Thursday, June 30, 2011

IKUT KEPERLUAN, BUKAN IKUT PERASAAN (THE SECOND OPINION)

Keperluan ertinya perbezaan antara apa yang sepatutnya ada dengan apa yang sebenarnya ada bagi mencapai matlamat atau bagi menghilangkan kesusahan. Konsep keperluan akan berbeza-beza mengikut disiplin kajian, sudut perbincangan dan tahap pengalaman yang diperhatikan. Namun, secara amnya keperluan menjurus kepada perkara-perkara asas yang bersifat kritikal.

Contohnya, seorang kanak-kanak sepatutnya tidur selama 8 jam sehari, tetapi hanya dapat tidur 6 jam sahaja sebagai akibat aktiviti sampingan di hadapan skrin televisyen, tuisyen swasta dan ketagihan rangkaian sosial maya. Maka, kanak-kanak berkenaan masih mempunyai keperluan tidur selama 2 jam sehari. Keperluan itu hanya dapat dipenuhi dengan cara menyusun semula keutamaan aktiviti seperti di bawah:

          penting dan segera

          penting, tetapi tidak segera

          tidak penting dan tidak segera

bersambung...

Wednesday, June 29, 2011

CERPEN "ISRAK" KOMSAS TINGKATAN 4 (GENERATION GAP)

Pengenalan

Israk, anak muda yang membesar di Perth, Australia dibawa oleh bapanya, Adam dan ibunya, Siti Hawa mengunjungi rumah nenek sebelah bapanya, Wah di Sayong, Kuala Kangsar. Israk menunjukkan rasa tidak selesa secara terbuka terhadap insan yang pernah menjaganya semasa kecil. Walaupun sikapnya ditegur oleh adik perempuannya, Mikraj, Adam tetap demikian hinggalah satu peristiwa di tebing Sungai Perak yang telah mengubah keadaan.

Pengarang cerpen, Erda Roslan Khairi berjaya memaparkan tema kasih sayang dapat mengatasi sifat ego seseorang. Generasi muda yang masih belum banyak pengalaman hidup sering tidak berupaya menyelami perasaan orang dewasa, malah enggan dikaitkan dengan sejarah silam. Cerpen yang dimuatkan dalam antologi Harga Remaja, muka surat 131 - 142 itu berjaya mengungkapkan penemuan jati diri dan akar umbi warisan dalam kalangan generasi muda menerusi watak Israk, Mikraj dan Wah.

Perbincangan Watak

Israk bin Adam: Anak pasangan Adam dan Siti Hawa. Tinggal di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.
                         Mengikuti pengajian dalam bidang korporat. Rimas dengan keadaan kampung, serta mempamerkan
                          enggan menjamah durian dan segal hidangan yang disediakan oleh Wah, neneknya sendiri. Israk juga tega
                         (sampai hati) merentap jatuh langsir di rumah Wah.

Mikraj binti Adam:  Adik Israk. Lebih cenderung terhadap sastera. Gadis yang beradab dan sopan. Mikraj menegur sikap Israk
                          yang tidak menghormati orang tua. Rancangan balik kampung itu dicadangkan oleh Mikraj.

Wah:  Nenek Israk. Semasa remaja pernah menaruh hati kepada Lebai Salleh, tetapi jodohnya Firdaus Frank, anak buah
           Frank Swettenham.Penyabar orangnya dalam menghadapi tingkah laku cucunya Israk yang dipengaruhi cara hidup Barat. Wah pandai memberi nasihat secara kiasan.

Adam:  Bapa Israk. Tidak pernah melihat wajah Firdaus Frank bapanya yang meninggal dunia beberapa hari sebelum dia dilahirkan.
             Berusaha menyedarkan Israk, tetapi tidak cukup bertegas.

Sepintas lalu plot cerpen

Permulaan: Israk sekeluarga tiba di rumah Wah, di Sayong, Kuala Kangsar, berhampiran Sungai Perak. Israk dari awal lagi menunjukkan dia tidak senang.

Perkembangan / eksposisi: Mikraj, Adam dan Hawa sangat teruja menjamah durian, tetapi Israk sebaliknya. Israk menolak pujukan Wah mentah-mentah (sambil menepis tangan Wah).

Konflik / pergolakan:  Israk terus menunjukkan sikap buruknya. Israk merungut tentang makanan, televisyen rosak, membuat ulasan negatif terhadap cerita Wah, merentap langsir kuning raja Wah. Israk juga tidak mempedulikan kata-kata Mikraj, malah melabel Mikraj sebagai gadis liar. Wah segera mencegah pertikaman lidah selanjutnya.

Puncak / kilmaks:  Apabila bekalan air terputus, Israk menyahut cabaran Mikraj untuk mandi di sungai. Tiba-tiba Israk terjatuh, lalu berpaut kepada tali sauh yang sudah reput. Wah menyelamatkan Israk dengan menghulurkan sebatang kayu sambil menarik Israk dengan sepenuh tenaga tuanya. Israk tersipu malu apabila bertentangan mata dengan Wah.

Peleraian:  Israk keluar bilik lengkap dengan baju Melayu. Israk sendiri mencedok nasi dan bertanyakan tentang jering dan tempoyak...

contoh tugasan menyusul...

Tuesday, June 28, 2011

KALAU SUDAH JODOH (CHEMISTRY BEHIND LOVE)

Abdullah Khairul Azam, mahasiswa al-Azhar lebih dikenali sebagai penjual bakso dan tempe yang mencetus fenomena di Kaherah hingga dikagumi oleh Eliyana, anak duta besar Indonesia yang juga seorang pelakon sinetron popular. Suatu hari Azam telah menolong seorang siswi senegara, iaitu Anna Althafunnisa yang kehilangan sejumlah buku rujukan dan juga wang di dalam bas. Anna sangat berharap bahawa Azam akan menjadi jodoh buat dirinya kerana sifat Azam yang sedia melindungi wanita.

Anna tamat pengajian lebih awal dan pulang ke Solo. Dia dipinang oleh teman sekuliah bernama Furqon. Walaupun Anna memberi pelbagai syarat supaya Furqon tidak jadi meneruskan lamaran, Furqon seperti tidak faham.

Setelah bernikah 6 bulan, Furqon yang percaya dirinya terkena virus HIV angkara seorang wanita Itali telah tidak melaksanakan tugas sebagai suami. Apabila Furqon berterus terang, Anna menuntut cerai serta-merta. Dalam tempoh yang sama, Azam kembali ke Indonesia dan sibuk benar mencari pasangan hidup.

Ada-ada sahaja hal yang berlaku menyebabkan Azam yang beberapa kali hampir nikah terpaksa menunda hasratnya itu. Anna pula tidak menyangka bahawa Azam ialah abang kepada sahabat karibnya dalm bidang penulisan, iaitu Ayatul Husna. Setelah buntu, Azam menyerahkan cincin kepada Kiyai Luthfi, ayah Anna.

Tepat dan kebetulan. Wanita yang bercerai tanpa disentuh tidak perlukan tempoh edah tiga bulan. Kiyai Lutfi dengan senang hati menawarkan Anna sebagai isteri Azam.

Dalam masa yang sama, Furqon menjalani ujian darah di beberapa buah makmal termasuk di Australia dan Singapura. Dia disahkan bebas daripada HIV. Namun, dia telah terlewat untuk rujuk semula dengan Anna yang sudah sah sebagai isteri Azzam.

Ketika menghubungi Anna, mantan isterinya itu sudah dalam perjalanan bulan madu dengan suami barunya. Tiba-tiba Eliyana muncul di situ. Maka, Furqon bertemu semula dengan Eliyana yang sudah mengenakan jilbab. 

Demikian lebih kurang kisah filem "Ketika Cinta Bertasbih" yang diadaptasi daripada novel karya Habiurrahman El Shirazy, 34, siswazah al-Azhar. Sebagaimana status novel yang mencatat jualan terlaris, filem dalam dua sekuel itu turut menggamit hampir 5 juta orang penonton di pawagam seluruh Indonesia pada tahun 2009. Stesen televisyen milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), al-Hijrah telah menayangkan kedua-dua sekuel filem berkenaan baru-baru ini.

Penulis blog (PB) hanya mengenali Deddy Mizwar, 56 yang memegang watak Kiyai Luthfi dan bintang undangan, Dude Herlino, 31 yang menjadi tunang Ayatul Husna. Watak-watak lain dalam "Ketika Cinta Bertasbih" dipilih menerusi proses uji bakat di kota-kota utama Indonesia. Filem itu boleh dikategorikan sebagai filem yang sangat sopan dan beradab.

Kholili Asadil Alam, 22 (Azam) asalnya ialah aktivis teater yang pernah menjadi penjual ayam goreng. Beliau telah berangkat ke Sekolah Perniagaan Harvard di Amerika Syarikat penghujung 2010. Oki Setiana Dewi, 22 (Anna) siswazah Universiti Indonesia memang aktif dalam dunia lakonan sejak remaja dan mula memakai jilbab pada tahun 2005.

Kata bual dalam filem "Ketika Cinta Bertasbih" diolah dengan begitu teliti. Plot cerita yang banyak berkisar terhadap peristiwa kebetulan memang lazim berlaku dalam dunia kehidupan kita yang sebenar. Sebagaimana harapan penonton aliran soap opera, akhirnya jodoh tidak ke mana-mana...

Monday, June 27, 2011

MENGHORMATI HARTA INTELEKTUAL (PAY ROYALTIES FOR INTELLECTUAL COPYRIGHT)

Kos membuat salinan fotostat di Arab Saudi ialah RM0.20 setiap muka surat, manakala di Australia mencecah RM0.50. Maknanya, membeli salinan asal akan lebih murah. Keadaan yang sebaliknya berlaku di rantau Asia Tenggara, termasuk negara kita.

Kedai fotostat terdapat di mana-mana, terutama di lokasi berhampiran kolej, politeknik dan universiti. Harga perkhidmatan yang ditawarkan begitu rendah hingga RM0.03 bagi setiap muka surat saiz A4. Sebuah kedai fotosatat Taman Cempaka, Ipoh yang menjadi tumpuan budak Politeknik Ungku Omar, Ipoh dibuka hingga pukul 2.30 pagi!

Dari satu segi, kemunculan kedai-kedai fotostat banyak membantu pelajar membanyakkan bahan bacaan, berkongsi nota kuliah, atau menyediakan set item soal selidik. Pelajar juga dapat menjimatkan kos untuk menjilidkan kertas projek atau tugasan berkala. Kedai-kedai fotostat mampu menawarkan harga yang rendah kerana jumlah jualan yang tinggi.

Di dalam kawasan kampus juga terdapat pengendali perkhidmatan fotostat. Malah sesetengah perpustakaan universiti menyediakan mesin fotostat layan diri. Pelajar hanya perlu membeli kad prabayar yang sudah diprogramkan bernilai RM5 atau RM10.

Dari segi undang-undang hak cipta, kelonggaran fotostat diberi hanya untuk tujuan pembelajaran, dengan syarat membuat salinan dalam nisbah tertentu, misalnya tidak melebihi satu bab. Bahan fotostat itu pula hendaklah untuk kegunaan peribadi dan tidak boleh dikomersialkan. Jika terdapat aduan terhadap kes fotostat melebihi had yang dibenarkan, pihak yang berbuat demikian boleh didakwa di mahkamah.

Setakat ini Malaysia telah mula bertegas tentang urusan kuat kuasa undang-undang harta inteleks. Perisian palsu dan keluaran peranti jenama klon telah dirampas, penjual ditangkap dan premis mereka disita. Pengunjung Plaza Low Yatt di Bukit Bintang pernah menjadi saksi pekerja-pekerja perisian murah digari beramai-ramai untuk disumbat ke dalam sel tahanan.

Kekurangan buku teks, terutama di universiti sangat dirasai. Malah, terdapat naskhah yang dilabel sebagai buku "tanda merah", iaitu pelajar boleh membuat pinjaman dalam tempoh beberapa jam sahaja. Edisi murah luar benua Amerika pun masih sukar diperoleh.

Di sesetengah negara seperti Canada, terdapat peraturan membayar royalti kepada bahan fotostat buku. Kedai memasukkan caj royalti bersekali dalam bayaran perkhidmatan yang dikenakan. Rasa hormat terhadap hak cipta intelektual begitu tinggi.

Di Malaysia, kita perlu bermula dengan kempen dan pendidikan. Sambil itu, satu mekanisme kutipan royalti perlu disediakan terlebih dahulu supaya cubaan mengelat dapat dihadkan. Masyarakat hendaklah disedarkan bahawa aktiviti salinan mekanikal atau secara elektronik tanpa izin itu tidak ubah seperti kerja maling...

SIKAP DEGIL JEJAS PEMBELAJARAN (HANDLING AVERSION, HESITATION, REFUSAL AND RELUCTANT MANNER)

Antara tingkah laku murid atau pelajar yang agak sukar untuk dikendalikan ialah sikap degil dan enggan mempedulikan aktiviti bilik darjah. Pembawaan melencong itu walaupun hanya membabitkan seorang dua murid sudah cukup untuk mengganggu kelancaran proses pembelajaran. Murid sedemikian tanpa rasa bersalah dengan selamba menyembamkan muka di permukaan meja, malah berani menunjukkan sifat "lawan tauke" apabila ditegur oleh guru.

Cikgu-cikgu telah menerima pendedahan ilmu sosiologi pendidikan sebelum mereka layak ditauliahkan sebagai pendidik. Susun lapis masyarakat yang normal ialah 5 peratus pemimpin (dalam pelbagai aspek), 90 peratus pengikut, dan 5 peratus lagi ialah kelompok pinggiran yang cenderung kepada tingkah laku devian atau lencongan tadi. Maka, lebih kurang begitu juga yang terjadi dalam persekitaran bilik darjah.

Meskipun cikgu memiliki impian bahawa 100 peratus murid dalam bilik darjah yang dikendalikan akan akur terhadap aktiviti kurikulum yang dilaksanakan, hakikatnya tetap sahaja ada budak-budak yang bermotivasi negatif. Di universiti pun ada juga kes pelajar yang ingkar di dewan kuliah. Bezanya, pelajar universiti lebih pintar mencari jalan supaya tetap memperoleh ijazah.

Sikap degil menyebabkan sasaran pihak sekolah dalam bidang akademik terancam. Banyak masa terpaksa diperuntukkan bagi menangani kerenah budak yang unik itu. Kaunselor pelajar perlu menggunakan pelbagai inventori dan terapi dengan harapan murid itu sendiri dapat mengungkapkan betapa mereka telah berpegang kepada pendirian yang salah.

Sikap degil dibawa dari rumah. Murid berkenaan memang sentiasa memeningkan kepala ibu bapa mereka. Segala bentuk nasihat, pujukan, apatah lagi leteran bagaikan mencurah air di daun keladi.

Mereka sudah mangli dengan cakap-cakap berbaur harapan mahupun bentakan. Semua itu tidak lagi berbekas. Mereka hanya mendengar kata hati diri sendiri dan kawan-kawan yang sealiran.

Golongan pendidik diamanahkan supaya menerima semua murid tanpa syarat, iaitu mereka dialu-alukan seadanya (you are welcome as you are). Namun, sebagai insan biasa yang punya perasaan halus, sikap degil yang keterlaluan itu tidak betah didiamkan tanpa tindakan lanjut. Jika diagnosis bersendirian tidak boleh dilakukan, rujukan pakar dan tindakan pihak atasan diperlukan.

Pihak sekolah tidak boleh berhenti melakukan segala ikhtiar yang terdaya bagi menukar sikap degil yang negatif itu kepada sikap degil yang positif. Pasti ada sisi lembut (soft spot) pada diri seseorang insan. Kalau kita tidak mencubanya, kita tidak bakal tahu...

Saturday, June 25, 2011

"PEMAIN CATUR" CERPEN KOMSAS TINGKATAN 4 (DIRTY TACTICS TO STOP THE OPPONENT'S OPTION)

Pengenalan

Pada mulanya Uj, si abang sulung bersungguh-sungguh melatih adik bongsunya Um supaya muncul sebagai pewaris legasi keluarga dalam permainan catur. Um diajarkan segala-galanya, mengatasi perhatian Uj daripada Us, Uk, Ur, iaitu abang-abangnya yang lain. Adu domba Uk kononnya Um mahu mengambil alih kehebatan Uj menyebabkan pertembungan Uj dengan Um yang bertukar kepada pertelingkahan dan taktik kotor Uj hingga menyebabkan emak mereka terkena serangan angin ahmar.

Sinopsis

Cerpen karya Zaharah Nawawi dalam antologi Harga Remaja, muka surat 143 - 152 dimulai dengan cabaran berlawan catur oleh Uj kepada Um. Uj mendakwa UM telah lama berlatih dengan Ul, Us, Uk dan Ur, tetapi Um berdalih dia sedang memikirkan ibu yang sakit darah tinggi. Uj mula menunjukkan amarah kepada Um yang selama ini ditatang bagi minyak yang penuh. Uj memang mengharapkan Um dengan membangkitkan kegemilangan keluarga mereka dalam permainan catur bermula di tanah Arab. Akhirnya Um yang mulanya bersifat dingin menunjukkan minat yang mendalam. Dalam pada itu Uk mula memasukkan jarum bisikan menghasut kononnya UM hendak mengambil alih kedudukan Uj. Termakan cakap Uk, Uj lalu memaksa Um berlawan dengannya. Uj segera mencegah Um daripada memilih buah catur berwarna putih. Setelah tiga hari tiga malam, Um berjaya mencemaskan Uj apabila satu demi satu bidak askar Uj ditawan. Sedang Um meneguk minuman, kedudukan buah catur kota miliknya dialihkan. Uj sebaliknya menuduh Um cuba menipu. Taktik kotor Uj berterusan apabila Um terkena semburan asid yang diletak di bawah meja. Ibu yang sedih dengan perbalahan adik-beradik itu tiba-tiba diserang angin ahmar. Tuduh-menuduh tercetus tanpa mempedulikan nasihat si ibu. Walaupun angkara siapa belum dipastikan, keluarga pemain catur itu telah pun berpecah belah. Perenggan terakhir cerpen mengulangi perenggan pertama cerpen... 

Perbincangan

Tema:  Perpecahan keluarga akibat rasa angkuh dan cemburu melulu

modul tugasan dan perbincangan menyusul...

Thursday, June 23, 2011

MENUTUP PINTU KEROSAKAN (PREVENT AN ANTICIPATED)

Menjelang sambutan Israk dan Mikraj, mimbar Jumaat memberi tumpuan kepada pengajaran tentang peristiwa Nabi dijalankan sambil menyaksikan pelbagai peristiwa untuk disampaikan kepada manusia. Dua isu yang disentuh ialah tentang zina dan perhimpunan haram. Akibat zina dihuraikan dengan panjang lebar, manakala isu perhimpunan haram hanya disentuh sepintas lalu, iaitu dikaitkan dengan nikmat keamanan di negara ini.

Perbincangan ini bagaimanapun akan hanya melihat sudut yang berlainan. Dalam amalan dan tindakan harian, banyak perkara yang boleh dilaksanakan dengan tepat andai kata seseorang itu memiliki sifat bijak dan teliti. Maknanya, segala unsur pembaziran dan perbuatan sia-sia dapat dielakkan.

bersambung...

HIKAYAT ANGGUN CIK TUNGGAL KOMSAS TINGKATAN 2 (THE MAGICAL FIANCE)

Pengenalan

Prosa klasik hasil ubah suai Hizairi Othman (pensyarah UPM yang hilang penuh misteri sejak 2004) mengisahkan salah sangka Raja Anggun Cik Tunggal (Raja ACT) terhadap gurauan tunang baginda, Tuan Puteri Gondan Gandariah (Puteri GG) yang berlabuh dengan lancang kuning Seludang Mayang bersebelahan dengan Dendang Panjang milik baginda. Raja ACT terus melancarkan serangan justeru berasa tercabar apabila Bujang Selamat sebagai utusan seakan-akan dipermainkan oleh Si Kembang Cina, utusan puteri. Maka, kedua-dua pihak mula berbalas-balas serangan.

Sinopsis

Raja ACT melakukan bedilan dengan meriam Gerak Gempa, lalu dibalas dengan meriam Sapu Rantau. Cincin Puteri  GG tercampak ke laut, manakala tengkolok Raja ACT juga jatuh ke dalam laut. Sebelum sempat Raja ACT melancarkan peluru sakti, Puteri GG menjelmakan dirinya yang sebenar. Raja ACT terkejut, lalu berselubung kerana malu. Puteri GG pun berpantun bagi menunjukkan rajuk, kemudian disambut oleh pantun Raja ACT untuk memujuk. Setelah itu, mereka berbalas-balas hadiah menerusi isyarat sakti. Puteri GG memberi 12 duit, dibalas dengan sebiji kapas. Puteri GG memohon diri untuk pulang ke Tiku Benua. Puteri GG selamat tiba di istana setelah belayar selama tiga hari tiga malam. Puteri menceritakan segala peristiwa kepada ayahanda bonda dengan rasa gembira.

Perbincangan Komsas

Tema:  Gurauan yang boleh membawa padah / cabaran alam pertunangan

Perwatakan:  Suka bergurau, manja, lembut hati (Puteri GG); cepat marah, tergesa-gesa (Raja ACT),
                     cepat melatah (Bujang Selamat)

Nilai: Kasih sayang, tolak ansur

Persoalan:  Kasih sayang dalam tempoh bertunang, tolak ansur sesama tunang

Pengajaran:  Kita hendaklah berkasih sayang sesama manusia
           
                 :  Kita hendaklah bertolak ansur dalam sesuatu urusan

                  :  Kita janganlah bertindak tergesa-gesa tanpa usul periksa

                  :   Kita janganlah cepat melatah dengan cakap-cakap orang (provokasi) 

Wednesday, June 22, 2011

PELAJAR KEMANUSIAAN PRAUNIVERSITI USAH RENDAH DIRI (REWARDING PATH FOR PRE-UNIVERSITY OF ART STUDENTS)

Pelajar jurusan sastera atau kemanusiaan seharusnya berasa bangga memandangkan kebanyakan pemimpin negara di seluruh dunia ialah siswazah sealiran mereka. Barrack Hussien Obama, 49 (undang-undang), David Cameron, 45 (ekonomi), Nicolas Sarkozy, 56 (pengajian perniagaan), dan Julia Gillard (sastera dan undang-undang), masing-masing memimpin Amerika Syarikat, Britain, Peranchis dan Australia. Di Malaysia sendiri Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri berkelulusan ekonomi, manakala kebanyakan menteri juga ialah siswazah ekonomi, sastera dan undang-undang.

Pelajar sastera SMK St Michael, Ipoh miliki potensi kepimpinan

Ketua-ketua negara Asean juga hampir semuanya siswazah jurusan sastera. Contohnya Thailand (ekonomi), Singapura (sarjana pentadbiran awam dan matematik), Filipina (ekonomi), dan Indonesia (akademi tentera). Ketua negara bersaiz besar iaitu Brazil dan India juga merupakan lulusan ekonomi.

Kembali ke Malaysia. Mari kita semak latar belakang akademik ketua-ketua kerajaan negeri. Kita akan mendapati bahawa tampuk kepimpinan negeri juga dikuasai oleh bekas budak sastera dan kemanusiaan.

Perlis:  Ph.D (Pengurusan Kualiti) (UUM)

Kedah: Sarjana Undang-undang (United Kingdom)

Pulau Pinang:  ekonomi perakaunan (Monash)

Perak:  Ph.D ekonomi, pemikiran Islam (UIAM, USA)

Selangor:  Sarjana Ekonomi (United Kingdom)

Negeri Sembilan:  sastera (UM)

Melaka:  sastera (USM)

Johor:  Sarjana Ekonomi  (United Kingdom)

Pahang:  sastera (UM)

Terengganu:  Sains Sosial (USM)

Kelantan:  Sarjana Syariah (Mesir)

Sabah:  pengajian perniagaan

Sarawak:  undang-undang (Adelaide)

Tujuan semakan latar belakang akademik ketua-ketua kerajaan bukanlah bagi mendabik dada atau bagi melemahkan anggapan bahawa pelajar jurusan sastera ialah kelompok pelajar yang kurang cemerlang, khususnya apabila dibandingkan dengan pelajar jurusan sains tulen dan sains gunaan. Sebenarnya, pelajar jurusan sastera dan kemanusiaan perlu diberi harapan dan keyakinan bahawa mereka juga pencinta ilmu yang bakal menyumbang terhadap kesejahteraan manusia dan alam dengan cara yang tersendiri.

Hakikatnya kemajuan sesebuah tamadun memerlukan gabungan pelbagai disiplin ilmu dan pengkhususan akademik. Dasar pendidikan negara kita sendiri menetapkan nisbah 60:40 antara enrolmen sains dan sastera. Malah, Amerika Syarikat lebih mempercayai pendidikan liberal yang menggabungkan kedua-dua jurusan sains dan kemanusiaan hingga ke peringkat universiti pada nisbah 70:30 misalnya untuk pengajian kejuruteraan...

Tuesday, June 21, 2011

NILAI TAMBAH PENYELIDIKAN TINGKATAN 6 (SURVEY ITEMS FOR PRE-UNIVERSITY YOUNG RESEARCHER)


SMK ST MICHAEL, IPOH
UNIT PENYELIDIKAN
PENGAJIAN TINGKATAN 6


Jawab semua soalan.
Bulatkan pilihan jawapan anda.

Bahagian 1

1   Jantina:        A   Lelaki     B   Perempuan

2   Tingkatan:     LSS5       LSA1     LSA2      LSA3


 Bahagian 2

3   Saya memilih tingkatan 6 kerana       A   minat    B   kehendak ibu bapa    C   tiada tawaran lain    D   tidak pasti

4   Saya memilih SMK St Michael Ipoh kerana    A   sekolah lama saya    B   tawaran kementerian    C   cerita kawan

5   Saya yakin pengajian tingkatan 6 akan membantu saya memasuki universiti    A  setuju   B kurang setuju   C  tidak pasti


Bahagian 3

6   Saya sudah biasa menyiapkan folio kerja kursus semasa tingkatan 1 – 5    A   setuju     B   tidak setuju    C   tidak pasti

7   Saya berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang proses penyelidikan   A   setuju    B   tidak setuju    C   tidak pasti

8   Pelajar tingkatan 6 wajar menerima pendedahan tentang proses penyelidikan   A setuju   B tidak setuju    C  tidak pasti

9   Saya berasa tertekan apabila perlu melaksanakan penyelidikan     A   setuju    B   tidak setuju    C   tidak pasti

10   Saya sanggup melaksanakan proses penyelidikan secara suka rela   A   setuju    B   tidak setuju    C   tidak pasti


Bahagian 4

11  Penyelidikan meningkatkan imej pelajar prauniversiti      A   setuju    B   tidak setuju    C   tidak pasti

12  Penyelidikan bertujuan meningkatkan nilai sesuatu hujah    A   setuju    B   tidak setuju    C   tidak pasti

13  Seseorang penyelidik hendaklah mengenal pasti masalah yang hendak dikaji   A  setuju   B  tidak setuju   C  tidak pasti

14   Objektif penyelidikan mestilah dalam bentuk ayat penyata   A   setuju    B   tidak setuju    C   tidak pasti

15  Penyelidikan tinjauan soal selidik sampel bukan rawak bertujuan menjadi pilihan saya  A  setuju   B  tidak setuju  C  tidak pasti

16  Proses instrumentasi mesti sejajar dengan tinjauan bacaan    A   setuju    B   tidak setuju    C   tidak pasti

17  Penyelidikan pelajar tingkatan 6 memberi faedah kepada sekolah   A   setuju    B   tidak setuju    C   tidak pasti

PENYELIDIKAN MEMPERKASA PENGAJIAN PRAUNIVERSITI TINGKATAN 6 (MOTIVATION DRIVEN FOR YOUNG RESEARCHER)

Ipoh, Selasa: 21.6.11 / 19 Rejab 1432

Apabila ditanya tentang sebab memilih pengajian tingkatan 6 di SMK St. Michael, Ipoh (SMI), Teoh secara spontan menjawab bahawa dia belajar di SMI sejak tingkatan 1. Thurga pula menyatakan pilihan berlaku secara automatik, kerana semua pelajar Convent yang memilih tingkatan 6 akan ke SMI. Jawapan itu kedengaran lucu hinggakan lebih 100 orang pelajar jurusan sains gelak besar.

ketibaan pelajar untuk taklimat di Auditorium SMI

Demikian gambaran bermulanya taklimat penyelidikan pelajar prauniversiti tengah hari tadi. Bukan mudah untuk menarik perhatian khalayak berusia remaja melewati waktu tengah hari. Mesti ada sebab yang kuat supaya mereka mampu bertahan setelah lima jam menjalani proses pembelajaran formal di bilik kuliah dan makmal.

Terdengar juga suara nakal lebih kurang bunyinya "bosan betul kena buat penyelidikan!" Isyarat seperti itu menunjukkan pembentang taklimat tidak boleh skema dengan bahan taklimat. Sebaliknya, pembentang dengan serta-merta mencari jalan supaya penyataan berterus terang tetapi menggugat itu tidak mempengaruhi khalayak yang lain.

Dalam pada itu, ada pelajar di satu sudut pula terjatuh alat tulis. Maka, pembentang cepat-cepat memanipulasi peristiwa itu supaya auditorium gamat semula dengan versi lucu yang diada-adakan oleh pembentang. Keserasian atau kawtim dalam urusan dengan remaja bukannya senang!

Kesediaan memberi tumpuan kepada sesuatu sesi taklimat atau ucapan mesti diambil berat supaya pembentang tidak syok sendiri. Penerimaan khalayak hanya diukur menerusi maklum balas lisan atau bukan lisan, seperti bahasa tubuh badan. Kadang-kadang khalayak kelihatan khusyuk, tetapi hakikatnya sedang melayan perasaan.

Namun, seseorang pembentang taklimat atau penceramah tidak perlu berasa hampa. Objektif majlis hendaklah bersifat sederhana, tidak boleh keterlaluan seperti mahu mencapai bintang di angkasa raya. Pembentang harus bersangka baik bahawa walaupun hanya 20 peratus input sahaja yang berjaya diterima oleh khalayak, mereka akan melaksanakan susulan apabila ada keperluan kelak.

Pembelajaran ialah suatu proses. Aras pencapaian pembelajaran antara individu tentulah tidak sama. Bahkan, hampir semua perkara memiliki perbezaan walaupun kita ingin sekali supaya sama.

Kepada pelajar LSS1, LSS2, LSS3, LSS4 SMI diucapkan syabas dan tahniah. Pendedahan penyelidikan yang kalian terima akan meningkatkan daya saing pembelajaran. Nama dan reputasi SMI akan terus cemerlang di tangan penyelidik muda yang baru muncul bermula tengah hari tadi...

Monday, June 20, 2011

R & D HANYA SEBAHAGIAN PENYELIDIKAN (TAPPING THE RAPID INNOVATIONS BY COMPETITORS)

Aktiviti penyelidikan meliputi aliran, bidang, dan pendekatan yang amat luas. Seseorang penyelidik tidak sempat menguasai semua aliran, bidang dan pendekatan penyelidikan justeru batasan sumber yang dimiliki, terutama usia penyelidik itu sendiri. Maka, pada kebiasaannya, seseorang penyelidik akan memberi tumpuan terhadap aktiviti penyelidikan dalam bidang pengkhususan atau kepakaran masing-masing.

Dalam kalangan penyelidik muda yang baharu menerima pendedahan tentang konsep penyelidikan, banyak perkara yang masih kabur atau mengelirukan. Ada yang menyangka bahawa penyelidikan dan pembangunan (R & D) sama maksudnya dengan penyelidikan. Hakikatnya R & D hanyalah bahagian kecil dalam kaedah penyelidikan, tetapi pelaksanaannya melibatkan sumber yang begitu banyak.

Aktiviti R & D bersifat skala besar, serta hanya mampu dilaksanakan oleh sesebuah firma perniagaan besar, atau agensi kerajaan yang memiliki peruntukan kewangan yang sangat besar. Pada asasnya, R & D bertujuan menguji keluaran atau produk baharu bagi meningkatkan kecekapan dan seterusnya pulangan jangka panjang. Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) mentakrifkan R & D sebagai kerja kreatif berasaskan susunan sistematik bagi meningkatkan stok pengetahuan manusia menerusi amalan atau teknologi yang diperbaharui.

Kitaran aktiviti R & D masih tidak banyak berbeza dengan aktiviti penyelidikan yang lain, iaitu mengenal pasti bidang kecekapan yang hendak ditingkatkan (isu / bidang keprihatinan), melakukan sintesis dan teori (tinjauan bacaan), membina hipotesis atau soalan penyelidikan, reka bentuk produk baharu dan ujian (instrumentasi dan pentadbiran), dan akhir sekali pelaksanaan dan kajian efikasi (analisis data dan rumusan).

Perbezaan besar R & D dengan aktiviti penyelidikan yang lain ialah reka bentuk produk baharu dilakukan terlebih dahulu, kemudian diuji bagi merekodkan perolehan data. Penyelidikan lain mungkin tiada produk yang hendak diuji, tetapi menjurus kepada aktiviti penyiasatan yang mendalam terhadap sesuatu amalan, atau produk sedia ada supaya saranan penambahbaikan atau keputusan lain boleh diambil. Dari segi pembiayaan, aktiviti R & D memerlukan peruntukan yang tinggi bagi reka bentuk produk baharu terlebih dahulu.

Aktiviti R & D juga telah menetapkan sampel penyelidikan, iaitu produk baharu tersebut. Setelah data diperoleh, keputusan akan dibuat sama ada produk berkenaan boleh digunakan atau tidak. Maka, kebiasaannya aktiviti R & D tidak menjadi pilihan penyelidik individu dan sarjana di universiti, melainkan mereka ditaja oleh mana-mana firma besar atau agensi kerjaan yang hendak mendapatkan khidmat kepakaran yang dimiliki...

Sunday, June 19, 2011

MENJELANG TAKLIMAT PENYELIDIKAN PRAUNIVERSITI (PREAMBLE TO THE PRE-UNIVERSITY RESEARCH 2011)

Mulai minggu ini, pelajar prauniversiti tingkatan 6 Rendah bakal menerima pendedahan tentang proses penyelidikan, serta sekali gus mendapat bimbingan dalam melaksanakan penyelidikan sebagai sebahagian komponen pengajian prauniversiti di bawah penjenamaan semula pembelajaran tingkatan 6 sejak tahun 2009. Di SMK St. Michael, Ipoh (SMI), aktiviti pertama yang akan dilalui ialah taklimat khas pelaksanaan penyelidikan oleh Unit Penyelidikan, Pengajian Tingkatan 6. Penulis blog (PB) selaku setiausaha unit diberi tanggungjawab menyampaikan taklimat berkenaan.


Para pensyarah dibekalkan dengan naskhah manual panduan yang merangkumi segala proses penyelidikan bermula dengan konsep penyelidikan secara umum, diikuti dengan perincian langkah demi langkah hingga selesai aktiviti penulisan laporan. Selanjutnya, pelajar akan dikehendaki membentangkan laporan mereka dalam sesi kolokium mirip viva. Penilaian dari segi kehadiran, penyertaan, pembentangan dan penulisan laporan akan berpandukan rubrik yang seragam.


Bagi memperoleh gambaran am tentang proses penyelidikan pelajar prauniversiti, berikut dipaparkan bahagian prakata naskhah manual panduan guru. Mudah-mudahan proses penyelidikan yang dilaksanakan dapat menyediakan pelajar terhadap pembinaan tubuh ilmu tahap tinggi. Selamat membaca...


PRAKATA
Naskhah ini disediakan bagi membantu pensyarah prauniversiti melaksanakan bimbingan penyelidikan kepada pelajar tingkatan 6 Rendah. Segala nota panduan yang dimuatkan telah mengambil kira sumber di bawah kawalan Unit Penyelidikan Pengajian Tingkatan 6. Dalam tempoh empat bulan, pelajar prauniversiti diharapkan muncul sebagai penyelidik muda yang bukan sahaja didedahkan dengan kerangka penyelidikan yang piawai, bahkan dapat menyediakan sebuah laporan penyelidikan yang akur dengan format penulisan  sebagaimana kehendak komuniti penyelidikan tahap tertinggi.


Menyedari kawalan sumber yang dimiliki, penyelidikan pelajar prauniversiti ditumpukan kepada kaedah tinjauan sampel bukan rawak bertujuan.  Maksudnya, pelajar prauniversiti akan melaksanakan proses penyelidikan yang menjurus kepada kutipan data kuantitatif secara deskriptif. Dalam kata lain, penyelidikan hanya melibatkan kertas dan pen, serta kalkulator bagi memindahkan data mentah kepada taburan kekerapan, peratusan, purata (min) dan jadual silang.


Semasa sesi pertemuan pensyarah dengan pelajar pada tarikh dan masa yang ditetapkan, pensyarah disarankan membuat peruntukan masa dengan aktiviti seperti di bawah:


1.20 – 1.25  Semakan kehadiran / persediaan
1.25 – 1.45  Pendedahan teori penyelidikan (rujuk naskhah ini)
1.45 – 2.00  Bimbingan persediaan bahan
2.00 – 2.30   Bimbingan format dan laras penulisan
2.30 – 2.40   Kesimpulan, tindakan lanjut
2.40    Bersurai


Semua bahan dalam naskhah ini dimuat turun daripada blog di URL: cikguazharrodzi.blogspot.com. Sebarang kritikan, maklum balas, penambahbaikan dan teguran sangatlah dialu-alukan. Sesungguhnya, usaha tuan puan membantu pelajar prauniversiti melaksanakan penyelidikan ialah satu sumbangan besar terhadap kejayaan proses penjenamaan semula pengajian prauniversiti tingkatan enam.

20 Jun 2011 / 18 Rejab 1432                                                                                                    © cikguazharrodzi.blogspot.com

Saturday, June 18, 2011

ASAL USUL KAJIAN EKONOMI (OIKUS NOMUS ORIGINATED FROM YUNANI AGE)

Kepada orang awam, ekonomi mungkin bermakna jimat cermat. Kalau ditanya lagi, mungkin mereka mengaitkan ekonomi dengan urusan kewangan. Di pasaran juga, terdapat serbuk cuci bernama Ekonomi (Handalan Baru).

Pendapat orang awam seperti itu ada benarnya, tetapi sekadar untuk membuka perbincangan yang lebih fokus terhadap disiplin ekonomi. Jimat cermat, kewangan dan jenama keluaran (serbuk cuci) terangkum dalam perbincangan ekonomi. Walaupun begitu, ketiga-tiganya hanyalah bahagian kecil kajian ekonomi.

Perkataan ekonomi dalam bahasa Melayu diambil terus daripada perkataan economy atau economics dalam bahasa Inggeris. Economics pula berakar umbi daripada kosa kata Yunani purba, iaitu pasangan kata oikos dan nomus. Oikos bererti keluarga atau rumah tangga, manakala nomus ialah peraturan atau undang-undang. 

bersambung...

Friday, June 17, 2011

PENGURUSAN STRATEGIK DI SEKOLAH (QUEUING IDEAS IN EDUCATION)

Sekolah ialah organisasi yang memupuk pembelajaran. Walaupun ringkas, setiap perkataan dalam takrifan sekolah itu boleh dibincangkan dengan panjang lebar. Kajian tentang organisasi, pembelajaran dan proses memupuk telah banyak ditulis dan dibahas sebagai wacana intelektual.

akan datang...

Thursday, June 16, 2011

AKTIVITI MATAHARI LEMBAB? (THE UPSET OF SOLAR SYSTEM)

Imej matahari yang dirakamkan oleh kapal angkasa kecil milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (Nasa) pada 7 Jun yang lalu mengundang paradoks terhadap teori pemanasan bumi. Fenomena gerhana matahari, dan terkini gerhana bulan paling gelap sejak 11 tahun dini hari Khamis lalu memberi alamat berlaku lagi perubahan kepada bumi kita. Gempa bumi di Chile nun jauh di benua Amerika Latin telah menjejaskan ruang udara Australia dan New Zealand, manakala gempa bumi di Sumatera dan Sabah turut dirasai oleh warga Purtrajaya.
sumber: akhbar Kosmo, Khamis 16 Jun 2011 / 14 Rejab 1432, halaman 48


Suatu ketika dahulu dunia dicemaskan dengan teori Malthus tentang masalah pengeluaran makanan bagi menampung pertambahan penduduk dunia. Senang cakap akan berlaku kelaparan dan kebuluran di seantero dunia akibat perebutan sumber makanan yang terhad. Perkara itu masih nyata tidak berlaku, kecuali di rantau mundur justeru eksploitasi sumber oleh segelintir pihak yang tamak haloba.

Teori pemanasan bumi meramalkan bahawa menjelang tahun 2012, matahari bakal memasuki tahap bahang maksimum. Maksudnya, aktiviti ledakan api, bintik matahari dan ribut magnetik paling aktif. Pelbagai kempen dianjurkan oleh aktivis alam sekitar, termasuk Earth Hour saban tahun.

Kitaran aktiviti meningkat dan aktiviti menurun matahari dikesan setiap 11 tahun, manakala fasa bahang maksimum dan bahang minimum bagi setiap 22 tahun. Namun, Frank Hill, pengarah bersama Agensi Pencerapan Solar Kebangsaan Amerika Syarikat dilaporkan sebagai berkata keadaan yang ganjil dan luar jangkaan sedang berlaku. Matahari seolah-olah mengalami hibernasi yang tidak pernah dicatatkan sejak abad ke-17, iaitu kira-kira 400 tahun yang lalu.

Permukaan matahari didapati makin tenang dengan ketiadaan pancutan api, sejumlah bintik yang pudar, selain kelembapan aktiviti di kedua-dua bahagian kutub matahari. Laporan dibentangkan dalam persidangan tahunan Bahagian Solar Fizik Persatuan Astronomi Amerika Syarikat yang berlangsung di Las Cruces, New Mexico, sebuah wilayah yang dibeli daripada Mexico. Maka, penyokong teori pemanasan bumi pasti akan membuat semakan semula tentang pendirian mereka selama ini.

Terbaru, sebutir bintang yang sama saiznya dengan matahari dilaporkan telah disedut ke dalam sebuah lubang hitam yang jaraknya 3.8 bilion tahun cahaya dari bumi kita. Imej dirakamkan oleh satelit Swift di angkasa lepas. Sebenarnya spekulasi tentang sistem cakerawala selain bima sakti (milky ways) membuktikan bahawa bumi yang kita huni hanya ibarat sebutir debu di sebuah padang pasir yang tidak bersempadan...

SubhanalLah...

Wednesday, June 15, 2011

APA SUDAH JADI PEMUDA PEMUDI INDONESIA? (LESS RELIGOUS DEVOTION AMONG YOUNGER GENERATION)

Agensi berita AFP melaporkan dapatan penyelidikan tentang amalan Islam dalam kalangan generasi muda yang kurang menyenangkan. Daripada sejumlah 1,500 orang responden kajian berusia antara 15 hingga 25 tahun, hanya 28.7 peratus sahaja yang menunaikan solat fardu lima waktu, kurang daripada 60 peratus berpuasa pada bulan Ramadan, dan hanya 11.7 peratus memahami ayat-ayat al-Quran. Penyelidikan bersama dengan Institut Goethe itu dijalan pada bulan November 2010.

Indonesia ialah negara umat Islam terbesar dunia, iaitu kira-kira 192 juta jiwa atau 80 peratus jumlah penduduknya beragama Islam. Proses Kristianisasi juga menerjah Indonesia sekian lama dan hingga kini mengumpul sejumlah hampir 30 juta orang penganut. Kelonggaran Pancasila memberi ruang yang luas kepada perkahwinan terlarang antara orang Islam dengan bukan Islam.

Dalam sesebuah keluarga, si bapa mungkin Islam (baka atau pada nama sahaja), ibu menganut Kristian, manakala si anak diberi kebebasan memilih anutan masing-masing. Ketiadaan peruntukan undang-undang yang menyekat fenomena perkahwinan terlarang itu memusnahkan rasa cinta kepada Islam dalam kalangan individu yang lemah iman. Tampang mungkin seiras, tetapi kepercayaan belum tentu.

Jika di Amerika Syarikat, bilangan penganut Kristian merosot sebanyak 10 peratus (1990: 86 peratus, 2000: 76 peratus), lalu menjadi lebih sekular, pihak gereja tidak menaruh bimbang sebagaimana ancaman terhadap iman umat Islam. Dapatan penyelidikan di Indonesia itu menunjukkan generasi muda yang semakin lalai dalam mengerjakan solat sebagai tiang agama, selain tidak memahami al-Quran. Pihak berkuasa Islam, ulama, organisasi dakwah dan sekalian masyarakat yang prihatin mestilah mencari jalan supaya anak-anak muda Islam yang terbiar itu kembali ke pangkal jalan.

Peringatan Allah telah datang dalam pelbagai bentuk. Gempa bumi, letusan gunung berapi dan tsunami ialah antara peringatan yang dimaksudkan. Bala atau balasan kerana membiarkan perkara mungkar berleluasa bukan sahaja menimpa orang-orang yang berdosa, bahkan terkena sekali kepada masyarakat yang diam membisu...

Tuesday, June 14, 2011

SAJAK "ARKITEK KOTA" KOMSAS TINGKATAN 5 (RESTORATION OF NATURAL ENVIRONMENT IN THE CITY)

Pengenalan

Sesungguhnya Muhammad Haji Salleh, profesor pengajian Melayu UKM, memang memiliki pengamatan yang begitu tajam terhadap isu-isu yang berlegar dalam kalangan masyarakat, termasuk pencinta alam sekitar. Sajak yang termuat pada halaman 29 dan 30 antologi Dirgahayu Bahasaku ini kepentingan perancangan bandar yang lestari atau mesra alam. Maka, perancang bandar sebagai arkitek kota perlu bersifat bagai seniman berilmu tinggi yang peka terhadap segala penjagaan alam sekitar dan segala makhluk penghuni bumi, termasuk manusia pelbagai peringkat usia.

Perbincangan rangkap demi rangkap

          hanya seniman peka
          yang faham akan jiwa laut, 
          kenal lambung gelombangnya,
          alur sungai serta diam batu,
          perasaan musim,
          fiil langit dan sabar bumi
          berhak membina kota.

Pada henat penyajak, tanggungjawab ahli perancang bandar patut diserahkan kepada individu yang berciri seniman. Maksudnya, seorang individu yang peka terhadap segala femonena ciptaan alam. Penggunaan unsur perorangan (personafikasi) seperti jiwa laut, diam batu, perasaan musim, fiil (perangai) langit dan sabar bumi menjelaskan fenomena yang harus diambil kira dalam melaksanakan tugas perancangan bandar.

          kerana arkitek matang itu anak di taman,
          perenung di perpustakaan,
          orang muda pulang bertandang di lorong malam,
          pemunggah barang pasar di subuh hari,
          pengadil di bangku bijaksana,
          dan datuk bandar yang bangga.

Seorang perancang bandar yang diharapkan oleh penyajak dibesarkan dalam suasana kehijauan alam walaupun sibuk mentelaah buku di perpustakaan. Perancang bandar itu juga harus memikirkan adunan keperluan golongan muda yang suka yang suka balik lewat malam, pekerja di pasar pada awal subuh, hakim mahkamah dan cita rasa datuk bandar. Pendek kata, keperluan pelbagai lapisan masyarakat diberi perhatian yang wajar. 

          dia harus sayangkan lagu burung,
          pemancing di teduh pohon,
          pemerhati tasik,
          pengawas bintang,
          dan bunga menjalar di beranda.

Seorang perancang bandar harus suka terhadap kicau dan siul burung, penggemar pancing, peminat air tasik, pengkaji bintang dan bunga menghiasi bangunan. Perancang bandar meraikan citra manusia pelbagai golongan.

          pencipta kota ialah
          pendekar muda dengan langkah berbagai-bagai,
          kelakar tua yang mengampungkan cerita
          orang bercinta yang perlukan bulan.

Seterusnya, perancang bandar hakikatnya seorang muda bersemangat waja yang tampil dengan pelbagai strategi sekali gus menghargai pesanan orang tua bahawa bandar yang dirancang memiliki jiwa alam sekitar.

          dia pengukir ruang hidup,
          penghias suasana sempurna,
          membenarkan penemuan,
          memungkinkan kemungkinan.

Seorang perancang bandar juga mereka bentuk keselesaan warga kota supaya beroleh kehidupan yang sejahtera. Maka, perancang bandar harus bersikap terbuka terhadap segala penemuan dan kemungkinan yang mungkin berbeza dengan pengalaman ikhtisas (profesional) mereka.

Contoh Tugasan

Soalan aras petikan

i.   Tulis semula rangkap pertama sajak dalam laras bahasa biasa.   (3 markah)

ii.   Nyatakan dua ciri perancang bandar yang diinginkan oleh penyajak.   (3 markah)

Soalan aras kbkk

iii.  Jelaskan dua kesan baik jika tanggungjawab merancang bandar diserahkan kepada individu yang mencintai alam sekitar mengikut pendapat anda.   (4 markah)

iv.   Katakan anda ialah perancang bandar yang peka akan kepentingan memulihara alam sekitar.
       Nyatakan tiga projek pembangunan bandar yang akan anda lakukan.    (4 markah)

Soalan aras komsas

v.   Nyatakan dua persoalan yang terdapat dalam sajak.    (3 markah)

vi.   Huraikan satu nilai murni yang terdapat dalam sajak.    (3 markah)

Monday, June 13, 2011

KELAB TAAT DAPAT PUBLISITI PERCUMA (OVERKILLING DEFEATS THE PURPOSE)

Isu Kelab Taat yang mendapat liputan meluas media ekoran respons tokoh agamawan, cendekiawan, politikus dan selebriti telah memudahkan tugas kelab berusia setahun jagung itu menyebarkan berita penubuhannya tanpa membabitkan kos yang tinggi. Tiba-tiba masyarakat kenal Dr. Rohaya yang sebelumnya bukan siapa-siapa. Malah, kelab yang dikaitkan dengan Global Ikhwan itu mengembalikan ingatan terhadap ajaran kumpulan al-Arqam yang telah diwartakan sebagai pertubuhan haram.

Tujuan asal kritikan terhadap pendirian Kelab Taat ialah bagi mengelakkan masyarakat daripada terpengaruh dengan idea-idea yang disifatkan sebagai pelik itu. Hakikatnya pendirian sesuatu aliran atau pertubuhan sangat bergantung kepada tahap ilmu yang dimiliki. Sepanjang sejarah pemikiran manusia, terdapat banyak kecenderungan untuk menjadi ekstrem, sama ada menjadi terlalu sempit atau menjadi terlalu longgar.

Strategi menyekat sesuatu idea boleh berubah kepada publisiti percuma. Apatah lagi apabila idea yang dilontarkan menyangkut kepentingan masyarakat seperti konsep hubungan suami isteri. Tumpuan yang berlebihan terhadap kelonggaran poligami hingga meletakkannya sebagai keutamaan telah menyebabkan perdebatan yang tidak perlu, kerana garis panduan oleh ulama muktabar telah ada.

Sikap enggan memperoleh ilmu secara sah menyebabkan banyak aliran pemikiran yang bergantung kepada akal fikiran dan tokoh pujaan telah merosakkan perpaduan sesebuah masyarakat. Akibatnya kesilapan asas dari segi konsep kehidupan, pergaulan, perjuangan dan tasawwur telah berlaku. Berlaku lencongan dan pemencilan (uzlah) yang jelas palsu.

Jika benar terdapat metafora yang melampau tentang peranan isteri, maka perkara itu amat malang kepada masyarakat yang cintakan ilmu yang sah. Rumah tangga ialah institusi suci yang menjamin kerukunan masyarakat. Sebarang percubaan merendahkan martabat institusi rumah tangga hendaklah dikekang seberapa segera.

Masyarakat jahiliah zaman dahulu menolak seruan tauhid oleh para nabi tanpa hujah yang benar. Mereka hanya bersandarkan amalan nenek moyang dan pemuka mereka yang berkepentingan. Cahaya ilmu telah terpadam dalam akal dan jiwa puak berkenaan.

Satu-satunya jalan bagi menghindari idea yang bersifat dangkal ialah ilmu yang sah. Bukanlah bijak namanya jika begitu cepat terpesona dengan penampilan luaran atau tutur kata yang lancar tanpa menyiasat latar belakang seseorang yang mendakwa dirinya begitu begini. Mohon petunjuk Ilahi supaya tetap di landasan yang benar...

SAJAK "DIARI LAMA" KOMSAS TINGKATAN 1 (THE TOUCH OF A PERSONAL MEMOIR)

Pengenalan

Catatan seorang pemuisi tentang peristiwa bersejarah memiliki sentuhan perasaan yang lebih mendalam berbanding dengan penulisan sejarah biasa. SMahadzir, menerusi sajak "Diari Lama" berjaya memberikan makna tersirat di sebalik perayaan Hari Kebangsaan yang disambut saban tahun. Sajak bertemakan cinta akan negara dan patriotisme ini walaupun ringkas, tetapi hakikatnya ialah ungkapan azimat sebuah bangsa yang merdeka, berdaulat dan bermaruah tinggi.

Perbincangan rangkap demi rangkap

          Di halaman diari ini aku amati selembar
          tulisan
          tentang perjuangan - bertitis air mata
          mengalir
          namun tak sederas darah yang tertumpah

Apabila penyajak membaca semula catatan dalam diari lama beliau, kisah perjuangan generasi silam, timbul perasaan sebak. Walaupun demikian, air mata yang mengalir itu tidak akan sesekali sama nilainya dengan pengorbanan pejuang kemerdekaan yang sanggup meletakkan jiwa raga dan nyawa  sebagai taruhan.

          Di naungan panji yang megah
          kutegakkan cinta dan kasih sayang
          anak bertuah bumi merdeka
          pada semarak ulang tahun
          diulit riang bersalut hiba
          Dataran Merdeka menyambut suka
          gagah perbarisan anak-anak Malaysia
          menghayun langkah menongkah persada
          riang di naungan nusa, makmur setiap ketika
          sampai bila-bila

Di sebalik rasa terharu pada sambutan ulang tahun kemerdekaan negara, sambil melihat bendera yang megah berkibar, penyajak bertekad mempertahankan kemerdekaan negara yang dikecapi selama ini. Dataran Merdeka, Kuala Lumpur menjadi saksi terhadap anak-anak Malaysia yang menyertai perbarisan sambutan dengan penuh semangat. Mereka melangkah penuh bergaya mendaki puncak kejayaan yang lebih tinggi. Kesejahteraan rakyat jelata dan ekonomi yang makmur hendak dinikmati berterusan...

Sunday, June 12, 2011

PIALA FA: TERENGGANU SEKAT IMPIAN KELANTAN (LAST MINUTE SURVIVED)

Arahan taktikal yang betul oleh jurulatih pasukan bolak Terengganu, Irfan Bakti untuk mencuba nasib hingga ke saat-saat terakhir nyata berbaloi. Semua pemain, kecuali penjaga gol, diarah mengasak kubu pasukan Kelantan yang sudah di ambang kejuaraan piala FA edisi 2011. Akhirnya, Terengganu berterima kasih kepada Daudsu Jamaludin, tonggak benteng Perwira Merah yang tertanduk masuk bola ke gawang sendiri beberapa saat sahaja sebelum wisel penamat ditiupkan dalam permainan yang berlarutan hampir 8 minit masa kecederaan.

Irfan Bakti ialah bekas pemain kebangsaan dan memiliki pengalaman yang panjang sebagai jurulatih yang berjaya. Irfan juga pernah berkhidmat dengan sebuah pasukan kelab di Indonesia. Kelantan pula dibimbing oleh Datuk M. Karathu, bekas pemain Perak dan kebangsaan, yang ditauliahkan sebagai jurulatih oleh Persatuan Bola Sepak England.

Angka 11 kebetulannya membawa tuah kepada skuad negeri penyu itu. Kod bagi kad pengenalan warga kelahiran Terengganu ialah 11. Kejuaraan kali kedua ini pada tahun 2011 mengulangi pencapaian 11 tahun yang lalu.

Tarikh kemenangan ialah 11.6.2011 dengan jumlah pemain di padang juga 11 orang. Kemenangan itu secara automatik melayakkan Terengganu beraksi dalam kejohanan Piala Persatuan Bola Sepak Asia (AFC) edisi 2012. Piala kemenangan disampaikan oleh Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Terengganu, merangkap Yang Dipertuan Agong.

Baru seminggu Kelantan membenam Terengganu 3-0 di laman lawan, tetapi di laman berkecuali, dan dalam suasana perlawanan akhir, percaturan Irfan Bakti menjadi. Kecuali insiden lontaran mercun bola api, penyokong kedua-dua negeri berjiran itu yang dipisahkan agak jauh (dengan sederetan tempat duduk yang dikosongkan) mempamerkan tahap disiplin yang tinggi. Kehadiran sejumlah 2,600 anggota polis, termasuk rondaan pasukan berkuda ternyata berkesan.

Sultan Kelantan, Dato' Nik Aziz, Dato' Ahmad Said, exco negeri dan pemimpin persatuan bola sepak negeri masing-masing turut berada di stadium. Bola sepak telah mendapat perhatian istana dan pemimpin kerajaan. Dengan kehadiran 85,000 orang penonton, kancah saingan bola sepak negara kembali meriah.

Keserasian pemain ialah faktor kritikal kejayaan sesebuah pasukan bola sepak. Maka, peranan penting itu digalas oleh jurulatih yang berwibawa. Di England, pasukan Manchester City yang menghimpun pemain-pemain ternama dunia sejak dua tahun lalu masih belum menemukan keserasian yang mampu membawa pasukan ke puncak kejuaraan liga walaupun telah merangkul Piala FA baru-baru ini. Keserasian juga tidak semestinya kekal pada setiap perlawanan.

Beberapa perkara dapat dipelajari daripada permainan bola sepak jika hendak diambil sebagai metafora organisasi. Antaranya:

1  keserasian antara setiap komponen organisasi sama ada pegawai atasan atau pekerja biasa ialah faktor kritikal kejayaan organisasi

2   proses membuat keputusan yang betul pada waktu genting boleh mengubah nasib organisasi

3   sentiasa berwaspada dengan kebangkitan pesaing sedia ada, atau dengan kemunculan pesaing baharu

4   tidak memandang ringan kepada ancaman di ambang kejayaan

5   tidak bergantung kepada pencapaian lalu semata-mata

6   menyediakan pelan B untuk menghadapi keadaan luar jangkaan

Keputusan penuh:

Terengganu 2 (Dausu Jamaludin: gol sendiri Kelantan(90+), Ahmad Nordin Alias: 108; Kelantan 1 (Nurul Azwan Roya: 78)

Pemain terbaik: Marzuki Yusof (kapten Terengganu)

Tempat perlawanan:  Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Friday, June 10, 2011

PERSIAPAN MINDA KEMBALI KE SEKOLAH (HOLIDAY MOOD IMPILICATIONS)

Cuti pertengahan tahun persekolahan sepanjang dua minggu sudah di penghujung. Namun, pelajar ijazah sarjana muda "dipaksa" bercuti hingga bulan September, walaupun budak diploma sudah masuk kampus. Maka, budak sekolah dan diploma usah cemburu kepada abang dan kakak mahasiswa!

Bagi sesetengah orang, kalau boleh cuti biarlah panjang sedikit. Mereka boleh berehat, melancong dan menziarahi sanak saudara jauh dan dekat. Orang yang terbiasa dengan kesibukan pula menganggap cuti panjang sebagai merimaskan.

Pada amnya, budak sekolah tergolong dalam kelompok yang suka cuti panjang sedikit. Aktiviti pembelajaran yang padat mengehadkan peluang mereka bagi melakukan aktiviti peribadi yang disukai. Maka, cuti ialah kesempatan terbaik bagi memenuhi keinginan yang tergendala itu.

Walaupun sedikit sebanyak ada tugasan cuti yang dibekalkan, pada kebiasaannya akan disentuh pada dua hari terakhir cuti, melainkan mereka hendak ke luar negara. Tiada yang susah, sebab talian hayat seperti kawan-kawan, laman sesawang dan seluruh anggota keluarga boleh dirayu untuk membantu!

Tabiat bertangguh hingga ke saat-saat akhir memang tidak baik. Namun, hal itulah yang berlaku dalam pengalaman kebanyakan murid sekolah. Azam untuk berubah hanyalah klise.

Hari Ahad (bagi budak pantai timur dan Kedah) dan Isnin (budak pantai barat, kecuali Kedah, dan Malaysia Timur) kaki terasa berat hendak melangkah ke perkarangan sekolah. Berjumpa kawan-kawan asyik hendak berkongsi cerita cuti. Hari pertama ialah hari memujuk diri sendiri supaya kembali ke suasana belajar.

Jika cikgu masuk, pelajar asyik melihat kalau-kalau cikgu membawa berkas skrip jawapan peperiksaan pertengahan tahun yang telah siap ditanda. Sebagai profesional yang terlatih dalam bidang psikologi pembelajaran, cikgu tentu dapat membawa murid kembali ceria dan bersemangat untuk meneruskan proses pembelajaran. Walaupun cikgu sendiri masih dalam mood cuti, mereka telah biasa dengan peralihan waktu yang mendadak seperti itu.

Pertengahan bulan Jun sudah tiba. Sehari dua mungkin masih perlahan sedikit untuk meninggalkan keseronokan cuti. Kesibukan aktiviti pembelajaran yang menjanjikan pengalaman baharu pasti membuatkan murid kembali teruja... 

Thursday, June 9, 2011

SAJAK "ASAP" KOMSAS TINGKATAN 1 (THE DREAM FOR AN IDEAL ATMOSPHERE QUALITY)

Pengenalan

Maya Iza Azizan telah berjaya melontarkan tema pencemaran alam sekitar dalam sajak empat rangkap yang mudah difahami oleh pembaca, termasuk murid tingkatan 1. Sajak "Asap" dimuatkan dalam antologi Kasut Kelopak Jantung pada muka surat 24. Kesan-kesan buruk pencemaran udara menerusi pembebasan asap diungkapkan dengan jelas.

Perbincangan rangkap demi rangkap

          Asap,
          mengapakah
          bisamu
          memedihkan mataku
          menangis - tanpa sebab?

Asap yang berkepul-kepul di udara boleh memedihkan mata seseorang bagaikan sedang menangis tanpa diketahui puncanya.

          Asap,
          mengapakah rongga-ronggamu
          semakin lama semakin membesar
          dan aku tenggelam lemas
          tanpa airnya?

Asap yang makin banyak dibebaskan menyebabkan seseorang berasa lemas di kawasan daratan lapang, bukan lemas di dalam air.

          Asap,
          hanya satu jantungku ini
          telah kaurampas
          berjuta-juta yang lain
          tua dan muda
          tanpa belas.

Asap menyesakkan jantung manusia tidak kira usia, serta tidak mengenal mangsa.

          Asap.
          tidak dapat kurasai
          dengan sentuhan
          tetapi bahangmu cukup
          memusnahkan segala
          tanpa apinya    

Asap juga ialah bahan cemar yang tidak dapat disentuh. Namun, asap membawa kemusnahan walaupun api yang membebaskan asap tiada lagi.

PERSEDIAAN EKONOMI STPM (ESSAY PLAN IN THE EXAM SETTING)

KERTAS CADANGAN PROGRAM ESEI MARKAH PENUH EKONOMI STPM

Pendahuluan

Berdasarkan pencapaian terkini kelompok pelajar sederhana dan harapan lulus (halus), didapati bahawa persediaan yang mereka lakukan selama ini masih di tahap ala kadar. Pemerhatian semasa proses pembelajaran di dalam bilik darjah juga menunjukkan bahawa kelompok pelajar yang dimaksudkan masih terbawa-bawa dengan cara belajar semasa mereka di tahap menengah atas (SPM). Sikap sentimental, iaitu pengaruh kecenderungan peribadi dan rakan sebaya masih begitu mencengkam sehingga saranan untuk melakukan perubahan gaya pembelajaran tidak begitu diberi perhatian yang serius.

2   Rasional

Penulisan esei pendek dan esei panjang kedua-dua kertas mikro dan makro oleh pelajar menampakkan masalah yang hampir sama, iaitu

2.1   kurang cekap dalam mengenal pasti tugasan soalan

2.2   tidak menguasai andaian, konsep, teori dan laras ayat ekonomi

2.3   tidak peka akan keperluan menggunakan carta, gambar rajah, jadual, keluk, model dan rumus

2.4   memberi tumpuan kepada beberapa soalan (yang sudah diramalkan) sahaja

2.5   tidak menulis dalam format esei yang dikehendaki

3   Matlamat

3.0   Menambah baik kaedah penulisan esei pelajar dalam suasana peperiksaan

4   Objektif

4.1   Pelajar berkebolehan mengenal pasti tugasan soalan dengan tepat

4.2   Pelajar dibimbing menulis esei ekonomi dengan lengkap

4.3   Pelajar menulis laras ayat ekonomi yang mempunyai nilai markah sahaja

5   Tema

5.0   "Esei Tepat Markah Hebat"

6   Jangka Masa Pelaksanaan

6.0  Jun hingga Ogos, 2011

7   Bidang Program

7.1   Taklimat pensyarah

7.2   Modul esei berpandu

7.3   Pembentangan seminar

8   Jawatankuasa Pelaksana

8.1   Pensyarah kelas berkenaan

8.2   Setiausaha Kelas

8.3   AJK Kelas (Panel Mata Pelajaran Ekonomi)

9   Perbelanjaan

9.1   Cetakan bahan                                     20 helai @ 25 orang pelajar X 4 sen  =   RM20.00
9.2   Kertas Jawapan A4                              10 unit                                              =   RM20.00
                                               Jumlah                                                                 =   RM40.00

10   Sumber Kewangan

10.1  Peruntukan Panitia Mata Pelajaran                                                                      RM40.00

Penutup

Program Esei Markah Penuh ini ialah satu langkah intervensi yang diharapkan dapat membantu pelajar ekonomi tingkatan 6 merancang penulisan jawapan sebagaimana yang ditetapkan dalam tugasan soalan. Selain itu, menerusi bimbingan pensyarah, pelajar dapat meningkatkan keyakinan diri terhadap kebolehan menulis esei ekonomi yang baik dan lengkap. Sesungguhnya pencapaian pelajar dalam peperiksaan STPM perlu setimpal dengan tempoh pengajian prauniversiti tingkatan enam yang mereka lalui.

Disediakan oleh:

t.t.

AZHAR BIN MOHD RODZI
Setiausaha Program Esei Ekonomi STPM Markah Penuh
SMK St. Michael, Ipoh

Bertarikh:  10 Jun 2011 / 8 Rejab 1432

Wednesday, June 8, 2011

SENSASI MEDIA LANGGAR ETIKA (THE HALF-TRUTH NEWS MANIPULATION)

Pepatah Peranchis mengatakan "percaya separuh sahaja daripada apa-apa yang anda lihat, jangan percaya langsung terhadap apa-apa yang anda dengar." Maksudnya, jangan mudah terpengaruh dengan kejadian di hadapan mata, apatah lagi sekadar dengar cakap. Dalam sidang perbicaraan mahkamah, keterangan saksi yang bersifat dengar cakap akan ditolak mentah-mentah oleh seorang hakim yang adil.

Bagi orang-orang yang beriman, apabila mendengar sebarang berita hendaklah dipastikan terlebih dahulu sumber yang sahih supaya tidak terjebak dengan tipu daya orang-orang yang fasik. Sesuatu berita yang separuh masak bakal mengundang fitnah yang boleh merosakkan maruah seseorang, dan seterusnya meruntuhkan sendi kerukunan masyarakat. Orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya sanggup bersumpah, hatta hingga menjunjung kitab suci di dalam masjid kononnya mereka di pihak yang benar.

Dalam konteks berita atau khabar, pendengar, penonton dan pembaca ibarat seorang hakim yang adil. Bagi mencapai tahap hakim yang adil, seseorang itu perlu memiliki ilmu, kelayakan dan pengalaman yang mencukupi. Selain itu, hakim yang adil berusaha menutup sebarang pintu kerosakan, iaitu meletakkan beban pembuktian kepada pihak yang menuduh, atau dalam konteks berita ialah si pembawa berita.

Prinsip asas penghakiman yang adil ialah seseorang yang tertuduh belum bersalah melainkan setelah dibuktikan. Imam Ghazali telah menghuraikan dengan panjang lebar 20 bahaya lisan sebagai pedoman yang amat berharga. Janganlah hendaknya kita pula menjadi tukang sambung adu domba, fitnah, umpat dan tuduhan palsu yang lain, justeru azab yang menanti di akhirat kelak tidak mampu ditanggung.

Media massa sama ada bercetak atau elektronik ialah sebahagian sumber berita. Peranan media dalam menyalurkan maklumat dan menerapkan nilai-nilai murni memang disanjung tinggi. Media berfungsi sebagai perantaraan komunikasi yang boleh diharap.

Segala kandungan dan pemberitaan media dikendalikan oleh sejumlah manusia yang terlatih dalam bidang amalan media. Mereka telah sedia maklum akan segala etika, peraturan dan percaturan yang membabitkan urusan berita, penulisan dan seumpamanya. Namun, sebagai organisasi yang bermotif untung, media harus  mengambil kira akan kecenderungan khalayak, iaitu para pembeli.

Sekuat manapun keinginan sidang pengarang dan wartawan hendak melayan kerenah pelanggan mereka, prinsip kebenaran tidak boleh digadai. Dalam konteks masyarakat yang makin terpelajar, pemberitaan berkepentingan, sensasi dan berat sebelah akan dicemuh. Media dan wartawan yang terbabit akan dilabel sebagai dusta dan tidak jujur.

Baru-baru ini bermacam-macam berita sensasi cuba dipanjang-panjangkan. Pernyataan seseorang individu telah dipetik secara luar konteks. Kemudian keluar pula maklum balas daripada orang-orang yang gopoh, termasuk pengamal undang-undang tanpa memeriksa konteks sebenar keseluruhan cakap individu itu. Kerosakan telah berlaku tanpa penjelasan daripada sumber asal.

Marilah kita bersikap adil, bijak dan cermat. Sesungguhnya kerja-kerja jahat akan terhenti jika tiada siapa yang mahu melayan. Moga-moga kita terpelihara daripada dosa subahat...Amin!