SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, December 24, 2011

UCAPAN SULUNG PERHIMPUNAN 2012 (NEW YEAR ADDRESS)

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam sejahtera dan selamat pagi

Terima kasih pengacara majlis
Guru-guru dan murid yang dikasihi sekalian

Akhirnya tahun 2011 berlalu juga. Segala kenangan dan peristiwa yang berlalu sudah menjadi catatan sejarah peribadi dan organisasi yang tidak mungkin kembali lagi. Kini, kita melangkah pula menelusuri tahun 2012 yang menandakan bahawa tempoh kehidupan kita telah lama.

Marilah kita menilai dan menimbang dengan saksama akan pencapaian kita selama ini. Sejarah ialah cerminan kepada asal usul dan akar umbi diri kita. Sejarah bakal membantu kita merangka perjalanan masa hadapan yang lebih jelas dan lancar.

Selamat datang kepada semua murid tingkatan satu yang baru mendaftar di sekolah ini. Tahniah buat kalian yang telah melepasi UPSR walau apa-apa pun keputusan yang dicapai. Sesungguhnya, pengalaman pembelajaran di sekolah menengah bakal mengukuhkan proses memupuk jati diri dan modal insan murid sekalian.

Kepada murid tingkatan 4 yang telah mencapai kejayaan cemerlang dalam PMR, setinggi-tinggi syabas dan tahniah diucapkan. Usaha yang bersungguh-sungguh dan tuah telah menyebelahi kalian. Lafazkan rasa syukur ke Hadrat Ilahi.

Kepada murid lain, jangan pernah berasa jemu bagi meningkatkan pencapaian, sama ada dalam bidang akademik, koakedamik, kokurikulum dan sukan. Begitu juga murid jangan sesekali berasa puas hati dengan tahap disiplin, kepimpinan dan sahsiah diri. Semua murid sekolah ini harus bergerak ke arah yang sama, iaitu menyumbang ke arah kecemerlangan.

Saya percaya bahawa cuti akhir tahun 2011 telah memberi waktu rehat dan kesempatan aktiviti keluarga yang mencukupi. Sekarang, tibalah masanya sebagai murid, kalian berjuang dalam dunia pembelajaran di sekolah sebagai persiapan kecemerlangan, insya-Allah. Guru-guru di sekolah ini sepanjang masa akan berperanan sebagai penolong dan teman kalian bagi menggapai bintang di langit, tanpa melupakan rumput di bumi.

Guru dan murid yang saya muliakan,

Sekolah ialah organisasi yang memupuk pembelajaran. Maka, segala sumber yang ada di sekolah, sama ada kepimpinan, pentadbiran, guru, murid, kemudahan fizikal, PIBG, persatuan bekas pelajar, sistem jaringan komunikasi (networking), dokumen visi, misi, piagam, peraturan dan perincian tanggungjawab warga sekolah  akan digembleng demi menjaya aktiviti pembelajaran. Pembelajaran ialah tugas asas dan utama institusi persekolahan.

Sewaktu murid menikmati cuti bersama-sama keluarga, pihak sekolah dan guru telah bertungkus-lum bagi merancang persediaan pembelajaran tahun 2012 ini. Takwim aktiviti harian yang lengkap sepanjang tahun yang disiapkan itu bakal menjadi panduan untuk pelaksanaan aktiviti yang sebenar. Mohon kerjasama murid supaya sekolah kita dapat menjayakan semua aktiviti yang telah dirancang.

Disiplin ialah anak kunci kejayaan. Dalam perspektif yang luas, disiplin ialah akur dan patuh terhadap keperluan yang menuju sesuatu maksud yang baik, benar dan berguna. Pendek kata, kejayaan dalam pembelajaran ialah disiplin yang tinggi sama ada dari segi adab, cara belajar, tingkah laku dan usaha.

Sekolah juga ibarat sebuah kenderaan. Semua komponen kenderaan mesti sentiasa berkeadaan baik supaya dapat bergerak dengan lancar. Pemandu kenderaan juga mesti cekap mengendalikan kenderaan dan tahu arah yang hendak dituju.

Semua warga sekolah tidak kira murid, guru, kakitangan, PIBG, segala kemudahan dan sumber ialah komponen kenderaan, manakala dokumen yang disahkan ialah pemandu kita. Semua komponen mesti akur dengan pergerakan kenderaan dan tidak boleh berbuat sesuatu yang menjejaskan pergerakan kenderaan. Kerjasama setiap warga sekolah sangat didambakan.

Sekian ucapan saya. Wabillahi taufiq walhidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 

No comments: