaysia  (MPM) sepenuhnya.

Kedua-dua kertas membawa 100 markah setiap satunya, dengan pecahan:

Bahagian A:  Aneka Pilihan (30 soalan)  -  30 markah;

Bahagian B:  Esei pendek  (5 daripada 8 pilihan soalan)  -  30 markah;

Bahagian C:  Esei panjang ( 2 daripada 4 pilihan soalan)  -  20 markah;

Bahagian D:  Kuantitatif       (2 daripada 4 pilihan soalan)  -   20 markah.

Berdasarkan maklum balas calon STPM terdahulu (yang sempat ditemui) dan berdasarkan laporan tahunan MPM, didapati bahawa bahagian A dan bahagian D mencatat pencapaian  yang lebih baik berbanding dengan bahagian B dan bahagian C. Dalam kata lain, kesukaran yang dialami oleh kebanyakan calon ialah dari segi penulisan esei. Mereka kurang berjaya menulis esei yang benar-benar menepati tumpuan tugasan soalan.

Kekurangan esei calon yang dilaporkan termasuklah:

1   laras bahasa yang digunakan dipengaruhi penulisan popular;

2   terdapat campur aduk konsep ekonomi dengan perkataan yang tidak relevan;

3   memasukkan pendapat sendiri, bunga bahasa dan hujah bukan ekonomi;

4   gambar rajah / keluk tidak lengkap (label paksi, koordinat, unit);

5   susunan isi yang kurang kemas;

6   ketiadaan andaian (jika diperlukan).

Bagi mengatasi kekurangan berkenaan, pelajar perlu menggandakan latihan esei secara berdikari tanpa perlu menunggu arahan guru / pensyarah. Mereka mesti mencuba modul soalan STPM kebelakangan, atau soalan spesimen yang mirip tugasan peperiksaan sebenar. Penulisan jawapan boleh dibuat secara ujian merujuk buku (open book test) dahulu, diikuti ujian tutup buku (close book test).

Tidak timbul persoalan menipu diri sendiri atau meniru. Namanya pun latihan! Ibarat seorang calon kapten pesawat udara yang perlu melepasi piawai simulasi penerbangan di bilik persediaan sebelum dibenarkan memasuki ruang kokpit pesawat sebenar.

Kaedah penulisan secara deduktif yang disarankan ialah:

Perenggan 1:  Teori / andaian

Perenggan 2:  Gambar rajah / keluk (hanya jika diperlukan)

Perenggan 3:  Huraian Isi / huraian keluk.

Perenggan 4:  Penegasan teori (jika perlu sahaja, tugasan yang membabitkan 2 pemboleh ubah ke atas)

Misalnya, tugasan tentang keluk kemungkinan pengeluaran (KKP) bagi menerangkan masalah ekonomi iaitu kekurangan, pilihan dan kos lepas. Definisikan KKP secara ringkas, asas andaian (2 barang, faktor tetap, teknologi tetap, guna tenaga penuh) terlebih dahulu sebelum melukis KKP. Tegaskan bahawa di sepanjang garis KKP (dengan label A, B, C, D, E) menunjukkan had maksimum pengeluaran dalam tingkat ekonomi paling cekap.

Setiap kombinasi A, B, C, D, E itu ialah pilihan dengan dua keadaan ekstrem, iaitu pengeluaran satu barang sahaja  (A pada paksi y, E pada paksi x).  Kemudian bubuh kombinasi di bawah KKP yang menunjukkan ketidakcekapan atau pembaziran faktor. Kombinasi di luar KKP pula tidak boleh dicapai sebab kekurangan faktor. Konsep kos lepas boleh diterangkan menerusi pertambahan sesuatu barang mengurangkan pengeluaran barang lain. Misalnya, tambahan seunit pakaian perlu mengorbankan 2 unit makanan.

Dalam buku teks dan semasa sesi pembelajaran, kaedah induktif lazimnya digunakan. Pelajar dibawa meneroka contoh atau data hipotetikal terlebih dahulu sebelum sesuatu model dan teori dikemukakan. Tujuannya supaya pelajar dapat membincangkan perkara konkrit terlebih dahulu sebelum dibawa meneroka dunia teori yang lebih bersifat abstrak...

Monday, May 24, 2010

PEMBELAJARAN MENERUSI PERMAINAN (CRASH COURSE STIMULATED LEARNING PROCESS)

Di negara maju, ibu bapa sangat peka tentang kecenderungan, serta minat yang ditunjukkan oleh anak mereka yang masih kecil. Jerman yang dikenali juga sebagai bangsa jurutera, khususnya dalam bidang automatif, menjadi bukti bahawa permainan yang menerapkan unsur psikomotor (kemahiran deria) dapat mengembangkan potensi kognitif (akal, minda) dan afektif  (nilai) secara sekali gus. Maka, permainan berciri intelektual seperti kawada, menyusun blok, robotik, transformer, trek kereta api laju, litar lumba kereta dan rekaan fesyen "barbie" mendapat perhatian pasaran.
Ibu bapa yang demikian tidak lokek memperuntukkan perbelanjaan bagi menyuburkan minat anak kecil mereka yang mula meneroka dunia imaginasi dan peluahan kreatif secara konkrit. Mereka tidak kisah jika barang permainan itu akan dirosakkan atau sering ditinggalkan bersepah-sepah di atas lantai. Kos kewangan yang dikeluarkan dianggap sebagai suatu pelaburan jangka panjang.
Negara maju juga mementingkan keselamatan kanak-kanak dalam mengendalikan sesuatu permainan. Semua barang mainan yang dijual di pasaran perlu melepasi tahap piawaian yang ketat. Misalnya, barang mainan kanak-kanak tidak dibenarkan mengandungi bahan arsenik, atau toksik yang memudaratkan kesihatan.
Kanak-kanak dalam lingkungan usia 3 hingga 6 tahun diawasi oleh orang yang lebih dewasa supaya sebarang kemungkinan yang tidak diingini dapat dielakkan. Di samping itu, ibu bapa sanggup meluangkan masa bergembira dengan anak kecil mereka dengan menyertai permainan yang ada. Hubungan kekeluargaan bertambah akrab kerana si manja mendapat teman "sebaya" yang lebih dewasa!
Di Asia, Jepun merupakan peneraju barang permainan yang digemari kanak-kanak seluruh dunia. Bermula dengan filem animasi, Jepun berjaya menjual patung permainan yang menjadi kegilaan anak kecil. Siapa yang tidak kenal doraemon, pokemon, sin chan, dan ultraman?
Bagi negara yang hanya menikmati pendapatan per kapita (pendapatan purata penduduk) yang rendah, barang mainan dari negara China dan Thai menjadi daya tarikan. Harganya lebih murah walaupun dari segi piawaian keselamatan sukar mendapat jaminan. Ibu bapa berpendapatan sederhana tidak mahu ketinggalan menghadiahi si manja mereka dengan barang mainan yang difikirkan mampu menggilap bakat dan potensi yang mungkin tersembunyi...

Sunday, May 23, 2010

MERINGANKAN BEBAN MURID KURANG BERUNTUNG (HELPING NEEDY STUDENTS)

Masyarakat yang prihatin kaya dengan budi bahasa dan empati. Hakikatnya tidak semua anggota masyarakat menikmati akses terhadap kehidupan yang serba cukup dan selesa. Begitu juga dengan murid sekolah yang datang daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi.

Kategori murid kurang beruntung termasuk mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan tinggi, tetapi mengalami krisis emosi dan psikologi. Mereka perlu mendapat bantuan supaya dapat keluar daripada kemelut jiwa yang dihadapi. Biasanya kes sedemikian dirujuk kepada kaunselor pelajar yang menyediakan inventori dan pakej penerokaan kendiri supaya murid tadi dapat meletakkan perspektif permasalahan sebenar.

Murid kurang beruntung dari segi kewangan dihimpit krisis emosi dan psikologi yang lebih buruk jika mereka dibiarkan terumbang-ambing sendirian. Kumpulan murid kategori ini kadang-kadang tidak dapat dikesan secara mata kasar. Mereka pandai menyembunyikan kesengsaraan dan penderitaan yang dialami kerana enggan dipandang rendah.

Secara berkias, manusia secara amnya dikatakan mengenakan topeng bagi melindungi wajah sebenar mereka. Dalam disiplin psikologi, tingkah laku itu disebut sebagai helah bela diri (defence mechanism). Semua guru terlatih memiliki kemahiran untuk melakukan "pandang tembus" walaupun topeng itu tetap melekat di bahagian muka seseorang murid.

SMK St Michael, Ipoh (SMI) sebagai sebuah institusi pendidikan yang diasaskan bagi membantu murid kurang beruntung (the last, the least, the lost) sentiasa berpegang kepada tradisi masyarakat berbudi bahasa, empati dan penyayang. Pihak pentadbiran sekolah sentiasa melakukan pemantauan terhadap murid dan pelajar yang didapati mungkin termasuk dalam kategori kurang beruntung. SMI akan mencari jalan yang terbaik supaya murid berkenaan juga boleh menikmati iklim pembelajaran yang kondusif, serta tidak terjejas oleh kekurangan yang dihadapi di luar sekolah.
Secara formal, organisasi pengurusan SMI mempunyai Unit Biasiswa dan Kebajikan. Selain itu, pihak sekolah mendapat sokongan PIBG, Persatuan Bekas Murid (OMA), La Salle, dan beberapa buah pertubuhan luar yang bersediakan menghulurkan sumbangan. Pihak Kementerian Pelajaran, menerusi Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah turut mewujudkan mekanisme bagi menjaga kebajikan murid kurang beruntung.
Murid dan pelajar SMI juga tidak mahu ketinggalan dalam amalan kebajikan. Kelab Heritage baru-baru ini misalnya telah melancarkan kempen mengumpul buku-buku terpakai yang masih berguna, serta buku baharu sumbangan warga sekolah untuk diagih-agihkan kepada murid dan pelajar yang memerlukan. Kali ini pemberian buku dibuka kepada semua murid dan pelajar, justeru kelompok yang dikenal pasti kurang beruntung telah disenaraikan terlebih dahulu.
Sambutan yang diberikan cukup hangat. Dalam tempoh beberapa minit sahaja, semua buku yang disumbangkan telah memiliki tuan. Hal itu menjadi saksi betapa warga SMI sangat dahagakan bahan ilmu yang terkandung dalam buku-buku terpilih. Pemberian percuma dianggap sebagai bonus dan hadiah yang berharga...

SUKAN SEBAGAI SATU INDUSTRI: 1 MURID 1 SUKAN (THE BUSINESS OF SPORT IN SCHOOL)

Ekoran ketidakupayaan skuad badminton Piala Thomas negara menyaingi ketangkasan jagoan China baru-baru ini, pelbagai andaian, idea dan kritikan telah dilontarkan oleh tokoh yang dianggap berwibawa. Profesor Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim (bekas pelajar tingkatan 6 di St Michael's Institution) meletakkan akar umbi kelemahan daya juang atlet Malaysia dengan sikap masyarakat yang terlalu mengutamakan perkara yang bukan-bukan. Masyarakat Malaysia kini sangat lemah dan lembik, serta tidak mempunyai kekuatan minda berbanding dengan pemain negara lain (Kosmo! Ahad: 23 Mei 2010, 63).

Pada dekad 1980-an, Malaysia sangat digeruni sebagai kuasa besar bola sepak, badminton dan hoki di benua Asia, dan memiliki ranking yang baik di peringkat dunia. Pasukan bola sepak dan hoki berjaya meloloskan diri ke temasya Olimpik tanpa banyak masalah. Kini, pasukan negara terkial-kial mencari rentak untuk menyaingi pasukan yang dahulunya hanya berstatus belasahan.

Sebagai contoh, skuad bola sepak kita sudah jauh ketinggalan dengan Jepun dan Korea Selatan. Kita juga menghadapi masalah di peringkat Asia Tenggara, terutama Thailand dan Singapura. Kemungkinan tahap permainan kita tidak jatuh, cuma tahap permainan lawan meningkat lebih tinggi.

Untuk berlaku adil, mutu sukan negara bukanlah teruk sangat. Malaysia memiliki pemain nombor satu dunia dalam sukan boling padang, tenpin boling, skuasy, dan perahu layar. Atlet lumba basikal dan menembak juga berjaya menyelitkan diri dalam kelompok elit dunia. 

Namun, acara sukan yang disenaraikan itu tidak memiliki kelompok penggemar yang banyak. Kalau diadakan pertandingan, waima di peringkat dunia sekalipun, bilangan penonton yang hadir boleh dikira dengan jari. Sedangkan acara bola sepak, walaupun negara disenaraikan  dalam kelompok bawahan dunia, masih mampu menggamit jumlah penonton "pecah stadium".

Cuba tanyakan mana-mana pelajar atau orang awam sama ada mereka mengenali pemain boling padang atau atlet perahu layar kebanggaan negara? Barangkali mereka lebih cepat menyebut nama pemain bola sepak negeri dalam Liga M. Apabila berlangsung Piala Dunia di Afrika Selatan  mulai bulan Jun nanti, jangan harap masyarakat kita hendak melayan acara sukan yang lain.

Sukan sememangnya suatu industri berskala besar. Segala kemudahan, pakar dan peralatan  sukan menelan biaya yang tidak sedikit jumlahnya. Kesan pengganda dan kesan rantaian aktiviti sukan demikian luas hingga mencetuskan pelbagai projek dan peluang perniagaan.

Di kampung, kanak-kanak bebas bermain bola sepak di tanah lapang atau di tepi pantai.  Keadaannya akan berlainan dengan di bandar yang dipenuhi pelbagai premis awam dan komersial pada setiap inci tanah yang ada. Maka, di bandar diwujudkan arena futsal yang dikenakan kadar sewaan tertentu.

Tidak hairanlah bola sepak dianggap sebagai sukan awam kerana boleh dilangsungkan di mana-mana. Acara sukan lain memerlukan gelanggang yang khusus, peralatan yang mahal dan jersi yang perlu ditempah khas. Akhirnya, acara sukan selain bola sepak hanya disertai oleh kelompok masyarakat tertentu, terutama di kawasan bandar.

Kemuncak prestasi seseorang atlet ialah dalam lingkungan usia 20-an. Walaupun demikian, penyediaan seseorang atlet yang hebat perlu dimulai sewaktu usia awal kanak-kanak lagi. Maknanya, bakat-bakat sukan hendaklah dikenal pasti di peringkat sekolah rendah lagi.

Langkah mewajibkan penyertaan murid dalam sukan wajar dialu-alukan. Haji Mohd Sabri, presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat menganggap konsep 1 murid 1 sukan sebagai kena pada masanya supaya hasrat falsafah pendidikan kebangsaan yang dirujuk sebagai JERI (jasmani, emosi, rohani, inteleks) menerusi aktiviti sukan dapat menyerlahkan potensi insan yang menyeluruh dan seimbang. Namun, beliau turut mengingatkan supaya segala perancangan tentang kemudahan dan kepakaran dilaksanakan lebih awal. Perhatian terhadap murid yang kurang beruntung, kelainan upaya dan bermasalah kesihatan juga perlu diambil kira.

Negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom memiliki universiti khusus dalam bidang sukan, di samping institut penyelidikan dan pembangunan sukan. Pusat sukan berprestasi tinggi turut mendapat sentuhan pakar pelbagai disiplin ilmu. Sukan dianggap sebagai satu bidang sains dan seni sekali gus.

Australia misalnya bermegah dengan AIS (Australian Institute of Sports). Walaupun jumlah penduduk negara bertaraf benua itu lebih rendah berbanding dengan negara kita, atlet mereka dipusatkan supaya hal-hal kecergasan, pemakanan dan taktikal senantiasa diawasi. Sebab itu Australia memiliki banyak atlet yang setara pencapaiannya untuk dihantar menyertai sejumlah kejohanan secara serentak.

Malaysia telah mengorak langkah menubuhkan sekolah sukan (Bukit Jalil, Bandar Penawar), sekolah kluster kecemerlangan sukan, dan sekolah projek sukan negeri. UKM, UM dan UPM turut diberi peranan memajukan bidang sukan dengan sentuhan intelektual yang berteraskan penyelidikan.  Ibarat menanam pokok, hasilnya hanya dapat dilihat dalam tempoh beberapa tahun lagi...

Saturday, May 22, 2010

MENGAPA SAYA TIDAK JADI PENYANYI? (HIGH NOTES AND PITCHING IN SINGING)

Ipoh, Sabtu: 22 Mei 2010 / 8 Jamadil Akhir 1431

Ketika menuju laluan kaunter pasar raya Uda Ocean, Greentown Mall Ipoh, penulis blog (PB) disapa seorang petugas UO. Kali ini lucu sedikitlah pula. PB tergamam dan mengagak petugas berkenaan tersalah orang.

"Encik hendak masuk pertandingan karaoke?." Kalau tidak kerana ramai orang di situ, mahu agaknya PB ketawa bagaikan reaksi kelakar penceramah motivasi. Kalau ada cermin di situ, mahu agaknya PB melihat diri berkali-kali untuk melihat aura diri sebagai peserta karaoke.

Semuanya hanyalah monolog dalaman. Sebutir kata pun tidak diucapkan. PB hanya menggeleng ringkas tanda ucapan terima kasih kepada petugas UO atas pelawaan yang di luar dugaan itu.

Peristiwa di UO mengingatkan PB kenangan sebulan di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru lama dahulu. Semua guru pelatih dikehendaki menjalani ujian vokal untuk pemilihan pasukan koir maktab. Pensyarah muzik memainkan piano dan guru pelatih disuruh melagukan "lalalala" mengikut irama piano.

PB diuji berkali-kali. Ingatkan ada yang tidak kena. Rupa-rupanya pensyarah berkenaan hendak mencalonkan PB menganggotai pasukan koir maktab yang menurutnya sangat berprestij dan berpeluang bertanding di peringkat kebangsaan. Vokal PB sesuai di bahagian korus beramai-ramai.

PB sememangnya langsung tidak memiliki kecenderungan ke arah itu. Maka, PB memberi "seribu" alasan supaya dapat mengelakkan diri. Pensyarah muzik menyatakan kehairanannya kerana banyak guru pelatih berebut-rebut  supaya dipilih.

Bidang seni suara sering dikaitkan dengan gemerlapan dunia glamor. Itu pun kalau seseorang penyanyi itu digilai pencandu muzik, memperoleh melodi yang serasi, serta disokong oleh media. Lebih ramai yang kecundang.

Seorang bapa penyanyi terkenal pernah memberitahu PB bahawa duit hasil nyanyian ialah duit "hantu syaitan" yang tiada keberkatan. PB tidak mampu memberi apa-apa komen balas kerana di luar sana anak-anak muda berhempas pulas hendak menjadi glamor dan bersalut kemewahan sementara. Wallahu a'lam...

Thursday, May 20, 2010

MERU RAYA ZON PERTUMBUHAN BAHARU BANDAR RAYA IPOH ("SILICON VALLEY" IN IPOH)

Kejayaan Lembah Kelang, khususnya kawasan Putrajaya dan Cyberjaya, muncul sebagai koridor raya multimedia (MSC) telah mendorong projek yang sama di beberapa buah negeri, misalnya Nusa Jaya (Johor) dan Meru Raya (Perak). Prasarana teknologi berkelajuan tinggi ini diharap dapat mempercepat pencapaian matlamat negara maju menjelang 2020. Usahawan tempatan akan mempunyai akses rangkaian global bagi membina jaringan perniagaan yang strategik.
Mercu tanda projek MSC di Perak ialah bangunan Pusat Dagangan Teknologi Perak (PTTC) setinggi 20 tingkat berhampiran tol Jelapang. Walaupun masih baharu, kedudukan PTTC yang strategik dan boleh dilihat dengan jelas oleh pengguna lebuh raya bakal menggamit usahawan teknologi untuk mendapat gambaran lebih jelas tentang keunikan program MSC negeri Perak. Sebenarnya, PTTC hanyalah permulaan perpindahan pusat bandar raya Ipoh  ke  kawasan itu.

Terminal bas ekspres sementara yang berpindah dari Medan Kidd ke Medan Gopeng dijangka berpindah ke Meru Raya dalam dua atau tiga tahun lagi. Terminal bas serba canggih dalam kawasan MSC itu dijangka mencetuskan kesan rantaian terhadap aktiviti ekonomi yang lain. Institusi perbankan dan perkhidmatan kewangan dijangka melengkapkan pakej tawaran Meru Raya kepada pelabur dan usahawan tempatan. 

bersambung...

FORMAT PENYELIDIKAN PELAJAR PRAUNIVERSITI 6 RENDAH (THE FOUNDATION OF RESEARCH FOR SIXTH FORM)

Antara pembaharuan yang diperkenalkan dalam sistem pengajian tingkatan enam ialah tugasan penyelidikan kepada semua pelajar. Pelaksanaannya bertujuan menyediakan asas yang kukuh dalam aktiviti penyelidikan yang menjadi teras pemerolehan ilmu dan identiti pengajian tinggi.  Menerusi bimbingan guru berpengalaman setiap orang pelajar tingkatan 6 bakal menghasilkan satu penyelidikan yang menepati piawai yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Pelajaran (KPM).

Memang diakui terdapat begitu banyak bahan rujukan tentang penyelidikan dalam bentuk buku, ataupun secara dalam talian. Walaupun begitu, manual terperinci penyelidikan tingkatan 6 yang diperakui KPM masih belum berada di pasaran. Maka buat sementara, guru tingkatan 6 boleh menggunakan pendekatan asas penyelidikan menggunakan kaedah deskriptif, iaitu data kekerapan (frequency) dan peratus (percentage).

Secara ringkas, format penyelidikan yang boleh dicadangkan meliputi:

1   Pengenalan

2   Penyataan Masalah Penyelidikan / Signifikan Penyelidikan

3   Objektif / Soalan Penyelidikan

4   Tinjauan Bacaan:  teori, dapatan lalu

5   Instrumentasi: bina sendiri, guna milik penyelidik lain, dengan kebenaran

6   Kaedah Penyelidikan

7   Analisis Data

8   Kesimpulan dan Cadangan

Laporan penyelidikan sama sekali berlainan dengan bentuk penulisan popular, gosip atau pendapat peribadi. Setiap perkataan, konsep atau ayat yang digunakan mesti bertaraf data, bukan pernyataan yang bersifat arbitrari (terawang-awang) atau falasi (pernyataan tanpa sandaran data). Maka, data penyelidikan mempunyai tahap kesahan dan kebolehpercayaan yang sangat tinggi kerana kebiasaannya nilai ralat (alpha) yang diperuntukkan ialah 0.05 atau 5%.

Sebagai pendedahan, bidang penyelidikan tingkatan 6 hendaklah dibatasi kepada masalah yang berskala kecil sahaja supaya pentadbiran penyelidikan mudah dilakukan. Jawatankuasa penyelidikan yang dianggotai sekumpulan guru hendaklah membuat pertimbangan yang wajar dalam meluluskan sesuatu tajuk dan cadangan penyelidikan pelajar. Biarlah pelajar berasa bahawa aktiviti penyelidikan sebagai berguna dan menyeronokkan mereka...

Wednesday, May 19, 2010

MUSIM PEPERIKSAAN DI SMI (MICHAELIANS QUIET TIME)

Tiba-tiba SMK St Michael, Ipoh (SMI) sunyi sepi umpama negeri dilanggar geroda. Budak lelaki yang kebiasaannya tidak betah duduk diam kini seperti kaku dipasung. Mereka hanya mampu tunduk, persis pesalah yang pasrah menanti ketentuan nasib.
Perubahan tingkah laku secara mendadak itu sebenarnya berlaku di bilik peperiksaan. Budak tingkatan 4 memulakan musim peperiksaan pertengahan tahun mulai dari 10 Mei yang lalu. Setelah dua minggu, giliran murid tingkatan 3, 5 dan pelajar 6 Atas pula mengaplikasikan segala perancangan dan persediaan menulis jawapan yang diusahakan selama ini.
Pelbagai gelagat dapat diperhatikan. Ada yang asyik menulis, menulis dan menulis. Tidak kurang yang termenung sambil memegang dahi. Namun, tiada yang berani cuba-cuba meninjau rakan sebelah kerana bimbang disyaki cuba mengelat atau meniru.

Bagi murid tingkatan 4 yang pertama kali menduduki kertas tertentu yang sepenuhnya berbentuk subjektif tentulah kehilangan peluang untuk "tembak" pilihan jawapan, atau pejam mata terus jawab. Misalnya, kertas Bahasa Melayu yang menghendaki calon menguasai pelbagai bentuk kemahiran menulis dan kemahiran mengenal pasti aras soalan, sama ada soalan petikan, soalan kbkk, atau soalan komsas. Selain itu, murid harus cekap membuat kawalan masa agar sempat melengkapkan semua tugasan dalam tempoh yang diperuntukkan.

Tuesday, May 18, 2010

HUJAN RAHMAT DI SMI (THE SCHOOL IN WET)

Ipoh, Selasa: 18 Mei 2010 / 4 Jamadil Akhir 1431

"Kusangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari". Barangkali ungkapan peribahasa itu paling sesuai bagi menggambarkan siraman hujan lebat diselang seli dengan titik-titik renyai dan seriat yang melanda bandar raya Ipoh hari ini. SMK St Michael, Ipoh  (SMI) juga tidak terkecuali.
Hujan mulai turun sekitar pukul 12.30 tengah hari, dan berterusan hingga ke malam. Mengikut hukum logik silogisme, "jika hujan, maka basah". Maka, itulah yang berlaku.
Seluruh kawasan SMI bertukar menjadi medan air sementara. Zon yang paling terjejas ialah tempat letak kereta guru dan tempat meletak motosikal pelajar. Petak-petak parkir kereta pelajar yang bersimen sekadar menjadi lembap.
Hujan ialah fenomena geografi yang penting. Negara yang mengalami jumlah hujan yang rendah terdedah kepada risiko kemarau dan krisis bekalan air. Perebutan sumber air boleh mengakibatkan tercetusnya peperangan dan pertempuran antara negara.

Monday, May 17, 2010

GURU SEJARAH KUASAI UNDIAN POPULAR (ZUL, HING WON THE HEART OF MICHAELIANS)

Ipoh,  Isnin: 17 Mei 2010 / 3 Jamadil Akhir 1431
jambangan bunga tanda ingatan PIBG

Sambutan hari guru berlangsung dengan meriah di SMK St Michael, Ipoh (SMI). Acara bermula di tapak perhimpunan mingguan dengan bacaan perutusan Menteri Pelajaran, Malaysia, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, dan ucapan pengetua. Program yang diselaraskan secara bersama oleh Jabatan Hal Ehwal Murid, Kelab Staf, majlis pengawas dan majlis ketua kelas itu kemudian diserikan dengan beberapa persembahan pelajar.
Pelajar tingkatan enam rendah yang baru sahaja mendaftar minggu lalu turut membuat persembahan berbentuk gerakan formasi. Selain itu, hadirin disajikan dengan deklamasi sajak, silambam, wushu, dan banghra. Pengacara majlis, Mohd Safuan dari UA1 dilihat berjaya melaksanakan tugas dengan baik.
Seperti biasa, guru melafazkan ikrar dengan diketuai oleh guru data, Encik Prakas Rao. Kemudian lagu "Guru Malaysia" dinyanyikan dengan penuh semangat. Guru SMI telah memperbaharui komitmen bagi memantapkan penyampaian misi kecemerlangan pendidikan  di SMI yang menjengah perayaan seratus tahun pada 2012.
Cikgu Zul turut menerima hamper kemenangan skuad bola sepak "guru"

Antara acara yang mendapat perhatian ialah keputusan undian warga pelajar SMI terhadap beberapa kategori "anugerah" untuk guru. Cikgu Zulkefli Sulaiman, guru sejarah berpengalaman telah dipilih sebagai guru lelaki paling popular. Beliau mengatasi empat pencabar utama lain yang tersenarai pada peringkat akhir.
Guru wanita paling popular juga memihak kepada guru sejarah, Puan Hing Chong Hua. Maka, boleh disimpulkan bahawa guru sejarah telah mencatat sejarah. Mungkin ada rahsia tertentu yang perlu dipelajari daripada mereka.
Anugerah lain ialah guru paling bergaya (Tuan Haji Mohamad Sidik, Puan Azaliza), guru paling "sempoi" (En. Thederajan, Puan Shafinazaida) dan guru vokal terbaik (Encik Chong Weng Sung, Puan Agila). Encik Ibrahim bin Ahmad, antara guru pendidikan seni paling berpengalaman di Kinta, mendapat pencalonan paling banyak, cuma tidak lekat kedudukan teratas bagi mana-mana kategori. Kriteria anugerah dan proses undian dikendalikan oleh Kelab Antidadah.
Selepas berhenti rehat, sambutan hari guru disambung dengan acara sukaneka, bola sepak, bola jaring dan catur antarabangsa. Keputusannya: pasukan pelajar menghadiahkan kemenangan kepada pasukan guru (bola sepak 2-1; bola jaring 4-2). Hadiah disampaikan semasa majlis jamuan hari guru tajaan PIBG.
Satu pembaharuan dalam sambutan hari guru kali ini ialah penganugerahan terhadap panitia yang mencapai keputusan terbaik dalam peperiksaan awam. Hadiah sumbangan PIBG berupa sijil penghargaan dan wang tunai. Mudah-mudahan langkah ini akan menggalakkan persaingan yang sihat dalam kalangan panitia mata pelajaran di SMI...

Saturday, May 15, 2010

GURU MENYALAKAN OBOR ILMU (TOKEN APPRECIATION FOR TEACHERS)

Sambutan hari guru pada tanggal 16 Mei ditujukan kepada kaum guru yang sedang berkhidmat di bawah payung Kementerian Pelajaran Malaysia, terutamanya di sekolah. Di Malaysia, terdapat lebih 400 ribu orang guru yang telah melalui proses latihan dan pengiktirafan profesional daripada pelbagai institusi dalam dan luar negara, serta menerima lantikan Yang Di-Pertuan Agung sebagai sebahagian jentera perkhidmatan awam. Pendek kata, guru telah melepasi saringan dan tapisan yang begitu teliti sebelum layak bergelar sebagai pendidik.
sumber foto: Berita Minggu, 16 Mei 2010

Di luar profesion keguruan, masih banyak pihak yang cuba menggelar diri mereka sebagai guru. Misalnya guru tuisyen (yang tiada kelayakan profesional keguruan), "guru" sekolah memandu, "cikgu" pengajar kawad kaki dalam pasukan beruniform, guru silat, management guru, dan lain-lain. Walaupun gelaran guru masih belum diwartakan sebagai eksklusif seperti doktor, dan Ir., namun masyarakat memaklumi perkara berkenaan.

Guru dikategorikan sebagai perkhidmatan menolong (help service). Guru menolong kanak-kanak supaya dapat mengembangkan potensi dan fakulti mereka secara optimum sehingga akhirnya berupaya menyumbang terhadap kesejahteraan diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan umat manusia dalam persekitaran yang senantiasa mengalami perubahan. Medium pertolongan guru tidak lain tidak bukan ialah aktiviti pembelajaran dan pengajaran dalam bilik darjah, dan juga di luar bilik darjah.

Sistem pendidikan di Malaysia tidak menghalang penubuhan sekolah swasta bagi memenuhi kehendak ibu bapa yang mahukan pilihan selain sekolah bantuan penuh dan sekolah bantuan modal yang sedia ada. Kewujudan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah agama persendirian, sekolah vernakular persendirian, sekolah antarabangsa, kolej yayasan korporat tertentu dan sekolah gaya pos membuktikan kelonggaran yang diberikan untuk mengelolakan pendidikan jika memang ada keperluan berbuat demikian. Walaupun begitu, pihak berkuasa pendidikan tidak pernah berkompromi tentang pelaksanaan kurikulum, bahasa pengantar dan kelayakan guru mereka.

Era kepimpinan guru dalam masyarakat suatu ketika dahulu sudah beransur-ansur sirna. Bukan tidak ada guru yang diberi kepercayaan memimpin institusi rumah ibadah, jawatankuasa perumahan, panel pusat kesihatan, rukun tetangga dan sebagainya. Namun, bilangan mereka sudah mengecil secara berbanding, serta tidak lagi dominan.

Hal yang demikian sukar dielakkan. Guru perlu memperuntukkan lebih banyak masa untuk memperbaharui amalan profesionalisme keguruan mereka supaya keberkesanan penyampaian perkhidmatan menolong yang diharapkan benar-benar boleh dirasai murid. Maka, tumpuan terhadap pengkhususan kepakaran masing-masing akan lebih ketara.

Walaupun akses kepada ilmu pengetahuan dan maklumat sudah di hujung jari, dan peranan guru lebih menjurus kepada pemudah cara di bilik darjah, tugas asasi memupuk pembelajaran tidak boleh diabaikan sama sekali. Maksudnya, pembinaan jati diri dan penghayatan nilai murni perlu menjadi kenderaan kepada pemerolehan ilmu. Jika tidak, kanak-kanak akan menjadi seperti layang-layang yang terputus talinya, atau umpama kapal tanpa nakhoda.

                 Berburu di padang datar
                 Dapat rusa berbelang kaki
                 Berguru kepalang ajar 
                 Bagaikan bunga kembang tak jadi

Pantun klasik di atas serta sajak nukilan Usman Awang sering  bergema dalam majlis sambutan hari guru. Di sekolah, beberapa aktiviti diatur oleh kelab guru dan organisasi pelajar untuk memeriahkan sambutan seperti permainan, persembahan pentas dan jamuan. Selain itu, guru turut membaca ikrar dan menyanyikan lagu "Guru Malaysia".

                 Kami Guru Malaysia
                 Berikrar dan berjanji
                 Mendidik dan memimpin
                 Putera puteri negara kita

                 Pada Seri Paduka
                 Kami tumpahkan setia
                 Rukun negara kita
                 Panduan hidup kami semua

                 Di bidang pembangunan
                 Kami tetap bersama
                 Membantu membina
                 Negara yang tercinta

                 Amanah yang diberi
                 Kami tak persiakan
                 Apa yang kami janji
                 Tunai tetap kami tunaikan...


SELAMAT HARI GURU

Friday, May 14, 2010

GURU PELATIH UPSI AKHIRI PRAKTIKUM (NICE DAYS AT ST MICHAEL'S INSTITUTION)

Ipoh, Jumaat: 14 Mei 2010 / 29 Jamadil Awal 1431.

Dari kiri: Shahrul, Ibrahim, Yusuf, Adi

Setelah dua belas minggu menjalani latihan mengajar, sejumlah 7 orang guru pelatih Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim (UPSI) mengucapkan selamat tinggal kepada seluruh warga SMK St Michael, Ipoh (SMI). Antara guru praktikum berkenaan ialah Encik Mohd Shahrul dari Kelantan dan Encik Yusuf dari Pahang. Sementara menunggu tawaran penempatan selaku guru sandaran terlatih, mereka bakal berehat di kampung halaman masing-masing buat seketika.

Kedua-dua Shahrul dan Yusuf berlatar belakang opsyen Pendidikan Seni (major) dan Pengajian Melayu. Mereka tiba di SMI pada pagi pelantikan pemimpin pelajar (18 Februari), dan kemudiannya ditempatkan untuk sesi petang. Pengalaman berhadapan dengan semua murid lelaki menengah rendah akan menjadi bekalan sebelum memulakan kerjaya keguruan sebenar kelak.

Menyingkap kembali penempatan praktikum di SMI, awal-awal lagi mereka sudah teruja. Maklumlah SMI sebuah sekolah premier yang telah sekian lama mengukir kemasyhuran, dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Namun, Shahrul dan Yusuf tetap menyedari bahawa di mana-mana pun cabaran dunia bilik darjah tetap sama, iaitu tentang keberkesanan, serta kebolehlaksanaan penyampaian kepada sejumlah generasi muda yang kaya dengan pelbagai kerenah dan ragam.
Secara amnya, murid SMI memberikan kerjasama dan maklum balas yang amat baik, khususnya ketika penyeliaan pensyarah UPSI berlangsung. Guru pembimbing di SMI juga begitu bermurah hari untuk berkongsi idea dan pengalaman lapangan. Maka, jurang antara teori yang dipelajari di bilik kuliah UPSI dengan amalan sebenar di SMI dapat diminimumkan.

Hari-hari di SMI telah menjadi sejarah. Kini Shahrul dan Yusuf sudah bersedia menghadapi hari muka sebagai guru terlatih yang berdedikasi dan cemerlang. Mereka akan membuktikan bahawa kerjaya keguruan bukanlah pilihan terakhir. Selamat maju jaya...

CATATAN BADMINTON PIALA THOMAS MALAYSIA - CHINA (THOMAS CUP: THE WORLD BADMINTON GLORY)

Ketika ini Malaysia ketinggalan 0-1 di tangan China setelah Datuk Lee Chong Wei terpaksa akur kepada ketangkasan Lin Dan dalam permainan terus, 17-21, 8-21. Memandangkan perlawanan berlangsung pada waktu Maghrib, kesempatan menonton siaran langsung di kaca televisyen menjadi terhad. Nampaknya status sebagai pemain nombor satu dunia Chong Wei sentiasa dibayangi oleh pemain utama negara tembok besar itu.
Menonton Piala Thomas menerusi telefon bimbit

Kini pasangan nombor satu dunia, Koo Kean Kiat (Michaelian) - Tan Boon Heong masih bertungkus-lumus dalam perhitungan dengan beregu handalan China, Cai Yun - Fu Aiping, apabila ketinggalan agak jauh (10 - 17) dan sering membuat hantaran keluar gelanggang. Bukan tidak memberi tentangan, tetapi sentuhan penyudah sering memihak kepada beregu lawan. Akhirnya hantaran balas yang tersekat di jaring menghadiahkan kemenangan set pertama kepada lawan, 15-21.

Set kedua bermula dengan skrip yang hampir sama. Kali ini berkali-kali smash pasangan Malaysia sangkut di jaring sehingga ketinggalan 1-6. Pada pertengahan permainan, lawan mendahului 11-5. Nampaknya tugas bertambah berat dan tekanan juga semakin tinggi.

Setelah bulu tangkis dihantar keluar, kena tipulah pula  dengan servis lambung  (lob). Sekarang 10-20! Dan Cai Yun dengan mudah meletakkan bulu tangkis ke gelanggang Malaysia tanpa mendapat jawapan. Maka, China sudah kukuh dengan kedudukan 2-0.

Kean Kiat mengakui walaupun telah mencuba, permainan mereka masih tidak mampu menyerap gerakan pantas pemain China. Boon Heong pula berpendapat dalam tahap pemainan seumpamanya, pasangan yang berjaya memimpin serangan akan menyebabkan pihak lawan tertekan dan seterusnya terperangkap untuk terus membuat kesilapan. Apakah Wong Choon Han, 33 dapat mencipta misi ajaib bagi menafikan kemenangan China menerusi pemain muda mereka, Chen Jin, 21?
rehat di arena Kilas Tangkis, tonton Indonesia lawan Jepun

Mata pembukaan Choon Han hanya dikutip setelah ketinggalan 0-3. Pukulan drop gagal disambut lawan untuk 2-4. Bola tanggung pula.3-6.  4-6. Keluar lagi, 4-8. Chen Jin membuat kawalan gelanggang yang baik apabila memaksa Choon Han berkejar di sekeliling gelanggang. Pertengahan set pertama, 5-11.

Sekarang 7-12. Pengalaman nampaknya tidak memadai untuk menyaingi kecergasan. 8-15. Pukulan Chen Jin melebar dan tersasar, 10-15. Langkah Chen Jin sudah mati, sayangnya tolakan Choon Han melepasi garisan belakang, 11-17. Smash padu (267 km sejam) dihalakan ke kiri Chen Jin, 12-18. Bergerak lagi, 14-19. Mata akhir, 15-20. 16-20.  Lagi tolakan ke belakang tersasar. Tamat sudah set pertama. Misi "mustahil" pula akan bermula dalam set kedua!

Mata pertama buat Choon Han apabila Chen Jin menghantar shuttle ke jaring. Kembali tolakan melapasi garis belakang, 1-1. Asakan lawan dijawab dengan pukulan yang agak goyah, 1-5. 3-6. Dua kali sangkut di jaring, 3-9. Mata kesebelas terus diraih lawan, tujuh mata di hadapan. Hanya 10 mata untuk China merayakan kejayaan melangkah ke perlawanan akhir untuk bertemu Indonesia.

Kuisan ke jaring dan tolakan keluar berterusan, 5-14. Seakan-akan gerakan Choon Han semakin perlahan, dan Chen Jin mengambil kesempatan. 6-17, 6-18. Keluar lagi, 6-19. Mata akhir hadiah tolakan keluar. 7-20. Sangkut di jaring, 7-21. Perjuangan Malaysia berakhir di sini!
 pemain Kilas Tangkis mendambakan inspirasi

Choon Han berkata bahawa dia telah mencuba segala cara, tetapi Chen Jin sangat sabar dan tidak gopoh. Kunci kekuatan China ialah keseimbangan sepasukan. Malaysia kena menunggu dua tahun  lagi untuk terus mencuba.

Datuk Misbun, ketua jurulatih perseorangan menganggap kekebalan pasukan China memang sudah dijangka, dan semua pemain Malaysia telah mencuba sedaya upaya. Satu post-mortem untuk mengkaji kekuatan mental dalam menghadapi tekanan bakal menjadi keutamaan pasukan negara, di samping mengetengahkan bakat-bakat baharu untuk terus kekal dalam kalangan pasukan badminton elit dunia. Apa-apa pun sasaran layak ke separuh akhir sebenarnya tercapai. Tahniah Malaysia!

Wednesday, May 12, 2010

BELIA KREATIF PEMACU PEMBANGUNAN NEGARA (THE BRIGHT FUTURE FOR CREATIVE MALAYSIAN YOUTH)

Pada tahun 2010, jumlah belia di Malaysia menjangkau angka 11.65 juta orang, bersamaan 40.2 peratus penduduk negara. Berdasarkan takrifan Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia 2007, lingkungan umur belia ialah antara 15 hingga 40 tahun. Ada juga yang menetapkan lingkungan usia yang lain, misalnya Majlis Belia Sedunia memilih 10- 24 tahun (www.way.org.my).

Dari segi psikologi, peringkat usia belia dianggap sebagai fasa penerokaan sebelum mencapai tahap kematangan. Sebagai aset negara dan gelombang masa hadapan sesebuah negara, belia perlu diberi perhatian yang wajar. Andaian-andaian negatif terhadap belia mesti digantikan dengan kerja-kerja penyelidikan, perancangan dan pelaksanaan program ke arah peningkatan nilai jati diri dan modal insan mereka.

Di United Kingdom, jemaah kabinet terbaharu mereka dianggotai oleh tokoh politik konservatif yang tidak jauh daripada usia belia. Bakal perdana menteri dan timbalannya baru mencecah usia 43 tahun. Lebih menarik, canselor perbendaharaan (menteri kewangan) pula bakal disandang oleh seorang belia 38 tahun!

Arah aliran yang sama sedang berkembang di seluruh dunia. Sebaik sahaja melepasi usia belia, banyak yang sudah berjaya muncul sebagai pemimpin utama negara. Barrack Obama (USA) dan Abishit Vejjajiva (Thai)  juga 40-an. 

Belia Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Maybank, Telekom, dan Tenaga Nasional kini diketuai oleh belia. Pelan transformasi kerajaan juga akan membuka ruang kepada belia yang berbakat untuk menyandang kedudukan penting dalam sektor  awam tanpa perlu menunggu hingga hampir usia persaraan. Sekolah menengah tertentu juga mungkin diterajui oleh pengetua yang berusia belia.

Tema Hari Belia 2010 ialah "Belia Kreatif Pemacu Pembangunan Negara", iaitu mirip tema hari pekerja, iaitu "Pekerja Berinovasi Pemacu Transformasi". Kreatif dan inovatif boleh dianggap pasangan kembar yang properubahan. Insan kreatif dan inovatif tidak akan terikat dan terkongkong dengan dogma, paradigma dan status quo.

Usia belia ialah fasa usia yang dilimpahi tenaga fizikal dan perluahan kreatif. Sama ada mereka berpeluang melakukannya atau tidak, banyak bergantung kepada perspektif masyarakat yang lebih dewasa terhadap mereka. Hanya dengan bimbingan dan kepercayaan, golongan belia dapat menyerlahkan potensi dan sumbangan kreatif mereka.

Sebelum pewartaan Akta Belia 2007, isu kepimpinan perubuhan belia kerap mengundang kontroversi. Ada pertubuhan belia yang diterajui oleh tokoh berpengaruh yang berusia melebihi 60 tahun. Alasannya, jiwa belia masih menebal dalam diri mereka.

Keinginan serta niat suci "belia emas" itu masih boleh dialu-alukan dengan cara meletakkan mereka dalam panel penasihat pertubuhan belia, tetapi tidak diberi kuasa eksekutif dalam proses membuat keputusan. Malaysia perlu mengembalikan era gemilang belia 1980-an yang digerakkan oleh pemuda pemudi sebenar. Jika program belia hanya dipenuhi golongan dewasa yang kebal dengan sindrom penafian bahawa mereka lebih layak bergelar bapa dan datuk kepada belia, maka golongan belia sebenar beralih kepada aktiviti rakan sebaya mereka di pusat membeli-belah, jalan raya dan pesta hiburan.

Malaysia boleh dikira beruntung kerana kepimpinan belia negara diberi penghormatan menerajui Himpunan Belia Dunia (World Assembly of Youth, WAY) yang dianggotai oleh 120 buah negara. Ibu pejabat organisasi belia dunia itu terletak di Ayer Keroh Melaka. Menteri Besar Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam telah memimpin WAY sejak tahun 1993. Penulis blog (PB) selaku exco Majlis Belia Kinta ketika itu hadir dalam majlis meraikan pelantikan beliau bertempat di Kelab Di-Raja Ipoh, berdekatan SMK St Michael (SMI).

Kesimpulannya, kepimpinan dan peranan belia mesti kembali ke landasan asal. Kelompok belia yang melencong dan terbabit dengan aktiviti yang tidak membawa faedah hendaklah dipujuk supaya mengisi program belia yang bersesuaian dengan kecenderungan dan minat masing-masing. Kejayaan menggembleng kreativiti kaum belia merupakan jaminan  terhadap kemakmuran, kesejahteraan dan keselamatan negara dalam jangka masa panjang, Insya-Allah...

SELAMAT MENYAMBUT HARI BELIA