Monday, April 30, 2012

'HARAPAN" BAB 21 NOVEL MERENANG GELORA (CHERISHING DESIRE OF OBTAINMENT)

pengarang novel:  Ruslan bin Ngah, 45
Muka surat rujukan:  243 - 253

Watak utama:  Badri (murid tingkatan 5 / pengawas sekolah)
Watak pembantu:  Siew Mei  (murid tingkatan 5 / pengkagum rahsia Badri)
                          :  Taufik  (rakan karib Badri / suka mengambil tahu)
                          :  Nadira  (murid tingkatan 5 / sekutu Shahrul / anak buah Mak Alang Badri)
                          :  Mak Siti  (ibu Badri)
                       
Latar tempat:  kawasan sekolah / perpustakaan / pusat sumber  (Badri menemui Siew Mei)
                   :  restoran  (Badri, Taufik dan Siew Mei bertemu selepas selesai peperiksaan SPM)
                   :  rumah Badri  (Taufik dipelawa masuk oleh Mak Siti)
           
Latar masa:  sesi persekolahan pagi
               :  semasa keputusan SPM diumumkan

Ringkasan bab

Badri muncul di hadapan Siew Mei di perpustakaan dengan ucapan maaf. Badri menjelaskan Nadira bukan pilihan dirinya. Sebaliknya, dia mahu menumpukan perhatian terhadap peperiksaan SPM. Siew Mei tersenyum lega. Usai peperiksaan, Badri bersama Taufik dan Siew Mei bertemu di sebuah restoran untuk berbual tentang rancangan masing-masing. Siew Mei hendak ke Tokyo, Jepun menjenguk kakaknya di sana.  Badri bercadang untuk bekerja di sebuah resort milik bapa saudaranya di pantai timur. Taufik berhasrat untuk mengikut Badri. Dalam bas, Badri teringat kemunculan Nadira memohon maaf bagi pihak Shahrul yang telah ditahan oleh polis. Setelah berkali-kali Nadira merayu, Badri mengangguk. 

Dua bulan berlalu. Keputusan SPM Badri ialah 9A, Siew Mei juga 9A dan taufik 7A. Badri dan Siew Mei bergegas pulang untuk menyampaikan berita gembira mereka kepada keluarga tanpa sempat menemui Taufik. Nadira memberitahu Tauik bahawa kedua-dua orang yang dia cari sudah pulang. Taufik terus ke rumah Badri. Taufik mendapati Badri sedang berkemas pakaian, lalu mengingatkan Badri tentang permohonan ke IPT. Badri membalas bahawa permohonan boleh dibuat di mana-mana justeru sistem komunikasi kian canggih. Taufik menyampaikan salam Nadira dan mengusik Badri tidak nampak orang lain setelah bertemu Siew Mei. Badri bersyukur mendengar Shahrul sudah insaf...

Perwatakan:  pemaaf  (Siew Mei, Badri)

Latar masyarakat:  masyarakat yang pemaaf

Nilai murni:  saling bermaafan

Persoalan:  Saling bermaafan sesama rakan

Pengajaran:  kita hendaklah memaafkan kesalahan rakan kita

kbkk:  kesudahan watak penentang (protagonis)
        :  balasan kejujuran watak utama

Sunday, April 29, 2012

TRADISI SEKOLAH BANTUAN MODAL (THE DEEP ALMA MATER SPIRIT)

Barangkali justeru harus membayar sejumlah amaun kewangan yang lebih tinggi daripada sekolah bantuan penuh kerajaan, maka budak sekolah bantuan modal, terutama sekolah mission, ikatan mereka terhadap sekolah lebih kuat. Sekolah bantuan modal menikmati pembiayaan emolumen guru dan kakitangan, tetapi harus menanggung sendiri perbelanjaan pembangunan fizikal sekolah. Maka, peranan lembaga pengelola sekolah, persatuan bekas murid dan PIBG begitu didambakan.

Kebanyakan sekolah bantuan modal memiliki sejarah yang sangat panjang, iaitu ditubuhkan sejak era penjajahan Inggeris dahulu. Ratusan sekolah bantuan modal terdapat di bandar-bandar utama pantai barat semenanjung dan Malaysia Timur. Sebahagian besar sekolah bantuan modal telah mencecah usia 100 tahun.

Antara sekolah bantuan modal terkemuka ialah Penang Free School, Victoria Institution, St. Michael, St. Paul, Convent, Methodist, Anglo-Chinese dan sekolah menengah vernakular Cina. Dahulu, sekolah-sekolah bantuan modal menggunakan pangkal nama SMJK (sekolah menengah jenis kebangsaan), tetapi kini semuanya sudah diubah kepada SMK (sekolah menengah kebangsaan) sebagai tanda menggunakan kurikulum kebangsaan sepenuhnya. Lepasan sekolah-sekolah bantuan modal telah mendominasi sebahagian besar empayar kepimpinan politik, korporat, akademik dan kesukarelaan hingga ke peringkat antarabangsa.

Ciri unik sekolah bantuan modal ialah hubungan yang sangat erat antara bekas murid dengan sekolah mereka. Walaupun telah mencapai kedudukan yang tinggi dan bergraduat daripada universiti ternama dunia, mereka tetap sahaja ingat akan zaman persekolahan yang dianggap sebagai kenangan paling indah dalam hidup mereka. Di sekolah, mereka mula melakar impian untuk menjejak kejayaan tertinggi sebagaimana senior mereka sebelumnya.

Mereka begitu bangga dengan nama sekolah yang begitu berjasa terhadap masyarakat dan negara. Senarai panjang tokoh bekas murid yang menyerlah dalam bidang politik, ekonomi, akademia, sukan dan kesukarelaan memberi keyakinan diri yang cukup tinggi. Mereka menumpah tuah harumnya nama sekolah.

Tradisi diteruskan. Apabila ada sahaja acara besar yang membabitkan sekolah, mereka sanggup turun beramai-ramai dari jauh. Maka, berlaku pertemuan antara generasi yang berbeza...

Saturday, April 28, 2012

'HATI YANG LUKA" BAB 20 NOVEL MERENANG GELORA (THE ESSENCE OF FEELINGS)

Pengarang novel:  Ruslan bin Ngah, 45
Muka surat rujukan:  231 - 242

Watak utama:  Badri (murid tingkatan 5 / pengawas sekolah)
Watak pembantu:  Taufik  (rakan Badri / suka mengambil tahu)
                          :  Siew Mei  (murid tingkatan 5 / pengkagum rahsia Badri)
                          :  Nadira  (rakan sekelas Badri / kembali rapat dengan Shahrul)
                          :  Shahrul  (murid nakal tingkatan 5 / berdendam dengan Badri)
                          :  Pak Alang  (ayah saudara Badri)
                          :  Mak Alang (isteri Pak Alang)
                       
Latar tempat:  kawasan sekolah / belakang bangunan sekolah (lamunan Badri terhenti dek kejutan Taufik, Siew Mei)
                   :  rumah Pak Alang  (Nadira bersama Shahrul kebetulan bertemu dengan Badri)

Latar masa:  sesi persekolahan pagi
                 :  petang Rabu

Ringkasan bab

Badri mengelamun sendirian tentang Nadira hingga dikejutkan dengan kemunculan Taufik dan Siew Mei. Tanpa sedar, Badri tersasul menyebut nama Nadira walaupun dia sebenarnya membalas percakapan Siew Mei menyebabkan gadis itu berkecil hati, lalu pergi. Dia meminta Taufik meminta maaf bagi pihak dirinya, tetapi Taufik enggan. Taufik menegur Badri yang gagal memahami perasaan halus orang perempuan. Petang Rabu, Badri ke rumah Pak Alang, tiba-tiba Nadira muncul bersama Shahrul. Badri ingin beredar, tetapi ditahan oleh Mak Alang. Berlaku sindir-menyindir antara Badri dengan Shahrul dan Nadira. Wajah Shahrul berubah apabila Badri membangkitkan kes telefon bimbit tempoh hari. Selain itu, Badri menyindir Nadira sebagai mudah mempercayai kata-kata fitnah. Kemudian, Shahrul menerima panggilan telefon dan bergegas pergi. Janjinya untuk datang semula menjemput Nadira tidak tertunai hingga masuk waktu malam... 


Perwatakan:  tegas diri / asertif  (Badri)
                  :  peka / prihatin / ambil berat (Taufik)
                  :  mudah terasa / sensitif (Siew Mei)
                  :  peramah  (Mak Alang / Pak Alang)
                  :  mudah dipengaruhi (Nadira)
                  :  pendendam / licik (Shahrul)

Latar masyarakat:  masyarakat yang tegas diri / asertif
                          :  masyarakat yang peka / prihatin / ambil berat
                          :  masyarakat yang mudah terasa / sensitif
                          :  masyarakat yang peramah / mudah mesra
                          :  masyarakat yang mudah dipengaruhi
                          :  masyarakat yang pendendam / licik
                          :  masyarakat murid sekolah / remaja

Nilai murni:  ketegasan, kepekaan / keprihatinan, keramahan / kemesraan, jati diri

Persoalan:  ketegasan / sikap asertif dalam menyatakan pendirian
               :  kepekaan / keprihatinan terhadap perasaan rakan
               :  sensitiviti / menjaga hati dalam persahabatan
               :  keramahan / kemesraan dalam komunikasi
               :  jati diri dalam pergaulan
               :  sikap dendam membawa keburukan
             
Pengajaran:  kita hendaklah tegas / asertif dalam menyatakan pendirian
                 :  kita hendaklah peka / prihatin / mengambil berat akan perasaan rakan / orang lain
                 :  kita hendaklah menjaga sensitiviti / hati rakan
                 :  kita hendaklah ramah / mesra dalam komunikasi
                 :  kita janganlah mudah termakan fitnah
                 :  kita janganlah menaruh dendam terhadap orang lain

kbkk:  batas pergaulan antara murid berlainan jantina

Friday, April 27, 2012

GURU TINGKATAN 6 HADIRI TAKLIMAT (FROM TERMINAL TO MODULAR)

Ipoh, Jumaat: 27/4/12 = 5 Jamadil Akhir 1433

Hampir 200 orang guru akademik prauniversiti tingkatan 6 bagi mata pelajaran Ekonomi, Pengajian Perniagaan, Perakaunan dan Pengajian Seni Visual berkumpul di Hotel Hillcity dekat sini mulai pukul 3.30 petang untuk sesi taklimat sukatan baharu dan sistem pentaksiran baharu STPM. Ucapan perasmian di sampaikan oleh wakil JPN Perak, manakala slot bagi setiap mata pelajaran dikendalikan oleh jurulatih utama (JU) masing-masing. Sudah agak lama guru tidak berkursus di hotel dan sistem JU hanya diaktifkan jika terdapat perubahan kandungan kurikulum dan pentaksiran.
Penjenamaan semula program pengajian prauniversiti tingkatan 6 ialah hasil bengkel perancangan senario oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) supaya peranan majlis akan terus relevan dalam menyediakan laluan utama ke universiti. Lulusan SPM kini mempunyai lebih banyak pilihan laluan untuk melayakkan mereka menyambung pengajian di peringkat ijazah asas sarjana muda. Mereka boleh memilih kursus matrikulasi, asasi sains, foundation, baucaleurate, A Level, sijil dan diploma politeknik, serta kolej dan universiti swasta.

Hakikatnya, kelayakan STPM menerima pengiktirafan dari seluruh dunia, serta setanding dengan semua laluan prauniversiti bertaraf dunia. Lulusan cemerlang STPM akan diterima masuk ke universiti terkemuka dunia seperti Cambridge, Harvard dan Oxford. Pihak MPM sudah sekian lama menikmati akreditasi antarabangsa.

Pembaharuan atau transformasi yang dilakukan oleh MPM kali ini bersifat menyeluruh dari segi sukatan pelajaran dan pentaksiran. Sukatan pelajaran mengalami semakan radikal supaya sentiasa akur dengan keperluan terkini dan adil dari segi aksesibiliti dan ekuiti. Pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) turut diberikan wajaran antara 20 hingga 40 peratus sebagai komponen pentaksiran yang penting. 

Kemahiran insaniah (soft skill) seperti kepimpinan, interpersonal, kesukarelaan, kerja berpasukan dan sebagainya akan diukur menerusi kerja kursus, serta pembentangan laporan yang berkaitan. Pelajar akan dibiasakan dengan proses mencari maklumat (kutipan data) yang perlu mendapat persetujuan berpengetahuan dan mematuhi etika yang piawai. Penggunaan konsep-konsep tertentu yang dapat menjelaskan fenomena yang rencam secara ringkas akan diberikan merit.

Jika sistem terminal sebelum ini diukur secara sekali gus dalam peperiksaan STPM setelah selesai semua sukatan pelajaran, sistem modular pula akan diukur dalam peperiksaan STPM pada setiap semester. Setiap semester menawarkan mata pelajaran yang berlainan. Namun, pelajar dibenarkan menduduki semula kertas yang belum memuaskan hati mereka dari segi gred pencapaian...


Thursday, April 26, 2012

"CERITA BAHARU" BAB 19 NOVEL MERENANG GELORA (THE SUBMERGED ICEBERG)

Pengarang novel:  Ruslan bin Ngah, 45
Muka surat rujukan:  227 - 230

Watak utama:  Badri  (murid tingkatan 5 / pengawas sekolah)
Watak pembantu:  Siew Mei  (murid tingkatan 5 / "pengkagum rahsia" Badri)
                          :  Taufik  (rakan Badri / suka mengambil tahu)
                          :  Meng Kong  (penghuni asrama sekolah / bekas rakan subahat Shahrul / Kumar)

Latar tempat:  kantin sekolah / meja hujung menghala ke padang

Latar masa:  sesi persekolahan pagi / waktu rehat

Ringkasan bab

Ketika Badri, Siew Mei dan Taufik sedang menikmati makanan, Meng Kong datang menyertai mereka. Meng Kong mengagak Badri dianiaya oleh Shahrul. Meng Kong berasa hairan Shahrul sukar berubah walaupun dia ditolong oleh Badrul tempoh hari. Meng Kong juga berpendapat Kumar benar-benar insaf. Siew Mei mulanya diam sahaja, tetapi kemudian memuji Meng Kong yang kembali memberi tumpuan terhadap pelajaran. Badri sendiri buntu untuk menginsafkan Shahrul. Badri juga tahu menerusi Siew Mei bahawa Amran yang terbunuh ialah kawan Shahrul. Taufik pula memberitahu bahawa Shahrul dibela oleh ibu bapanya. Cikgu Jailani juga terpaksa ke rumah Shahrul untuk berbincang. Mereka pakat tertawa apbila Badri mengusik betapa Taufik cekap mencari berita.

Perwatakan:  peka / prihatin / ambil berat  (Meng Kong)
                  :  ramah / mesra / kelakar  (Badri)
                  :  berhati-hati / waspada (Siew Mei)
                  :  cekap mengumpul maklumat  (Taufik)

Latar masyarakat:  masyarakat yang peka / prihatin / ambil berat
                          :  masyarakat yang ramah / mesra / kelakar
                          :  masyarakat yang berhati-hati / waspada
                          :  masyarakat yang cekap mengumpul maklumat
                          :  masyarakat murid sekolah

Nilai murni:  kepekaan / keprihatinan
                :  keramahan / kemesraan
                :  kewaspadaan
                :  kecekapan / kebijaksanaan

Persoalan:  kepekaan / keprihatinan terhadap perkembangan rakan
               :  keramahan / kemesraan dalam komunikasi / pergaulan
               :  kewaspadaan terhadap orang yang tidak dikenali
               :  kebijaksanaan / kecekapan dalam mengumpul maklumat

Pengajaran:  kita hendaklah peka / prihatin / ambil berat terhadap perkembangan rakan
                 :  kita hendaklah ramah / mesra dalam komunikasi / pergaulan
                 :  kita hendaklah waspada terhadap orang yang tidak dikenali
                 :  kita hendaklah bijak / cekap dalam mengumpul maklumat

kbkk: sokongan yang diterima oleh watak utama ketika berhadapan dengan cabaran

Wednesday, April 25, 2012

GAJI BAHARU KAKITANGAN AWAM: BELANJA SAKAN ATAU JIMAT? (BUDGETING THE HIGHER INCOME)

Hari ini, 25 April 2012 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1433, senyuman kakitangan awam melebar sampai ke telinga. Maklumlah, bulan ini moncah dengan tunggakan tiga bulan kenaikan 13 peratus gaji pokok dan tambahan elaun sara hidup (Cola) sebanyak RM50, kecuali penerima RM300 sebelum ini. Masing-masing membawa pulang antara RM200 hingga RM1,000 kali 3 bulan!

Sebulan dua lagi dapat pula tunggakan kenaikan gaji untuk setengah tahun kerana pada hari ini juga penyata perubahan gaji (pergerakan gaji) diterima semula oleh pihak pejabat. Maka, masing-masing akan mencongak tambahan antara RM100 hingga RM500 kali 6 bulan pula. Kalau rezeki sudah murah, jangan lupa sujud syukur dan menyediakan peruntukan untuk kebajikan dan infaq.

Kenaikan gaji 13 peratus hanya akan bermakna jika kadar inflasi dapat bertahan antara 4 hingga 6 peratus sahaja. Ramai yang tidak begitu menyedari bahawa antara fungsi kenaikan upah dan gaji ialah sebagai elaun inflasi atau kemerosotan nilai wang. Kuasa beli wang ialah pendapatan benar seseorang setelah pendapatan wang atau pendapatan nominal mereka mengalami diskaun inflasi!

Apabila wang tunai berada dalam tangan, orang kata wang menjadi panas dan mudah sangat licin sekelip mata. Godaan para peniaga begitu licik dan mempersonakan untuk ditolak begitu sahaja. Mereka akan mengambil kesempatan sebelum kakitangan awam dapat berfikir secara masak dan jangka panjang.

Belanja Sakan, Belanja Berhemah


Madu di tangan kananmu, racun di tangan kirimu... Lirik lagu seberang itu mungkin boleh menjadi renungan dalam menghadapi kegembiraan dan rezeki yang melimpah ruah. Kebijaksanaan silam menyebut bahawa ikut rasa, binasa; ikut hati, mati.

Dalam ajaran Islam, terdapat tegahan tentang sikap kikir (kedekut melampau) dan sikap boros (belanja melampau). Sebaik-baik pertimbangan ialah sikap pertengahan dan sederhana. Segala sikap melampau, melulu dan ekstrem disebut sebagai taghut.

Nikmat rezeki dan kekayaan ialah ujian berbentuk kesenangan supaya manusia menunaikan hak-hak orang lain yang tidak memperoleh peluang itu. Maka, beruntunglah orang-orang yang mensucikan jiwa mereka dengan amalan kebaikan,  kebajikan dan kebaktian (qad aflaha man zakkaha, 91:9). Amalan yang dimaksudkan termasuk untuk diri sendiri, kaum keluarga, jiran tetangga dan golongan yang memerlukan.

Aktiviti mencari rezeki ialah tuntutan bagi setiap insan yang berakal dan sihat tubuh badan. Setiap individu hendaklah berdikari, serta tidak sesekali menjadi beban kepada orang lain (kallan 'alan-nas). Aliran mensucikan kemiskinan tidak mungkin datang daripada fikiran yang bijak.

Keputusan untuk berbelanja jangan ditanya pada nafsu dan selera yang bersifat serakah, tetapi rujuklah kepada iman dan taqwa. Biarlah setiap sen yang dibelanjakan menjadi ibadah dan dikira sebagai amal soleh. Tiada perbelanjaan yang bersifat sia-sia dan membazir.

Kuasa Memegang Tunai

Sesetengah orang berpendapat bahawa wang tunai yang terkumpul boleh digunakan untuk membeli aset atau  harta semasa orang lain sibuk untuk menjualnya. Semasa rezeki moncah, sebahagian wang tunai ditabungkan di institusi kewangan bagi mengekalkan kuasa beli wang itu menerusi perolehan dividen atau perkongsian keuntungan sebagai elaun inflasi. Apabila peluang muncul untuk membeli harta, wang yang terkumpul itu menjadi senjata untuk bertindak dengan serta-merta tanpa mengharapkan pembiayaan secara pinjaman.

Nasihat di atas boleh diperoleh daripada orang-orang yang berjaya dalam bidang keusahawanan dan perniagaan berskala besar. Ketepatan masa dalam strategi pelaburan bakal memberikan pulangan lumayan (infinity). Orang yang sentiasa berpegang kepada prinsip cukup makan samalah seperti analogi binatang yang paling miskin, iaitu ayam yang kais pagi, makan pagi; kais petang, makan petang.

Kesan Pengganda dan Paradoks Penjimatan


Bahagian pendapatan yang dibelanjakan, iaitu penggunaan akan meningkatkan perbelanjaan agregat dan akhirnya akan merangsang aktiviti ekonomi. Setiap urus niaga akan mencetuskan 27 urus niaga yang lain. Contohnya, setiap unit burger yang dibeli mewujudkan peluang pekerjaan dalam industri roti, mayonis, gas masak, sos cili, kobis, daging proses dan rantaian lain.

Maka, kalau setiap orang berhenti membeli burger, 27 urus niaga rantaian tadi juga akan terputus. Pembaziran faktor dalam bentuk pengangguran dan kehausan barang modal akan berlaku. Aktiviti ekonomi akan terjejas kerana penganggur tadi hilang kuasa beli untuk membeli barang lain seperti pakaian dan item penjagaan diri, lalu menyebabkan pengangguran merebak pula kepada industri pakaian, kosmetik dan sebagainya.

Fenomena enggan berbelanja seperti di atas dipanggil sebagai paradoks penjimatan. Kesan akhirnya ialah ekonomi akan mengalami kemerosotan. Saiz aliran pusingan pendapatan akan menjadi kecut.

Sebaliknya, jika perbelanjaan berlaku secara berlebihan, permintaan agregat yang tinggi bakal melonjakkan harga, dan seterusnya mendatang kesan inflasi (tarikan permintaan). Saiz aliran pusingan pendapatan yang  bertukar menjadi gelembung itu boleh menyebabkan agihan pendapatan bertambah buruk dan ekonomi terperangkap dalam ketidakseimbangan.

Walaupun kesan inflasi boleh dikurangkan menerusi dasar belanjawan dan dasar kewangan, keputusan orang ramai untuk memegang tunai (kecairan) atau berpisah dengan tunai akan mempengaruhi tingkat aktiviti ekonomi secara agregat. Kakitangan awam mungkin enggan berfikir sejauh itu kerana tidak mahu fikiran menjadi serabut. Justeru, sumbangan kecil dalam berhadapan dengan nikmat rezeki yang melimpah ruah ialah sikap pertengahan, sederhana dan berhemah dalam mengurus perbelanjaan...

"PENTAS SANDIWARA" BAB 18 NOVEL MERENANG GELORA (PUZZLE APPEARANCE)

Pengarang novel:  Ruslan bin Ngah, 45
Muka surat rujukan:  217 - 226

Watak utama / antagonis:  Badri (murid tingkatan 5 / pengawas sekolah)
Watak penentang / protagonis:  Shahrul  (murid nakal tingkatan 5)

Watak pembantu:  Taufik
                          :  Kumar
                          :  Lokman  (ketua pengawas sekolah)
                          

Latar tempat:  bilik darjah yang kosong  (Shahrul mengugut Kumar)
                   :  bilik pengawas  (Kumar dan Shahrul disoal siasat oleh Lokman)

Latar masa:  sesi persekolahan pagi

Ringkasan bab

Taufik berasa hairan kerana Nadira sudah renggang dengan Badri dan mengagak Nadira sudah dipengaruhi  semula oleh Shahrul. Taufik juga beranggapan bahawa Nadira cemburu akan Siew, tetapi Badri mengatakan hubungannya dengan Nadira dan Siew Mei setakat kawan biasa. Sedang Badri mengalih tajuk perbualan, mereka terdengar suara orang bertengkar daripada sebuah bilik darjah kosong. Rupa-rupanya Shahrul sedang memarahi Kumar, tetapi Kumar berani membantah. Demi terlihat Badri, Kumar gugup, manakala Shahrul sinis sambil memberi amaran supaya Badri tidak masuk campur. Kumar pula makin bernai melawan Shahrul, malah dia berani mencekak kolar baju Shahrul. Tiba-tiba Lokman muncul dan mengarahkan mereka berdua ke bilik pengawas, sambil mula menyoal. Teguran Lokman dibalas dengan cemuhan bahawa Lokman juga pelajar. Setelah memberi kata dua kerana tidak menghormati pengawas dan bergaduh, Lokman membenarkan Shahrul dan Kumar pergi.

Lokman berpendaftar Shahrul sebagai dalang kes fitnah Badri. Lokman juga menasihatkan Badri supaya tidak patah semangat gara-gara fitnah Shahrul. Badri terganggu dengan anggapan serong rakan-rakannya, hingga dia pernah terfikir untuk meletak jawatan sahaja. Taufik cuba mengaitkan Kumar, tetapi Lokman mahu kes itu disiasat oleh Cikgu Jailani. Lokman masih menganggap Badri pengawas terbaik, sambil menyatakan rasa kagum akan sikap berani dan kental Badri. Sokongan Siew Mei dan Taufik amat penting buat Badri, lebih-lebih lagi SPM bakal menjelang. Mereka bersurai dengan janji kerjasama untuk mengawasi Shahrul dan Kumar. Kata-kata Lokman membibitkan curiga Badri tentang Kumar, tetapi Taufik mengingatkan Badri supaya tidak bertindak sendirian. Taufik lega dengan jaminan Badri, walaupun emosi Badri dilihatnya tergugat...

Perwatakan:  setia kawan  (Taufik, Lokman)
                  :  berterus terang / jujur / ikhlas  (Badri)
                  :  tegas diri / asertif / tetap / teguh pendirian  (Kumar, Lokman)
                  :  adil / bijak dalam pertimbangan  (Lokman)
                  :  angkuh / agresif  (Shahrul)

Latar masyarakat:  masyarakat yang setia kawan
                          :  masyarakat yang berterus terang / jujur / ikhlas
                          :  masyarakat yang tegas diri / asertif / tetap / teguh pendirian
                          :  masyarakat yang adil / bijak dalam pertimbangan
                          :  masyarakat yang angkuh / agresif
                          :  masyarakat murid sekolah / pelajar remaja

Nilai murni: kesetiakawanan, kejujuran / keikhlasan, ketegasan / keteguhan pendirian, keadilan / kebijaksanaan

Persoalan:  kesetiakawanan dalam persahabatan
               :  kejujuran / keikhlasan dalam komunikasi / persahabatan
               :  ketegasan / keteguhan pendirian dalam menghadapi cabaran
               :  keadilan / kebijaksanaan dalam kepimpinan / membuat keputusan

Pengajaran:  kita hendaklah setia kawan dalam persahabatan
                 :  kita hendaklah jujur / ikhlas dalam komunikasi / pergaulan / persahabatan
                 :  kita hendaklah tegas / teguh pendirian dalam menghadapi cabaran
                 :  kita hendaklah adil / bijak dalam memimpin / membuat keputusan
                 :  kita janganlah angkuh / degil / keras kepala terhadap nasihat / teguran orang lain

kbkk:  cabaran / dugaan / ujian terhadap kesabaran / ketabahan / kebijaksanaa watak utama
        :  cara watak utama berhadapan dengan kemelut / pergolakan / krisis / konflik / tentangan

Tuesday, April 24, 2012

PERANAN PERTUBUHAN BUKAN KERAJAAN (NON-PROFIT GROUP ACTIVITIES)

Bilangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di peringkat antarabangsa dianggarkan berjumlah 40,000 buah, manakala di India melebihi 3 juta buah dan di Russia 277,000 buah. Pada asasnya, NGO ialah kumpulan berdaftar yang sah bagi kegiatan bukan politik dan bukan berorientasi keuntungan. Malangnya, pada hari ini banyak orang politik hanya menjadikan NGO sebagai perkakas atau topeng untuk menonjolkan diri sendiri kononnya pembela bangsa dan melakukan kerja-kerja fitnah yang amat hina lagi keji.

Contoh NGO tempatan yang jelas inti pati perjuangan mereka ialah persatuan pengguna, belia, alam sekitar, badan kebajikan warga tua dan anak yatim, serta persatuan rekreasi. Namun, sebahagian NGO berkenaan juga telah lama diresapi oleh pengaruh politik atas alasan mudah mendapat dana dan akses program skala besar. Selain itu, pertelagahan tentang jawatan organisasi juga telah melemahkan peranan asal NGO terbabit.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kelihatan lebih menonjol dan bebas daripada pengaruh politik parti. Gabungan Persatuan Pengguna Kebangsaan (Fomca) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pula tidak begitu bertaring justeru sering berlaku kemelut kepimpinan dan kadang-kadang menunjukkan kecenderungan yang berat sebelah. Barangkali, hakikat itu ialah punca utama para pengguna di Malaysia tidak berdaya menghalang kaum kapitalis daripada melakukan penindasan hingga begitu berkuasa dalam pasaran.

Nasib pertubuhan belia lebih teruk. Pemimpin-pemimpin tua yang masih perasan muda sangat liat untuk berundur daripada tampuk kepimpinan, lalu mengakibatkan pertubuhan belia tidak lebih sebagai kuda tunggangan ahli politik yang rakus. Sebahagian besar golongan belia sebenar beralih kepada aktiviti antisosial seperti lumba haram, pergaulan bebas dan hiburan melampau.

NGO alam sekitar memainkan peranan penting sebagai wadah kesedaran sosial tentang kepentingan ekosistem dan kehidupan yang sejahtera tanpa pencemaran. Namun, mereka tidak boleh terikut-ikut dengan pendekatan Greenpeace di peringkat antarabangsa yang sanggup melakukan bantahan yang aneh hingga menjatuhkan maruah aktivis mereka sendiri. Sahabat Alam Sekitar Malaysia (Sam) ialah contoh NGO tempatan yang masih dihormati di negara kita.

Badan kebajikan seperti Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim (Peryatim), Majlis Kanser Nasional (Makna) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) diterajui oleh individu yang pernah berpengaruh dalam politik seperti bekas menteri, pegawai tinggi awam dan ahli akademik. Namun, di peringkat negeri dan daerah, terdapat lebih banyak badan kebajikan skala kecil yang lebih fokus. Badan-badan kebajikan seumpama demikian memberi kesempatan kepada warganegara dan anggota masyarakat yang prihatin untuk menghulurkan pertolongan kepada golongan yang kurang beruntung.

Di samping itu, terdapat juga NGO berasaskan hobi dan kegemaran sosial tertentu seperti kelab motosikal berkuasa tinggi, kelab kereta antik, kelab memancing dan sebagainya. Kelab-kelab eksklusif seumpama itu bagaimanapun tidak bersifat massa. Namun, mereka masih boleh menjalankan kerja-kerja kebajikan berdasarkan kemampuan dana masing-masing.

Nama-nama NGO seperti Tibai dan Gaps ialah contoh kumpulan pendesak yang diasaskan untuk medium orang politik yang tidak menyerlah dalam arus perdana politik tanah air. Pertubuhan bermusim seperti itu menyebabkan berlaku kekeliruan tentang peranan sebenar NGO. Generasi muda akan menjauhi aktiviti NGO yang diragui.

Monday, April 23, 2012

'MANGSA FITNAH" BAB 17 NOVEL MERENANG GELORA (SCAPEGOATING BY FOE)

Pengarang novel:  Ruslan bin Ngah, 45
Muka surat rujukan:  199 - 216

Watak utama:  Badri (murid tingkatan 5 / pengawas sekolah)
Watak pembantu:  Kumar  (murid tingkatan 5 / kawan baik Badri setelah Jamil menghilang)
                          :  Meng Kong (bekas sekutu Shahrul, Kumar / penghuni asrama sekolah)
                          :  Cikgu Jailani (guru disiplin / guru Matematik)
                          :  Nadira (anak buah Mak Alang Badri / rakan sekelas Badri / sekutu Shahrul)
                          :  Taufik  (rakan baik Badri / suka mengambil tahu)
                          :  Shahrul  ("musuh" yang berdendam dengan Badri / murid tingkatan 5)
                          :  Siew Mei  (murid tingkatan 5 / "pengkagum rahsia" Badri)
                          :  Maria (rakan sekelas Badri yang tidak dapat menjawab soalan terakhir Matematik)
                         
Latar tempat:  rumah Badri (Badri belajar bersama Kumar)
                   :  perpustakaan (Badri mencari bahan untuk karangan, disapa oleh Meng Kong)
                   :  bilik darjah Badri  (telefon bimbit berbunyi dalam beg Badri)
                   :  bilik pengawas  (Badri mengikut Cikgu jailani untuk tindakan lanjut kes telefon bimbit)
                   :  kawasan sekolah  (Shahrul berubah wajah apabila ditebak oleh Badri / Siew Mei menyatakan dia percayakan Badri)

Latar masa:  sesi persekolahan pagi
               
Ringkasan bab


Badri makin rapat dengan Kumar. Dia sering mengajak Kumar bermalam di rumahnya untuk belajar bersama. Badri kesal dengan sikap Siew Mei, tetapi Kumar menganggap Badri sebagai lurus bendul, serta tidak faham perasaan perempuan (Nadira dan Siew Mei) yang berebut dirinya. Badri mengelak, dan bertekad mahu menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Pada hari Rabu, di perpustakaan, Badri disapa oleh Meng Kong. Di kelas, Cikgu Jailani mahu murid berbincang tentang latihan Matematik. Ketika Badri sedang menunjukkan halan hitungan di papan putih, terdengar deringan telefon bimbit dalam beg Badri. Walaupun Badri membuat penafian, Nadira pula yang menuduh Badri bersalah. Di bilik pengawas, Cikgu Jailani memberi jaminan kepada Badri bahawa dia akan terus melakukan siasatan dengan bantuan rakan di syarikat telekomunikasi. Dalam pada itu, Badri mengimbas kembali perbualannya dengan Taufik. Badri menyamakan Taufik dengan Siew yang selalu menaruh syak wasangka terhadap Kumar yang dikatakan masih digunakan oleh Shahrul untuk menganiaya dirinya. 

Akibat peristiwa itu, Badri lebih banyak menyendiri. Dia dipandang serong. Dua hari selepas itu Cikgu Jailani membawa khabar gembira bahawa terbukti Badri tidak bersalah. Cikgu Jailani juga setuju dengan Badri bahawa 'musuh' Badri ialah Shahrul. Namun, banyak murid telah termakan fitnah itu. Shahrul mengambil peluang menekan Badri, tetapi dia yang terkena. Nadira pula mudah dipengaruhi, malah dia memalingkan muka ketika Badri cuba menguntum senyuman. Ketika harapan Badri kian pudar, Siew Mei muncul memberi sokongan. Siew Mei menegur Badri yang bersifat lurus bendul dan naif terhadap muslihat licik Shahrul. Siew Mei juga memberitahu Taufik belum berani lagi mendekati Badri. Mereka berdua tertawa...

Perwatakan:  ikhlas / jujur (Badri)
                  :  adil / tegas  (Cikgu Jailani)
                  :  setia kawan  (Siew Mei / Taufik)
                  :  mudak dipengaruhi  (Nadira)

Latar masyarakat:  masyarakat yang ikhlas / jujur
                          :  masyarakat yang adil / tegas
                          :  masyarakat yang setia kawan
                          :  masyarakat yang mudah dipengaruhi

Nilai murni:  keikhlasn / kejujuran
                :  keadilan / ketegasan
                :  kesetiakawanan / saling mempercayai
                :  jati diri

Persoalan:  keikhlasan / kejujuran dalam komunikasi / melaksanakan tugas
              :  keadilan / ketegasan dalam mencari bukti
              :  kesetiakawanan / saling mempercayai dalam persahabatan
              :  jati diri dalam pendirian

Pengajaran:  kita hendaklah ikhlas / jujur dalam komunikasi / melaksanakan tugas
                 :  kita hendaklah adil / tegas dalam mencari bukti
                 :  kita hendaklah setia kawan / saling percaya dalam persahabatan
                 :  kita hendaklah memiliki jati diri dalam pendirian / kita jangan mudah dipengaruhi oleh khabar palsu

kbkk:  konflik yang dihadapi oleh watak utama menyebabkan pembaca tertanya-tanya.

PERSAINGAN MONOPOLISTIK (IMPERFECT COMPETETION)

Pengenalan

Antara dua ekstrem, persaingan sempurna (PS) dengan monopoli, terdapat pasaran persaingan tidak sempurna. Di peringkat prauniversiti, tumpuan pembelajaran lebih terarah kepada persaingan monopolistik (PM), manakala firma oligopoli hanya dibincangkan dari segi definisi dan ciri sahaja. Pelajar harus berhati-hati ketika menetapkan masalah perbincangan supaya tidak terkeliru antara PM dengan monopoli.

bersambung...

Sunday, April 22, 2012

"TERSAYAT PEDIH" BAB 16 NOVEL MERENANG GELORA (GANG WITHDRAWAL)

pengarang novel:  Ruslan bin Ngah, 45
Muka surat rujukan:  18 - 198

Watak utama / protagonis:  Badri (murid tingkatan 5 / pengawas sekolah)
Watak penentang / antagonis:  Shahrul  (murid nakal tingkatan 5)
Watak pembantu:  Nadira  (pernah menjadi sekutu Shahrul untuk menentang Badri)
                          :  Badrul  (adik Badri / murid tingkatan 3 / pemain bola sepak sekolah)
                          :  Din  (rakan Shahrul di luar sekolah, tetapi enggan memukul Badrul)
                          :  Taufik  (rakan Badri / suka mengambil tahu)
                          :  Kumar  (bekas sekutu Shahrul, kini rapat dengan Badri)
                          :  Siew Mei (murid tingkatan 5 / pengkagum rahsia Badri)

Latar tempat:  rumah Shahrul (2 minggu Shahrul terperap selepas kematian Amran)
                   :  tempat berkumpul budak-budak motor / longkang  (Shahrul terbabas dan tertimpa motosikal sendiri)
                   :  hospital  (Badrul membawa Shahrul untuk menerima rawatan)
                   :  kawasan sekolah / kantin (Kumar / Siew Mei mencari Badri)

Latar masa:  petang minggu (Shahrul berkumpul bersama budak motor)
                 :  sesi persekolahan pagi  (Siew Mei bertikam lidah dengan Kumar, nadira)

Ringkasan bab


Berita kematian Amran menakutkan Shahrul menyebabkan dia terperap sehingga dua minggu di rumah. Dia pernah cuba berbaik dengan Nadira, tetapi mendapat sambutan dingin. Walaupun cakap Nadira agak kasar, tetapi nada yang dilontarkan masih lembut sudah cukup untuk Shahrul terus menaruh harapan. Dia tidak peduli kalau Nadira masih getik. Pada petang minggu, Shahrul berkumpul dengan rakan motosikalnya, lalu terlihat Badrul. Dia mengumpan Din supaya memukul Badrul, tetapi Din enggan. Shahrul kecewa dan memecut motosikalnya, lalu terbabas ke dalam longkang. Badrul yang membawanya ke hospital dengan teksi selain menghubungi keluarga Shahrul, tetapi mulut Shahrul berat untuk mengucapkan terima kasih. 

Di sekolah keesokannya, Taufik mencari Badri untuk mengetahui kemalangan itu. Badri menegah Taufik daripada memburukkan Shahrul. Kumar pula berasa sedih kerana dia diberitahu oleh Din tentang niat Shahrul untuk membelasah Badrul. Tiba-tiba Siew menuju ke arah Kumar, tetapi nyata Siew Mei tidak senang dengan Kumar yang mula rapat dengan Badri. Siew Mei enggan beriringan dengan Kumar mencari Badri, sebaliknya dia mengucapkan kata-kata permusuhan yang menyebabkan Kumar tersenyum pahit.

Apabila berjumpa Badri bersama Nadira dan taufik, Siew Mei terus mendesak. Dia geram dengan cerita Kumar bahawa Shahrul berniat buruk. Apabila Nadira cuba mempertikai cerita Kumar, Siew Mei terus melabel Nadira sebagai mudah diperdaya. Siew Mei berlalu ke perpustakaan ketika Badri resah tentang kemungkinan tercetus pertengkaran antara dua gadis itu. Kemudian, Badri melafazkan rasa hairan tentang cakap Nadira bahawa Shahrul sudah berubah dan insaf, serta dia mahu melawat Shahrul di hospital.

Perwatakan:

Latar masyarakat:

Nilai murni:

Persoalan:

Pengajaran:

kbkk:

Saturday, April 21, 2012

USTAZ KAZIM DI RPS (THE NEW TREND OF LATER TRAINED USTAZ)

Ipoh, Sabtu: 20.4.12 = 28 Jamadil Awal 1433
Ustaz Kazim mengisi program bina insan di Sekolah Raja Perempuan, Ipoh


Orangnya masih dalam lingkungan umur pemuda, iaitu di bawah 40 tahun. Dalam usia demikian, beliau telah menikmati status sebagai pendakwah selebriti. Undangan diterima dari seluruh pelosok negara, media elektronik dan pelbagai wacana ilmu.

Bekas murid aliran sains sekolah harian itu kemudian beralih arah ke maahad tahfiz untuk bergelar al-hafiz dan ustaz. Beliau tidak melalui proses sekolah pondok tradisional untuk kelayakan IV Thanawi seperti kebanyakan ustaz dulu-dulu. Kalau kita rajin meneliti latar belakang sebahagian imam masjid jamek di seluruh negara, perkara seperti itu sudah menjadi biasa.

Sebagai contoh, imam sebuah masjid hospital di Ipoh belajar di sekolah harian hingga tamat STPM aliran sastera sebelum belajar di maahad tahfiz. Seorang pendakwah selebriti terkenal, Ustaz Azhar Idrus dari Terengganu ialah bekas pengajar muzik sebelum menadah kitab kuning secara tahkik dengan alim ulama di sekitar Kuala Terengganu. Mereka berdua memang mahir dalam bidang muzik dan nyanyian hingga menjadi daya tarikan dalam sesi ceramah mereka.

Ustaz Kazim bin Elias al-Hafiz memiliki pengalaman yang sama. Beliau pandai menyanyi dan berjenaka. Isi ceramah beliau mungkin cerita biasa, tetapi diolah dengan begitu rupa hingga membuat khalayak seolah-olah tercampak dalam satu dimensi ilmu yang baharu.

Sebagai ustaz selebriti, jadual undangan ceramah mereka sangat padat. Sebagai orang yang sibuk, mereka bergerak menerusi bantuan pegawai pembantu peribadi dan pemandu, serta kakitangan pejabat yang lain. Untuk itu, mereka perlu sejumlah dana untuk membayar gaji petugas pejabat dan segala perbelanjaan yang lain.

Ustaz selebriti tidak ubah seperti penceramah motivasi sepenuh masa menerusi syarikat yang berdaftar. Sebagai sebuah syarikat, perkhidmatan yang diberikan mempunyai tanda harga yang tertentu. Setiap syarikat memiliki modul penyampaian ceramah dan latihan yang dipatenkan. 

Masyarakat kita mungkin masih baharu dengan fenomena pendakwah dan ustaz selebriti yang diangkat oleh media elektronik, you tube dan sebaran berita mulut ke mulut. Mungkin ada yang bertanya sama ada pendekatan selebriti sejajar dengan hasrat dakwah atau petanda akhir zaman. Namun, harus diingat bahawa tok guru juga perlu sara hidup yang setimpal untuk keluarga dan segala bentuk perbelanjaan yang memungkinkan mereka dapat bergerak ke sana ke mari...

Friday, April 20, 2012

'KEHILANGAN YANG MISTERI" BAB 15 NOVEL MERENANG GELORA (OUT OF SIGHT)

Pengarang novel:  Ruslan bin Ngah, 45
Muka surat rujukan:  185 - 187

Watak utama:  Badri (murid tingkatan 5 / pengawas sekolah)
Watak pembantu:  Siew Mei  (murid tingkatan 5 / "peminat rahsia" Badri)

Latar tempat:  pusat sumber sekolah (Siew Mei membaca berita Amran terbunuh)
                   :  kantin sekolah  (Siew Mei menyampaikan berita ketika Badri sedang berbaris)

Latar masa:  sesi persekolahan pagi

Ringkasan bab


Badri gagal menghubungi Jamil, malah keluarga Jamil hanya membisu. Badrti juga kelihatan mula rapat dengan Kumar. Setelah sebulan berlalu, Jamil mula dilupakan, tetapi Badri masih teringat akan sahabat baiknya itu. Siew Mei pula terbaca berita tentang Amran, rakan Shahrul di luar sekolah, terbunuh dalam kejadian tembak-menembak dengan polis. Dia terus mencari Badri untuk menyampaikan berita itu. Badri cemas kalau-kalau nama Jamil tersenarai, tetapi dia berasa lega bahawa hal itu tidak berlaku.

Perwatakan:  peka / prihatin / ambil berat  (Siew Mei)
                  :  setia kawan  (Jamil)

Latar masyarakat:  masyarakat yang peka / prihatin / ambil berat / ambil peduli
                          :  masyarakat yang setia kawan  

Nilai murni:  keprihatinan / keprihatinan / kepedulian
                :  kesetiakawanan

Persoalan:  keprihatinan / keprihatinan / kepedulian terhadap persahabatan
               :  kesetiakawanan dalam persahabatan

Pengajaran:  kita hendaklah peka / prihatin / ambil berat / ambil peduli terhadap persahabatan
                 :  kita hendaklah setia kawan dalam persahabatan

kbkk:  kebijaksanaan watak utama dalam menghadapi cabaran / konflik / pergolakan

Thursday, April 19, 2012

REZEKI YANG BERKAT (THE STORY OF SCHOOL SECURITY GUARD)

Sesekali apabila muncul kesempatan, penulis blog (PB) akan berbual-bual dengan pengawal keselamatan sekolah, iaitu jaga sekolah. Dahulu,sebelum penswastaan perkhidmatan sokongan berkenaan, jaga sekolah termasuk dalam norma perjawatan khas, walaupun kadang-kadang dipinjam daripada pekerja am rendah (PAR) atau pekerja rendah awam (PRA). Jaga berpangkalan di pondok kawalan di hadapan pintu masuk utama sekolah.

Antara tugas penting pengawal keselamatan sekolah ialah mengawasi pergerakan keluar masuk warga sekolah, serta memastikan bahawa hanya pelawat yang memperoleh izin pengetua dan guru besar sahaja dibenarkan masuk ke kawasan sekolah. Tatacara operasi piawai (SOP) kebanyakan sekolah ialah pelawat mengisi slip borang khas, meninggalkan kad pengenalan atau lesen memandu, serta memakai kad kebenaran lawatan. Semua kenderaan awam, kecuali dalam kes khas, perlu diletak di luar daripada pagar sekolah.

Pengawal keselamatan sekolah juga dikehendaki membuat rondaan ke seluruh kawasan sekolah secara berjadual, termasuk asrama. Semua tugas yang dijalankan perlu dicatat dalam buku log kawalan keselamatan untuk semakan pengetua dan guru besar. Pengawal keselamatan yang bertugas pada waktu malam dan awal pagi harus memastikan tiada pencerobohan berlaku.

Kini, tugas kawalan keselamatan sekolah diserahkan kepada syarikat swasta menerusi pemantauan ketat oleh pejabat pelajaran daerah. Syarikat yang memenangi tender akan berurusan terus dengan pihak PPD dari segi caj perkhidmatan dan kebajikan pengawal keselamatan. Pihak PPD boleh mengenakan penalti sehingga 20 peratus jika syarikat kawalan keselamatan gagal mematuhi SOP sepenuhnya atau cuai dari segi kebajikan pengawal keselamatan.

Secara am, di Malaysia, syarikat kawalan keselamatan telah melaksanakan tugas masing-masing dengan baik sepertimana terma dalam perjanjian perkhidmatan. Kes pencerobohan dan jenayah yang berlaku di dalam kawasan sekolah masih bersifat terpencil. Pihak sekolah sendiri menetapkan tatacara yang ketat dari segi keselamatan fizikal dan harta benda kerajaan daripada terdedah kepada ancaman jenayah.

Sebahagian besar pengawal keselamatan terdiri daripada bekas anggota keselamatan yang sudah bersara, misalnya polis dan tentera. Dari segi SOP dan disiplin, mereka sudah memiliki pengalaman yang agak panjang. Namun, sebagai manusia biasa, semua perkara harus diulang-ulang supaya wujud keseragaman dari segi cara bertindak yang dikehendaki.

Menerusi dasar upah minimum yang dikuatkuasakan mulai penghujung tahun lepas, pengawal keselamatan sekolah menerima bayaran antara RM900 hingga RM1,200 sebulan, serta beberapa pasangan pakaian seragam yang lengkap. Namun, bagi sekolah bantuan modal dan sekolah persendirian, amaun yang mampu ditawarkan mungkin lebih rendah berdasarkan peruntukan kewangan PIBG. Setelah ditolak caruman Skim Keselamatan pekerja (Perkeso, Socso) dan KWSP, jumlah bersih yang dibawa pulang oleh pengawal keselamatan akan berkurangan sekitar RM60.

PB sempat berbual-bual dengan beberapa orang pengawal keselamatan sekolah sepenuh masa yang bukan bekas anggota keselamatan. Mereka sangat gembira dengan bayaran bulanan yang melepasi RM1,000. Setelah ditolak ansuran kereta Kancil sebanyak RM300, mereka masih mempunyai baki sekitar RM800 untuk menampung perbelanjaan dapur dan persekolahan seisi keluarga.

Apabila PB memberitahu bahawa jumlah RM800 hanya mampu menampung kos minyak petrol kenderaan dan bil utiliti yang lain bagi guru, pengawal keselamatan itu sedikit kaget. Baginya, hidup secara sederhana sudah amat bahagia. Seisi keluarga masih boleh selalu berkumpul bersama, berkongsi cerita dan bergurau senda walaupun tidak merasa kehidupan yang mewah.

PB sebenarnya sangat kagum dengan cara kumpulan berpendapatan sedemikian menjalani sebuah kehidupan yang ceria dan sejahtera tanpa mengalami tekanan yang berat. Mereka berbelanja apa adanya dan lebih dekat kepada sifat qana'ah, iaitu berasa cukup. Mulut mereka tidak lekang dengan lafaz syukur atas nikmat yang diterima walaupun dengan amaun yang tidaklah seberapa.

PB juga kagum dengan spesifikasi tugas pengawal keselamatan sekolah yang bersifat rutin, iaitu sentiasa perlu membuat pemerhatian terhadap pergerakan manusia lain. Jika PB diletakkan dalam situasi seperti mereka, barangkali satu jam sahaja sudah menjadi penyeksaan. Syabas kepada pengawal keselamatan sekolah atas keikhlasan kalian, dan mudah-mudahan dengan rezeki yang berkat, kalian akan terus menjalani kehidupan yang sejahtera dunia dan akhirat...

'DI PERSIMPANGAN" BAB 14 NOVEL MERENANG GELORA (CHOOSING THE CONFLICTING OPTION)

Pengarang novel:  Ruslan bin Ngah
Muka surat rujukan:  176 - 182

Watak:  Kumar  (murid tingkatan 5 / rakan subahat Shahrul yang mula insaf)
          :  Shahrul  (murid tingkatan 5 / nakal di sekolah / bergaul dengan samseng rempit di luar sekolah)

Latar tempat:  rumah keluarga Kumar  (menghabiskan cuti hujung minggu bersama keluarga)
                   :  hentian bas di hadapan sekolah (Kumar menolak pelawaan Shahrul untuk membonceng motosikal ke rumahnya)
                   :  bilik darjah  (Shahrul cuba menghasut Kumar membalas dendam terhadap Badri)

Latar masa:  hujung minggu (Kumar berehat di rumah sahaja)
                 :  sesi persekolahan pagi / Isnin  (Kumar enggan menurut rancangan Shahrul)

Ringkasan bab


Peristiwa ditangkap oleh Badri dan Taufik, serta sesi kaunseling oleh Cikgu Fatima telah menimbulkan rasa insaf di hati Kumar. Dia mula menilai diri, bermuhasabah dan mengimbas kembali pengaruh buruh Shahrul. Keluarga Kumar dihormati dan hidup secara sederhana, berbanding dengan Shahrul yang suka hidup mewah. Kumar masuk perangkap Shahrul dan Meng Kong berniaga telefon bimbit dan kad prabayar curi hingga Badri dilantik sebagai pengawas, dan Meng Kong tertangkap di kedai ayahnya sendiri. Niat Kumar untuk insaf diketawakan oleh Shahrul yang menganggap Kumar berpura-pura seperti dirinya hanya untuk berlepas diri. Namun, Shahrul berang justeru Kumar apabila dia gagal memujuk Kumar, malah Kumar enggan membonceng motosikalnya untuk balik ke rumah dengan alasan Shahrul menunggal motosikal macam pelesit. Di rumah, Kumar nekad untuk berubah. Pada hari Isnin, Shahrul datang kepada Kumar sambil mengungkit "jasa" dirinya kepada Kumar. Shahrul menagih balasan dalam bentuk balas dendam kepada Badri. Namun, Kumar bertegas bahawa Badri tiada kena-mengena dengan kes mereka dan tidak patut menjadi mangsa sikap keji Shahrul itu, lalu Shahrul pergi dengan muka masam...


Perwatakan:  tegas / teguh / tetap pendirian / tidak mudah dipengaruhi
                  :  suka menunjuk-nunjuk / bermegah-megah

Latar masyarakat:  masyarakat yang tegas / tetap pendirian / tidak mudah dipengaruhi
                          :  masyarakat yang suka menunjuk-nunjuk / bermegah-megah

Nilai murni:  ketegasan / keteguhan pendirian
                :  kesederhanaan

Persoalan:  ketegasan / keteguhan pendirian dalam membuat keputusan
               :  kesederhanaan dalam tingkah laku / penampilan / gaya hidup

Pengajaran:  kita hendaklah tegas / teguh pendirian dalam membuat keputusan;
                   kita janganlah mudah dipengaruhi oleh sikap negatif dalam membuat keputusan
                 :  kita hendaklah mengamalkan kesederhanaan dalam tingkah laku / penampilan / gaya hidup;
                 kita janganlah suka menunjuk-nunjuk / bermegah-megah dalam tingkah laku / penampilan / gaya hidup

kbkk:  teladan baik / positif watak utama; kebaikan akhirnya menang

Wednesday, April 18, 2012

TANDATANGAN SALINAN SIJIL TIDAK PERLU LAGI? (PAPERLESS VARSITY APPLICATION)

Era mendapatkan pengesahan salinan slip keputuan peperiksaan, sijil berhenti, surat akuan dan pelbagai dokumen sokongan yang lain nampaknya sudah hampir sekali menjadi sejarah. Aplikasi atas talian menerusi sistem jaringan maya telah mengurangkan keperluan untuk berurusan secara fizikal di pejabat dan di sekolah. Kebanyakan maklumat rasmi yang sah, misalnya keputusan peperiksaan SPM dan STPM yang boleh diakses oleh organisasi yang dibenarkan seperti Unit Pusat Universiti (UPU) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tujuan permohonan pengajian tinggi dan pengisian jawatan kosong.

Maklumat persekolahan murid juga dimasukkan dalam pelbagai aplikasi sistem atas talian yang dikawal selia oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Pihak-pihak berkepentingan seperti ibu bapa, pihak berkuasa pelajaran tempatan dan pelbagai agensi awam boleh mengakses maklumat secara terhad setakat keperluan yang dibenarkan. Sudah tentu semua data murid dilindungi oleh peruntukan undang-undang yang ketat supaya tidak berlaku sebarang bentuk manipulasi dan pencerobohan ke atas hak peribadi mereka.

Kebaikan maklumat atas talian ialah kegiatan pemalsuan sijil sangat sukar untuk dilakukan lagi. Kecanggihan teknologi penghasilan sijil yang diada-adakan juga dapat dicegah. Keputusan ramalan untuk tujuan permohonan kursus pengajian dan tajaan biasiswa juga tidak lagi menjadi keperluan.

Aplikasi sistem maklumat yang dibangunkan juga disekalikan dengan sistem sokongan bagi menghadapi kemungkinan serangan penggodam atau gangguan akses komunikasi maya. Dokumen dan sijil asal masih diserahkan kepada pemilik sebagai rujukan apabila terdapat keperluan misalnya untuk sesi temu duga atau semakan manual. Pendek kata, konsep kerajaan elektronik telah mengambil kira sebarang kemungkinan yang paling buruk.

Pegawai kanan awam kumpulan A, termasuk pengetua, penolong pegawai daerah dan lain-lain tidak lagi perlu menandatangani sejumlah salinan sijil yang mungkin menjadi beban tambahan kepada mereka. Pemohon universiti dan kerja juga boleh menjimatkan kos fotokopi, tambang dan masa untuk bertemu dengan pegawai. Pejabat sekolah dan agensi awam juga dapat menggugurkan perkhidmatan pengesahan dokumen daripada senarai tugas tambahan.

Kalau ada pun keburukan yang berlaku ialah dari segi kemerosotan hubungan manusia secara fizikal. Kebiasaan bekas pelajar berkunjung ke sekolah sambil berjumpa dengan guru makin berkurangan. Buat sementara, guru akan sibuk di hadapan skrin komputer sebelum norma perjawatan pembantu guru dipenuhi...

Tuesday, April 17, 2012

"JIWA REMAJA" BAB 13 NOVEL MERENANG GELORA (SECRET ADMIRER PAYS THE PRICE)

Pengarang novel:  Ruslan bin Ngah, 45
Muka surat rujukan:  162 - 175

Watak utama:  Badri (murid tingkatan 5 / pengawas sekolah)
Watak pembantu:  Nadira (murid sekelas Badri / anak buah Mak Alang Badri / dari Kedah)
                          :  Badrul  (adik Badri)
                          :  Mak Siti  (ibu Badri)
                          :  Jamil (kawan rapat Badri / pernah bersekongkol dengan Shahrul, Meng Kong, Kumar)
                          :  Taufik  (kawan Badri / bersikap suka mengambil tahu)
                          :  Kumar  (murid tingkatan 5 Bestari / rakan subahat Shahrul)
                          :  Meng Kong  (bukan rakan subahat Shahrul, Kumar yang telah insaf)
                          :  Cikgu Jailani  (guru disiplin)
                          :  Cikgu Fatima  (guru kaunseling)
                          :  Shahrul  (murid nakal, bercampur dengan mat rempit di luar sekolah)
                          :  Nurfaizah  (adik Jamil yang menjawab panggilan Badri)

Latar tempat:  rumah keluarga Badri (Badrul mengusik abangnya tentang Nadira dan Siew Mei)
                   :  auditorium pementasan teater  (Nadira datang awal sejam dan resah menunggu Badri)
                   :  kawasan sekolah / kelas tingkatan 5 Maju / bilik kaunseling

Latar masa:  pagi Sabtu (Badri menonton teater perjuangan kemerdekaan anjuran persatuan belia)
                 :  sesi persekolahan pagi  (Badri, Taufik terserempak dengan Kumar yang mencurigakan di kelas Meng Kong)
                 :  petang (Badri tiba di rumah, Badrul memberitahunya Jamil membuat panggilan telefon)
                 :  malam  (Badri ingin segera bertemu Jamil, tetapi berasa segan dan mengantuk)

Ringkasan bab


Badri berpakaian segak dan siap dengan bau minyak wangi hingga menarik perhatian Badrul dan Mak Siti. Badri tidak dapat berahsia dengan adiknya yang selamba memberitahu Badri mahu berjumpa si buah hati, malah dua orang sekali gus. Mak Siti hanya tersenyum walaupun Badri cuba mengelak. Ketika mahu melangkah keluar, telefon berdering dan suara Nadira di hujung talian yang sudah resah menunggu Badri, walhal teater hanya bermula sejam lagi. Sebaik tiba, Nadira melontarkan nada merajuk, tetapi Badri bukan jenis lelaki memujuk, sebaliknya menjaga akhlak diri. Hanya Badri yang asyik dengan persembahan teater, sedangkan Nadira mengelamun tentang Siew Mei yang menjadi saingan dalam hubungan dirinya dengan Badri. Nadira cemburu. Tamat persembahan, mereka berbual sebentar sebelum pulang. Badri perasan Nadira lebih banyak mengelamun justeru tidak memahami naskhah teater yang ditonton.

Di rumah, Badrul memberitahu Jamil membuat panggilan telefon untuk berjumpa dengan Badri. Badri menjadi resah apabila Jamil enggan bercerita di talian, sebaliknya mahu bersemuka keesokan paginya. Namun, Jamil telah menghilang, lalu Badri membuat keputusan untuk mencari Kumar kalau-kalau boleh mendapat maklumat. Bersama Taufik, Badri terserempak dengan Kumar yang sedang cuba memasukkan dua kotak rokok ke dalam beg Meng Kong pada waktu rehat. Kumar dibawa berjumpa Cikgu Jailani dan dia mengaku bahawa dia sekadar mengikut rancangan Shahrul yang berharap Meng Kong akan dibuang daripada asrama. Kumar dan Shahrul menjalani sesi kaunseling, tetapi pendirian Shahrul masih sama, iaitu nekad mahu terus nakal...


Perwatakan: tegas diri (Badri tidak mudah dipengaruhi perasaan, zahirnya tidak berjiwa "romantik" seperti yang diharapkan oleh Nadira)
                  :  suka mengelamun  (Nadira, sisi tipikal gadis remaja yang suka diberi perhatian khusus)
                  :  suka mengusik, mesra  (Badrul bergurau dengan abangnya secara sopan)
               :  mudah dipengaruhi / rendah jati diri / pendirian lemah / permisif  (Kumar masih menurut kemahuan Shahrul)
                  :  perahsia  (Jamil tidak mahu bercerita menerusi panggilan telefon)

Latar masyarakat:  masyarakat yang tegas diri
                          :  masyarakat yang suka mengelamun
                          :  masyarakat yang suka mengusik / mesra
                          :  masyarakat yang mudah dipengaruhi / rendah jati diri / pendirian lemah / permisif
                          :  masyarakat yang kuat menyimpan rahsia

Nilai murni:  ketegasan / keteguhan pendirian
                :  ketelitian / kepekaan / keprihatinan
                :  kemesraan / keramahan
                :  kerahsiaan

Persoalan:  ketegasan / keteguhan pendirian dalam pergaulan / komunikasi
                :  ketelitian / kepekaan / keprihatinan dalam sesuatu pekerjaan
                :  kemesraan / keramahan dalam komunikasi (sesama keluarga)
                :  kerahsiaan dalam urusan peribadi

Pengajaran:  kita hendaklah tegas / teguh pendirian dalam pergaulan / komunikasi
                 :  kita hendaklah memberi tumpuan / teliti / peka / prihatin dalam sesuatu pekerjaan
                 :  kita hendaklah mesra / ramah dalam komunikasi sesama keluarga
                 :  kita janganlah mudah dipengaruhi / hendaklah memiliki jati diri dalam pergaulan
                 :  kita hendaklah pandai menyimpan rahsia tentang urusan peribadi /
                    kita janganlah sewenang-wenangnya bercerita tentang hal-hal peribadi
             
kbkk: batasan dalam pergaulan antara murid berlainan jantina

Monday, April 16, 2012

PENGAJIAN TINGGI DI MALAYSIA BERTARAF DUNIA (THE WORLD LOOKS AT OUR VARSITIES)

Zaman negara kita menghantar pelajar secara besar-besaran menuntut di Amerika Syarikat, Britain, Australia, Mesir dan Jepun sudah berlalu. Keadaan demikian menemui penghujung pada awal dekad 1990-an apabila pengambilan pelajar oleh universiti awam tempatan digandakan, manakala cawangan Institut Teknologi Mara (kini UiTM) mula berkembang. Secara beransur-ansur juga kelonggaran diberikan kepada sektor swasta untuk menubuhkan kolej universiti dan universiti berstatus penuh.

Kini, terdapat 20 buah universiti awam dan lebih 700 buah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) bertaraf kolej universiti dan sebahagiannya sudah diberi taraf universiti penuh. Universiti awam memang menjadi rebutan utama pelajar terbaik prauniversiti, manakala IPTS menjadi tumpuan pelajar dalam kalangan keluarga berada. Dalam sesetengah bidang pengajian kritikal seperti perubatan dan undang-undang, persaingan tempat di universiti sangat sengit, lalu pelajar yang tetap mahukan bidang berkenaan memilih IPTS.

Ketika Tan Sri Alimuddin bin Mohd Dom (mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia) menerajui  Jabatan Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan, beliau telah mengadakan promosi IPTS tempatan keliling rantau berpotensi seperti Asean dan Timur Tengah. Pandangan jauh beliau nyata sekali membuahkan hasil yang lumayan. Orang yang tepat telah melakukan kerja yang tepat pada tempat yang tepat dan dengan sasaran yang tepat.

Terkini, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KTPM) melaporkan bahawa jumlah pelajar asing yang datang ke Malaysia telah mencatat peningkatan tahun demi tahun. Kita ketepikan kes-kes terpencil segelintir pelajar negara China dan Afrika yang membuat penyamaran dan onar. Perkara seperti juga berlaku kepada negara-negara destinasi pendidikan tinggi tradisional seperti Amerika Syarikat, Britain, Jepun dan Mesir.

Tahun                                2008                2009             2010            2011

IPTA                               19 744             22 741          25 587         28 433

IPTS                                50 679             54 474          61 589         68 704

Jumlah                            70 423             77 215           87 176         97 137

(sumber: KPTM dipetik oleh Berita Harian, 11 April 2012)


KTPM membuat unjuran bahawa menjelang tahun 2020, Malaysia akan menarik kedatangan sejumlah 200,000 orang penuntut asing. Berdasarkan hitungan konservatif peningkatan 10 peratus setahun, angka berkenaan bukan cakap-cakap kosong. Walaupun penarafan IPTA dan IPTS dalam senarai Times Higher Educational Supplement (Thes) yang dianggap berwibawa itu tidak begitu memberangsangkan, daya tarikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pengajian tinggi tidak pernah terjejas.

Setakat ini hanya Universiti Malaya (era Prof Datuk Dr. Hashim Yaacob sebagai Naib Canselor) pernah menghuni kedudukan 100 universiti terbaik dunia (kedudukan ke-89 pada tahun 2005), tetapi selepas itu tenggelam timbul. Malah, sesudah era Prof. Hashim, UM pernah dikritik kerana terlalu mengejar penarafan hingga mutu pengajaran para profesor tidak lagi diambil berat. Kini, UPM dan USM kelihatan lebih agresif menarik kemasukan penuntut asing.

Hakikatnya, terdapat faktor penarik dan faktor penolak yang memungkinkan Malaysia mencipta fenomena tumpuan pengajian tinggi sedunia hingga kini berada pada kedudukan ke-11 dari segi bilangan kemasukan penuntut asing. Selain promosi gigih oleh pegawai tinggi seperti Tan Sri Alimuddin, Malaysia pada amnya ialah sebuah negara yang selamat. Kejadian jenayah masih terkawal dan tidak mencapai tahap keganasan dan ekstrem seperti di Amerika Syarikat dan Britain. 

Malaysia juga memiliki persamaan agama dan budaya dengan latar belakang sebahagian besar penuntut asing yang berdaftar dengan IPTA dan IPTS. Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 1983 telah membawa cerita baik tentang negara kita. Kalau dahulu hanya Oxford, Cambridge, Edinburgh dan Temple (Philadelphia, USA) yang mampu menarik sarjana terkemuka Islam berkhidmat dengan mereka, UIAM pula telah menjadi pilihan yang lebih baik.

Selain ijazah pertama, makin banyak sekolah siswazah ditubuhkan oleh IPTA dan IPTS. Misalnya, UM gah dengan Institut Asia-Eropah, manakala UIAM dengan Istac. UPM juga tidak mahu ketinggalan dengan sekolah siswazah peniagaan (GBS) sebagai antara yang terbaik di Asia. Rekod baik bekas penuntut asing yang mendaki kedudukan tertinggi dalam dunia kepimpinan politik, organisasi dan perniagaan di negara asal masing-masing telah melonjakkan imej pengajian tinggi Malaysia di mata dunia.

Selepas peristiwa WTC 911 (konspirasi meruntuhkan Pusat Dagangan Dunia di New York pada era George W. Bush), dasar keganasan Amerika kian terserlah. Maka, sebahagian besar penuntut rantau Asia dan Timur Tengah mengalihkan perhatian ke destinasi pengajian tinggi yang baharu, termasuk Malaysia. Kepercayaan yang sudah bersemi mesti dipertahankan sampai bila-bila...

Sunday, April 15, 2012

"CEMPAKA PUTIH UNTUKMU" BAB AKHIR (KEEPING THE PROMISE)

Pengarang novel;  Rohani binti Deraman
Muka surat rujukan:  127 - 129

Watak utama:  Hartini Ayu binti Hasrul / Tini (murid tingkatan 4 SMK Puncak Wawasan, Raub) / "aku" (pencerita)
                    :  papa / bapa Tini / Encik Hasrul (pegawai pertanian)
                    :  mama / ibu Tini / Puan Sarah (suri rumah)
                    :  Pak Morit / bapa Allahyarhamah Satiah (orang Asli)
                    :  Mak Sukin / ibu Allahyarhamah Satiah (orang Asli)

Latar tempat:  rumah Tini (bersiap-siap untuk pulang ke asrama)
                   :  kubur / pusara Satiah

Latar masa:  awal pagi

Ringkasan bab


Tini sudah siap untuk pulang ke asrama, hanya menunggu Pak Morit dan Mak Sukin. Pak Morit membawa buah-buahan, manakala Mak Sukin dengan guni berisi bunga cempaka putih. Mereka singgah di pusara, lalu Tini bersama Pak Morit menanam bunga cempaka putih di situ. Sambil memegang batu nesan di bahagian kepala, Tini berbisik bahawa demikian tanda kasih seorang sahabat. Rumput tidak tumbuh justeru tiap hari Pak Morit membersihkannya. Pak Morit dan Mak Sukin menangis, tetapi Tini, papa dan mama masih bertahan sebagai memenuhi janji kepada Satiah.


Perwatakan:  penyayang, memegang janji

Latar masyarakat:  masyarakat yang penyayang
                          :  masyarakat yang memegang janji
                          :  masyarakat murid sekolah
                          :  masyarakat orang Asli
                          :  masyarakat pegawai kerajaan
                          :  masyarakat suri rumah

Nilai murni:  kasih sayang, amanah

Persoalan:  kasih sayang sesama keluarga / manusia
               :  amanah dalam menunaikan janji

Pengajaran:  kita hendahlah menyayangi sesama keluarga / manusia
                 :  kita hendaklah amanah dalam menunaikan janji

kbkk:  watak utama banyak memberikan teladan kepada pembaca ke arah kebaikan dan kekuatan jiwa.

Saturday, April 14, 2012

MENU KANTIN SEKOLAH MENJEMUKAN? (FOODS AT SCHOOL)

Antara keadaan paling meriah yang dapat disaksikan di sekolah ialah pada waktu rehat. Hanya dengan bantuan pengawas dan sistem kamera litar tertutup, tahap hiruk-pikuk yang berlaku dapat dikawal. Sebagai kanak-kanak yang masih dalam proses tumbesaran fizikal, kanak-kanak menikmati waktu makan mereka dengan begitu teruja.

Bagi mengelakkan kesesakan di kantin, waktu rehat dibahagikan mengikut kumpulan tingkatan. Misalnya, budak tingkatan 3 dan 6 rehat terlebih dahulu, baharu giliran tingkatan 4 dan 5. Para pengawas sekolah dan pengawas pusat sumber yang bertugas biasanya dibenarkan rehat sepuluh minit awal bagi memantau pergerakan rakan-rakan mereka di kantin.

Bilangan murid yang membawa bekalan dari rumah biasanya tidak sampai 10 peratus. Dengan kesibukan ibu bapa dan faktor harus keluar seawal Subuh menyebabkan kebanyakan murid dibekalkan wang tunai antara RM2 ke RM5 berdasarkan kemampuan ibu bapa masing-masing. Murid sentiasa diingatkan supaya tidak mengabaikan sarapan pagi supaya perut tidak berkeroncong yang boleh mengundang risiko penyakit gastrik dan pitam.

Terdapat saranan supaya waktu rehat yang lazimnya dijadualkan antara pukul 10 hingga 11 pagi diawalkan kepada pukul 9 pagi. Alasannya ialah kanak-kanak yang lapar sukar menumpukan perhatian optimum terhadap aktiviti pembelajaran walaupun pada waktu puncak. perkara itu barangkali masih dalam kajian pihak berkuasa pendidikan.

bersambung...

Friday, April 13, 2012

"TERSINGKAP MISTERI" BAB 17 NOVEL CEMPAKA PUTIH UNTUKMU (THE SECRET DIARY)

Pengarang novel:  Rohani binti Deraman, 51
Muka surat rujukan:  117 - 126

Watak utama:  Hartini Ayu binti Hasrul ("aku" / pencerita / sudut pandangan orang pertama / murid tingkatan 4)
Watak pembantu:  papa / ayah Tini / Encik Hasrul  (pegawai pertanian)
                          :  mama / ibu Tini / Puan Sarah  (suri rumah)
                          :  "Allahyarhamah Satiah" (menerusi catatan diari yang dibaca oleh Tini)

Latar tempat:  rumah Tini

Latar masa:  seminggu selepas kematian Satiah
                 :  petang  (papa dan mama balik dari Kuantan mengambil barang milik Allahyarhamah Satiah)

Ringkasan bab

Atas permintaan papa, Pengetua SMK Puncak Wawasan, Raub membenarkan Tini bercuti tambahan seminggu bagi memulihkan semangatnya rentetan kes pil ecstacy dan kematian Satiah. Tini tidak berselera makan, tetapi kesungguhan papa dan mama yang membelikan sup ayam panas untuknya, Tini memaksa dirinya demi mengambil hati mereka. Tini berjaya menghabiskan separuh daripadanya hingga papa dan mama tersenyum. Ketika Tini tercari-cari cara untuk mengisi masa, mama mengesyorkan supaya mereka membelek barang-barang Satiah. Mulanya Tini keberatan, tetapi berubah fikiran setelah mama menunjukkan sebuah buku tebal yang menjadi catatan rahsia Satiah yang hanya diizinkan apabila tiba masanya, iaitu setelah dia tiada lagi. 

Antara catatan Satiah:

1  penghargaan terhadap persahabatan yang ikhlas dengan Tini

2  kisah lucu Tini digigit lintah

3  tentang keharuman bunga cempaka putih yang pernah dicampak oleh Tini, tetapi dikutip dan disisip dalam buku itu

4  penghujung hayat dirinya yang penuh mimpi kematian

5  kesan titisan air mata dirinya demi Tini ditahan di lokap (yang sebelumnya jarang-jarang tumpah)

6  firasat tentang detik kematian - mahu menghabiskan masa dengan seisi keluarga

7  pesanan supaya Tini meneruskan hidup dengan tabah dan tenang, tidak menangis, harus berpisah daripada kenangan

8  mahu Tini melunaskan impiannya menggenggam ijazah

9  mengakhiri catatan dengan memohon maaf dan menulis namanya sebagai Allahyarhamah Satiah Morit

Mama memberi semangat kepada Tini untuk menyambung semangat juang Satiah, anak gadis harapan Mak Sukin dan Pak Morit. Tini akur akan wasiat Allahyarhamah sahabat karib dan saudara angkatnya itu.

Perwatakan:  penyayang  (mama, papa); peka / prihatin (mama, papa); patuh / taat (Tini)

Latar masyarakat:  masyarakat yang penyayang
                          :  masyarakat yang peka / prihatin
                          :  masyarakat yang patuh / taat

Nilai murni:  kasih sayang, kepekaan / keprihatinan, kepatuhan / ketaatan

Persoalan:  kasih sayang sesama keluarga / manusia
               :  kepekaan / keprihatinan terhadap keperluan anggota keluarga / anak
               :  kepatuhan / ketaatan terhadap ibu bapa

Pengajaran:  kita hendaklah menyayangi sesama keluarga / manusia
                 :  kita hendaklah peka / prihatin terhadap keperluan keluarga / anak
                 :  kita hendaklah patuh / taat terhadap ibu bapa

kbkk:  watak utama biasanya memiliki kekuatan bagi melepasi dugaan getir dalam hidup

Thursday, April 12, 2012

ANARKIS DAN DEMOKRASI: SATU PERSPEKTIF PENDIDIKAN (THE LEADERS WE DREAM)

Aktiviti politik sangat dominan dalam kehidupan sesebuah masyarakat, lebih-lebih dari dalam era kampung sejagat dan komunikasi masa sebenar (real time communication) kini. Politik sebagai satu seni kemungkinan telah menyaksikan begitu banyak perubahan dalam sejarah kepimpinan di seluruh dunia, sama ada menerusi gerakan massa, mahupun ketenteraan. Akses terhadap pendidikan formal dan ilmu pengetahuan telah menjadikan lebih banyak pihak bercakap tentang hak politik masing-masing.

Politik tertinggi dikaitkan dengan kuasa menjalankan pemerintahan sesebuah kerajaan. Dalam disiplin ekonomi, fungsi tunggal kerajaan ialah untuk memaksimumkan kebajikan rakyat. Kepimpinan kerajaan yang ditadbir oleh orang-orang politik bertanggungjawab mengagihkan nilai-nilai yang terhad untuk dikongsi oleh sekian banyak rakyat dengan yang cara yang paling adil.

Antara naskhah politik yang berorientasi sekular dan utilitarian ialah "The Prince" karya Niccolo di Bernardo dei Machiavelli, ahli falsafah zaman pencerahan dari Florence, Itali (3.5.1469 - 21.6.1527) dengan doktrin matlamat menghalalkan cara, the ends justify the means, al-ghayah tubarriru'l-wasilah. Maka, ahli politik yang malas mengkaji etika yang luhur akan terus berpegang kepada pendapat bahawa dalam politik tiada kawan yang kekal dan tiada musuh yang kekal. Hal-hal dosa dan pahala tidak masuk dalam pertimbangan teratas ahli politik sekular dan utilitarian.

Perolehan kuasa pemerintahan secara paksa, autoritarian, diktator dan kuku besi lazimnya hanya mampu bertahan dalam tempoh yang singkat. Empayar USSR rentetan Revolusi Bolshevik akhirnya runtuh dalam tempoh tujuh dekad sahaja. Demikian juga dengan gerakan rakyat di timur tengah baru-baru ini yang mengangkat kepimpinan baharu di sesetengah negara. Maknanya, gerakan anarkis atau politik jalanan tidak boleh lagi dipandang sebelah mata atau sebagai ancaman yang ringan.

Politik demokrasi atau pilihan raya memberi peluang kepada rakyat jelata memilih pemimpin yang paling mereka inginkan menerusi peti undi. Parti-parti politik yang mengambil bahagian akan berusaha sedaya upaya bagi memenangi hati pengundi yang berdaftar secara sah. Ahli-ahli politik demokrasi sering dilabel sebagai saudagar persepsi, iaitu mempengaruhi emosi dan sentimen pengundi supaya hanya berpihak kepada mereka.

Amerika Syarikat dan Britain sering dirujuk sebagai ikon demokrasi moden, walaupun dalam arena politik antarabangsa, kedua-dua kuasa besar itu ialah contoh demokrasi yang hodoh dengan sokongan membabi buta kepada rejim zionis Tel Aviv. Perubahan politik juga sedang melanda kedua-dua buah negara berkenaan kerana nisbah demografi pengundi kaum imigran, hispanik dan kulit berwarna selain  putih makin meningkat. Barangkali hanya manipulasi mampu menyekat perubahan buat sementara.

Masyarakat tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada ahli-ahli politik untuk mempamerkan teladan akhlak yang terbaik. Medan pertarungan kuasa telah mengakibatkan ahli-ahli politik seolah-olah bersifat riak, iaitu memuji diri sendiri dan kumpulan masing-masing sahaja, sambil memburukkan pihak lawan semahu-mahunya. Tiada kamus belas kasihan melainkan belasah semua, atau dalam kata lain, membujur lalu melintang patah.

Ahli-ahli politik juga ialah manusia biasa, tetapi mereka memiliki akses yang sangat luar biasa terhadap kuasa dan proses membuat keputusan. Peringatan tentang amanah, dosa pahala dan keutuhan peribadi boleh disampaikan kepada mereka secara paling hikmah. Mudah-mudahan rakyat jelata akan memperoleh hanya kebaikan dan kebajikan yang didambakan menerusi aktiviti politik yang menjunjung adab dan maruah yang luhur...

"DIA PERGI JUA" BAB 16 NOVEL CEMPAKA PUTIH UNTUKMU (THE SADDEST MOMENT)

Pengarang novel:  Rohani binti Deraman
Muka surat rujukan:  108 - 116

Watak utama:  Hartini Ayu / Tini / "aku" (pencerita / sudut pandangan orang pertama)(murid tingkatan 4)
Watak pembantu:  Satiah (saudara angkat Tini / murid tingkat 4 / keturunan orang Asli)
                          :  Angah (abang kedua Tini)
                          :  Mak Sukin (ibu Satiah)
                          :  Pak Morit  (bapa Satiah)
                          :  Akob  (adik Satiah)
                          :  Amat  (adik Satiah)
                          :  papa / bapa Tini / Encik Hasrul / pegawai pertanian
                          :  mama / ibu Tini / Puan Sarah / suri rumah
                          :  Ustaz Amin (guru Pendidikan Islam, SMK Kuala Batu, Jerantut)

Latar tempat:  rumah Tini
                   :  rumah Satiah
                   :  wad unit rawapan rapi (ICU), Hospital Jerantut
                   :  tanah kubur

Latar masa:  petang (Satiah menunggu Tini di rumahnya, Satiah dijumpai terlentang di tepi perigi berlumuran darah)
                 :  malam  (seisi kekluarga Hartini, Satiah berada di hospital)
                 :  pagi  (Tini tersedar daripada pengsan, menyaksikan pengkebumian Satiah atas hajat Pak Morit)
             
Ringkasan bab


Kemuncak atau klimaks novel Cempaka Putih Untukmu sudah tiba. Tini yang baru pulang bercuti setelah bebas daripada kes pil ecstacy tidur sepuas-puasnya hingga dia tidak menemani Satiah pulang ke rumahnya. Apabila tersedar, Tini terus ke sana, tetapi dia hanya menjumpai Satiah yang sudah kaku berlumuran darah dengan nafas yang sangat perlahan. Satiah dibawa ke hospital. Doktor memberitahu Satiah tiada harapan lagi. Tini berat hati untuk menjenguk Satiah yang pucat dan lesu, namun Tini akur. Tini mengajarkan kalimah syahadah dan berbisik untuk saling memohon maaf. Apabila Satiah disahkan meninggal dunia, Tini pengsan dan hanya sedar ketika di rumah. Kenduri kesyukuran bertukar menjadi majlis pengurusan jenazah. Ustaz Amin cuba menenangkan Tini supaya menerima kenyataan. Tini tidak mahu kalah, sebaliknya ingin melihat sendiri sekujur tubuh kaku Satiah. Tini mencium pipi Satiah yang sedingin ais, sambil berbisik seakan bercakap dengan Satiah. Penyempurnaan jenazah ditangguh hingga Tini sedar (11 pagi) atas permintaan Pak Morit supaya Tini melihat sendiri hingga selesai pengkebumian sahabat karibnya itu. Selesai pengkebumian, Tini terduduk di pinggir kubur Satiah...

Perwatakan:  penyayang  (seluruh anggaota keluarga Tini, satiah)
                  :  peka / prihatin / ambil berat  (Hartini, Satiah, Pak Morit, Ustaz Amin)
                  :  sabar / tabah  (keluarga Satiah)
                  :  setia kawan  (Hartini)

Latar masyarakat:  masyarakat yang penyayang
                          :  masyarakat yang peka / prihatin / ambil berat
                          :  masyarakat yang sabar / tabah
                          :  masyarakat yang setia kawan

Nilai murni:  kasih sayang, kepekaan / keprihatinan, kesabaran / ketabahan, kesetiakawanan

Persoalan:  kasih sayang sesama keluarga / manusia
               :  kepekaan / keprihatinan terhadap nasib orang lain
               :  kesabaran / ketabahan dalam menempuh dugaan / ujian / musibah
               :  kesetiakawanan sejati hingga akhir hayat

Pengajaran:  kita hendaklah menyayangi sesama keluarga / manusia
                 :  kita hendaklah peka / prihatin terhadap nasib orang lain
                 :  kita hendaklah sabar / tabah dalam menempuh dugaan / ujian / musibah
                 :  kita hendaklah setia kawan hingga akhir hayat

kbkk:  unsur saspens yang membabitkan watak utama, sampingan