Wednesday, February 29, 2012

PERSEDIAAN PENCERAPAN GURU (SUPERVISION OR SUPER VISION?)

Sebagai satu kerjaya yang bersifat ikhtisas, keguruan sangat berkaitan dengan proses inovasi dan penambahbaikan yang berterusan dalam amalan pengajaran dan pembelajaran (PDP). Maka, aktiviti seperti latihan semula dalam perkhidmatan (Ladap), kajian tindakan dan pencerapan ialah sebahagian komponen penting profesionalisme keguruan. Tidak mustahil jika suatu hari nanti, kaum guru dikehendaki memperbaharui lesen PDP setiap tahun seperti yang berlaku kepada sesetengah kerjaya ikhtisas kritika seperti perubatan dan rawatan.

Menerusi Ladap, para guru akan didedahkan dengan input terbaik amalan PDP sama ada sumber pakar atau perkongsian pengalaman lapangan.

akan datang...

"TERTANGKAP" BAB 11 NOVEL MERENANG GELORA (THE CULPRIT BEING CAUGHT)

Pengarang novel:  Ruslan bin Ngah
Muka surat rujukan:  141 - 152

Watak utama:  Badri (murid tingkatan 5 / pengawas sekolah)
Watak pembantu:  Meng Kong (murid tingkatan 5 / anak Encik Tan, pemilik kedai telefon bimbit)
                          :  Encik Tan / ayah Meng Kong)
                          :  Ah Meng (abang Siew Mei / pekerja Encik Tan)
                          :  Kumar (murid tingkatan 5 / rakan subahat Meng Kong)
                          :  Shahrul (murid tingkatan 5 / rakan subahat Meng Kong, Kumar)
                          :  Cikgu Jailani (guru disiplin)
                          :  Encik Baharom (pengetua)
                          :  Taufik (rakan Badri / sukar menyimpan rahsia)

Latar tempat:  kedai telefon bimbit Encik Tan
                   :  bilik pengetua (Encik Tan menemui Encik Baharom, Cikgu Jailani)
                   :  kawasan sekolah / tempat mesyuarat PIBG

Latar masa:  pagi (perbuatan Meng Kong terbongkar oleh rakaman CCTV)
                 :  Sabtu (mesyuarat agung PIBG)

Ringkasan bab

Pagi Sabtu itu, pukul 8.30 pagi, sebelum Ah Meng tiba di kedai, Meng Kong sudah datang, lalu terus mencuri 4 set telefon bimbit stok baharu sampai dii kedai ayahnya. Sejam kemudian, Ah Meng sampai. Meng Kong keluar dengan alasan membeli air, tetapi dia menyerahkan telefon bimbit curi kepada Kumar. Meng Kong tidak menyedari perbuatannya dirakam oleh CCTV yang dijadikan bukti oleh Ah Meng. Walaupun mulanya cuba berhelah, Meng Kong tidak dapat menafikan perbuatannya kepada Encik Tan. Sebagai hukuman, Meng Kong akan ditempatkan di asrama sekolah. Dalam pertemuan dengan pengetua, Encik Tan diminta mengesahkan nombor siri telefon bimbit yang dirampas daripada murid. Setelah itu, Shahrul dan Kumar dipanggil, lalu dikenakan hukuman tiga kali sebatan. Dalam mesyuarat PIBG, isu telefon bimbit turut dibangkitkan. Ahli PIBG menyokong Meng Kong ditempatkan di asrama. Murid hanya boleh membawa wang kocek tidak lebih RM10 sehari.

Perwatakan:

Latar masyarakat:

Nilai murni:

Persoalan:

Pengajaran:

kbkk:

bersambung...

Tuesday, February 28, 2012

SURAT KHABAR SUDAH JAUH MENYIMPANG (THE FOURTH ESTATE'S SIN)

Konsep "kuasa keempat" yang merujuk kepada pengaruh media, khususnya akhbar telah mula digunakan sejak abad ke-18. Edmund Burke (1787) mula menyebutnya di parlimen Britain (http://plato.stanford.edu/entries/burke/ dan  http://www.historyguide.org/intellect/burke.html). Kuasa media makin hebat apabila dimanipulasikan sebagai alat propaganda awam oleh pakar "putar belit" (spin) dalam era revolusi Peranchis.

Hingga ke hari ini, media masih meneruskan amalan yang sama. Pepatah Melayu mengatakan bahawa mata pena lebih tajam daripada mata pedang. Penulis dan wartawan yang terlatih memiliki akses pengaruh yang cukup luas dalam kalangan masyarakat.

Di tangan penulis dan wartawan yang baik dan beriman, khalayak pembaca boleh mengharapkan perspektif dan sudut pandangan yang membina, tetapi di tangan penulis dan wartawan jahat atau upahan, khalayak pembaca akan menelan racun minda dan subahat. Memang benar beli akhbar atau tidak, baca berita atau enggak, percaya atau abai ialah keputusan khalayak pembaca, tetapi penulis dan wartawan tidak akan terlepas daripada dosa kerana memperdaya khalayak pembaca.

Penulis dan wartawan mungkin memiliki keinginan untuk berpegang kepada kebenaran supaya mereka berlaku adil dalam segenap hal. Malangnya, tangan mereka terikat kepada kehendak pemilik akhbar yang mewakili kepentingan tertentu. Keakuran etika dan profesionalisme hanya tinggal cakap-cakap apabila bertembung dengan periuk nasi.

Khalayak pembaca yang rasional tentu berasa sangat kecewa dengan amalan penulisan dan kewartawanan akhbar yang hanya menyogok khalayak pembaca dengan berita sensasi dan rencana yang bersifat berat sebelah. Harapan untuk melihat akhbar menjalankan fungsi pendidikan jauh panggang dari api. Penulisan dan kewartawanan tidak pernah peduli tentang nilai-nilai murni yang dipelajari di sekolah.

Sebahagian khalayak pembaca menganggap berita sukan dan nahas jalan raya sahaja yang layak dipercayai. Maka, sistem penyampaian awam yang cekap tidak dapat dicapai. Hanya berita atau pendapat yang disenangi oleh "tauke" surat khabar akan muncul.

Masalah media ialah isu sejagat. Kebanyakan agensi media utama dunia dikuasai oleh sekumpulan pelobi kaya raya yang sangat berpengaruh. Kedudukan mereka sebagai saudagar persepsi sangat sukar untuk digugat.

Bentuk tekanan kepada media arus perdana supaya mereka berlaku adil dan benar dalam penulisan dan kewartawanan ialah dengan tidak membeli produk mereka. Namun, perkara sebegitu sukar menjadi kenyataan kerana sebahagian besar anggota masyarakat seperti berasa kehilangan dan kekurangan jika sehari tidak membaca surat khabar harian. Langkah yang boleh dilakukan ialah terus berharap...

"SABTU PETANG" BAB 13 NOVEL 6:20 (HIDDEN TRAP IN THE SOCIAL DIMENSION)

Pengarang novel:  Siti Jasmina binti Ibrahim
Muka surat rujukan:  158 - 166

Watak utama:  "Saya" (pencerita / sudut pandangan orang pertama) / Sukma / pelajar universiti
Watak pembantu:  Aim  (cucu nenek misteri)
                          :  Ibu Sukma / Puan Delila
                          :  Ayah Sukma / Haji Syaqir
                          :  Haji Rashid / pemandu keluarga Sukma

Latar tempat:  rumah Sukma / kamar tidur Sukma / ruang tamu rumah Sukma

Latar waktu:  Petang / waktu Asar (Aim mengejutkan Sukma / Haji Syaqir mahu solat)

Ringkasan bab

Aim masih "disembunyikan" oleh Sukma di dalam biliknya supya tidak diketahui ibunya. Sukma dipanggil ke bawah (ruang tamu), lalu diberi sebuah buku tentang cara mengatasi tekanan. Sukma berlari ke atas sambil menangis kerana menahan marah dengan sikap ibunya yang masih menaruh syak tentang tahap emosinya. Apabila Haji Syaqir balik, Sukma langsung ditanya sebab dia marah kepada ibunya. Dengan isyarat mata Haji Syaqir, Puan Delila akur supaya dia membiarkan dua beranak itu bercakap berdua sahaja. Sukam berjaya mengalih perhatian ayahnya terhadap isu remaja di daerah mereka. Nyata bahawa ayahnya itu belum mengetahui kewujudan kumpulan WX2.

Perwatakan:  Peka / prihatin / teliti / cermat / berhati-hati (Sukma)
                  :  tegas / tidak mudah dipengaruhi  (Haji Syaqir / ayah Sukma)
                  :  cepat terasa / mudah tersentuh / sensitif  (Puan Delila / ibu Sukma)

Latar masyarakat:  masyarakat pelajar universiti
                          :  masyarakat yang peka / prihatin / teliti / cermat / berhati-hati
                          :  masyarakat yang tegas / tidak mudah dipengaruhi
                          :  masyarakat yang cepat terasa / mudah tersentuh / sensitif

Nilai murni:  kepekaan / keprihatinan / ketelitian
                :  ketegasan / jati diri
                :  kesabaran / ketabahan / ketenangan

Persoalan:   kepekaan / keprihatinan / ketelitian terhadap persekitaran / kesesuaian tindakan
               :  ketegasan / jati diri dalam membuat keputusan / pertimbangan
               :  kesabaran / ketabahan / ketenangan dalam menghadapi konflik keluarga

Pengajaran:  kita hendaklah peka / prihatin / teliti / cermat / ambil berat terhadap persekitaran / kesesuaian tindakan
                 :  kita hendaklah tegas dalam membuat keputusan / pertimbangan
                 :  kita janganlah terlalu cepat terasa / mudah tersentuh / sensitif berlebihan sesama keluarga

kbkk:  kebijaksanaan watak utama dalam menghadapi cabaran / konflik

Monday, February 27, 2012

PROSES PENYESUAIAN FIRMA PERSAINGAN SEMPURNA JANGKA PANJANG (NORMAL PROFIT GAIN FOR WHOLE MARKET)

Pendahuluan

Tugasan berkaitan dengan keseimbangan firma persaingan sempurna jangka panjang merujuk kepada konsep penyesuaian loji sesebuah firma hingga hanya menikmati untung normal. Sebenarnya banyak loji (SAC) boleh ditunjukkan dalam gambar rajah, tetapi hanya dua keluk dipilih sebagai alat analisis. Selain itu, hubungan geometrik yang menunjukkan firma sebagai penerima harga dengan keluk AR = MR yang anjal sempurna.

Bagi kes untung lebih normal, satu loji mewakili untung lebih normal (ketika LAC menurun, sebelah kiri), manakala satu lagi loji ketika untung normal (lokus minimum LAC). Kedudukan SACo (loji asal) di sebelah kiri, manakala loji kedua berada pada minimum LAC, iaitu loji optimum. Sebaliknya, bagi kes untung kurang normal, satu loji mewakili untung lebih normal (ketika LAC menaik, sebelah kanan), manakala satu lagi loji ketika untung normal (lokus minimum LAC).

Tunjukkan kawasan keuntungan bagi loji asal. Penuhi syarat keseimbangan SAC = SMC, kemudian pada keseimbangan tersebut bandingkan AR dengan AC. Nyatakan jumlah kos (TC = AC X P), jumlah hasil (TR = AR X P) dan jumlah untung (Tπ = TR - TC)

Kes untung lebih normal

Apabila terdapat firma yang memperoleh untung lebih normal dalam jangka pendek, firma baharu akan memasuki pasaran bagi merebut untung lebih normal tersebut, sejajar dengan ciri kebebasan keluar masuk pasaran. Proses penyesuaian loji (diwakili oleh keluk kos purata jangka pendek, SAC) akan berterusan hingga mencapai keseimbangan untung normal dalam jangka panjang, iaitu pada lokus minimum SAC = minimum LAC = AR = MR = SMC = LMC = DD = P. Pendek kata, semua firma persaingan sempurna hanya akan menikmati untung normal dalam jangka panjang.

Langkah melukis keluk (gunakan pensel warna yang berlainan):

1  SACo: sebelah kiri berhampiran paksi harga 

LAC:  sentuh / tangen dengan SACo pada bahagian keluk sedang menurun

ARo:  sebahagian keluk (selari dengan paksi keluaran) mesti berada di atas SACo (nota: ARo = MRo)

MCo:  tanda lokus / titik minimum SACo baru dipotong oleh MCo

Eo:  Keseimbangan tercapai apabila MRo = SMCo

Po:  Buat garis mendatar selari dengan paksi keluaran bermula dari Eo hingga ke paksi harga

Qo:  buat garis tegak dari Eo hingga ke paksi keluaran

8  Kawasan untung lebih normal:  Pada keseimbangan, bezakan ARo dengan SACo. (Catatkan misalnya PoEBP1)

SAC1: minimum SAC1 mesti sama dengan minimum LAC

10  Tanda lokus keseimbangan

11  Nyatakan pada keseimbangan AR1 = SMC1 = MR = LAC = SAC = LMC = DD =

Huraian tanpa gambar rajah

Ciri bebas keluar masuk pasaran menyebabkan firma baharu memasuki pasaran untuk merebut untung lebih normal, atau sebahagian firma sedia ada keluar pasaran apabila berlaku untung kurang normal. Proses penyesuaian yang berlaku akhirnya menyebabkan semua firma persaingan sempurna hanya menikmati untung normal sahaja dalam jangka panjang.

Untung lebih normal bermaksud AR > AC pada keseimbangan MR = MC. Bagi firma persaingan sempurna, keadaan itu hanya bertahan untuk jangka pendek. Untung normal pula ialah apabila AR = AC pada keseimbangan MR = MC.

Andaikan firma persaingan sempurna sedang menikmati untung lebih normal. Sebahagian keluk AR berada di sebelah atas SAC. Keluk SMC memotong minimum keluk SAC.

Kawasan untung lebih normal ditunjukkan menerusi jarak tegak antara AR dengan AC pada keseimbangan digabungkan dengan jarak mula paksi keluaran dengan keluaran seimbang. Keadaan itu menarik kemasukan firma baharu ke dalam industri bagi merebut untung lebih normal berkenaan. Maka, bermulalah proses penyesuaian loji bagi firma.

Proses itu akan berterusan hingga firma hanya memperoleh untung normal dalam jangka panjang. Keluk SAC yang baru ialah loji optimum, iaitu minimum SAC = minimum LAC. Loji optimum juga ialah loji seimbang dalam jangka pendek dan jangka panjang, iaitu MR = SMC = LMC = AR.

Pada loji optimum, AR = AC yang bererti firma hanya menikmati untung normal. Maka, TR = TC.


Kes untung kurang normal

Apabila terdapat firma yang memperoleh untung kurang normal dalam jangka pendek, sebahagian firma yang sedia ada akan keluar pasaran bagi mengelak untung kurang normal (rugi) yang berterusan, sejajar dengan ciri kebebasan keluar masuk pasaran. Proses penyesuaian loji (diwakili oleh keluk kos purata jangka pendek, SAC) akan berterusan hingga mencapai keseimbangan untung normal dalam jangka panjang, iaitu pada lokus minimum SAC = minimum LAC AR MR = SMC = LMC = DD = P. Pendek kata, semua firma persaingan sempurna hanya akan menikmati untung normal dalam jangka panjang.

Langkah melukis keluk (gunakan pensel warna yang berlainan):

1  SACo: sebelah kanan ketika LAC sedang menaik

2  LAC:  sentuh / tangen dengan SACo pada bahagian keluk sedang menaik

3  ARo:  keseluruhan keluk (selari dengan paksi keluaran) mesti berada di bawah SACo (nota: ARo = MRo)

4  MCo:  tanda lokus / titik minimum SACo baru dipotong oleh MCo; panjangkan MCo supaya turut memotong ARo yang jauh di bawah

 Eo:  Keseimbangan tercapai apabila MRo = SMCo

6  Po:  Buat garis mendatar selari dengan paksi keluaran bermula dari Eo hingga ke paksi harga

7  Qo:  buat garis tegak dari Eo hingga ke paksi keluaran

8  Kawasan untung kurang normal:  Pada keseimbangan, bezakan ARo dengan SACo. (Catatkan misalnya PoEBP1)

9  SAC1: minimum SAC1 mesti sama dengan minimum LAC

10  Tanda lokus keseimbangan

11  Nyatakan pada keseimbangan AR1 = SMC1 = MR = LAC = SAC = LMC = DD 


PENGALAMAN MENGAJAR KELAS PERALIHAN (OVERCOMING HOPELESS AND HELPLESS)

Budak kelas peralihan datang dari sekolah vernakular aliran bahasa Cina dan bahasa Tamil. Sebelum aliran Inggeris dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 1979, terdapat juga kelas peralihan bagi pelajar sekolah aliran Melayu yang berhasrat menyambung pengajian menengah di sekolah aliran Inggeris. Peruntukan waktu tertumpu kepada bahasa Melayu kepada bukan penutur jati yang kurang pula bergaul dengan budak Melayu semasa di sekolah rendah.

Penulis blog (PB) diarahkan untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu untuk kelas peralihan di sebuah sekolah di Bagan Datoh. Kecuali seorang dua, keseluruhan murid kelas berkenaan tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Setiap kali guru bercakap, murid akan bercakap pula sesama sendiri barangkali untuk "menterjemah" maksud cakap cikgu dalam bahasa ibunda mereka.

Guru kena banyak bersabar dan tidak terlalu cepat menegah mereka menggunakan bahasa ibunda sebelum dapat memenangi perhatian mereka untuk meningkatkan keyakinan diri bertutur dalam bahasa Melayu. Penggunaan alat bantu seperti kad imbas, lakaran atau foto sepertimana amalan pedagogi di kelas tadika harus bukan pelik sangat. Murid dikenalkan semula dengan asas pembentukan ejaan dan perkataan dalam bahasa Melayu.

Budak-budak dalam usia 13 tahun juga didapati sangat menggemari muzik. Cakera padat lagu-lagu rakyat seperti Can Mali Can dimainkan untuk diajuk dan dinyanyikan semula. Namun, aktiviti vokal seperti itu jarang-jarang dapat dilakukan kerana suara budak-budak peralihan sungguh nyaring dan berkemungkinan mengganggu kelas sebelah.

Apabila ketiadaan alat bantu teknologi tinggi, guru perlu lebih kreatif. Teknologi paling asas seperti penggunaan kapur (sekarang marker pen) pelbagai warna bagi membezakan suku kata harus digunakan. Seterusnya, guru membimbing murid seluruh kelas menyebut setiap suku kata secara beramai-ramai (korus) dengan tahap kenyaringan yang sesuai.

Pertumbuhan fizikal budak 13 tahun mengakibatkan mereka tidak tahan untuk duduk secara pegun atau statik dalam tempoh yang panjang. Maka, guru harus memanipulasi seluruh potensi somatik murid supaya segala pergerakan dirancang supaya tidak menimbulkan gangguan atau risiko kecederaan. Kaedah permainan yang sederhana sifatnya, tetapi terkawal mungkin berjaya mengekalkan minat murid untuk terus aktif dalam proses pembelajaran bahasa.

Jika ada murid yang sudah sedia cekap dan fasih berbahasa Melayu, guru boleh mengaplikasi konsep  pembimbing bahasa rakan sebaya kepada budak berkenaan. Namun, seperti biasa kawalan mesti diteruskan supaya autoriti atau wewenang guru tidak pula diambil alih.

Kebolehan berbahasa sangat bergantung kepada penguasaan kosa kata. Aktiviti kuiz ala win, lose or draw boleh dicuba. Demikian juga teka silang kata atau sekadar teka huruf yang dihadkan kepada 10 kali sahaja boleh direka bentuk dengan teliti. Pertandingan anatara baris akan menggalakkan persaingan dalam berfikir.

Sesekali juga, murid boleh diminta melukis perkataan mengikut mood. Perkataan senyum misalnya dieja berdasarkan bentuk mulut yang sedikit terbuka dengan barisan gigi yang cantik berseri. Setelah semua murid diminta senyum, guru boleh mengembangkan idea tentang senyuman hingga menjadi satu ayat, satu perenggan dan satu karangan mudah.

Akhir sekali, guru mesti mempamerkan keikhlasan dan kesungguhan dalam proses membimbing murid peralihan agar mempelajari dan menguasai kemahiran berbahasa sepertimana yang dikehendaki dalam sukatan pelajaran. Andai guru dapat membimbing murid kelas peralihan secara berkesan, murid dapat menikmati proses pembelajaran yang hebat. Jasa guru kelas peralihan sentiasa menjadi sebutan murid justeru mereka telah mengalami transformasi kebahasaan yang luar biasa...

Sunday, February 26, 2012

"PERETEMUAN" BAB 9 NOVEL KONSERTO TERAKHIR (TEMPORARY WITHDRAWAL)

Pengarang novel:  Dato' Abdullah bin Hussain, 92
Edisi asal terbitan: 1980
Edisi murid pertama kali diterbitkan:  2001
Muka surat rujukan:  140 - 174

Watak utama:  Hilmi (pemuda kampung dari Kedah / menumpang di rumah Datuk Johari / pelajar muzik Pak Bakar)
Watak penentang / protagonis:  Datin Salmah (isteri datuk Johari / ibu Hayati)
Watak pembantu:  Datuk Johari ("bapa saudara" Hilmi)
                          :  Hayati (anak Datuk Johari, Datin Salmah / pelajar sekolah swasta)
                          :  Mak Minah (pembantu rumah keluarga Datuk Johari)
                          :  Mohsin (tunang Hayati / anaka saudara Datin Salmah / pegawai bank)
                          :  Mamat (pemandu Dr. Nathan, jiran Datuk Johari / kawan rapat Hilmi / suami Esah)
                          :  lelaki separuh umur (penumpang teksi bersama Hilmi)
                          :  Ah Kong (rakan sekerja Hilmi di stesen petrol / atendan pam minyak)
                          :  Tauke kedai minyak (keturunan Cina)
                          :  Pak Amat Darwin (pemandu keluarga Datuk Johari / bekas penyelam mutiara di Australia / duda)
                          :  Azizah (anak Pak Bakar / lulusan MCE / pengkagum rahsia Hilmi)
                          :  Ibu Azizah
                          :  Pak Bakar (guru muzik Hilmi / bapa Azizah / ketua kuartet muzik / pemandu)

Latar tempat:  banglo / rumah Datuk Johari / Datin Salmah / Hayati di Petaling Jaya, Selangor
                   :  stesen bas Tanjung Malim
                   :  dalam teksi (Hilmi patah balik ke Kuala Lumpur)
                   :  stesen minyak Shell di setapak, Kuala Lumpur  (Hilmi diterima bekerja / terserempak dengan Mohsin setelah sebulan)
                   :  kaki lima / dalam kedai kopi di simpang Jalan Perkins, Kuala Lumpur (terjumpa Pak Amat)
                   :  rumah Pak Bakar (Hilmi membawa oleh-oleh buah rambutan, mahu sambung belajar muzik)

Latar masa:

Ringkasan bab

Hilmi nekad meninggalkan rumah Datuk Johari. Naik bas menuju ke Kedah, tetapi di Tanjung Malim Hilmi naik teksi pulang semula ke Kuala Lumpur. Seorang mekanik Cina membantunya memperoleh kerja di stesen minyak Shell di Setapak. Hilmi rajin bekerja. Dia disenangi oleh tauke stesen minyak walaupun Mohsin mendesak Hilmi dibuang kerja setelah bertembung dengan Hilmi secara tidak sengaja. Ketika hendak ke rumah Pak Bakar, Hilmi terjumpa pula Pak Amat ketika berteduh daripada hujan lebat. Pak Amat menebak bahawa Hilmi dan Hayati sedang dilamun cinta, walaupun Hayati telah bertunang dengan Mohsin. Azizah pula menyambut Hilmi dengan mesra. Hilmi mendapat persetujuan Pak Bakar supaya dia diterima semula belajar.

Perwatakan:

Latar masyarakat:

Nilai murni:

Persoalan:

Pengajaran:

kbkk:

bersambung...                         :  

MEMPELBAGAIKAN STRATEGI PROGRAM NILAM DI SEKOLAH (TO NURTURE READING HABIT AMONG CHILDREN)

Jika merujuk kamus, nilam membawa maksud permata biru yang amat bernilai dan tersangat tinggi mutunya. Dalam hikayat lama, sering terungkap hiasan bertatah nilam dan zamrud. Kehebatan nilam menjadi sebutan sejak zaman-berzaman.

Dalam kalangan murid dan guru pula, nilam juga membawa satu lagi maksud, iaitu nilai ilmu amalan membaca. Nilam dijadikan akronim atau singkatan ejaan untuk gabungan beberapa perkataan terhadap satu projek mega di sekolah yang bertujuan memupuk tabiat membaca. Pelaksanaan Nilam perlu dilaporkan kepada Pusat Kegiatan Guru (PKG) zon atau daerah masing-masing untuk tujuan pemantauan dan penarafan.

PKG ialah sekretariat atau urus setia program Nilam. PKG dikelolakan oleh sekumpulan pegawai dan kakitangan teknologi pendidikan berdasarkan norma perjawatan Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia (BTP). Di samping melaksanakan dasar dan pelan tindakan BTP peringkat kebangsaan dan negeri, PKG juga perlu mematuhi program tempatan masing-masing berdasarkan keputusan mesyuarat pengetua dan guru besar yang secara automatik ialah jawatankuasa tertinggi sesebuah PKG.  

Mesyuarat jawatankuasa PKG biasanya dipengerusikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) dan wajib dihadiri oleh semua pengetua dan guru besar dalam gugusan PKG berkenaan. Maka, antara agenda penting mesyuarat jawatankuasa PKG ialah laporan tentang kemajuan dan pelaksanaan projek Nilam di sekolah masing-masing. Pegawai teknologi pendidikan yang mengelolakan PKG juga biasanya akan menyediakan data dan carta tentang pelaksanaan Nilam untuk perbincangan mesyuarat dan perakuan tindakan selanjutnya.

Sekolah-sekolah yang didapati tidak begitu mengambil berat tentang pelaksanaan Nilam akan diberikan teguran oleh pihak PPD. Sebaliknya, pengetua atau guru besar yang berjaya mempamerkan kepimpinan yang berkesan dalam pelaksanaan projek Nilam akan disebut-sebut sebagai contoh perkongsian pintar. Nama baik sesebuah PKG di mata BTP sedikit sebanyak akan dipengaruhi oleh pencapaian projek Nilam dalam gugusan PKG masing-masing.

Kunci kejayaan projek Nilam ialah tahap pelaksanaannya di peringkat sekolah. Pengetua dan guru besar akan menubuhkan jawatankuasa khas Nilam yang dianggotai sama oleh penolong kanan (kurikulum dan pentadbiran), guru kanan bahasa, ketua-ketua panitia bahasa, dan guru media (pusat sumber) selaku setiausaha. Guru-guru kelas juga kadangkala dilibatkan sama untuk tujuan penyampaian maklumat dan rekod markah bonus kokurikulum, sijil berhenti sekolah dan surat akuan. Murid dibimbing supaya menulis catatan yang diperlukan dalam buku rekod Nilam yang wajib dimiliki.
kempen 10 minit Nilam semasa perhimpunan mingguan di SMK St. Michael, Ipoh

Sekali imbas, Nilam mungkin satu beban tambahan kepada murid-murid yang sudah sedia sibuk dengan jadual aktiviti pembelajaran yang padat. Terdapat juga kes terpencil apabila murid hanya menyalin catatan rekod kawan sekadar memenuhi syarat dan supaya tidak banyak soal jawab dengan cikgu. Namun, perbuatan sedemikian hanya selamat di peringkat bawahan sahaja, justeru jika seseorang murid berhasrat diiktiraf sebagai penerima sijil tahap gangsa, perak, emas atau nilam, dia mesti berupaya membuktikan ketulenan pembacaan menerusi temu bual atau ujian tertentu.

Hakikatnya, pelaksanaan Nilam bertepatan dengan ikhtiar menjana modal insan minda kelas pertama ke arah pencapaian negara maju acuan sendiri berpendapatan tinggi. Tabiat membaca ialah asas kepada pembentukan masyarakat berilmu pengetahuan yang bukan sekadar bertujuan daya saing era ekonomi berasaskan pengetahuan (k-economy). Nilam ialah proses pemupukan masyarakat yang mencintai ilmu pengetahuan sebagai landasan menemukan kebenaran dan sentiasa mendambakan keadilan dalam setiap keputusan dan juga tindakan...

"SEMARAK API" BAB 10 NOVEL MERENANG GELORA (A BAD DEAL)

Pengarang novel:  Ruslan bin Ngah
Muka surat rujukan:  130 - 140

Watak utama:  Badri (murid tingkatan 5 / pengawas sekolah)
Watak penentang / protagonis:  Shahrul (murid tingkatan 5 / rakan subahat Meng Kong, Kumar / mat rempit)
                                             :  Meng Kong (penjual kad prabayar / telefon bimbityang dicuri daripada kedai ayahnya sendiri)
                                             :  Kumar (rakan subahat Meng Kong, Shahrul)

Watak lain:  Cikgu jailani (guru disiplin)
                :  Nadira (murid tingkatan 5 yang menjadi perhatian budak lelaki)
                :  Amir (pelanggan Meng Kong yang gagal menjelaskan hutang)

Latar tempat:  rumah teres keluarga Shahrul
                   :  kantin sekolah  (Shahrul ternampak Badri makan sambil ditemani Nadira)
                   :  padang sekolah  (Amir asyik melihat kawan bermain, Shahrul menagih hutang)
                   :  bilik guru  (Amir disoal siasat oleh Cikgu Jailani)
                   :  hadapan kelas  (Shahrul melakukan tawar-menawar tentang menyimpan rahsia dengan Amir)
                   :  tempat letak motosikal  (Sharul beriringan dengan Kumar, Meng Kong sambil berbual tentang kes Amir)

Latar masa:  sesi persekolahan waktu pagi

Ringkasan bab:


Perwatakan:  tegas  (Cikgu Jailani)
                  :  banyak helah  (Shahrul memberitahu dia berdendam kerana Badri merampas Nadira)
                  :  bercakap dusta / suka berbohong (Amir memberi maklumat palsu kepada Cikgu Jailani)
                  :  berhati-hati (Badri membiarkan Nadira mempertahankan diri daripada sindiran Shahrul di kantin)
                  :  mudah berubah hati  (Nadia mulai rapat dengan bekas "musuh"nya, Badri)

Latar masyarakat:  masyarakat murid sekolah
                          :  masyarakat yang tegas
                          :  masyarakat yang banyak helah
                          :  masyarakat yang bercakap dusta / suka berbohong
                          :  masyarakat yang berhati-hati
                          :  masyarakat yang mudah berubah hati

Nilai murni:  ketegasan, kejujuran, cakap benar, hemah tinggi, istiqamah / tetap pendirian

Persoalan:  ketegasan dalam siasatan / membuat keputusan / mengambil tindakan
                  kejujuran dalam memberi maklumat / komunikasi
                  cakap benar dalam siasatan / komunikasi
                  hemah tinggi dalam pergaulan
                  istiqamah / tetap pendirian dalam perkara kebaikan

Pengajaran:  kita hendaklah tegas dalam melakukan penyiasatan / membuat keputusan / mengambil tindakan
                   kita hendaklah jujur dalam memberi maklumat / komunikasi
                   kita hendaklah bercakap benar dalam membantu penyiasatan / komunikasi
                   kita hendaklah berhemah tinggi dalam pergaulan
                   kita hendaklah istiqamah / tetap pendirian dalam perkara kebaikan

kbkk:  batasan pergaulan murid sekolah
        :  kebijaksanaan watak utama dalam menghadapi konflik


bersambung...

Saturday, February 25, 2012

SYARAT PINJAMAN JEJAS JUALAN KERETA (PROTON, PERODUA FACING TOUGH TIME)

Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan syarat pinjaman yang lebih ketat menyaksikan penurunan drastik jualan kereta, termasuk kereta buatan nasional. Sumber menganggarkan kadar saiz kejatuhan ialah sekitar 25 peratus. Pihak industri yang berkenaan mula mengeluh dan menjangka bahawa langkah BNM berkenaan akan turut mendatangkan kesan rantaian terhadap industri sampingan seperti vendor komponen, alat ganti dan aksesori kenderaan.

BNM sebenarnya sedang melaksanakan fungsinya sebagai pelaksana dasar kewangan negara. Penetapan syarat kredit yang lebih ketat ialah antara langkah mempengaruhi aktiviti urus niaga kenderaan yang dilakukan secara berhutang. Senarai pinjaman tidak berbayar dan kes muflis yang makin meningkat tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Dalam jangka masa pendek, industri pembuat kenderaan nasional dan perniagaan kereta import sama ada dibawa masuk sudah siap (CBU, completely built up), atau komponen kenderaan dipasang semula di Malaysia (CKD, completely knocked down) akan terjejas. Permintaan akan menurun, manakala stok kenderaan yang sedia ada menimbulkan masalah tempat simpanan dan pusingan modal. Reka bentuk kenderaan yang lambat dijual itu akan segera dianggap ketinggalan dan lapuk.

Jualan kereta terpakai yang sudah sedia merudum akibat masalah insurans dan takaful mungkin bertambah parah. Peniaga kereta terpakai mungkin akan memohon lesen pilihan, iaitu perkhidmatan sewaan kenderaan yang sudah sedia banyak pesertanya. Mereka juga akan menghentikan pengambilan stok kereta terpakai, lalu pengguna harus terus menggunakan kenderaan lama hingga menjadi "reban ayam"!

Pihak yang bakal tersenyum lebar ialah pengusaha bengkel kenderaan dan pembekal alat ganti terpakai. Kereta lama sudah tentu cepat meragam. Lulusan kejuruteraan automatif tiba-tiba beroleh peluang menceburi bidang keusahawanan bengkel membaik pulih kenderaan yang selama ini dikuasai oleh golongan tertentu sahaja.

Perkhidmatan kereta tunda juga akan lebih aktif. Keanggotaan dalam persatuan automatif seperti AAM mungkin mengalami peningkatan yang mendadak. Perkhidmatan membaiki kenderaan secara panggilan telefon juga akan lebih popular.

Pusat pemeriksaan kenderaan berkomputer, Puspakom akan lebih sibuk memeriksa kenderaan yang lanjut usia yang ingin memperbaharui cukai jalan dan insurans. Barangkali sistem francais dengan pemantauan ketat terpaksa dilakukan oleh pihak Puspakom.

Namun, dalam jangka panjang, kesan negatif yang dialami oleh pembuat kenderaan nasional akan dapat dihapuskan. Penyesuaian loji, pengeluaran, pemasaran dan strategi jualan baharu mungkin dapat mengembalikan keberkesanan kos. Pihak Proton dan Perodua tidak lagi semata-mata mahu dianggap sebagai rakus mengaut keuntungan lumayan, tetapi memainkan tanggungjawab sosial untuk mengekang masalah gelembung hutang isi rumah yang membebankan institusi kewangan dan keseimbangan sosial.

Langkah BNM juga mungkin bersifat sementara. Apabila gelembung hutang isi rumah didapati mengecut dan kembali normal, BNM pasti mengkaji semula syarat pinjaman kenderaan, sama ada dari segi had jumlah pinjaman, atau tempoh bayar balik yang dibenarkan. Keputusan ekonomi macam juga bermain tarik tali, atau seperti peribahasa sorong papan tarik papan...

BAB 10, 11 NOVEL CEMPAKA PUTIH UNTUKMU (FLYING COLOURS ACHIEVEMENT)

Pengarang novel:  Rohani binti Deraman
Muka surat rujukan:  64 - 67 (bab 10); 68 - 74 (bab 11)

Subjudul bab 10:  Keruhnya Air Yang Tenang
Subjudul bab 11:  Berita Gembira Disambut Duka

Kajian Bab 11


Watak utama:  "Aku" (pencerita / sudut pandangan orang pertama) / Tini / murid tingkatan 3
Watak pembantu:  Mak Sukin / ibu Satiah / isteri pak Morit
                          :  papa / Encik Hasrul / bapa Tini
                          :  Satiah (saudara angkat Tini / rakan sekelas Tini / anak Pak Morit, Mak Sukin / pesakit barah)
                          :  Sinda (rakan sekelas Tini, Satiah)
                          :  Ambok (rakan sekelas Tini / Satiah)

Latar tempat:  rumah keluarga Satiah

Latar masa:  petang sehari sebelum keputusan peperiksaan PMR diumumkan (Tini, Ambok, Sinda di rumah Satiah)

Ringkasan bab

Sikap Pak Morit menjejaskan hubungannya dengan keluarga Tini. Mujur Mak Sukin masih bertahan walaupun kesal dengan sikap suaminya. Papa membeli sebuah buku tentang pesakit barah yang membantu Tini memberi sokongan semangat kepada Satiah. Tini ke rumah Satiah setiap hari dengan membawa novel dan majalah. Pak Morit melarang Satiah turun memijak tanah kononnya penunggu akan menumpang semula badannya. Ketika berbual tentang keputusan PMR, Satiah memberitahu bahawa dia tidak dibenarkan ke sekolah, sebaliknya Pak Morit akan berbuat demikian. Ambok menegur kulit badan Satiah yang mengelupas walaupun Tini telah lama melihat dengan teliti bintik-bintik merah pada seluruh badan Satiah seperti kesan alahan. Namun, Satiah berhelah bahawa dia dilumur dengan daun kayu rawatan dukun. 

Perwatakan:  peka / prihatin / teliti / ambil berat  (Tini, papa)
                  :  penyayang  (Mak Sukin)
                  :  setia kawan (Tini, Sinsa, Ambok)
                  :  degil / taksub  (Pak Morit)

Latar masyarakat:  masyarakat murid sekolah
                          :  masyarakat orang Asli

                          :  masyarakat yang peka / prihatin / teliti / ambil berat
                          :  masyarakat yang penyayang
                          :  masyarakat yang setia kawan
                          :  masyarakat yang degil / taksub

                       
Nilai murni:  kepekaan / keprihatinan / ketelitian
                :  kasih sayang
                :  kesetiakawanan
                :  berfikiran terbuka / rasional

Persoalan:  kepekaan / keprihatinan / ketelitian terhadap perasaan orang lain / persekitaran
               :  kasih sayang sesama manusia / rakan / keluarga
               :  kesetiakawanan dalam persahabatan
               :  berfikiran terbuka / rasional dalam segala tindakan / membuat keputusan

Pengajaran:  kita hendaklah peka / prihatin / mengambil berat terhadap perasaan orang lain / persekitaran
                :  kita hendaklah mengasihi / menyayangi sesama manusia / rakan / keluarga
                :  kita hendaklah bersikap setia kawan dalam persahabatan
                :  kita hendaklah berfikiran terbuka / rasional dalam segala tindakan / membuat keputusan

kbkk:  kebijaksanaan watak utama dalam menghadapi konflik dengan watak penentang            

Friday, February 24, 2012

PERSEKOLAHAN GANTI HARI SABTU (WEEKEND SCHOOLING)

Sekolah-sekolah di daerah Kinta Utara yang memilih cuti berganti untuk tahun baharu Cina baru-baru ini dikehendaki melaksanakan aktiviti kurikulum sebanyak dua kali Sabtu, iaitu 25.2.12 dan 3.3.12. Proses pengajaran dan pembelajaran mesti dijalankan seperti biasa walaupun kebenaran diberi kepada sesetengah sekolah dua sesi untuk mengubah suai tempoh masa setiap pelajaran. Murid telah dimaklumkan bahawa jika mereka memilih untuk tidak hadir tanpa sebab yang sah, tanda bulat kehadiran akan diisi dengan aksara "P" yang membawa maksud ponteng sekolah.

Terdapat jenaka bahawa kalau berhajat menghantar kereta untuk servis, pengguna harus mengelakkan hari Isnin dan hujung minggu. Sebabnya, hari Isnin masih dipengaruhi mood cuti, manakala hari Sabtu dan Ahad, fikiran pekerja lebih menjurus kepada aktiviti santai dan bersenang-senang. Walaupun bersifat jenaka, barangkali para pengkaji boleh melakukan ujian korelasi untuk menerima atau menolak andaian nakal berkenaan.

Di sekolah, keadaan seperti jenaka servis kereta tidak mungkin diizinkan berlaku. Murid sekarang rajin bercerita kepada ibu bapa masing-masing akan perkara yang berlaku di sekolah sepanjang hari. Walaupun bukan semua murid akan berbuat demikian, cerita seorang dua murid sudah mencukupi untuk muncul sebagai isu nasional. Wartawan yang dahaga scoop berita segera memanipulasi cerita terpencil sebagai sensasi.

Wartawan tidak perlu meminta izin untuk masuk ke kawasan sekolah untuk melakukan pemerhatian atau wawancara. Mereka hanya perlu menjengah laman muka buku (facebook), lalu mencari tema-tema masukan yang menjurus terhadap luahan pendapat sekolah ganti hari Sabtu. Penerbit drama dan filem juga mungkin mendapat ilham untuk menyediakan badan cerita (story board) sebelum dipindahkan dalam bentuk skrip penuh.

Sejak dasar bekerja lima hari seminggu sektor awam diperkenalkan, bertugas pada hari Sabtu macam sedikit janggal. Kelonggaran diberikan untuk hari Sabtu minggu genap untuk pelaksanaan kegiatan kokurikulum dan latihan dalam perkhidmatan (Ladap). Namun, ketetapan berkenaan tidak lagi dapat dipatuhi sepenuhnya sering bertindih dengan kelepasan am.

Sebenarnya tiada rungutan apabila hari Sabtu dipilih sebagai hari persekolahan ganti. Ibarat orang berhutang, kenalah bayar balik. Cuma, masa rehat hujung minggu terasa begitu singkat...

"SABTU SIANG" BAB 12 NOVEL 6:20 (THE BOY AND A CLOSE FRIEND)

Pengarang novel: Siti Jasmina binti Ibrahim
Muka surat rujukan:  142 - 157

Watak utama:  "Saya" (pencerita / sudut pandangan orang pertama) / Sukma / pelajar universiti
Watak pembantu:  Aim (anak yatim yang masih kecil, cucu nenek misteri)
                          :  Teja / rakan sekuliah Sukma / rakan baik Sukma
                          :  Rafiq / rakan sekuliah Sukma, Teja / pemuda kacukan Melayu - Turki
                          :  Pak Rashid / pemandu keluarga Sukma
                          :  Ibu Sukma / Puan Delila
                         
Latar tempat:  kedai runcit Ah Leong
                   :  rumah keluarga Sukma

Latar masa:  pagi Sabtu  (ketika Sukma ternampak Aim)
                 :  tengah hari Sabtu  (setelah solat Zuhur dan Sukma melayan perasaan sambil menemani Aim yang nyenyak)

Ringkasan bab


Sukma berhasil memujuk Aim yang sedang leka dengan roti dengan "umpan" sekotak coklat dan sebungkus gula-gula. Banyak maklumat baharu dapat dicungkil daripada budak kecil itu. Di pagar rumah, Teja dan Rafiq sudah sedia menunggu. Maklumat Teja tentang kelab WX2 mendatangkan syak kepada Sukma, tetapi ditenangkan oleh Rafiq. Apabila ibu Sukma balik, Sukma menyorokkan Aim di biliknya dengan bantuan Teja. Pak Rashid enggan memberitahu aktiviti Puan Delila kepada Sukma. Pak Rashid sebaliknya menyarankan Sukma meningkatkan siasatannya.


Perwatakan:  Tegas / teguh pendirian  (Sukma)
                  :  peka / prihatin / teliti  (Sukma)
                  :  berterus terang / jujur  (Teja)
                  :  suka menolong (Rafiq, Pak Rashid)
                  :  amanah / setia  (Pak Rashid)
                  :  petah bercakap  (Aim)

Latar masyarakat:  masyarakat pelajar universiti
                          :  masyarakat yang tegas / teguh pendirian
                          :  masyarakat yang peka / prihatin / teliti
                          :  masyarakat yang berterus terang / jujur
                          :  masyarakat yang suka menolong
                          :  masyarakat yang amanah / setia
                          :  masyarakat yang petah bercakap / masyarakat anak yatim

Nilai murni:  ketegasan / keteguhan pendirian, kepekaan / keprihatinan / ketelitian, kejujuran, tolong-menolong, kesetiaan

Persoalan:  ketegasan / keteguhan pendirian dalam pergaulan
               :  kepekaan / keprihatinan / ketelitian dalam komunikasi
               :  kejujuran dalam komunikasi / memberi maklumat
               :  tolong-menolong / kesetiakawanan dalam persahabatan
               :  kesetiaan terhadap majikan

Pengajaran:  kita hendaklah tegas / teguh pendirian dalam pergaulan
                :  kita hendaklah peka / prihatin / teliti dalam komunikasi
                :  kita hendaklah jujur dalam komunikasi / memberi maklumat
                :  kita hendaklah tolong-menolong / setia kawan dalam persahabatan
                :  kita hendaklah setia terhadap majikan

kbkk:  kebijaksanaan watak utama dalam menangani konflik

Thursday, February 23, 2012

AKTIVITI MALAM (WHILE OTHERS SLEEPING)

Dalam keadaan biasa, waktu malam diperuntukkan untuk istirahat setelah berpenat lelah mencari rezeki pada waktu siang hari. Seisi keluarga berkumpul untuk berkongsi luahan rasa dan saling menghibur hati. Bagi keluarga yang cenderung kepada bab-bab ilmu pengetahuan, waktu awal malam diisi dengan perbincangan tentang bacaan atau menghadiri majlis yang berkaitan.

Kemajuan teknologi media dan maya jalur lebar telah menyebabkan aktiviti malam sebahagian isi rumah mengalami perubahan radikal. Terdapat orang-orang yang sanggup melayan siaran televisyen berjam-jam lamanya. Mereka tidak berupaya mengawal televisyen, tetapi televisyen yang mengawal mereka.

Demikian juga dengan ketagihan internet yang menjadi penyakit sosial mutakhir. Jika seorang sarjana selebriti mengakui bahawa dia mengemas kini laman muka buku (facebook) sebanyak 15 hingga 20 kali sehari, kita bisa membayangkan kegilaan anak muda yang beberapa kali lipat. Emosi dan tingkah laku golongan ini sangat dikongkong oleh skrin komputer atau gajet telefon bimbit pintar.

Terdapat juga isi rumah yang suka menghabiskan awal malam di gerai dan restoran. Masa yang diambil mungkin melebihi dua jam termasuk perjalanan, menunggu pesanan disiapkan dan mencicip makanan. Jika ibu bapa terjumpa kawan lama, barangkali boleh berlarutan hingga menjelang tengah malam.

Pasar raya dan gedung perniagaan terkemuka biasanya memperuntukkan happy hour mulai pukul 8.30 malam hingga tutup perniagaan. Bahagian roti dan ikan juga mengadakan jualan lelong kira-kira sejam sebelum pengumuman terima kasih dan berjumpa lagi esoknya. Maka, seisi rumah akan makan-makan dan solat di sana, jika poket mengizinkan.

Kedai mamak 24 jam dan premis makanan segera juga tahu kegilaan generasi Y terhadap internet. Maka, mereka menawarkan kemudahan akses internet tanpa wayar berkelajuan tinggi secara percuma. Kini, sudah menjadi pemandangan biasa anak muda makan-makan sambil melayan laman internet hingga dini hari.

Sepatutnya pada waktu menjelang senja dan maghrib, seisi rumah sudah bersiap membersihkan diri untuk solat berjemaah, membaca al-Qur'an dan mengikuti pengajian di surau dan masjid. Masakan ibu walaupun bersifat campak-campak sahaja tentu lebih berkat dan bersih untuk dinikmati oleh seisi rumah. Anak-anak juga berkumpul bagi menyiapkan tugasan sekolah, kolej, universiti, atau membaca karya penulisan yang menggalakkan muhasabah dan penambahbaikan ciri peribadi.

Di kebanyakan negara Barat, semua gedung niaga dan premis menjual makanan ditutup seawal pukul enam petang. Kawalan ketat juga dilkuatkuasakan kepada kelab-kelab hiburan, terutama dari segi had umur 21 tahun. Remaja bawah umur yang disabitkan kesalahan mengunjungi kelab hiburan akan menyusahkan ibu bapa masing-masing yang terpaksa membayar bon jaminan.

Di sesetengah negara, perintah berkurung dikenakan untuk remaja selepas pukul 10 malam. Remaja yang didapati masih berkeliaran boleh ditahan dan disumbat ke dalam lokap tanpa dakwa dakwi. Berlainan dengan negara mundur seperti Papua New Guinea yang dikuasai penjahat dan penjenayah selepas tempoh berkenaan.

Apabila waktu awal malam disibukkan dengan pelbagai urusan luar rumah, di hadapan skrin televisyen dan komputer, maka waktu tidur berganjak melepasi tengah malam. Akibatnya, seisi rumah begitu liat untuk bangun lebih awal. Jam loceng dan penggera radio perlu diletakkan jauh supaya jari-jemari tidak secara automatik membisukan terus jeritan alat-alat itu.

Apabila bangun lewat, solat Subuh pun dibuat ala kadar macam konsep diskaun. Kedua-dua rakaat hanya dibaca fatihah. Doa iftitah dan bacaan qunut ditinggalkan atas alasan sunat sahaja.

Kepada umat Islam, jadual aktiviti malam sebagaimana yang disebutkan di atas sangat merugikan jika menjadi amalan tetap. Tidakkah sesekali "mereka" (termasuk tukang tulis blog ini) teringat untuk mengisi sepertiga malam dengan bermunajat dan mengadu kepada Yang Maha Kuasa akan kekurangan diri untuk menunaikan tugas sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya? Pak-pak haji dan mak hajah yang sentiasa berebut-rebut saf hadapan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi tidakkah teringin untuk meneruskan amalan sepertiga malam seperti di sana?

Khatib Jumaat tengah hari ini menyarankan jika jemaah tidak mampu memenuhi sepertiga malam dengan mendirikan solat tahajud, solat taubat, solat tasbih, solat hajat dan solat witir, mereka hendaklah sekurang-kurangnya solat Isyak dan Subuh secara berjemaah. Jika masih tidak berdaya, jemaah disarankan supaya sentiasa menunaikan solat fardu pada awal waktu. Namun, langkah itu hendaklah bersifat sementara, kerana lambat laun mereka masih perlu berusaha menghidupkan sepertiga malam...

Wednesday, February 22, 2012

"RAHSIA HAMPIR TERBONGKAR" BAB 9 NOVEL MERENANG GELORA (THE SHADOW OF TRUTH)

Pengarang novel:  Ruslan bin Ngah
Muka surat rujukan:  124 - 129

Watak utama:  Badri (murid tingkatan 5, pengawas sekolah)
Watak protagonis / penentang: Meng Kong (menjual kad prabayar dan telefon bimbit curi)
                                             :  Shahrul  (rakan subahat Meng Kong)
                                             :  Kumar  (juga rakan subahat Meng Kong, Shahrul)
                                             :  Siew Mei (murid tingkatan 5, "peminat" Badri)

Latar tempat:  Trek joging / taman permainan di tepi tasik berhampiran rumah Badri

Latar masa:  awal pagi Ahad / hujung minggu

Ringkasan bab

Badri meneruskan rutin joging tiap hujung minggu. Selepas tiga pusingan, Badri berehat di pondok (wakaf) yang disediakan. Tiba-tiba Badri ternampak Meng Kong, Shahrul dan Kumar yang sedang berbincang sesuatu. Badri memasang telinga untuk mengumpul bukti kegiatan tiga orang budak nakal sekolahnya itu. Mereka bercakap tentang Jamil yang penakut dan perihal CCTV dipasang di kedai ayah Meng Kong. Mereka bimbang tentang Badri, lebih-lebih lagi apabila Nadira mula berbaik-baik dengannya. Urus niaga mereka di sekolah juga merosot akibat pelbagai larangan dan pemeriksaan. 

Setelah berpuas hati dengan maklumat yang didengarnya, Badri keluar dari persembunyian dan menegur mereka. Shahrul membentak Badri, lalu terus menyerang. Badri yang penuh ilmu silat di dada bagai pendekar dengan mudah menewaskan Shahrul. Shahrul cabut lari dengan memecut motosikal, diikuti oleh Meng Kong dan Kumar. 

Kebetulan, Siew Mei pula muncul di situ. Dia gembira justeru Badri mendapat bukti tambahan untuk dipanjangkan kepada Cikgu Jailani. Badri beriringan dengan Siew Mei ke tempat letak basikal. 

Perwatakan:  Berani (Badri)
                  :  Tegas / teguh pendirian / konsisten / istiqamah  (Badri)
                  :  Angkuh / berlagak hebat / sombong  (Shahrul, Meng Kong, Kumar)
                  :  ramah / berbudi bahasa  (Siew Mei)

Latar masyarakat:  masyarakat murid sekolah
                          :  masyarakat pengawas sekolah
                          :  masyarakat murid nakal
                          :  masyarakat yang berani
                          :  masyarakat yang tegas / teguh pendirian / konsisten / istiqamah
                          :  masyarakat yang angkuh / berlagak hebat / sombong
                          :  masyarakat yang ramah / berbudi bahasa

Nilai murni:  keberanian, ketegasan / keteguhan pendirian, rendah diri / tawaduk, keramahan / budiman

Persoalan:  keberanian dalam menegakkan pendirian / menjalankan tugas / menghadapi provokasi
               :  ketegasan / keteguhan pendirian dalam membuat keputusan / mengambil tindakan
               :  sifat rendah diri / tawaduk dalam pergaulan / urusan dengan rakan
               :  keramahan / sifat budiman dalam komunikasi / persahabatan

kbkk:  kebolehan watak utama dalam menghadapi konflik
        :  batasan pergaulan dalam kalangan murid sekolah

BOLA SEPAK MALAYSIA LAWAN JEPUN (SPEED AND ATTACKING SOCCER)

Pada era 1970-an, Jepun bukanlah lawan yang digeruni oleh Malaysia. Misalnya, dalam perlawanan kelayakan Olimpik 1972, Syed Ahmad, legenda bola sepak negara telah menjaringkan hatrik untuk menewaskan Jepun 3 - 0, di samping gol tunggal ketika menundukkan Korea Selatan 1 - 0 di Seoul. Malangnya, krisis pengurusan telah menyebabkan hero Malaysia itu disisihkan daripada skuad Olimpik Munich.

Dalam kejohanan lain seperti Pesta Bola Merdeka di Stadium Merdeka dan kejohanan jemputan Jakarta Raya, Malaysia jarang-jarang dapat disaingi oleh Jepun. Hanya Korea Selatan dengan taktik melambat-lambatkan permainan sahaja yang dapat menafikan kemenangan skuad negara. Apabila Syed Ahmad kembali dalam skuad Sukan Asia di Tehran beberapa tahun kemudian, Malaysia berjaya meraih pingat gangsa apabila menewaskan Korea Utara 3 - 2.
wajah Syed Ahmad dari laman sesawang Majlis Sukan Penjara

Agak aneh justeru jasa besar Syed Ahmad tidak pernah disebut sebagai wira sebagaimana Allahyarham Mokhtar Dahari, Abdul Ghani Minhat dan Dali Omar. Pelajar sains sukan harus menjalankan penyelidikan tentang sumbangan Syed Ahmad dalam meletakkan skuad negara di pentas Olimpik dan Sukan Asia. Selepas era Syed Ahmad, Malaysia hanya mampu menonjol di rantau Asia Tenggara.

Syed Ahmad ialah bintang sukan yang tidak dihargai walaupun sumbangan beliau melakar sejarah gemilang bola sepak negara yang terpahat sampai bila-bila. Syed Ahmad mungkin tidak betah berbicara atau memberi syarahan kejurulatihan. Namun, menerusi kepakaran komunikasi pengulas sukan seperti Datuk Hasbulah Awang dan Datuk Rahim Razali pasti dapat mencungkil idea-idea hebat Syed Ahmad bin Abu Bakar, anak kelahiran Johor yang mencipta nama dengan pasukan Penjara Taiping, Perak.

Iktibar daripada kisah Syed Ahmad ialah atlet dan jagoan sukan sering menjadi mangsa percaturan kepimpinan organisasi sukan yang tidak peka. Kepimpinan organisasi sukan menjadi landasan meraih populariti dan kesempatan berdamping dengan pusat pengaruh politik dan perniagaan. Mereka tidak peduli tentang bakat terbaik jika bertentangan dengan ego peribadi masing-masing.

Jepun ketika itu memiliki penyerang berbisa, iaitu Kamamoto. Namun, kelincahan Kamamoto dapat dikekang oleh benteng pertahanan skuad Malaysia yang berjuang berhabis-habisan demi maruah negara. Barangkali, Jepun telah banyak belajar daripada semangat juang Syed Ahmad dan rakan-rakan.

Cerita 1970-an bersama Syed Ahmad hanya tinggal kenangan. Negara matahari terbit itu tidak perlu lagi berhadapan dengan "Syed Ahmad". Malah, skuad Jepun berjaya menggilap lebih banyak "Kamamoto" hingga mampu mencapai tahap yang setara dengan pasukan handalan dunia dari benua Eropah dan Amerika Selatan.

Malaysia yang pernah membuang Syed Ahmad kini masih terkapai-kapai mencari rentak kehebatan yang lama. Kita lebih banyak alasan daripada perancangan jangka panjang. Penyakit kepimpinan organisasi dan jati diri yang kurang mantap menyaksikan Malaysia sangat jauh ketinggalan dengan Jepun.

Malam ini, skuad Olimpik bawah 23 tahun sekali lagi akur kepada Jepun dengan jaringan besar 0 - 4 di laman sendiri. Sebelum ini, di laman lawan Malaysia hanya membenarkan dua jaringan. Hantaran tepat pemain Jepun, serta kebolehan menghukum kealpaan dan hantaran tidak sampai pemain Malaysia menjadi jawapan kemenangan mereka.

Kesungguhan Apek (Khairul Fahmi Che Mat) di gawang dan Nazmi Faiz (pemain tengah dan duta Mizi Sports) tidak mencukupi. Faktor kecergasan dan stamina jelas memihak kepada pasukan Jepun, yang  menggilap bakat mereka menerusi Liga J dan institut penyelidikan sukan mereka. Maka, pemain Malaysia tidak boleh lagi sekadar bergantung kepada percaturan jurulatih di atas padang, tetapi perlukan input analisis penyelidikan sains sukan yang makin mendapat perhatian di negara kita...

"SENGKETA" BAB 8 NOVEL KONSERTO TERAKHIR (SENSE OF LOSS)

Pengarang novel:  Dato' Abdullah bin Hussain
Muka surat rujukan:  126 - 139

Watak utama:  Hilmi / "anak saudara" Datuk Johari / "tukang kebun" Datin Salmah / pelajar muzik Pak Bakar
Watak pembantu:  Azizah / anak Pak Bakar
                          :  Mak Minah / pembantu rumah keluarga Datuk Johari
                          :  Datin Salmah / isteri Datuk Johari / ibu Hayati
                          :  Pak Bakar / guru muzik Hilmi / ketua kuartet kumpulan muzik / pemandu
                          :  Hayati / anak Datuk Johari, Datin Salmah / tunang Mohsin / pelajar sekolah swasta
                          :  Mamat / pemandu Dr. Nathan / rakan Hilmi / suami Esah

Latar tempat:  rumah Pak Bakar
                   :  banglo Datuk Johari
                   :  bilik Mamat / rumah Dr. Nathan

Latar masa:  lewat petang (Hilmi tiba awal di rumah Pak Bakar ketika Azizah berseorangan)
                 :  selepas Maghrib (Hilmi menyiram bunga sambil mendengar leteran Datin Salmah)

Ringkasan bab

Hilmi tiba awal di rumah Pak Bakar, lalu disambut oleh Azizah bersendirian. Walaupun agak keberatan, Hilmi akhirnya masuk ke dalam rumah, lalu bermain piano dengan dibantu oleh Azizah. Pakaian Azizah seperti hendak melaram (menghadiri keramaian) dan tingkah laku manjanya menyebabkan Hilmi curiga. Namun, setelah mengetahui Hilmi hanya seorang "tukang kebun", Azizah yang berkelulusan MCE (setara dengan SPM, tetapi aliran Inggeris) berubah secara tiba-tiba. Azizah kesal kerana melayan Hilmi agak berlebihan, manakala Hilmi pula kesal kerana Azizah seperti penipu kerana tidak memberitahu lebih awal tentang ketiadaan Pak Bakar dan ibunya kerana menziarah saudara terdekat.

Apabila Pak Bakar pulang, dia dapat meneka bahawa anak gadisnya itu telah terpikat dengan Hilmi. Pak Bakar tidak memandang latar belakang Hilmi kerana berpendapat pemuda itu berbakat besar dalam bidang muzik.

Hilmi yang bergegas pulang kemudian berhadapan dengan amarah Datin Salmah yang membuat sindiran tajam lagi menghina. Hilmi juga tidak dipelawa makan. Kira-kira pukul 10 malam, Mak Minah datang membawa nasi, tetapi Hilmi enggan menyentuhnya kerana bimbang tidak dihalalkan oleh majikannya. Akhirnya, Hayati sendiri datang memujuk menyebabkan Hilmi menangis di hadapan gadis kesayangannya itu. Hilmi hanya mengambil nasi dua tiga suap sebagai memenuhi janji kepada Hayati yang berlalu atas permintaannnya sendiri.

Hilmi kemudian ke rumah Mamat (banglo Dr. Nathan, jiran Datuk Johari). Hilmi melahirkan hasrat untuk mencari tempat tinggal baharu dan bebas daripada kebencian Datin Salmah. Mamat akhirnya akur dan bersedia membantu Hilmi...

Perwatakan:  rajin / bersungguh-sungguh / gigih  (Hilmi)
                  :  mementingkan darjat keturunan / suka menghina orang miskin  (Datin Salmah)
                  :  suka memendam rasa  (Azizah)
                  :  peka / prihatin  (Pak Bakar, Mak Minah, Hayati)
                  :  mudah terasa hati / tersentuh hati / sensitif  (Hilmi)
                  :  setia kawan / suka membantu  (Mamat mahu mencarikan tempat tinggal lain untuk Hilmi)

Latar masyarakat:  masyarakat orang berada
                          :  masyarakat pembantu rumah
                          :  masyarakat orang bujang  (Hilmi, Azizah, Hayati)
                          :  masyarakat yang rajin / gigih / bersungguh-sungguh
                          :  masyarakat yang mementingkan darjat keturunan / suka menghina orang miskin
                          :  masyarakat yang suka memendam rasa  (Azizah)
                          :  masyarakat yang peka / prihatin  (Pak Bakar, Mak Minah, Hayati)
                          :  masyarakat yang mudah terasa hati / tersentuh hati / sensitif  (Hilmi)
                          :  masyarakat yang setia kawan / suka membantu

Nilai murni:  kerajinan / kegigihan / kesungguhan
                :  hormat-menghormati  (tidak diamalkan oleh Datin Salmah)
                :  terus terang  (Azizah menyembunyikan perasaan terhadap Hilmi)
                :  kepekaan / keprihatinan
                :  kesetiakawanan / tolong-menolong

Persoalan:   kerajinan / kegigihan / kesungguhan dalam pekerjaan / pembelajaran
                :  hormat-menghormati sesama manusia / keluarga
                :  terus terang dalam komunikasi
                :  kepekaan / keprihatinan terhadap keperluan orang lain / anggota keluarga / jiran / kawan
                :  kesetiakawanan / tolong-menolong dalam persahabatan

Pengajaran:  kita hendaklah rajin / gigih / bersungguh-sungguh dalam pekerjaan / pembelajaran
                 :  kita hendaklah menghormati sesama manusia / keluarga
                 :  kita hendaklah berterus terang dalam komunikasi
                 :  kita hendaklah peka / prihatin terhadap keperluan orang lain / anggota keluarga
                 :  kita hendaklah mengamlakan sikap setiakawan / tolong-menolong dalam persahabatan

kbkk:  tindakan watak utama dalam menghadapi konflik
        :  

Tuesday, February 21, 2012

MENYEMARAKKAN AMALAN DERMA (HELPING THE NEEDY)

Apabila seseorang itu beroleh satu peluang, maka dia hakikatnya menyebabkan orang lain kehilangan peluang berkenaan. Orang yang kehilangan peluang itu layak menerima pampasan dalam bentuk hak yang perlu ditunaikan oleh orang yang berjaya merebut peluang. Maka, dalam harta orang kaya, terdapat hak orang-orang miskin yang mesti ditunaikan.

Konsep pembersihan harta kekayaan wajib dilakukan. Bagi orang Islam, proses itu dapat dilakukan menerusi zakat, sedekah, wakaf dan pelbagai bentuk sumbangan lain. Zakat merupakan rukun Islam yang keempat selepas kalimah syahadat, solat dan puasa Ramadan.

Dalam kajian ekonomi juga, jika harta hanya berlegar dalam kalangan segelintir orang kaya, lambat laun orang kaya tadi akan turut jatuh miskin dan masyarakat porak peranda. Orang kaya tidak dapat menjual barang dan perkhidmatan yang diniagakan kerana kuasa beli pasaran yang lemah. Malah, keselamatan orang kaya juga mudah terancam disebabkan kadar jenayah yang tinggi.

Campur tangan kerajaan dalam ekonomi ialah bagi memastikan matlamat dasar makroekonomi iaitu pertumbuhan tanpa inflasi, tanpa pengangguran dan dengan imbangan bayaran yang positif dapat dicapai. Salah satu alat penting dasar makroekonomi ialah cukai yang bertujuan mengagihkan semula kekayaan negara. Hasil cukai disalurkan kembali untuk pembiayaan awam dan subsidi.

Analogi klasik tentang agihan semula kekayaan negara ialah perkongsian kek kemakmuran. Kek memang enak, tetapi jika dinikmati secara berlebihan boleh mendatangkan risiko penyakit tiga serangkai. Kek hanya boleh dinikmati dalam kuantiti yang sedikit sahaja.

Sasaran Malaysia untuk mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi dalam program transformasi ekonomi sejajar dengan konsep agihan semula dan kawalan terhadap tekanan perbelajaan agregat yang boleh menjerumuskan ekonomi negara kepada inflasi. Rakyat yang memiliki kuasa beli yang tinggi bakal menyumbang terhadap perkembangan aktiviti ekonomi. Kemakmuran yang dinikmati bagaikan insurans atau jaminan keselamatan dan ketenteraman awam.

Bagi memperoleh barakah dan rahmah Ilahi, kegiatan ekonomi hendaklah dipacu dengan prinsip muamalat yang ditunjangi akidah, syariat dan akhlak yang jitu. Cuma dengan cara demikian negara maju acuan sendiri itu menepati ciri baldatun tayyibatu warabbun ghafur, negara yang makmur dengan limpahan pengampunan Tuhan. Bahana amalan riba', syak, syubhah dan manipulasi kejahilan wajib dijauhi seluruhnya.

Banyak ayat al-Qur'an yang menjelaskan betapa beruntungnya sesiapa yang bebas daripada sifat bakhil dan kikir. Dalam surah at-Taghabun (64:16) dinyatakan bahawa antara syarat kejayaan seseorang ialah terpelihara daripada sifat bakhil. Maka, sebagai masyarakat dan umat yang menjunjung risalah kebenaran, upaya meningkatkan dana infaq (membelanjakan harta ke jalan Allah) bukan sekadar tuntutan agama, bahkan ialah rahsia kekuatan ekonomi dan tawar-menawar umat terbaik kita...

Monday, February 20, 2012

"KERANA ADAT DAN PANTANG LARANG"BAB 9 NOVEL CEMPAKA PUTIH UNTUKMU (SUPERSTITION AND TABOO)

Pengarang novel:  Rohani binti Deraman
Muka surat rujukan:  57 - 63

Watak utama:  "Aku" (pencerita / sudut pandangan orang pertama) / Tini (murid tingkatan 3)
Watak pembantu:  Satiah / saudara angkat Tini / murid orang Asli / rakan sekelas Tini
                          :  Mak Sukin / ibu Satiah
                          :  Pak Morit / bapa Satiah
                          :  Encik Hasrul / papa / bapa Tini / pegawai pertanian
                          :  mama / ibu Tini / Puan Sarah
                          :  Along, Angah, adik Amin (adik-beradik Tini)
                          :  Akob / adik Satiah (budak orang Asli berusia 10 tahun)

Latar tempat:  rumah keluarga Tini
                   :  rumah keluarga Satiah
                   :  Kampung langsat (Satini dibawa untuk rawatan dukun)

Latar masa:  malam "tadi" (Mak Sukin datang ke rumah Tini sambil menangis)
                 :  pagi  (Tini ke rumah Satiah bagi memujuk Pak Morit yang degil; Satiah dibawa ke Kampung Langsat)

Ringkasan bab

Mak Sukin mengadu kepada papa tentang Pak Morit yang enggan meneruskan rawatan hospital menyebabkan Tini resah. Tini nekad untuk mencuba walaupun harapan sangat tipis. Esoknya, Tini ke rumah Satiah berbekalkan kuih bingka jagung untuk memujuk Pak Morit. Air muka Pak Morit sudah menunjukkan sikap degilnya. Mak Sukin dan Satiah melarang Tini daripada memujuk Pak Morit, tetapi Tini berkeras juga walaupun menghadapi risiko dikasari. Nada suara pak Morit meninggi apabila Tini menyatakan hasratnya, malah mula menempelak Tini dengan kata-kata kesat ("Heh, budak! Kamu ingat kamu tu siapa nak tunjuk pandai kepada aku..."). Pak Morit enggan melanggar pantang larang walaupun Satiah harus mati di rumah. Air mata Tini tidak mengubah pendirian pak Morit, malah dia berlalu begitu sahaja. Mak Sukin cuba menghiburkan Tini, manakala Satiah meluahkan rasa bangga atas keberanian Tini. 

Tini tiba semula di rumah dengan tangisan sehingga menggemparkan seisi keluarga. Papa berpendapat keadaan lebih sukar kerana kali ini berkait dengan kepercayaan dan asal usul keturunan Pak Morit sendiri. Mama menambah bahawa mereka perlu lebih berhati-hati dan bersabar. Keesokannya sekali lagi Tini ke rumah Satiah, tetapi tidak untuk membangkitkan hal semalamnya. Namun, Akob memaklumkan Satiah telah dibawa ke Kampung Langsat untuk rawatan dukun sejak pagi. Tini tidak jadi naik dan terus pulang dan akur dengan saranan mama supa pergi semula keesokannya...

Perwatakan:  berani / kuat semangat (Tini)
                  :  sabar / tabah  (Satiah)
                  :  ambil berat / peka / prihatin  (Tini, mama, papa, Along, Angah, adik Amin)
                  :  penyayang  (Mak Sukin)
                  :  degil / keras kepala / taksub (Pak Morit)

Latar masyarakat:  masyarakat murid sekolah
                          :  masyarakat orang Asli
                          :  masyarakat yang berani / kuat semangat
                          :  masyarakat yang sabar / tabah
                          :  masyarakat yang ambil berat / peka / prihatin
                          :  masyarakat yang penyayang
                          :  masyarakat yang degil / keras kepala taksub

Nilai murni:  keberanian / kesungguhan, kesabaran / ketabahan, kepekaan / keprihatinan, kasih sayang

Persoalan:  keberanian / kesungguhan dalam sesuatu usaha / ikhtiar
               :  kesabaran / ketabahan dalam menghadapi musibah
               :  kepekaan / keprihatinan terhadap penderitaan orang lain
               :  kasih sayang sesama keluarga / manusia
               :  kedegilan / ketaksuban dalam sesuatu pendirian / pegangan hidup

Pengajaran:  kita hendaklah berani / bersungguh-sungguh dalam sesuatu usaha / ikhtiar
                 :  kita hendaklah sabar / tabah dalam menghadapi musibah / masalah / cabaran / dugaan / ujian
                 :  kita hendaklah peka / prihatin / mengambil berat terhadap penderitaan orang lain
                 :  kita hendaklah menyayangi sesama keluarga / manusia
                 :  kita jangankan bersikap degil / taksub dalam sesuatu pendirian / pegangan hidup

kbkk:  cara watak utama menangani konflik dengan watak sampingan
        :  unsur suspens / tertanya-tanya tentang rawatan Satiah 

Sunday, February 19, 2012

MEMUPUK KESERONOKAN BELAJAR (SWOT ANALYSIS IN LEARNING)

Belakangan ini, banyak sekali perkataan "audit" digunakan secara berleluasa hingga sudah lari daripada maksud asalnya dalam bidangan perakaunan. Malah, sarjana selebriti seperti Profesor Dr. Muhaya (pakar runding optometri) memilih kata audit sebagai tag line dalam facebook beliau yang berbunyi Jom Audit. Dalam penyelidikan pendidikan juga terdapat subtajuk audit kualiti.

Pada kali ini, perbincangan akan bertumpu kepada audit pembelajaran, atau lebih tepat ialah penilaian kendiri, muhasabah dan introspektif terhadap amalan belajar dalam kalangan murid sekolah. Tujuan asal pembelajaran ialah untuk menyediakan pengalaman yang mencukupi bagi menghadapi hakikat kehidupan dalam persekitaran yang sentiasa mengalami perubahan. Murid juga diharap dapat meningkatkan autonomi diri (kebolehan berdikari) dan mengurangkan pergantungan (mengharap orang lain) secara ansur maju.

Sepatutnya pembelajaran ialah suatu aktiviti yang berkesan, menarik dan menyeronokkan. Murid dapat menggembleng segala potensi dan fakulti yang ada dalam diri masing-masing bagi mengembangkan domain kognitif (akal, pengetahuan), psikomotor (kemahiran tangan) dan afektif (nilai, sikap) sebagai modal insan yang dikehendaki. Sesi pembelajaran sangat ditunggu-tunggu dan dialu-alukan.

Maka, mengapakan keadaan sebenar berlaku sebaliknya? Murid memiliki anggapan bahawa aktiviti pembelajaran sebagai beban, membosankan dan meningkatkan tekanan. Murid berpendapat mereka tidak lagi menikmati kebebasan memilih hala tuju sendiri, melainkan bagi memenuhi harapan ibu bapa, sekolah, masyarakat, negara dan semua pihak yang berkepentingan dalam bidang pendidikan.

Dalam teori modal insan, pendidikan juga mempunyai korelasi (hubung kait) positif dengan keselamatan dan ketenteraman sosial. Indeks gejala sosial dan jenayah akan menurun kerana generasi sibuk dengan pengajian masing-masing dan tidak berkumpul di tempat-tempat tumpuan awam, atau terbabit dengan samseng. Ibu bapa juga berasa lega untuk bekerja kerana anak-anak mereka berada dalam perlindungan institusi pendidikan yang dipercayakan.

Pakar-pakar pendidikan sentiasa berusaha mencari jalan bagi memadankan gaya pembelajaran murid dengan gaya pengajaran guru supaya wujud semacam sinergi dan getaran yang menjana kecemerlangan pendidikan itu sendiri. Hakikatnya masih banyak bakat dan potensi murid yang belum digilap justeru reka bentuk sistem pendidikan yang menjurus kepada perolehan kelayakan akademik sebagai tiket kejayaan lebih tinggi dalam hidup. Justeru model taksonomi Bloom (tahu, faham, guna, analisis, sintesis, nilai) dibidas oleh aliran somatik dari segi pergerakan murid di bilik darjah yang didapati agak kaku dan terhad.

Keseronokan dalam aktiviti pembelajaran sebahagian besarnya dipengaruhi oleh persepsi murid. Maka, guru harus sentiasa menyalakan harapan dan menyuntik motivasi yang tinggi supaya murid dapat menikmati pengalaman pembelajaran yang sukar dilupakan sepanjang hayat. Alam persekolahan menjadi tema perbualan ketika bergosip sesama rakan sebaya dan kekal hingga menjadi bekas murid.

Analisis SWOT (kekuatan, kelemahan, peluang, ancaman) ialah antara kaedah penilaian kendiri yang paling mendapat perhatian dalam dunia perniagaan dan pendidikan. Guru boleh melatih murid melihat sudut yang berbeza supaya mereka akan lebih menghargai kesempatan belajar di sekolah. Insan yang mencintai ilmu akan lebih dekat dengan kebenaran yang akan membawanya menuju redha Ilahi... 

"HIKAYAT INDERAPUTERA, KUDA JANGGI GERDANA" KOMSAS TINGKATAN 3 (THE MAGIC HORSE)

Genre sastera:  Prosa Tradisional
Penyelenggara:  Ali bin Haji Ahmad
Sumber ambilan:  Antologi Harga Sebuah Lukisan, muka surat 45 - 58

Watak utama:  Inderaputera / anak Raja Bikrama Buspa
Watak pembantu:  Bonda Puteri Seganda Cahaya Iram
                          :  ular Mamdud
                          :  kuda hijau / Janggi Gerdana
                          :  Puspa Pandai / maharaja negeri Zainun
                          :  Tuan Puteri Cendera Lela Nur Lela / Tuan Puteri Puspa Seri Gading (nama sebenar) / anak maharaja
                          :  Dinar Pandai / putera Maharaja Puspa Pandai / abang tuan puteri
                          :  burung bayan, burung tiung (pelayan tuan puteri)
                          :  anak raja indera  (anak raja pertama daripada 40 orang yang mati ketika cuba mendekati puteri)
                          :  ikan-ikan berpantun (kepada anak raja indera yang mencari mahligai puteri)

Latar tempat:  negeri pemerintahan Puteri Seganda Cahaya Iram (salah satu persinggahan Inderaputera)
                   :  gua perbendaharaan Raja bahrum Tabiq (Inderaputera membunuh ular Mamdud, menemui kuda Janggi Gerdana)
                   :  negeri Zainun (diperintah oleh Maharaja Puspa Pandai dengan rakyat jelata yang bertukar kepada binatang pada waktu siang)
                   :  Padang Anta Berahi (lokasi mahligai sembilan pangkat tuan puteri daripada pedang tajam)
                   :  parit berhampiran mahligai (pelbagai ikan timbul dan berpantun)

Sinopsis
Setelah beberapa lama berada di negeri pemerintahan Puteri Seganda Cahaya Iram, Inderaputera menyatakan hajat untuk meneruskan pengembaraan. Walaupun dipujuk supaya menunda hasratnya, Inderaputera tetap demikian. Dia menuju arah matahari mati hingga bertemu dengan gua yang menyimpan perbendaharaan Raja Baharum Tabiq. Cabaran pertama yang dihadapi ialah ular Mamdud di pintu gua. Ular raksasa itu menyerang, tetapi Inderaputera berjaya memenggal kepalanya hingga mati.

Inderaputera masuk ke dalam gua dan mendapati ada 40 buah bilik yang penuh dengan perhiasan emas perak, pakaian indah dan senjata hebat. Di satu bilik, muncul seekor kuda hijau hendak menerkam Inderaputera. Maka, Inderaputera segera berbahasa jin mengajak kuda bernama Janggi Gerdana itu bersahabat, sambil memuji kehebatan kuda itu. Akhirnya, kuda itu bersetuju dipakaikan pelana, lalu membawa Inderaputera berkeliling perbendaharaan. Kemudian, Janggi Gerdana memberitahu tentang gemala hikmat bernama Bedi Zahar yang boleh menghidupkan orang mati, tetapi perlu diambil daripada cembul kaca putih pada kepala ular Mamdud. Inderaputera pun berbuat demikian.

II

Di negeri Zainun, maharaja bernama Puspa Pandai dengan putera bernama Dinar Pandai dan puteri bernama Tuan Puteri Cendera Lela Nur Lela. Rakyat baginda ialah keluarga monyet (kera, beruk, cikah, kongkang dan siamang) yang hanya bertukar menjadi manusia pada waktu malam. Bagi melindungi puteri, baginda membina mahligai khas di Padang Anta Berahi daripada emas bertatah permata, dengan anak tangga tajam yang diperbuat daripada pedang, serta dikelilingi parit besar. Puteri ditempatkan dalam tirai kelambu kaca tujuh lapis. Bagi mengubat rasa rindu kepada ayah bonda, puteri dihiburkan oleh burung bayang dan burung tiung silih berganti. Kedua-dua burung kemudian berpakat untuk mencari jodoh puteri. Mereka bertemu seorang anak raja indera, lalu bercerita tentang keelokan paras rupa puteri menyebabkan anak raja indera sangat tertarik hati hingga sanggup menempuh kesukaran (hutan belantara) untuk bertemu puteri. Dia bertemu ikan-ikan yang berpantun terlebih dahulu sebelum meniti jambangan parit ketujuh untuk mendaki mahligai puteri. Malangnya, anak raja indera tergelincir di atas anak tangga pedang, lalu mati. Dia anak raja pertama daripada 40 orang semuanya yang bernasib serupa.

III

Janggi Gerdana menerbangkan Inderaputera hingga ke gunung berhampiran mahligai. Inderaputera berjaya mendaki tangga emas mahligai sepantas kilat tanpa tergelincir. Demi melihat puteri keluar daripada kelambu kaca, Inderaputera terus pengsan, lalu dipulihkan dengan sapuan air mawar oleh puteri. Mereka saling berkenalan. Inderaputera segera bertanyakan tentang rangka 40 orang anak raja yang mahu dihidupkan semula. Bedi Zahar direndam dalam air mawar, lalu air dipercikkan sebanyak tiga kali. Agar tidak disalah anggap, Inderaputera memberitahu bahawa mereka hidup semula atas kehendak Tuhan yang Maha Besar. Mereka seterusnya menjadi pengiring Inderaputera ke negeri Zainun, lalu disambut oleh menteri dan hulubalang kera. Pada sebelah malam, rakyat kera bertukar menjadi manusia, manakala Inderaputera dan 40 orang anak raja pengiringnya menghadiri santapan diraja. Mereka dihiburkan, dan sepanjang singgah di negeri itu, Inderaputera asyik bergembira...

Perwatakan:

Latar masyarakat:

Nilai murni:

Persoalan:

Pengajaran:

kbkk:  

bersambung...

Saturday, February 18, 2012

PERANAN STESEN RADIO MASIH RELEVAN (INTERACTIVE BROADCASTING)

Kemajuan teknologi maya nyata tidak melenyapkan pengaruh media tradisional, sama ada akhbar, buku, majalah, radio dan televisyen. Secara amnya, kegilaan terhadap internet lebih bersifat peluang dan ruang untuk orang awam dan para amatur yang tidak terlatih dalam dunia kewartawanan dan penyiaran menggilap bakat dan kreativiti secara cuba jaya. Walaupun terdapat kemunculan pedagang elektronik, kebanyakan akses internet bersifat peribadi dan suka-suka.

Kepercayaan orang ramai terhadap media baru masih tipis. Kebebasan menulis, mengirim gambar dan memuat naik audio video mengakibatkan ciri eksklusif sesuatu bahan atau karya diragui. Penyamaran lebih mudah berlaku jika dibandingkan dengan media tradisional.

Radio ialah antara media tradisional penyiaran yang paling klasik dan masih mampu bertahan. Kehadiran teknologi internet tidak membunuh kewujudan radio, justeru sebaliknya mengukuhkan jangkauan atau liputan sesebuah radio yang bersifat tempatan ke seluruh dunia. Semua stesen radio yang disambungkan dengan sistem laman sesawang akan dapat diikuti di mana-mana bahagian bumi yang memiliki capaian internet.

Pada era telefon awam berbentuk gagang yang berat itu, kemudahan talian persendirian di rumah terhad kepada golongan berada. Orang ramai sanggup beratur panjang di pondok-pondok telefon hinggakan peluang penjenayah dan budak nakal untuk berbuat sesuatu agak sukar. Pengalaman membuat panggilan telefon dianggap sangat manis ketika itu, kalau di Malaysia sebelum dekad 1980-an.

Dasar penyiaran radio juga bersifat komunikasi sehala. Tiada talian dibuka untuk pendengar ke udara secara langsung. Hanya siaran langsung sukan bola sepak, keputusan pilihan raya dan temu bual eksklusif akan dibuat secara panggilan telefon. Pendek kata, peminat radio ialah pendengar pasif.

Apabila kos memiliki telefon rumah yang makin murah (1980-an) dan kemudian telefon bimbit (penghujung 1990-an), sedikit demi sedikit radio telah melakukan anjakan paradigma dengan konsep komunikasi pelbagai hala. Pendengar boleh ke udara secara langsung walaupun dilewatkan beberapa saat untuk tujuan tapisan dan keselamatan kandungan. Para selebriti dan tokoh yang diundang ke konti juga berpeluang bercakap secara langsung dengan peminat mereka.

Program soal jawab agama dan pelajaran tajwid al-Qur'an juga dibuat secara langsung dan bukan rakaman. Selain bercakap secara langsung di talian, para pendengar juga boleh menghubungi radio menerusi e-mel dan facebook semasa siaran sedang ke udara. Tiada lagi keperluan untuk mengirim poskad atau surat bagi menyampaikan ucapan salam atau untuk permintaan lagu.

Dahulu juga hanya ada satu saluran radio nasional kendalian RTM, itu pun menggunakan gelombang analog. Kini, RTM sendiri mempunyai puluhan stesen radio berdasarkan segmen siaran negeri dan suku kaum, misalnya khusus untuk orang Asli (Asyik.fm). Anggapan umum ialah bahawa stesen-stesen radio milik RTM lebih menjurus kepada propaganda awam menerusi slot hiburan santai dan berita.

Lesen pengendalian radio telah dibuka kepada pihak swasta dan badan berkanun. Antara stesen radio yang berpengaruh ialah Hot.fm (milik Media Prima), Sinar.fm, Era.fm (milik Astro), Suria.fm, Manis.fm yang berebut segmen pendengar muda dan dewasa menerusi hiburan terkini dan retro. Sebahagian selebriti telah diambil bertugas sebagai penyampai radio supaya menjadi magnet kesetiaan stesen dalam kalangan pendengar tegar atau sambilan.

Slot hiburan, iklan, berita dan celoteh juruhebah menguasai sebahagian besar siaran radio arus perdana. Genre nasyid dan program kerohanian diperuntukkan waktu yang sangat terhad. Maka, keperluan itu ditampung oleh radio seperti Ikim.fm yang turut menerima aliran muzik moden yang diklasifikasikan sebagai sihat...