SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, December 5, 2011

PIDATO SPONTAN TENTANG "ERTI RASUAH" (ILLEGITIMATE WAY FOR PERSONAL GAIN)

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam sejahtera

Terima kasih tuan pengacara majlis. Terima kasih juga kepada panel hakim yang arif lagi bijaksana, urus setia dan petugas pertandingan, saudara dan saudari yang dihormati.

Tajuk yang dikhususkan untuk saya ialah "Erti Rasuah". Saya sedar bahawa kupasan tentang erti rasuah amat luas hingga boleh dikarang untuk sebuah buku yang tebal, sebagai satu mata pelajaran kuliah di universiti, atau sebuah kajian ijazah tinggi. Namun, dalam tempoh yang singkat ini, saya akan cuba memberikan perspektif asas tentang erti rasuah.

Secara am, rasuah ialah perbuatan menggunakan cara atau jalan yang salah untuk memperoleh sesuatu hajat menerusi kuasa yang dimiliki oleh diri sendiri atau orang lain. Rasuah boleh sahaja berbentuk duit kopi, makan suap, tumbuk rusuk, sogokan, urusan bawah meja, penyelewengan, pecah amanah, salah guna kuasa, bakshees, pakatan kroni, politik wang, beli undi, mengatur keputusan perlawanan, dan banyak lagi. Rasuah umpama barah sosial, perbuatan hina dan keji, dosa berat dan berlaku justeru iman yang tipis macam kulit bawang.

Tuan pengacara dan hadirin,

Duit kopi ialah satu bentuk rasuah skala kecil. Biasanya rasuah demikian berlaku terhadap urusan pejabat seperti mempercepat proses permohonan, menaikkan fail, potong jalan dan hadiah bagi mempengaruhi sesuatu keputusan. Duit kopi boleh diberi secara senyap, terang-terangan atau dalam bentuk yang tidak ketara seperti buah tangan, diari dan baucer.

Rasuah salah guna kuasa skala kecil berlaku secara paksaan. Misalnya, supaya tidak diganggu, sejumlah wang perlindungan tertentu dibayar secara tetap kepada segelintir penjawat awam yang gelap mata dan obses terhadap gaya hidup mewah. Begitu banyak kes tertangguh di mahkamah bersabit dengan rasuah skala kecil, tetapi penyelesaian muktamad ialah kesedaran tentang erti rasuah itu sendiri.

Rasuah bawah meja berlaku kerana sikap tidak amanah pegawai dan individu yang berkepentingan. Undian unit rumah pangsa awam juga biasa menjadi lubuk rasuah. Begitu juga dengan lobi mendapatkan lot rumah teres unit tepi yang ada kawasan tanah tambahan. 

Tuan puan yang dirahmati,

Rasuah skala besar berlaku dalam urusan politik, ekonomi dan sukan tahap tinggi. Individu yang tamak dan rakus terhadap kuasa menganggap perbuatan rasuah sebagai mainan sahaja. Bagi mereka, matlamat menghalalkan cara.

Bagi perasuah politik, mereka sanggup menjanjikan bulan dan bintang kepada para penyokong yang bersekongkol dan juga pengundi. Mereka menggunakan pegawai-pegawai yang rasuah dan sebulu supaya proses pemilihan pemimpin kelihatan benar dan sah. Mereka menggunakan wang haram untuk menaja para perwakilan menginap di hotel lima bintang, melancong ke destinasi luar negara dan janji tender.

Rasuah dalam bidang perniagaan juga begitu dahsyat. Urusan tender cemar dengan peratus komisen dan sagu hati. Kos bagi sesuatu projek melambung tinggi gara-gara perbuatan rasuah.

Sidang hadirin yang mulia,

Rasuah tidak terhad kepada sogokan dalam bentuk wang semata-mata. Urusan pelantikan, pengisian jawatan dan urusan naik pangkat juga sangat terdedah kepada perbuatan rasuah. Apabila orang yang belum layak atau tidak berwibawa diberikan sesuatu jawatan atas sebab hubungan peribadi pembuat keputusan, maka rasuah telah menjalar dalam organisasi berkenaan.

Sesungguhnya erti rasuah sangat luas selagi membabitkan bentuk pemberian dan penerimaan sesuatu kepentingan secara tidak sah. Ringkasnya, rasuah ialah dosa dan jenayah yang tidak boleh dimaafkan. Masyarakat yang membiarkan rasuah berleluasa ialah masyarakat yang hancur, pincang dan rosak.

Sebelum mengundur diri, sekali lagi lagi saya tegaskan bahawa rasuah ialah perbuatan yang hina lagi keji. Mari kita memerangi rasuah hingga ke akar umbi. Saya percaya bahawa erti rasuah yang luas perlu disebarkan supaya rasuah benar-benar dibenci oleh masyarakat.

Sekian, mohon mengundur diri. Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih...

3 comments:

nasuha said...

.....

Anonymous said...

thank you , ringkas tapi padat *smile*

Anonymous said...

Omg