SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, October 28, 2014

SIJIL PENGHARGAAN KEHADIRAN PENUH GURU DAN KAKITANGAN (REINFORCEMENT OF EXPECTED BEHAVIOUR)

Kemudahan cuti kakitangan awam diperincikan dalam Perintah Am Bab C. Selain kelepasan am Persekutuan dan Negeri dan cuti bersalin bagi kakitangan wanita, permohonan cuti perlu dipanjangkan kepada ketua jabatan masing-masing untuk kelulusan. Secara am, prinsip cuti berkenaan lebih bersifat kelayakan, bukan suatu hak mutlak yang akan diberikan secara automatik.

Ketua jabatan akan mempertimbangkan permohonan cuti subordinat berdasarkan kes demi kes, serta kepentingan perkhidmatan. Keutamaan akan diberikan kepada kes kecemasan yang membabitkan hal kesihatan keluarga terdekat, pendaftaran anak ke mana-mana institusi pengajian dan yang seumpamanya. Permohonan cuti tanpa rekod seperti kemudahan pengajian separuh masa (maksimum 30 hari dalam setahun), menghadiri kursus pentauliahan tentera simpanan wataniah, sebagai pemudah cara Biro Tatanegara juga mesti dipersetujuioleh ketua jabatan.

Kakitangan awam yang bertugas di pejabat juga mempunyai kelayakan cuti tahunan dan cuti gantian bekerja lebih masa. Namun, kaum guru tertakluk kepada jadual pembelajaran murid sepanjang tahun. Kewajipan melengkapkan semua kehendak sukatan pelajaran, pentaksiran dan kegiatan wajib sampingan yang lain juga tidak boleh dikecualikan.

Selain kemudahan cuti sakit yang ditandatangani oleh doktor perubatan yang bertauliah, serta dimaklumkan kepada ketua jabatan, guru diperuntukkan cuti rehat khas (CRK) sebanyak tujuh hari dalam setahun. Guru yang tidak menggunakan CRK akan dibayar sagu hati (golden handshake) dengan had maksimum 120 hari sepanjang tempoh perkhidmatan. Bayaran hanya akan dihitung dan dibayar setelah kakitangan bersara kelak.

Berdasarkan pengalaman sebenar di sekolah, memang sukar untuk mencatat kehadiran guru 100 peratus pada mana-mana hari persekolahan. Selain tugas rasmi di luar kawasan sekolah yang dikawal menerusi e-gerak, guru perlu menguruskan hal-ehwal anak yang masih belajar atau ibu bapa yang telah lanjut usia. Maka, CRK bahkan cuti tanpa gaji terpaksa juga dipohon.

Bagi menghargai guru yang mencatat kehadiran penuh di sekolah, suatu bentuk pengiktirafan khas berbentuk sijil disampaikan dalam suatu majlis yang disaksikan oleh rakan sejawatan. Lazimya, lebih kurang 30 peratus guru sahaja yang berjaya berbuat demikian. Hal itu tidak berlaku setiap tahun dalam kalangan guru yang sama.

Walaupun sijil kehadiran penuh guru tidak memiliki natijah signifikan dalam rekod perkhidmatan, penghargaan yang diterima itu tetap memiliki nilai sentimental yang tersendiri. Berdasarkan urusan keluarga yang sukar dijangka, serta kemungkinan diri sendiri jatuh sakit bila-bila masa, kejayaan hadir 100 peratus itu hakikatnya suatu keajaiban. Maka, tidak keterlaluan bahawa sijil berkenaan boleh dibingkaikan serta dipamerkan di atas meja guru sebagai galakan untuk mengulanginya saban tahun.

Bukan untuk menunjuk lagak atau mengundang cemburu orang lain, tetapi bagi memberi ganjaran kendiri terhadap satu pencapaian dalam perkhidmatan. Sijil itu juga boleh dijadikan sebagai dorongan kepada murid untuk melakukan hal yang sama. Jika ada yang sampai tergelak mencebik, atau sekadar melemparkan senyuman sinis, anggaplah sebagai suatu kejayaan menyampaikan mesej yang hebat ...

No comments: