SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, October 23, 2014

ISU PEMUNGUT DERMA KANAK-KANAK (TAKING ADVANTAGE OF GENEROUS SOCIETY)

Antara sifat insan yang bertaqwa ialah kesanggupan menafkahkan sebahagian rezeki yang Allah kurniakan kepada mereka (rujuk al-Quran, 2:3). Umat Islam wajib menunaikan zakat sebagai penyempurnaan rukun Islam keempat, selain digalakkan menghulurkan sedekah jariah, derma, wakaf dan perbelanjaan ke jalan Allah (infaq) yang lain jika berkemampuan dari segi kewangan dan harta benda. Proses menafkahkan sebahagian rezeki itu merupakan pembersihan (tazkiyah) yang memberikan hak kepada golongan lain yang mempunyai bahagian daripadanya.

Sebahagian rezeki yang dinafkahkan akan berfungsi sebagai mekanisme agihan semula pendapatan kepada seluruh masyarakat supaya maksud syariat dari segi tolong-menolong (ta'awun) akan tercapai (al-Quran, 5:2). Dari satu segi, golongan yang memiliki akses atau kelebihan terhadap rezeki bermakna terdapat lebih banyak orang lain yang terlepas kesempatan berkenaan atas sebab-sebab tertentu. Maka, sebarang bentuk agihan semula rezeki yang diperoleh juga boleh dianggap sebagai pampasan kepada golongan yang tidak berkesempatan kerana laluan yang diberikan untuk orang-orang yang dikurniakan rezeki yang melimpah ruah tanpa persaingan yang sama rata.

Sebahagian rezeki yang dinafkahkan itu memberikan kuasa beli kepada si penerima. Mereka akan berbelanja di pasaran untuk membeli barang dan perkhidmatan yang mungkin juga disediakan oleh si pemberi nafkah menerusi amalan zakat, sedekah, wakaf, derma dan sebagainya. Pada akhirnya, saiz pusingan aliran pendapatan sesebuah ekonomi akan berkembang, lalu taraf hidup dan indeks kesejahteraan masyarakat akan meningkat.

Tanpa kuasa beli golongan yang kurang beruntung, sebahagian barang dan perkhidmatan di pasaran tidak laku mengakibatkan kegiatan pengeluaran yang berkaitan akan dihentikan sehingga memburukkan lagi tahap kuasa beli masyarakat yang dibelenggu masalah pengangguran. Perusahaan yang dimiliki oleh golongan kaya juga akan terjejas kerana permintaan yang rendah. Malah, golongan yang tidak memiliki kuasa beli akan berasa tidak puas hati atas sistem agihan pendapatan yang berat sebelah.

Sistem zakat dan penafkahan sebahagian rezeki yang teratur bakal meningkatkan tahap kebajikan masyarakat, iaitu kos sara hidup yang adil dan taraf hidup yang tinggi. Jurang agihan pendapatan, yang diukur menerusi pekali Gini, keluk Lorenz atau persantil, juga semakin mengecil. Asnaf zakat akan terbela, golongan miskin tegar berjaya dibawa keluar daripada putaran ganas kemiskinan, manakala kegiatan ekonomi yang sihat dapat dilaksanakan.

Perkara yang sepatutnya berlaku sering sahaja tidak berlaku justeru begitu banyak kekangan, manipulasi dan sikap tamak manusia yang memegang amanah. Manusia dengan segala kelemahan dan kekurangan mudah terjebak dalam kancah dosa dan penyelewengan. Terdapat golongan yang tergamak mengambil kesempatan atas kemurahan hati masyarakat untuk kepentingan diri sendiri dan kumpulan.

Kegiatan memungut derma jalanan untuk merayu simpati orang ramai kian menjadi-jadi. Tidak kira di pintu masuk bank, tapak pasar malam, tapak pasar tani, di tempat letak kereta, stesen minyak, perkarangan masjid, restoran dan segala tempat tumpuan orang ramai, di situ kelihatan pemungut derma dengan pelbagai penampilan dan ragam. Sebahagian pemungut derma datang secara bersendirian, manakala sebahagian lagi diangkut dengan kenderaan yang selesa seperti Econovan atau Starvic.

Pemungut derma rasmi, misalnya anggota pengakap dan bulan sabit merah mungkin melakukan kegiatan secara bermusim, tetapi pemungut derma jalanan beroperasi dari pagi hingga lewat malam setiap hari. Hal itu mendapat teguran seorang sarjana pengamatan sosial terkemuka, Profesor Madya Datuk Dr. Mohammad Agus Yussof dari UKM (klik di sini). Beliau kesal kerana kanak-kanak mentah dikerah memungut derma sebagai jalan mudah kepada penganjur institusi pengajian tradisional tertentu untuk mencari sumber kewangan.

Kesedaran tentang eksploitasi kanak-kanak barangkali belum begitu meluas sehingga tergamak segolongan orang dewasa melakukan penindasan secara halus. Bayangkan kanak-kanak perempuan yang terdedah kepada kes gangguan seksual dan jenayah kekerasan. Maka, sebelum terlambat, penganjur derma jalanan yang disyaki mengeksploitasi kanak-kanak hendaklah disiasat, didakwa jika menjurus terhadap asas pertuduhan, dihadapkan ke muka pengadilan jika berstatus prima facie dan dikenakan hukuman yang yang setimpal apabila didapati bersalah.

Mungkin sudah sampai masanya suatu persidangan khas tentang isu pemungut derma jalanan, khususnya membabitkan kanak-kanak dianjurkan dengan segera. Pengendali institusi pondok, rumah anak yatim dan tahfiz yang berdaftar perlu dijemput sebagai peserta persidangan bagi mencari jalan keluar yang lebih baik bagi menangani masalah pembiayaan pendidikan yang mereka alami. Tugas mengumpul dana tergalas atas bahu orang dewasa, bukan kanak-kanak yang sepatutnya sibuk dengan pengajian, serta mendapat rehat yang secukupnya.

No comments: