Monday, April 16, 2012
PENGAJIAN TINGGI DI MALAYSIA BERTARAF DUNIA (THE WORLD LOOKS AT OUR VARSITIES)
Zaman negara kita menghantar pelajar secara besar-besaran menuntut di Amerika Syarikat, Britain, Australia, Mesir dan Jepun sudah berlalu. Keadaan demikian menemui penghujung pada awal dekad 1990-an apabila pengambilan pelajar oleh universiti awam tempatan digandakan, manakala cawangan Institut Teknologi Mara (kini UiTM) mula berkembang. Secara beransur-ansur juga kelonggaran diberikan kepada sektor swasta untuk menubuhkan kolej universiti dan universiti berstatus penuh.
Kini, terdapat 20 buah universiti awam dan lebih 700 buah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) bertaraf kolej universiti dan sebahagiannya sudah diberi taraf universiti penuh. Universiti awam memang menjadi rebutan utama pelajar terbaik prauniversiti, manakala IPTS menjadi tumpuan pelajar dalam kalangan keluarga berada. Dalam sesetengah bidang pengajian kritikal seperti perubatan dan undang-undang, persaingan tempat di universiti sangat sengit, lalu pelajar yang tetap mahukan bidang berkenaan memilih IPTS.
Ketika Tan Sri Alimuddin bin Mohd Dom (mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia) menerajui Jabatan Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan, beliau telah mengadakan promosi IPTS tempatan keliling rantau berpotensi seperti Asean dan Timur Tengah. Pandangan jauh beliau nyata sekali membuahkan hasil yang lumayan. Orang yang tepat telah melakukan kerja yang tepat pada tempat yang tepat dan dengan sasaran yang tepat.
Terkini, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KTPM) melaporkan bahawa jumlah pelajar asing yang datang ke Malaysia telah mencatat peningkatan tahun demi tahun. Kita ketepikan kes-kes terpencil segelintir pelajar negara China dan Afrika yang membuat penyamaran dan onar. Perkara seperti juga berlaku kepada negara-negara destinasi pendidikan tinggi tradisional seperti Amerika Syarikat, Britain, Jepun dan Mesir.
Tahun 2008 2009 2010 2011
IPTA 19 744 22 741 25 587 28 433
IPTS 50 679 54 474 61 589 68 704
Jumlah 70 423 77 215 87 176 97 137
(sumber: KPTM dipetik oleh Berita Harian, 11 April 2012)
KTPM membuat unjuran bahawa menjelang tahun 2020, Malaysia akan menarik kedatangan sejumlah 200,000 orang penuntut asing. Berdasarkan hitungan konservatif peningkatan 10 peratus setahun, angka berkenaan bukan cakap-cakap kosong. Walaupun penarafan IPTA dan IPTS dalam senarai Times Higher Educational Supplement (Thes) yang dianggap berwibawa itu tidak begitu memberangsangkan, daya tarikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pengajian tinggi tidak pernah terjejas.
Setakat ini hanya Universiti Malaya (era Prof Datuk Dr. Hashim Yaacob sebagai Naib Canselor) pernah menghuni kedudukan 100 universiti terbaik dunia (kedudukan ke-89 pada tahun 2005), tetapi selepas itu tenggelam timbul. Malah, sesudah era Prof. Hashim, UM pernah dikritik kerana terlalu mengejar penarafan hingga mutu pengajaran para profesor tidak lagi diambil berat. Kini, UPM dan USM kelihatan lebih agresif menarik kemasukan penuntut asing.
Hakikatnya, terdapat faktor penarik dan faktor penolak yang memungkinkan Malaysia mencipta fenomena tumpuan pengajian tinggi sedunia hingga kini berada pada kedudukan ke-11 dari segi bilangan kemasukan penuntut asing. Selain promosi gigih oleh pegawai tinggi seperti Tan Sri Alimuddin, Malaysia pada amnya ialah sebuah negara yang selamat. Kejadian jenayah masih terkawal dan tidak mencapai tahap keganasan dan ekstrem seperti di Amerika Syarikat dan Britain.
Malaysia juga memiliki persamaan agama dan budaya dengan latar belakang sebahagian besar penuntut asing yang berdaftar dengan IPTA dan IPTS. Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 1983 telah membawa cerita baik tentang negara kita. Kalau dahulu hanya Oxford, Cambridge, Edinburgh dan Temple (Philadelphia, USA) yang mampu menarik sarjana terkemuka Islam berkhidmat dengan mereka, UIAM pula telah menjadi pilihan yang lebih baik.
Selain ijazah pertama, makin banyak sekolah siswazah ditubuhkan oleh IPTA dan IPTS. Misalnya, UM gah dengan Institut Asia-Eropah, manakala UIAM dengan Istac. UPM juga tidak mahu ketinggalan dengan sekolah siswazah peniagaan (GBS) sebagai antara yang terbaik di Asia. Rekod baik bekas penuntut asing yang mendaki kedudukan tertinggi dalam dunia kepimpinan politik, organisasi dan perniagaan di negara asal masing-masing telah melonjakkan imej pengajian tinggi Malaysia di mata dunia.
Selepas peristiwa WTC 911 (konspirasi meruntuhkan Pusat Dagangan Dunia di New York pada era George W. Bush), dasar keganasan Amerika kian terserlah. Maka, sebahagian besar penuntut rantau Asia dan Timur Tengah mengalihkan perhatian ke destinasi pengajian tinggi yang baharu, termasuk Malaysia. Kepercayaan yang sudah bersemi mesti dipertahankan sampai bila-bila...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment