Saturday, December 11, 2010
CERMIN DIRI: ANDA BOS ATAU PEMIMPIN? (THE ART OF LEADERSHIP)
Tidak kira anda seorang murid, seorang guru, seorang pengetua, seorang ketua jabatan, seorang imam, atau ibu bapa, anda akan berasa dihargai jika pendapat anda diambil kira, dan keputusan yang anda cadangkan diterima untuk dilaksanakan. Dalam keadaan sedemikian, anda sebenarnya telah diangkat sebagai superior dalam sesebuah kumpulan atau organisasi. Anda mungkin memperoleh kedudukan itu secara lantikan, pemilihan atau menerusi faktor biologi.
Pada awalnya anda mungkin teruja untuk menjadi pemimpin yang berwibawa, dihormati, disegani dan terbaik pada mata subordinat anda. Anda berusaha mengaplikasikan segala ilmu kepimpinan yang anda baca menerusi buku-buku yang termahal, atau menerusi kursus rasmi. Namun, lama-kelamaan tekanan pencapaian dalam organisasi sedikit demi sedikit menyebabkan anda tercampak dalam senarai ketua yang dibenci, dicaci (secara senyap), dijauhi, dan ditolak seolah-olah anda seorang penjahat yang tidak berhati perut.
Anda tidak perlu memasang pengintip untuk mengenal pasti ancaman terhadap kuasa yang anda miliki. Anda tidak perlu memanggil mesyuarat dan contact hour sekadar untuk membentak suspek anda, atau anda melafazkan ugutan secara halus apabila membacakan peruntukan undang-undang dan pelaporan prestasi supaya subordinat berasa takut untuk melanjutkan bantahan. Jika demikian, anda hanya membina tembok prasangka dan membenihkan rasa tidak selamat dalam organisasi.
Sebaik-baiknya dari masa ke masa anda perlu muhasabah diri. Adakah anda tergolong sebagai bos, atau anda sebagai pemimpin? Adakah anda seronok kerana dikelilingi oleh pembodek dan tukang kipas yang berkepentingan dan sarat dengan agenda tersembunyi?
Rusell H. Ewing menggariskan perbandingan antara bos dengan pemimpin seperti di bawah yang diturunkan semula dalam versi asal bahasa Inggeris, dengan izin:
A boss creates fear, a leader confidence
A boss fixes blame, a leader corrects mistakes
A boss knows all, a leader asks questions
A boss makes work drudgery, a leader makes it interesting
A boss is interested in himself or herself, a leader is interested in the group
(Bellighan, 2009: m.s. 341)
Tugas utama seseorang pemimpin ialah menolong subordinat mencapai matlamat organisasi, justeru pemimpin sebenarnya menumpang kejayaan setiap subordinat dalam organisasi. Pemimpin mesti berbeza dengan bos atau pengurus yang hanya mementingkan terlaksananya sesuatu kerja menerusi arahan dan prosedur sepertimana POsDeCorB (planning, organising, delegating, co-ordinating, budgeting). Walaupun pemimpin perlu bertegas, namun prinsip yang perlu dipegang ialah melakukan sesuatu bukan kepada subordinat anda, tetapi bersama-sama subordinat anda (Blanchard, 2003: m.s 140).
Dalam suatu hadith dinyatakan bahawa setiap orang ialah pemimpin, serta akan bertanggungjawab terhadap kepimpinannya (kullukum ra 'in wakullukum mas ulun 'an ra 'iyyatih, au kama qala). Paling tidak seseorang perlu menjadi pemimpin kepada diri sendiri dan kepada insan-insan yang terdekat. Sama ada anda pemimpin besar, atau pemimpin kecil, amanah kepimpinan yang anda sandang adalah untuk memudahkan urusan manusia dan membahagiakan mereka...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment